DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday 24 May 2016

Demi Bahagia Ini - Bab 16

SELESAI makan tengah hari dan mengerjakan solat
zuhur, Qistina turun ke bawah dengan niat untuk menyambung
tugasnya menemani Puan Mariam. Setibanya di tingkat bawah,
suara riuh-rendah dan tawa gurau-senda kedengaran. Mesti
kembar Ian Iskandar, Iman Elena bersama anaknya sudah tiba
dari kota Paris.
Pintu bilik Puan Mariam terbuka luas. Qistina teragakagak
berdiri di muka pintu. Sebagai orang luar, Qistina tidak
mahu mengganggu suasana Puan Mariam menyambut
kepulangan Iman Elena bersama anaknya, serta sesi melepaskan
rindu yang berbuku di hati.
Qistina berpaling. Namun, sebelum sempat dia
mengambil langkah yang kedua, Puan Mariam memanggil
namanya. Qistina berhenti melangkah dan memalingkan
tubuhnya kembali.
“Masuklah Qistina. Jangan malu. Kenalkan... ni
anak perempuan mummy, Iman dan cucu mummy, Daniel.”
Sungguh ceria suara Puan Mariam memanggil Qistina masuk
ke dalam biliknya.
Qistina mengukirkan senyuman kepada Iman Elena
dan menghulurkan tangannya. Benar kata Puan Mariam. Iman
Elena langsung tidak menyerupai Ian Iskandar mahupun
Puan Mariam. Rupa Iman Elena lebih kepada orang Melayu.
Berambut hitam, berkulit kuning langsat dan bermata coklat
cair. Mungkin dia lebih mengikut iras bapanya dan Ian Iskandar
pula mengikut iras ibu mereka. Cantik! Sungguh cantik! Tinggi
dan langsing. Persis seorang model.
Iman Elena menyambut tangan yang dihulurkan
Qistina dan lantas memeluk gadis itu. Terpinga-pinga Qistina
sebentar sebelum dia membalas pelukan bakal adik iparnya
itu. Bakal adik ipar yang lebih berusia daripada Qistina sendiri.
Senyuman pada wajah Iman Elena begitu lebar, begitu mesra,
begitu ikhlas. Qistina merasa lega.
“Jadi... inilah gadis yang berjaya mencuri hati Ian.
Hmmm… padanlah… cantiknya bakal adik ipar Kak Iman ni…
Cantik sangat!” Iman Elena memuji.
“Not adik ipar, Iman.” Puan Mariam membetulkan
kata-kata Iman Elena.
“Dia akan berkahwin dengan abang Iman, jadi dia akan
jadi kakak ipar Imanlah!”
Qistina tersipu.
“Saya Qistina. Panggil je Ina.”
“Saya Iman Elena. Panggil aje Iman. Hmmm… rasa
kekoklah pulak, mummy. Iman ni kan lagi tua daripada Ina, but
anyway, welcome to the family, Ina!” Sekali lagi Iman Elena
memeluk Qistina. Gadis itu benar-benar tersentuh dan terharu
dengan penerimaan Iman Elena ke atas dirinya. Buat sejenak,
terasa dia dipeluk kakaknya sendiri Sarah Qireena, yang tidak
diketahui keadaannya ketika ini.
“Terima kasih, Iman…” Qistina pun tidak selesa
memanggil Iman dengan panggilan namanya sahaja, padahal
Qistina jauh lebih muda daripada Iman Elena.
“Errr… tak boleh panggil Kak Iman ke? Rasa macam
tak hormat pada orang yang lebih berusia daripada Ina pulak…”
Puan Mariam tersenyum. Begitu tinggi nilai-nilai
kemelayuan yang ada pada diri Qistina walaupun begitu lama
dia menetap di negara Barat. Lima tahun hidup di kota London
tidak melunturkan walaupun sedikit nilai-nilai murni dalam
hatinya.
“Jangan bimbang, Ina. Mummy yakin Iman tak kisah...”
“Yang tu pulak, anak buah Ina. Nama dia Daniel,” kata
Iman Elena sambil menunjuk ke arah kanak-kanak lelaki comel
yang masih dalam dakapan Puan Mariam.
Tembam dan gebu pipi Daniel. Sungguh comel. Daniel
juga kelihatan seperti ada iras melayu dan ada juga iras orang
putih. Daniel hanya melihat Qistina kehairanan.
“Hari Sabtu atau Ahad ni baru Ina dapat jumpa suami
Iman, Muhammad Mikail.”
“Hai, Daniel…” Qistina menyapa. “Comelnya, Iman…
geram Ina tengok. Dia faham bahasa Melayu tak?”
“Sikit-sikit je… dia lebih selesa cakap bahasa Inggeris
atau French. Papa dia orang sini, orang England tapi kerja kat
Paris. Jadi kalau kat rumah, taklah selalu sangat nak cakap
French…”
“Iman pulak, nampaknya masih fasih bercakap bahasa
Melayu!” Qistina memuji.
“Habis tu, bersekolah, membesar semua kat KL.
Takkanlah tak ingat bahasa ibunda sendiri pulak, kan?” Iman
Elena masih memerhati Qistina.
Sudah banyak Iman Elena mendengar cerita mengenai
gadis itu daripada ibunya. Puan Mariam sakan bercerita
tentang perubahan ketara yang melanda abang kembarnya
sejak kehadiran Qistina. Iman Elena tumpang gembira. Sudah
lama dia menanti saatnya Ian Iskandar mempunyai isteri dan
keluarga sendiri.
“Mummy perlukan apa-apa?” Qistina bertanya lembut.
“No, my dear. Hari ni mummy happy sangat. semua
anak mummy ada bersama mummy hari ni. Tak lama lagi
pulak, Ina akan kahwin dengan Ian. Takde apa lagi yang kurang
dalam hidup mummy…” Ayat terakhir Puan Mariam disulami
dengan esakan kecil tanda Puan Mariam begitu gembira dengan
kepulangan Iman Elena dan cucunya Daniel. Qistina tersenyum.
“Mummy nak Ina tinggalkan mummy dengan Iman?”
“No, dear. Duduk la sini. Anak-anak kesayangan
mummy ada kat sini dan mummy nak luangkan masa dengan
dua orang buah hati mummy ni.”
Iman Elena dan Qistina sama-sama tergelak kecil.
Masing-masing mengambil tempat di tepi katil Puan Mariam.
Qistina di tempat biasanya dan Iman Elena mengambil tempat
bertentangan dengannya. Mereka menghabiskan masa petang
dengan bercerita sambil bergurau senda. Kelihatan Puan
Mariam begitu ceria dan bersemangat. Tidak putus-putus dia
ketawa mendengar perbualan Iman Elena dan Qistina.
Pertama kali Puan Mariam melihat sinar kebahagiaan
dan kegembiraan terpancar dari anak mata Qistina. Puan
Mariam benar-benar mengharapkan agar Ian Iskandar
dapat membahagiakan Qistina setelah sekian lama Qistina
menanggung duka. Qistina begitu selesa menyerap segala kasih
sayang yang dicurahkan Puan Mariam untuk dirinya, dan kini
daripada Iman Elena pula. Puan Mariam berdoa agar awan
mendung yang sentiasa mengekori perjalanan Qistina selama
ini akan beredar jua akhirnya dan hanya akan ada corakan
warna pelangi yang bakal menghiasi kehidupannya bersama
keluarga baharunya ini.
Daniel pula sudah elok terlentok tidur di sebelah Puan
Mariam. Boleh lena dia walaupun berada di tengah-tengah
kebisingan dan dikelilingi gelak ketawa. Qistina menawarkan
dirinya untuk mengangkat Daniel naik ke atas.
“Boleh Ina? Tangan Iman ni tak kuat sangat lagi. Hari tu
terseliuh sikit masa main bola dengan Daniel. Dukung sekejapsekejap
boleh, tapi kalau sampai nak naik tangga, tangan Iman
ni tak kuat sangat lagi…”
“Boleh, Iman. Tak jadi masalah pun. Ina nak letak
Daniel kat bilik mana, ya?”
“Errrr… boleh tak Ina letak Daniel sebelah bilik Ian?
Rasanya beg-beg Iman tadi, Naseem letakkan kat dalam bilik
tu.”
Qistina mengangguk. Dia bangun dan dengan perlahan
dia mencempung anak kecil itu ke dalam pelukan dan melangkah
keluar dari bilik Puan Mariam. Sempat juga dia mencium pipi
gebu Daniel yang sedari tadi dicemburuinya. Iman Elena hanya
mampu tersenyum melihat Qistina mengangkat dan mencium
Daniel dengan penuh kasih.
Ketika Qistina menghampiri anak tangga...
“Qistina...” Suara dalam Ian Iskandar memanggilnya
dari belakang. Qistina memalingkan tubuhnya dan
mengukirkan senyuman manis kepada bakal suaminya itu,
sehingga menampakkan lesung pipitnya. Rindu dia kepada
lelaki itu.
Terpanar Ian Iskandar melihat senyuman Qistina yang
semestinya ditujukan khas untuknya. Tidak pernah Qistina
memandangnya begitu… dengan pandangan yang sarat kasih
dan sayang… Dia mahu Qistina sentiasa memandangnya begitu.
“Ina buat apa tu?”
Membulat mata Qistina mendengar Ian Iskandar
memanggil dirinya dengan nama Ina, dan bukan awak atau
Qistina seperti sebelum ini. Dia suka. Suka sangat-sangat.
Kedengaran begitu mesra.
“Daniel tertidur kat bilik mummy tadi, jadi Ina nak
angkat dia naik ke bilik kejap. Bagi dia lagi selesa…” Qistina
kembali meniti anak tangga. Ian Iskandar bagai dipukau, hanya
mengekori Qistina naik ke atas.
Entah mengapa hatinya bagai ditarik-tarik melihat
Qistina mencempung anak saudaranya itu. Perasaan yang
begitu halus menimpanya. Terbayang seketika Qistina
mendukung anaknya sendiri suatu hari nanti. Zuriatnya, dari
benih kasihnya.
‘Ah, tak sabarnya…’
Di tingkat atas, Ian Iskandar memintas Qistina lalu
membukakan pintu bilik bersebelahan dengan biliknya. Qistina
tidak pernah masuk ke dalam bilik ini. Saiznya kecil sedikit
berbanding bilik Qistina namun masih selesa dengan segala
perabot tersusun kemas dan rapi. Dengan perlahan, Qistina
meletakkan Daniel ke atas katil.
Ketika Daniel bergerak-gerak sedikit, Qistina
menepuk-nepuk perlahan pahanya, hinggalah dia kembali
lena. Ian Iskandar hanya memerhati perlakuan Qistina dengan
pandangan yang cukup redup. Dia seakan jatuh cinta sekali lagi
dengan gadis itu. Terpesona dia melihat kelembutan serta sifat
keibuan bakal isterinya itu.
Dengan isyarat mata dan kepala, Qistina mengajak Ian
Iskandar keluar dari bilik itu dan membiarkan Daniel dalam
lenanya. Di luar bilik, Ian Iskandar memaut lembut lengan
Qistina.
“Ina nampak selesa pegang Daniel tadi. Ina memang
biasa ke dengan budak-budak?”
Qistina menggelengkan kepalanya.
“Errr… tak jugak. Ina sebenarnya jarang bergaul
dengan budak-budak. Tapi Ina rasa Ina sukalah dengan budak-budak dan Daniel pun comel je… comel sangat-sangat!”
Ian Iskandar tersenyum lebar mendengar jawapan
Qistina. Qistina memang seorang gadis yang penyayang.
“Ina tahu tak kenapa Ina sangat istimewa di mata
saya?”
Suara romantis Ian Iskandar bagaikan melodi indah
di telinga Qistina. Qistina membalas renungan Ian Iskandar.
Tubuhnya terasa kehangatan asmara yang dipancarkan oleh Ian
Iskandar daripada suara, gaya dan panahan matanya. Sungguh
mengasyikkan. Indahnya cinta...
“Kenapa?” Bisik Qistina.
“Sebab dalam hati Ina ni penuh dengan kasih sayang.
Sungguhpun macam-macam dah berlaku dalam hidup Ina, tapi
kasih sayang yang ada dalam diri Ina sangat banyak... sayang
kepada penjaga Ina, Mak Esah dan Pak Atan, sayang pada teman
dan sahabat, sayang pada ahli keluarga saya terutama sekali
mummy saya, dan yang penting sekali…” Ian Iskandar sengaja
berjeda.
Qistina setia menanti Ian Iskandar menyudahkan
ayatnya yang masih tergantung. Ian Iskandar mengambil satu
langkah mendekati Qistina. Sungguh rapat kedudukan mereka
ketika ini. Qistina mula berdebar-debar. Reaksi yang sama setiap
kali Ian Iskandar berada di hadapan matanya. Ian Iskandar
mengusap kepala Qistina yang dibaluti tudung.
“Dan yang penting sekali, sayang Ina kepada saya…”
Bisik Ian Iskandar dekat dengan telinga Qistina.
“Kalau boleh, semua sayang yang ada dalam diri Ina tu
saya nak bolot seorang. Saya tak nak kongsi dengan orang lain,
tapi saya tahu... saya tak boleh tamak macam tu. Cuma saya nak
tahu sama ada Ina pernah tak sayang pada orang lain seperti Ina
sayang pada saya?”
Qistina tersenyum kecil. Suka mendengar Ian Iskandar
bercakap lembut dengannya begitu. Tersentuh juga hati kecilnya
apabila mengetahui dirinya begitu istimewa di mata lelaki itu.
Sesungguhnya Qistina tidak pernah merasa begini dengan
mana-mana lelaki sebelum Ian Iskandar dan dia pasti, tiada
lelaki lain yang dapat mengambil tempat Ian Iskandar dalam
hatinya. Perasaan yang hadir dalam sekelip mata. Sungguh
tidak disangka-sangka.
Pandangan Ian Iskandar penuh berharap. Menanti
bibir merah itu menidakkan pertanyaannya.
“Tak pernah… dan Insya-Allah, tak akan pernah ada…”
Kalau diikutkan hati, ingin sahaja Ian Iskandar
menyambar gadis itu ke dalam dakapannya, dan memeluknya
sepuas hati. Namun dia masih tahu batasannya. Walaupun
salah, dia tidak dapat menolak keinginannya untuk membelai
pipi mulus gadis itu.
“Terima kasih, sayang…”
Jantung Qistina nyaris-nyaris jatuh ke bumi mendengar
panggilan Ian Iskandar yang terakhir itu. Matanya membulat,
seolah-olah tidak percaya lelaki itu membahasakannya begitu.
Terasa dirinya amat-amat disayangi. Hatinya berbunga-bunga…
mekar dan mengharum. Lama mereka saling berpandangan.
Masing-masing menghitung detik dan ketika mereka akan
disatukan tidak lama lagi.
“Ina jadi keluar dengan Dr. Ilyas malam nanti?” Ian
Iskandar memecah kesunyian.
Qistina mengangguk. Ian Iskandar mengeluh kecil.
Seakan menyesal pula membenarkan gadis itu menemani Dr.
Ilyas Khan malam nanti. Semestinya dia akan terlepas makan
malam dengan Qistina dan tentunya dia tidak dapat menjamu
matanya ke wajah gadis itu nanti.
“Jaga diri, ya.” Pesan Ian Iskandar.
“Jangan nakal-nakal, tau. Bila berlakon jadi kekasih
Ilyas nanti, jangan terlebih-lebih berlakon pulak. Ingat! Saya
kat sini kekasih Ina yang sebenar. Bukan si doktor tu,” getus
Ian Iskandar.
“Kenapa? Cemburu ke?” Qistina bertanya dengan
sekuntum senyuman manis di bibir. Lucu dia mendengar
pesanan Ian Iskandar tadi.
“Hai, mestilah. Tak suka Ina jadi kekasih olok-olok
Ilyas tu. Sakit mata saya tengok Ina bermesraan dengan lelaki
lain,” serius Ian Iskandar berkata.
“Ingat... ni yang terakhir tau! Lepas ni, no more!”
Tegas. Qistina mengangguk.
“Tahu... Ina faham. Lepas ni Ina takkan jadi kekasih dia
lagi. Emmm… dah jumpa Iman kat bawah?”
“Belum. Jom turun sekali?”
Qistina mengekori langkah Ian Iskandar dan petang
itu mereka bersama-sama menghabiskan masa bersama Iman
Elena dan Puan Mariam.
“QISTINA, I’M really sorry. Please forgive me.” Entah ke berapa
kali Dr. Ilyas Khan meminta maaf. Menyesal dia dengan apa
yang telah terjadi sebentar tadi.
“Ilyas, forget it. It wasn’t your fault,” ujar Qistina
untuk kesekian kalinya juga. “She was upset. I told you she
wouldn’t be happy to see me there…”
“Yes, but I didn’t think she would act that way… I’ve
never seen this side of her before!”
Qistina mengeluh. Kehadirannya bersama Dr. Ilyas
Khan ke majlis itu tadi walaupun mendatangkan hasil seperti
yang diharapkan, tetap dicemari apabila Dr. Fatma Ali bersikap
sedikit kurang ajar terhadap Qistina. Dr. Fatma Ali hadir ke
majlis itu berseorangan tanpa teman lelakinya dan sering
menjeling ke arah Qistina yang sentiasa ditemani Dr. Ilyas
Khan. Dr. Ilyas Khan pula bijak memainkan peranannya sebagai
teman lelaki Qistina dan kelihatan sungguh manja dan romantis
di sampingnya.
Akhirnya, kerana tidak dapat menahan kepanasan
hatinya barangkali, Dr. Fatma Ali telah datang menghampiri
Qistina serta Dr. Ilyas Khan dan dengan suara yang lantang
meminta penjelasan mengenai hubungan mereka.
“She’s the love of my life…” Dengan selamba Dr. Ilyas
Khan menjawab sambil memaut lengan Qistina. Wajah Dr.
Fatma Ali serta-merta berubah menjadi pucat dan matanya
mula berkaca.
Muzik yang dimainkan dengan sedikit kuat
menenggelamkan kata-kata Dr. Fatma Ali seterusnya, namun
jelas didengari oleh Qistina dan Dr. Ilyas Khan. Dr. Fatma Ali
dengan rendah diri telah memohon maaf daripada Dr. Ilyas
Khan dan memintanya diberi satu peluang lagi. Sebelum Dr.
Ilyas Khan sempat menjawab, Dr. Fatma Ali telah menuduh
Qistina mencuri cinta hatinya serta merampas kekasihnya.
Qistina benar-benar simpati dengan Dr. Fatma Ali kerana jelas
pada matanya Dr. Fatma Ali masih mencintai Dr. Ilyas Khan.
“She didn’t steal me away from you, Fatma. You better
watch your words!” Dr. Ilyas Khan berkata dengan nada yang
marah. Jari telunjuknya ditujukan ke wajah Dr. Fatma Ali.
“You had already broken off our engagement way
before Qistina came into my life!”
Dr. Fatma Ali terdiam. Dia mengakui kata-kata bekas
tunangnya itu namun luka di hatinya terlalu pedih. Hatinya
terlalu sakit menyaksikan adegan-adegan romantik yang
dipamerkan secara terang-terangan oleh sepasang kekasih itu.
Sejak melihat Dr. Ilyas Khan bermesra dengan wanita lain di
majlis makan malam tempoh hari, tiba-tiba sahaja timbul suatu
kesedaran di hatinya tentang cintanya yang masih utuh buat
lelaki itu.
Dia sendiri tidak tahu mengapa dia tergamak
memutuskan pertunangan mereka hanya disebabkan lelaki
berbangsa Scottish itu yang jauh lebih berada dan lebih
berpengaruh daripada Dr. Ilyas Khan. Bodoh betul dia!
Akhirnya, Dr. Fatma Ali berlalu dari situ. Namun
dengan sengaja, sempat dia melanggar kuat bahu Qistina
sehingga gelas minuman yang dipegang Qistina jatuh berkecai
ke atas lantai. Syukur serpihan kaca tidak mengenai kakinya.
“Qistina, are you really alright?” Dr. Ilyas Khan masih
risau.
“I’m really sorry, okay?” Dr. Ilyas Khan tidak jemujemu
meminta maaf kepada Qistina.
“Ilyas, stop apologising, okay? She obviously still loves
you and she’s hurting because she thinks you’re with me. Her
reaction was probably normal. But, I really think you guys
should talk things over… settle the things that need to be
settled between the two of you.”
“Does your shoulder still hurt? You want me to have a
look at it?” Dr. Ilyas Khan menyedari betapa kuatnya Dr. Fatma
Ali melanggar bahu Qistina sebentar tadi.
“No, I’ll be fine,” balas Qistina, walaupun bahunya
masih terasa sengal.
“I’ll go inside now, okay. Good luck with Fatma, Ilyas.
I wish you all the happiness with her. Will I be seeing you on
Sunday?”
“Thanks Qistina, for everything that you’ve done
for me. You’re a true friend! And yes, you’ll be seeing me on
Sunday. I wouldn’t miss your wedding for the world!”
Qistina mengeluarkan kunci rumah dan membuka
pintu masuk. Setelah Qistina hilang dari pandangan, Dr. Ilyas
Khan pantas menyeluk sakunya dan mengeluarkan telefon
bimbit. Nombor telefon Ian Iskandar didail. Bahu Qistina
harus diperiksa. Dia tahu Qistina tentu dalam kesakitan. Dia
cukup-cukup menyesal dengan perbuatan bekas tunangnya itu.
Sungguh tidak disangka-sangka.
Ian Iskandar menjawab panggilan Dr. Ilyas Khan. Dia
mendengar dengan teliti serba ringkas tentang apa yang telah
terjadi kepada Qistina sebentar tadi. Selepas mendengar ucapan
maaf daripada Dr. Ilyas Khan, Ian Iskandar mematikan talian
telefon. Hatinya dipagut kebimbangan.
‘Kalau tak serius, takkan Dr. Ilyas sanggup telefon aku?’
Ian Iskandar keluar dari biliknya dan mengetuk pintu
bilik adiknya. Dimintanya Iman Elena memeriksa bahu Qistina.
Kalau boleh, memang dia sendiri mahu memeriksanya, namun
apakan daya. Qistina masih belum sah menjadi isterinya.
Iman Elena akur dengan permintaan Ian Iskandar
apabila melihat betapa keruh serta bimbangnya wajah abang
kembarnya itu. Iman Elena mengetuk pula pintu bilik Qistina.
Ketika pintu dibuka, Iman Elena melangkah masuk dan
menutup pintu. Ian Iskandar dibiarkan berdiri di luar pintu. Ian
Iskandar berjalan berlegar-legar di tingkat atas. Tidak sabar dia
hendak mengetahui keadaan Qistina. Marah betul dia dengan
Dr. Ilyas Khan kerana tidak melindungi Qistina dengan sebaikbaiknya.
Sepuluh minit kemudian, Iman Elena keluar dari bilik
Qistina. Dilihatnya Ian Iskandar masih setia menunggu.
“Dia macam mana?”
“Dia okey. Cuma ada lebam sikit kat bahu dia. Kuat
agaknya bahu dia kena langgar tadi.”
“Dia rasa sakit ke?” Berkerut dahinya. Dia tidak mahu
Qistina merasakan sebarang kesakitan. Biarlah dia sahaja
mengambil-alih segala kesakitan yang ditanggung gadis itu.
Iman Elena tersenyum dalam hati. Betul kata ibunya.
Abangnya ini memang sudah berubah…
“Sakit sangat!” Tipu Iman Elena. Padahal Qistina
telah pun memberitahunya sebentar tadi yang kesakitan yang
dirasakannya kini cuma berbaki.
Ian Iskandar menarik nafas. Tanpa berfikir panjang,
dia mengetuk pintu bilik Qistina. Qistina membuka pintu dan
hairan melihat Ian Iskandar serta Iman Elena berada di luar
biliknya. Ian Iskandar dengan muka yang sedikit tegang dan
dahi yang berkerut, manakala Iman Elena dengan senyuman
yang kelihatan agak nakal. Qistina hairan melihat kelibat keduadua
kembar itu yang jelas memberi riak wajah yang berbeza.
“Jom, kita pergi hospital,” ajak Ian Iskandar sambil
memaut dan menarik lengan Qistina.
Qistina terpinga-pinga. Tubuhnya terdorong ke
hadapan akibat tarikan Ian Iskandar.
“Kenapa? Siapa yang sakit? Mummy ke?” Qistina
mula risau. Dia memandang ke arah Ian Iskandar sama seperti
Ian Iskandar memandangnya. Iman Elena pula seakan tidak
tertahan lagi menahan ketawanya. Comelnya melihat pasangan
kekasih ini.
“Hesy... Apa pulak mummy? Kan Ina yang sakit?”
“Ina sakit? Sakit apa? Mana ada?” Hairan betul Qistina
dengan sikap Ian Iskandar ini.
Ian Iskandar mencerlungkan matanya. Dia
menyangkakan Qistina sedang cuba menyembunyikan
kesakitannya daripada diketahui olehnya. Padahal Qistina
seharusnya berkongsi segala rasa dengan dirinya. Bukankah dia
bakal suami Qistina juga? Tidak puas hati dia!
“Ina jangan tipu! Saya tahu bahu Ina sakit. Sakit
sangat, kan? Dr. Ilyas dah ceritakan segalanya pada saya tadi.”
Qistina mengalih pandangannya kepada Iman Elena.
Tawa Iman Elena terletus juga akhirnya. Suka dia dapat
mengenakan abangnya itu. Abangnya yang sebelum ini begitu
cool dan macho, akhirnya jatuh tersungkur kepada gadis yang
jauh lebih muda daripadanya ini. Ya... Cinta bisa merubah
segalanya.
Ian Iskandar dan Qistina kini memandang Iman Elena.
“Maaf… maaf… abang… I couldn’t help myself….”
ucap Iman Elena di dalam ketawanya. “Ina tak apa-apa la. Dia
okey, dia sakit sikit je…”
Ian Iskandar mengetap bibirnya. Pautan di lengan
Qistina dilepaskan lambat-lambat. Mahu sahaja kepala adiknya
ini dipelangkung. Boleh main-main pulak dia. Ian Iskandar dah
risau semacam je tadi.
Dengan ketawa yang masih berbaki, Iman Elena
kembali masuk ke dalam bilik tidur yang dikongsi bersama
Daniel. Ian Iskandar dan Qistina sekadar menghantar pemergian
Iman Elena dengan ekor mata.
Qistina memandang wajah Ian Iskandar. Terharu
dia. Lelaki itu benar-benar risaukan dirinya. Sudah lama dia
menanggung sakit pening sendirian, kini ada orang yang benarbenar
prihatin terhadap dirinya.
“Terima kasih,” ucap Qistina dengan nada penuh
terharu. Pantas Ian Iskandar berpaling. Wajah manis Qistina
ditatap mesra.
“Untuk apa?” Ian Iskandar tidak mengerti. Qistina
tersenyum. Kini dia pula memaut lengan Ian Iskandar.
“Terima kasih sebab risaukan Ina. Selama ni, hanya
Mak Esah, Pak Atan dan Tim je yang selalu risaukan Ina. Rasa
lain pulak apabila ada orang lain yang risaukan tentang Ina
sekarang ni…”
Ian Iskandar memandang tangan halus Qistina di
lengannya. Pertama kali Qistina menyentuhnya dalam rela.
Digenggamnya tangan itu dan dikucupnya perlahan. Qistina
terkedu. Ngilu terasa hingga ke hati.
“Mestilah saya risau… Betul Ina okey?”
Qistina mengangguk sambil menarik perlahan
tangannya dari pegangan Ian Iskandar.
“Ina dah sapu minyak gamat. Insya-Allah okey.”
“Okey, pergilah rehat. Jumpa esok. Good night, love…”
Ucap Ian Iskandar dengan nada romantik.
“Good night, Ian.” Balas Qistina lembut.
Mata biru Ian berubah menjadi lebih biru mendengarkan
Qistina membahasakan namanya begitu. Sungguh lembut dan
merdu di telinganya.
‘Ya Allah, biarlah gadis ini menjadi milikku yang
abadi. Aku tak sanggup kehilangannya. Dan berikanlah
kepadaku kekuatan dan kesabaran untuk menghadapi segala
amarahnya hari Ahad ini. Bukakanlah hatinya untuk menerima
penjelasanku seadanya… Amin!’

No comments:

Post a Comment