Kamelia ukir senyum lebar tatkala
Zahil muncul di hadapannya. Nampaknya Zahil masih ringan kaki untuk berkunjung
ke butiknya walaupun perasaan lelaki itu ditolak Diya.
“Bagus kau datang time sekarang”
Zahil mencebik bibir. Lelaki itu
duduk atas kerusi bulat berdepan dengan meja Kamelia. “Hemmm… kau nak
pergunakan aku untuk apa?”
“Hish, perguna apa pula. Aku minta
tolong la.” Kamelia ketawa kecil.
“Ye, nak aku tolong apa mak cik?”
kening Zahil sudah terangkat.
“Tolong pergi beli barang dapur.
Boleh pergi dengan Diya. Ok tak Diya?” Kamelia dan Zahil berkalih memandang
Diya.
“Aaa? Diya?” sedikit terjerit Diya
yang berada hampir dengan mereka berdua. Kenapa aku pula yang kena pergi?
Dengan si Zahil pula tu!
Kamelia angguk pantas.
“Pergi la dengan Zahil. Zahil boleh
tolong bawa barang-barang,” Kamelia mempertahankan cadangannya.
“Tapi Diya tengah kerja sekarang,”
Diya berusaha untuk berdalih.
“Ala, tolong la gantikan. Kamelia
nak pergi tapi sekejap lagi Datin Maimun nak datang. Diya bukan tak tahu, kalau
mak datin tu perangai cerewetnya tu macam mana. Diya belum pandai nak layan
cerewet datin tu. Jadi, Diya tolong gantikan Kamelia ye. Pergi tolong Zahil
beli barang dapur. Zahil ni bukan reti.” Kamelia begitu mengharap.
Diya mati alasan untuk mengelak.
Terpaksa juga dia akur pada cadangan Kamelia itu. Diya pandang sekilas Zahil
yang menunduk kepala sambil mengusap-usap jambang sejemput di dagu.
Diya akhirnya angguk lemah dan
Kamelia mencapai pen dan kertas untuk menulis senarai barang-barang yang perlu
dibeli mereka berdua. Diya kerling Zahil. Zahil panggung kepala dan pandangan
mereka bertaut. Ada kesayuan dalam renungan mata Zahil. Akhirnya Diya alihkan
pandangan mata.
Kenapa ada mendung dalam renungan
mata Zahil itu? Diya telan saja persoalan itu. Mana mungkin dia akan bertanya
pada Zahil. Diya bukan sesiapa untuk mengambil berat perihal lelaki itu. Tidak
perlu!
Tiba di parkir kereta Pasar Raya
TESCO, Zahil turunkan Diya terlebih dahulu sementara dia berpusing-pusing
mencari petak parkir kereta yang kosong.
Diya melangkah menuju pintu masuk ke
dalam pasar raya. Namun langkah kakinya terhenti tatkala dia bertembung dengan
Along yang kebetulan baru keluar dari pasar raya. Terkejut Diya melihat
Alongnya itu kini berdiri di hadapannya setelah begitu lama mereka tidak
bersua.
“A.. a.. Along!” Walau gugup, ada
nada ceria dalam suara Diya. Diya menerpa mendekati Along yang penuh tangannya
dengan plastik berisi barang-barang.
Along tergamam saat terpandang Diya.
Sebaik saja Diya merapatinya, suasana seakan tegang. “Kau siapa? Aku tak kenal
kau!” tengking Along.
Diya terkedu. Along masih bencikan
dirinya. Along masih marah. “Along! Ni adik, takkan Along masih bencikan adik,”
sayu suara Diya berwajah sedih.
“Aku tak ada adik macam kau!”
kata-kata itu sungguh memilukan. Menyucuk-nyucuk hati dan menikam-nikam
jantung.
“Along…” Diya tekup mulut. Sebak
menjalar di hati.
“Tepi!” Along menolak Diya yang
berdiri di hadapannya.
Diya tidak beralah. Lengan kanan
Along dipautnya erat. “Along, maafkan adik. Percaya la, adik tak bersalah.
Jangan hukum adik begini, Along,” rintih Diya sambil menggoncang-goncang lengan
abangnya itu.
Air mata mula merembes di pipi gebu
Diya. Namun Along sedikit pun tidak menjeling wajah adiknya. Sedaya upaya
lelaki itu cuba menarik lengannya dari genggaman tangan Diya. Diya terus merayu
kemaafan yang tiada sudi diberi.
“Lepas la betina!” herdik Along
sambil merentap lengannya menyebabkan Diya tidak dapat mengimbangkan tubuh
lantas jatuh terjelepuk di lantai. Siku Diya bergesel dengan lantai simen.
Diya mengadu kesakitan.
Dibelek-belek, kain baju yang menutupi sikunya sudah terkoyak malah ada darah
merah melekat di situ. Siku Diya telah luka.
Along tergamam. Darah merah yang
dilihatnya menjentik rasa bersalah di sudut hati. Bukan niatnya untuk
membuatkan Diya jatuh. Namun ego dan amarahnya melarang diri daripada
menunjukkan rasa simpati.
Diya tekup luka itu dengan tangan
kanan. Kepalanya dipanggung memandang Along. Along segera memandang arah lain
mengelak bertembung dengan wajah sayu Diya.
“Along, maafkan adik,” rayu Diya
tanpa jemu.
Along diam sebelum kakinya menghayun
langkah berlalu pergi meninggalkan Diya kehampaan. Diya tunduk memandang lantai
simen. Air mata dibiarkan gugur membasah pipi. Luka di siku tangan kiri sudah
mula terasa perit. Lalu luka itu dibelek sekali lagi.
“Macam mana boleh jatuh?” tegur
Zahil yang mula memunculkan diri sebaik saja kelibat Along menghilang. Sengaja
Zahil menyembunyikan diri dan hanya memerhatikan drama luar dugaan antara dua
beradik itu. Walau sakit hati melihat Diya dilayan sebegitu rupa, Zahil menahan
diri dari muncul di antara mereka.
“Errr…errr…” Diya terpinga-pinga.
Terlupa dia bahawa Zahil datang bersama. Menyedari pipi yang basah, segera Diya
mengangkat tangan untuk mengesat pipi. Tatkala tangan kiri diangkat, siku kiri
yang luka ditusuk kepedihan.
“Awww!” adu Diya mematikan
pergerakan tangan kirinya.
Zahil merapati dan mencangkung di
depan Diya yang masih duduk bersimpuh di lantai. Tangan kanan lelaki itu
memegang sapu tangan. Ringan saja tangan Zahil mengesat sisa air mata di pipi
Diya menggunakan sapu tangan putih itu.
Diya terkedu. Tidak berkelip matanya
apabila sapu tangan itu menyentuh pipinya. Berkali-kali Diya telan air liur.
Segan sebenarnya apabila Zahil menunjukkan keprihatinan begitu. Selepas itu,
Zahil menarik tangan kiri Diya dan sapu tangan yang sama ditekup Zahil pada
luka di siku gadis itu. Diya terus tergamam. Tidak tahu ke mana anak matanya
harus mengarah.
“Air mata adalah ubat luka yang
mujarab. Tak perlu malu bila menangis,” ujar Zahil seraya mengukir senyum
manis.
Diya kematian kata. Untuk mengucap
terima kasih juga lidah rasa kelu. Dia malu sebenarnya. Malu kerana Zahil menjumpainya
sedang menangis dan malu kerana tindakan lelaki itu mengesat air matanya serta
menekup luka di siku.
“Boleh bangun?” soal Zahil lembut.
Diya teragak-agak sebelum mengangguk
perlahan. Gadis itu berusaha berdiri sendiri tanpa bantuan Zahil. Mujur dia
berjaya dan tidak terjatuh semula. Diya kerling Zahil yang masih senyum
padanya. Dirasakan pipi Diya cukup tebal kini.
Dek rasa malu itu, Diya lajukan
langkah kakinya untuk berjalan di hadapan Zahil. Tidak mahu bersaing dengan
lelaki itu. Malangnya Diya yang kalut tidak berhati-hati mengatur langkah
menyebabkan kakinya terpelecok.
Tubuh Diya tidak berimbang dan gadis
itu hendak terjatuh berat ke kanan. Zahil yang berjalan di belakang secara
spontan menerpa menyambut tubuh Diya mengelak dari jatuh sekali lagi. Tup!
Tup! Diya seperti berada dalam dakapan Zahil. Fuh! Tak ubah macam dalam drama
Melayu, drama Korea, filem Hindustan dan tak ketinggalan sinetron Indonesia.
Terbeliak mata Diya apabila tubuhnya mendarat atas
tubuh Zahil. Berkali-kali air liur ditelan. Gadis itu segera ingin menjarakkan
diri tetapi postur tubuhnya yang tidak seimbang menyebabkan usahanya untuk
berdiri gagal. Malah sekali lagi Diya hampir terjatuh dan sekali lagi Zahil
membantunya dengan memaut pinggang Diya. Muka Diya sudah merah menyala dek
malu. Malu yang sudah tidak terkata.
Hati Diya berdebar-debar. Mahu tidak, dah rasa macam
berada dalam pelukan je. Bunyi degupan jantung Zahil pun Diya dapat dengar. Dah
kepala Diya betul-betul di dada lelaki itu. Mujur saja Zahil buat muka tidak
berperasaan. Seposen saja riak wajah Zahil membuatkan Diya yang malu tidak
bertambah gandaan rasa malu yang sedia ada.
“Stabilkan diri dulu. Hati-hati, jangan
tergopoh-gapah. Nanti jatuh lagi,” ujar Zahil berbunyi nasihat.
Diya angguk saja. Sudah terlalu malu untuk
menuturkan walau sepatah kata. Perlahan-lahan Diya berdiri tegak dan
menstabilkan tubuhnya. Nafas panjang ditarik dan dilepaskan sebelum memulakan
langkah yang terbantut. Diya terus menapak meninggalkan Zahil yang masih
tercegat di belakangnya. Diya gigit bibir.
“Kenapa la aku hari ni? Ish!” gumam Diya dalam hati.
Mahu saja kakinya menghentak-hentak lantai melepaskan geram pada diri.
Zahil tersenyum menahan geli hatinya dengan teletah
Diya. Zahil tahu Diya malu. Zahil tahu Diya gelabah apabila tubuh mereka
berkedudukan rapat. Akhirnya Zahil hanya menggeleng kepala dengan mata terus
memerhati setiap langkah kaki Diya di hadapannya.
“Diya… awak harus kuat,” lafaz Zahil perlahan.
“Awak pergi la farmasi dekat hujung
sana. Biar saya saja yang pindahkan barang masuk kereta Kamelia,” arah Zahil
sebaik saja mereka berdua keluar dari perut kereta Sonata Hyundai lelaki itu.
Diya teragak-agak pada awalnya
tetapi akur jua. Ini adalah peluang terbaik untuk lari daripada lelaki itu.
Diya menuju arah farmasi dan Zahil mendapatkan kereta Kamelia yang diparkir
selang beberapa buah daripada keretanya. Kunci kereta wanita itu sudah sedia
dalam tangannya.
Sebaik saja usai memasukkan
barang-barang ke dalam kereta Kamelia, Zahil pantas melangkah menuju butik.
“Zahil, kau serius nak pergi kampung
Diya?” Kamelia menyoal sebaik saja Zahil membangkitkan perihal alamat kampung
Diya yang dimintanya beberapa hari lepas.
Zahil sudah membulat tekad. Zakuan
sudah menyatakan pendiriannya dan Zahil sudah melihat sendiri kesengsaraan Diya
yang dipulau ahli keluarganya. Zahil tidak mahu Diya yang teraniaya menanggung
segalanya sendiri. Dia harus berbuat sesuatu.
“Apa yang peliknya?” soal Zahil kembali.
“Tak pelik tapi kau betul-betul
serius?”
Zahil berkalih memandang pintu masuk
ke butik itu. Seperti termenung jauh saja. Kamelia masih menantikan jawapan
untuk soalannya. Soalan yang sekadar menduga kesungguhan lelaki itu.
Zahil kembali menjamah wajah Kamelia
setelah sejenak berpaling. “Aku dah buat keputusan untuk bertemu ibu bapa Diya.
Aku ikhlas,” ada kejujuran dalam jawapan lelaki itu.
Dari air muka Zahil, Kamelia dapat
membaca keikhlasan niat Zahil. Tetapi masih ada sesuatu yang bermain dalam
fikiran Kamelia.
“Bagaimana dengan Zakuan?” Sejak
mengetahui Zakuan mengenali Diya malah turut menyukai gadis itu, hati Kamelia
kebimbangan. Sudah la hubungan Zahil dan Zakuan tidak begitu baik. Ditambah
pula dengan konflik perasaan berkaitan wanita. Oh! Kamelia tidak dapat
bayangkan apa bakal berlaku kelak. Dia begitu kenal sifat adiknya Zakuan Helmi.
Pada sesiapa juga si Zakuan tidak pernah mahu tewas. Inikan pula pada Zahil.
Zahil senyum nipis. Itukah yang
mengganggu fikiran Kamelia? Zahil tahu Kamelia bimbangkan hubungannya dengan
Zakuan terjejas kerana Diya.
“Zakuan harus belajar untuk menjadi
manusia yang bertanggungjawab,” jawapan Zahil membuatkan dahi Kamelia berkerut.
Apa maksud kata-kata Zahil itu?
Kamelia gigit bibir. “Dapat ke
Zakuan terima?”
“Dia harus terima,” balas Zahil
ringkas.
“Zahil, kau dah habis fikir ke?
Takkan sebab seorang perempuan, kau nak keruhkan lagi hubungan kau dengan
Zakuan. Lagipun, kau sendiri cakap yang Diya tak sukakan kau.” Kamelia masih
belum yakin dengan keputusan yang dibuat Zahil.
Zahil senyum nipis menampakkan
barisan gigi yang tersusun cantik. Lelaki itu kelihatan tenang sejak tadi.
Begitulah kebiasannya. Zahil akan cuba untuk sentiasa tenang dalam apa jua
situasi. Namun begitu, ketenangannya sering berkocak sejak akhir-akhir ini.
“Kau tak setuju dengan keputusan
aku?” duga Zahil.
Lambat-lambat Kamelia mengangguk
kepala.
“Kau tak nak beri aku alamat tu?”
soal Zahil inginkan kepastian.
Kamelia mengeluh lemah. Dia serba
salah. Namun akhirnya Kamelia mencapai tas tangan dan mengeluarkan sehelai
kertas kecil tertulis alamat rumah Diya di kampung. Bibir Zahil menguntum
senyuman tatkala kertas itu bertukar tangan.
“Aku tahu kau tak perlukan
persetujuan aku. Aku bagi alamat ni pun sebab aku nak kau bahagia. Buat pertama
kali dalam hidup, kau buat pilihan untuk diri kau sendiri. Sedangkan sebelum
ni, kau akan beralah pada Zakuan dalam segala hal,” bicara Kamelia penuh sayu.
Dia benar-benar inginkan Zahil menemui kebahagian dalam hidupnya.
“Terima kasih Kamelia. Aku lakukan
ini semua demi kebahagiaan Diya.” Zahil kelihatan ceria. Kamelia tersenyum
gembira walau ada kebimbangan di dasar hatinya.
Diya kemudian muncul dan saat itu
Zahil sudah mahu berlalu pergi. Kedua-duanya terserempak di pintu masuk. Diya
terus melangkah masuk ke dalam butik manakala Zahil berganjak ke tepi untuk
memberikan ruang kepada Diya. Zahil senyum manis pada Diya sebaliknya gadis itu
seperti selalu, masih dengan muka tak berperasaan.
Sebelum Zahil melangkah keluar dari
butik, sempat lelaki itu mengucapkan salam pada Diya. “Assalamualaikum… cinta.”
Diya terkedu. Nak terbeliak biji
mata pun ada. Segera Diya berkalih memandang Zahil yang sudah pun berdiri di
luar butik. Zahil tercegat di hadapan pintu kaca butik sambil melambai tangan
pada Diya. Diya gigit bibir. Geram!
Kemudian Zahil berlalu dengan bibir
menguntum senyum manis. Diya tergeleng-geleng melihat teletah lelaki itu. Sabar
saja dengan kerenah Zahil yang adakalanya keanak-anakkan.
Diya merapat Kamelia dan duduk di
kerusi yang dikosongkan Zahil.
“Banyak betul barang-barang dapur
yang Kamelia suruh beli. Nak buat kenduri ke?” soal Diya sekadar ingin tahu.
Kamelia senyum nipis. Diya ni gadis
yang cantik, manis dan baik. Memang tak hairan la kalau Zahil dan Zakuan boleh
jatuh hati. Beruntung kalau Diya jadi isteri Zahil. Macam mana la Diya ni boleh
kenal Zakuan? Hati Kamelia bermonolog sendiri.
“Kenapa tengok Diya macam tu?” soal
Diya setelah Kamelia memerhatinya tak berkelip-kelip.
Tersentak dengan teguran Diya itu,
Kamelia ketawa kecil. “Tak ada la. Errr… Diya cakap apa tadi?”
Diya tersenyum melihat teletah
Kamelia. Apa la yang Kamelia ni angankan. Ingat kekasih ke?
“Tak, Diya cuma cakap barang yang
Kamelia minta belikan tu banyak sangat. Macam nak buat kenduri je,” ulang Diya.
“Oh! Tak, esok malam ada buat
makan-makan sikit. Sekadar makan malam family
untuk sambut birthday adik,” jawab
Kamelia selamba.
“Oooo…” Diya angguk faham. Patut la
banyak betul barang-barang yang disenaraikan dalam list. Penat juga pusing-pusing cari barang. Sudah la Zahil tu
seperti yang dikatakan Kamelia, tak tahu langsung macam mana nak mencari barang
dapur.
“Macam mana dating dengan Zahil? Dah boleh timbulkan bibit-bibit cinta tak?”
soal Kamelia sekadar menduga hati Diya.
Diya ketawa. Ada-ada saja si Kamelia
ni. Biar betul dia suruh aku pergi membeli barang dapur dengan Zahil sebab tu.
Hish! Lucu je. Macam la aku boleh ada perasaan dekat si mamat penyibuk tu.
“Errr… Diya betul tak suka Zahil?”
duga Kamelia lagi.
Diya renung lama wajah Kamelia. Cuma
membaca makna tersirat di sebalik soalan wanita itu. Akhirnya Diya senyum
nipis.
“Tak ada wanita yang tak suka pada
lelaki yang baik. Tapi lelaki sebaik Zahil bukan untuk perempuan seperti Diya,”
jawab Diya tenang. Makna tersirat di sebalik bicara itu dibiarkan menjadi tanda
tanya di hati Kamelia.
Kamelia senyum kelat. Apa maksud
Diya? Oh! Diya dengan Zahil ni sama saja. Suka buat aku tercari-cari makna
dalam kata-kata mereka. Memang secocok la mereka. Kalau kahwin, malam pertama
boleh berbalas pantun.
Diya menyibukkan diri dengan
tugasnya sebagai pembantu Kamelia di butik itu. Tidak mahu memberi ruang kepada
Kamelia terus membuka perbualan berkisar hati dan perasaan terutamanya tentang
perasannya terhadap Zahil.
Diya merapati seorang wanita dalam
lingkungan usia 50an yang baru saja melangkah masuk dalam butik.
“Ye, boleh saya bantu puan?” sapa
Diya penuh sopan. Setiap orang yang masuk ke dalam butik ini adalah pelanggan
dan wajib dilayan mesra. Tidak kisah la kalau yang datang sekadar untuk
tengok-tengok saja.
Diya direnung wanita itu dari atas
hingga bawah. Kemudian matanya tepat menikam wajah Diya. “Anak ni siapa?
Kamelia mana?”
Diya sedikit terkejut. Pertama kali
ada orang datang dan bertanya begitu padanya. “Saya pekerja butik ni. Errr… Cik
Kamelia ada dalam pejabat. Puan nak saya panggilkan Cik Kamelia ke?”
“Pekerja di sini? Dah berapa lama?”
kata-kata Diya seakan tidak diendahkan. Perihal diri Diya terus diperasoal
wanita misteri itu.
“Em… agak lama juga. Dah lebih dari
dua bulan,” jawab Diya masih tenang walau hati penuh tanda tanya.
“Siapa nama anak ni?”
“Adelia Dayana. Puan boleh panggil
Diya saja.” Diya senyum manis.
Wanita itu angguk-angguk kepala
dengan senyum melebar.“Emmm… ini la Diya ye. Cantik orangnya. Patut la Zahil
selalu sangat datang sini.”
Errrkkk… Zahil? Dia kenal Zahil?
Kamelia juga! Siapa dia ni? “Puan ni?...”
Wanita itu ketawa.“Tak payah
berpuan-puan la. Panggil je Mak Jah. Zahil dengan Kamelia pun panggil Mak Jah
juga. Mereka berdua tu membesar depan Mak Jah.”
“Oh!” bibir Diya membentuk ‘o’.
Patut la…
Kemudian Kamelia muncul di situ.
“Mak Jah! Bila datang sini?”
Mak Jah berkalih memandang Kamelia.
“Baru je sampai. Mak Jah keluar beli barang dapur untuk makan malam esok.”
“La… Kamelia dah minta Diya belikan
dengan Zahil tadi. Ni pun baru ingat nak pergi hantar barang ke rumah,”
beritahu Kamelia.
“Hem… banyak juga Mak Jah beli tadi.
Ingatkan Kamelia tak nak belikan. Dah katanya sibuk memanjang.”
“Zahil pergi beli dengan Diya tadi,”
sambung Kamelia lagi.
“Ooo… kalau macam tu, jemput la Diya
ni sekali. Boleh la Diya kenal-kenal dengan mama kamu,” usul Mak Jah.
“Errr… tak apa la Mak Jah.
Susah-susah saja,” pantas Diya menolak.
Mak Jah seperti beria-ia benar mahu
Diya memenuhi ajakannya. “Mana ada susahnya. Banyak makanan tu nanti. Lebih
dari cukup. Macam perut Diya dengan Kamelia ni, tak luak pun makanan. Orang
muda la katakan. Diet-diet saja.”
Diya pandang Kamelia. Kamelia senyum
nipis. Namun dalam hati Kamelia, dia turut bimbang akan kemungkinan yang bakal
terjadi seandainya Diya memenuhi jemputan Mak Jah itu. Hendak menegah, tidak
manis pula. Seakan tidak sopan melarang Diya dari membuat keputusan sendiri.
“Datang ye. Jangan tak datang pula,”
sambung Mak Jah sebelum berlalu.
“Errr… insyallah,” hanya itu yang
mampu dijawab Diya.
Kamelia senyum kelat. Apa yang bakal
terjadi nanti? Kamelia seperti mahu saja katakan pada Diya supaya tidak
memenuhi jemputan itu. Tapi apa pula tanggapan Diya nanti. Kamelia akhirnya
melepaskan nafas yang terasa berat.
No comments:
Post a Comment