Zakuan bergegas masuk ke dalam
banglo mewah Datuk Laila. Wajahnya terlukis riak kebimbangan. Lelaki itu
terjerit-jerit memanggil nama Zarina. Langkah kaki Zakuan mengarah untuk
mendaki anak tangga. Namun langkah kakinya terhenti apabila telinganya
menangkap suara nyanyian yang datang dari arah ruang tamu.
“Happy
birthday to you… Happy birthday to you… Happy birthday to Zakuan… Happy birthday to you…” nyanyian hasil
gabungan empat suara kedengaran ceria.
Zakuan terkedu memandang ahli
keluarganya berhimpun di ruang tamu sambil menyanyikan lagu happy birthday yang dituju padanya.
Wajah Datuk Laila, Mak Jah, Kamelia dan Zarina dipandang Zakuan silih berganti.
Pandangan Zakuan kembali terpaku pada mamanya yang jelas sekali tidak pengsan
malah cukup ceria dan sihat!
Raut kebimbangan hilang pada wajah
Zakuan. Apa yang sudah berlaku? Zarina baharu saja telefon memberitahu mamanya
jatuh pengsan. Tetapi kenapa di depan matanya kini, mamanya nampak sihat
walafiat. Tak ada tanda-tanda sakit pun.
“Happy
birthday!” Zarina menghampiri Zakuan dengan memakai topi kon yang
berwarna-warni dan memegang party popper
sambil meniup party blower yang
membingitkan telinga. Cebisan kertas kecil warna-warni tersembur bersama bunyi
letupan kecil tatkala tali party popper
direntap. Ruang tamu semakin bingit dengan bunyi party blower ditiup Zarina berulang-ulang kali.
Zakuan memandang Zarina dengan wajah
berkerut-kerut. “Apa ni?” soal Zakuan.
Zarina tersenyum ceria. Kemudian
Kamelia pula menghampiri bersama-sama sebiji kek vanila yang dihias cantik. Ada
empat batang lilin di atasnya selain daripada empat biji ceri merah yang
menceriakan kek berkrim putih itu.
“Happy
birthday to my lovely brother!” jerit Zarina bernada ceria. Datuk Laila,
Kamelia dan Mak Jah turut tersenyum bahagia.
Zakuan pandang wajah Zarina tidak
berkelip. “Telefon tadi tu?”
Zarina ketawa mengekek. “Tipu!” seloroh
Zarina bernada ceria. Kemudian gadis kecil molek itu ketawa semula. “Kalau tak
cakap macam tu, abang sure tak nak
balik. Terpaksa la bohong sikit. Surprise
tak?” ujar Zarina manja.
Menyirap darah Zakuan mendengar
pengakuan adiknya. Zakuan naik bengang. Wajahnya tegang menikam Zarina yang
masih ketawa. Marah kerana dirinya ditipu.
“Kau, lain kali jangan nak menyusahkan
aku!” tengking Zakuan seterusnya mengejutkan setiap isi rumah.
Zarina terkedu. “Kenapa dengan abang
ni?” soal Zarina tidak puas hati ditengking abangnya.
“Kau menyusahkan aku!” bengis sekali
raut wajah Zakuan.
“Zarina cuma nak sambut birthday abang. Salah ke?” bidas Zarina
sama meninggi suaranya.
“Lain kali, tak payah nak
memandai-mandai. Aku bukan budak-budak!” balas Zakuan seraya berpaling untuk
mendaki tangga. Mahu menuju ke kamar tidurnya yang berada di tingkat atas
banglo mewah itu.
“Zakuan, kenapa cakap dengan Zarina macam
tu? Apa yang tak kena dengan kamu?” kata-kata Datuk Laila mematikan langkah
Zakuan.
“Zakuan tak ada masa nak layan benda
bodoh macam ni!” jawab Zakuan tanpa berpaling. Setelah itu, dia terus
meneruskan langkah kakinya mendaki anak-anak tangga.
Zarina merengus kasar. Kedinginan
Zakuan mencantas keseronokannya untuk berparti hari jadi. Hatinya terluka.
Terasa hati dengan reaksi dingin Zakuan itu, Zarina merampas kek yang sedang
ditatang Kamelia kemudian laju menapak menuju dapur.
“Zarina!” Kamelia melaung nama
adiknya itu tetapi suaranya ditelan kedinginan suasana.
Kamelia hanya mampu memandang langkah
kecewa Zarina dengan perasaan simpati. Adik bongsunya itu beria-ia benar mahu
menyambut hari jadi Zakuan. Pasti Zarina merajuk dek reaksi Zakuan yang dingin.
Zarina humban kek vanila itu ke
dalam tong sampah di dapur. Topi hari jadi di kepala juga ditanggalkan dan dicampak
masuk ke dalam tong sampah itu. Party
blower turut dibuang bersama. Lepas ni, tak ada lagi parti hari jadi!
“Bodoh!” bentak Zarina sambil
kakinya menyepak tong sampah. Ikutkan hati, Zakuan juga mahu dia sumbat dalam
tong sampah itu.
“Apa dah jadi pada Zakuan tu?”
rungut Kamelia. Terasa hati juga dengan sikap Zakuan yang tidak menghargai
kesungguhan mereka untuk menyambut ulang tahun kelahirannya.
Datuk Laila mengeluh lemah. Mak Jah
hanya menjeling Datuk Laila dengan gelengan kepala. Ke mana kuah kalau tak
tumpah ke nasi. Perangai siapa lagi yang Zakuan ikut kalau bukan perangai baran
Datuk Laila. Berbeza sekali dengan Zahil yang tenang seperti sikap arwah
ayahnya.
“Beli cermin baru la nampaknya,”
ujar Mak Jah memandang Kamelia yang turut tergeleng lemah. Mana tidak, Zakuan
pasti akan menyuruh Mak Jah menggantikan cermin yang pecah itu setiap kali
selepas dipecahkan.
“Kau buat apa yang patut Jah. Aku
penat. Aku nak naik atas dulu. Kamelia, tolong Mak Jah kemaskan bilik Zakuan
nanti,” suara Datuk Laila setelah bangkit dari sofa.
Kamelia angguk akur. Jika tidak
disuruh juga dia akan menolong Mak Jah. Kesian pada orang tua itu yang pastinya
letih dengan pelbagai kerenah orang di dalam banglo mewah ini.
“Makan malam macam mana?” soal Mak
Jah. Sudah la Zarina merajuk. Takkan Datuk Laila juga mahu meninggalkan Kamelia
dan dirinya saja menghabiskan semua lauk-pauk itu. Bukan sedikit.
“Aku tak ada selera. Kau makan la
dengan Kamelia,” ujar Datuk Laila.
Datuk Laila melangkah mendaki anak
tangga dan lenyap dari pandangan Kamelia dan Mak Jah yang tinggal berdua saja
di ruang tamu.
“Errr… budak yang kerja dengan kamu
tak datang?” soal Mak Jah sebaik saja teringat akan pelawaannya mengajak Diya
menyertai makan malam pada hari ini.
Kamelia geleng lemah. “Oh! Diya ye.
Dia tak datang. Segan kot. Diya kirim salam pada Mak Jah,” balas Kamelia acuh
tak acuh. Risau juga untuk bercakap perihal Diya di dalam rumah ini.
Mak Jah angguk faham. Kemudia wanita
itu mengambil peluang untuk bertanyakan perihal Zahil. Jika di depan Datuk
Laila tadi, pastinya perihal Zahil sukar dibualkan. Tidak sanggup telinganya
mendengar makian Datuk Laila pada Zahil.
“Zahil tak balik sini? Risau Mak Jah
dengan kamu adik beradik. Sejak kecil sampai besar, tak boleh nak berdamai.”
Mak Jah menyuarakan kebimbangan hati untuk sekian kali.
“Tah la Mak Jah. Kamelia dah tak
tahu nak cakap macam mana lagi. Mama tu berdendam sangat pada arwah ayah sampai
bencinya pada Zahil tak pernah surut. Zakuan dengan Zarina tu pun satu hal. Tak
pernah nak berubah. Apa yang dibenci sangat pada Zahil tu, Kamelia pun tak
tahu. Padahal Zahil baik sangat pada mereka,” luah Kamelia memahami kebimbangan
hati wanita tua itu.
“Mak Jah selalu doakan supaya suatu
hari nanti, keluarga kita akan bersatu kembali. Mak Jah sayang kamu semua macam
anak kandung Mak Jah sendiri. Mak Jah dah tak ada sesiapa lagi dah. Ni la
keluarga Mak Jah.”
“Insyallah. Kita sama-sama terus berdoa.”
Kamelia paut jari-jemari Mak Jah. Menenangkan hati wanita yang sudah dianggap
seperti ibu sendiri.
Zakuan masuk ke dalam kamar tidurnya
dan menghempap pintu dengan kasar. Hatinya membara dengan rasa amarah. Baju
t-shirt putih belang hitam yang dipakainya ditanggalkan dan dilempar kasar ke
lantai. Tubuh sasa itu kemudian direbahkan atas katil.
Dia benar-benar tidak puas hati.
Marahkan Zarina yang menyebabkan dia membuat keputusan melepaskan Diya pergi.
Bodohnya dia terpedaya oleh pembohongan adiknya itu. Hati rasa membengkak,
jiwanya memberontak. Jika bukan kerana panggilan bodoh Zarina, pasti dia sudah
dapat bersemuka dengan Diya.
Zakuan menjerit melepaskan rasa
tidak puas hatinya. Jeritannya bergema dalam bilik malah mengejutkan ahli
keluarganya yang berada di ruang tamu. Kecut perut mereka mendengar amukan
Zakuan itu. Zakuan tidak peduli itu semua.
Zakuan bangun dari katil dan
mundar-mandir dalam kamar tidurnya. Dadanya berombak kencang. Fikirannya
berserabut. Argh! Semua ni salah kau Zakuan. Kalau kau sabar dalam mengejar
cinta Adelia Dayana, semua ni tak akan berlaku. Kenapa kau bodoh sangat? Kau
hancurkan hidup Lia dan kini hidup kau juga hancur sama. Kau tak pernah dapat
lupakan Lia dan kau tak mampu untuk buang dia dari hidup kau. Kau terus dikejar
bayang-bayang dosa sendiri. Bodohnya kau Zakuan!
Zakuan merengus kasar. Dia meluru ke
arah meja kerjanya. Semua barang-barang di atas meja itu disepahkan. Puas hati
dirasakan apabila barang-barang yang tersusun di atas meja itu diselerakkan dan
dibiar bertaburan di lantai. Tidak cukup dengan itu, kerusi kayu di meja itu
dicapai lalu dicampak ke arah cermin bulat besar dalam kamar itu.
“Prang!” kaca cermin retak seribu.
Entah untuk yang keberapa kali. Malang sungguh cermin di bilik itu kerana
sering menjadi tempat untuk Zakuan melampiaskan amarahnya. Berderainya cermin
umpama berkecainya amarah yang berbuku di hati Zakuan.
Zakuan tercegat melihat serpihan
kaca yang sudah pecah berderai. Perlahan-lahan tubuh sasa itu jatuh terduduk di
lantai. Akhirnya lelaki itu meraup muka dengan kedua tapak tangan. Amarah yang
melingkari diri beransur-ansur pergi dan kini sebak menjalar mencengkam diri.
Lelaki itu sedaya upaya menahan diri
daripada menumpahkan air mata. Sungguh dia sangat menyesali perbuatannya pada
Diya. Rasa bersalah membuatkan dada terasa sesak. Zakuan marahkan diri sendiri.
Zakuan marahkan kebodohan dirinya menghancurkan hidup Diya. Pasti Diya sangat
membenci dirinya. Pasti Diya akan terus lari darinya. Pasti Diya tidak akan
memaafkannya.
Lama lelaki itu termenung di situ.
Membayangkan segala dosa-dosanya. Kemudian, lambat-lambat Zakuan bangun dan
menapak ke bilik mandi. Dia harus membasahkan tubuh dengan air bagi menyejukkan
hati dan menenangkan perasaan. Jauh di sudut hati, dia berharap agar akan ada
pertemuan kedua dengan Diya. Tapi, mungkinkah?
“Lia, saya sukakan awak. Awak tahukan?” Tanpa
berkias bahasa Zakuan menyatakan perasaannya. Saya betul-betul sukakan awak.
Saya dah macam gila bayang tapi awak buat tak faham juga. Jangan siksa hati
saya begini Lia. Zakuan jamah wajah cantik di depannya dengan mata bersinar.
Sinaran cahaya cinta ni!
Dan Diya rasa kata-kata itu tidak kena tempat.
Mereka berada dalam pejabat tempat Diya bekerja dan Zakuan ketika ini seharusnya
segera masuk bertemu Tuan Rahmat. Zakuan semakin terbuka tentang perasaannya
sejak dua bulan yang lalu. Diya pula jadi rimas. Serba salah pun ada. Mamat ni,
boleh pula buat jiwang dekat sini.
“Errr… Zakuan, Tuan Rahmat telah lama menunggu awak.
Sebaiknya awak segera masuk ke dalam.” Diya benar-benar berharap Zakuan segera
berlalu. Tidak senang sekali berbicara soal perasaan pada waktu bekerja.
“Saya akan masuk kalau awak kata yang awak sukakan
saya.” Kata-kata Zakuan begitu bersahaja sedangkan Diya sudah berubah tona muka
kemerah-merahan. Tidak diduga Zakuan akan mendesaknya begitu.
Perempuan ni kena desak sikit, baru boleh jalan.
Zakuan mengukir senyuman menggoda. “Emmm... tak apa la. Saya bagi masa untuk
awak fikirkan jawapan sepanjang saya berada dalam tu. Bila saya keluar nanti,
awak beri saya jawapan. Ok!” putus Zakuan seraya berlalu meninggalkan Diya
terkebil-kebil mendengar bicara itu.
Zakuan hilang di balik daun pintu. Diya memandang
dengan geram. Sesuka hati sahaja buat
kata putus. Malas nak fikir jawapan. Eh! Tak payah susah-susah fikir, aku dah
ada jawapannya. Tidak suka! Muktamad. Diya sememangnya tidak menyukai Zakuan
lebih daripada teman biasa.
Kenapa? Kenapa ye? Apa kekurangan lelaki kacak dan
bergaya seperti Zakuan itu? Khabarnya Zakuan dari keluarga berada dan syarikat
yang diwakilnya itu adalah syarikat keluarganya.
Sepanjang mereka berkawan, Zakuan bersikap baik dan
mesra. Lelaki bernama Zakuan Helmi ini seakan seorang lelaki sempurna yang
memenuhi pakej lelaki idaman wanita. Entah mengapa kesempurnaan itu tidak
menjentik hati Diya untuk mengenali lelaki itu lebih dekat. Dengan kata lain,
Diya tidak mempunyai perasaan terhadap Zakuan sebagaimana lelaki itu menyimpan
perasaan pada Diya.
Tempoh masa dua jam berlalu dan Zakuan menguak daun
pintu. Diya pandang ke arah muka pintu yang sudah terbuka luas. Tuan Rahmat
mesra menghantar Zakuan meninggalkan bilik pejabatnya. Tuan Rahmat kembali
menutup pintu bilik pejabatnya dan Zakuan sudah tercegat di depan meja Diya.
“Lepas ni, saya mungkin tak datang sini lagi. Awak
mesti akan rindukan saya,” seloroh Zakuan membuatkan kening Diya terangkat.
Betul ke apa dia cakap? Tapi kenapa?
“Kerja saya dah habis. Takkan nak datang menempek
muka semata-mata nak jumpa awak. Tapi kalau awak yang minta, saya sanggup,”
kata-kata yang berunsur jenaka ini diluahkan Zakuan dengan nada serius. Aku
akan rindukan kau Lia. Dapatkah aku tanggung beban rindu ini?
“Errr…ye ke,” Diya tidak tahu reaksi bagaimana yang
harus ditunjukkan ketika ini. Nak bersedih ke nak bergembira ni? Tapi kalau
tanya ikhlas dari dalam hati, Diya memang syukur sangat sebab tidak perlu lagi
melayan kerenah Zakuan yang kadangkala seakan mendesaknya.
“Saya cintakan awak Lia. Kedengaran macam lucu tapi
itu adalah perasaan ikhlas dan luhur dari dalam hati saya.” Dari riak wajah
Zakuan, kata-kata itu memang ikhlas dari hati.
Erkkk… Diya telan air liur. Gluppp! Bagaimana
sekarang? Macam mana aku nak hadapi detik-detik kecemasan begini? Nak kata apa
ni? Errr… lidah pun macam kebas je nak cakap.
“Zakuan, sekarang tak sesuai bercakap tentang hal
ni. Orang lain tengok, malu la saya,” ujar Diya sambil menjeling mata-mata
pekerja lain yang mencuri-curi pandang ke arah mereka berdua. Pasti staf-staf
lain dapat menghidu drama yang sedang berlaku antara Diya dan Zakuan. Drama
dengan dialog spontan. Malu kot!
Zakuan berkalih memandang ke arah belakang.
Staf-staf yang mencuri-curi pandang pantas menunduk kepala konon-konon fokus
terhadap kerja.
“Kalau macam tu, malam ni saya nak bincang dengan
awak. Awak kena keluar dinner dengan
saya,” kata-kata itu bukan permintaan tetapi seperti satu arahan. Belum Diya
bagi kata putus, Zakuan sudah terlebih dahulu angkat kaki.
Ini yang buat aku meluat. Sesuka hati buat keputusan
untuk orang! Gerrr…
“Kenapa beria-ia sangat awak bawa saya makan
dekat sini? Tempat ni mahal la.” Mata Diya melilau memerhati persekitaran
restoran. Emmm… mamat ni kaya, apa kisah setakat restoran mewah macam ni.
Zakuan ketawa kecil
mendengar kata-kata Diya itu. Malam ini adalah malam istimewa. Zakuan mahu melamar
Diya pada malam ini. Zakuan mahu Diya menjadi miliknya. Milik mutlaknya!
“Sini romantik sikit,”
suara Zakuan penuh menggoda bersama senyuman manis dan kenyitan mata kiri.
Mereka sudah terpacak di sebuah meja yang terletak di tengah-tengah ruang
restoran. Zakuan mendekati Diya dan menarik kerusi untuk Diya duduk terlebih
dahulu sebelum lelaki itu turut mengambil tempatnya.
Diya senyum kelat.
Gelisah pula hati Diya berdepan detik berdua-duaan dengan Zakuan di meja makan
yang jelas ditempah khas untuk mereka berdua. Malah satu ruang restoran mewah
ini telah disewa khas oleh Zakuan hanya untuk mereka berdua. Berdua saja makan
dalam restoran begitu besar! Mewah dan mahal! Mungkin sekali seumur hidup dapat
rasa macam ni.
Seperti yang tergambar
dalam cerita-cerita romantik dalam kaca televisyen, pasti ada lilin dan bunga
ros merah sekuntum atas meja. Kemudian ada seorang pemain muzik menggesekkan
biola dengan alunan yang mendayu-dayu. Konon-konon nak hidupkan suasana romantik.
Itu belum termasuk perangai Zakuan yang berubah 360 darjah daripada biasa.
Entah watak Romeo mana yang dimainkan Zakuan sampai berubah begitu romantik
pada malam ini.
“Hidangan dah sampai
pun,” suara Zakuan begitu lirih. Senyum kian melebar tatkala seorang pelayan
wanita menghampiri meja mereka. Detik yang ditunggu-tunggu Zakuan sudah tiba.
Sekejap saja lagi, Lia. Aku akan buktikan betapa tulusnya cinta aku pada kau
Lia.
“Aik! Tak pesan menu
lagi pun.” Diya buat muka tercengang. Bukan ke sepatutnya pilih menu dalam buku
menu dulu?
“Ni la surprise.” Zakuan kenyit mata kanannya
bersama senyuman menggoda.
Diya senyum kelat
sekali lagi. Hanya semangkuk aiskrim vanila yang terhidang di depan matanya
kini. Huh! Dah boleh agak dah apa punya surprise
mamat ni nak buat. Idea tak kreatif langsung. Taktik kuno dah ni. Aku dah boleh
agak ada benda apa dalam aiskrim ni. Ni dah tak kira surprise la…Tapi kalau tak terkejut, nak buat reaksi macam mana ni?
“Rasa la…” suara Zakuan
tidak sabar lagi. Diya telan air liur. Dahi juga sudah berpeluh jantan!
“Apa benda ni?” Diya
berlakon la juga buat jaga imej Zakuan. Kononya tertanya-tanya dengan benda
yang disembunyi dalam aiskrim yang dihidangkan padanya. Padahal dia bukan la
bodoh sangat untuk meneka sendiri. Saja nak berdrama sikit.
Mujur tak tertelan
sekali dengan aiskrim yang disudukan masuk ke dalam mulut. Kalau tak, satu hal
pula nak kena masuk bilik bedah. Untung-untung esok masuk akhbar muka depan,
‘mati tertelan cincin semasa dilamar!’ Tak ke kes berat.
Kini sebentuk cincin
berlian sudah berada di dalam tangan Diya. Fuyooo! Bersilau mata dek kilauan
batu berlian yang menggoda keimanan. Aku rasa memang berlian asli ni!
Zakuan tersenyum megah
seolah-olah jawapan gembira sudah terpancar pada raut wajah Diya yang melebar
senyumnya.
“Saya hendak melamar
awak menjadi isteri saya. Lia, saya cintakan awak seikhlas hati saya,” ucap
Zakuan menyatakan kejujuran hatinya. Sinar mata Zakuan yang memancar, memanah
ke dalam anak mata Diya. Please,
terima la Adelia. Hati lelaki itu berbisik dalam gelora hebat menantikan ucapan
‘ya’ sebagai kalimah jawapan.
“Errr….” Diya dah mula
menggelabah. Susah ni!
“Sebenarnya saya akan
ke Australia hujung minggu depan. Outstation
untuk beberapa bulan. Sepanjang saya di sana, saya tak akan tenang tanpa ada
ikatan antara kita. Jadi saya nak kita bertunang sebelum saya ke sana. Kalau
awak terima cincin tu, saya akan minta keluarga saya masuk meminang awak,”
Zakuan bersuara setelah Diya terus membisu.
Diya masih membisu
mendengar kata-kata Zakuan. Hati wanitanya dipalit rasa bersalah. Tingkah
Zakuan menyentuh rasa terharu di penjuru hati tetapi dia bukan seorang wanita
yang menyandarkan cinta pada mainan hati begitu. Rasa bersalah dan terharu akan
datang dan pergi. Saat ia hadir, diri bagai tersepit. Tatkala rasa itu pergi,
jiwa pula bakal dihimpit penyesalan. Diya tidak mahu menyesal!
Soal hati dan perasaan bukan paksaan. Diya
tidak mahu menerima Zakuan hanya kerana simpati dan terharu terhadap cinta
lelaki itu. Cinta tidak akan subur hanya kerana terharu dan simpati! Walau
sudah hampir tiga bulan Diya mengenali Zakuan, Diya belum yakin dan bersedia
untuk membawa hubungan mereka melangkau ke fasa lebih serius. Pertunangan dan
pernikahan adalah sesuatu yang belum pernah difikirkan Diya kerana fokusnya
kini adalah terhadap kerjaya yang baru dibina.
“Zakuan, saya tak dapat
terima lamaran awak,” terluah juga apa yang selama ini dipendam Diya. Boleh
terima ke mamat ni? Jangan menangis dekat sini sudah. Lemah semangat pula aku
tengok lelaki menangis.
Sunyi. Sepi. Zakuan
terkedu dan Diya berdebar-debar menantikan reaksi Zakuan setelah ditolak.
Senyuman yang mekar dibibir Zakuan mati dan bunga-bunga bahagia menjadi layu.
Reaksi yang sudah diduga. Pelik la kalau Zakuan tiba-tiba ketawa dan bertepuk
tangan dengan bahagia. Kalau Zakuan buat reaksi macam tu, Diya laju saja angkat
kaki tolong hantarkan ke hospital bahagia.
“Saya minta maaf. Ini
terlalu mendadak untuk saya,” Diya bersuara lagi apabila suasana terus sepi.
Gelisah betul berdepan detik-detik begini. Pengalaman pertama kali dalam hidup reject cinta orang. First time!
“Tapi Lia, saya
cintakan awak. Awak maksudkan saya terlalu awal jatuh cinta pada awak?” riak
wajah Zakuan tergambar perasaan hampa apabila harapannya musnah dalam sekelip
mata. Hanya sekali lafaz, cintanya ditolak Diya mentah-mentah. Kenapa kau tolak
cinta aku Lia? Butakah kau untuk melihat ketulusan cinta sejati yang aku
hamparkan buatmu?
“Mungkin. Kita baru
tiga bulan kenal,” Diya gigit bibir. Kesian pula tengok muka mamat ni. Dosa ke
aku tolak cinta dia? Tapi cinta bukan paksaan.
“Masa bukan ukuran
untuk jatuh cinta. Sesaat pun ibarat setahun kenal. Yang penting saya ikhlas
terhadap awak. Saya cintakan awak Adelia Dayana! Saya ikhlas.” Zakuan belum
berputus asa. Inilah masanya untuk dia membuktikan pada Diya betapa ikhlasnya
dia menyintai wanita itu. Seolah-olah cinta Zakuan pada Diya adalah cinta agung
yang suci dan sejati.
“Saya tak cinta!”
meluncur ayat itu dari mulut Diya. Awak saja yang cintakan saya. Saya tak
cintakan awak. Susahnya bertepuk sebelah tangan. Boleh faham ke mamat ni yang
cinta bukan paksaan?
Zakuan bagai ditampar
dek kata-kata itu. Diya menjawab tanpa sebarang pertimbangan seterusnya
mencalar keegoan Zakuan.
“Maaf Zakuan. Saya tak
cintakan awak. Dan saya dapat merasakan yang saya tak sesuai dengan awak. Maaf,
saya minta diri dulu.” Lebih baik segera angkat kaki. Tak sanggup lagi aku
tengok muka mamat handsome kena reject. Rasa bersalah pula hancurkan
perasaan orang. Tapi nak buat macam mana lagi kalau hati memang tak suka.
Daripada memberi harapan palsu, lebih baik terus terang saja.
“Lia!” jerit Zakuan
apabila Diya sudah bangun dan berpaling pergi.
Jangan berpaling Diya! Lagi lama kau di sini,
semakin dalam luka di hati Zakuan. Dan Diya meneruskan langkah kakinya tanpa sesalan.
Zakuan kaku di saat
Diya berlalu pergi meninggalkan dirinya hampa dan kecewa. Perit sekali rasanya
cinta ditolak. Hanya yang pernah melalui saja dapat merasakan pedih sembilu
menusuk tangkai hati.
Saat ini, irama gesekan
biola yang romantik seakan sebuah lagu cinta luka. Zakuan terpaksa menelan
kepahitan yang benar-benar merobek hati. Cinta pertamanya musnah! Sampai hati
kau Lia. Kau remukkan hati aku. Hancur berkecai bak kaca dihempas ke lantai.
No comments:
Post a Comment