DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 26 May 2016

Mr Secret Admirer - Bab 14

“Encik Redza!! Eh, kenapa tidur di sini?”
soal Zureen terperanjat apabila melihat Syed Redza terbaring
di atas lantai balkoni. Kerusi roda berada di sebelahnya.
Apa yang dah berlaku? Dia terjatuh ke?
Syed Redza terus sahaja membuka matanya sebaik
sahaja namanya diseru Zureen. Bulat matanya memandang
Zureen yang sedang melutut di hadapannya dengan wajah
bimbang.
“Encik Redza jatuh dari kerusi roda ke? Encik
Redza okey tak?” soal Zureen masih bimbang dan dicubanya
untuk membantu membangunkan Syed Redza.
Zureen tiba-tiba terfikir seketika. Adakah Syed
Redza jatuh dari kerusi roda sejak malam tadi? Jika benar, ini
bermakna semalaman dia terbaring di balkoni dengan cuaca
yang sejuk di waktu malam dan pagi ini.
Tapi kalau betul, kenapa pula dia tak panggil aku
atau mamanya? Hishh! Aku ni pun satu, macam mana dia
nak panggil kalau bangun pun tak boleh?
Entah kenapa, Zureen tiba-tiba diserang rasa
bersalah kerana sepatutnya dia mesti memastikan Syed Redza
telah tidur terlebih dahulu sebelum dia meninggalkan lelaki
itu. Ini tidak, sebaliknya dia yang tidur dahulu sedangkan
lelaki itu sedang di dalam kesulitan. Rasa kesal
menyelubungi dirinya ketika itu.
Atau.... dia baru sahaja terjatuh pagi ini. Jika benar,
maknanya Syed Redza memang berada di balkoni ini dan....
dia nampak semua yang aku buat pagi tadi!
Oh! No..... Umi, tolong Zureen!!
Aduh! Versi yang mana satu betul ni?? Hai la Syed
Redza cubalah kau beritahu aku mana satu yang betul! Getus
Zureen.
Syed Redza tidak memberi sebarang respons.
Sebaliknya matanya terus merenung Zureen. Perasaan
bimbang Zureen tadi telah berganti dengan perasaan takut
apabila dirinya ditenung dengan begitu tajam sekali.
Ya Allah.... Dia dah mula dah!
Zureen menepis jauh-jauh perasaan takut yang
mula menyelubungi dirinya. Jika dia terlalu hanyut dengan
perasaannya, dia bimbang tugasnya akan terganggu lagi.
Sedangkan tugasan penting sedang menanti untuk
dilaksanakan selepas ini.
Zureen cuba menarik Syed Redza untuk bangun.
Namun, kudrat wanitanya tidak mampu mengatasi berat
lelaki itu. Sebaliknya lengannya pula dicengkam dengan
begitu kuat sekali hingga terasa sakitnya.
“Aduh! Encik Redza.... sakitlah! Apa ni??” jerit
Zureen perlahan. Dia masih cuba mengawal suaranya kerana
bimbang pembantu-pembantu rumah banglo mewah itu
akan terdengar. Sebolehnya dia tidak mahu menimbulkan
sebarang kekecohan di awal pagi begini.
Jika diikutkan hatinya, mahu sahaja disepaknya
Syed Redza sebagai usaha untuk melepaskan cengkaman
tangan lelaki itu. Namun, Zureen sedar. Perkara itu tidak
boleh dilakukannya. Dia harus bersikap profesional dan tidak
boleh menyalahi etika terhadap pesakit. Dia telah diberi
latihan secukupnya bagaimana untuk mengatasi jika berlaku
situasi genting seperti ini.
Sabar... Zureen. Sabar!!
Akhirnya Zureen memutuskan untuk cuba
berlembut. Api tidak boleh dilawan dengan minyak. Makin
marak terbakar. Silap-silap dengan aku sekali rentung!
“Encik Redza.... saya minta maaf. Saya tahu saya
tak sepatutnya membiarkan Encik Redza sendirian tanpa
memeriksa keadaan kesihatan Encik Redza sebelum saya
masuk tidur malam tadi tapi saya sangka Encik Redza dah
tidur sebab Datin beritahu saya Encik Redza memang tidur
awal. So, sekali lagi saya minta maaf. Saya tahu saya tak
sepatutnya buat begitu. Insya-Allah, saya janji lepas ni saya
akan pastikan keadaan Encik Redza dah okey... then barulah
saya masuk tidur ya....” pujuk Zureen lembut seperti si ibu
yang sedang memujuk anaknya yang merajuk bergulingguling
di atas lantai sebab tak dapat permainan yang
dikehendaki.
Cengkaman tangan lelaki itu semakin kuat. Syed
Redza dilihatnya menghadiahkannya sebuah senyuman sinis.
Mungkin lucu mendengar pujukan Zureen.
Apa dia ingat aku ni budak-budak ke? Getus Syed
Redza.
“Kau ingat aku kisah ke kau nak tidur awal ke tak?”
soal Syed Redza sinis dengan tangannya masih tidak
melepaskan lengan Zureen.
“Habis tu, kenapa Encik nak marahkan saya? Apa
yang Encik Redza tak puas hati dengan saya? Lepaslah! Sakit
tau!” balas Zureen sambil berusaha untuk menarik lengannya
dari cengkaman tangan Syed Redza.
Tanpa diduga Zureen, Syed Redza terus sahaja
melepaskan cengkaman tangannya. Dengan spontan Zureen
menyingsing lengan uniformnya. Biru!
“Ini amaran awal dari aku. Kalau kau buat aku
marah lagi, lebih teruk dari ni aku boleh buat pada kau! Ingat
tu!” ucap Syed Redza dengan nada tegas.
Buat dia marah? Apa yang aku buat sampai dia
marah macam ni sekali? Bisik Zureen. Namun, segera ditepis
keluar kata-kata yang boleh buat hatinya menanah awal-awal
pagi begini.
Malas untuk memanjangkan provokasi awal pagi
ini, Zureen segera masuk semula ke bilik Syed Redza dan
mengemaskan semula keadaan bilik lelaki itu yang berselerak
tadi. Lelaki itu dibiarkan terus terbaring di atas lantai.
Pandailah kau nak bangun sendiri! Aku nak tolong
kau bangun, kau buat macam tu pula kat aku!
Hampir lima minit, Zureen selesai mengemas bilik
Syed Redza. Dari ekor mata Zureen, dia dapat melihat Syed
Redza masih terbaring di atas lantai balkoni. Tidak ubah
seperti mayat hidup!
Kadang-kadang aku tengok perangai dia
mengalahkan anak-anak buah aku! Baik-baik aku rasa
kasihan kat kau, dah tukar jadi rasa menyampah pula! Getus
Zureen.
Agak-agaknya, apalah masalah dia sampai boleh
berkelakuan macam ni sekali? Perangai dia sekarang ni
langsung tak sepadan dengan personaliti dirinya yang
sebenar. Masih terbayang gambar-gambarnya yang kacak
bergaya di album, sesuai dengan status dirinya sebagai
seorang anak datuk yang kaya raya. Sudahlah kaya raya,
pegang pula jawatan profesional!
Adakah semua ini angkara bekas tunangnya? Jika
ya, memang bodoh benarlah si Lisa tu! Dah dapat tunang
handsome lagi kaya raya pun tak tahu nak jaga. Hebat sangat
ke si Lisa tu sampai boleh buat mamat ni jadi ‘mental’
sampai macam ni sekali?
Hmmm.... tapi kalau macam nilah perangai mamat
ni, tak hairanlah kalau si Lisa tu tinggalkan dia! Kalau aku
pun boleh surrender! Eh, cop! Siapa yang tinggalkan siapa
ni? Lagi satu, sekarang ni aku tengah puji atau kutuk dia?
“Hishh... apa yang aku merapu ni?” Zureen seperti
baru tersedar yang fikirannya sudah jauh terbabas!
Tiba-tiba Zureen jadi serba salah pula. Takkanlah
dia nak biarkan Syed Redza terus terbaring di situ.
Ya Allah, kenapalah ada juga spesies manusia
macam ni kat dunia ni? Bisik Zureen geram. Akhirnya,
dengan hati yang agak berat, Zureen melangkah juga
menghampiri lelaki sejuk beku kepala batu itu.
I love my job.... I love my job..... I love my job....!!!
Dah macam berzikir pula. Satu motivasi untuk diri
sendiri sebenarnya!
“Encik Redza.... agak-agak sampai bila Encik Redza
nak terbaring kat sini?” tanya Zureen lembut tetapi dalam
nada penuh menyindir!
Lelaki itu telah membeku di situ! Tiada respons.
Tiada reaksi.
Zureen mula memikirkan bagaimana caranya
untuk memujuk Syed Redza kerana rawatan fisioterapi perlu
dijalankan segera.
“Encik Redza.... tolonglah jangan macam ni.
Banyak lagi tugas yang mesti saya buat untuk Syed Redza.
Hari ni Encik Redza harus menjalani rawatan fisioterapi.....”
Sebaik sahaja mendengar perkataan fisioterapi,
Syed Redza terus sahaja terduduk!
Hmmm.... boleh pun duduk! Menyusahkan aku aje
nak angkat dia tadi!
Sekali lagi Syed Redza merenung Zureen tajam. Air
mukanya menunjukkan seolah-olah dia begitu benci untuk
menjalani rawatan itu.
“Aku tak perlu buat fisioterapi!” balasnya pendek
dan kedengaran tegas.
“Encik Redza... Dr. Rashdan beritahu saya...”
“Aku kata aku tak nak buat rawatan tu!! Kau tak
faham bahasa ke??!!!” tengking Syed Redza hingga
membuatkan Zureen begitu terkejut sekali.
Astaghfirullah.... dah kenapalah lelaki ni? Zureen
mengurut dada. Memang dia sangat terkejut kerana suara
Syed Redza bagaikan halilintar.
Memang sahlah mamat ni mental!
“Encik Redza tak boleh macam ni. Macam mana
Encik Redza nak berjalan semula kalau tak nak buat
fisioterapi? Encik Redza tak teringin ke nak berjalan semula?
Kalau Encik Redza dah boleh berjalan, tak payahlah terperuk
lagi kat dalam bilik ni aje!”
“Aku lebih rela terperuk dalam bilik aku ni dari
tengok dunia luar yang penuh hipokrit tu! Aku dah bosan
buat fisioterapi ni..... cuba kau tengok keadaan aku, tetap tak
boleh berjalan kan? So, buat apa aku nak susah payah buang
masa tapi hasil tak ada!” balas Syed Redza seolah-olah
melepaskan kemarahan kepada Zureen.
Hmm... ni kes dah putus asalah ni!
“Memanglah rawatan fisioterapi ni perlukan masa.
Takkanlah buat sekali dua dah terus boleh berjalan. Encik
Redza tak boleh putus asa. Tanamkan azam dalam diri yang
Encik Redza nak berjalan semula. Bukan setakat berjalan,
tapi nak berlari pun boleh....” Zureen terus cuba memujuk.
Lelaki itu diam sebentar. Seolah-olah sedang
berfikir. Kemudian, dia kembali merenung Zureen dengan
senyuman yang.... entah Zureen pun tak tahu apa maksud
senyuman itu.
“Ooo boleh berjalan? Lepas tu boleh berlari-lari?
Dah puas berlari-lari lepas tu boleh berenang-renang
pulalah?” soal Syed Redza sinis.
“Ya.... kalau Encik Redza terus rajin buat
fisioterapi, bukan setakat tu saja, semua aktiviti Encik Redza
boleh buat....” jawab Zureen jujur tanpa menyedari dirinya
sedang disindir.
Melihat reaksi Syed Redza yang terus merenungnya
dengan senyuman sinis, macam senyum mengejek pun ada,
Zureen baru terperasan sesuatu.
Erkk??!! Kenapa aku rasa lain macam aje dengan
soalan mamat ni? Tidak semena-mena Zureen rasa tak sedap
hati.
Air muka Zureen tiba-tiba berubah. Pucat! Jika
ditoreh kulit mukanya sekarang ini, pasti tiada setitik darah
pun yang akan mengalir keluar. Ya Allah, adakah sangkaan
aku ni benar? Oh, no.... umi tolong Zureen!
Relaks Zureen.... relaks.... kau tak boleh gabra atau
panik! Lagi kau tunjukkan gabra kau tu, lagi senanglah
mamat tu nak serang hendap kau.... tapi macam mana aku
nak relaks kalau dah memang aku tersangat panik ni!
Kenapa lelaki sejuk beku kepala batu tu cakap
macam tu? Dia nampak ke apa yang aku buat pagi tadi? Kalau
ya, maknanya dia nampaklah aku berenang dengan tak
bertudung tadi?? OMG!!
Hishh! Aku rasa tak mungkin dia nampak apa yang
aku buat tadi sebab aku dah berpuluh-puluh kali check
balkoni bilik mamat tu dan aku memang pasti dia tak ada di
situ.... tapi kalau betul dia tak ada kat balkoni tu, apa pula
yang dibuatnya terbaring di balkoni tadi?
Ya Allah, betapa misterinya! Zureen terus bertekateki
sendirian.
“Apa pula yang kau termenung kat situ? Kau tak
payah nak termenung panjang dan susah-susah fikir. Semua
yang kau fikirkan tu memang betul. Tak payah nak peningpeningkan
kepala kau tu!” Dengan selamba Syed Redza
melemparkan kata-kata itu kerana dia tahu ketika itu gadis
itu sedang risau dan kebingungan. Dari air muka Zureen, dia
sudah dapat membaca apa yang sedang berlegar-legar dalam
fikiran gadis itu.
Dia tahu ke apa yang sedang aku fikir ni? Getus
Zureen.
Sememangnya Syed Redza dapat melihat apa yang
telah dilakukan oleh Zureen pagi tadi tanpa disedari oleh
gadis itu walaupun berkali-kali Zureen memerhatikan ke
arah balkoni, tempat di mana dia terbaring. Kedudukannya
yang agak tersorok telah menyebabkan gadis itu tidak dapat
melihat kelibat dirinya. Tambahan pula, pintu gelangsar dan
langsirnya sengaja ditarik dan ditutup rapat.
Syed Redza sendiri tidak menyangka dia telah dapat
menonton wayang percuma pagi-pagi lagi. Apa saja
perlakuan gadis itu dapat dilihatnya dengan jelas terutama
ketika Zureen berenang di kolam! Tidak disangkanya, dia
dapat melihat diri sebenar Zureen terutama mahkota gadis
itu, rambutnya yang panjang mengurai melepasi paras
bahunya yang selama ini disorok di sebalik tudungnya.
Begitu cekap sekali gadis itu berenang. Dari air mukanya
cukup menunjukkan betapa dia sangat gembira ketika itu.
Lepas bebas daripada sebarang tekanan!
Syed Redza seperti baru tersedar. Dia memang
tidak boleh menafikan, bahawa dia agak terpesona melihat
kejelitaan gadis kecil molek itu. Tanpa sebarang mekap
diconteng pada wajahnya, dia sudah cukup jelita. Very
natural beauty.
Malam tadi, semalaman dia sukar untuk
melelapkan mata. Puas dicubanya untuk tidur, namun
fikirannya terus melayang memikirkan kisah antara dirinya
dan bekas tunangnya, Lisa.
Akibat kepalanya yang berserabut, dia mengambil
keputusan untuk mengambil angin awal pagi. Sejak jam lima
pagi dia sudah duduk di balkoni cuba untuk menghilangkan
serabut kepalanya. Penat duduk di kerusi roda, dia cuba
untuk bangun dan berdiri kerana merasakan dirinya mampu
untuk berdiri dan berjalan sendiri tanpa bantuan tongkat.
Namun, sebaliknya... bedebuk! Seperti nangka busuk dia
terjatuh!
“Memang sia-sia aje buat rawatan itu dan ini. Aku
tetap juga macam ni! Nak berdiri dan berjalan sendiri pun
tak mampu! Arghhh!! ini semua sebab kau Lisa. Damn you!”
Akibat hatinya yang panas membara, terbakar dan
menggelegak menyebabkan cuaca sejuk di luar pun masih
tidak mampu menyejukkan hatinya. Rasa sejuk yang
menggigit langsung tidak dirasanya.
Perasaan putus asa telah menyebabkan dia
langsung tidak berusaha untuk bangun. Sebaliknya dia terus
terbaring di situ. Otaknya terus ligat berfikir bagaimana
untuk merubah keadaan dirinya itu. Sampai bila dia harus
berkeadaan begini? Sesekali hatinya seperti tersayat sembilu
apabila mengenangkan nasib dirinya.
Seawal jam tujuh pagi, tiba-tiba telinganya dapat
menangkap bunyi seperti orang sedang berlari. Dia cuba
membangunkan dirinya. Dengan penuh kepayahan, akhirnya
dia berjaya mengengsot ke satu sudut di balkoni biliknya. Dia
agak terkejut dan tidak percaya dengan apa yang dilihatnya.
Dia dapat melihat gadis kecil molek itu sedang
bersenam dan selepas itu berenang pula. Dia menyorokkan
dirinya dan menundukkan kepalanya setiap kali gadis itu
melihat ke arahnya. Sudah pasti gadis itu hendak
memastikan dirinya tidak berada di balkoni ketika itu.
Mungkin gadis itu tidak mahu peristiwa semalam berulang
lagi. Dirinya menjadi ralit melihat apa yang dilakukan
Zureen.
Sebaik sahaja terpandangkan Zureen awal pagi tadi,
dia tidak dapat membohongi dirinya, dia mula tertarik
kepada gadis comel itu. Pada masa yang sama entah kenapa
dia mula membandingkan bezakan antara bekas tunangnya
dengan gadis kecil molek itu kerana sebelum peristiwa hitam
itu berlaku, di matanya hanya Lisalah gadis terhebat. Ini
kerana hanya Lisa yang telah berjaya menawan hatinya. Syed
Redza tidak tahu kenapa kerana dia sememangnya tidak
mempunyai jawapan jika ditanya kenapa dia perlu
membandingkan antara diri Lisa dan Zureen.
Ternyata kedua-duanya sangat berbeza. Bagaikan
langit dan bumi. Kedua-duanya cantik dengan cara yang
tersendiri. Bekas tunangnya memang jelita tetapi dengan
mekap yang tebal seinci. Kalau tidak bermekap, entah
macam mana rupanya. Memang Syed Redza tidak pernah
melihat bekas tunangnya tanpa mekap tetapi Zureen pula
berbeza. Gadis itu dilihatnya begitu bersederhana sekali.
Tanpa perlu bersolek tebal, gadis itu tetap cantik jelita!
Cara gadis kecil molek itu membawa dirinya dalam
suasana baru juga sebenarnya agak mengagumkan hati
lelakinya. Gadis itu dilihatnya begitu yakin dan agak tegas.
Buktinya pelbagai kerenahnya di tangani gadis itu dengan
sabar. Satu lagi sikap Zureen yang agak ketara adalah dia
langsung tidak menunjukkan minat terhadap dirinya. Tidak
seperti gadis-gadis lain sebelum ini yang terang-terangan
tanpa segan silu cuba untuk mendekati dirinya
Akhirnya Syed Redza bertanya kepada dirinya
sendiri.
“Adakah aku sudah tertarik kepada gadis ini?”
Ego lelakinya yang tinggi dan disebabkan dendam
yang tersemat di sudut hatinya, dia cuba menidakkan
perasaannya itu.
“Ah! Tak mungkin aku boleh suka dengan budak ni
hanya dalam sehari!” protes hatinya sendiri.
Tetapi.... apa yang kau nak hairankan Syed Redza?
Jika Allah sudah membuka hati kau kembali, walau
melihatnya cuma sedetik, hati kau tetap akan suka
kepadanya!
Seperti ada satu suara halus yang membisikkan
kata-kata itu ke telinganya dan matanya pula tanpa berkelip
terus merenung jururawat peribadi yang telah berjaya
mengetuk hatinya itu!

No comments:

Post a Comment