DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 3 March 2016

ISTERI AKU KALIS CINTA - BAB 12



Zakuan akhirnya dibenarkan pulang setelah tiga hari tinggal di hospital. Sejak pergaduhan dengan Zahil dua hari lepas, Zakuan semakin dihimpit rasa bersalah atas segala dosanya. Jiwa lelaki itu semakin resah gelisah. Tidak tenang walau berkali-kali cuba diabaikan perasaan bersalah yang sering bertandang.
Kembali ke banglo mewah keluarganya, Zakuan lebih gemar menyendiri. Tidur malamnya tidak lena dan sentiasa dibayangi wajah duka Diya. Lelaki itu bagai dihambat dosa silamnya. Akhirnya Zakuan bertindak menghubungi Zahil. Tiada insan lain yang menjengah ruang fikirannya saat ini melainkan abang tirinya. Kenapa Zahil? Mungkin kerana Zahil adalah satu-satunya orang yang mengetahui dosa silamnya itu.
Zakuan menanti agak lama sebelum panggilan telefonnya dijawab Zahil. Sebaik saja panggilan bersambut, Zakuan terus bersuara. “Zahil, aku nak jumpa kau.”
Zahil tidak terus menjawab. Lelaki itu diam sejenak. “Kau nak bercakap tentang apa lagi dengan aku?” akhirnya Zahil menyoal.
Zakuan merengus kasar. Dia yang saat itu berdiri di beranda sudah mula melangkah masuk ke dalam kamar tidurnya dan duduk di birai katil. “Kau nak jumpa aku atau tak?”
“Baiklah. Jumpa petang nanti,” Zahil memberi persetujuan.
Setelah itu, Zakuan terus mematikan panggilan telefon. Telefon bimbit di tangan dicampak ke tengah katil. Dahi yang masih berbalut kain putih diusapnya lembut.


Zakuan duduk atas kerusi rotan di ruang beranda. Dari situ, dia dapat melihat keindahan taman mini di halaman banglo mewah keluarganya. Zahil pula berdiri menjamah wajah kusut Zakuan sambil belakangnya bersandar pada pintu kaca hitam yang memisahkan kamar tidur dengan ruang beranda.
“Ada apa kau nak jumpa aku?” soal Zahil apabila Zakuan hanya membisu sejak dia tiba.
Zakuan mengeluh lemah. Pandangannya berubah menatap wajah tenang abang tirinya. “Aku tak percaya pada sesiapa pun. Kau pun tahu tu kan. Tapi kau satu-satunya orang yang aku berkeyakinan untuk berkongsi cerita.”
Zahil angguk perlahan mendengar mukadimah Zakuan itu. “Cerita la. Apa yang kau nak ceritakan?” Hati Zahil menduga ia berkaitan Diya tetapi hatinya masih belum pasti akan andaian itu.
Zakuan mengumpulkan seluruh kekuatan untuk meneruskan kata-katanya. “Antara aku dengan Lia. Perbuatan aku pada Lia. Aku harap kau dapat jadi tempat untuk aku kongsikan beban perasaan yang aku tanggung sekarang ni.”
Mendengar nama Lia disebut, Zahil yang bersandar pada pintu kaca secara spontan berdiri tegak. Hatinya terusik. Andaiannya tepat. Zahil kemudian meletak punggung di kerusi rotan yang berada bertentangan dengan Zakuan.
“Apa hubungan kau dengan Lia?” Zahil menduga dengan harapan agar jawapan Zakuan berubah untuk kali ini.
Zakuan mengeluh sekali lagi. Entah sudah berapa kali lelaki itu mengeluh sejak Zahil tiba.
“Semuanya kerana aku terlalu mencintai Lia. Lia… satu-satunya perempuan yang pernah akui cintai.” Luahan Zakuan mengusik getar di hati Zahil.
Zakuan mengeluh lagi. “Keadaan tak akan jadi begini kalau…” Zakuan gigit bibir.
 Akhirnya Zakuan mula membuka cerita. Daripada kisah pertemuan pertama hingga saat terakhir dia melihat Diya. Zahil tekun mendengar dengan sabar. Ditahan perasaan yang mula berombak kencang saat cerita menghampiri kemuncaknya.
 “Aku tak berniat pun nak rosakkan masa depan Lia. Sumpah! Aku tak berniat begitu,” luah Zakuan penuh emosi. Ada nada kesal dalam suaranya.
Zahil beristighfar dalam hati. Ada api amarah yang ditiup syaitan dalam hatinya. Namun hati lelaki itu terus membenteng kesabaran. Jemari diramas-ramas melepaskan gelojak perasaan yang kian berkocak.
Zakuan meraup wajah yang terlukis duka. Lelaki itu kelihatan benar-benar menyesali perbuatannya. Zahil hanya memerhatikan tingkah Zakuan dengan istighfar terus berlagu dalam hati.
“Kenapa kau tak bertanggungjawab atas apa yang telah kau buat?” duga Zahil dengan wajah tenang menutup gelora di hati.
Zakuan terkedu. Meliar matanya mencari jawapan. “Aku… aku… aku takut,” Zakuan menjawab seakan tidak pasti dengan jawapan sendiri.
Zahil tergeleng kesal. “Kau masih cintakan Lia?”
“Aku tak nak ingat lagi tentang dia. Aku tak sanggup berdepan dengan dia lagi. Aku takut. Aku malu. Biar la dia terus benci aku sekali pun. Aku… aku tak nak ingat lagi tentang Lia. Aku cerita pada kau ni pun, sebab aku harap lepas ni aku dapat lupakan terus tentang Lia. Dulu aku berubah untuk Lia. Tapi aku ni jahat Zahil. Lelaki jahat macam aku tak layak untuk dia.”
Zahil mengubah posisi duduk kepada berdiri menghadap pemandangan indah di taman mini. “Kau sepatutnya bertanggungjawab atas perbuatan kau. Bukan terus mempertahankan keegoan kau tu.”
Keluhan lemah kedengaran sekali lagi. Zakuan menyisir rambut dengan jemari. “Dah terlambat.”
“Belum pernah terlambat Zakuan. Pintu taubat belum tertutup,” pintas Zahil seraya berpaling menikam wajah Zakuan.
Mata mereka saling bertaut. Saling bertikam pandangan di mana Zakuan akhirnya tertunduk lemah. “Aku tak nak peduli lagi. Aku cerita pada kau pun sebab aku nak lepaskan semua beban dalam otak aku ni.
“Kau tak menyesal?” duga Zahil.
Zakuan senyum sinis. Kesalnya sudah berbakul-bakul tiada tertanggung lagi. Tidakkah Zahil dapat lihat sehingga masih bertanya? “Aku sangat menyesal sekarang. Kalau la masa boleh diundur kembali…”
“Masa tak akan berpatah semula, Zakuan. Kau harus bertanggungjawab atas apa kau lakukan pada masa lepas. Menyesal sekarang tak mengubah masa lalu. Kalau kau mencintai Lia, kau perlu…”
“Aku tak cintakan Lia lagi!” potong Zakuan. 
Menyilau tajam mata Zahil menikam wajah Zakuan. Mata sepetnya membulat. Tulang pipi Zahil bergerak-gerak.
“Zakuan! Kau harus bertanggungjawab atas apa kau dah buat,” tegas Zahil. Sikap lepas tangan Zakuan mencabar sisa kesabaran Zahil. Dia harus mempertahankan maruah Diya.
Zakuan ketawa kecil. Ketawa yang dibuat-buat untuk menutup kebenaran dalam hati sendiri. “Aku tak cintakan dia lagi. Perasaan cinta tu dah basi,” ringan saja bicara itu dilafazkan Zakuan.
Zahil terkedu. Apa lagi yang terdaya dilakukan Zahil disaat Zakuan sudah berlepas tangan? Zahil rasa marah tetapi sisa kesabaran masih mampu mengawal emosi lelaki itu.
“Cinta yang dah basi?” Zahil senyum sinis. Zakuan tunduk menyembunyikan rasa bersalahnya. “Cinta kau dah basi atau kau tak pernah memiliki perasaan cinta dalam diri kau? Sebelum jatuh cinta pada insan lain, baik kau belajar untuk menyintai diri sendiri dulu. Kelak, cinta kau tak akan basi!” sindir Zahil.
Zakuan terkedu. Kedua-dua jemari tangannya digenggam erat.
“Aku harap kau tak menyesal untuk kali kedua. Ini keputusan kau Zakuan. Jangan pernah salahkan sesiapa kelak.” Zahil berlalu meninggalkan Zakuan sendirian dengan kata-kata yang cukup tegas itu.
Zakuan mengeluh lagi. Pahit untuk dia menelan kata-kata akhir Zahil padanya. Sangkanya meluahkan segala-galanya pada Zahil bakal menghilangkan segala resah yang bergaul dalam hatinya. Sebaliknya dia dibayangi ketakutan. Takut andai dia menyesal untuk kali kedua.
Tapak tangan kanan Zakuan dibawa ke kiri dada. Sambil menutup rapat kelopak mata, bahagian dada itu ditepuk lembut untuk beberapa kali. “Hati ini… masih ada Lia.”


Zahil tidak dapat menahan emosi yang berkocak hebat. Lelaki itu buntu. Apakah yang harus dibuat? Segala-gala yang berlaku terlalu rumit untuk dirungkai. Sejarah hubungan Zakuan dan Diya menjadi tembok penghalang kepada naluri kasih sayang yang tumbuh dalam hati. Bisakah dia menggapai cinta Diya seandainya status dirinya diketahui wanita itu? Dapatkah Diya terima?
Zahil teramat berdukacita. Mengetahui perbuatan Zakuan terhadap Diya, fahamlah Zahil mengapa Diya menjadi kalis cinta. Malah Zahil merasa terlalu malu untuk bersua muka dengan Diya.
Zahil memandu kereta Sonata Hyundainya tanpa arah tuju yang pasti. Masa dihabiskan dengan melayan perasaan yang dihambat kekecewaan dan rasa bersalah. Akhirnya Zahil memandu menuju butik Kamelia walau dia masih tidak pasti sama ada masih mampu berdepan dengan Diya.
Memandang Diya dari luar butik sudah cukup memilukan hati lelaki itu. Zahil tak berdaya mengawal perasaannya. Emosi pantas sekali terusik tatkala memandang seraut wajah Diya yang sentiasa redup. Dapat dibayangkan derita yang terpaksa ditanggung gadis itu selama ini.
Diya mengerutkan dahi apabila terpandang Zahil yang tercegat di luar butik. Bukan kehadiran lelaki itu yang menghairankan sebaliknya air muka Zahil yang keruh menjadi tanda tanya. Zahil nampak sangat berbeza dari sebelum ini. Tiada warna ceria dan aura bahagia melingkari diri lelaki itu. Sebaliknya Zahil kelihatan teramat dukacita.
Asalnya Diya tidak mahu ambil peduli perihal Zahil tetapi keadaan lelaki itu yang terlalu masyghul menyebabkan Diya jadi simpati. Lelaki yang selama ini hanya tahu senyum dan ketawa di depannya kini memperlihatkan pada Diya bahawa setiap manusia tidak akan hanya mengutip bahagia sepanjang perjalanan hidup.
“Kenapa dengan awak ni?” sapa Diya sebaik saja membuka pintu butik.
Saat pandangan mata mereka bertemu, Zahil pantas menundukkan muka. Terasa bersalah untuk membalas renungan mata Diya. Walau bukan dia yang mencipta luka di hati Diya, kesalahan atas perbuatan Zakuan itu dirasakan turut digalas dirinya.
Diya kebingungan. Zahil tidak pernah bersikap begini. Apa yang terjadi?
Zahil terus membisu. Langsung tak berani panggung kepala. Diya semakin diburu kehairanan.
“Tak apa la kalau tak nak cakap.” Diya kembali menutup pintu dan meninggalkan Zahil terus tercegat di situ. Diya mengingatkan diri bahawa dia tidak harus ambil peduli perihal Zahil. Walau merasakan Zahil berbeza daripada Zakuan dan Razif, Diya tetap tidak mahu dekat dengan Zahil. Biarlah kedinginan dirinya menjadi jurang antara mereka.
Namun begitu, Diya tidak dapat mengawal matanya daripada mencuri pandang ke arah Zahil. Sesekali dia memerhatikan teletah lelaki itu dengan hati penuh tanda tanya. Konsentrasi kerja Diya pula yang terganggu. Akhirnya Diya menapak sekali lagi mendapatkan Zahil yang masih kaku di depan butik itu.
“Awak ni kenapa sebenarnya? Kamelia tak datang butik hari ni. Kalau tak ada apa-apa, balik la.” Bunyinya seakan menghalau sedangkan Diya tidak berniat begitu. Dia hanya mahu Zahil berterus terang daripada berkelakuan pelik begini.
Zahil angkat kepala namun anak matanya dilarikan daripada bertemu dengan mata Diya.
“Tak ada apa-apa. Ma… maaf.” Zahil sedaya upaya cuba mengawal getar dalam suaranya. Sejurus itu, Zahil terus berlalu pergi.
Diya yang ditinggalkan sekadar menghantar langkah kaki lelaki itu dengan pandangan mata. Walau Zahil cuba lari dari bertentang mata dengannya, Diya dapat mengesan ada cecair yang bertakung di tubir mata lelaki itu. Adakah Zahil menangis? Terkesima Diya dibuatnya.


Zahil lepaskan gelojak di dada dengan menendang tayar kereta Sonata Hyundai miliknya. Sakit kaki pula setelah melepaskan tendangan kuat tetapi sakit di hati mengatasi sakit kakinya. Zahil masuk ke dalam kereta. Nafas dalam ditarik dan dihela perlahan-lahan. Kemudian Zahil beristighfar beberapa kali.
“Ya Allah, berilah aku petunjuk. Betul ke apa yang aku fikir sekarang?” Zahil pejam mata kejap sebelum membuka kelopak mata perlahan-lahan. Zahil capai telefon bimbitnya lalu menghubungi Kamelia. Talian bersambut dan kedengaran suara Kamelia dari corong telefon.
“Kenapa kau telefon aku ni?” Kamelia membetulkan intonasi suaranya. Tidak mahu kesedihan hati dibaca Zahil.
“Aku nak alamat kampung Diya,” terus terang  Zahil.
“Kau nak buat apa?” hairan Kamelia dengan permintaan itu.
“Boleh tak kau bagi aku?” Zahil inginkan kepastian.
 “Emmm… nanti aku try tanya pada Nur. Tapi aku tak janji tau. Errr… kau nak buat apa dengan alamat tu?” Kamelia tidak dapat memberi janji.
Zahil mengeluh lemah. “Kau ni, kalau aku tak cakap mesti tak tolong dengan senang hatikan.”
Kamelia ketawa kecil. Masih tidak beralah untuk merisik cerita. “Cakap la, kau nak buat apa.”
“Aku nak pergi meminang!”
What?” jerit Kamelia.
Mahu cair tahi telinga dek jeritan Kamelia itu. “Aduh! Sakit telinga aku kau jerit kuat macam tu. Ok, nanti kau mesej aku alamat tu. Dengan segera!”
Talian dimatikan. Kamelia tergamam di hujung talian. Zahil nak pinang Diya? Biar betul!

No comments:

Post a Comment