Mail sering merasa janggal berada di rumah kedua orang
tuanya ini. Terlalu banyak kenangan pahit yang masih tidak dapat dinyahkan
daripada fikiran. Dia lemas di sini. Terasa dirinya begitu terasing. Tetapi
yang paling memeritkan ialah perasaan terbuang yang masih dirasakannya,
walaupun setelah sekian lama peristiwa hitam itu berlalu. Mungkin ayah dan
ibunya tidak sedar perlakuan mereka sendiri yang membuat Mail rasa jauh dan
tersisih daripada keluarga, atau mungkin mereka menyedarinya tetapi tidak dapat
merubah layanan mereka terhadap dirinya.
Mail tidak menyalahkan mereka. Mungkin jika dia berada di
tempat mereka, dia juga akan berkelakuan begitu. Namun bagaimana sekali layanan
mereka terhadap dirinya serta rasa janggal yang dirasakan ketika bersama
mereka, sebagai anak yang sulung, dia masih mempunyai tanggungjawab terhadap
kedua orang tuanya. Walaupun hatinya berat untuk berada di sini, dia terpaksa
jua menjenguk mereka. Walaupun dia sedar ayah dan ibunya tidak tahu bagaimana
untuk berbicara dengannya, dia gagahkan jua diri untuk menyapa mereka, kerana
dia tidak akan putus-putus berusaha mendapatkan kembali rasa kasih dan sayang
mereka terhadapnya.
Mail sanggup terima apa sahaja hukuman dan layanan dingin
mereka terhadapnya, kerana mungkin itu yang selayaknya diterima. Hati mereka
yang pernah dia calarkan, bukannya sedikit. Kesakitan yang dipalitkannya begitu
dalam, Mail sedar akan semua itu. Dia sanggup lakukan apa sahaja untuk
memenangi hati mereka kembali, walau hatinya sendiri sering menangis. Apa
mereka masih tidak dapat memaafkan dirinya? Apa mereka masih berdendam? Tidak
cukupkah dengan segala ucapan maaf yang telah diucapkan kepada mereka selama
ini? Tidak ikhlaskah mereka menerima dirinya kembali? Atau penerimaan maafnya
selama ini hanya di bibir sahaja dan tidak sampai ke hati? Entahlah…dia pun
tiada jawapan bagi semua persoalan ini.
Lamunan Mail terhenti tatkala menyedari kehadiran
adiknya, Lia, yang melangkahkan kaki masuk melalui pintu pagar. Entah dari mana Lia berjalan. Tiba-tiba
sahaja muncul di hadapan pintu pagar. Mail lihat Lia langsung tidak menyedari
kehadirannya. Fikirannya melayang entah ke mana. Mail menegur Lia. Lia sedikit
tersentak. Barulah dia sedar bahawa abang sulungnya berada di hadapannya. Lia
tersenyum dan lantas duduk di atas buai di sebelah Mail. Sejuk hati Mail
melihat kegembiraan yang jelas terpancar dari wajah adiknya ketika melihatnya.
“Lia dari mana ni?” tegur Mail.
“Lia keluar kejap tadi. Lepas tu Lia balik naik bas. Tu
yang berjalan balik dari bus-stop ni.
Bila Along sampai?” soal Lia.
“Adalah dalam sejam” jawab Mail mesra.
“Dah sejam? Eh, kenapa Along dok kat luar pulak ni?
Mak dengan abah tak de kat rumah ke?”
“Alaah, macam Lia tak tau. Mak dengan abah mana boleh
duduk lama berbual dengan Along. Diaorang
kan tak selesa bila Along ada. Biasalah kan…” Mail mengalihkan pandangan dari
wajah Lia. “Duduk kat sini pun best jugak…berangin, macam nak hujan…” Mail
berdalih.
Lia hanya mampu terdiam. Sesungguhnya Mail sedar akan
dilema yang dihadapi Lia. Perasan berbelah bahagi antara kasihnya kepada Mail dengan
sayangnya terhadap ayah dan ibu, sering membuatnya buntu. Walaupun Mail tidak
pernah meminta Lia memilih satu antara keduanya, Mail seolah-olah menarik
tangan kanan Lia sementara ayah dan ibu pula menarik tangan kirinya. Lia sering
tersepit. Mail tahu Lia telah banyak kali cuba menjernihkan hubungan Mail
bersama kedua orang tua mereka dan acap kali mempertahankan Mail mana yang
terdaya. Mail akan sentiasa berasa terhutang budi kepada adik perempuannya
seorang ini. Jasanya begitu banyak kepada dirinya.
“Lia pergi mana tadi?” soal Mail, ingin melarikan
ingatannya daripada kesedihan yang dirasakannya. Biarlah dia seorang
menanggungnya.
Lia kelihatan tidak selesa dengan soalan Mail.
“Errr…Lia…Lia keluar tadi...” jawabnya tergagap-gagap. Seperti menyembunyikan
sesuatu.
“Along taulah Lia keluar. Lia pergi mana?” Mail cuba
mendesak Lia berterus-terang.
Dengan nada yang perlahan, Lia menceritakan kepada Mail
akan pertemuannya dengan seorang lelaki bernama Asrul Effendi petang tadi. Lia
menceritakan bagaimana pertemuan mereka diatur oleh ibu mereka bersama ibu
Effendi dan bagaimana Lia tiada pilihan melainkan mengikut kehendak ibu. Mail
tergamam mendengar cerita Lia. Perasaan hampa berbaur kesal yang tidak
terhingga melanda hatinya. Mail menggelengkan kepalanya beberapa kali. Dia meletakkan
tangan di atas tangan Lia lalu digenggamnya erat. “Maafkan Along, Lia.”
Lia memandang Mail kehairanan. “Kenapa Along mintak maaf dengan Lia?”
“Sebab semua ni takkan terjadi pada Lia kalau bukan sebab
Along. Along yang bersalah. Sebab Along, Lia tak putus-putus jadi mangsa
keterlanjuran dosa-dosa Along…” Suara Mail lirih, penuh kekesalan.
Lia memandang Mail dengan sinaran mata dilimpahi kasih
dan simpati. Lia senyum dan cuba menenangkan perasaan abangnya. “Along, Lia tak
berdendamlah dengan Along. Walaupun Lia rasa mak dan abah seakan melepaskan
geram diaorang pada Lia, Lia rasa Lia
ni mangsa keadaan je. Memang sebab Along dengan Angahlah buat Lia jadi macam
ni, tapi yang Lia terkilan bukan pada Along dengan Angah tapi pada mak dengan
abah. Lia pun tak tau sampai bila Lia kena turutkan semua kemahuan diaorang ni.”
Suara Lia diulit kehampaan walau dia cuba menyembunyikannya di sebalik
senyumannya yang tawar serta hambar. “Lia nak Along pujuk mak?” tanya Mail cuba
menghulurkan apa sahaja bantuan kepada Lia.
Lia menggelengkan kepalanya. “Tak payahlah Along.
Macamlah mak akan dengar cakap Along…”
Mail mengangguk tanda setuju walaupun masih tidak berpuas
hati. “Tapi takkan Lia nak ikutkan je cakap mak tu?” bantah Mail.
Lia menghela nafas berat, seolah-olah amat terbeban
dengan segalanya. “Lia tak cakap macam tu. Yang Lia tau, Lia belum bersedia nak
kahwin dengan sesiapa pun buat masa ni. Biarlah Lia cakap sendiri dengan mak,
Along. Lia harap mak takkan paksa…”
“Lia ada teman lelaki istimewa?” Walaupun Lia agak rapat
dengan Mail, dia jarang sekali mahu berkongsi hal-hal peribadi dengan abangnya
itu. Mungkin dia segan untuk bercerita soal perasaan dan hal berkaitan dengan
cinta dengan Mail. Dia tahu Lia pernah berpasangan dengan Azim ketika masih
menuntut dulu tetapi mengapa hubungan mereka putus tidak pula diceritakan. Mail
juga tahu dia hanya menceritakan segala hal peribadinya kepada teman rapatnya,
Nisha. Nisha pula terlalu taksub menyimpan segala rahsia Lia dan sekali-kali
tidak akan memungkiri kepercayaan Lia kepadanya untuk sesiapa pun. Walaupun
dipujuk dan dirayu.
Soalan Mail seolah-olah menggelikan hati Lia. “Semua
orang nak tau Lia dah ada boyfriend
ke tak. Along pun sama!” Lia menjeling dan memuncungkan sedikit bibirnya. Sifat
Lia yang manja, yang hanya dipamerkan kepada orang yang rapat dengannya,
terserlah. “Kalau Lia dah ada boyfriend,
tak delah mak susah-susah nak matchmake
Lia macam ni. Eeeee…rimaslah…Macamlah Lia ni dah terlajak sangat. Macamlah dah
lebih tiga puluh tahun. Kenapa mak nak risau sangat pun Lia tak tahu!” Nada Lia
berbaur geram. “Mak pun bukannya muda sangat masa kahwin dulu. Sibuk pulak hal Lia tak kahwin lagi…” Lia
membebel.
Geli hati Mail melihat riak wajah Lia. “Si Azim tu apa
jadi?” soal Mail dengan nada ceria, tidak terlalu serius. Tidak mahu Lia terasa
sentap dengan soalannya.
Wajah Lia berubah muram seketika, sebelum kembali
tersenyum. “Tak de jodohlah, Long….” Balasnya ringkas. Tidak mahu bercerita
secara terperinci kepada Mail dan Mail tidak mahu mendesaknya. Biarlah.
Lia dan Mail diam sejenak, membiarkan sahaja perbualan
itu berlalu. Mereka masih duduk di atas buaian, sambil melayani perasaan
masing-masing. Petang yang semakin melabuhkan tirainya tiba-tiba sahaja terasa
kelam dan suram. Angin yang berhembus lembut mencecah ke pipi, langsung tiada
nyamannya. Suara nyanyian burung pulang petang, langsung tiada merdunya. Langit
yang beransur jingga, langsung tiada serinya. Perasaan rasa bersalah Mail
menyelubungi segenap jiwanya…hingga menyesakkan aliran nafasnya.
‘Aku mesti lakukan sesuatu untuk selamatkan Lia,’ fikir
Mail sendirian. Dia tidak tahu bagaimana untuk melakukannya, tetapi dia tidak
sanggup membiarkan ibu dan ayah mereka melakukan Lia sedemikian rupa. Lia tidak
bersalah! Lia tidak berdosa! Salah Lia hanyalah kerana dia seorang anak yang
tidak mampu melawan kehendak orang tuanya. Salah Lia hanyalah kerana mempunyai
abang-abang yang suatu ketika dulu terlalu muda, rapuh dan rakus dalam membuat
keputusan.
“Along,” suara Lia perlahan menusuk ke telinga. “Lia tau
apa yang Along tengah fikirkan sekarang ni. Lia tak nak Along cakap apa-apa pun
pada mak atau abah pasal ni. Lia tak nak hubungan Along dengan mak abah nanti
jadi buruk balik.”
Mail terkejut kecil pabila Lia dapat meneka dengan begitu
tepat sekali apa yang sedang difikirkan ketika itu. Niat Lia begitu murni tidak
mahu melihat Mail kembali bertelagah dengan ibu dan ayah mereka. Mail kagum
dengan adiknya itu. Tidak ternilai pengorbanan Lia kepada keluarga mereka
selama ini.
Mail mengangguk perlahan tanda dia memahami permintaan
Lia. Dia harus memikirkan cara yang lain untuk melepaskan Lia daripada belenggu
ini, tanpa mengeruhkan lagi hubungannya dengan orang tua mereka. Mail harus
berusaha…demi Lia. Tapi bagaimana?
“Bila Along nak bagi tau mak dengan abah pasal Along
sambung study?” soal Lia cuba
mengalihkan topik perbualan mereka. “Along terlalu berahsia. Kalau diaorang tau, mungkin taklah diaorang berperangai macam ni.” Lia
membuat rumusan. “Mungkin hati mak dan abah akan terpujuk dengan perkara ni, manalah
tau?”
Mail merengus kecil. “Biarlah diaorang tak tau, Lia. Along takut sangat kalau-kalau Along gagal
ke, atau tak dapat grad…nanti lagi
teruk. Biarlah Along lulus dulu baru Along bagi tau diaorang. Sekurang-kurangnya, diaorang
takkan kecewa lagi sekali kalau Along sekadar hangat-hangat tahi ayam je…” kata
Mail cuba berjenaka. Biarlah rahsia ini menjadi rahsia antara dirinya dengan
Lia sahaja dulu.
Lia tergelak kecil dan mengangguk. “Betul jugak cakap
Along tu. Tapi Lia harap Along takkan putus asa. Lia nak sangat tengok Along grad masa konvo nanti. Tak sabar rasanya
nak tengok reaksi mak dan abah nanti…Mesti diaorang
bangga dengan Along…”
“Insya-Allah.” Mail membalas senyuman Lia.
Walaupun Mail bakal menamatkan pengajiannya enam bulan
lagi, dia takut untuk menceritakan perihal pembelajarannya kepada kedua orang
tua mereka. Sejak Mila meninggalkannya, duit gajinya banyak boleh disimpan di
bank dan akhirnya, dia mampu menyambung pelajarannya secara separuh masa demi
menggenggam segulung ijazah. Mail mengambil kelas malam setiap hari, lima hari
seminggu dan walaupun terpaksa mengambil masa yang lebih lama untuk menamatkan
pengajiannya, dia tidak kesal. Kini tinggal lebih kurang enam bulan sahaja lagi
untuk dirinya bergelar seorang ‘graduan’. Betulkah ibu dan ayah akan merasa
bangga dengannya nanti?
Lia seorang sahaja yang tahu mengenai hal ini. Mail tidak
berani menceritakan kepada Syam, takut-takut dia akan terlepas menceritakan
kisahnya yang melanjutkan pelajaran kepada ibu bapa mereka. Lagipun, entah
mengapa tapi Mail berasa segan untuk bercerita kepada Syam. Mail tidak mahu
Syam menganggap dirinya menunjuk-nunjuk, walhal dia sedar betapa Syam terpaksa
bekerja keras untuk menyara kehidupannya sekeluarga. Mail yakin Lia akan
berpegang pada janjinya. Dia pasti Lia akan menyimpan rahsia ini hanya antara
mereka berdua.
Sebenarnya, Mail menunggu Lia sejak awal petang tadi
semata-mata kerana niatnya untuk bercerita kepada Lia mengenai Mila yang
baru-baru ini telah datang bertemu dengannya. Tetapi pada saat Lia berhadapan
dengan isu perkahwinan dengan Effendi ini, Mail tidak mahu membebankan lagi
fikirannya dengan masalahnya. Biarkanlah dipendamkan sahaja ketika ini. Lia
sudah banyak terbeban. Tidak henti-henti dia diduga ayah dan ibu sendiri.
Lia meminta diri untuk masuk ke dalam rumah. Mail kembali
berseorangan duduk di atas buaian kayu di hadapan rumah sambil mengimbas
kembali pertemuan antara dirinya dengan Mila tempoh hari.
Memang kedatangan Mila tidak disangka-sangka. Tiba-tiba
sahaja dia datang ke tempat kerja Mail. Mila sekarang kini hidup bersendirian
di pinggir kota
sejak kematian suaminya. Sejak Mila meninggalkan Mail, dia masih tidak diterima
oleh kedua orang tuanya akibat perbuatannya yang telah menconteng arang ke muka
keluarganya. Mila sanggup meninggalkan Mail serta keluarganya demi mengejar
janji kesenangan hidup oleh kekasihnya. Mila leka dibuai janji yang ditaburkan
oleh bosnya sendiri…seorang lelaki berpangkat pengurus yang jauh lebih tua
daripada Mila.
Mail mengakui bahawa Mila merupakan gadis yang paling
diminati di sekolah mereka dulu. Parasnya yang jelita dan perwatakannya yang
manja sering menjadi igauan bukan sahaja bagi pelajar-pelajar lelaki dari
sekolah mereka, tetapi juga lelaki-lelaki daripada pelbagai lapisan, guru
sekolah, pelajar-pelajar dari sekolah lain dan juga jiran-jiran tetangga, sama
ada yang bujang mahupun yang telah berumah tangga.
Mail menganggap dirinya orang yang paling bertuah kerana
Mila memilihnya antara ribuan lelaki lain yang cuba mendekatinya. Akibat terlalu
takut akan kehilangannya ke tangan orang lain, Mail turuti segala kemahuan
Mila, sehingga sanggup melupakan segala pengorbanan kedua orang tuanya
terhadapnya selama ini. Mail sanggup menghampakan dan mencalar perasaan mereka.
Dia sisihkan mereka daripada hidupnya, demi Mila.
Sehingga kini, Mail tidak tahu mengapa Mila memilih
dirinya…atau mungkin dia tidak mahu tahu. Dia bangga menjadi lelaki pilihan
gadis itu. Gadis yang menjadi idaman semua lelaki, menjadi miliknya. Mail
hanyut dalam buih-buih cinta yang ditaburkan Mila. Namun di usia mudanya, dia
tidak dapat menilai erti cinta yang sebenar-benarnya. Dia percaya akan semua
ungkapan cinta Mila kepadanya. Tiada langsung rasa ragu-ragu di hati. Betapa
bodohnya dia…menjadi hamba kepada segala kerenah dan kemahuan Mila.
Mail sedar bahawa ibunya tidak menyenangi Mila. Pernah
sekali dia terdengar ibu mengadu kepada bapanya tentang Mila yang tidak tahu
menjalankan tanggungjawabnya sebagai isteri dan bagaimana jeliknya dia melihat
perangai Mila yang manja dan terkadang mengada-ada. Mail langsung tidak
menghiraukan rungutan ibu dan tidak sampai hati untuk menegur Mila. Kasihnya
yang teramat dalam terhadap Mila tidak membenarkan dirinya melukakan perasaan
isterinya, walau sekelumit sekali pun. Maka dengan sifat diamnya, tanpa
disedari, dia semakin menyakiti hati ibu. Berdosanya dia!! Sedangkan ibulah
yang patut dia dahulukan dalam segala hal…
Mila pula bijak memainkan peranan manjanya di hadapan
Mail. Mail tewas setiap kali Mila membelai dirinya dan membisikkan kata-kata
sayang, sambil meminta itu dan ini daripada Mail. Mail sanggup mengikat perut
asalkan dia dapat menyempurnakan permintaan Mila. Mila pada mulanya meminta
barangan yang biasa-biasa sahaja seperti baju, kasut, tas tangan, alat solek
dan sebagainya. Mail rasakan sebagai seorang suami, memang dia bertanggungjawab
menyediakan semuanya itu. Maka permintaan Mila itu tidak terasa membebankan
atau pun keterlaluan. Mail ikutkan sahaja.
Tetapi apalah baju, kasut, tas tangan dan alat solek
sekiranya dia boleh menerima intan dan permata daripada lelaki lain yang jauh
lebih berharta daripadanya? Tidak mungkin dengan gajinya sebagai seorang tukang
perabot, dia bisa menaburkan kemewahan sebegitu…
Mila mula bosan tinggal berseorangan di bilik sewa mereka
semasa ketiadaan Mail. Mila mula merengek-rengek meminta izinnya untuk bekerja
di kilang berhampiran. Kata Mila untuk membantu mencari rezeki, demi keluarga
mereka pada masa hadapan. Kata Mila lagi, dia ingin meringankan beban Mail.
Mila melemparkan harapan ingin menimang anak dalam masa terdekat dan bagi
mencapai hasrat itu, status kewangan mereka harus lebih kukuh. Mila bijak
berkata-kata. Mail cair dengan permintaan Mila, yang dirasakan begitu
realistik. Maka sekali lagi, Mail akur dengan permintaan Mila.
Beberapa bulan selepas Mail membenarkan Mila bekerja,
isterinya itu mula berubah. Mila tidak lagi meminta itu dan ini daripada Mail.
Dia sangkakan yang Mila mungkin boleh membeli barangan itu semua dengan gajinya
sendiri. Ataupun, dia sudah sedar akan nilai wang bulanan, hasil daripada penat
lelahnya bekerja. Mail langsung tidak bersangka buruk terhadap isterinya. Malah
dia gembira dengan perkembangan ini. Sangka Mail, Mila benar-benar mahu
menyimpan, untuk keperluan mereka pada masa hadapan. Terutama sekali ketika
menimang cahaya mata nanti.
Lama-kelamaan, Mila sering mengadu penat setiap kali Mail
cuba merapatinya. Tiada lagi layanan seorang isteri yang didambakannya. Mila
juga tidak lagi mesra seperti selalu. Tiada lagi kata-kata manja dari bibirnya.
Mail percaya Mila memang benar-benar penat bekerja di kilang membuat sarung
tangan tidak jauh dari kedai perabot di mana dia bekerja. Mail langsung tidak
kisah menyempurnakan kerja-kerja rumah yang ditinggalkan Mila seperti membasuh
dan memasak di dapur yang dikongsi bersama penyewa-penyewa yang lain. Bilik
kecil yang disewa menjadi semakin sempit dengan timbunan baju-baju yang tidak
disimpan. Mail biarkan sahaja.
Sehinggalah Mail menemui seutas rantai emas berloketkan
hati di dalam almari baju mereka secara tidak sengaja. Mail terkejut kerana dia
tidak pernah melihat rantai itu sebelum ini. ‘Mungkin dia beli sendiri
menggunakan duit gajinya,’ fikir Mail. Daripada cuba mendapatkan penjelasan
daripada Mila, Mail diamkan sahaja dan mula memerhatikan segala tingkah laku
isterinya.
Pada suatu pagi, Mila meminta izin untuk keluar bersama
rakan-rakan kerjanya bersiar-siar di Kuala
Lumpur kerana mereka mendapat cuti pada hari itu.
Gembira betul Mila pada pagi itu ketika Mail membenarkannya keluar walaupun
dengan syarat dia perlu balik sebelum terbenamnya matahari. Mila bersetuju.
Walaupun Mail berasa tidak berapa sedap hati pada pagi
itu, dia biarkan sahaja perasaan itu berlalu. Dia teruskan dengan pekerjaannya.
Tepat pukul 1.00 tengah hari, Mail menumpang motor rakan kerjanya untuk membeli
nasi buat makan tengah hari. Di kedai makan Mak Jenab, Mail terserempak dengan
dua teman kerja Mila, juga sedang membeli makanan tengah hari. Mail menegur dan
berbual-bual dengan mereka. Tiba-tiba mereka menanyakan sama ada Mila masih
sakit perut dan sedang berehat di rumah. Barulah Mail tahu Mila sebenarnya
tidak diberikan cuti oleh majikannya tetapi Mila telah menipu untuk mengambil
surat cuti daripada sebuah klinik atas alasan sakit perut.
Mail pura-pura mengatakan bahawa Mila semakin pulih
daripada sakit perutnya dan berlalu dari kedai makan tersebut. Suatu perasaan
yang tidak pernah dia rasakan menyelinap ke sepelusuk tubuhnya. Bermacam-macam
fikiran berlegar di fikiran Mail ketika itu, mengenangkan Lia yang telah
berbohong kepadanya. Apa lagi yang pernah dilakukan Mila tanpa pengetahuannya
sebagai suami? Mail mula mencurigai isterinya sendiri. Perasaan marah dan
cemburu meluap-luap di dalam dada, menunggu masa untuk diledapkan.
Selepas sampai di tempat kerjanya, Mail meminta izin
daripada majikannya agar dia boleh mengambil cuti pada petang itu. Dia ingin
mencari Lia dan mendengar penjelasannya dengan segera. Mail tidak suka perasaan
yang sedang melanda jiwanya ketika itu, yang semestinya lebih memihak kepada
syaitan.
Selepas permintaan Mail diluluskan, dia bergegas ke
tempat kerja Mila. Mail memohon untuk bertemu dengan pengurus Mila tetapi dia
diberitahu Encik Lokman bercuti tergempar pada hari itu. Mail berasa sedikit
curiga mendengar penjelasan pekerja tersebut. Encik Lokman bercuti pada hari
yang sama dengan Mila? Adakah ia cuma suatu kebetulan? Atau suatu yang telah
dirancangkan? Hati yang sememangnya sudah sedia panas, menjadi semakin membara.
Mail cuba mendapatkan alamat rumah Encik Lokman tetapi
tidak berjaya. Polisi syarikat tidak membenarkan maklumat peribadi mana-mana
pekerjanya diberitahu kepada sesiapa jua. Dia pulang dengan perasaan hampa.
Pada mulanya, dia bercadang untuk menunggu sahaja
kepulangan Mila di bilik sewa mereka dan ‘menyerang’ isterinya itu, tetapi dia
bertukar fikiran selepas beberapa ketika. Dia nekad untuk kekal bersabar dan
mengambil pendekatan berhati-hati. Mail tidak mahu tersilap langkah. Dia perlu
bukti yang kukuh untuk menjerat Mila. Mengapa Mila menipu? Apa yang cuba
diselindungkannya?
Mila pulang sebelum Maghrib, seperti yang dijanjikan.
Mila begitu ceria sambil bernyanyi-nyanyi kecil ketika menyalin pakaiannya. Dia
langsung tidak menegur Mail, apa lagi menghiraukan suaminya itu. Langsung tidak
menanyakan hal makan minum suaminya sendiri. Terus sahaja dia keluar untuk
mandi. Mail menyimpan sementara perasaan marah dan geram yang terbuku di hati.
Dia harus bersabar!
Sejak hari itu, Mila mula pulang lewat atas alasan
mengambil kerja lebih masa untuk menambah pendapatan keluarga. Mail berasa amat
curiga tetapi berkelakuan seperti biasa agar Mila tidak mengesyaki sebarang
kelainan daripada tingkah lakunya. Mail biarkan sahaja Mila pulang lewat selama
lebih kurang seminggu, dan Mila semakin selesa dengan perlakuannya, mungkin
kerana disangkakan Mail percaya akan semua kata-katanya. Mila langsung tidak
mengesyaki apa-apa.
Pada suatu hari Mail menyatakan hasratnya untuk
pulang menziarahi ibu dan bapanya berserta cadangan untuk bermalam di sana.
Mail mengajak Mila bersama tetapi bermacam-macam alasan diberikan agar dia
dapat tinggal berseorangan di bilik sewa mereka. Mail setuju dan Mila kelihatan
begitu lega tatkala dia pergi meninggalkannya.
Perangkap Mail menjadi pada malam itu. Riak gembira di
wajah Mila ketika mengetahui Mail hanya akan pulang keesokan harinya,
benar-benar melukakan perasaannya. Perasaan syak terhadap kecurangan isterinya
sendiri semakin nyata. Mail hanya perlu menunggu…dan penantiannya malam itu
akhirnya membuka mata dan mengetuk pintu hati Mail…Inilah wanita yang dipuja selama
ini…yang diagung-agungkan melebihi ibunya sendiri…Matanya yang buta kini
kembali celik…telinganya yang tuli kini mendengar kembali…Mail bersyukur
semuanya sudah berakhir.
Walaupun sudah bertahun-tahun malam itu berlalu, Mail
masih tidak dapat melupakannya. Peristiwa malam itu masih menggores hati dan
perasaannya. Lalu dia memejamkan mata dan menghela nafas panjang sambil mencuba
untuk menghalang kenangan pahit itu daripada menerjah masuk ke ingatan.
Kedatangan Mila tempoh hari telah mengembalikan semua
kenangan itu…semua kedukaan yang pernah dirasakannya. Walaupun dia tahu langkah
seterusnya yang perlu diambil, namun kali ini, biarlah dia mendengar pandangan
daripada orang lain pula. Biarlah keputusannya ini mendapat tempat di hati
keluarga. Dia hanya menunggu masa yang sesuai untuk berbicara dengan Lia
dahulu. Nanti sahaja bila semuanya sudah kembali reda, Mail akan ke sini
kembali. Buat masa ini, dia tidak akan terburu-buru mengambil sebarang
keputusan. Dia sudah belajar daripada kesilapan lalu…
No comments:
Post a Comment