“AISYAH!” laung Fasha kuat. Dia sedang
bersenang-lenang di atas sofa sambil menghadap majalah
Media Hiburan. Aktiviti yang sering dia lakukan di rumah.
Sepi... tiada jawapan.
“Aisyah!!!” Kali ini jeritan Fasha lagi kuat dari tadi.
Masih sama. Masih sepi tanpa jawapan.
Fasha merengus. Geram apabila panggilannya tidak
bersahut. Pantas majalah hiburan yang dibaca dicampak ke
atas meja. Dia bangun dengan tangan yang sudah dibawa ke
pinggang.
“Hei… mana pulak perginya ‘mangkuk ayun’ ni?
Dah mampus agaknya!” Fasha menggumam marah.
“Aisyah!!!” dengan sepenuh tenaga, Fasha menjerit.
Rasa bergegar anak tekaknya menjerit begitu rupa. Dah boleh
jadi Tarzan.
Sama seperti tadi, tiada jawapan juga. Buat penat
dia saja menjerit-jerit begitu. Sampai tercungap-cungap dia
jadinya.
Fasha hilang sabar. Bengkak hati apabila Aisyah yang
dipanggil-panggil tidak munculkan diri. Berbekalkan amarah
yang bersarang di hati, dia menghentak-hentak kaki menuju
ke bilik stor yang menempatkan Aisyah sejak lima tahun lalu.
“Hoi! Perempuan! Kau buat apa dekat dalam bilik tu?
Tak dengar ke aku panggil? Atau kau nak aku seret kau keluar
dari sarang kau ni baru kau nak ke...” Bebelannya terhenti
kala terpandang sekujur tubuh Aisyah yang sedang sujud
di atas sejadah. Dia mendengus. Padanlah tiada sahutan.
Rupanya Aisyah sedang bersolat. Dengan hati yang panas,
Fasha kembali semula ke ruang tamu. Tubuhnya yang kurus
itu dihempas atas sofa.
“Menyusahkan aku je!” rengusnya sambil tangan
kembali mencapai majalah yang dicampaknya tadi. Helaian
yang tergendala dibaca, diselak semula.
Fasha memang suka membaca. Tapi bukan baca
buku yang memberi ilmu, sebaliknya membaca majalahmajalah
hiburan yang menghidangkan cerita dunia artisartis
tempatan dan luar negara. Tanyalah gosip-gosip tentang
dunia hiburan, semua ada dalam poketnya. Sebab itulah
keputusan SPMnya hanya nyawa-nyawa ikan saja. Itu pun
nasib baik lepas untuk masuk ke kolej. Tapi sayang... semua
yang dibuatnya hangat-hangat tahi ayam. Akhirnya duduk
juga di rumah itu.
“Amboi, amboi… bukan main kau terlentang
atas sofa tu. Dasar anak dara pemalas!” suara Puan Ainin
kedengaran, menyebabkan Fasha memalingkan wajah kepada
maknya.
“Apa mak ni? Cakap Fas pemalas pulak.” Rungut
Fasha. Kesal dengan kata-kata maknya.
“Eh, eh… betul la apa yang mak cakapkan ni. Fas
tu memang pemalas! Tahu nak baca majalah hiburan aje.”
Tambah Puan Ainin sambil mengibas-gibas kipas tangan ke
muka. Biarpun ada kipas yang ligat berputar, namun itu tidak
mampu menyejukkan badannya. Dia dengan kipas tangan
sudah begitu sinonim sekali. Sehingga di Kampung Taman
Sedia ini dia dikenali sebagai Ainin Kipas Tangan.
“Hah… mana perempuan tu? Mak telefon Fas suruh
dia pergi jaga kedai, Fas ada beritahu dia tak?” Mata Puan
Ainin liar mencari kelibat Aisyah.
“Ada dalam bilik dia.”
“Dalam bilik? Hei… Fasha tak beritahu dia ke mak
suruh pergi gerai? Mak tak harap sangatlah budak Meon tu
jaga gerai. Entah-entah nanti, budak Meon tu curi duit kita
pulak. Fasha ni tak boleh harap betullah! Mak baru suruh
buat kerja sikit, itu pun tak boleh.” Puan Ainin merungut.
“Mak! Anak sedara kesayangan mak tu tengah solat.
Dia kan alim. Takkan mak nak suruh Fas heret dia keluar
dari bilik dia dengan telekung dia tu sekali. Nanti apa pula
pandangan orang kampung pada Fas? Buruk pula nama Fas
kena bahan orang kampung nanti.”
Tinggi suara Puan Ainin, tinggi lagi suara Fasha.
Langsung tak hormat kepada ibu kandungnya sendiri. Tapi
tak perlu dihairankan. Cara didikan Puan Ainin kepada
anak-anaknya memang begitu. Kena sangatlah dengan
perangainya juga. Dulu waktu hayat ibunya masih ada,
dia juga tidak pernah menghormati arwah ibunya. Selalu
melawan. Cuma arwah Ainon yang sering mendengar kata.
Disebabkan itulah arwah ibu mereka terlalu menyayangi
arwah Ainon dan membuatkan cemburunya kepada arwah
kakak kembarnya itu membuak-buak.
“Errr… Fas panggil Kak Aisyah ke tadi? Maaflah…
akak tengah solat tadi.” Aisyah yang baru muncul di ruang
tamu bersuara.
Fasha memalingkan wajah memandang Aisyah.
Meluat benar dia tengok muka Aisyah yang polos itu.
“Eeee… jangan nak berkakak sangatlah. Geli telinga
aku ni dengar!” bidas Fasha.
Aisyah hanya mendiamkan diri. Tidak menjawab.
“Hah… kau dah habis solat ke?” Kini giliran Puan
Ainin pula bersuara.
“Dah mak su.” Pendek Aisyah menjawab.
“Kalau macam tu, kau pergi jaga gerai. Aku tak
percaya sangat dekat budak Meon tu. Nanti habis duit gerai tu
dia curi. Orang miskin macam tu, kalau dah terdesak sangat
memang sanggup mencuri kat mana-mana pun.”
Begitulah sikap Puan Ainin. Suka buruk sangka
dengan orang. Aisyah tahu Meon datang daripada keluarga
yang susah, tetapi Meon seorang anak yang baik dan rajin.
Meon sanggup berhenti sekolah demi membantu Mak Kiah
mencari nafkah untuk mereka sekeluarga. Dia mempunyai
ramai adik. Dan sebagai seorang abang, dia rela berhenti
sekolah demi melihat kejayaan adik-adiknya. Kasihan Meon,
dalam usia yang baru lima belas tahun, dia sudah tahu
mencari duit untuk keluarga.
“Hoi! Kau menung apa lagi tu? Tak dengar ke aku
suruh kau pergi jaga gerai?” jerkah Puan Ainin setelah
melihat Aisyah masih tercegat di ruang tamu. Menggelegak
pula api kemarahannya.
Aisyah yang memang terkenal dengan latahnya
sudah termelatah. Terkejut mendengar jerkahan maha
nyaring Ainin.
“Oh mak kau pontianak menjerit!” Tak pasal-pasal
laju pula bibirnya meluahkan ayat itu sehingga membuatkan
mata Puan Ainin bagai hendak tersembul keluar
mendengarnya.
“Apa kau kata??? Aku pontianak?” Puan Ainin bangun
dari duduknya lalu menghampiri Aisyah. Telinga anak gadis
berusia dua puluh tahun itu dipulas.
“Aduh… sakit mak su. Ampun mak su. Aisyah tak
sengaja.” Pinta Aisyah kesakitan.
“Tahu pun sakit! Yang kau panggil aku pontianak tu
buat apa? Kau nak aku kerjakan kau ke?”
Aisyah menggeleng-geleng. Takut sungguh dia
dengan mak sunya. Dia tahu perangai mak su. Jika sudah
naik hantu, memang teruk dia dikerjakan. Dulu waktu dia
masih sekolah, memang selalu sangat dia makan penampar
dan pukul terajang mak su. Cuma sejak dia sudah meningkat
dewasa ni, mak su sudah kurang memukulnya. Jika ada pun,
hanya dicubit dan dipulas telinga saja.
Puan Ainin mendengus. Dia melepaskan telinga
Aisyah yang dipiat kuat.
“Dah! Pergi dari sini. Menyampah aku tengok muka
kau.” Halau Puan Ainin akhirnya.
Cepat-cepat Aisyah melangkah turun. Daripada
menjadi mangsa pukul mak sunya, baik dia segera ke gerai
buah. Basikal kesayangannya dikayuh. Hadiah terakhir
pemberian arwah abah. Ketika itu dia baru saja menyambut
ulang tahun kelahirannya yang ke-15 tahun. Abah hadiahkan
dia basikal warna pink itu untuk memudahkannya ke
sekolah. Sampai sekarang, basikal itu tetap menjadi harta
kesayangannya. Biarpun sudah lima tahun berlalu, namun
basikal tersebut tetap dijaga dengan baik.
Dalam Aisyah melayan perasaan, datang sebuah
kereta dari arah bertentangan. Menyebabkan basikal yang
Aisyah kayuh hilang pertimbangan dan dia terjatuh ke dalam
belukar di sebelah kiri.
TENGKU ISKANDAR tergamam. Begitu juga dengan Tengku
Haziq. Terkejut bukan main lagi. Terkaku mereka berdua
tanpa kata. Setelah sedar, laju Tengku Haziq melangkah
keluar. Dia yakin tadi mereka terlanggar seseorang.
Harap-haraplah orang yang dilanggar itu tidak mati atau
mengalami kecederaan teruk. Jika tidak, nahas mereka
dikerjakan orang kampung.
Tengku Haziq menghampiri seorang gadis.
Rambutnya yang panjang menutupi bahagian wajah
membuatkan Tengku Haziq tidak nampak wajah gadis
berbaju kurung merah jambu itu.
“Errr… cik, kami minta maaf. Awak tak apa-apa ke?”
tanya Tengku Haziq.
Aisyah berpaling mendengar suara yang menegurnya.
“Errr… tak, tak apa-apa.”
Terpegun Tengku Haziq melihat gadis di
hadapannya. Cantik! Wajah gadis kampung yang jauh lebih
jelita berbanding gadis-gadis kota. Tanpa solekan bertempek
di wajah, gadis itu tetap kelihatan cantik di matanya. Siapa
agaknya dia?
“Macam mana awak kayuh basikal? Tak nampak ke
kereta saya depan awak? Kalau saya terlanggar awak tadi,
macam mana? Menyusahkan!”
Suara kasar itu membuatkan Aisyah mendongak.
Tergamam dia buat seketika. Kacaknya lelaki yang berdiri di
hadapannya ketika ini. Walaupun wajahnya masam mencuka,
namun ketampanannya tetap terserlah. Daripada gaya lelaki
itu, Aisyah tahu dia bukan calang-calang orang. Tentu
golongan kaya-raya.
“Apa pandang-pandang? Awak tak puas hati dengan
saya ke?” jerkah Tengku Iskandar kepada Aisyah. Sakit hati
apabila mata gadis itu tidak berkerdip memandangnya.
Terus Aisyah menjatuhkan pandangan matanya.
Terkejut mendengar nada kasar yang lahir dari bibir lelaki
tampan itu. Harap muka saja yang kacak tetapi bahasa hancur!
Tengku Haziq yang kurang senang mendengar
nada bicara abang sepupunya itu menjeling geram. Tak
bolehkah Tengku Iskandar bercakap dalam nada yang elok?
Kenapa perlu menengking? Kasihan gadis itu. Terkulat-kulat
mendengar jerkahan Tengku Iskandar yang bongkak dan
sombong.
Aisyah terjerit kecil saat dia cuba bangun. Telapak
tangan kirinya terasa sakit dan pijar. Pantas dia menjatuhkan
pandangan mata pada telapak tangannya. Ada warna merah
mengalir keluar dari telapak tangannya ketika itu.
“Ya Allah, tangan awak tercedera tu.” Pantas Tengku
Haziq menegur. Terkejut melihat darah mengalir keluar dari
telapak tangan kiri si gadis.
Aisyah juga terkejut. Baru sekarang dia perasan
tangannya luka. Tentu luka semasa dia terjatuh tadi.
Maklumlah, tempat dia jatuh itu penuh dengan batu-batu
kecil.
“Mari kami hantar awak ke klinik,” sambung Tengku
Haziq lagi.
“Eh, takpe encik. Tak payah nak susah-susah. Nanti
saya sapu dengan minyak gamat je.” Tolak Aisyah penuh
sopan.
“Eh… mana boleh. Tangan awak berdarah tu. Mana
boleh sapu dengan minyak gamat aje. Kena jumpa doktor.
Manalah tahu kut terkena jangkitan kuman.”
Mendengar kata-kata Tengku Haziq kepada gadis itu,
membuatkan Tengku Iskandar mendengus. Adik sepupunya
itu terlalu baik melayan orang yang baru dikenali. Bosan!
Tanpa menunggu lama dia terus berlalu ke Toyota Harrier
putih miliknya. Tak betah nak berlama-lama di situ.
Pandangan Aisyah menyorot langkah panjang lelaki
bertubuh sasa itu. Wajahnya masam menunjukkan rasa tidak
suka. Serba salah Aisyah hendak menerima pelawaan lelaki
yang seorang lagi.
“Takpelah encik. Nanti saya pergi klinik sendiri.”
“Takpe cik. Tangan awak berdarah tu. Biar kami
yang bawa awak. Lagipun ini memang salah kami. Kami yang
tak nampak awak tadi.”
“Tapi…”
“Dahlah. Jangan risau. Kami bukannya orang jahat.
Kami ikhlas nak tolong awak. Marilah, kami hantar awak
pergi klinik dapatkan rawatan.”
Melihat kesungguhan lelaki tampan yang seorang
lagi itu membuatkan hati Aisyah mengalah. Dia mengangguk
dan cuba untuk bangun. Sakit di tangannya cukup menyengat
sehingga dia menjerit kesakitan. Laju Tengku Haziq
menghulur bantuan. Cuba untuk memimpin gadis yang
belum diketahui namanya itu. Lupa gadis itu bukan sesiapa
dengan dia. Sesuka hati saja dia nak pegang-pegang.
“Errr… takpe. Saya boleh bangun sendiri.” Tolak
Aisyah lembut. Digagahi diri untuk bangun tanpa bantuan
lelaki asing itu.
Tengku Haziq tersenyum nipis. Segan dengan
keterlanjuran sendiri. Merah padam wajahnya.
Masuk saja di dalam perut kereta, Aisyah mengambil
tempat duduk di bahagian belakang. Senyap saja dia. Apatah
lagi dia menyedari ada pandangan tajam memanah wajahnya
dari cermin pandang belakang, membuatkan dia jadi tidak
keruan.
“Saya Haziq. Yang ni abang sepupu saya Iskandar.”
Tengku Haziq memperkenalkan diri.
“Excuse me. Tengku Iskandar and Tengku Haziq!”
Laju Tengku Iskandar memperbetulkan nama yang disebut
sepupunya tadi. Biar perempuan kampung yang duduk di
belakang sana tahu siapa sebenarnya mereka. Bukan orang
sembarangan.
Aisyah telan air liur. Seperti yang dia jangkakan,
pasti lelaki berdua itu orang kaya. Ternyata, tekaannya tepat.
Cuma dia tak sangka mereka ini berketurunan kerabat yang
mempunyai awal nama ‘Tengku’. Padanlah wajah dua lelaki
itu hampir seiras. Rupanya mereka berdua mempunyai
pertalian darah.
Cuma... jika hendak dibandingkan antara Tengku
Haziq dan Tengku Iskandar, lelaki berwajah masam itu
lebih kacak berbanding Tengku Haziq. Wajah masamnya
tidak memudarkan ketampanannya walaupun sedikit. Sedar
lelaki itu memandangnya dengan tajam, cepat-cepat Aisyah
menjatuhkan pandangan matanya.
Tengku Haziq menjeling Tengku Iskandar dengan
ekor matanya saja. Kurang senang dengan lagak abang
sepupunya yang suka membangga diri. Kaya atau miskin
itu bukanlah ukuran hidup. Apa yang penting di mata Allah,
mereka ini semuanya sama.
“Nama awak siapa?” Ingin sekali Tengku Haziq
mengetahui nama si manis yang duduk di belakang.
Aisyah pandang Tengku Haziq sambil tersenyum
nipis.
“Siti Aisyah.”
“Hmmm… cantik nama awak. Macam nama isteri
Rasulullah, Siti Aisyah.”
Pujian itu disambut dengan senyuman di bibir
Aisyah. Memang namanya diambil sempena nama isteri
Rasulullah. Arwah emak begitu mengagumi peribadi Siti
Aisyah. Dan dia… biarpun tidak mampu menjadi sehebat Siti
Aisyah, namun biarlah namanya ini membawa dia kepada
peribadi mulia wanita itu.
Mencebik Tengku Iskandar mendengar pujian
Tengku Haziq kepada perempuan kampung di tempat
duduk belakang. Entah apalah yang adik sepupunya itu
kagum sangat dengan nama gadis kampung itu. Tak ada
yang menarik minatnya. Nama biasa-biasa saja. Nama orang
kampung. Tak semoden nama teman-teman wanitanya di
kota. Ada Sellina, Wanda, Kizzie, Caroline, Julia, Suzie dan
banyak lagi nama-nama glamor.
“TERIMA KASIH.” Ucap Aisyah setelah kembali semula ke
tempat di mana dia bertembung dengan Tengku Haziq dan
Tengku Iskandar.
Tengku Haziq tersenyum. “Sama-sama.”
Sepanjang dalam perjalanan tadi, Aisyah lebih
senang mendiamkan diri. Cuma sesekali apabila Tengku
Haziq yang ramah bertanyakan soalan kepadanya, barulah dia
menjawab. Jika tidak, dia lebih senang membisu. Apatah lagi
cara Tengku Iskandar memandangnya. Penuh dengan rasa
benci dan meluat.
“Maaflah sebab saya susahkan Tengku dengan
sepupu Tengku.”
“It’s okay Aisyah. Tak susah mana pun. Lagipun
memang kami yang salah. Tak patut pandu kereta laju-laju
dekat jalan sempit macam ni. Tak pasal-pasal awak terbabas
jatuh dalam belukar.”
Aisyah tersenyum nipis. Baik sungguh hati Tengku
Haziq. Lelaki itu juga jenis tidak kedekut. Tadi sewaktu dia
menerima rawatan di Klinik Dr. Mariana, Tengku Haziqlah
yang telah membayar segala kos rawatannya. Katanya dia
menolong dengan ikhlas.
Pon! Pon! Ponnn!!!
Bunyi hon yang memanjang mengejutkan Tengku
Haziq dan Aisyah. Pantas keduanya menoleh. Di dalam
perut kenderaan, wajah tegang Tengku Iskandar terserlah.
Barangkali marah kerana Tengku Haziq mengambil masa
bersembang dengan Aisyah.
“Okeylah Aisyah. Saya pergi dulu. Saya harap lain
kali kita dapat berjumpa lagi. Assalamualaikum.” Benar!
Hatinya memang berharap dapat berjumpa lagi dengan gadis
manis itu.
Aisyah mengangguk. “Waalaikumussalam.”
Aisyah masih berdiri di tempatnya. Tersenyum
dan membalas lambaian tangan Tengku Haziq. Baik benar
lelaki itu melayannya. Tak seperti lelaki seorang lagi.
Garang macam harimau. Seeloknya dia diberi nama ‘Tengku
Harimau’. Aisyah tersenyum. Rasa kelakar dengan nama yang
dicipta mindanya sendiri untuk Tengku Iskandar. Rasa begitu
sinonim nama itu dengan Tengku Iskandar yang sombong
dan bongkak!
No comments:
Post a Comment