DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday 25 May 2016

Samurai - Bab 12

“MELUR!!! Apa ni, dah maghrib tapi gelak
macam orang kena sampuk ni? Tak elok, tahu?” tegur mak
dengan suara yang meninggi.
Aku mengesat air mata yang berlinang akibat ketawa
yang melampau. Rasa-rasanya sudah hampir satu jam aku
ketawa begini. Setiap kali aku berhenti ketawa, pasti kata-kata
Aizat kembali berlegar dalam fikiran sehingga menyebabkan
aku ketawa semula.
Pekerjaan dia kelakar sangat pada pendapatku.
Bukanlah pekerjaan dia yang kelakar sebenarnya, tetapi
perwatakan dia dengan pekerjaan itu langsung tak ada
chemistry. Tapi rambut dia, ada! Ya Allah, lucunya. Macam
manalah Aizat melayan pelanggan dia?
“Mak! Mak tak tahu ke cerita sensasi?” soalku. Mak
pasti akan tergelak besar mengetahui apa sebenarnya pekerjaan
Aizat di KL sana.
“Cerita apa pula ni?” mak mula duduk di sebelahku.
“Pasal Aizat...” aku tergelak lagi. Tak boleh nak berhenti
rasanya. Kejang perut aku akibat berterusan gelak begini.
“Kenapa dengan dia?”
“Dia tu kerja kat salon waktu kat KL dulu. Kelakar kan
mak. Patutlah rambut dia beralun cantik. Tapi kan, tak kena
langsung gaya dia dengan kerja tu. Hahaha!” Aku tergelak lagi.
Bukan setakat aku, mak turut sama terbahak-bahak. Aku dah
agak, mak mesti gelak besar punya.
“Hahahahahahaha! Mana kamu dapat berita palsu tu?”
Mak menepuk lenganku. Mak pun sudah berair matanya akibat
gelak melampau. Terhenti gelakku sebaik saja mendengar
soalan mak.
“Palsu apanya? Dah dia sendiri beritahu tadi.” Aku
tergelak kembali. Rasa lucu masih bersisa.
“Dia berguraulah tu.” Mak sudah berhenti ketawa. Air
mata disapunya bersama sengihan dan gelengan kepala.
“Lah... betul ke?” soalku sedikit terkejut. Hampa.
Penat-penat aku ketawa, sekali aku kena tipu? Aku sedang
ketawakan kebodohan sendirilah ni?
“Betullah. Buat apa mak nak tipu? Mak dapat apa?”
sinis saja soalan mak.
“Habis tu, dia kerja apa kat sana?” soalku semakin
hairan. Jadi, betullah dia tipu aku? Kenapa aku ditipu? Apa dosa
semalam aku dengan dia?
“Tanyalah dia sendiri. Mak malas nak beritahu. Yang
pasti bukan kerja salon. Kamu dah kena tipu.” Mak ketawakan
aku. Mak berair mata sebab ketawakan aku dan bukannya Aizat?
Eeee, menyampah sungguh aku dengan Aizat ni!
“Sebab tanyalah, dia jawab macam tu. Siapalah
yang mengajar dia bergurau macam tu? Sakit betul hati ni.
Kita punyalah gelak sampai sesak nafas. Sekali, kena tipu
rupa-rupanya.” Aku mendengus. Memang akan aku sental
mulut dia lepas ni!
“Yang kamu tu... takkanlah boleh percaya? Perwatakan
macam tu kerja salon? Haih! Kamu ni agak-agaklah.” Sekali
lagi lenganku ditampar mak. Kemudian, mak kembali ketawa.
Mak ketawakan kebodohanku. Aku boleh nampak tu.
“Dah kerja salon aje yang nampak sesuai dengan
penampilan dia.” Aku jawab pula. Yalah, sesuailah dengan
rambut panjang dia.
“Sesuai dengan penampilan apa? Sesuai dengan rambut
dia aje, bukan perwatakan dan penampilan.” Mak membuat
pembetulan. Tegas.
Aku mencemik.
“ASSALAMUALAIKUM!” SATU suara yang dah lama aku
tunggu. Abang long dah balik. Ya, aku pasti. Memang along.
“Waalaikumussalam. Along!!!” jeritku lantas berlari
turun tangga dan menerpa ke arah abangku yang berdiri tercegat
di tanah. Dia memelukku dan badanku dipusing-pusingkannya.
Terasa macam Aishwarya Rai yang dipusing-pusingkan dalam
hujan oleh Shah Rukh Khan.
“Dah gemuk Melur... hahaha.” Itu ayat pertama dia
apabila jumpa dengan aku. Mana ada gemuk? Tak sampai lima
puluh kilo pun. Mungkin sebab dulu aku hanya seberat empat
puluh dua kilo agaknya. Mana taknya, hari-hari kumpul lemak
saja.
“Mana orang lain?” soal along yang mula
terjengul-jengul itu. Mencari kelibat orang di rumah lagaknya.
“Abah kat kebun. Mak dekat rumah mak teh. Abang
Din dengan alang kerja. Aizat, teman mak. Kat rumah tak ada
orang. Mak dengan Aizat balik kejap lagi agaknya.” Kataku
dengan laju. Penyampai maklumat yang berjaya rupa-rupanya
aku ni.
“Bagus ni... kita buat plan kenakan diaorang jom.” Ajak
along dengan muka nakalnya. Makin berisi abang sulungku ini.
Tentu ada berita baik dari KL.
“Plan apa? Karang mak marah.” Aku menolak. Yang
kena marahnya, aku. Bukannya along. Walaupun aku anak
bongsu yang selalu dimanjakan, tetapi muka aku jugalah yang
selalu tadah telinga dengan bebelan dan amarah mak abah.
Tambahan pula semenjak kemunculan Aizat dalam hidup kami.
Lagi kerap aku kena marah.
“Alah, sekali seumur hidup aje kena marah.” Along
berkata selamba.
“Itu Along. Melur setiap hari kena marah.” Aku
merungut.
“Alah, tak sporting la Melur ni. Sia-sia aje along bawa
balik hadiah.” Kutuk along. Dia mula buat muka. Merajuklah tu
apabila aku tak sekepala dengan dia. Tapi... ada hadiah? Tegak
kejap telinga mendengarnya.
“Yalah... nak kenakan macam mana?” soalku.
Mengalah. Biarlah. Aku dah lali kena marah setiap hari. Nak
buat macam mana? Dah along suka benar nak tengok aku kena
marah. Lagi satu, aku buat semua ni sebab hadiah.
“Macam ni... mula-mula selerakkan rumah ni sikit.
Melur pi menyorok bila along suruh. Bila diaorang melaung,
jangan jawab. Senyap aje. Lepas tu along keluar dari tempat
persembunyian along, buat-buat macam perompak...” cadang
along.
Lantas telinganya aku piat laju. Pedulilah jika dia
abang sulungku atau siapa. Idea dia memang nak makan kasut
sungguh.
“Along ni cari penyakitlah. Karang Aizat debik along.”
Aku merengus. Aku juga tak mahu didebik.
“Berbaloi kena debik kalau dapat tengok muka sesak
diaorang bila Melur hilang. Hahahaha! Mesti kelakar nanti.”
Along sudah ketawa jahat.
“Heeee, rasa bersalah pulaklah.” Aku masih terasa berat
hati hendak menurut rancangan khianat along ni. Bimbang
kalau dimarahi mak dan abah.
“Tak nak tolong sudahlah. Macam mana nak tahu
diaorang sayangkan Melur ke tak.” Along memancingku.
Tapi bukannya selalu, kan. Nak juga aku buat gempar.
Mak dan abah kan dah kurang bagi perhatian dekat aku
semenjak kemunculan Aizat. Aku nak tengok macam mana
reaksi mereka. Lagi satu... aku nak tahu apa perasaan Aizat bila
aku tiada. Adakah dia akan buat tak kisah aje macam selalu?
“Hmmm. Yalah.” Akhirnya aku bersetuju juga.
“On ni?” soal along dengan kening terangkatnya.
“On. Tapi Melur tak mahu kemas balik rumah yang
bersepah nanti, okey?”
“Okey. Along kemas.”
Tak ada apa-apa kut... risau juga hati ni. Bimbang kalau
Aizat buat tak tahu saja. Kenapa aku sibuk sangat nak tahu
perasaan dia? Argh! Aku tak suka kenangkan dia. Dahlah jahat!
Kenapa si jahat itu jugalah yang berada dalam fikiran aku?
“YA ALLAH. Apa dah jadi dengan rumah ni, Melur?” suara emak
bertempik dapat aku dengar sayup-sayup. Akhirnya mereka
balik juga.
Dah nak dekat sejam aku duduk menyorok di belakang
tong gas di dapur ni. Haraplah along keluar cepat. Aku sudah
tidak tahan mengantuk lagi. Malam tadi aku tidur lewat kerana
sibuk membelek akaun Instagram Aaron Aziz.
“Melur mana?” sayup-sayup suara Aizat menyoal.
Oh, dia bertanya tentang aku. Terharu sungguh...
“Melur!” semakin perlahan suara itu kedengaran.
Mataku juga semakin memberat. Along ni mana? Cepatlah
muncul. Aku mahu ke bilik dan tidur di atas katilku yang selesa
tu.
“Ada orang rompak ke? Mak de, mana Melur?” suara
Aizat semakin cemas. Atau aku sedang bermimpi? Mungkin
juga...
AKU BANGUN terpisat-pisat daripada tidurku. Aku tertidur
di atas kerusi di ruang tamu? Aku melihat sekeliling. Terkejut
juga aku melihat kelibat Aizat yang sedang duduk di atas kerusi
single, sedang berpeluk tubuh. Mata Aizat merenung dalam ke
wajahku. Wajahnya tegang saja. Aku bermimpi siang lagi ke?
Mana perginya along? Mana mak dan abah aku?
“Mak abah tak balik lagi?” soalku sambil cuba
membetulkan suara yang tenggelam timbul.
“Kalau dah tahu tidur mati, baik kau pergi tidur dalam
bilik!” tiba-tiba dia memarahiku.
Terkejut aku. Lain aku tanya, lain yang dia jawab.
Jawab dengan nada tidak elok pula tu. Aku tanya baik-baik,
jawablah baik-baik juga. Aku bangkit dari kerusi.
“Saya mimpi along balik.” Kataku sambil
meregang-regangkan tulang belakang.
“Kau anggap ni semua mimpi? Tololnya kau ni!” marah
Aizat lagi.
Aku dapat lihat dia mengacip-ngacipkan giginya.
Kenapa dia marah sangat? Tolol? Jahatnya mulut dia.
“Yang awak nak marah sangat ni kenapa?” Aku kembali
memarahinya.
“Isy laaa engkau ni, Melur! Nak kena penampar
beruang ke dengan aku? Kau ikut plan gila si along tu sekali
lagi memang aku ajar kau cukup-cukup. Seronoklah hati kau
kan buat semua orang risau!” jerkahan itu bergema-gema di
ruang tamu.
Aku semakin pelik dengan sikap garangnya. Along?
Aku dah agak, aku tak bermimpi yang along balik. Plan? Oh!
Plan gila along. Aku sudah ingat sekarang.
“Apa jadi? Saya mengantuk sangat tadi. Along kat
mana?” soalku yang tercari-cari kelibat Along.
“Hoi! Orang lain mengantuk, mengantuk juga. Tapi
tak adalah sampai tidur peluk tong gas. Bila orang menjerit
panggil nama kau, kau tak menyahut. Dengan si leader sekali
naik risau. Dahlah badan tu lebih kurang sama besar aje macam
tong gas, pakai pulak baju yang sama warna dengan tong gas!
Nasib mata aku ni tajam. Kalau tak... sampai ke maghriblah
aku tak jumpa kau. Mujur tak kena sorok dengan hantu susu.”
Panjang sekali bebelan Aizat. Eh?
“Nak marah pun marahlah. Jangan sampai melucah.”
Aku mendengus. Cepat-cepat aku bangkit. Ingin beredar.
“Melucah? Itu kira dah paling sopan aku bagi tu.
Melur, kalau kau tahu betapa risaunya aku tadi...” dia berkata,
membuatkan aku terhenti melangkah.
“Saya tak suruh pun awak risau.” Aku merengus.
Terkejut sebenarnya. Risau ke macam tu? Orang risau pasti
akan cakap elok-elok. Tak adalah marah-marah macam dia.
“Kau ingat, nak risau ni kena bersuruh?” soalnya sinis.
Aku bercekak pinggang menghadapnya. Bahagia
sebenarnya apabila tahu dia risau. Tapi tak naklah layankan
sangat sebab dia marah-marah macam tu.
“Saya...” belum sempat aku menghabiskan kata, suara
along kedengaran.
“Bangun pun budak bertuah ni!” Along muncul di
muka pintu. Tangan penuh dengan beg plastik. Mata along
lebam.
“Along, kenapa mata ni?” Aku menyentuh mata along
dengan jari telunjuk. Laju along menepis tanganku sambil
mengaduh sakit.
“Aku tumbuk.” Aizat berkata selamba.
Aku sudah terbelalak melihat along dan Aizat silih
berganti. Wajah Aizat sangat tenang manakala along sudah
tersengih-sengih.
“Hesy! Awak ni kenapa?” Aku mencekak baju Aizat
dan menggoncang-goncangkan badannya bagaikan seorang
gengster mencekak baju mangsa buli. Aku paling pantang
apabila ada yang membuli keluargaku. Aizat mendengus.
Tanganku ditarik dari mencekak bajunya.
“Kau tu dah kenapa? Aku ingatkan dia perompak. Aku
ingat dia buat bukan-bukan pada kau.” Tegas Aizat.
Aku kehilangan kata-kata. Adakah ini bermakna dia
risau dan sayangkan aku?
“Hab... habis tu takkanlah awak tak kenal along saya.”
Aku tergagap-gagap jadinya.
“Along pakai penutup muka.” Along menyampuk.
Kali ini aku meluku kepala abangku. Dia terkekek-kekek
ketawa. Sakit sungguh hati aku. Tak padan dengan mata dah
biru. Nak aku tambah lagi agaknya.
“Along ni sengaja cari penyakit!” marahku.
“Kau pun cari penyakit juga! Sekali lagi kau buat kerja
bodoh macam tu, memang aku lempang kau!” Aku pula yang
dimarahi Aizat. Aku cuma ikut plan along sahaja.
Along mengangkat ibu jarinya. Sengaja nak
memadankan muka aku. Memang aku menyesal ikut idea dia.
Aizat mendengus. Dia pergi begitu saja tanpa pamitan.
“Dia risau sangat kat Melur tadi.” Kata Along sebaik
sahaja Aizat menghilang.
“Mana hadiah? Ni semua sebab nakkan hadiah alonglah
ni. Kan teruk Melur kena marah!” Aku merungut. Along
tergelak lucu.
“Along dah letak dalam bilik Melur.” Kata Along.
Seketika kemudian, dia tergelak semula. Entah apa yang lucu,
aku pun tak tahu.
“Tak payah nak gelak. Dahlah rupa hodoh. Dah macam
panda, Melur tengok.” Aku mengutuk.
Along gelak bertambah kuat. Ada chance kena sampuk
dengan hantu ni karang.
“Pandalah comel.” Katanya bersahaja. Perasannya!

No comments:

Post a Comment