Diya lihat bintang-bintang di dada
langit. Dapatkah dia menjadi bintang yang bersinar terang kerana latar langit
yang hitam? Mungkinkah dia menemui sinar bahagia setelah masa silam yang begitu
gelap? Saat melayan persoalan hati itu, Nur mengambil tempat duduk di sisi
Diya.
Kemudian kedua-dua mereka menghayun
lembut buaian di halaman rumah itu. Agak lama duduk melayan perasaan di situ,
Diya mula menyedari yang Nur seperti tidak senang duduk di sebelahnya. Seperti
ada yang tak kena pada Nur. Tergaru-garu lengan sana sini, malah berkali-kali
batuk dan berdehem. Sejak bila Nur sakit tekak? Lagaknya gelisah tak menentu.
“Kau apa hal?” tegur Diya. Bimbang
melihat teletah Nur yang pelik itu.
Nur angkat kening. Pura-pura tak
faham pula. Diya semakin dilanda kehairanan.
“Ni mesti ada benda kau sembunyikan
dari aku kan? Kalau tak, takkan la kau macam terkena miang buluh,” serkap Diya.
Tajam matanya menyorot wajah Nur. Biasanya kalau ada buat salah, begini la
teletah si Nur. Tapi sudah lama Nur tidak dilanda tabiat itu.
“Tak ada la.” Nur telan air liur.
Matanya dilarikan dari bertaut dengan renungan mata Diya yang tajam. Aduh! Tadi
macam berkeyakinan saja nak buat pengakuan. Sekarang macam tak jadi je. Adoi!
Itu la kau Nur. Cari nahas.
Diya tidak puas hati. Pasti ada yang
tak kena! “Betul ke? Bukan ke kau kalau ada sembunyi kesalahan, mesti kena
penyakit miang buluh. Macam sekarang ni la,” Diya menduga lagi.
“Ye ke? Tak ada la. Sejuk kot,”
dalih Nur. Asalnya Nur memang berniat untuk membuka cerita pada Diya. Tetapi
entah mengapa lidah terasa kelu. Takut pula andai Diya marah. Tidak tahu
bagaimana hendak berdepan kemarahan Diya kelak.
Diya semakin tidak puas hati dengan
dalih Nur itu. Tak logik pada akalnya.
“Orang sejuk peluk tubuh bukan
garu-garu lengan, garu leher macam kau ni,” Diya terus mempertikai teletah Nur.
Nur telan air liur lagi. Dia harus
cari cara melarikan diri. “Eh! Kau ni yang sejak dua menjak ni asyik termenung
kenapa? Ada masalah ke?” Nur lari dari topik perbualan. Hati sangat berharap
usahanya itu berjaya.
Diya mengeluh perlahan. Pandangannya
kembali terarah pada taburan bintang di langit. Ternyata Nur berjaya mengubah
topik perbualan mereka.
“Aku cuma terfikir, macam mana untuk berdepan
dengan masa silam aku,” sayu saja nada suara Diya.
Nur jamah wajah Diya dari sisi.
“Maksud kau?”
Diya tertunduk pula memandang tanah.
Kemudian hujung selipar kanannya menguis-nguis tanah. “Kalau suatu hari nanti
aku terserempak dengan lelaki setan tu, aku tak tahu nak buat apa. Nak marah?
Nak buat tak kenal?” Setelah itu Diya melepaskan keluhan berat.
“Kau jumpa dia?” soal Nur tanpa lari
anak matanya dari menjamah raut wajah Diya.
“Aku tak pasti pula. Masa tu aku
macam pasti tapi bila fikir-fikir semula, macam tak mungkin pula. Tak mungkin
tu dia. Perasaan aku je kot. Tapi sungguh, aku tak tahu apa nak buat kalau
suatu hari nanti aku jumpa dia. Aku tak kuat, Nur.” Diya berkalih menatap wajah
Nur. Jemari Nur digenggam dan diramas Diya.
Nur senyum nipis. “Aku tahu tak
mudah untuk kau. Tapi kau kena sabar dan tabah,” seperti selalu, Nur akan
meniupkan kata-kata kesabaran pada Diya.
Diya leraikan genggaman jari antara
mereka. Diya masih kelihatan tidak senang hati.“Entah la Nur. Sekarang pula aku
semakin pening dengan si Zahil.”
Dengar saja nama Zahil, Nur
tergamam. Berkali-kali Nur telan air liur. Dirinya kembali diselubungi rasa
bersalah kerana telah memberikan alamat kampung Diya pada Kamelia. Dan tindakan
itu atas permintaan Zahil.
Awalnya Nur enggan terbabit tetapi
dia beralah juga setelah Kamelia bersungguh-sungguh menceritakan perihal
keikhlasan cinta Zahil pada Diya. Sahabat mana yang tidak mahu melihat
sahabatnya bahagia. Memikirkan masa depan Diya, Nur berlembut hati untuk
membantu.
“Errr… Zahil?” akhirnya Nur berpura-pura
seperti nama itu kurang diingatinya. Terpaksa la berlakon sikit.
“Ye la, Zahil. Mamat penyibuk yang
aku pernah cerita pada kau tu,” ujar Diya yang benar-benar menyangka Nur tidak
ingat tentang Zahil.
“Oh! Ye. Errr… kenapa dengan dia?”
Nur terus berlagak seperti baru saja teringat perihal lelaki yang agak kerap
dibebelkan Diya. Dan semuanya bebelan tentang betapa Diya tidak berkenan dengan
sikap Zahil yang penyibuk.
“Dia tu pun tak habis-habis nak
semakkan hidup aku dengan falsafah cinta dia tu. Aku rimas setiap kali jumpa
dia. Tengok senyum dia pun aku dah jiwa kacau. Serabut otak!” Diya meluahkan
perasaan tidak senang hati yang jelas tergambar pada riak wajahnya yang tegang
kini.
Nur senyum saja. Diya ni, kalau
bercerita pasal Zahil, pasti penuh beremosi. “Serabut otak ke, berdebar
jatung?” duga Nur dengan senyuman masih di bibir.
“Kau perli aku ek?” Diya ketap
bibir. Tahan geram! Jelas Diya tidak senang dengan kata-kata Nur itu. Minah ni
pun suka sangat tersenyum begitu bila aku bercakap tentang Zahil.
Nur ketawa kecil. “Perli? Bukan perli tapi
sedarkan kau. Zahil tu baik apa.”
Diya mencebik. “Dia baik, tapi aku
tak cukup baik untuk dia.”
Nur geleng kepala. Kemudian jemari
Diya dipaut lembut.
“Kalau kau tak cukup baik untuk dia,
tak ada la dia sampai yakin sangat nak jumpa mak ayah kau,” ujar Nur tanpa
sedar.
Diya terkedu. Hujung bicara Nur
menyentap pendengaran telinganya. Lantas Diya bertanya kembali untuk
mendapatkan kepastian. “Kau cakap apa tadi?”
Membulat mata Nur tatkala menyedari
ketelanjuran katanya. Terus dada rasa berdebar-debar. Jemari Diya dalam
genggaman dilepaskan. Nur kembali menggaru-garu lengan kirinya.
“Errr… apa aku cakap? Tak ada apa
pun.” Nur mula gelabah. Lakonannya sudah lebur.
Diya sudah berwajah serius. Tajam
matanya menikam Nur yang gelabah. “Aku tak salah dengar tadi kan? Kau ulang
lagi sekali!”
“Apa dia?” Nur masih berpura-pura.
“Kau dah miang buluh gini, nak
selindung lagi. Cakap cepat!” intonasi suara Diya sudah sedikit meninggi. Nur
ni, kalau aku berlembut, bukan nak cakap. Nak juga aku berkeras sikit.
“Tak ada…” Nur tidak betah duduk di
situ. Gadis itu segera angkat punggung.
“Kau nak pergi mana tu? Duduk sini.
Tak habis cakap lagi.” Terjegil biji mata Diya apabila Nur ingin melarikan
diri. Sempat Diya memaut pergelangan tangan Nur dan ditarik agar temannya itu
kembali duduk atas buaian.
Nur pandang wajah serius Diya. Diya
gigit bibir dan mencerlun garang. Nur mencebik memohon simpati. Diya semakin
bulatkan mata. Masih ada hati nak minta belas kasih. Huh!
“Ok… ok… aku mengaku,” akhirnya Nur
mengalah dan Diya menang dalam pertandingan psikologi itu.
“Sekarang cakap cepat!” tegas Diya.
Nur resah gelisah. “Errr… Kamelia
minta alamat kampung kau. Zahil nak jumpa mak ayah kau,” terluah juga rahsia
yang disimpan. Itu pun dalam nada takut-takut.
“What?”
seperti dijangka, Diya akan terkejut. Seperti dijangka juga, Diya akan terjerit
hingga Nur tutup lubang telinga dengan jari. Berdesing telinga. Memang macam
bom meletup!
“Bila?” soal Diya dengan nada
meninggi. Diya sudah berdiri tercegat mengadap Nur umpama gadis itu pesalah
yang sedang disoal siasat.
Nur terkebil-kebil. Diya hangat
hati.
“Bila?” soal Diya sedikit menengking
apabila Nur lambat menjawab.
“Se… se… semalam!” Nur tunduk
ketakutan di samping dilema dengan rasa bersalah.
Saat ini, Nur tidak berani angkat
kepala menjamah raut wajah Diya yang sudah menyinga. Diya kemudian masuk ke
dalam rumah dan menuju arah kamar tidurnya. Masuk saja ke dalam bilik, Diya
menerpa mendapatkan telefon bimbitnya. Nombor Kamelia dicari dan butang
memanggil ditekan.
Nur yang duduk atas sofa di ruang
tamu tunduk memandang lantai umpama pesalah dalam kandang mahkamah. Langsung tidak berani
angkat muka memandang wajah bengis Diya yang sudah naik hantu.
“Kau dah gila ke?” marah Diya sambil
mundar-mandir di depan Nur. Sejak tadi, satu demi satu hamburan amarah keluar
dari bibir Diya. Nur sabar saja menadah telinga.
“Tak cukup lagi ke dengan apa yang
dah berlaku dulu? Kenapa kau nak tambahkan beban dalam hidup aku?” Diya
merengus kasar seraya menghempas tubuh atas sofa bertentangan dengan Nur. Panas
betul hati Diya dengan tindakan Nur yang senyap-senyap bersekongkol dengan
Kamelia dan Zahil.
Nur mengeluh melepaskan rasa serba
salah dalam diri. Nasi dah jadi bubur, dah tak boleh patah balik. “Diya, aku
minta maaf…” ada kesal dalam luahan itu.
“Kau tahu tak apa kau dah buat?”
Diya terus mempersoal tindakan Nur itu. Entah apa yang ada dalam kepala Nur
tidak dapat Diya baca.
Nur angkat muka menentang sinar mata
Diya yang merenung garang memandangnya.“Sorry
Diya. Aku nak tolong kau je. Kalau boleh aku nak kau lupakan masa silam kau,”
Nur menyatakan kemurnian niat hatinya.
Diya tersenyum sinis mendengar
alasan Nur itu. “Lupakan masa silam? Kau ingat kalau aku terima Zahil tu, aku
dapat lupakan masa silam aku?”
“Aku minta maaf Diya. Aku buat untuk
kebaikan kau.” Nur masih mempertahankan niat baiknya. Nur tahu Diya tidak akan
mengerti tetapi sungguh niatnya baik. Tidak tercalit sebarang agenda buruk.
“Kalau aku lupakan masa silam aku
pun, belum tentu Zahil dapat terima aku. Aku ni kotor, Nur! Aku ni jijik!”
bicara Diya yang penuh emosi itu mengejutkan Nur. Tidak Nur sangka Diya
memandang hina diri sendiri serendah itu.
“Astaghfirullahalazim… Diya, apa kau
cakap ni? Bawa mengucap. Aku tak pernah anggap kau sampai macam tu,” pilu hati
Nur apabila Diya berbicara sebegitu rupa.
Diya senyum kelat. “Itu hakikat,
Nur. Tak ada lelaki dalam dunia ini yang dapat terima perempuan macam aku.
Zahil tu belum gila lagi untuk terima perempuan hina macam aku ni.”
Tergeleng-geleng kepala Nur
mendengar kata-kata Diya itu. Mengapa Diya menjadi terlalu prejudis begini?
“Jangan cakap macam tu, Diya.
Insyallah… Zahil dapat terima kau seadanya.” Nur seakan memujuk Diya.
“Huh!” Diya tersenyum sinis. “Zahil
dapat terima aku? Nur, family aku pun
buang aku. Macam mana Zahil dapat terima aku! Lelaki macam Zahil tu, akan terus
berpaling bila tahu yang aku ni bukan gadis suci. Dia akan rasa jijik!” bidas
Diya.
“Mengucap Diya. Kenapa kau hina diri
sendiri sampai macam ni sekali?” Nur tidak betah mendengar Diya menghukum diri
sebegitu rupa.
Diya mengeluh lemah. Wajah tegangnya
berubah redup. “Kau tak patut buat aku macam ni, Nur.”
“Diya, aku minta maaf,” lirih suara
Nur.
Diya angkat punggung dan menapak
masuk ke dalam kamar tidurnya. Nur hanya mampu memandang sayu. Beberapa minit
kemudian, Diya muncul berpakaian t-shirt lengan panjang, berseluar jeans dan
bertudung bersama beg kecil berisi pakaian. Laju langkah kaki Diya meluru
menuju muka pintu.
Nur yang masih duduk di sofa
terkedu. “Diya! Diya!” panggilan Nur tidak Diya hiraukan. Terus langkah kaki
Diya diatur melangkaui gerbang pintu.
Nur meluru mendapatkan Diya. Nur
paut lengan Diya seterusnya mematikan langkah Diya. “Diya, kau nak pergi mana
malam-malam ni?”
“Aku nak balik kampung. Aku mesti
halang Zahil. Kamelia cakap, Zahil dah bertolak pergi kampung aku,” jawab Diya
tanpa memandang wajah Nur. Tidak tega rasanya untuk Diya menjamah wajah Nur
yang dirundung rasa bersalah.
“Diya, dah lewat malam ni,” Nur cuba
menegah. Lewat malam begini terlalu bahaya untuk gadis seperti Diya memandu
seorang diri ke utara tanah air. Perjalanan bukan sejam dua.
Diya rentap lengannya bagi
meleraikan pautan Nur di situ. “Kalau kau beritahu aku awal, aku tak pergi
lewat malam begini!”
“Ye, ok. Aku salah. Tapi kau kena
bertenang. Sekarang bukan masa sesuai untuk kau balik kampung. Dah lewat
sangat. Esok je, ok?” Nur masih berusaha memujuk.
“Aku tak perlukan kebenaran kau
untuk balik kampung aku.” Diya terus berdegil.
Nur mengeluh lemah. Pening kepala
dengan kedegilan Diya. “Ok, aku salah. Aku minta maaf. Aku tahu kau marahkan
aku. Begini la, aku tebus kesalahan aku, aku ikut kau.”
Diya pandang sekilas wajah
bersungguh-sungguh Nur. Akhirnya Diya melangkah meninggalkan Nur tercegat di
muka pintu.
“Diya!” laung Nur apabila Diya sudah
membuka pintu kereta.
“Suka hati kau,” ujar Diya tanpa
memandang Nur yang menanti jawapannya.
Nur senyum tawar. “Tunggu aku!”
jerit Nur seraya berkejar menuju kamar tidurnya.
“Diya, pandu la perlahan sikit. Jangan memecut
macam ni. Kalau kau bawa laju-laju pun, bukan dapat kejar si Zahil tu,” rungut
Nur yang kecut perut dengan gaya pemanduan Diya yang laju umpama memandu di
litar lumba.
“Kalau aku jadi kau, aku akan duduk
diam dekat situ!” bidas Diya tidak mengendahkan rungutan Nur.
Nur mengeluh lemah. Diya memang sudah
di tahap amarah yang menyala. Sepatah kata jua tidak akan memadam amarah itu
saat ini. Nur hanya mampu berdoa agar mereka berdua selamat sampai ke kampung
Diya.
Tiba di satu selekoh, kereta yang
dipandu Diya hampir-hampir saja bertembung dengan sebuah Mercedes hitam yang
datang dari arah bertentangan.
Sempat kaki Diya menekan break
mengejut. Telinga mereka dapat mendengar bunyi tayar kereta yang bergesel
dengan tar. “Breeekkk!”
Nur sempat menahan tangan pada dashboard apabila kereta berhenti
mengejut. Tali pinggang keledar yang dipasang tidak kemas akibat terlalu
kelang-kabut semasa masuk ke dalam kereta tadi terlucut menyebabkan Nur
terpelanting ke depan dan hampir mencium cermin.
“Apa dah jadi ni?” Nur menyoal
seraya memandang Diya di sebelah yang tegang sekali wajahnya.
Diya tidak menjawab soalan Nur. Hampir-hampir
saja Diya terhantuk pada stereng kereta akibat situasi cemas sebentar tadi. Diya
keluar dari kereta dan melihat hadapan keretanya. Hanya sedikit kesan calar.
Kemudian Diya berpaling memandang pemilik Mercedes hitam yang berlanggar dengan
kereta Myvinya.
Riak wajah Diya yang tegang berubah
terkejut tatkala matanya memandang pemandu Mercedes hitam tersebut. Membulat
mata Diya tanpa berkelip kelopak mata. Lidah jadi kelu.
Pemandu Mercedes hitam itu ternyata
turut terkejut. Segera pemandu Mercedes itu menanggalkan tali pinggang
keledarnya dan bergegas melangkah keluar dari keretanya. Melihat tindakan
pemandu Mercedes itu, Diya terkocoh-kocoh masuk kembali ke dalam kereta
Myvinya. Pintu kereta cepat-cepat ditutup dan dikunci. Tingkah Diya
diperhatikan Nur yang berwajah pucat.
Diya hidupkan enjin kereta dengan
jemari yang terketar-ketar. Pemandu Mercedes itu sudah mengetuk-ngetuk cermin
kereta di sebelah sisi Diya. Berkali-kali cermin tingkap diketuk sebagai arahan
agar cermin itu diturunkan. Namun Diya tidak mempedulikan permintaan itu.
Nur di sisi Diya tergamam tanpa
sepatah kata. Tidak tahu apa yang harus dibicarakan tambahan pula Diya sekarang
bukan boleh dibawa berbicara. Kereta Myvi dipandu Diya terus meluncur pergi.
Pemandu Mercedes itu tidak mahu berputus asa. Pantas sekali dia memboloskan
diri ke dalam kereta dan segera mengejar kereta dipandu Diya itu.
Diya menyedari keretanya sedang
dikejar pantas menambah kelajuan pemanduan. Nur di sisi sudah mengucap panjang.
Menggigil-gigil Nur sambil menggenggam erat tali pinggang keledar yang kembali dipasangnya.
Kali ini Nur berkali-kali memastikan tali pinggang keledar yang dipasang
betul-betul kemas.
Mercedes hitam itu terus memecut
laju untuk memintas kereta Myvi di hadapannya. Ternyata pemandu kereta mewah
itu tidak mahu melepaskan Diya pergi. Pertemuan antara mereka adalah pertemuan
di luar dugaan. Pertemuan mengejut yang menyedarkan dirinya bahawa dia tidak
mahu melepaskan Diya. Dia harus bersemuka dengan gadis itu. Walau sejarah
perhubungan mereka terlalu keruh, dia berharap untuk menjernihkannya. Ada
seribu kata hendak diungkap pada Diya. Jutaan kemaafan mahu dimohon daripada
gadis itu.
Saat Mercedes hitam itu berjaya
memintas Myvi dipandu Diya, telefon bimbit pemandu Mercedes itu berdering. Mahu
saja panggilan itu diabaikan tetapi entah mengapa hati kecilnya membisikkan
agar dia menjawab panggilan masuk itu. Lantas telefon bimbit dicapai dan
panggilan dijawab.
“Abang! Balik cepat. Mama pengsan!”
kedengaran suara Zarina yang cemas dari corong telefon.
Tanpa berfikir panjang, Zakuan terus
mematikan panggilan telefon. Telefon bimbit di tangan digenggamnya erat.
Melepaskan rasa geramnya yang terbuku di hati. Antara mengejar Diya yang sudah
kembali memotong keretanya atau berundur dan segera pulang mendapatkan mamanya,
Zakuan berbelah bahagi. Hati menjerit.
Akhirnya Zakuan membuat pusingan u
seterusnya melepaskan Diya pergi tanpa diketahui ke mana arah tuju gadis itu.
Zakuan kecewa. Kesalnya tidak terungkap oleh kata-kata. Bayangan wajah Diya
bertamu di layar mindanya. Akan adakah pertemuan kedua antara mereka? Hati
Zakuan terus mengharapkan adanya peluang kedua.
Diya menjeling cermin pandang
belakang dan dari situ dia melihat kereta dipandu Zakuan membuat pusing u.
Bermakna lelaki itu tidak lagi mengejarnya. Mengapa, Diya tidak mahu ambil
tahu. Diya menghela nafas tenang sambil memperlahankan kelajuan pemanduan.
“Diya…” rengek Nur yang sudah
menggigil-gigil.
Diya kalih sekilas memandang Nur di
sisi.
“Aku nak terkencing!”
No comments:
Post a Comment