Tiba-tiba ada sepasang tangan yang memeluk Puan Seri dari
belakang. Lia! Terkejut Puan Seri lalu dia memusingkan badan untuk memandang
wajah Lia.
“Cantik tak, mak?” Lia melepaskan pelukannya dan
berpusing-pusing di hadapan ibunya, memperagakan persalinannya lagak seperti
seorang model.
Puan Seri mengamati Lia yang dilengkapi indah dengan
jubah moden berwarna ungu muda, bersulamkan bunga-bunga kecil di bahagian leher
dan pergelangan tangan. Sulaman yang bertemankan manik-manik kecil menambahkan
lagi keunikan busana yang dikenakan Lia ketika ini. Senyuman kecil Lia pada
Puan Seri yang sekian lama dirindukan membuatkan Puan Seri kembali memeluknya.
“Cantik sangat, Lia,” ujar Puan Seri sebak. Dia mengusap
pipi anak gadisnya yang gebu dan mencium dahinya. “Mak tak pernah tengok Lia
secantik ni. Jom, Lia. Orang semua dah tunggu tu.”
Puan Seri memimpin tangan Lia menuju ke ruang tamu yang
sudah dipenuhi sanak saudara. Majlis berinai dimulakan dengan meriah dan penuh
gelak ketawa. Puan Seri seakan tidak percaya mendengar gelak ketawa daripada
Lia apabila diusik tanpa henti oleh sepupu dan juga makcik-makciknya. Sudah
agak lama dia tidak melihat keceriaan di wajah anaknya ini. Dia seakan sukar
mempercayainya.
Sejak Lia ditunangkan, Puan Seri perasan yang anaknya itu
kelihatan murung dan banyak termenung. Lia juga dirasakan semakin jauh dari
dirinya. Dia banyak memencilkan dirinya di dalam bilik dan tidak banyak
menceritakan halnya kepada sesiapa pun. Di dalam diamnya, Lia masih tekun
mencari pekerjaan di firma-firma yang dirasakan sesuai baginya dan kerap
dipanggil untuk temu duga. Ada
juga tawaran yang diterima tetapi ditolak Lia dengan alasan tidak sesuai
untuknya. Sukar untuk Puan Seri memahami anaknya kebelakangan ini. Ada tembok
yang didirikannya, membuat dia sukar mendekati Lia.
Puan Seri tahu selama ini Lia menyimpan rasa marah dan
dendam terhadap dirinya serta suami. Tingkah lakunya begitu ketara mencerminkan
amarahnya. Pada mulanya, Puan Seri berpura-pura tidak merasainya kerana dia
tahu lambat laun Lia akan kembali kepada mereka. Lia tidak akan pernah dapat
membenci ibu bapanya sendiri.
Namun Puan Seri hampir-hampir tewas! Kerana tidak sanggup
lagi menatap kesedihan di mata Lia dan kesuraman di wajahnya, Puan Seri hampir
sahaja akur kepada permintaan Lia untuk membatalkan sahaja perkahwinan dengan
Effendi. Dia tidak mahu dibenci anaknya sendiri! Nasihat Encik Zulkifli turut
menerjah ke telinga. Lia sudah banyak berkorban untuk keluarga.
Namun mimpi aneh yang dialaminya mengenai Lia dan Effendi,
merubah segalanya. Puan Seri bermimpi Lia meriba seorang anak sambil ketawa. Di
sisinya, Effendi berdiri tampan sambil membelai rambut dan wajah Lia. Sesekali
Effendi mencium mesra ke dahi Lia. Mereka ketawa dan bergurau senda.
Mimpi itu ibarat isyarat yang dinantikannya selama ini.
Doanya selama ini seolah-olah mendapat petunjuk dan restu Ilahi. Maka
diteruskan jua dengan persiapan perkahwinan dan ditabahkan segala kerisauan di
hati. Puan Seri tidak henti-henti berdoa agar Lia kembali kepadanya. Lia
merupakan anak perempuan tunggal keluarga. Dan senyuman serta pelukannya
sebentar tadi memberi seribu satu kemanisan kepada Puan Seri. ‘Syukur pada-Mu,
ya Allah!’ doa Puan Seri di dalam hati.
Mata Puan Seri liar mencari Encik Zulkifli. Apabila dia
melihat Encik Zulkifli juga sedang asyik memerhatikan gelagat Lia ketika itu,
Puan Seri percaya suaminya juga berperasaan sepertinya. Encik Zulkifli
mengalihkan pandangannya dan mencari isterinya. Apabila mereka saling
berpandangan, masing-masing mengukirkan senyuman penuh makna. Inilah anak yang
mereka banggakan selama ini…Anak yang tidak putus-putus memberi kegembiraan
buat mereka berdua. ‘Mak bangga dengan kau, sayang,’ bisik hatinya.
Air mata kegembiraan yang mengalir di pipi Puan Seri
diseka lembut. Mail menghampiri dan menyentuh bahu Puan Seri. Dia menoleh dan
memandang ke wajah Mail. Tiba-tiba sahaja rasa kasih dan sayang yang teramat
dalam terhadap Mail menyelinap ke seluruh ruang hatinya. Walaupun dia sudah
lama memaafkan kesalahan Mail, inilah kali pertama dia dapat memandang anak
sulungnya itu tanpa rasa sakit di hati. Dia kesal kerana terlalu lama menyimpan
dendam terhadap Mail. ‘Masakan seorang manusia tidak pernah melakukan
kesilapan? Bukankah dia masih anakku? Tidak dapatkah aku menerimanya seperti
dulu?’ fikir Puan Seri sendirian.
Puan Seri menyambut tangan Mail yang berpaut di bahunya
lalu menggenggamnya erat. Dia mengusap pipi Mail dengan lembut. Mail memejamkan
matanya seolah-olah ingin merasakan kasih sayang yang mengalir dari tangan
ibunya ke wajahnya. Pilu melihat Mail berperang dengan emosinya. ‘Sudah lama
mak mengetepikan dan menyisihkan mu, sayang. Tidak lagi, anakku!’ bisik Puan
Seri di dalam hati. ‘Along anak mak…Along tetap anak mak…’
Mail membuka matanya dan memandang ibunya. Sayu. Puan
Seri seakan tahu daripada senyuman yang tersungging di bibir Mail bahawa dia
memahami kata maaf yang diucapkan oleh Puan Seri walau tidak diucapkan secara
langsung kepadanya. Puan Seri kembali memandang Lia yang ketika itu terpaku
melihat perlakuan Puan Seri serta Mail. Lia memandang mereka berdua dengan
penuh rasa kasih. Dia seakan menyedari apa yang baru berlalu antara Puan Seri
dengan Mail. Lia kelihatan amat lega sekali dan matanya memancarkan suatu
sinaran yang tentunya akan mewarnakan kembali kehidupan mereka sekeluarga.
Puan Seri bersedia membuang jauh-jauh segala keperitannya
yang lalu. Inilah masanya memulakan langkah baharu. Tiada guna lagi dia
memandang ke masa lalu. Sudah bertahun-tahun peristiwa yang menggores hatinya
itu berlalu. Sudah lebih sepuluh tahun pun…
Esok, anaknya, Lia akan memulakan hidup baharu. Restu dan
kasihnya terhadap Lia tidak akan putus selagi nyawa dikandung badan. Dan kini,
Puan Seri dapat menerima sepenuhnya Mail kembali dalam hidupnya. Dia nekad
untuk menerima anaknya itu seadanya. Juga dengan diri Syam serta anak
isterinya.
Puan Seri terima apa yang baik dan buruk mereka, kerana
mereka anak-anaknya. ‘Ya Allah! Aku ampunkan semua dosa anak-anakku yang lalu.
Kau permudahkanlah kehidupan mereka, Ya Allah’. Puan Seri memaut lengan Mail.
Kuat.
Jari-jemari Lia siap diinai. Isteri Syam, Suhaila, kini
sibuk meletakkan inai ke jari anak sulungnya, Rima yang baru berusia enam
tahun. Sesekali terdengar Lia mengusik Rima yang tidak mahu duduk diam ketika
berinai. Sungguh meriah suasana di rumah Encik Zulkifli ketika ini. Puan Seri
yakin kebahagiaan akan menjadi milik keluarganya semula.
Dan Puan Seri yakin Effendi merupakan orang yang paling
cocok dengan Lia. Di hati kecilnya, dia tahu mereka berdua akan bahagia. Puan
Hamidah telah pun menceritakan segala-galanya tentang anaknya Effendi kepada
Puan Seri. Entah mengapa, perasaan hati Puan Seri begitu menebal mengatakan
bahawa Effendilah orangnya yang akan dapat menjaga Lia dengan sempurna. Mimpi
yang dialaminya sebelum ini juga bagai mengesahkan lagi perasaannya ini. Lia
bagaikan permata dalam hidupnya. Maka dia amat berhati-hati dalam melepaskan
Lia kepada sesiapa pun jua. Puan Seri tidak peduli status Effendi sebagai duda
beranak satu. Yang penting, dia tahu Effendi sahajalah yang boleh menjaga dan
menerima Lia seadanya.
Sebagai ibu, Puan Seri kenal sangat dengan budi pekerti
Lia. Walaupun dia anak yang bongsu, tetapi dia bukanlah seorang yang manja
tidak bertempat. Lia menjadi matang dengan begitu pantas, mungkin kerana dia
terpaksa menggalas tanggungjawab abang-abangnya daripada usia muda lagi. Lia
seorang yang lembut tetapi amat berdikari. Tidak suka meminta-minta. Lia akan
patuh menurut segala permintaan mereka berdua walaupun akan membantah pada
mulanya. Puan Seri tahu Lia tidak akan dapat bermasam muka terlalu lama
dengannya. Akhirnya, Lia akan mengalah demi menjaga hati dan perasaannya.
Lia juga seorang yang amat setia di mata Puan Seri. Setia
terhadap abang-abangnya, juga setia kepada sebarang ikatan perhubungan, termasuk
ikatan persahabatan. Dengan didikan yang diberikan kepadanya, serta
kejelitaannya, dia yakin Effendi akan jatuh cinta kepada Lia. Ya! Lia pasti
dapat membuka kembali hati Effendi dan mencairkan segala prasangka buruk lelaki
itu terhadap wanita. Memang Effendi pernah dilukai. Dan tidak hairanlah mengapa
dia memandang sepi akan saranan ibunya untuk beristeri selama ini. Tidak hairan
juga mengapa dia terlampau memilih. Bukan senang mencari seorang perempuan yang
boleh menerima seorang anak tiri. Tapi Puan Seri yakin Lia bukan perempuan
sebegitu. Lia lain…
Puan Seri sebenarnya kagum dengan sifat Lia yang selama
ini bermasam muka dengan mereka sekeluarga kerana memaksanya berkahwin dengan
orang yang tidak dikenalinya, tetapi malam ini, dia bangkit dengan suatu
semangat yang baharu. Apa yang menyebabkan dia berubah begini? Apa pun
sebabnya, Puan Seri bersyukur…amat bersyukur…
Puan Seri menghela nafas panjang. Inilah permulaan baharu
bagi mereka sekeluarga. Dia dapat merasakan di sepelusuk jiwanya, bagai darah
yang mengalir di dalam urat tubuhnya, betapa semua yang kelam akan menjadi
riang…dan semua yang suram akan kembali bercahaya.
No comments:
Post a Comment