Intan
Marliana
Hiruk pikuk yang menyelubungi segenap rumahku
sangat-sangat melemaskanku. Suara terjerit-jerit daripada makcik-makcik yang
sibuk memberi arahan itu dan ini serta bunyi tukul melanggar paku bagai
jarum-jarum yang menusuk ke dalam telingaku. Aku rasa ingin menjerit sahaja,
melepaskan segala yang terbuku di hati agar segalanya akan berubah kaku dan
semuanya akan kembali ke sedia kala.
Aku memencilkan diri di dalam bilik kecilku. Sedikit pun
aku tidak terasa mahu melibatkan diriku dalam semua kesibukan yang langsung
tidak membawa sebarang erti kepadaku.
Bagaimana ini semua boleh terjadi? Mengapa mereka tidak
mahu mendengar rintihan hatiku ini? Mengapa perasaanku langsung tidak
dipedulikan? Bagaimana lagi harus aku tunjukkan pemberontakan hati naluriku
ini? Bagaimana?
Berdosakah aku sekiranya aku merasa benci terhadap orang
tuaku sendiri? Derhakakah aku sekiranya aku bertekad untuk tidak akan memaafkan
mereka atas desakan ini?
Ya Allah…aku tahu Kau mendengar segala rayuan dan
doaku…Bagaimana harus aku meredai segalanya ini, ya Allah? Bagaimana?
Mungkin aku harus lari sahaja daripada semuanya ini…lari
meninggalkan apa yang telah dirancangkan untukku. Sanggupkah aku menjadi
seorang yang bakal mencontengkan arang ke muka ibu dan bapaku? Sanggupkah aku
percikkan api-api malu ke wajah tua mereka, yang kian menampakkan keceriaan
sejak ibu dan bapa Effendi datang meminangku?
Aku sememangnya seorang pengecut! Mengapa aku terlalu
ingin menjaga hati kedua orang tuaku? Mengapa harus aku kisah apa yang bakal
terjadi kepada mereka sekiranya aku lari meninggalkan rumah ini?
Tetapi…memang aku kisah…dan memang aku tidak sanggup
sekiranya aku menerima nasib dan layanan yang sama seperti abang-abangku. Aku
anak yang sentiasa patuh kepada perintah ibu dan bapanya…aku anak yang tidak
pernah melukakan hati dan perasaan mereka…anak yang menjadi kebanggaan mereka
selama ini. Mahukah aku sia-siakan sahaja tanggapan mereka terhadapku selama
ini? Pastinya tidak!
Namun hati kecilku tidak mampu menidakkan kekecewaan yang
kurasakan kini. Tiada pernah kuduga begini caranya aku akan menamatkan zaman
bujangku. Seperti wanita lain, aku juga impikan suatu perkahwinan yang terbina
dek perhubungan yang bertatahkan kasih dan sayang. Bukan secara paksaan begini.
Apakah aku tidak mempunyai hak untuk mencari kebahagiaan ku sendiri?
Pernah suatu ketika dahulu, aku berangan untuk membina
sebuah keluarga bahagia dengan lelaki yang pertama pernah bertakhta di hatiku,
Azim. Seorang lelaki yang romantik dan penyayang. Yang cekal dan tidak mengenal
erti putus asa. Dia berjaya menembusi kekebalan hatiku dengan kata-kata manis
bak madu bersama surat-surat cinta penuh puitis. Dari Tahun Pertama lagi dia
cuba mendekatiku. Tetapi aku teramat menjual mahal ketika itu. Hanya ketika aku
berada di Tahun Dua, aku mula membuka pintu hati untuknya. Aku tewas akhirnya
setelah sekian lama dia memujuk dan merayu…
Manis betul saat mula-mula menjalinkan talian kasih dan
ikatan sayang. Semuanya indah belaka. Meniti hari-hari bak berjalan di
awang-awangan…aku dibuai mimpi penuh fantasi…menyulam impian indah bersama
jejaka yang tekad menabur janji untuk sehidup semati bersamaku…namun akhirnya terkubur
ke bumi…
Sejak perpisahan aku dan Azim, tiada lagi ruang untuk
hati ini menyambut panggilan cinta daripada mana-mana lelaki. Bukan kerana
kasihku yang masih utuh terhadapnya…jauh sekali aku merinduinya…Namun kegagalan
masa lalu masih menghantui setiap langkahku. Terkadang terasa baru semalam aku
menutup buku dan mengucapkan selamat tinggal kepada kekasihku itu. Kini, aku
bakal melangkahkan kakiku ke alam rumah tangga bersama seorang lelaki yang
tidak kukenali…tidak kucintai…
Bagaimana aku boleh jadi begini? Memang Effendi ada
memberitahuku tentang niatnya untuk berterus-terang dengan orang tuanya akan
keputusannya bersetuju untuk mengahwiniku. Namun aku tidak sangka begitu pantas
mereka datang meminangku. Tatkala aku masih mencari waktu yang sesuai untuk
memujuk ibuku untuk tidak meneruskan dengan rancangannya, Auntie Hamidah dan
Uncle Razali datang ke rumah membawa ‘perkhabaran gembira’! Gembira buat ibuku
tetapi begitu perit buat diriku sendiri. Aku tidak berdaya melakukan apa-apa
memandangkan pinangan diterima tanpa mendapatkan kata putus dari mulutku
sendiri. Kejam! Ibu dan ayah amat kejam…
Sememangnya ibu ada bertanyakan keputusanku sebaik sahaja
aku pulang daripada berjumpa dengan Effendi. Aku berterus terang dengan ibu
bahawa aku belum bersedia untuk berkahwin dengan Effendi, atau sesiapa pun jua.
Aku tidak mahu berkahwin dengan orang yang tidak aku kenali. Ibu antara endah
tidak endah mendengar pendirianku. Dia langsung tidak mahu mendengar
penjelasanku dengan lebih lanjut lagi.
Aku bertekad untuk tidak berputus asa dan terus cuba
memujuk ibu, tetapi aku terlambat. Pinangan daripada Effendi diterima ibu dan
ayahku tanpa banyak bicara. Cincin tanda, merangkap cincin tunang disambut
mesra, walaupun tanpa kehadiranku. Cincin tunang emas putih bertatah berlian
dengan potongan princess disarungkan
sendiri oleh ibuku ke jari manisku. Aku tergamam melihat keindahan cincin yang
nampak begitu elegan dan eksklusif. Kilauannya menusuk masuk ke anak mataku
yang tiba-tiba sahaja digelinangi air mata yang mengalir ke pipi.
Ibu cuba
memberi kata semangat kepadaku. “Lia, ni takdir dan jodoh, kau. Mak nak kau
terima dengan hati yang terbuka dan reda dengan ketentuan Allah untuk kau. Kau
diterima dan disayangi bakal mentua sendiri! Perkahwinan ni direstui kedua-dua
keluarga, nak. Hati mak yakin, inilah yang terbaik untuk kau, Lia.”
Sedikit pun kata-kata ibu tidak memberi sebarang kesan
kepadaku. Ibu tidak bisa memujuk hatiku yang walang. Aku pasrah menerima cincin
di jari tanda aku kini bergelar tunangan kepada Effendi.
Terdetik di fikiran untuk menghubungi Effendi sahaja,
tetapi aku tidak berani. Aku tidak tahu apa yang harus aku lakukan. Sehinggalah
Effendi sendiri yang menghubungiku, seperti dia tahu sahaja dilema yang sedang
menyelubungiku. Masih aku teringat perbualan kami setelah kami secara rasmi
dianggap telah mengikat tali pertunangan.
“Lia, Lia pakai tak cincin pemberian Fendi?” soal Effendi
sebaik sahaja salam diterima dan dibalas.
Terdetik di hati untuk membohonginya dan mengatakan
bahawa aku telah pun mencampakkan cincin itu ke dalam tong sampah, tetapi aku
tidak sampai hati berbuat demikian. Aku sendiri tidak tahu mengapa aku tidak
sanggup menipu Effendi. Yang pasti, ibu sentiasa memerhatikan jariku dan akan
menegurku sekiranya cincin itu tidak tersarung di jariku.
“Pakai,” jawabku perlahan. Dingin.
Terdengar keluhan kecil Effendi di talian. “Fendi tahu apa
yang Lia fikirkan sekarang ni, tapi percayalah, Fendi tahu apa yang Fendi
lakukan…” ujarnya. “Lia mungkin rasa tertekan dengan semua ni tapi Fendi akan
jelaskan semuanya pada Lia lepas kita kahwin nanti…”
“Kenapa Fendi tak boleh jelaskan sekarang? Fendi faham
tak yang Lia belum bersedia nak kahwin? Lia masih mencari kerja. Lia nak kumpul
duit dulu. Kenapa cepat sangat kita kena kahwin?” suara ku sedikit keras dan
meninggi akibat perasaan hampa dan amarahku. Aku buntu mencari jalan keluar.
Effendi yang kuharapkan untuk tidak meneruskan hajatnya turut membuatku rasa
hampa.
Aku cuba mengendurkan suaraku. “Fendi, boleh tak kita
tangguh dulu perkahwinan kita ni? Kita baru je jumpa sekali. Kita tak pernah
saling mengenali pun sebelum ni. Dua minggu lepas tu kita dah bertunang.
Sekarang mak kata kenduri kahwin dalam masa dua bulan. Kenapa macam
terburu-buru sangat sedangkan dengan anak Fendi pun Lia tak pernah jumpa lagi?”
“Fendi minta maaf tapi perkahwinan ni mesti diteruskan.
Fendi tak akan batalkan perkahwinan ni. Lia sekarang dah jadi tunangan Fendi.
Fendi tak akan putuskan ikatan ni!” Tegas nada suaranya.
Aku tertekan. Sungguh tertekan. “Fendi, please…” Aku mencuba lagi namun
kata-kataku terhenti di situ. Aku tidak tahu apa yang perlu dikatakan lagi.
“Lia, don’t worry.
Nothing bad is going to happen to you.” Suaranya lembut, seolah-olah
memujukku. “Apa yang Lia risaukan sebenarnya?”
Aku terdiam sejenak. Aku cuba berterus-terang dengannya.
“Lia…Lia sebenarnya belum bersedia menggalas tanggungjawab seorang isteri.
Banyak yang Lia tak tahu…”
Ku dengar Fendi tertawa kecil di hujung talian, membuat
hati bertambah nanar.
“Tu je ke yang Lia risaukan? Fendi rasa tu masalah kecik je. Kita ada banyak masa untuk
mengenali diri masing-masing lepas kita kahwin nanti. Lagipun, Fendi faham yang
Lia mungkin perlukan sedikit masa untuk jadi isteri Fendi sepenuhnya…Hanya satu
yang Fendi nak mintak daripada Lia….”
“Apa dia?”
“Masa majlis akad nikah dan kenduri nanti, Fendi mintak sangat Lia tunjuk pada semua yang
Lia happy dengan perkahwinan ni.
Fendi nak Lia senyum selalu dan tak tunjukkan rasa sedih pada khalayak ramai.
Orang lain tak perlu tahu apa sebenarnya yang tersirat di hati kita
masing-masing. Itu bukan soal diaorang
untuk ambik tau. Yang penting, Fendi
nak keluarga kita rasa bahagia dengan perkahwinan kita.” Fendi menyambung lagi.
“Lagipun, takkan Lia nak gambar-gambar Lia nanti semuanya muka masam mencuka, kan? Apa pulak kata famili kita nanti…”
Lawak Fendi tidak menjadi. Aku kekal diam membisu. ‘Nak mintak aku berlakon bagai! Banyak
cantik??!!’ gerutu hatiku. ‘Ingat aku ni siapa? Lisa Surihani?’
Aku dengar Fendi mengeluh lagi di talian dan berkata
lagi, “Lia, kalau Lia sanggup turuti permintaan Fendi ni, Fendi janji akan
tunaikan satu permintaan Lia pada Fendi nanti. Apa-apa je. Anything you want…any time…”
Aku mengalah dan akhirnya bersetuju dengan permintaan
Fendi. Ketika itu, aku tahu bahawa aku telah tewas. Tiada siapa yang akan
membatalkan perkahwinan yang telah diatur oleh kedua orang tua kami, melainkan
campur tangan daripada Yang Maha Esa. Tiada siapa yang mampu menolongku
sekiranya aku seorang sahaja yang tidak mahu meneruskannya.
Tidak ku sangka masa berlalu dengan begitu pantas sekali.
Segala persiapan tersedia untukku tanpa sebarang bantahan. Panggilan telefon
daripada Effendi tidak lagi kuterima. Segala rancangan diutarakan melalui
ibunya, ataupun ibuku. Pilihan warna, baju, barang hantaran, perhiasan dan
sebagainya, tidakku ambil peduli. Semuanya dibereskan tanpa sedikit pun
bertanya akan pendapatku.
Namun aku tidak dapat lagi memekakkan telingaku.
Persiapan-persiapan akhir makin rancak dilaksanakan. Setiap bilik di rumahku
kini dipenuhi sanak saudara yang datang dari jauh ataupun dekat. Langsir lama
diturunkan dan yang baru dipasangkan. Setiap ruang lantai di tingkat bawah
rumahku diselimuti dengan permaidani indah lagi tebal. Lampu kelip-kelip
digantung memenuhi segenap dinding ruang tamu, terutamanya di tempat pelamin
didirikan.
Esok bakal berlangsung majlis akad nikahku. Jurunikah akan
datang tepat jam 11.00 pagi untuk mejadikan aku isteri Effendi yang sah.
Mampukah aku melaluinya?
Ketukan kecil di pintu bilikku tidak ku endahkan.
Persetankan mereka di luar itu. Aku tiada lain, cuma punya rasa marah dan benci
pada semua mereka itu. ‘Pergi semua dari sini,’ jerit hatiku. Biarkan aku
berseorangan!
Namun ketukan di pintu masih belum berhenti. Aku masih
diam menyepi. “Lia, Lia…ni Nisha ni…bukaklah
pintu…” suara Nisha membuatku bergegas bangun dan berlari ke muka pintu. Pantas
aku membuka pintu dan menarik Nisha masuk ke dalam bilik, lalu mengunci pintu
kembali. Aku memeluk Nisha tanda terharu dengan kedatangannya. Mataku berkaca.
“Eh! Kenapa ni?” Nisha jelas kaget melihat reaksiku yang
tidak semena-mena.
“Kau datang jugak
Nisha. Aku ingatkan kau tak datang!” Aku menelan tangis. Terasa amat payah
sekali.
Nisha tersenyum sambil berkata, “Hei! Akukan pengapit!
Takkan aku tak datang pulak, kan?”
Aku membalas senyuman Nisha dan memeluknya sekali lagi.
“Aku bersyukur sangat kau datang…”
Nisha menarikku duduk bersamanya di birai katil. “Hei!
Orang nak kahwin muka berseri-seri. Kau ni lain macam je aku tengok!” kata
Nisha mengusikku. Padahal Nisha mengetahui sepenuhnya mengapa aku gelisah
menantikan hari esok. “Macam mana ni, Lia? Takkan kau nak muka kau sembap
esok…pucat semacam je aku tengok? Kau ni tak cukup rehat ke apa?”
Aku mendengus geram. “Sikit pun aku tak rasa macam sorang pengantin, Nisha. Macam mana muka
aku nak berseri-seri? Aku benci dengan semua ni!!”
Nisha menggeleng-gelengkan kepalanya. “Sudahlah, Lia. Kau
sepatutnya dah terima ni semua sebagai takdir yang ditentukan Allah untuk kau.
Ni jodoh kau, Lia. Aku sentiasa doakan kau, Lia…”
Aku mengangguk perlahan. “Cumanya, aku akan jadi ibu
segera kepada anak Fendi nanti. Aku risau sebab aku tak pernah jumpa pun anak
dia. Sekali dia benci pada aku ke, apa ke, apa aku nak buat?” Gusar hati
memikirkannya.
“Budak tu baru lima tahun,
kan? Bukannya
dia tahu buat apa pun. Sudahlah kau ni. Fikir yang bukan-bukan je…” Nisha cuba
mententeramkan perasaanku. “Kau ni janganlah ikutkan sangat dengan cerita kat
TV tu semua…”
Memang aku berasa risau tentang Ina, anak Effendi. Risau
dia tidak dapat menerima kehadiranku sebagai ibu tirinya. Macam-macam berlegar
di fikiranku mengenai layanan Ina terhadapku nanti. Walaupun aku tidak pernah
bertemu dengannya, aku bersimpati akan nasibnya yang terpisah dengan ibu
kandungnya akibat perceraian ayah dan ibunya. Anak kecil yang tidak berdosa
sering menjadi mangsa.
“Eh! Macam mana dengan offer kerja yang kau dapat tu?” suara Nisha menyedarkan aku dari
lamunan. “Aku lupa nak tanya kau hari tu.”
Wajahku berubah muram. “Aku tak boleh acceptlah, Nisha…” balasku meleret.
Kesal. “Dah dapat tawaran kerja, tapi aku tak boleh nak terima pulak…Punyalah lama aku tunggu…”
gumamku.
“Laaa…Kenapa pulak?”
soal Nisha.
Aku tatap wajah Nisha yang terpinga-pinga. “Sebab dia nak
aku mula kerja immediately. Maknanya,
dia nak aku mula minggu lepas lagi. Mana boleh, kan? Dengan aku nak kahwin ni, dengan
kenduri lagi. So aku terpaksa tolak.
Aku harap dapat tawaran yang lainlah, Nisha. Dah banyak interview dah aku pergi ni…Penat tau!” Aku mengadu kepada teman
baikku.
“Oh…macam tu. Eh, kau jangan risaulah, Lia. Insya-Allah,
mesti ada tawaran yang lain nanti. Aku pun dah dapat tempat dah nak buat chambering, tau? Aku mula dua minggu
lagi…” Wajah ceria Nisha membuat aku turut rasa gembira.
“Alhamdulillah, Nisha. Aku gembira kau dah dapat tempat.
Kau doakanlah untuk aku pulak, ya
lepas ni?”
Aku berasa teramat lega ketika Effendi menyatakan bahawa
dia tidak akan melarang aku bekerja selepas berkahwin nanti. Aku masih ingin
berdikari dan mencari duit perbelanjaanku sendiri dan tidak ingin bergantung
sepenuhnya kepadanya nanti. Lagipun, niat aku ingin meringankan perbelanjaan
ayah dan ibu masih tidak berubah.
Walaupun jurusan undang-undang ini bukanlah menjadi
pilihanku, namun aku tetap mahu berjaya dalam lapangan ini. Aku mahu tengok
sejauh mana aku boleh pergi dalam bidang ini.
Kehadiran Nisha sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan
kepadaku. Jenakanya membuat aku tertawa dan untuk seketika, aku dapat lupakan
kegelisahanku. Aku tahu dia sengaja cuba mengalihkan perhatianku daripada asyik
mengenangkan hari pernikahanku esok. Kami ketawa menceritakan kisah-kisah lama
ketika di kampus. Aku rasa seperti sudah lama aku tidak ketawa begitu.
Lama juga Nisha menemaniku sehingga aku tidak sedar
matahari sudah tegak di atas kepala. Aku mengajaknya keluar untuk makan tengah
hari semata-mata ingin menjauhkan diri daripada ahli keluargaku yang semakin
ramai mengunjungi rumahku. Aku tidak ada hati dan perasaan untuk mempamerkan
senyumanku kepada sanak saudara yang bertandang dan berlakon kononnya aku amat
gembira dengan perkahwinan ini.
Aku sangkakan pemergian kami tidak akan disedari memandangkan
betapa sibuknya suasana di rumahku ketika itu. Namun, ibuku yang menyedari
kelibatku yang cuba meninggalkan rumah, memanggilku dari jauh.
“Lia nak ke mana tu?” soal ibu dari muka pintu.
“Nak keluar makan dengan Nisha jap, mak…” balasku secara
lewa. Malas!
Ibu mengangguk sambil mengingatkan aku agar segera pulang
ke rumah supaya aku mempunyai waktu yang cukup untuk bersedia untuk majlis
berinai malam nanti. Aku mengangguk kecil dan pantas berjalan menuju ke kereta
Kancil milik Nisha. Nisha memandu meninggalkan rumah menuju ke Restoran Delima,
sebuah restoran eksklusif di ibu kota.
“Eh! Kenapa kita pergi makan kat tempat yang mahal ni?”
tanyaku kepada Nisha.
“Jangan risau, Lia. Aku belanja. Lagipun aku dah dapat
kerja ni. Lepas ni entah bila lagi aku dapat jumpa dengan kau pun aku tak tau,
Lia…”
Wajah muram Nisha menjadi tatapan mataku. “Alaaa….takkan
kau tak nak jumpa aku lagi lepas ni…” balasku. Tak sanggup rasanya.
“Aku okey, Lia. Engkau tu yang dah jadi isteri orang
lepas ni. Mestilah susah sikit nak bergerak kan? Kaki kau akan kena ikat nanti…” Nisha
berjenaka.
Sedih aku mendengar kata-kata Nisha. “Janganlah cakap
macam tu Nisha. Kau seoranglah sahabat aku. Aku tak percaya dengan sesiapa pun
melainkan kau. Mestilah kita akan terus bersahabat lepas ni, kan?” Takkanlah
Effendi akan menyekat pergerakanku begitu sekali?
Nisha menggenggam tanganku sambil mengukirkan senyuman.
“Insya-Allah, Lia. Persahabatan kita akan kekal selamanya…Kita masih boleh
berhubung macam biasa. Call, e-mel, chatting…tak kisahlah…”
Aku lega mendengar jawapan daripada Nisha. Tidak dapat
aku bayangkan hidup ini tanpa Nisha. Dialah seorang teman yang aku perlukan
dalam hidupku. Sokongan dan nilai persahabatannya selama ini, tidak mungkin
dapat kucari ganti.
Sementara menunggu makanan yang dipesan, Nisha banyak
berceritakan perihal dirinya yang baru berkenalan dengan seorang jejaka yang
dianggapnya cukup istimewa. Aku hanya mampu tersenyum tanda aku benar-benar
gembira dengan perkembangan Nisha ini. Aku berharap Nisha akan menemui sinar
kebahagiaan dalam hidupnya. Nisha pun dah lama single.
“Kau jumpa dia kat mana?” soalku teruja ingin tahu.
Nisha tersenyum segan. “Kat rumah sepupu aku…Dia kawan
baik abang sepupu aku. Tau-tau, abang sepupu aku kata, dia mintak nombor telefon aku…”
“Amboi…dah dating belum?”
“Kau gila? Kau nak aku kena sembelih dengan bapak aku nak
dating bagai? Hish! Setakat telefon-telefon jer…” Nisha tersipu.
“Takkan tak jumpa? Camna nak tau serasi ke tak? Ajaklah
sesiapa temankan kau…takkan bapak kau tak bagi jugak…” cadangku.
“Aku seganlah, Lia. Setakat ni, dia tak pernah pun ajak
aku keluar lagi…Takkan aku pulak yang
berlebih-lebih?” bidas Nisha.
“Hmmm…betul jugak
tu…” Aku mengangguk.
Sedang asyik berbual, kedengaran seseorang memberi salam
dari tepi kanan meja kami. Aku menjawab salam yang diberi dan lantas mendongak.
Aku tergamam melihat Effendi tersenyum sambil mendukung seorang kanak-kanak
kecil, yang kukira anaknya, Ina. Sejak pertemuan kami yang pertama di Hotel
Istana, inilah kali kedua aku berjumpa dengan Effendi. Tiba-tiba sahaja
jantungku berdebar apabila bertentangan mata dengannya dan aku terus hilang
dalam renungan lembut matanya.
Nisha menguis tanganku, lantas menyedarkanku.
“Errr…Fendi. Fendi buat apa kat sini? Eh, kenalkan, ni
kawan Lia, Nisha. Nisha, ni tu…tunang aku, Fendi…” Kata-kataku tersekat-sekat.
Payah betul untuk menyebut perkataan ‘tunang’ itu. ‘Apa dah jadi dengan aku ni?
Kenapa aku bagaikan hilang kawalan diri bila berada dekat dengannya?’ marahku
pada diri sendiri.
Effendi mengangguk kecil pada Nisha tanda hormat dan
kembali memandangku. “Fendi datang sini bawak
Ina makan. Dia baru je baik demam, jadi tak de selera nak makan sangat. Inilah
anak Fendi, Marina.
Panggil Ina, je…” Effendi mengenalkan anaknya buat pertama kali kepadaku.
Ina yang sedari tadi asyik memaut leher Effendi sempat
membalas senyumanku, malu-malu. Sungguh comel anaknya. Tembam dan gebu. Ku
yakin apabila dewasa kelak, Ina akan mempunyai paras rupa yang sungguh jelita.
Matanya yang bulat masih memandangku, mungkin hairan dengan diriku yang begitu
asing baginya. Aku cuba
menegurnya tetapi lidahku kelu tidak terkata. Sudahnya aku hanya menghulurkan
tanganku dan Ina menyambutnya mesra.
Tiba-tiba Nisha mengajak Effendi duduk bersama di meja
kami. Aku kaget. Mataku mencerlung memandang Nisha. Effendi yang seperti bisa
meneka perasaanku menolak dengan baik. “Terima kasih, tapi tiba-tiba Ina tak
nak makan kat sini pulak. Dia nak
makan kat McDonalds. Fendi pergi dulu, ya? Nice
meeting you, Nisha.”
Effendi menoleh pula ke arahku. Renungannya cukup dalam,
seolah-olah cuba menyampaikan sesuatu. Dia kemudian mengukirkan senyuman. “I’ll see you tomorrow, Lia. Have a good
rest,” lalu meninggalkan kami.
Senyumannya bagai mentertawakanku. Garisan di pipi
kanannya seolah-olah mengejekku. ‘Mesti dia tau aku tak selesa bila dekat
dengannya. Saje dia usik aku.
Geramnya!’ bisik hatiku. Renungan dan pesanannya tadi cukup jelas. Seolah-olah
memberi amaran, ‘jangan cuba nak lari esok!’ Cis! Aku melihat kelibatnya yang
masih mendukung Ina keluar dari Restoran Delima dengan ekor mata.
“Wow, Lia! Hensemnya...Macam
hero filem Hollywood! Jealousnya aku!” jerit Lia sebaik sahaja Effendi keluar dari
Restoran Delima. “Kau kata sekadar okay je bila aku tanya. Rupa-rupanya tunang
kau ni gila punya hensem! Kalah Aaron
Aziz!” Nisha menampar lenganku.
Aku hanya mendengarkan sahaja Nisha memuji-muji
ketampanan Effendi. Memang aku akui kata-kata Nisha benar belaka, tetapi aku
tidak mahu menyatakannya. Bagiku, paras muka yang tampan tidak menjanjikan hati
yang tulus lagi ikhlas. Tiada jaminan hidupku akan bahagia hanya dengan
mempunyai suami yang tampan dan menawan.
Aku sengaja mengambil masa yang lama untuk menghabiskan
makananku, untuk melengahkan waktu pulangku. Namun akhirnya, Nisha memaksaku
untuk pulang ke rumah. Aku tiada alasan lagi dan akur dengan paksaannya.
Nisha menghantarku hingga ke pintu pagar rumahku. “Esok
pagi aku datang, Lia. Malam ni aku tidur rumah makcik aku kat Cheras. Kalau
apa-apa, kau boleh telefon aku, ya?”
Aku menggangguk dan mengatur langkah menuju ke pintu
rumahku. Abang Mail dan abang Syam sedia menunggu kepulanganku. Mereka
memanggilku naik ke atas untuk berbicara denganku.
‘Apa lagi ni?’ fikirku tatkala mengekori mereka masuk ke
bilikku. Aku benar-benar tak de mood!
Apabila pintu bilikku ditutup rapat, abangku Mail, mula
berbicara. “Lia, Along dengan Angah ada benda nak cakap dengan Lia ni. Err…kitaorang sebenarnya nak berterima kasih
dengan Lia. Kitaorang berdua tak tau
macam mana nak balas jasa Lia pada kitaorang…”
“Betul Lia,” celah abang Syam. “Angah tak pernah tengok
mak dan abah sehappy ni. Nampak
sangat diaorang ceria dan asyik
ketawa je kebelakangan ni. Mesti sebab diaorang
happy Lia nak kahwin dengan pilihan
hati diaorang sendiri.”
Aku tunduk lemah. Aku tahu mereka gembira. Aku tahu
pengorbananku yang satu ini membawa seribu makna kepada mereka. Juga, seakan
berbaloi melihat ibu dan ayahku kembali mesra dengan abang-abangku. Itulah yang
aku harap-harapkan selama ini. Sewajarnya, bukankah aku juga patut berasa
gembira dengan penyatuan kembali keluargaku kini?
Aku mengangguk tanda setuju dengan kata-kata
abang-abangku. Tanpa kusedari, air mataku mengalir di pipi. Aku terharu
abang-abangku menyedari pengorbananku selama ini. Akhirnya aku sedar. Tiada
yang lebih utama bagi seorang anak daripada berbakti kepada orang tuanya…Dapat
memberikan kebahagiaan kepada ayah dan ibunya. Dan kini, aku telah
melakukannya. Aku telah memberikan kebahagiaan yang mereka harapkan daripada
seorang anak. Walaupun dengan mengorbankan kebahagianku sendiri!
“Along percaya, walaupun Lia tak mencintai Fendi dan tak
mahu berkahwin dengan dia, dengan restu mak dan abah, pasti hidup Lia akan
bahagia. Manalah tau, perkahwinan Lia ni akan kekal selamanya, kerna dilimpahi
restu dan doa mak dan abah. Bukan macam kita orang dulu, kan Syam?” Along
seolah-olah memujukku.
Abang Syam mengangguk. “Along dengan Angah pun akan
sentiasa doakan Lia. Janganlah marah sangat dengan mak tu. Dari dulu, mak hanya
nak yang terbaik untuk kita semua. Bila Angah dah ada anak-anak sendiri,
barulah Angah sedar pengorbanan mak dan abah membesarkan kita. Tapi Angah respect betul dengan apa yang Lia buat
ni. Angah berdoa yang anak-anak Angah esok akan jadi anak-anak yang taat pada
ibu bapa macam Lia…”
Kata-kata abang Syam menusuk ke kalbuku. Terharu! Ku
lihat air mata tergenang di kelopak matanya membuatkan air mataku mengalir
semakin laju.
“Maafkanlah Along dengan Angah atas semua kesalahan kita
yang dulu-dulu,” pinta abang Mail kepadaku. “Kalau Along boleh putarkan waktu,
pasti Along tak akan ulangi kesilapan yang telah Along lakukan…tapi nak
menyesal sekarang pun dah tak guna lagi. Along pernah lukakan hati mak dan
abah…dan rupanya luka tu terlalu dalam untuk dihapuskan dengan hanya kata maaf
semata-mata…” suara abang Mail melirih. Penuh kekesalan.
“Lia dah lama maafkan,” kataku teresak-esak. “Lia reda
ini semua takdir Lia. Along pun janganlah terasa hati sangat dengan mak dan
abah tu, ya? Insya-Allah, Lia yakin diaorang
akan dapat terima Along semula…Angah pun...”
Abang Mail mengusap airmataku dan cuba memujukku. “Lia, pergilah
mandi, solat. Kejap lagi dah nak masuk Asar. Lia dah Zohor ke belum?”
Aku menggelengkan kepalaku. Aku mengukirkan senyuman
kepada kedua-dua abangku sambil memerhatikan mereka meninggalkan kamarku. Di
muka pintu, Along berhenti dan memusingkan badannya untuk menghadapku. Dia
melemparkan sekuntum senyuman untuk menutupi sinar kesedihan di matanya. Aku
tahu dia menyesali nasibku ini tetapi dengan tidak semena-mena, aku merasa sangat
lega! Entah mengapa gundah yang kurasakan untuk sekian lamanya, tiba-tiba
hilang entah ke mana. Amarahku kepada orang tuaku, serta kegelisahanku, semakin
menipis. Perbualan dengan abang-abangku sebentar tadi menyedarkanku, lantas
memberikanku suatu sinar harapan yang kini semakin menyerap ke dalam jiwaku.
Mengapa harus aku merasa sedih? Allah kan bersamaku??!!
Sekiranya aku menerima takdirku dengan hati yang terbuka, nescaya Allah akan
membalasnya dengan seribu kebaikan. Aku hanya perlu bertawakkal kerana Allah
sentiasa di sampingku dalam meniti hari-hari yang mendatang.
Aku mengesat airmataku dan bingkas bangun untuk menunaikan
tanggungjawabku kepada Ilahi. Syukur, Ya Allah kerana Kau telah bangkitkan
semula semangatku untuk berhadapan dengan dugaan-Mu ini.
No comments:
Post a Comment