DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 May 2016

Samurai - Bab 14

“BUKU apa diaorang bagi ni?” soalnya sambil
memasukkan semula buku Gerbang Perkahwinan itu ke dalam
fail kertas yang berwarna biru.
Aku menjelingnya. Entah apa masalah yang aku dah
buat sampaikan kena pergi kursus kahwin pun dengan dia. Mak
dan abah bukan main laju lagi daftarkan aku masuk kursus
perkahwinan ini.
“Entah. Pergi masuk sanalah.” Aku menghalaunya
apabila terlihat kelibat senior yang pernah aku minat waktu
sekolah dulu muncul bersongkok. Paijo namanya. Faizul nama
sebenar, okey. Orang kampung gelar dia Paijo.
Macam mana dia boleh ada kat sini? Alamak, dia dah
nak nikah ke? Tapi, dia datang dengan adik dia. Tak mungkinlah
dia nak menikah. Mungkin dia sekadar menemani si adik, tak?
“Kau jangan sibuk nak cuci mata eh? Aku cungkil biji
mata tu nanti.” Sempat dia berpesan sebelum menanggalkan
kasut dan memasuki Pusat Dakwah itu. Aku menjelingnya di
belakang. Perasan pula dia yang aku ralit memerhatikan kawan
lamaku.
“Sibuk aje.” Aku menjelirkan lidah.
Kasut, aku tanggal dan membuntuti peserta-peserta
wanita lain. Tiada tempat yang kosong ke? Oh! Di tepi sana. Aku
mengambil tempat duduk itu cepat-cepat. Bimbang berebut
dengan peserta perempuan yang lain.
“Apa masalah kau ni? Macam budak-budak. Berlari-lari
macam tu.” Kutuk satu suara. Aku tahu sangat suara siapa.
Aizat. Kami dipisahkan oleh jarak bagi laluan si penceramah
sahaja. Dia juga duduk di tepi sekali.
“Biarlah. Saya nak tempat ni. Nanti dah ada orang
duduk pulak.” Aku membidas geram.
“Tak perlu kut berlari-lari macam tu. Mana ada orang
kat belakang kau tadi.” Katanya selamba.
Aku ketap bibir. Alamak, biar betul? Aku seorang diri
sahaja ke tadi? Memalukan sungguhlah kalau macam tu.
“Ah! Biarlah.” Aku memusingkan badanku,
membelakanginya.
“Eh, akak!” si Maria menegurku. Maria ini adik si Paijo.
“Eh, Ya... datang sorang ke?” sengaja acah-acah tak
tahu. Dia tersenyum dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
“Ya datang dengan abang. Dia nak nikah tak lama lagi.
Wah, Kak Melur pun nak nikah jugak ye?” soalnya.
Aku hampir tersedak mendengar kata-katanya. Patah
seribu... hatiku... terus hati menyanyi lagu Shila Amzah.
“Errkkk, ha... haah.” Aku membalas dengan tawa yang
langsung tak jadi.
Mata automatik tercari si samurai. Malu nak mengaku
yang dia itu bakal suamiku. Lihat sahajalah rambut dia yang
panjang bertocang tu. Sudah cukup membuatkan selera orang
ramai mati. Semua fikir aku datang dengan bonzer keding.
Dia memandangku. Kening diangkat sekali menyoal
‘kenapa pandang dia’? Aku menghadiahkan jelingan sebelum
kembali menghadap si Maria.
“Akak nak nikah dengan siapa?” soalnya.
“Dia.” Malas-malas aku naikkan telunjukku dan tunjuk
lelaki di sisiku bersama dengusan tak puas hati. Malu nak
mengaku yang aku bakal bernikah dengan dia.
“Apa pasal dia simpan rambut panjang? Tak lawalah
lelaki rambut panjang. Macam pailang.” Kritik Maria perlahan.
Nak sahaja aku cekik budak Maria ni atas kata-katanya yang
menggores jiwa. Hanya aku yang boleh kutuk Aizat begitu.
Hanya aku!
“Ya tak nak nikah ke?” soalku mengubah topik.
“Nak nikahlah. Sebab tu Ya datang sini tapi... lambat
lagilah nikahnya. Pakwe pun tak ada lagi.” Kata Maria tersenyum
simpul.
“Ohhhh...” panjang oh aku dibuatnya. Tak tahu nak
cakap apa.
“Abang nikah dengan kawan satu kelas dia. Siti, anak
Mak Cik Zahra.” Cerita Maria tanpa perlu aku menyoal. Hampir
sahaja tersembur air liurku mendengarnya. Dengan kawan
Abang Din, Siti? Bila masa pula mereka bercinta?
“Bukan ke Kak Siti tu belajar kat luar negeri?” soalku.
“Yalah. Dekat Unisel Selangor. Abang Paijo belajar kat
tempat yang sama.” Kata Maria.
Ah! Sudahlah bercerita tentang mereka. Patah hati
aku. Dulu Siti tu langsung tak suka kepada Paijo. Katanya Paijo
merupakan satu-satunya lelaki yang melatah! Sekarang? Huh...
Aku mencari kelibat Paijo. Dia berada di hadapan
samurai. Tiga barisan di hadapan. Pergh! Kacak dia luar biasa!
Sebab... kacak biasa tak ada jerawat batu kat pipi macam tu.
Hehehehe... Sebenarnya dia tidaklah sekacak dulu.
Baik aku pandang Aizat sahaja. Bakal suamiku. Aizat
lagi handsome. Tak sempat nak pandang lama-lama, ada ustaz
yang akan memberi ceramah masuk. Aku terpaksa memandang
ke hadapan sahaja. Lain kali sajalah aku tenung muka dia.
Maria di sebelahku sudah sibuk berSMS dan
bermacam-macam di tepiku dengan telefon bimbit barunya.
Gayanya macam malas mendengar ceramah saja. Canggih
benar telefonnya. Besar penampar Aizat saiz telefon bimbitnya.
Tak pelik ke kalau letak di pipi nanti? Makin maju makin besar
pula gadjet-gadjet begini.
Aku, memang tak mampu untuk memiliki telefon
bimbit selepas sebuah telefon bimbitku terkorban di tangan
aku sendiri. Bila aku cakap tak ada, semua pakat cakap aku tipu.
Selepas telefon Nokia Butterfly aku rosak dulu, terus mak dan
abah tak nak beli yang baru untuk aku. Sampai hati sungguh
mak. Dah aku jadi katak bawah tempurung.
Aizat, aku tak pernah pula lihat dia pegang telefon
bimbit. Takkanlah orang duduk di KL tiada sesuatu yang
penting seperti itu? Balik nantilah aku tanya.
“AKAK ADA Instagram tak?” tumpuanku terganggu apabila
disoal Maria di sebelahku. Dari tadi dia hanya mendiamkan diri
bermain dengan gadjetnya. Bila dah petang begini baru sibuk
nak soal aku benda pelik-pelik.
Sekejap lagi, habislah sesi ceramah untuk hari ini. Tak
sabar aku nak balik. Sudah naik kematu punggungku akibat
duduk lama sangat.
“Binatang apa tu?” soalku dengan mata masih
memandang ke hadapan. Sengaja aku buat tak tahu sebab aku
tak ada benda alah tu.
Terdengar Maria ketawa kecil. Dah kenapa? Nak kata
ustaz di depan ni buat lawak, memang tiada langsung. Dari tadi
serius memanjang sahaja wajah ustaz ni sampaikan wajah kami
pun serius sama.
“Apalah akak ni. Lame betul! Takkan tak pernah
dengar kut?” soalnya dengan gelak tertahan-tahan. Sampai hati
dia panggil aku lamb! Dia ingat aku tak tahu maksud lamb tu
daging kambing ke? Nak kena dia ni!
“Manalah akak tahu.” Tak rugi apa pun kalau aku cakap
tak pernah dengar.
“Wechat?” soalnya.
“Binatang apa pulak tu?” soalku lagi. Sengaja malas
melayan.
Dia tergelak sampai tertunduk-tunduk. Nak bersuara,
takut menjadi bahan uji kaji ustaz di depan ni. Sampai merah
mukanya ketawa tanpa suara. Pelik. Apa yang lawak sangat?
“WhatsApp?” soalnya setelah tawanya reda.
“Semua akak tak adalah.” Jawabku jujur.
“Line? Twitter? Facebook?” soalnya lagi.
Tang mana yang dia tak faham bila aku sebut yang aku
tak ada semua tu? Atau dia nak aku terbalikkan kerusi orang kat
depan kami ni baru dia nak percaya? Geram pula aku dengan
budak yang suka menunjuk begini. Kalau mak, tentu mak akan
kata dia cewi.
“Benda semua tu akak pernahlah tengok dekat tv. Tapi
akak tak ada. Akak tak pakai handphone macam kau orang ni.”
Jawabku menahan malu. Mulalah aku rasa diri ni terlalu kerdil.
Kasihan sungguh. Bukan setakat tak pakai handphone
macam dia, handphone sendiri pun aku tak ada. Sungguh
memalukan. Abang-abangku hanya memakai telefon murah
yang tiada aplikasi seperti yang disebut Maria. Kalau ada pun,
mana aku tahu. Bukan diaorang benarkan aku pegang telefon
diaorang pun. Jadi, macam manalah aku nak ada benda tu
semua? Terlalu ketinggalankah aku ni?
“Kesiannya akak.” Katanya perlahan.
Aku mendengus sedikit. Macam nak ejek pun ada
juga dari nadanya. Lantak kaulah, Maria. Berlagak sahajalah
dengan barang-barang kau tu. Aku tak hairanlah. Betul ke
aku tak hairan? Cemburu tu ada juga menyelinap ke dasar
hati. Perlahan-lahan meragut tumpuanku pada penceramah di
depan.
“Macam ni. Nama dia Instagram. Artis-artis banyak
guna Instagram ni. Hari-hari saya tunggu update si James
Franco tu kat sini.” Kata Maria perlahan sambil jarinya
bergerak-gerak ke atas dan ke bawah menyentuh permukaan
skrin itu.
Tercengang aku. Canggihnya telefon bimbit dia.
Sentuh-sentuh aje. Handphone dulu bukan main payah lagi.
Kena picit sampai bengkak-bengkak jari. Siapa pula James
Franco tu, aku tak tahu tapi... kata-katanya membangkitkan
semangatku. Benarkah banyak artis yang menggunakan
aplikasi tu?
“Kalau nak tengok Aaron Aziz?” soalku
bersungguh-sungguh.
“Erk... Adaaaa...” jawabnya sambil tersenyum bangga.
Wah! Bagusnya. Tentu aku boleh tahu bagaimana
keadaan dia. Apa yang dia buat dan sebagainya. Oh my Aaron!
Aku suka Aaron Aziz disebabkan bakat dan wajahnya. Oh Tuhan,
dia begitu berbakat sekali.
“Berapa Ya beli handphone ni?” soalku tak sabar.
“Hmm. Hari tu Ya beli RM1300 rasanya. Cadangnya Ya
nak beli S4, tapi S4 lagi mahal daripada ni.” Kata si Maria. Aku
sudah terbelalak.
“Seribu tiga ratus???” terpekik aku dibuatnya. Cuba
kalau S4 yang dikatakan oleh Maria itu, mahu pergi ke seribu
setengah! Entah-entah cecah dua ribu. Gila!
“Apa yang seribu tiga ratus tu? Mas kahwin ke?” soal si
penceramah. Mata semua menghala ke arahku. Alamak!
“Err...”
“Siapa pasangan kamu ni? Saya nak tanya berapa mas
kahwinnya. Sampai seribu tiga ratus yang disebut. Grand betul
majlis kamu ye.” Sindir si penceramah lagi.
Mataku lambat-lambat memandang ke arah Aizat.
Dia membuntangkan matanya dan menggeleng-gelengkan
kepala tanda tidak membenarkan aku untuk memberitahu si
penceramah bahawa dialah pasanganku. Memang dia tak nak
mengaku saja dari gaya riaknya.
“Cuba tunjuk, mana pasangan kamu?” si penceramah
menghampiriku dengan mikrofonnya.
Aduhai! Lambat-lambat mulut memuncung ke arah
Aizat yang sudah memendekkan lehernya. Mengelak daripada
menjadi mangsa tumpuan orang ramai.
“APA YANG kau orang berdua bisingkan dekat situ tadi? Tak
pasal-pasal aku pula yang menjadi mangsa. Malu muka aku!
Hesy kau ni. Sehari tak buat aku tak senang hati memang
berdosa besar agaknya.” Aizat memandu kereta abahku keluar
dari kawasan Pusat Dakwah. Mukanya cemberut bukan main
lagi.
Aku mendengus.
“Telefon Maria tu harga dia seribu tiga ratus. S3
katanya. Itu yang saya terperanjat tu. Tak sangka saya terkejut
sampai terjerit. Mahal sungguh. Gaji sebulan Abang Din tu....
manalah dia dapat duit beli benda tu.” Omelku cemburu. Kalau
aku ada telefon bimbit begitu, pasti ramai yang mencemburuiku.
Oh Tuhan, aku perlu mencari wang lebih demi membeli
telefon yang begitu canggih. Maknanya, aku perlu libatkan
diri dengan kenduri dan sebagainya. Yalah, aku kan selalu
mengambil upah untuk membuat hantaran dan goodies bag
buat tetamu? Aduh! Menyesal pula aku tak kenakan sebarang
cas buat perkahwinan Ijai yang bakal berlangsung tak lama lagi.
Isy! Tak baiknya aku.
“Mana dia dapat duit bukan persoalannya. Persoalan
sekarang ni, yang kau jakun sangat tu kenapa?” soalnya
membentak.
Aku tahu mukanya merah apabila disoal mengenai
harga mas kahwinku. Seribu tiga ratus ke? Tak pasal-pasal
dia terlibat sama. Malu-malu dia mengangguk-anggukkan
kepalanya. Kenapalah setiap kali ada yang terkantoi berbual,
pasti ustaz itu bertanyakan siapa pasangannya? Entah apa-apa!
Sekarang, Paijo dah tahu yang aku bakal menikah dengan
pailang macam Aizat. Huh! Memalukan!
“Jakunlah... sebab saya tak pernah tengok telefon
secanggih tu. Dia ada Instagram. Boleh tengok-tengok Aaron
Aziz. Tapi si Maria tu berlagak sangatlah. Nak menayang sangat,
orang nak try sentuh telefon dia pun bukan main mengelak lagi.
Macamlah tangan saya ni ada najis mutawassitah.” Kutukku
geram.
“Dia tu menipu kau aje. Tak pun dia yang kena tipu.”
Katanya dengan riak selamba.
“Apa pasal pulak?” soalku tak puas hati.
“S3 tu waktu aku beli dulu pun tak sampai seribu
tiga ratus. Itu pun time baru keluar. Sekarang ni tak sampai
seribu agaknya. Tak pun dia yang kena tipu dengan tauke kedai.
Benda tu bukannya mahal mana. Kena pandai cari tempatlah.
Entah-entah S3 dia tu pun tak ori.” Samurai berkata-kata lagi.
Tak sampai seribu? Biar betul? Takkanlah si Maria
menipu aku pula? Tentu dia yang kena tipu ni.
“Awak ada S3?” soalku terkejut apabila mengingat
semula kata-katanya.
Dia mengangguk-anggukkan kepalanya. Dahinya
berkerut sedikit.
“Kau nak telefon macam tu?” soalnya sambil
memandang ke arahku.
Laju sahaja aku mengangguk. Memanglah aku nak.
Orang gila sahaja yang menolak untuk memilikinya.
“Mestilah nak. Tapi mahal, kan?” soalku dengan muka
sedih. Sampai bila-bila pun aku tak mampu.
“Benda dah lama aku beli, aku pulak tak pakai. Kalau
kau nak, kejap lagi aku bagi. Elok lagi. Nak tolak kedai, aku
sayang. Banyak gambar handsome aku dalam tu.” Katanya
selamba. Isy! Perasannya dia.
Aku sudah mula merasai nikmat bahagia. Nanti, aku
juga tentu boleh ikuti perkembangan pelakon kegemaranku.
Aaron Aziz... Marian Rivera... Dindong Dantes. Yeay!
“Habis awak nak pakai apa?” soalku tidak lama
kemudian. Kasihanlah kepada dia. Takkan tak ada telefon
bimbit? Besar pengorbanan dia.
“Aku pakai bajulah.” Katanya main-main. Geram pula
aku mendengar jawapannya.
“Main-main pulak dah... kenapa dengan awak ni? Saya
tanya tentang handphonelah. Awak nak pakai handphone apa
kalau awak bagi dekat saya S3 tu?” soalku geram.
“Aku ada S4 dah.” Jawabnya. Semakin terbelalak aku
dibuatnya.
“S4? Benda tu lagi mahal, kan?” aku ternganga. Tak
sangka penganggur berjaya macam dia ni boleh ada benda-benda
canggih dan mahal macam tu.
“Sebelum aku balik sini dulu, aku ada beli. Yang kau
nak terkejut sangat ni kenapa? Tak pernah tengok orang ada
handphone dua biji?” soal dia dengan dahi yang berkerut-kerut.
Muka dia macam biasalah. Berangin sahaja.
“Mana awak dapat duit?” soalku mengalahkan
wartawan.
“Kerjalah.” Katanya sepatah. Kerja? Dia kerja apa dulu?
Tauke getah ke? Maksyuk semacam aje. Bila aku tanya, dia kata
kerja salon. Sakit jiwa aku!
“Tak mungkin. Gaji Abang Din pun tak mampu beli
benda tu.” Aku membandingkan gajinya dengan gaji Abang
Din. Tak mungkin gaji dia lebih tinggi daripada gaji Abang
Din. Abang Din punya keputusan SPM boleh tahan bagus. Aizat
pula... dia itukan bekas pelajar sekolah juvana? Mesti result dia
macam perangai budak yang ke sana juga. Teruk!
“Kan aku dah cakap, pandai cari tempat, tak adalah
mahal pun.” Dia berkata geram. Terketap-ketap gigi dia.
“Eleh, yalah tu.” Aku masih berasa curiga.
“Betullah. Kawan aku ada buat bisnes jual benda tu.
Dia order terus dari kilang. Bila dah dapat, aku belilah daripada
dia pulak. Biasanya aku dapat separuh harga sebab benda baru
keluar, diaorang akan buat sale habis-habisan. Kau tak puas
hati sangat ni kenapa?” soalnya tak puas hati.
Macam tak percaya pula aku.
“Mana awak dapat duit?” soalku curiga. Aku dengar dia
sudah mula mendengus.
“Ya Allah budak Melur ni. Ada chance jugak aku lipat
kat sini karang. Dah aku duduk KL sana takkanlah aku tak
bekerja? Duit gaji aku tiap-tiap bulan masuk sampai aku pun
naik pelik apa pasallah duit tu tak pandai-pandai nak keluar.”
Katanya.
Eh. Serius ke main-main dia ni? Takkanlah dia
sesenang itu. Budak sekolah juvana ada masa depan ke? Isy!
Bukan. Maksud aku, kerja apalah sangat dia tu? Duduk kat
rumah aku pun kerja dia goyang kaki saja. Mana dia nak bekerja.
Tapi yang peliknya, hampir setiap hari dia ke kedai
pak teh berbelanja. Dari mana datangnya duit tu? Walaupun
kadang-kadang dia membeli gula-gula dua tiga puluh sen, itu
juga dikira belanja.
“Puih! Teruk sungguh dia berlagak. Tipulah!” aku
masih tidak mahu mempercayainya.
“Aku curi. Puas?” soalnya keras. Terbelalak aku.
“Heeee. Jahatnya. Memang saya dah agak!” aku
menjelingnya. Buruk sungguh perangai. Dia bukannya mampu
pun.
“Kau ni. Aku lempang jugak kat sini karang. Bila aku
cakap aku beli kau tak percaya. Bila aku cakap aku curi kau
percaya pulak. Otak asyik fikir buruk saja pasal aku. Kaulah
orang paling negatif yang pernah aku jumpa dalam hidup aku.”
Marahnya.
Eh, dia beli ke curi sebenarnya ni?
“Betul ke awak beli?” soalku.
“Aku belilah! Nak curi apanya?” dia membentak.
Mungkin marah apabila aku tak percaya pada kata-katanya.
Yalah, siapa nak percaya? Kalau dia bekerja sedap dekat KL
sana, boleh juga aku percaya.
“Habis, kenapa tak pernah nampak awak pakai
handphone macam tu sepanjang awak duduk kat rumah?”
soalku geram. Memang tak pernah langsung aku nampak dia
pakai benda tu sepanjang dia tinggal di rumahku. Tidak pernah
aku dengar bunyi deringan telefon bimbitnya itu.
“Kau ingat, aku ni macam budak-budak ke nak
menayang merata-rata? Kau ingat, aku macam kau dengan
si Maria tu? Aku nak tunjuk kat kau buat apa? Kalau ya pun,
aku nak bermesej dengan siapa? Nak bergayut dengan siapa?
Kau pun bukannya ada telefon nak bergayut dengan aku.” Dia
menjelingku.
Eh, apa pasal dia target nak bergayut dengan aku
pulak?
“Bagilah saya satu. Nanti kita mesej-mesej eh?”
pujukku.
“Tiap-tiap bulan, kau bayarlah sendiri.” Katanya
selamba tanpa menjawab soalanku.
“Kena bayar ke?” soalku hampa. Ingatkan main
mesej-mesej, free je. Si Maria cakap tadi, mesej dekat Wechat
dan WhatsApp pun free aje.
“Internet. Nak bukak Instagram kau tu kena pakai
internet!” kata Aizat malas-malas. Bosan sangat agaknya
kena layan soalan budak yang kejakunan macam aku ni. Nak
buat macam mana? Memang sebelum ini aku belum pernah
menghadap benda-benda serba canggih begitu. Ingatkan dah
ada dalam handphone, maknanya terus boleh guna.
“Manalah saya tahu. Mahal ke internet tu?” soalku pula.
Dia sudah mendengus. Hahaha! Pedulilah.
“Enam puluh lapan tak silap aku kalau line Maxis.
Kalau pakai Celcom, lapan belas ringgit seminggu.” Jawabnya.
“Mahalnya.” Aku menggumam.
“Banyak itu pun kau kata mahal? Pelik aku.”
Mahallah tu bagi orang yang tak bekerja macam aku.
Semuanya disara abang dan abah. Aku tak perlu bekerja. Hanya
tunggu orang masuk meminang. Bukannya payah jadi Melur
pun.
“Kalau murah, awaklah bayar.” Aku menempelaknya.
“Semua aku nak kena tanggung. Sedaplah hidup kau.
Apa aje tujuan hidup kau kat muka bumi ni? Menyusahkan
hidup aku?” dia mendengus.
Hahaha. Tau pun hidup aku sedap kalau dia bayar.
“Memang.” Jawabku.
“Malas aku nak bergaduh dengan kau ni, Melur. Sakit
jiwa aku.” Dia mengomel geram. Eleh, selama ini dia yang
gemar cari gaduh dengan aku.
Tiba-tiba aku teringat sesuatu.
“Eh kejap. Awak ada S4, kan?” soalku. Sudah dapat aku
bayangkan muka terkejut Maria sebaik sahaja mendapat tahu
yang Aizat ada S4. Pembetulan, bukan Aizat tapi aku.
“Ye, kenapa?” jawabnya acuh tak acuh. Nampak sangat
yang dia dah tak nak layan aku.
“Bagi sayalah S4 tu...” kataku pula.
“Apa pasal pulak nak yang lagi mahal? Tak bersyukur
sungguh kau ni. Dah bagi betis nak paha. Alang-alang kau nak
paha, boleh aku bagi dengan kaki-kaki aku ni sekali,” katanya
sinis. Geram sungguh aku.
“Ala... bagi pinjam ajelah untuk besok. Sebab Maria tu
duduk tayang kat saya telefon dia. Dia cakap dia tak mampu
beli S4. Nanti boleh saya menayang dekat dia S4 tu. Nak tengok
reaksi dia. Mesti dia terkejut tengok saya ‘mampu’.” Kataku
selamba. Lama dia terdiam.
“Boleh tak?” soalku lagi. Kali ini dia sudah
menggaru-garu belakang telinganya.
“Kau ni macam budak-budaklah, Melur. Nak
menayang-nayang macam tu dekat orang. Bukan harta kau
pun.” Kutuk Aizat secara terang-terangan. Kurang ajar!
“Sebab itulah saya kata saya nak pinjam. Bukannya
saya nak buat hak sendiri pun. Saya pun sedar diri tau.” Aku
menghentamnya. Sikit-sikit dia nak memperlekehkan aku. Tak
faham betul aku.
“Kalau rosak, kau ganti balik.” Pesannya.
Cheh! Macamlah aku tak tahu. Tak payah pesan pun,
memang aku tak ada hati nak rosakkan barang semahal itu.
Dan, sekalipun jika aku ter...rosakkan telefon dia, tahulah aku
nak ganti balik. Atau... aku boleh merayu minta dimaafkan.
Hehehe. Benda mahal tu! Aku ambil upah buat hantaran dekat
rumah orang pun belum tentu lagi aku dapat beli S4 semahal
itu.
Atau... Aizat beli benda tu gunakan harta peninggalan
arwah mak long dan pak long? Aku ada dengar juga cerita pasal
harta yang dia dapat sewaktu mak dan ayahnya meninggal.
Terutamanya tanah. Tapi... aku tak pernahlah pula ambil tahu
tentang jumlah sebenar harta yang dia dapat.
“Hei, dengar tak ni?” dia memetik jari di depan
mukaku. Tersentak aku.
“Dengar...” jawabku.
“So?”
“Saya takkan berani nak rosakkan barang semahal itu.”
Kataku tidak lama kemudian.
“Malang tak berbau.” Balasnya dengan nada mendatar.
“Ya, saya tahu. Saya berhati-hatilah sikit nanti.
Janganlah nak risau sangat. Saya akan jaga sebaik mungkin.”
Bidasku pula.
“Aku bagi kau pinjam aje. Kau kena sedar diri.”
Pesannya dengan suara mengendur.
Yes! Padan muka kau Maria. Padan muka... rasalah kau
besok.

No comments:

Post a Comment