DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 25 May 2016

Samurai - Bab 6

“MONYET! Bengong! Biul!” Aku menyeranah
sambil memanjat pokok rambutan dengan geram. Kalaulah
pokok ini dia, memang aku sepak-sepak sampai puas.
Disebabkan rasa sakit hati, aku memanjat lebih tinggi sampai
ke hujung dahan. Puas hati aku.
Aku bersyukur yang aku boleh memanjat. Kalau aku
tak boleh memanjat, tak tahulah ke mana aku nak bawa hati
yang lara ni. Dahan yang tidak berapa lebar itu aku peluk kuat
dan melepaskan perlahan tangisan geramku. Tak mahu ada
yang dengar. Tapi, lama-kelamaan, sedu-sedan mula mengiringi
tangisanku. Aku sedih sangat dan aku tak tahu kenapa aku
mesti rasa sesedih ini. Beberapa kali lap air mata pun masih
juga air mata tak nak berhenti mengalir. Penyudahnya, aku
biarkan saja.
Kenapa dia tak pernah pun nak layan aku elok-elok?
Dari awal lagi. Bukan aku yang cari pasal dengan dia. Dia dulu
yang mulakan. Lepas tu kenapa mak selalu menangkan dia?
Kenapa abah pun sama?
“Leha balik dulu!” jerit suara Leha. Pergi baliklah kau,
monyet! Menyemak aje kat sini! Tangan mencapai rambutan
yang tergantung berdekatan denganku dan air mata terus
mengalir. Geram... sakit hati... sedih... semuanya bercampur
menjadi satu.
“Baliklah dulu. Kalau jatuh jangan bangun ye. Tunggu
aje kat situ sampai ada kereta datang langgar.” Sayup-sayup
kedengaran suara si samurai bergurau dengan Leha. Dengan
aku, jangan harap dia nak bergurau. Benci, benci, benci!
“Hehehehe. Abang Aizat ni kelakarlah...” Leha tergelak
gedik. Nak muntah aku dibuatnya. Geram! Rasa nak kunyah
dengan biji rambutan ni sekali, tau! Geram sungguh aku.
“Turunlah. Rambutan ni ada lebih.” Suara Aizat
menyapa dari bawah pokok.
Aku tak pandang langsung dia di bawah tapi aku tahu
dia cakap dengan aku. Habis, siapa lagi yang ada dekat atas,
kan? Dah tinggal sisa-sisa, baru tahu nak bagi aku? Blahlah kau,
samurai!
“Turunlah.” Suara dia masih ada. Mendatar.
Aku buat pekak sahaja. Masih tidak pandang ke bawah.
Buat apa nak pandang ke bawah? Bukankah ada dia? Dan buat
apa aku nak pandang dia? Bukankah dia hanya menyakitkan
hati aku saja? Tengok muka dia pun hati aku rasa sakit.
“Turunlah, Melur. Bahaya.” Dia mendengus sedikit.
Bunyi macam prihatin sangat aje.
Ah! Aku peduli apa? Dia juga yang suruh aku panjat
tadi. Bila aku panjat, sibuk nak datang sini. Sebab Leha dah
baliklah tu. Menyampah. Kalau ada Leha, sampai bila-bila
agaknya dia tak suruh aku turun. Entah-entah dia biarkan aku
tidur kat atas pokok ni.
“Melur. Aku... aku...” Teragak-agak saja dia hendak
bersuara. Nak cakap apa hah? Apa pasal jadi budak gagap?
“Argh! Turunlah, ngok.”
Nak memujuk ke apa dia ni? Kasarnya! Aku masih buat
tak endah. Mujurlah pokok rambutan ni dah tak ada dahan yang
lebih tinggi dari kedudukanku sekarang. Kalau tak... memang
aku panjat lebih tinggi lagi. Percayalah cakap aku!
Kalau ada giant beanstalk macam cerita dongeng
orang putih tu, lagi seronok. Sampai langit ke tujuh aku
panjat dan aku mahu tinggal di sana bersama harta karun yang
menimbun. Aku tak perlu hadap muka dia dan Leha lagi.
“Melur... aku naik atas tu, siaplah kau!” Dia mengugut.
Aku dah tak hairan. Kalau dulu aku kelam-kabut sebab
ugutannya itu, sekarang tidak lagi. Malas aku nak ambil tahu.
Sekalipun dia nak pukul aku, silakan. Aku malas nak kisah.
Sebelum dia naik atas ni, aku nak tendang dia jatuh ke bawah.
Biar dia rasa macam mana sakitnya apabila jatuh dari pokok.
“Melur, turun! Aku cakap turun, kan!” Dia menjerkah.
Aku buat tak endah.
“Kau ingat manis sangat kau memanjat macam tu?
Kau tu anak dara! Sebelum kau jatuh macam dulu, baik kau
turun.” Nadanya makin meninggi.
Bila aku dah panjat pokok, baru nak ingatkan aku yang
aku ni anak dara? Selama ni? Pada dia, aku ni anak kera. Sampai
boleh memanjat sendiri apa semua. Leha tu baru anak dara
pada pandangan dia. Aku benci dia. Dan rasa benciku kepadanya
menjadi-jadi semenjak dia begitu rapat dengan Leha, musuh
nombor satuku itu.
“Aku cakap turun!!!” Kuat suara dia menjerkah di
bawah. Bergema...
Kecil hatiku semakin menjadi-jadi. Sekuat itu dia
menengkingku. Aku akhirnya turun juga. Bengang. Air mata
pun turun sama macam aku sedang turun dari pokok rambutan
ini. Pedih hatiku.
Malu. Ditengking begitu atas alasan apa? Atas alasan
aku memanjat pokok untuk mencari rambutan buatku sendiri?
Itu pun salah? Bukan ke tadi dia jugak yang mencabar?
Mujur juga aku sudah merasa banyak buah rambutan.
Sekurang-kurangnya, tak adalah aku nak terliur rambutan yang
dia beri kepada Leha tu lagi.
Sesampai di bawah, aku terus menyarungkan selipar
jepunku dan berjalan pergi. Sedu-sedan masih bersisa.
“Melur...” Dia tarik lengan baju aku. Aku menyentak
kuat sambil merenungnya tajam. Muka inilah yang paling aku
benci dalam hidup aku!
“Melur, aku takut kau jatuh. Melur... aku...” Dia
mengejar. Tapi cepat-cepat aku mengesat air mata dan berlari
ke depan rumah. Geram. Geram sangat-sangat. Kalau betul dia
takut aku jatuh, dari awal lagi dia tak benarkan aku memanjat.
Memang alasan!
“MELUR! APASAL setiap kali aku jumpa kau, mesti kau
menangis ek? Drama queen betullah kau ni.” Soal Ijai yang
entah bila muncul. Prihatin. Tak macam Aizat. Aku kesat air
mata dan duduk di pangkin. Dia duduk di sebelahku.
“Aku benci beruk tu.” Aku mengadu. Dia tergelak.
“Beruk mana pulak ni?” soal Ijai prihatin. Agaknya
dia terfikirkan beruk yang selalu curi buah pisang di kebun
belakang rumahku.
“Sepupu aku itulah, beruk.” Aku mengutuk lagi sambil
mengesat air mata yang masih bersisa.
“Tak elok berukkan seorang manusia. Jadi suami kau
nanti. Ni, hadiah kau hari tu. Kau tinggal aje. Nah. Ni ABC
kau sekali. Aku belikan yang baru sebab yang kau punya dulu
sepupu kau dah habiskan.” Dia berkata tenang.
Aku mendengus. Sibuk nak habiskan ABC aku. Benci
sungguh. Aku takkan bercakap dengan dia langsung. Muktamad!
Lagipun memang aku tengah lancarkan mogok suara dengan
Aizat tu.
“Ijai, kau panjatkan aku pokok rambutan boleh?”
soalku.
“Bukan selama ni kau rajin memanjat ke?” soal Ijai
sambil mengekek ketawakan aku.
“Hari tu aku jatuh pokok. Mak abah tak bagi aku
memanjat lagi dah. Tadi aku panjat, beruk tu kacau. Tolonglah
Ijai.” Aku merayu.
“Habis tu, kau ada luka kat mana-mana tak? Apa pasal
sampai boleh jatuh ni, Melur? Dulu kau terror gila memanjat
sampai tak dapat aku bezakan antara kau dengan kera belakang
rumah kau tu.” Ijai berkata prihatin sambil sempat dia
mengutukku.
Hesy! Aku mencemik. Aizat pun kata aku macam tu
dulu. Hmm. Aku memang ada gaya kera ke? Sedihnya.
“Jatuh gitu je. Terseliuh pinggang. Sekarang dah okey.
Ala, Jai. Bolehlah ek?” Aku buat muka kesian.
“Kau pun tahu kan, aku ni penggayat tegar.” Dia
mengakuinya. Aku angguk. Lupa pula. Dia memang takut
dengan ketinggian. Dari kecil lagi.
“Aku terliur sangat.” Aku mendengus sambil
memandang kaki. Tiba-tiba ada sebakul rambutan di
hadapanku. Aku mendongak. Aizat menghulurkannya dengan
muka tegangnya itu. Aku kembali tunduk. Tak menghiraukan
pemberiannya. Kecil hati dengan dia.
“Aku bagi ni, ambiklah. Karang meleleh pulak air liur
tu!” Dia membentak.
Aku pandang Ijai. Ijai angkat bahu sambil menceberkan
bibirnya. Keningnya diangkat. Suruh aku ambil. Aku buat tak
nampak saja pada kewujudan bakul di depan mukaku ini. Terus
aku berdiri. Aku ambil ABC di tangan Ijai, kemudian aku ambil
kotak hadiahku lantas kupeluk.
“Nantilah kita berborak ya Jai. Aku tak ada mood.
Terima kasih bagi aku hadiah ni. Comel macam kita.” Aku
berkata sambil melangkah kaki menuju ke tangga rumah. Ijai
bangkit dari pangkin.
“Sama-sama. Aku pun kena blah ni. Ada hal.” Katanya.
Hal dengan Noralah tu.
“Okey, bye!” Aku segera naik ke dalam rumah.
Meninggalkan Aizat terpinga-pinga sendirian. Padan dengan
muka. Dia nak sangat, kan? Rasalah penangan aku. Aku merajuk
memang lama.
“MELUR, NI rambutan yang Aizat bagi.” Mak menghulur bakul
berisi buah rambutan buatku. Aku mencemik. Dah tak ingin.
Aku mengunyah kentang goreng segera yang digoreng mak tadi
tanpa perasaan.
“Makanlah rambutan tu.” Suara Aizat menyapa.
Suaranya lemah seperti suara orang yang sedang berjauh hati.
Aku buat tak dengar sahaja. Sudah lama sungguh aku tidak
bersuara dengannya. Aku peduli apa.
“Mak cakap kat dia, Melur tak nak makan.” Aku
menolak bakul buah rambutan itu ke tepi.
Kan mak dah kena jadi orang tengah. Aku memang
malas nak pandang muka dia. Macam-macam cara yang dia
dah cuba untuk memujuk aku. Semuanya aku abaikan. Padan
dengan muka. Aku berlalu ke dapur. Meninggalkan mak yang
terpinga-pinga. Aizat? Aku tak sempat nak tengok pun reaksi
dia.
Semenjak kejadian dia menjerkah aku memanjat
pokok tempoh hari, semakin kerap dia memetik buah rambutan
untuk aku. Tapi, satu biji pun aku tak usik. Berakhir dengan dia
makan sendiri. Sampai terbatuk-batuk. Padan dengan muka.
Nak pujuk aku? Takkan termakan aku dengan pujukan dia.
Leha ada, tidak pula dia berikan kepada Leha makan rambutan
tu. Waktu aku terliur dulu, sibukkan sangat kat Leha dia.
“Penat dia panjat pokok.” Suara mak dari ruang tamu
mematikan langkahku seketika.
“Bukan Melur suruh dia panjat pun. Dia sendiri tahu
Melur memang handal memanjat sebab dah berkawan dengan
nyet di belakang rumah tu. Buat apa dia nak carikan lagi untuk
Melur? Sebab nak jadi macam nyet-nyet belakang rumah ke?”
Aku menjawab selamba dengan nada sinis.
“Melur... tak baik cakap macam tu.” Mak menegur.
Seperti biasa, hanya salah aku yang mak nampak.
Tiba di dapur, aku duduk bercangkung di hadapan
buah durian. Musim buah sekarang, memang senang nak jumpa
buah. Parang kutarik. Aku mencantas tangkai buah durian.
Hari ini aku teringin nak makan durian. Rambutan? Malas dah
aku makan walaupun terliur gila. Buah kegemaran aku tu.
Punggung durian, aku tetak dengan parang. Buat
tanda sebelum mengopeknya. Parang aku letak di sisi. Aku cuba
mengopek. Tak berjaya. Kena tetak besar sikit agaknya. Tiba-tiba
parang itu diambil sebelum sempat aku mengambilnya semula.
“Meh sini, aku buatkan.” Aizat mengambil buah durian
dari tanganku. Tiada riak bersalah dipamerkan.
Aku merengus. Dia mengopek buah durian itu
menggunakan tangan kekarnya. Keluar segala jenis urat. Mak
urat, bapak urat, atuk dan nenek urat pun ada. Mudah sahaja
dia mengopek durian itu. Dah berjaya. Kudrat dia dengan aku
berbeza. Ya, besar bezanya meskipun badan dia keding.
“Nah, makan ni.” Dia mengambil seulas durian dan
menghulurkannya kepadaku.
Aku termenung. Tadi terasa nak makan durian, tengok
muka dia, selera aku tiba-tiba mati. Aku bangkit. Nak berjalan
ke bilik. Dia menarik lenganku sehingga aku tersentak.
“Nak apa?” Aku membesarkan biji mataku. Inilah kali
pertama aku keluarkan suara emasku kepadanya.
“Makan.” Dia menonyoh durian itu ke mulutku.
Kepalaku terundur ke belakang dengan tonyohan kasarnya itu.
Heee. Tak sopan betul dia ni! Habis durian tu terkena
hidungku! Cis! Aku terpaksa ambil juga dari tangannya. Dia
menjelingku. Aku pun sama. Menjeling dia sehingga bergolek
anak mata hitamku. Dia menarik lenganku dan kami kembali
duduk menghadap durian-durian itu. Satu patah perkataan pun
aku tak bersuara. Aku masih mogok suara dengannya. Biarlah
sampai bila-bila pun.
“Dah tiga hari kau tak bercakap dengan aku. Kalau kau
simpan suara kau, bukannya boleh jadi sedap macam suara Siti
Nurhaliza pun.” Dia menyindir. Aku masih diam. Biarlah dia
dengan kata-kata sinisnya asalkan aku tak kacau hidup dia.
“Kau nak makan lagi?” soalnya. Aku hanya kaku. Dia
tidak menunggu lama untuk mengopek buah durian yang lain
pula.
“Durian ni khas untuk kau. Aku beli.” Katanya.
Oh, jadi dialah yang beli durian ni. Sesudah makan,
aku bangkit meninggalkannya.
“Melur...” panggilnya.
Aku buat tak endah sahaja. Cukuplah hati aku disakiti.

No comments:

Post a Comment