DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab 19

QISTINA terpaku dalam duduknya. Seluruh
tubuhnya dirasakan kaku dan membeku. Dia pantas mendongak
dan memalingkan wajahnya ke arah Ian Iskandar dan ternyata
lelaki itu juga sedang merenungnya tajam. Bagai ada sesuatu
yang ingin disampaikan lelaki itu melalui pandangan matanya.
Adakah ini semua sekadar kebetulan? Betulkah apa yang
ditangkap telinga Qistina sebentar tadi?
Jurunikah sebentar tadi menyebut nama Ian Iskandar
bin Idris Mansor. Ian Iskandar bin Idris Mansor? Mengapa nama
ayah Ian Iskandar sama dengan nama ayah Remy? Selama ini dia
menyangkakan yang nama sebenar Ian ialah Ian bin Iskandar.
‘Bodohnya aku! Kenapa aku tak pernah tanya nama
penuhnya?’ Qistina memerlukan penjelasan. Telinganya tidak
mampu mendengar apa-apa lagi. Semuanya dirasakan bak
angin lalu.
Ian Iskandar menghampiri Qistina. Ian Iskandar tahu
Qistina dapat meneka apa yang selama ini terbuku dalam
hatinya. Dia dapat melihat dengan jelas reaksi Qistina sebentar
tadi. Dia hanya berharap Qistina dapat bersabar dan tidak
menyerangnya sehingga mereka pulang ke rumah.
Tangan dihulurkan. Qistina tidak menyambutnya. Dia
masih terpinga-pinga. Sudah selesai ke lafaz ijab dan kabul?
“Qistina,” bisik Ian Iskandar perlahan. “Saya akan
jelaskan semuanya nanti. Sekarang, sambut tangan saya dulu.”
Iman Elena yang duduk bersebelahan Qistina menguis
lengan Qistina. Qistina tersentak dan akhirnya menyambut
huluran tangan Ian Iskandar. Dia mengucup tangan suaminya
itu untuk kali pertama. Rasa keliru berbaur rasa syahdu yang
amat sangat. Ian Iskandar kemudian mengucup dahi isterinya
itu. Hangat. Lama. Penuh rasa kasih. Kemudian bibir Ian
Iskandar mendarat pula di kedua-dua pipi Qistina. Qistina
terkedu.
“That’s enough, Ian. You’ll have plenty of time for
that later!” Suara garau Muhammad Mikail, suami Iman Elena
merangkap pengapit Ian Iskandar berseloroh.
Terasa darah menyerbu ke muka Qistina. Malu dia
diusik begitu. Ian Iskandar hanya menyengih. Ian Iskandar
sengaja berlambat-lambat menyarungkan cincin di jari manis
Qistina kerana mahu berlama memegang tangan gadis itu yang
terasa begitu sejuk sekali. Selepas semuanya berakhir, Iman
Elena memeluk dan mencium pipi Qistina. Gembira.
Sungguh ringkas majlis akad nikah mereka namun ia
amat bermakna. Walaupun tiada Timah, Mak Esah, Pak Atan
serta ahli keluarganya yang lain, Qistina tetap rasa bersyukur.
Kini dia sudah bergelar isteri kepada seorang lelaki yang
dicintainya. Dia kini menjadi hak Ian Iskandar sepenuhnya.
Papanya kini sudah tiada hak lagi untuk menentukan masa
depannya. Qistina berasa sangat lega.
Namun perasaan bercampur baur yang dirasakan
sebentar tadi masih menyelubungi dirinya. Apakah penjelasan
yang bakal didengarinya daripada Ian Iskandar?
Iman Elena mengajak Qistina meninggalkan masjid.
Sebuah resepsi ringkas telah dirancangkan di rumah Puan
Mariam untuk tetamu yang hadir untuk majlis akad nikah
tadi. Ketika Qistina melangkah keluar dari pintu masjid, dia
mendengar namanya disapa dari belakang. Dia memalingkan
tubuhnya dan tersenyum melihat Dr. Ilyas Khan.
“Ilyas, you came!” Gembira Qistina melihat sahabatnya
itu. “Alone?” Qistina bertanya sambil matanya meliar mencari
kelibat seseorang.
Dr. Ilyas Khan mengangguk.
“Told you I wouldn’t miss your wedding for the world,
right? And yes I came alone. After what Fatma did to you, I’m
not going to take her back that easily!” Jelas Dr. Ilyas Khan.
Qistina menggelengkan kepalanya. Memanglah bahu
dia sakit diperlakukan Dr. Fatma Ali, tetapi sikit pun dia tidak
menyimpan dendam terhadap bekas tunang Dr. Ilyas Khan itu.
“Ilyas, you know I don’t hold a grudge against her. I
just want you to be happy.”
“I know… and I’m so lucky to have you as my
friend,” ikhlas Dr. Ilyas Khan menyuarakan isi hatinya. Qistina
tersenyum lagi.
“Come, shall we? You’re coming for the reception,
right?”
“Of course! I’ll see you soon. You’d better go, Qistina.
Ian is waiting for you. He has been frowning all the while I’m
talking to you!” Dr. Ilyas tergelak. Ian Iskandar nampaknya
masih bersikap cemburu walaupun Qistina telah sah menjadi
miliknya.
Qistina mengangguk dan meninggalkan Dr. Ilyas
Khan. Dari jauh, dia melihat Ian Iskandar sedang bersandar di
tepi keretanya sambil menyilang tangan ke dada. Santai dan
amat seksi.
Pandangan mata Ian Iskandar tidak berganjak dari
wajah isterinya itu. Dengan perlahan, kerutan di dahinya
dan ketegangan pada wajahnya mula hilang. Keayuan serta
kejelitaan isterinya itu mendamaikan jiwanya. Pandai betul
adiknya Iman Elena menyolek wajah Qistina. Dia seolah-olah
terpukau dengan wajah isterinya itu. Langsung tidak dapat
mengalihkan pandangan matanya.
Isterinya? Ya... Akhirnya gadis di hadapannya kini
telah selamat menjadi isterinya. Isterinya! Istilah yang begitu
bermakna sekali. Syukur Ya Allah atas anugerah yang terindah
ini.
Qistina semakin hampir dengan kereta Ian Iskandar.
Gelabah dia melihat cara Ian Iskandar mengamati dirinya dari
kepala hingga ke kaki. Langkah Qistina terhenti di hadapan Ian
Iskandar. Dia tidak tahu apa yang perlu diperkatakan kepada
suaminya itu yang masih terpaku memandangnya. Mereka
saling berpandangan. Qistina menggigit bibirnya. Resah dia
menanti Ian Iskandar memulakan bicara.
Iman Elena dan suaminya yang berdiri tidak jauh
daripada pasangan pengantin baru itu saling berpandangan.
Masing-masing seakan bertanya apa yang sedang terjadi antara
Ian Iskandar dengan Qistina. Muhammad Mikail berdehem.
Terangkat bahu Qistina. Terkejut dia. Ketika melihat riak wajah
Iman Elena dan suaminya, Qistina pantas tunduk. Malu dia
ditangkap begitu.
“Shall we go now? The sooner we leave, the faster both
of you can begin on your honeymoon!” Muhammad Mikail
berseloroh.
Iman Elena mencubit perut suaminya ketika melihat
wajah Qistina yang merona merah. Muhammad Mikail sudah
tergelak besar. Ian Iskandar menolak bahu adik iparnya
itu, namun senyuman nakal terukir pada wajahnya. Makin
bertambah besar ketawa Muhammad Mikail.
Ian Iskandar menarik perlahan lengan Qistina dan
membukakan pintu kereta. Qistina menurut. Ian Iskandar
mengambil tempat dan mula memandu keluar dari kawasan
masjid. Sekejap-sekejap, dia mengilas pandang kepada Qistina
yang duduk di sebelahnya, masih membisu.
“Ina cantik sangat hari ni.” Perlahan Ian Iskandar
bersuara.
Dari tadi lagi dia ingin memuji kecantikan Qistina,
tetapi dia kehilangan kata-kata apabila pertama kali melihat
Qistina sebelum bertolak ke masjid tadi. Qistina kelihatan
berseri-seri dengan senyuman yang tidak lekang di bibir, seolaholah
hari inilah hari yang paling bahagia bagi dirinya.
Qistina menoleh.
“Terima kasih,” jawab Qistina ringkas.
Ian Iskandar pun apa kurangnya? Pertama kali melihat
Ian Iskandar serba lengkap dengan persalinan baju Melayunya,
Qistina hampir ternganga. Rasanya dia tidak pernah melihat Ian
Iskandar setampan dan sesegak itu. Reaksi Puan Mariam pun
begitu. Sehingga mengalir air matanya melihat Ian Iskandar
mengenakan persalinan baju Melayu dan selepas itu Qistina
pula kelihatan indah dan cukup jelita di matanya.
Suasana kembali sepi.
“Saya tahu apa yang Ina fikirkan. Sabar ya. Saya akan
jelaskan semuanya nanti...”
Qistina tidak membalas. Mengangguk pun tidak,
menggeleng pun tidak. Ian Iskandar mengeluh. Dia tidak tahu
apa yang sedang difikirkan Qistina ketika ini.
Setibanya di rumah, Ian Iskandar memegang kemas
tangan Qistina dan membawanya masuk ke dalam rumah.
Walaupun tetamu sudah mula hadir dan memenuhi ruang
tamu, Ian Iskandar menarik Qistina masuk hingga ke dalam
bilik Puan Mariam. Puan Mariam telah sedia duduk di atas
kerusi roda, dengan niat untuk menyertai majlis resepsi untuk
anak dan menantunya itu. Walaupun dia kesal kesihatannya
tidak mengizinkannya menghadiri majlis akad nikah anak
lelakinya, namun dia tetap bersyukur dapat menyaksikan Ian
Iskandar membawa pulang menantunya itu.
Naseem keluar dari bilik Puan Mariam sambil
mengukirkan senyuman kepada Qistina. Dia turut merasa
gembira dengan penyatuan majikannya bersama gadis itu.
“Mummy, ni Ian bawak balik menantu mummy.”
Qistina berlutut di sebelah kerusi roda Puan Mariam
lalu menyalami dan mengucup tangan ibu mentuanya yang
amat disayanginya itu. Puan Mariam pula memeluk erat Qistina
dan mencium dahi menantu baharunya. Mata mereka berdua
mula berkaca. Tanpa sebarang bicara, Puan Mariam mengusap
penuh kasih kepala Qistina. Qistina hanya memandang dengan
perasaan yang cukup sebak dan terharu.
“Qistina, Ian…” Puan Mariam memanggil. Ian Iskandar
pula merapati ibunya.
“Mummy gembira sangat hari ni. Ian, mummy nak
Ian jaga Ina baik-baik dan cintailah dia sepenuh hati. Jujur
dan setialah kepadanya seorang. Cuma dia! Setiap kali Ian rasa
nak curang pada Ina, ingatlah pada mummy dan macam mana
perasaan mummy bila daddy Ian curang pada mummy dulu,”
pesan Puan Mariam kepada anaknya.
Qistina semakin terharu. Kata-kata Puan Mariam
mengingatkannya kembali kata-kata Iman Elena kepadanya
baru-baru ini.
“Mummy, Ian janji yang Ian akan hanya mencintai
Qistina seorang dan hanya dia saja ada dalam hati Ian.”
Qistina menoleh ke arah Ian Iskandar. Air matanya
yang jernih, mengalir perlahan ke pipi. Kesungguhan Ian
Iskandar mengucapkan kata-kata janji di hadapan Puan Mariam
meruntun jiwanya. Ian Iskandar menyeka lembut air mata
isterinya itu. Pandangan matanya redup dan penuh dengan
cinta.
“Qistina,” Puan Mariam memanggil. Qistina
mengalihkan pandangannya.
“Saya, mummy?” Serak suara Qistina.
“Mummy percaya Ina boleh bahagiakan Ian. Sentiasa
jaga nama baik dan maruah suami. Bersabarlah dengannya
sebab Ian ni kadang-kadang susah nak handle. Tengok jelah
cemburu dia pada Ina dengan Dr. Ilyas selama ni.” Puan Mariam
menjeling ke arah Ian Iskandar. Masam wajah Ian Iskandar
apabila Puan Mariam menyindirnya. Qistina tersenyum.
“Which reminds me, mummy perlu ucapkan terima
kasih kepada Dr. Ilyas sebab dah jalankan rancangan mummy
dengan baik sekali.”
Qistina dan Ian Iskandar saling berbalas pandang.
Tidak mengerti apa yang dimaksudkan Puan Mariam. Akhirnya
Ian Iskandar bertanya.
“Rancangan apa?”
“Mummylah yang minta Dr. Ilyas rapat dengan Ina.
Saja je nak buat Ian cemburu. Mummy rasa, Ian ni terlampau
lambat nak ambil tindakan. You were too slow for my liking!
Bila Ian rasa tercabar dengan kehadiran Dr. Ilyas, barulah
terkocoh-kocoh nak cuba dapatkan Ina. Takut terlepas, kan?”
Ian Iskandar pada mulanya merasa terkejut dengan
pengakuan Puan Mariam itu. Namun dengan perlahan, dia
mula tersenyum.
“Mummy ni... Sebab mummylah Ian hampir-hampir
jadi gila, tau! Takut Ina ni terlepas ke tangan si Ilyas tu. Sampai
hati mummy buat Ian macam tu…”
Puan Mariam ketawa senang. Qistina masih terpingapinga
di situ. Tiba-tiba meragui keikhlasan Dr. Ilyas Khan
dalam menjalinkan ikatan persahabatan dengannya. Sekiranya
tidak diminta Puan Mariam, adakah Dr. Ilyas Khan masih sudi
berkawan dengannya?
“Ina, kenapa sayang?” Soal Puan Mariam apabila
melihat riak wajah Qistina yang sedikit berubah. Qistina
menggelengkan kepalanya. Ini persoalan yang boleh ditanyakan
secara terus kepada Dr. Ilyas Khan nanti.
“Takde apa-apa mummy.”
“Jom. Masa untuk melayani tetamu kita,” ajak
Puan Mariam. Qistina dan Ian Iskandar bingkas bangun dari
kedudukan mereka. Ian Iskandar menolak kerusi roda Puan
Mariam menuju ke ruang tamu.
Tidak ramai tetamu yang hadir. Hanya saudara terdekat
serta kenalan yang rapat sahaja. Namun kelibat jururawat
Natalie Brown tidak kelihatan. Qistina difahamkan dia telah
pun meletakkan jawatannya pada hari Jumaat yang lalu dan
mulai hari Isnin nanti, jururawat lain pula akan mula bertugas.
Qistina mengesyaki Natalie Brown meletakkan
jawatannya kerana tidak sanggup melihat Ian Iskandar menjadi
suaminya. Namun kerana Natalie Brown tidak pernah mahu
bertegur sapa, apatah lagi berbual dengannya, maka sukar
untuk Qistina menanyakan sebab mengapa dia meletakkan
jawatannya sebagai jururawat peribadi Puan Mariam.
Iman Elena memperkenalkan Qistina kepada saudara
mara sebelah ibunya yang begitu mesra dan ramah menerima
kehadiran Qistina di dalam keluarga Puan Mariam. Ian Iskandar
hanya memerhati dari jauh, sambil melayan para tetamu yang
hadir. Qistina sempat juga berbual dengan rakan sekelasnya
dari universiti, Keith Anderson yang ditemuinya di luar
Restoran Teratai, pada malam Ian Iskandar melamar Qistina
buat pertama kalinya. Seronok Qistina mendengar cerita Keith
Anderson tentang perkembangan rakan-rakan mereka ketika di
universiti dulu.
Tidak lama selepas itu, Ian Iskandar melihat Qistina
menghampiri Dr. Ilyas Khan. Wajah Qistina kini berubah
serius. Ian Iskandar tidak dapat mendengar apa yang dibualkan
mereka.
“Ilyas, madam told me about her plan to get Ian
and me together, and apparently you were also involved in
it?” Perlahan suara Qistina bertanya. Dia mahu mendengar
daripada Dr. Ilyas Khan sendiri tentang kemusykilan yang
melanda hatinya. Dr. Ilyas Khan tersengih meleret. Keningnya
dijongket-jongketkan.
“Hmmm… the plan worked, didn’t it?” Dr. Ilyas Khan
melihat wajah Qistina yang masih serius dan pantas menelan
senyumannya.
“What’s wrong, Qistina? Why the long face? You should
be happy.” Risau dia melihat Qistina begitu.
“So, it was all a plan? You never really wanted to be
friends with me?” Qistina meluahkan keraguan hatinya. Dr.
Ilyas Khan tersentak. Dia pantas menidakkan kata-kata Qistina
itu.
“Qistina, you know that’s not true! Yes, I asked you
out because madam wanted me to but I didn’t know we would
get along so well! You have to believe me. I’m so glad to have
known you and call you my friend!” Bersungguh-sungguh Dr.
Ilyas Khan cuba meyakinkan Qistina. Qistina telah menjadi
rakannya yang sangat baik dan dia tidak sanggup kehilangan
Qistina sebagai temannya.
Qistina masih merasa ragu-ragu. Hari ini sahaja, sudah
dua kejutan diterimanya. Satu mengenai nama penuh Ian
Iskandar dan keduanya pula, tentang rancangan Puan Mariam
yang melibatkan Dr. Ilyas Khan. Dia benar-benar keliru.
Dr. Ilyas Khan yang melihat Qistina masih diam beriaia
memberi penjelasan. Lama-kelamaan hati Qistina mula
mempercayai ketulusan dan keikhlasan Dr. Ilyas Khan dalam
menghulurkan salam persahabatan kepadanya. Tiada ragu-ragu
lagi. Lega Dr. Ilyas Khan.
Selama dua jam yang berikutnya, Qistina dan Ian
Iskandar melayan para tetamu sehinggalah tetamu yang
terakhir meninggalkan rumah itu.
Dalam fikiran Qistina, kini tinggal satu lagi kejutan
yang masih perlu diselesaikan. Qistina tidak akan berasa puas
selagi segala persoalannya ketika di dalam masjid tadi belum
berjawab.
Qistina memeluk Iman Elena ketika meminta diri
untuk naik ke atas. Kakinya terasa sangat lenguh kerana
berdiri terlalu lama hari ini. Dia mahu berehat sebentar. Dia
mengucapkan terima kasih dengan setulus hatinya atas segala
pertolongan Iman Elena bagi menjayakan majlis hari ini. Iman
Elena terharu mendengar kata-kata Qistina. Dia membalas
pelukan kakak iparnya itu.
Seperti biasa, Qistina menyalami dan mencium tangan
Puan Mariam. Dan dengan lemah Qistina menaiki tangga untuk
memasuki bilik tidurnya. Bunyi loceng pintu yang menandakan
kehadiran seseorang di luar rumah tidak dihiraukannya. Dia
perlukan masa untuk bersendirian seketika.
Pintu biliknya dibuka. Qistina terlopong. Matanya liar
memerhatikan keadaan biliknya yang kembali kepada keadaan
asal ketika mula menjejakkan kaki ke dalam bilik ini dahulu.
Barang-barangnya di atas meja solek semua tiada. Tangannya
membuka almari dan sehelai bajunya pun tiada di dalamnya.
Matanya melilau mencari Blackberry yang diletakkan di atas
meja kecil di tepi katil. Pun tiada.
Qistina terpinga-pinga sendirian. Mana pergi semua
barang-barangnya?
“Apa Ina buat kat dalam bilik ni?” Qistina pantas
memalingkan tubuhnya apabila mendengar suara Ian Iskandar
agak hampir di belakangnya. Entah bila suaminya muncul pun
dia tidak tahu. Langsung tidak menyedari dirinya diekori. Ian
Iskandar berjalan merapati Qistina di tengah-tengah bilik.
“Mana pergi barang Ina semua?” Soalan Ian Iskandar
dijawab dengan soalannya sendiri.
Mata Qistina masih meliar memandang ke
sekelilingnya. Ian Iskandar tersenyum. Tampan betul apabila
lelaki itu senyum begitu. Qistina mula merasa tidak tentu arah.
“Kat dalam bilik Inalah…” Jawab Ian Iskandar meleret.
Dahi Qistina berkerut.
“Yelah… patutnya dalam bilik Inalah ni… tapi kenapa
takde pulak?” Qistina masih belum mengerti sepenuhnya
maksud di sebalik kata-kata Ian Iskandar tadi.
Ian Iskandar mengusap pipi isterinya itu. Kini dia
bebas melakukan segala kehendak hatinya tanpa perlu berfikir
panjang lagi. Qistina adalah halal di sisinya. Qistina menarik
nafas. Sentuhan lembut di pipinya membuat dirinya rasa
disayangi. Dia membiarkan sahaja Ian Iskandar mengusap dan
membelai pipinya. Dia suka, walaupun degupan jantungnya
sudah mula memecut laju.
‘Hai! Tak faham lagi isteri aku ni rupanya…’
“Bilik Ina bukan di sini lagilah, sayang... Bilik Ina, bilik
Ian juga… bilik kita. Mestilah barang Ina semua dah masuk
dalam bilik kita! Naseem yang alihkan masa kita kat masjid tadi.
Emm, bilik Ian lagi besar daripada bilik Ina ni… jadi Ian rasa
kita berdua akan lagi selesa kat sana.”
Qistina terkedu lalu terus tunduk. Malu dia dengan
kebodohan sendiri. Dan malu mendengar Ian Iskandar
memanggilnya sayang untuk kali kedua dalam sejarah
perkenalan mereka. Ian Iskandar menongkat dagu Qistina agar
bertentangan mata dengannya. Wajah Qistina yang semakin
memerah ditatap dengan penuh rasa kasih. Tentu isterinya itu
berasa malu kerana perlu berkongsi bilik dengannya mulai dari
hari ini.
“Ina nak cari apa dalam bilik ni?” Suara Ian Iskandar
masih lembut.
“Err… Ina cari Blackberry Ina. Nak tengok kalau-kalau
ada mesej daripada Timah je…”
“Daripada Timah ke, daripada Khairul?” Ian Iskandar
menduga. Qistina menjeling suaminya itu.
‘Tak habis-habis dengan sifat cemburunya tu.’
“Daripada Timahlah… takde maknanya Ina nak dapat
mesej daripada Abang Khairul.”
Ian Iskandar tersenyum puas walaupun tidak berapa
suka dengan panggilan abang yang digunakan untuk si Khairul
itu.
“Blackberry Ina ada kat dalam bilik kita. Tapi, boleh tak
Ina check kejap lagi. Sekarang ni, ada orang nak jumpa Ina kat
bawah. Kita turun, ya.”
Qistina mengangguk. “Ada tetamu lagi ke?”
“Hmmm… ni tetamu istimewa.”
“Tetamu istimewa?”
“Ha’ah. Ina, kalau Ina suka dengan tetamu ni, saya nak
hadiah.” Ian Iskandar tersenyum kecil. Qistina mengerutkan
dahinya.
“Hadiah? Hadiah apa?”
“Sesuatu yang dah lama saya nak sangat daripada Ina
sejak dulu lagi.” Redup pandangan mata Ian Iskandar.
Qistina membalas pandangan Ian Iskandar dan cuba
memahami maksud kata-kata Ian Iskandar. Qistina tertanyatanya
sendiri dalam hati. Apa yang Ian Iskandar nak sebenarnya
ni? Adakah dia maksudkan malam pertama mereka? Qistina
mula merasa cuak dan sangat-sangat malu. Terus dia tunduk.
Ian Iskandar ketawa kecil melihat reaksi Qistina. Dia
merapati Qistina dan berbisik ke telinganya.
“I meant a kiss from you, sayang… Ina fikir apa?” Ian
Iskandar tidak habis-habis mengusik isterinya.
Terus Qistina melangut dan memandang Ian Iskandar
yang masih dengan senyuman nakalnya. Tanpa berfikir, laju
sahaja tangan Qistina mencubit perut Ian Iskandar. Wajahnya
semakin terbakar. Panas dirasakannya.
‘Pandai dia nak usik aku, ya? Bukan main lagi…’
Tawa Ian Iskandar terletus. Dibawanya Qistina merapati
tubuhnya dan dipeluknya kejap. Qistina terkesima berada
dalam pelukan suaminya buat pertama kali. Hangat dakapan
lelaki itu. Sehangat asmara yang dirasakan sedang membara di
dalam sanubarinya. Qistina mengangkat tangan dan merangkul
pinggang Ian Iskandar, sekali gus membalas pelukan suaminya.
Untuk seketika, Qistina melabuhkan pipinya di
sebalik jantung suaminya itu. Degupan jantung Ian Iskandar
mendamaikan. Sekuntum senyuman terukir di bibir merah
Qistina. Ian Iskandar mengucup kepala Qistina yang dibaluti
tudung itu. Dia benar-benar bahagia apabila merasakan tangan
Qistina melingkari pinggangnya tanda isterinya membalas
pelukannya tadi.
Ian Iskandar melepaskan nafasnya dalam-dalam.
Matanya dipejam erat. Dieratkan lagi pelukannya seketika
sebelum rangkulannya dilepaskan perlahan-lahan. Dia tidak
dapat menolak keinginannya untuk mencium dahi dan kedua
belah pipi isterinya itu. Akhirnya, tangan Qistina digenggam
kemas.
“Jom, ada orang nak jumpa Ina kat bawah...” Ajak Ian
Iskandar. Dia takut dia tidak dapat menahan gelora hatinya
sekiranya mereka berdua terus berpelukan begini.
Qistina mengekori langkah Ian Iskandar menuruni
anak tangga sehingga ke muka pintu ruang tamu. Melihat
seorang wanita berjubah hitam berdiri membelakanginya,
Qistina terus memberikan salam.
“Assalamualaikum!”

No comments:

Post a Comment