DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 12

Selesai bermesyuarat bersama Puan Amira,
Zenia kembali ke meja kerjanya. Walaupun tubuh masih terasa
sakit-sakit dan sengal, namun dia tetap menguatkan diri untuk
bergerak.
Lagipun tidak mungkin dia boleh menyambung cuti
sakit lebih lama, banyak kerja-kerja di pejabat yang masih
tertangguh. Kini pandangan Zenia tertumpu kepada sejambak
bunga mawar putih yang terletak elok di atas meja.
Aduhai, ini Datuk miang mana pula yang memberi
dia bunga? Bukan sekali dua dia menerima kiriman bunga di
pejabat, sudah banyak kali. Dan kebanyakannya datang daripada
rakan-rakan Mr. Joseph yang pernah hadir bermesyuarat di
syarikat mereka. Tak padan dengan tua, dah beristeri dua tiga,
masih nak menggatal lagi.
Kadangkala dia jadi tidak faham dengan sikap
sesetengah lelaki kaya-raya yang sibuk terkejarkan perempuan
lain. Apa mereka fikir segala-galanya boleh dipancing dengan
wang ringgit? Perempuan lain dia tidak tahulah, tapi dia
memang tidak pernah berminat mahu melayan.
“Ohoi, dapat bunga lagi ke mak cik?”
Zenia yang sedang membelek-belek kad kecil daripada
pengirim misteri itu mengangkat muka. Bibir dijuihkan kepada
Nadzirah.
“Tu la, ini entah daripada siapa pulak. Bukan nak tulis
nama ke apa.”
Nadzirah tertawa kecil dengan balasan dingin Zenia.
“Dulu kau pernah dapat daripada Mr. R, Encik Mimpi, Tuan
Tingkat Empat, kali ni daripada siapa pulak?”
“Entah. Yang ni cuma tulis ‘I will get you’, itu aje. Hesy,
seramlah aku dengan perangai diaorang ni. Bukannya tak tahu
aku dah kahwin!” Gerutu Zenia seraya mencampakkan bunga
tersebut ke atas meja. Kad kecil di tangan pula direnyukkan
geram.
“Untunglah jadi orang cantik macam kau Zen,
bersusun nak masuk line. Kalau aku ni cantik macam kau,
memang senang-senang aku boleh pilih bakal suami. Ambik
yang kaya-raya, handsome, bergaya, habis cerita.”
“Boleh bahagia ke kalau setakat kaya-raya Azie?
Merepek ajelah kau ni.” Komen Zenia seraya mengeluarkan
dokumen-dokumen dari fail yang dibawa ke bilik mesyuarat
sebentar tadi.
“Ya la, kalau kaya mesti hidup aku senang sikit. Tapi
tak naklah orang kaya yang tua, kurang-kurang kena handsome
dan muda macam Encik Darriz tu.”
Terdengarkan nama Darriz Imdad disebut-sebut
Nadzirah, Zenia tersenyum kelat. Memang dia tahu ramai yang
berangan-angan mahu menjadi wanita bertuah di sisi lelaki
seorang itu.
“Handsome ni bukan senang nak jaga beb, ramai
yang nak menghimpit. Esok-esok jangan kau yang menangis
tak berlagu sudahlah.” Balas Zenia mengusik. Melihat mulut
Nadzirah memuncung, dia tergelak pula.
“Tapi itulah Zen, aku ni tak selawa mana nak mengurat
dia. Pandang aku pun dia tak nak agaknya…” Luah Nadzirah
merendah diri. Teringatkan sesuatu, pantas dia mencuit lengan
Zenia.
“Eh, kau tahu cerita tak pasal Miss Erika?”
“Erika? Erika dari SMD Bank tu ke?” Tanya Zenia
inginkan kepastian.
Seingatnya mereka pernah bermesyuarat dengan
Erika beberapa kali sebelum ini. Memang cantik dan bergaya
orangnya sampaikan Badrul di jabatan mereka pun pernah gila
bayang.
“Haaa… Erika tu la!” Ujar Nadzirah separa teruja.
Dia yang duduk bertenggek di meja kerja Zenia
menundukkan sedikit tubuh. Kepala menoleh ke kiri dan
kanan. Tidak mahu ada kakitangan lain terdengar gosip yang
ingin dia sampaikan.
“Budak-budak ni cerita yang diaorang ternampak
Erika dating dengan Encik Darriz semalam dekat kafé bawah ni.
Bukan main mesra lagi diaorang tau. Lepas lunch sama-sama,
naik pulak ke bilik Encik Darriz. Kau rasa bos kita tu syok
dengan budak Erika tu ke?”
Zenia tersenyum seraya menggelengkan kepala.
“Kau tanya pendapat aku pasal ni? Entahlah Azie, aku
malas nak ambik port. Diaorang nak bercinta ke, nak bertunang
ke, nak kahwin ke, tak ada kena-mengena dengan aku. Dan aku
rasa kau tak payahlah nak sibuk-sibuk sangat Azie, nanti Encik
Darriz tuduh kau busybody. Nak?”
“Alah, aku cerita aje apa aku dengar dari mulut orang.”
“Encik Darriz tu bujang, Erika pun bujang, tak ada
masalah, kan? Cuma aku rasa kau orang ni yang jealous tak
bertempat.” Usik Zenia dengan tawa kecil.
“Hmm… memang pun, rasa macam dah putus harapan
ni. Bukan aku sorang, ramai yang berangan nak jadi girlfriend
Encik Darriz tu tau.”
Semakin besar tawa Zenia dengan balasan dari bibir
temannya itu. Kalaulah Nadzirah tahu yang Darriz Imdad ialah
abang kandung kepada bakal isteri adik iparnya, pasti Nadzirah
terkejut. Itu belum dia ceritakan tentang watak hero yang
dimainkan oleh Darriz Imdad ketika dia hampir dilanggar lori
tempoh hari. Kalau tidak, lagi angaulah agaknya!
“Dahlah, aku nak buat kerja ni. Kau ambik bunga ni,
letak dalam pasu dekat meja kau tu.”
“Aik? Kau bagi aku bunga ni Zen?”
“Ambiklah, aku pun nak buat apa simpan kat sini. Buat
semak aje.”
“Alahai, eksyen kau ya? Mentang-mentang selalu dapat
bunga, buat tak heran aje dengan bunga ni. Ini bukan murah
tau Zen, silap-silap harga dia dekat dua ratus ringgit.” Ujar
Nadzirah seraya membelek jambangan bunga yang diserahkan
Zenia.
Memang selama ini temannya itu akan menyedekahkan
bunga-bunga tersebut kepada kakitangan di jabatan mereka.
Boleh juga dijadikan hiasan di workstation masing-masing.
Terus harum mewangi Finance Department bagaikan bau di
kedai bunga.
“Dua ratus ke, tiga ratus ke, ada aku kisah?” Balas
Zenia dengan bibir terjuih tanda meluat.
“Aku tak nak terima bunga tu, so lebih baik aku bagi
pada orang lain, kan? Kalau tidak, ke tong sampah jugak
perginya.”
“Hah, okeylah kalau macam tu. Eh, lunch nanti nak
makan kat mana?”
“Kita tapau dekat tepi jalan tu okey tak? Aku tak
laratlah nak jalan jauh-jauh.”
“Okey, boleh jugak. Lagipun dekat situ murah sikit,
wallet aku dah nak kering dah ni.”
Zenia tersenyum dengan kata-kata Nadzirah. Mana
duit tak habis kalau temannya ini masih ketagih bershopping.
Belum sampai hujung bulan dah habis duit gaji. Dan selalunya
dia tidak pernah berkira soal wang ringgit dengan Nadzirah.
Jika Nadzirah mahu meminjam, dengan rela hati dia memberi.
“Okey, 12.30 nanti kita turun.”
“Orait. Eh, aku balik tempat aku dululah. Banyak kerja
tak siap lagi ni.”
Tersenyum Zenia apabila melihat Nadzirah
kelam-kabut meninggalkannya. Dan dia pula kembali memberi
tumpuan kepada tugasannya sendiri.
Tiba di ruang lobi, Zenia dan Nadzirah melangkah seiringan
menuju ke tangga untuk keluar dari bangunan pejabat tersebut.
Sambil berjalan, mulut mereka berdua tidak henti-henti
berbual. Kalau bersama Nadzirah, memang ada saja topik yang
ingin diperkatakan.
Sesekali terletus juga tawa besar di bibir Zenia apabila
mendengar jenaka Nadzirah. Temannya ini kalau masuk Raja
Lawak pun sesuai, silap-silap boleh jadi juara terus!
“Zenia.”
Suara garau yang menyapa pantas memalingkan
kepala Zenia ke sebelah kanan. Langkah terhenti dengan bibir
terketap rapat. Mata masih melirik kepada lelaki tampan yang
melangkah segak menghampirinya.
“Alamak, Encik Darriz sebut nama kau ke beb?” Bisik
Nadzirah dengan nada teruja.
Tidak sempat Zenia membalas, Darriz Imdad sudah
berdiri tegak di hadapannya dengan senyuman menawan.
Bukan dia saja-saja mahu memuji, tapi memang lelaki ini
sentiasa tampil kacak bergaya setiap masa.
“Err… Encik Darriz.” Tegurnya seraya menundukkan
sedikit kepala.
“You guys nak pergi mana? Lunch?”
“Ya Encik Darriz.” Balas Zenia dengan senyuman kelat.
Kalau tidak dibalas nanti apa pula kata ketuanya ini. Lagipun
Darriz Imdad memang telah menjadi wira yang menyelamatkan
dirinya beberapa hari yang lalu.
“How are you Zenia? Dah sihat?” Tanya Darriz Imdad
dengan anak mata jatuh ke lengan Zenia. Tapi hari ini Zenia
mengenakan kemeja lengan panjang dan dia tidak pasti
bagaimana keadaan calar-balar yang terpalit di kulit Zenia
tempoh hari.
“Err… I’m fine Encik Darriz, thanks.”
Darriz Imdad melirik senyuman seraya
menganggukkan kepalanya. Lega sedikit perasaannya apabila
melihat Zenia sudah kembali bertugas seperti biasa. Selama
beberapa hari ini sukar juga dia mahu menyorok kegelisahan
yang bermaharajalela di hati.
“Zenia!”
Satu suara garau yang menyapa teruja mengalihkan
pandangan Darriz Imdad ke kiri. Dan tatkala melihat seorang
lelaki separuh abad tersengih-sengih menghampiri mereka,
hati dicuit perasaan tidak enak. Bertambah tidak enak apabila
melihat sepasang mata itu begitu galak melorot ke wajah dan
tubuh Zenia.
“Oh, hai Datuk Abbas…” Semakin kelat senyuman di
bibir Zenia dengan kemunculan Datuk Abbas yang boleh tahan
merenyam itu. Memang pantang jika ada mesyuarat di Palaco
Group, lelaki ini pasti akan mencari peluang untuk bertemunya.
“Oh wow, you look great today. Warna pink ni sesuai
dengan kulit you Zenia. Stunning!”
‘Aduhai, dah mula ayat-ayat cinta dia tu!’ Gerutu Zenia
dalam hati.
Menyedari Darriz Imdad masih berdiri di hadapannya,
pantas dia memperkenalkan lelaki itu kepada Datuk Abbas.
Lagipun Datuk Abbas belum pernah bertemu dengan CFO baru
mereka ini.
“Datuk, kenalkan ini Encik Darriz Imdad. Now Encik
Darriz yang take over kerja-kerja Mr. Joseph.”
“Oh, jadi inilah Darriz Imdad? I’ve heard a lot of good
things about you.”
Dengan senyuman tawar, Darriz Imdad menyambut
huluran salam daripada lelaki bernama Datuk Abbas itu.
Kalau dilihat pada rupa, dia mengagak lelaki ini berusia dalam
lingkungan 50-an. Tubuh Datuk Abbas agak rendah dan gempal,
manakala rambut di kepalanya juga lebih banyak yang berwarna
putih. Tidaklah setampan mana untuk menggugat kesetiaan di
hati Zenia.
“Nice to meet you, Datuk.” Ujar Darriz Imdad sekadar
berbahasa. Nak bermesra lebih-lebih pun tidak guna kerana
mata Datuk Abbas asyik tertumpu kepada Zenia sahaja. Dia ini
umpama invisible man, seperti tidak wujud.
“Zenia, you nak ke mana ni? Lunch?”
“Err... ya Datuk.”
“Come, lunch dengan I. Ajak kawan you tu sekali.”
Pelawa Datuk Abbas bersungguh-sungguh. Anak mata masih
liar memerhati ke kulit putih mulus gadis muda di hadapannya
ini. Tergoda hatinya untuk ke sekian kali.
“Thanks Datuk, tapi sebenarnya we all ada hal lain ni.
Nak beli barang sikit.” Dalih Zenia dengan senyuman kelat.
“Beli barang? Okey jugak tu, I boleh bawa ke mana saja
you nak pergi. I panggilkan driver I ya.”
Pantas Zenia mengangkat sebelah tangan dengan
kepala tergeleng laju.
“Eh, tak payah Datuk. Betul, I ada hal dengan Nadzirah.
Lagipun I dah janji nak jumpa husband I lepas makan nanti.”
“Oh, how about dinner? Dah lama I ajak you keluar
dengan I, tapi you asyik jual mahal Zenia. Sampai bila you nak
berdolak-dalik dengan I ni?”
Tercengang Darriz Imdad apabila mendengar
pertanyaan Datuk Abbas. Ya Tuhan, lelaki jenis apa si tua ini?
Sudah tahu Zenia isteri orang, tapi masih tak jemu-jemu mahu
mencuba nasib? Entah kenapa darah panas mula menggelegak
di dada. Dari reaksi Zenia, dia yakin gadis itu tidak selesa dengan
kelakuan Datuk Abbas yang miang keladi.
Namun belum sempat Darriz Imdad membuka
mulut, bunyi hon kenderaan di ruang depan mengalihkan
perhatiannya. Mata teralih kepada kereta Honda berwarna
hitam yang sudah menjalar megah di drop off lobi. Dan dari
sini dia boleh melihat dengan jelas Erika melambai-lambai
kepadanya dari dalam kereta. Perasaan yang kacau-bilau di dada
dilepas dengan keluhan panjang. Pandangan kembali terhala
kepada Datuk Abbas, Nadzirah dan Zenia.
“Sorry guys, I have to go. Datuk, I’m looking forward
to see you again.” Ucapnya dengan nada sedikit serius. Sukar
untuk menyembunyikan rasa meluat yang berkepuk di dada.
Setelah meminta diri, langkah segera dihalakan ke
kereta Erika yang masih menanti. Demi Tuhan, dia terlalu geram
dengan sikap Datuk Abbas. Tapi demi hubungan profesional
dan pertalian korporat, tidak mudah untuk dia memarahi lelaki
tua itu begitu saja. Kalau terlalu mengikut emosi, silap-silap
kerjaya dia pula yang hancur musnah. Kasihan Zenia…
“Zen, tu Erika kan?”
Sempat pula Nadzirah berbisik dan menjadi spy di situ.
Walaupun tidak mahu menjadi paparazi percuma, tapi mata
Zenia terkerling juga kepada kereta Honda yang menjemput
Darriz Imdad sebentar tadi. Dan ya, memang kelihatan jelas
wajah ceria Erika yang duduk di bahagian pemandu. Namun
ketika kereta hitam itu bergerak perlahan, pandangannya saling
berlaga dengan renungan Darriz Imdad yang tajam. Tepat tidak
berkalih. Oh Tuhan… sekali lagi lelaki itu menghuru-harakan
perasaan di dada!
“Zenia?”
Debaran di dada Zenia padam serta-merta tatkala
telinga menangkap suara Datuk Abbas. Segera anak mata
kembali terhala kepada lelaki tua di hadapannya.
“Err… ya Datuk?”
“I tanya you tadi, kalau you dinner dengan I malam ni
boleh?”
Geli-geleman Zenia memandang senyuman menggoda
Datuk Abbas. Kalau dikirakan usia, lelaki ini boleh dianggap
seperti ayah. Terlalu tua untuk bergandingan dengan wanita
seusianya.
“Sorry Datuk, dah banyak kali I cakap I tak boleh
tunaikan permintaan Datuk. I’m somebody’s wife, tolong faham
keadaan I.” Balas Zenia sehabis lembut dan tertib.
“I faham, tapi tak salah kalau kita keluar makan-makan
atas urusan bisnes kan?”
Mencari helah, Zenia pura-pura menilik jam di tangan.
“I’m so sorry Datuk, I have to make a move. Takut
habis pulak waktu lunch. See you next time, bye.”
“But Zenia…”
Tanpa memberi peluang kepada Datuk Abbas terus
merayu, Zenia segera menarik lengan Nadzirah. Walaupun
si tua itu masih memanggil-manggil namanya, dia sengaja
memekakkan telinga. Takut hilang sabar nanti, ada kasut tumit
tinggi naik ke kepala!
“Zen, apahal Datuk Abbas tu miang sangat? Gelilah
aku!” Gerutu Nadzirah seraya memeluk kuat lengan Zenia.
Memang sebelum ini dia tahu ramai datuk-datuk cuba
untuk memburu perhatian Zenia, tapi dia tidak sangka mereka
bersungguh benar sampai ke tahap begitu. Merayu-rayu dengan
senyuman menggoda, geli-geleman dibuatnya!
“Haa… now you know. Sebab tu aku cakap aku tak
suka bunga-bunga tu semua, seramlah!”
“Hesy, serius tak boleh blah. Macam nak termuntah
aku dengar dia test ayat power dia tadi.” Nadzirah menunjuk
muka loya.
“Kalau Datuk tu rupa macam Encik Darriz, boleh
difikirkan lagi, kan? Ini muka macam kertas A4 kena renyuk je
aku tengok!”
Tergelak besar Zenia dengan jenaka Nadzirah yang
spontan meluncur dari bibir. “Cakap muka berkedut sudah, tak
payah nak samakan dengan kertas kena renyuk pulak. Kejam
sangat tu.”
“Eii… kau better hati-hati Zen, jangan sampai ada yang
berdendam. Risau jugak aku kalau Datuk tu obsess dengan kau.
Orang banyak duit ni macam-macam diaorang boleh buat tau.”
“Insya-Allah Azie. Selagi aku mampu, aku akan cuba
tolak diaorang tu baik-baik.”
“Eh, tapi ada satu benda aku tak puas hatilah Zen…”
“Hmm? Apa dia?” Soal Zenia terpinga kehairanan.
Nadzirah mengeluh dengan bibir memuncung ke
depan. Semakin erat dia memaut lengan Zenia yang berjalan
di sisinya.
“Ya la, kenapa mesti Encik Darriz tersangkut dengan
budak Erika tu? Melepas aku tahu tak? Orang depan mata ada
tak nak, sibuk nak kejarkan budak bank tu.”
Tersenyum Zenia dengan rungutan Nadzirah. Apalah
hak dia untuk memberi komen tentang hubungan antara Erika
dan Darriz Imdad. Itu semua bukan urusannya, bukan juga
urusan Nadzirah. Namun hati gagal menaji yang perasaan di
dada sentiasa berdebar setiap kali nama Darriz Imdad muncul
dalam fikiran.
Oh Tuhan, dia tidak mahu menanggung dosa begini!
Apa juga perasaan yang tercuit di hati perlu dipadamkan
serta-merta kerana dia milik Fakhry.
“Zen, kau dengar tak luahan hati aku ni?”
Zenia tersengih kelat kepada Nadzirah.
“Ya, aku dengar. Tapi aku rasa kau janganlah
mengharap yang bukan-bukan Azie, takut kau yang frust nanti.
Biarlah Encik Darriz tu nak pilih siapa pun, itu hak dia kan?”
“Eii… kau ni tak membantulah! At least bagilah
kata-kata semangat pada aku untuk rampas Encik Darriz tu!”
Balas Nadzirah dengan jari mengetip lengan Zenia. Menyeringai
temannya itu menahan kesakitan. Dan beberapa saat kemudian,
mereka sama-sama tertawa ceria.
“Cukup-cukuplah berangan pasal Encik Darriz tu Azie,
baliklah ke dunia realiti. Dah, kita makan nasi campur lagi
sedap. Perut aku dah berkeroncong ni.”
“Okey, tapi kalau Datuk Abbas belanja tadi mesti kita
merasa makan dekat hotel, kan? Sedapnya buffet spread dekat
hotel tu Zen…” Giat Nadzirah sekadar mengusik Zenia.
“Shut up! Kang kau pulak kena penyepit ketam!”
Nadzirah tertawa seraya menjelirkan lidah kepada
Zenia. Ceria juga perasaannya, hilang seketika perasaan hampa
setelah melihat Encik Darriz keluar bersama Erika sebentar
tadi.

No comments:

Post a Comment