DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Isteri Dalam Sangkar - Bab 10

USAI menunaikan solat subuh, Aisyah melangkah
keluar. Berada di tempat baharu menyebabkan dia tidak dapat
tidur dengan lena. Sekejap-sekejap dia terbangun. Akibat
matanya yang sukar tidur dengan lena, awal subuh dia sudah
tercegat di ruang dapur yang begitu asing baginya. Tidak
sama dengan ruang dapur di kampung.
Aisyah merenung dapur yang kelihatan pelik pada
pandangan matanya. Nipis dan tiada punat untuk menyalakan
api. Inilah pertama kali dia melihat dapur yang pelik begitu.
Dekat kampung, dapur yang digunakan biasa-biasa saja.
Tidaklah secanggih dapur di kondo mewah ‘Tengku Harimau’
ini. Bertambah pelik apabila dapur tersebut tiada tong gas.
Puas dia mencari, namun tidak jumpa tong gas di mana-mana.
Aisyah garu kepala. Bingung melihat peralatan
elektrik di dapur itu. Inilah susahnya jika peralatan terlalu
canggih, sehinggakan dia yang asal dari kampung ini jadi
kejakunan. Tak tahu bagaimana hendak menggunakannya.
“Hesy… susahlah macam ni. Macam mana aku nak
masak? Nak hidupkan api kat dapur ni pun aku tak reti.”
Aisyah merungut sendiri.
Dalam situasinya yang bingung memikirkan
bagaimana hendak menggunakan peralatan elektrik di
dapur itu, telinganya menangkap derap kaki menuruni anak
tangga. Dia yakin itu pastinya Tengku Iskandar. Pantas dia
membetulkan kedudukan diri. Tegak bagai patung cendana.
Tengku Iskandar melangkah masuk ke ruang dapur.
Wajahnya masih kelat seperti hari-hari sebelumnya. Apatah
lagi apabila ternampak kelibat Aisyah di situ. Bertambah kelat
wajahnya yang kacak itu.
Sebuah fail merah dilempar tepat ke atas meja.
Benar-benar di hadapan Aisyah yang sedang tertunduk
memandang lantai. Aisyah yang melatah itu pun apalagi, laju
saja mulutnya berkata yang bukan-bukan.
“Oh mak kau fail terbang!” latahnya sambil meloncat
sedikit ke belakang.
Sedar dia termelatah di hadapan lelaki itu, cepat
Aisyah menekup mulut dengan kedua belah tangannya.
Bibirnya diketap.
‘Hesy… mulut ni! Boleh tak jangan melatah. Buat
malu aje!’ hatinya menggumam marah.
Tengku Iskandar yang berlagak memeluk tubuh
itu menjongketkan kening. Latah Aisyah langsung tidak
menggeletek hatinya. Buat dia bertambah sebal ada la! Lantas
mulutnya mendengus. Entah sampai bila dia akan bertahan
duduk berdua dengan perempuan kampung itu.
“Dalam fail tu aku dah buat senarai peraturan untuk
kau, apa yang kau perlu buat dan tak boleh buat. Baca dan
faham! I don’t like dealing with stupid people!” Senafas
Tengku Iskandar bersuara. Matanya tajam merenung wajah
Aisyah. Gadis kampung itu pasti menundukkan wajah setiap
kali berdepan dengannya.
“Kau dah tinggal kat sini, jadi kau kena ikut semua
peraturan yang aku dah senaraikan. Jangan ingat kau tu isteri
aku, kau berlagak macam mem besar. Aku tak pernah pun
anggap kau sebagai isteri. Perempuan kampung macam kau
ni, tak layak bergandingan dengan aku. Tak sama taraf dengan
kedudukan aku. Kau cuma layak jadi orang suruhan aku aje.
Sebab tu… kau kena buat semua kerja rumah dalam kondo
aku ni. Jangan nak duduk percuma aje kat sini. Kalau kau
nak terus menumpang kat sini, kau kena buat kerja. Setiap
bulan aku akan bayar gaji kau. Tapi rasanya aku tak akan
bayar banyak. Cukuplah tiga ratus ringgit aje. Perempuan
kampung macam kau bukannya tahu guna duit sangat pun.”
Panjang lebar Tengku Iskandar berbicara. Namun bicaranya
itu lebih kepada kata hinaan. Hatinya seakan puas setiap kali
dapat menghadiahkan Aisyah dengan kata hinaan begitu.
Aisyah hanya mendengar. Pedih hatinya menerima
kata-kata hinaan itu. Apa lelaki itu ingat dia ini tiada hati
ke nak dihina sedemikian rupa? Dia tinggal di sini bukan
kerana mahukan wang ringgit. Jika pun dia melakukan
kerja-kerja rumah di kondo ini, itu adalah kerana dia sedar
tanggungjawabnya sebagai seorang isteri.
Tengku Iskandar mendengus kasar. Semakin berada
dekat dengan gadis kampung itu, semakin sakit rasa hatinya.
Daripada terus diserang sakit hati, lebih baik dia keluar
awal. Dapat juga dia mencari ketenangan jiwa. Tak pernah
dia keluar seawal ini untuk pergi ke tempat kerja. Tetapi
disebabkan rasa menyampah kepada Aisyah, dia keluar seawal
pukul enam empat puluh minit pagi. Hari ini dalam sejarah!
Setelah daun pintu utama ditutup dengan kasar oleh
tuan rumah, Aisyah mencapai fail merah di hadapannya. Dia
mahu tahu isi kandungan apa yang ditulis ‘Tengku Harimau’
itu. Bukan main lagi sampai ada segala peraturan yang dia
perlu ikut. Mentang-mentang dia ini hidup menumpang.
Bukan main garang lelaki itu menindasnya.
Sepintas lalu Aisyah meneliti peraturan-peraturan
yang ditulis Tengku Iskandar. Ada lima puluh perkara
semuanya. Bukan main banyak lagi. Matanya meneliti
peraturan ke dua puluh.
‘Dilarang memandang wajah Tengku
Iskandar!’
Aisyah mencebik.
“Macam la aku kemaruk sangat nak pandang muka
dia tu. Muka kelat tak tahu nak senyum, huh… takde hati aku
nak pandang. Garang macam harimau dalam hutan!” gumam
Aisyah sendiri.
Mentang-mentang ‘Tengku Harimau’ itu sudah
keluar, bukan main berani lagi dia nak mengutuk. Cuba
‘Tengku Harimau’ itu ada di depan, Aisyah langsung tak
berani nak angkat muka. Asyik menunduk dua puluh empat
jam.
Mata Aisyah mengimbas lagi. Peraturan ke dua
puluh sembilan.
‘Tidak dibenarkan jatuh cinta kepada
Tengku Iskandar!’
“Eiii… perasannya ‘Tengku Harimau’ ni! Bila masa
aku nak jatuh cinta pada dia? Tak payah nak tulis pun aku
memang tak akan jatuh cinta dengan lelaki garang macam
dia tu. Huh… perasan!” gerutu Aisyah dengan rasa hati
menyampah.
Kemudian dia meneruskan pembacaan. Meneliti
satu per satu peraturan yang perlu dia ambil kira.
TING TONG! Ting tong!
Bunyi loceng pada pintu mengejutkan Tengku Haziq
yang sedang membancuh air Nescafe. Jam bulat yang melekat
pada permukaan dinding di ruang dapur dijeling. Baru pukul
tujuh sepuluh minit pagi. Siapa pula yang datang awal-awal
pagi begini?
Selang sesaat, loceng berbunyi lagi. Bertalu-talu
bunyinya. Bagaikan tidak sabar hendak menyuruh tuan
rumah membuka pintu.
“Hesy… siapa pulak yang buat kacau pagi-pagi ni?”
rungut Tengku Haziq sambil memulas tombol pintu. Di
hadapannya, tercegat wajah Tengku Iskandar yang sudah
lengkap berpakaian pejabat. Kemas seperti selalu. Tanpa
dipelawa, lelaki itu masuk ke dalam rumah bujang Tengku
Haziq. Selamba saja dia merebahkan tubuhnya di atas sofa.
Berkerut dahi Tengku Haziq melihat kelibat Tengku
Iskandar di rumahnya pagi itu. Tak pernah dia lihat Tengku
Iskandar bersiap sebegini awal. Selalunya lelaki itulah yang
paling lewat masuk ke pejabat. Jika ditanya, macam-macam
alasan yang dia berikan. Tapi hari ini, awal pula Tengku
Iskandar bersiap untuk ke pejabat. Satu perkembangan yang
cukup baik.
“Awal kau bersiap.” Sengaja Tengku Haziq
berkata begitu sambil menjeling wajah Tengku Iskandar
yang kelihatan sugul. Punggung dilabuhkan di atas sofa
bertentangan Tengku Iskandar.
Tiada jawapan. Tengku Iskandar menyandar sambil
lengan kanannya diletakkan ke dahi. Matanya dipejamkan
rapat. Semalaman dia tidak dapat tidur. Kini dia rasa
mengantuk pula.
“Kau datang pagi-pagi ni sebab nak mengelak dari
Aisyah ke? Is… kau kena ingat, dia tu isteri kau. Walaupun
kau tak suka dia, kau kena juga jalankan tanggungjawab
sebagai seorang suami.” Tengku Haziq cuba memberi nasihat.
Dia tahu Tengku Iskandar tidak sukakan Aisyah tetapi tidak
wajar jika abang sepupunya itu mengabaikan gadis itu. Walau
apa pun yang terjadi, gadis itu tetap isteri Tengku Iskandar.
Tengku Iskandar mendengus. Kasar bunyinya.
Dia baru bercadang hendak menenangkan jiwa, Tengku
Haziq pula sudah mula hendak memberikan ceramah. Buat
telinganya makin berdesing mendengar nama gadis kampung
yang dibencinya itu.
“Kau boleh tak jangan sebut nama perempuan
kampung tu? Aku tak suka la. Sakit telinga aku dengar nama
dia.” Rungut Tengku Iskandar. Tidak berkenan apabila nama
Aisyah diungkit-ungkit di depannya.
“Yang kau sakit hati sangat dekat dia tu kenapa? Dia
tak buat salah apa pun kat kau. Kau tu aje yang terlebih benci.”
Memang dia pelik dengan perangai Tengku Iskandar yang tak
pasal-pasal membenci Aisyah. Jika dikatakan Tengku Iskandar
membenci Aisyah disebabkan peristiwa penangkapan khalwat
mereka itu, rasanya sebelum hal itu terjadi lagi Tengku
Iskandar sudah menunjukkan rasa bencinya terhadap Aisyah.
“Ziq! Kau boleh tak jangan buat kepala aku ni
bertambah stres. Aku datang rumah kau ni nak tenangkan
fikiran. Bukannya nak dengar kau membebel pasal perempuan
kampung tu. Boleh tak kalau kau zip mulut kau tu bagi aku
tenang sikit. Dahlah dari semalam aku tak dapat tidur. Datang
sini kau pula bising-bising.”
Mendengar kata-kata yang keluar dari mulut abang
sepupunya itu, Tengku Haziq bangun dari duduknya. Biarpun
kurang berpuas hati dengan tindakan Tengku Iskandar,
namun dia perlu menghormati permintaan lelaki itu. Lagipun
dia dapat melihat betapa tidak bermayanya Tengku Iskandar.
Mungkin benar lelaki itu tidak dapat tidur semalaman kerana
memikirkan hal itu. Biarlah jiwa Tengku Iskandar tenang
dulu. Bila ada masa yang sesuai, dia pasti akan menasihati
lelaki itu lagi.
Tidak mahu mengganggu lelaki itu berehat, Tengku
Haziq kembali semula ke dapur.
AISYAH MEMEGANG perutnya yang sudah berkali-kali
berkeroncong. Puas dia menyelongkar kabinet dan peti sejuk
mencari makanan. Yang ada hanyalah beberapa botol air
mineral Spritzer dan jus Peel Fresh saja, sedangkan perutnya
minta diisi dengan makanan. Takde makanan berat, cukup
dengan roti pun dia sudah bersyukur. Namun tiada satu
makanan pun yang dijumpainya.
Pelik! Peti ais besar gedabak, tetapi isi di dalamnya
hanyalah air mineral. Orang kaya apa namanya ni?
Sampaikan makanan tiada dalam simpanan. Nampak sangat
‘Tengku Harimau’ itu jenis tak masak di rumah. Entah-entah
dapurnya yang cantik ini pun tidak pernah berasap.
Kruttt… krutttt…. Perut Aisyah berbunyi lagi.
Kali ini lagi kuat bunyinya. Lantas perut yang berbunyi itu
dipegang.
“Sabarlah wahai perut. Aku tak tahu nak makan apa.
Satu makanan pun takde dalam rumah ni. ‘Tengku Harimau’
tu tak makan nasi agaknya, pasal tu dapur dia kosong.
Entah-entah dia makan daging manusia. Maklumlah…
harimau la kan,” sempat juga Aisyah merungut pasal Tengku
Iskandar. Siap menyamakan lelaki itu dengan sang harimau
yang makan daging manusia lagi. Kalaulah Tengku Iskandar
dengar, daging Aisyah la yang pertama sekali dimakannya.
Main sedap mulut saja dia mengata.
Aisyah melangkah ke depan. Punggungnya
dilabuhkan ke atas sofa kulit. Dia benar-benar kelaparan.
Tubuhnya yang sudah kehilangan tenaga itu direbahkan.
Kepalanya pusing akibat rasa lapar. Dia tidak menjamah
walau sebutir nasi pun sedari semalam. Disebabkan itulah
hari ini dia terasa lapar sangat.
Matanya dipejamkan. Manalah tahu kelaparan yang
menggila ini dapat diredakan dengan tidur. Nanti petang dia
akan beritahu Tengku Iskandar keadaan dapur yang kosong.
Walaupun takut kepada lelaki itu, dia kena juga beranikan diri.
Jika tidak, dia akan mati kelaparan di dalam kondominium
mewah itu.

No comments:

Post a Comment