DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 12 May 2016

Yang Bermukim Di hati - Bab 6

“ASSALAMUALAIKUM…” ucap Aina Yasmin
sebaik sahaja kaki kanannya melangkah masuk ke dalam
rumah. Tiada siapa di ruang tamu. Sayup-sayup kedengaran
salamnya dijawab dari ruang dapur.
Aina Yasmin menapak ke ruang dapur. Aroma
Nescafe menyambut langkahnya. Kelihatan Iqbal serta Syafiq
sedang duduk di meja bersegi empat yang menempatkan
enam kerusi di dapur sambil menghirup Nescafe panas.
“Baru balik, dik?” Syafiq menyoal. “Lamanya
bertenggek kat rumah Mas tu! Along dengan angah naik
berjanggut tunggu adik kat rumah ni.”
Muka kelat Syafiq dijeling. Aina Yasmin menarik
kerusi di meja makan dan melabuhkan punggungnya di
sebelah Iqbal. Mug Iqbal dicapai dan dihirup perlahan.
Ahhh… nyaman… Iqbal menggelengkan kepala melihat aksi
adiknya. Syafiq yang duduk di hadapan Iqbal jelas dengan riak
tidak puas hati.
“Sibuk je angah ni! Suka hati adiklah! Mas tu kan
nak balik KL kejap lagi. Tu yang adik pergi ziarah dia kejap.
Yang along dengan angah tunggu adik ni, kenapa?”
“Amboi! Kejap adik kata? Ingat si Mas tu sorang je ke
nak balik KL? Along dengan angah pun nak balik KL jugak
tau. Esok kita orang kerja,” ngomel Syafiq lagi.
Aina Yasmin tersengih.
“Hehehe… sorrylah, ek? Adik terlupa pasal along
dengan angah.”
Syafiq menggelengkan kepala.
“Tulah… kalau bab kawan, bukan main lagi dia,
dengan abang sendiri dia boleh buat tak kisah je.”
Aina Yasmin memaut lengan abang sulungnya.
“Sorrylah… sorrylah… janganlah marah. Adik
betul-betul lupa yang along dengan angah nak balik KL hari
ni.” Aina Yasmin mengerdipkan matanya beberapa kali. Buat
muka kesian. Dia tahu kelemahan abang-abangnya.
“Hmmm…” balas Iqbal bersahaja. Dia tidak
mahu mempamerkan senyuman yang begitu payah untuk
disembunyikan. Aina Yasmin masih manja seperti dulu dan
bijak memujuk mereka. Bagaimana hendak marah dengan
adik manjanya ini?
“Alah along ni… tadi beria-ia membebel. Sekarang
kena pujuk sikit dah cair.” Syafiq tidak puas hati. Padahal
dia sendiri sudah hilang amarahnya melihat Aina Yasmin
mengerdipkan matanya sebentar tadi. Comel sungguh! Cuma
dia masih mahu menunjukkan kemachoannya.
Aina Yasmin menjelirkan lidah kepada Syafiq, sama
seperti dulu. Terburai ketawa Syafiq melihat gelagat nakal
adik tunggalnya itu. Tidak pernah berubah!
“Adik lama sangat kat rumah Mas. Sampaikan Aazad
pun tak boleh nak tunggu adik balik tadi sebab dia kena rush
balik KL. Ada kerja katanya.”
Errrkkk???
Laju Aina Yasmin menoleh memandang Iqbal.
Wajahnya terus berubah serius.
“Apa along cakap? Abang Aazad datang rumah
kita tadi?” Terbeliak mata Aina Yasmin. Sungguh, dia tidak
percaya!
“Yalah! Tunggu tunang terchenta tak sampai-sampai!”
usik Syafiq.
Terus masam mencuka wajah Aina Yasmin
mendengar kata-kata sindiran abangnya itu. ‘Chentalah
sangaaat! Uwek!’
Syafiq yang menyedari perubahan riak wajah Aina
Yasmin terus tergelak besar.
“Adik,” panggil Iqbal.
Aina Yasmin menoleh kembali.
“Adik tak pernah jelaskan pada along kenapa adik
nak putus tunang dengan Aazad. Walaupun kita orang semua
takde bantahan, along rasa adik perlu jelaskan supaya kita
orang semua faham perasaan adik.”
“Betul tu dik,” sampuk Hajah Amirah yang tiba-tiba
muncul, masuk ke ruang dapur. Dia mengambil tempat di
sebelah Syafiq, bertentangan dengan Aina Yasmin. “Mak pun
nak tahu sebab apa adik nak putuskan pertunangan dengan
Aazad. Senang hubungan mak dengan Auntie Shima nanti.
Lagipun tadi Aazad datang nak bincang dengan adik. Lama
dia tunggu. Adik pulak tak bawak handphone tadi. Susah
mak nak panggil adik balik. Sudahnya dia balik je.”
Aina Yasmin tunduk. Kini sudah tiba masanya
untuk berterus terang dengan ahli keluarganya. Tidak boleh
berdalih lagi.
“Adik jangan salah faham. Bukannya kita orang nak
larang atau nak marah adik. Kita orang cuma nak tahu je…”
tambah Syafiq.
Aina Yasmin melipat tangan di atas meja dan
merenung ke wajah ibunya.
“Mak... mak pun tahu yang adik setuju bertunang
dengan Abang Aazad dulu pun sebab arwah abah yang paksa.
Kalau tak, adik tak dibenarkan sambung belajar ke US…”
Hajah Amirah mengangguk tanda setuju.
“Sebenarnya... Abang Aazad pun terpaksa, mak.
Dia tak mahu pun bertunang dengan adik. Siapalah adik ni
mak… budak mentah sangat masa tu. Adik tahu Abang Aazad
mungkin rasa terhutang budi dengan arwah abah. Sebab tu
dia setuju. Tapi adik yakin yang Abang Aazad tak rela pun nak
bertunang dengan adik. Dia tak suka adik, mak…”
Aina Yasmin terkedu. Dia sudah terlepas kata. Dia
tidak mahu ahli keluarganya tahu akan kata-kata hinaan yang
pernah dilemparkan kepadanya suatu waktu dahulu. Lagipun,
bukankah Mastura sering melaporkan tentang Ameer Aazad
yang sering bertukar-tukar teman wanita semasa Aina
Yasmin berada di luar negara dahulu? Sudah tentu lelaki itu
sudah ada pilihan hatinya sendiri.
“Macam mana adik tahu dia tak suka adik?” soal
Syafiq. Dia pelik.
“Err… errr… adik teka je sebab tak pernah sekali
pun dia cuba contact adik masa adik belajar kat US. Kalau
dia suka, mesti dari dulu lagi dia contact adik.” Aina Yasmin
mencipta alasan bagi menutup keterlanjuran kata-katanya.
“Hmmm…” balas Syafiq. Entah percaya dengan
alasan adiknya, entah tidak.
“Kalau macam tu, eloklah putus… tak payah
memaksa diri. Along rasa adik berhak tentukan masa depan
adik sendiri. Along yakin adik akan dapat seorang lelaki yang
baik untuk jaga adik. Along faham kenapa arwah abah paksa
adik bertunang dulu tapi along rasa arwah abah silap dalam
membandingkan adik dengan Munah. Cuma arwah abah
takut nak lepaskan adik tanpa sebarang ikatan yang abah rasa
boleh selamatkan adik.”
Iqbal memandang ke wajah ibunya. Tidak dapat
meneka apa yang terlintas dalam fikiran ibunya itu.
“Mak, along tak nak paksa adik teruskan pertunangan
dia dengan Aazad kalau dia tak nak. Tapi along rasa macam
Aazad nak teruskan jugak. Dia ada cakap yang dia nak tebus
kesalahan dia pada adik. Mak rasa macam mana?”
Tiga pasang mata kini bertumpu ke wajah Hajah
Amirah. Hajah Amirah mengeluh.
“Arwah abah memang ada sebab sendiri kenapa dia
nak adik bertunang dengan Aazad dulu. Arwah sayang betul
dengan Aazad. Lepas adik pergi US dulu, arwah cakap pada
mak yang dia yakin Aazad seorang saja yang boleh jaga adik
sepertimana yang dia harapkan. Dia tak nampak lelaki lain
lagi dah… Dia percaya betul dengan Aazad, walaupun masa
tu terus terangnya, mak tak nampak apa yang arwah abah
nampak pada Aazad.”
Hajah Amirah kini merenung ke arah Aina Yasmin.
Dia serba salah.
“Selama mak hidup dengan arwah abah, banyak
keputusan yang arwah ambik yang mak pada mulanya tak
setuju. Tapi, ternyata keputusan arwah selalunya tepat… dan
mak selalunya akan kagum dengan kebolehan arwah abah
untuk lihat jauh ke hadapan.”
Mata Aina Yasmin kini mula berkaca, mengenangkan
arwah Haji Zainal Abidin yang sudah tiada.
“Mak pun tak nak paksa adik buat perkara yang adik
tak rela. Mak tak nak menyesal kalau adik tak bahagia nanti.
Tapi mak nak adik buat keputusan yang tepat. Mak nak adik
faham sendiri kenapa arwah abah buat sesuatu perkara tu.
Percayalah dik. Arwah abah tak pernah terburu-buru dalam
membuat keputusan. Abah selalu akan bersolat dan meminta
petunjuk daripada Allah. Tentunya abah ada nampak sesuatu
pada Aazad yang kita semua tak nampak. Sekarang mak
serahkan bulat-bulat pada adik untuk membuat keputusan.
Adik dah besar. Adik tahu nak bezakan yang mana baik, yang
mana buruk. Mak terima je apa pun keputusan adik.”
Ketiga-tiga anak Hajah Amirah diam tidak berkutik.
Iqbal melihat wajah sedih adik perempuannya yang sudah
mula mengalirkan air mata. Dia tahu adiknya itu kini
diselubungi rasa keliru dan serba salah. Keliru dengan apa
yang baru diperdengarkan oleh Hajah Amirah tadi. Dia
menggenggam tangan Aina Yasmin.
“Adik... adik fikirlah betul-betul. Bincanglah secara
terbuka dengan Aazad dulu. Lepas tu baru buat keputusan.”
Iqbal membuat saranan. Syafiq dan Hajah Amirah sama-sama
mengangguk tanda setuju.
Lambat-lambat Aina Yasmin menganggukkan
kepala. Dia akur. Dia tahu dia harus berbincang terlebih
dahulu dengan tunangnya itu. Namun, kata-kata Hajah
Amirah tentang firasat arwah bapanya membuatkan dia
rasa tidak sedap hati. Apakah ibunya cuba menyampaikan
pesanan daripada arwah bapanya? Atau sekadar menjelaskan
pendirian arwah dahulu? Berdosakah dia sekiranya dia tidak
meneruskan harapan arwah bapanya?
Sesungguhnya dia tidak mahu mengecewakan
harapan arwah Haji Zainal Abidin. Namun, wajarkah dia
mengorbankan segala perasaan dan keinginannya untuk
mengecap kebahagiaan? Ah… dia benar-benar buntu.

No comments:

Post a Comment