DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 24 May 2016

Kerana Aku Untukmu - Bab 4

Suasana malam yang membosankan membawa
langkah Darriz Imdad menuju ke balkoni. Pintu gelangsar
dibuka dan kemudian dia terus menapak ke hujung ruang
sederhana luas tersebut. Pandangan dihalakan lurus ke
hadapan. Memandang pemandangan yang kelihatan begitu
indah bercahaya dalam kegelapan malam.
Dari tingkat 18 kondo ini, jambatan besar dengan
pelbagai kenderaan bergerak bagaikan begitu dekat. Seperti
mampu disentuh dengan capaian tangan. Tampak dekat, tetapi
sebenarnya jauh. Sama seperti situasi yang mengganggu
fikirannya kebelakangan ini. Bibir menghela keluhan panjang
sebelum rambut yang berselerak dihembus angin malam
dilurut perlahan.
Seketika fikiran menerawang kepada rentetan
perjalanan hidup yang masih begitu mudah dilalui. Jika diselak
satu per satu sejarah silamnya, pasti tidak akan bertemu dengan
sebarang kekurangan. Semuanya serba sempurna sejak dia
dilahirkan sehinggalah dia menginjak ke alam dewasa.
Dibesarkan dalam keluarga bahagia dan agak berada,
laluan untuk Darriz Imdad mengejar cita-cita lurus tanpa
sebarang halangan. Malahan dengan mudah dia mampu
menyambung pelajaran sehingga ke luar negara dengan
bantuan kewangan keluarganya.
Memang dia benar-benar bersyukur dengan rezeki
Allah yang banyak menyenangkan hidup mereka sekeluarga
biarpun kehilangan arwah ayah pada usia yang masih muda.
Bertahun-tahun menimba ilmu di negara orang, peluang yang
datang segera direbut tanpa ragu. Empat tahun dia berusaha
membina kerjaya di syarikat telekomunikasi gergasi yang
berpangkalan di New York.
Walaupun agak sukar mahu bersaing dengan manusia
dari negara Barat, namun potensinya dalam karier tetap
berkembang baik. Dan prestasi kerja yang mengagumkan itu
telah mendorong Pak Long untuk memujuk dia pulang ke
Malaysia. Pulang bukan dengan tangan kosong, sebaliknya
jawatan tinggi sebagai CFO di Palaco Group telah sedia menanti.
Kalau diikutkan hati, Darriz Imdad masih belum puas
menimba pengalaman di New York. Masih banyak pelajaran dan
selok-belok dunia korporat yang mahu dia kutip dan lalui di
sana. Namun rayuan bapa saudaranya begitu sukar ditolak. Dia
berasa serba salah apatah lagi permintaan Pak Long mendapat
sokongan padu daripada umi. Didesak dan terus didesak,
akhirnya dia terpaksa akur mengemas bagasi dan pulang ke
tanah air.
Darriz Imdad sedar yang umi mula berasa resah apabila
perpisahan antara mereka semakin berlarutan seperti tidak ada
penghujungnya. Hidup di negara orang selama hampir dua belas
tahun telah merenggangkan hubungan dia dengan keluarga
yang ditinggalkan di sini. Walaupun pahit, namun Darriz Imdad
akui yang hubungan dia bersama dua orang adik perempuannya
tidaklah serapat mana. Ada perasaan kekok dan kadangkala dia
berasa sedikit terasing setiap kali pulang ke rumah keluarganya
di Johor Bahru.
Mungkin kerana Jiha dan Diana masih mentah ketika
dia menyambung pelajaran ke luar negara. Dan sepanjang
tempoh itu, adik-adiknya juga sibuk dengan pelajaran di
Malaysia. Jarang mereka dapat meluangkan masa bersama. Dan
mungkin atas alasan itu, umi mahu dia pulang ke sini dan cuba
mengeratkan semula hubungan mereka tiga beradik. Dan ya,
dia masih berusaha sehingga kini.
Hilang perihal keluarga, kini fikiran Darriz Imdad
melayang pula kepada seulas nama. Nama yang kebelakangan
ini begitu kerap terlintas dalam benaknya. Kadangkala dia
sendiri berasa hairan kerana dalam kesibukan bekerja, masih
sempat nama itu menyelit di kepala.
Kala itu jugalah hati meronta-ronta mahu menatap
seraut wajah indah yang mengganggu. Sungguh, ini
pengalaman pertama dan langsung tidak sama dengan perasaan
ketika dia tertarik kepada Jennifer, Claudia mahupun Nicole
Parker. Memang berbeza.
Zenia... seulas nama yang membawa maksud tentang
sejenis bunga. Tetapi bunga berwarna apa, jenis apa, dia
sendiri tidak tahu. Cuma kerana gara-gara kemaruk benar
dengan Zenia, dia sempat melihat di internet erti nama yang
kedengaran agak unik itu. Nama yang boleh dikatakan cukup
sesuai dengan empunya diri.
Zenia memang cantik dipandang seperti indahnya
sekuntum bunga yang mekar. Dihiasi dengan sepasang mata
bulat bersinar, berkulit cerah dan rambut yang beralun bagaikan
sutera, fizikal gadis itu tampak sempurna. Namun Darriz Imdad
sedar yang Zenia seperti sengaja mahu mengelak bertembung
dengannya.
Pernah beberapa kali mereka terserempak di lobi lif,
namun Zenia cepat-cepat melarikan diri. Dia yakin dia tidak
ada menunjuk sebarang sikap buruk, tapi entah kenapa Zenia
seperti menjauhkan diri laksana dia ini lelaki yang punya kudis
satu badan!
Atau sebenarnya Zenia cuba membuktikan yang
dirinya berbeza daripada gadis-gadis lain? Bermain tarik tali?
Sengaja mahu jual mahal? Tapi dalam keadaan angau begini,
dia yakin dia sanggup membeli walau setinggi mana harga yang
menjadi tawaran.
Deringan telefon bimbit yang diletakkan di atas
meja di ruang tamu mengganggu lamunan Darriz Imdad.
Bayangan Zenia serta-merta lenyap. Kemudian dengan langkah
tergesa-gesa, dia segera mendapatkan telefon bimbit yang
masih berdering. Bibir menguntum senyuman kecil apabila
melihat sebaris nama di dada skrin yang menyala terang.
“Assalamualaikum umi…” Sapanya lembut.
“Waalaikumussalam Im. Im tengah buat apa tu?”
Ceria suara di hujung talian membuahkan senyuman
lebar di bibir Darriz Imdad. Tubuh dihenyak ke atas sofa L-Shape
yang menghadap terus ke TV yang masih terpasang.
“Tak ada buat apa umi, Im tengah relaks-relaks aje ni.
Umi pulak?”
“Hmm.. umi tak buat apa pun, baru lepas solat isyak.
Im dah solat ke?”
“Im dah solat tadi.” Balasnya jujur.
“Ada apa umi call malam-malam ni? Selalunya umi
rajin call Im waktu pagi sebelum Im masuk kerja.”
Kedengaran suara ibu kesayangannya ketawa kecil di
sebelah sana.
“Alah, tak ada apalah. Umi cuma nak tahu hujung
minggu ni Im balik JB ke tidak. Manalah tahu Im terlupa yang
Jiha nak bertunang Sabtu ni.”
Bibir Darriz Imdad terketap rapat. Memang dia hampir
terlupa tentang majlis pertunangan adik perempuannya itu.
Silapnya juga kerana dia sudah mengikat janji dengan Mr.
Chris untuk bermain golf pada hari yang sama. Walaupun
pertunangan Jiha penting, tapi appointment bersama Mr. Chris
juga tidak kurang pentingnya. Dia sentiasa perlu menjaga
hubungan baik dengan client-client syarikat mereka.
“Im. Im dengar tak apa umi cakap ni?”
“Dengar umi. Cuma Im rasa…” Tangan mula
naik menggaru kepala yang tidak gatal. Serba salah mahu
menerangkan kepada umi. Bimbang juga jika umi naik marah
nanti.
“Rasa apanya ni, Im? Kamu jangan macam-macam ya,
kan umi dah pesan dari minggu lepas lagi supaya Im freekan
masa hari Sabtu ni. Im lupa ke?”
“Bukan Im lupa umi, cuma Im ada kerja penting nak
settlekan dekat sini.”
Suara keluhan hampa si ibu yang kedengaran jelas di
telinga membuatkan Darriz Imdad sedikit resah. Serba salah
memikirkan perasaan umi yang pasti saja terkilan dengan
sikapnya.
“Kerja tu memang tanggungjawab kamu, tapi
pandai-pandailah balancekan dengan perkara yang lain
juga. Kalau Im tak balik, apa pulak umi nak jawab dengan
saudara-mara kita nanti? Lagipun kesian Jiha, dia dah beria-ia
sangat nak jumpa Im tau.”
“Im tahu umi. Tapi itulah, Sabtu ni Im betul-betul ada
hal.”
“Ada hal? Habis Jiha bertunang ni bukan hal penting
Kerana Aku Untukmu
40
ke Im?”
“Ya, hal penting jugak umi.” Keluh Darriz Imdad akur.
“Okey macam ni, kalau Im balik masa Jiha kahwin
nanti boleh tak umi? Im janji Im akan ambil cuti panjang.
Lagipun majlis bertunang ni umi buat kecil-kecilan aje, kan?”
“Apa dia? Berani Im cakap macam tu dengan umi?”
Berkerut wajah Darriz Imdad apabila mendengar suara
ibunya yang sudah naik ke ton agak tinggi. Jelas umi tidak
senang dengan apa yang dia katakan tadi.
“Im jangan nak bagi alasan lagi, umi tak suka. Apa yang
umi tahu, umi nak Im ada dekat rumah masa Jiha bertunang
nanti.”
“Umi…”
“No, Im kena ikut cakap umi faham tak? Lagipun umi
dah janji dengan Aunty Rose nak kenalkan Im dengan anak dia
si Roza tu.”
Terdengarkan kata-kata itu, Darriz Imdad mengeluh
bosan. Sampai bila umi mahu terus menjadi matchmaker
untuknya? Memang setiap kali begini, ada saja anak-anak dara
orang yang mahu diperkenalkan kepadanya. Dia belum berada
pada tahap terdesak mahu berbini!
“I knew it, Im dah agak yang umi mesti ada plan lain
untuk Im.”
“Tapi plan umi ni memang untuk kebaikan Im jugak,
kan?” Balas suara di corong telefon yang masih kedengaran
sedikit tegas.
“Baliklah, umi jamin kali ni Im mesti suka. Umi
dah tengok budaknya, memang cantik sangat. Kerja dia pun
bagus, memang sepadan dengan Im. Lagipun Roza tu daripada
keturunan baik-baik, memang umi berkenan sangat nak buat
dia jadi menantu umi.”
Darriz Imdad menarik nafas panjang. Cantik? Persepsi
cantik di mata umi dan di matanya sebagai seorang lelaki amat
berbeza. Bukan dia tidak pernah melihat calon-calon isteri
pilihan umi. Kebanyakannya punya keindahan paras rupa, tapi
perangai dan sikap tetap ke laut. Tergedik-gedik macam terkena
miang rebung. Meluat!
“Umi, kan Im dah cakap yang Im tak suka umi kenalkan
Im dengan mana-mana perempuan. Im belum bersedia lagi nak
kahwinlah.”
“Habis tu kalau umi tak kenalkan, bilanya Im nak
jumpa calon isteri yang sesuai? Im, Im sedar tak yang tahun
ni umur Im dah nak masuk 31 tahun? Peringkat umur macam
Im ni memang dah kena fikir pasal nak cari isteri, nak bina
keluarga. Tengok adik-adik Im yang lain, semua dah nak kahwin.
Umi risau sebab Im seorang saja yang tak dengar khabar nak
beristeri.”
Tersenyum Darriz Imdad dengan rungutan ibunya.
Lucu. Dia bakal mencecah usia 31 tahun beberapa bulan lagi,
dan dia tidak rasa perkara itu perlu dibimbangkan. Pada zaman
serba maju dan kesibukan membina kerjaya, agak normal pada
umur begitu dia masih bergelar lelaki bujang. Malahan kaum
perempuan juga ramai yang berkahwin lewat kerana mahu
mengukuhkan karier terlebih dahulu. Cuma umi bersikap
terlalu konservatif dalam hal-hal begini.
“Umi janganlah risau pasal ni. Insya-Allah bila dah
jumpa calon yang sesuai, Im sendiri akan kenalkan kepada umi.
Buat masa ni biarlah Im fokus pada karier Im dulu.”
“Sampai bila Im? Sampai bila umi kena tunggu Im
bawak calon menantu untuk umi?”
“Sabarlah umi, nanti Im usahakan ya.”
“Umi tahu Im senang-senang boleh cari calon isteri,
tapi Im jangan lupa semua syarat yang umi bagi dulu. Umi tak
nak Im tersalah pilih.”
Terlepas tawa kecil di bibir Darriz Imdad. Masakan dia
boleh lupa pesanan tegas umi kepada mereka adik-beradik dalam
soal mencari teman hidup. Pesanan itu sudah bertahun-tahun
disogokkan ke telinganya. Dan dia juga masih ingat betapa kelat
riak di wajah umi ketika dia memperkenalkan rakan-rakan
perempuan berbangsa Inggeris kepada umi beberapa tahun
yang lalu.
“Insya-Allah, Im ingat umi. Umi nak menantu
beragama Islam, anak dara dan perempuan Melayu terakhir,
kan?” Luahnya separa mengusik.
“Hah, tahu pun! Perempuan yang baik akan melahirkan
cucu-cucu yang baik untuk keturunan kita. Umi tak nak Im
tersalah pilih.”
“Yalah umi, umi jangan risau okey? Pandailah Im cari
nanti.”
“Hmm… so sekarang Im balik ke tidak time Jiha
bertunang nanti?”
“Ya... ya... Im balik umi.” Balas Darriz Imdad menutup
desakan demi desakan yang mungkin akan berlanjutan. Bukan
dia tidak kenal sikap uminya yang pasti akan berterusan
memaksa sehingga dia tunduk menurut perintah.
“Good, itu yang umi nak dengar. Nanti kalau nak
balik call umi, umi boleh suruh Pak Cik Zali jemput Im dekat
airport.”
Darriz Imdad sekadar mengiakan, akur seperti biasa.
Zenia membuka tudung saji yang menutup lauk-pauk yang
terhidang di atas meja makan. Cuma nasi saja sengaja dibiarkan
panas di dalam periuk di dapur. Dengan penuh hati-hati
Zenia menuang air kosong ke dalam gelas Fakhry yang kini
mengambil tempat duduk di kepala meja. Mata mengerling
sekilas, memandang riak wajah lelaki itu yang tidak banyak
berubah. Sentiasa menunjuk muka garang dan serius.
“I ambil nasi sekejap.” Ujarnya seraya berlalu ke
bahagian wet kitchen.
Beberapa minit kemudian, Zenia kembali ke meja
makan bersama semangkuk nasi yang masih berasap nipis.
Setelah meletakkan beberapa senduk nasi ke pinggan Fakhry,
dia menyenduk pula sedikit ke pinggannya. Kemudian perlahan
duduk dilabuhkan di hadapan Fakhry yang langsung tidak
mengangkat muka. Dan seperti selalu, suasana di meja makan
itu hening tanpa sebarang kemesraan.
Melihat gaya Fakhry yang sakan melaram, Zenia tahu
lelaki itu mahu keluar bersuka ria entah ke mana. Jika pada
awal perkahwinan dahulu, memang dia sering makan hati
dengan sikap Fakhry yang gemar berfoya-foya. Tapi sekarang
perasaan kecewa di hati bagaikan mati.
Sudah lelah dia cuba membawa hubungan ini ke haluan
yang lurus, namun tetap juga gagal. Jelaslah perkahwinan tanpa
asas cinta samalah seperti membina rumah tanpa tiang yang
kukuh. Bergoyang, goyah, lemah, dan pasti saja mudah runtuh.
“Esok kita balik rumah mama…”
Suara Fakhry menembusi telinga Zenia. Pandangan
tepat memandang ke wajah suaminya yang masih selamba
menyuap nasi ke mulut. Balik ke rumah mama? Seingatnya
sudah hampir setahun mereka tidak menjejakkan kaki ke sana
kerana Fakhry yang tidak suka. Selagi boleh dielak, selagi itulah
Fakhry akan menimbunkan pelbagai alasan kepada keluarga
mentuanya.
“Hmm… kenapa tiba-tiba aje nak balik sana? Mama tak
sihat?”
“She’s fine.”
“Then?”
“Farel nak bertunang.”
Kening Zenia bertaut dengan balasan Fakhry.
Terbayang-bayang wajah Farel yang memang seiras dengan
suaminya. Dua beradik itu boleh dikategorikan sebagai lelaki
yang punya rupa dan gaya, namun jelas sifat keduanya berbeza.
Adik Fakhry bernama Farel itu lebih gentleman dan santun bila
bersuara, berbeza dengan sikap Fakhry yang lebih kasar dan
dingin.
“Farel bertunang kat mana?” Tanya Zenia dengan
perasaan gusar. Selera makan terbantut serta-merta tatkala
terbayangkan lakonan yang perlu dia persembahkan di hadapan
keluarga Fakhry nanti. Letih!
“JB.”
“JB?”
Spontan Fakhry mengangkat muka, memandang raut
Zenia yang berkerut-kerut tanda kurang senang.
“Yang you buat muka ni apasal? JB aje kut, bukan
suruh pergi ke London!”
Terasa disindir, Zenia mencebikkan bibir. Memanglah
Johor Bahru itu tidak sejauh mana, tapi paling tidak mereka
terpaksa berlakon seperti pasangan bahagia selama beberapa
hari juga. Penat dia mahu berpura-pura begitu.
“Hmm… I tahulah JB, but still kita kena bermalam
dekat sana, kan?”
“Habis tu you tak nak pergi?”
“Boleh ke kalau I tak pergi?”
“You jangan nak mengada-ada boleh tak? Kalau
mama tanya nanti, apa I nak jawab?” Fakhry mendengus
geram. Anak mata mencerlung tajam kepada Zenia yang masih
mempamerkan riak kurang senang.
“Okay fine, I get it. You tak jerit-jerit pun I boleh
dengarlah.” Luah Zenia seraya menggelengkan kepala. Kesal
dengan sikap kurang sabar suaminya.
“Nanti masuk bilik I, kemaskan baju-baju I sekali. Esok
pagi kita gerak ke rumah mama dulu.”
Zenia hanya mendiamkan diri tanda akur. Lagipun
pilihan apa yang dia ada? Melihat lelaki itu membasuh tangan
dari bekas yang disediakan, perasaan Zenia tersentuh. Penat
saja dia memasak bermacam jenis lauk-pauk, sudahnya Fakhry
hanya menyentuh sedikit saja. Tak berbaloi sungguh dia
bersusah payah di dapur tadi.
“Hmm… you dah habis makan ke?”
“Lain kali cuba belajar masak sedap-sedap macam
mama, ini lauk entah apa you masak!”
Tergores hati Zenia dengan balasan kasar Fakhry. Dia
yakin masakan dia tidaklah seteruk mana, cuma Fakhry sengaja
mencari alasan untuk melukakan perasaannya. Namun kerana
sudah terbiasa, Zenia menelan bulat-bulat kutukan Fakhry.
Kalau asyik dipendam saja, boleh rosak jiwanya!
“You kata nak balik rumah mama pagi esok, kan?”
“You pekak ke? Tak dengar apa I cakap tadi?” Gerutu
Fakhry seraya mengelap tangan dengan tisu yang diletakkan
di atas meja. Sakit hati dengan sikap Zenia yang banyak mulut
mahu menyoal itu dan ini. Menceceh tak habis-habis!
“I dengar, cuma I nak tahu pagi you tu pukul berapa?
You cubalah balik awal sikit, I takut you tak boleh bangun esok.”
Tajam mata Fakhry menikam wajah Zenia yang sedikit
menunduk. Memang dia rasa tersindir dengan kata-kata dari
bibir gadis itu. Dengan perasaan berbuku, Fakhry bingkas
berdiri seraya menolak kasar kerusi yang didudukinya.
“You jangan nak membebel macam mak nenek! Dah
tahu hidup menumpang, ada hati nak ‘sekolah’kan orang
pulak!”
Pedih, namun Zenia tetap mendiamkan diri. Baran
Fakhry sudah boleh diramal olehnya, dan dia tidak mahu ada
cawan atau pinggan melayang pada waktu-waktu begini. Setakat
hari ini tangan Fakhry tidak pernah lagi singgah ke tubuhnya,
dan dia tidak berniat mahu mencabar sehingga ke tahap itu.
Dan apabila melihat Fakhry melangkah ke ruang depan, sempat
bibir meluah pesanan.
“Jangan lupa bawak kunci you Fakhry…”
Tidak ada sebarang balasan daripada Fakhry biarpun
dia yakin suaminya mendengar pesanan tersebut. Hati disapa
perasaan sayu. Tidak ada apa yang boleh dia lakukan jika Fakhry
benar-benar menganggap dirinya seperti tunggul kayu. Suara
ini tidak ingin didengar, wajah ini tidak ingin dipandang,
pendek kata dia memang tidak bernilai di mata Fakhry.
Nafas dihela panjang. Esok dia akan kembali
menjejakkan kaki di rumah besar itu. Betapa selama ini dia
berasa agak tenang kerana Fakhry lebih suka menjauhkan diri
daripada keluarganya sejak perkahwinan mereka. Bukan dia
tidak sukakan keluarga Fakhry, cuma dia berasa tidak sedap hati
untuk terus menjadi manusia hipokrit. Berpura-pura dilamun
cinta bersama Fakhry memang sesuatu yang amat memalukan!
Nasi di dalam pinggan direnung kosong. Sesenduk
nasi pun begitu payah untuk ditelan. Memang selera dia tidak
pernah terbuka apabila makan di rumah sendiri. Kalau di luar,
terasa juga laparnya. Mungkin kerana ruang ini bukanlah ruang
yang selesa untuk dirinya. Sebesar mana pun rumah yang
disediakan oleh Fakhry, dia tetap merasakan ruang ini begitu
sempit dan melemaskan. Tidak ada seri, tidak ada ceria yang
mampu memujuk hati yang sering terluka.
Tidak mengapalah, mungkin ini bahagian yang
diberikan oleh Allah kepadanya. Dia perlu terus bersabar
dan berdoa agar suatu hari nanti bahagia yang dicari akan
menjelma. Siapa tahu di sebalik keperitan ini ada hadiah yang
indah buatnya.
Tapi bila? Entah, dia tidak ada jawapannya.

No comments:

Post a Comment