Meluat
Diya dengan perangai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong si Razif tu.
Orang sudah tak sudi masih nak menyua-nyua diri. Hendak saja diambil bontot
kuali dan disuruh lelaki itu menyuluh diri. Biar lelaki itu sedar bahawa pada
pandangan Diya, muka Razif yang handsome
tu setanding dengan bontot kuali saja. Hati Diya menggumam geram. Tempoh seminggu bekerja
sebagai setiausaha Razif sudah cukup buat Diya memanggang hati saban hari.
Bukan hari ini saja gadis
itu dilanda sakit jiwa dan raga dek teletah Razif yang merimaskan. Apa lelaki
itu fikir dirinya model patung yang boleh ditatap sesuka hati? Mahu saja Diya
cucuk mata Razif yang tak beralih dari merenungnya sepanjang tempoh mesyuarat
berjalan.
Tindakan tak beradab
Razif itu membuatkan Diya jadi malu terhadap staf-staf yang lain. Sepertinya
satu pejabat sudah menyedari sikap Razif yang mengejar perhatian Diya. Malah
sepanjang sesi mesyuarat berlangsung, Diya perasan akan senyuman sinis beberapa
orang staf yang mudah sekali memandang serong padanya. Dirinya jadi bahan
cerita yang dijaja dari mulut ke mulut.
Diya cuba tabahkan
diri. Sememangnya bidang kesetiausahaan yang diceburi
cukup glamour dan sering dicap
sebagai skandal bos tak pun, wanita simpanan bos. Hakikatnya semua itu hanyalah
tanggapan masyarakat luar yang tidak mengetahui hakikat kerjaya professional
sebagai setiausaha. Berdepan situasi sekarang, Diya lebih rela digelar orang
gaji bos atau tukang bancuh kopi daripada dipandang serong sehina itu.
Sabar la Diya. Sedaya upaya hati dipujuk agar tiada
air mata yang tumpah. Tak guna menangis kerana itu hanya memperlihatkan sisi
dirinya yang lemah di mata Razif dan staf-staf di pejabat. Tiada siapa yang
akan peduli pada air mata yang dibazirkan itu. Diya pasrah. Berdepan dengan
Razif untuk tempoh masa setengah tahun, Diya berharap agar sejarah hitam
hidupnya tidak berulang lagi.
Maira
menghampiri Diya dan Nur yang duduk berbual sambil menonton televisyen di ruang
tamu. Wajah Maira berseri-seri ketika menghulurkan kad berwarna oren lembut
yang cantik cetakkannya. Diya menyambut huluran daripada temannya itu walau
teragak-agak pada mulanya.
Sungguh
tidak disangka Maira dalam diam sudah berpunya. Tidak pernah Diya lihat Maira
bersama-sama sebarang lelaki yang boleh dianggap sebagai teman istimewa. Malah
Maira tidak seperti orang yang sedang dilamun cinta selama mereka duduk
sebumbung.
“Biar
betul kau nak kahwin. Bila pula kau bercinta?” soal Diya setelah agak lama kad
cantik itu dibelek-beleknya. Bau wangi pula tu.
Maira
ketawa kecil. Nur yang duduk bertentangan dengan Diya masih lagi membelek kad
yang terlebih dahulu dihulurkan padanya. Tetapi Nur tetap memasang telinga akan
perbualan kedua-dua temannya itu. Dia juga terkejut seperti Diya. Tidak pernah
dia tahu Maira sudah ada teman lelaki.
“Nak
kahwin tak semestinya couple dulu.
Bercinta lepas kahwin pun, nikahnya sah juga,” jawapan Maira membuatkan Diya
dan Nur angkat kening. Tercengang seketika. Maira ketawa lucu melihat reaksi
seperti itu. Terkejut sangat ke ni?
“Oooo…
Pilihan ayah dan mak kau ke?” soal Nur setelah terkejutnya hilang. Maira angguk
dan Nur juga Diya turut angguk-angguk kepala melihat pengakuan Maira itu.
“Kau
ok ke dengan pilihan ayah dan mak kau tu? Kau kenal bakal suami kau tu?”
setelah terdiam agak lama, Diya akhirnya menyuarakan apa yang tersirat dalam
hatinya.
Maira
senyum menampakkan gigi putihnya. Sudah dapat membaca apa yang bermain-main
dalam fikiran Diya sejak tadi.
“Diya,
aku yakin dengan pilihan mak dan ayah aku. Setiap ibu bapa dalam dunia ini
mahukan anak-anak yang mereka besarkan sejak kecil hingga besar hidup bahagia.
Takkan la mak dan ayah aku nak pilih lelaki yang tak berjenis untuk jadi
menantu dan suami pada anak mereka. Aku terima pilihan ayah dan mak aku sebagai
jodoh yang terbaik untuk aku. Lagipun yang penting restu orang tua. Lelaki tu
pun dari keluarga yang baik serta mempunyai didikan agama yang baik. Insyallah
dia dapat bimbing aku,” jawab Maira panjang lebar.
“Bagus
la kalau macam tu. Lepas ni kau pindah rumah la ye. Jauh ke kau pindah? Kerja
kau macam mana?” Nur pula bertanya.
“Aku
pindah duduk dengan suami aku la lepas kami nikah. Aku still kerja lagi. Dia bagi aku kerja asalkan aku dapat bahagikan tugas
aku sebagai isteri dan kerja dengan baik.”
Nur
angguk faham. Kemudian matanya berkalih pula pada Diya yang seakan berkhayal.
Kenapa pula dengan minah seorang ni?
“Kau
orang duduk berdua la nanti. Entah siapa pula yang kahwin dulu. Siapa yang kena
tinggal siapa pula lepas ni…” ujar Maira seakan berseloroh.
Diya
senyum tawar. Wajah Maira berseri-seri itu dipandang sayu. Bertuah la Maira
andai dapat menemui cinta sejati. Dalam hati, Diya mendoakan kebahagiaan Maira.
“Kau
tak bencikan lelakikan, Diya?” berhati-hati Maira menyoal. Takut juga sekiranya
soalan itu mengguris hati Diya.
Diya
senyum sinis. Nur dan Maira terus menanti jawapan.
“Aku tak bencikan lelaki la… Jangan la kau orang
risau sangat pasal tu.” Diya buat-buat ketawa dan Maira serta Nur saling
berpandangan. Boleh percaya ke?
“Selepas
apa yang berlaku, aku akui sukar untuk menerima lelaki dalam hidup aku. Bukan
saja soal kepercayaan terhadap lelaki. Aku tak macam kalian. Aku lebih senang
kalau jadi kalis cinta saja. Aku ni dah macam trauma untuk mengenali apa itu
cinta,” luah Diya mendatar nadanya.
“Tapi
masih ada lelaki yang baik di luar sana yang boleh terima kau, Diya. Percaya
la. Tak semua macam lelaki tak guna tu,” Maira cuba memujuk Diya. Simpati pula
rasanya.
“Entah
la Maira. Mungkin sudah takdir aku untuk hidup macam ni. Aku reda. Hidup tak
semestinya membesar jadi dewasa untuk kahwin dan ada anak cucu. Masih ada
perkara lain…”
“Diya…”
Mahu menitis air mata Maira mendengar bicara Diya seakan pasrah itu. Nur bangun
dan duduk di sisi Diya lalu jemari temannya itu digenggam erat.
“Tak
apa la Diya. Jodoh tu urusan Allah. Aku doakan suatu hari nanti, akan datang
seorang Adam yang dapat memanah ke dalam
hati kau yang kalis cinta ni. Semoga ia adalah panahan cinta sejati,” ucap Nur
dengan tenang. Itu adalah doanya pada Diya.
Maira
senyum nipis sambil melentok kepala di bahu Diya. Jemarinya turut berada dalam
genggaman Nur dan Diya. Saat ini, tiga sahabat itu saling mengeratkan genggaman
tangan mereka. Doa sahabat buat sahabatnya adalah doa yang makbul. Maira dan
Nur berdoa agar Diya akan mendapat sinar bahagia dalam hidupnya. Mereka turut
berdoa agar persahabatan ini menjadikan hidup mereka dilimpahkan berkat dan
rahmat.
Masa terus berjalan dan tanpa sedar,
tempoh tiga bulan berlalu. Maira sudah selamat diijab kabulkan. Kini hanya
tinggal Diya bersama Nur menghuni rumah sewa mereka.
Waktu pejabat sudah tamat dan
kebanyakan pekerja sudah pulang. Diya mengemaskan meja ala kadar. Razif yang
hendak pulang berhenti di depan meja Diya. Memerhati teletah setiausaha
sementaranya itu dengan satu pandangan yang sukar ditafsir. Sudah hampir tiga
bulan dia menggantikan tempat Encik Khalid sebagai pengurus di situ.
“Diya, saya hantar awak pulang nak?” soal
Razif apabila Diya menyedari kehadiran lelaki itu.
“Er… Encik Razif lupa ke saya ni
bawa kereta. Saya boleh balik sendiri. Terima kasih.” Diya memaniskan wajah
sedangkan hati tidak senang dengan kehadiran Razif di situ. Apa lagi buaya ni
nak dari aku?
“Oh! Terlupa pula saya. Bukan apa,
berat hati pula untuk biarkan gadis secantik awak ni pulang sendirian. Bahaya
tau,” Razif bersikap prihatin. Niat sebenarnya tersembunyi di sebalik sifat
baik itu. Perempuan, jual mahal la sikit. Aku tambah harga sikit lagi, dekat
kaki ni juga melutut nanti.
“Tak mengapa Encik Razif. Saya ni
tak selemah yang Encik Razif sangkakan,” jawab Diya berbasa-basi. Kalau aku
boleh buat magik hilangkan orang, mamat ni la orang pertama aku lenyapkan dari
muka bumi Allah ni.
Mereka berdua melangkah seiring
menuju ke arah lif. Masing-masing membisu sehingga memasuki lif. Hanya mereka
berdua saja di dalam lif. Walau untuk beberapa minit, hati Diya sudah
keresahan. Tidak senang apabila hanya berdua dengan Razif yang dianggap buaya
darat. Diya juga tidak senang dengan renungan mata Razif yang liar
memandangnya.
“Diya, malam ni awak free?” soal Razif memulakan strategi
memancing Diya.
Diya tidak menjawab. Razif dipandang
dengan wajah kosong.
“Saya nak ajak awak keluar. Kita
pergi tengok wayang atau jalan-jalan cari makan. Boring la nak makan sorang-sorang. Orang bujang la katakan,” Razif
seperti minta disimpati. Seakan merayu Diya menemaninya.
Diya tenang dengan senyuman nipis di
bibir. Sebaik mungkin pelawaan Razif itu ditolaknya. Macam aku tak tahu taktik
murah mamat ni. Dah nak mati kebulur pun aku tak akan pergi makan dengan kau
la! Silap langkah, aku yang kena makan dengan buaya darat ni.
“Maafkan saya Encik Razif. Saya tak
suka keluar malam. Lagipun malam ni ada drama best. Saya lebih suka rehat-rehat dekat rumah sambil menonton tv
saja, Encik Razif.” Diya kemudian ketawa kecil. Ketawa yang dibuat-buat.
Razif tersenyum sumbing. Faham dengan
penolakan Diya itu. Wajah lelaki itu masih kelihatan tenang walau hakikatnya
hati Razif diamuk perasaan geram. Geram apabila Diya jual mahal! Tak pe,
perempuan cantik macam kau memang mahal sikit. Sabar sikit Razif. Jangan gopoh.
Lagi jual mahal, lagi tinggi saham minah ni. Lagi sedap aku ratah! Hati Razif
meledakkan ketawa kejahatan.
“Ok la kalau macam tu. Lain kali
saja ye.” Razif mengalah juga. Untuk kali ini Razif membiarkan Diya melepaskan
diri. Esok masih ada untuk dia memujuk rayu. Perempuan memang selalu jual
mahal. Tetapi semahal mana Adelia Dayana mampu tawar-menawar dengannya? Hati
Razif mengejek.
Sebaik saja pintu lif terbuka, Diya
segera meminta diri untuk berlalu meninggalkan Razif berjalan di belakangnya.
Diya tidak mahu beriringan dengan lelaki itu. Diya mahu segera melenyapkan diri
daripada pandangan Razif yang merimaskan. Masuk saja dalam Perodua Myvi
miliknya, Diya menarik nafas kelegaan buat seketika.
Hari ini Diya berjaya lari daripada
Razif. Esok lusa Razif pasti akan terus berusaha mendekati dirinya. Diya tahu
Razif tidak akan mudah mengalah seperti mana syaitan yang tidak pernah berundur
dari cuba menyesatkan manusia. Pada Diya, Razif memiliki segala-galanya. Rupa,
pangkat dan kemewahan yang telah membutakan mata hati lelaki itu sendiri.
Razif buaya darat yang berbahaya!
Buaya yang bersembunyi di air yang tenang. Permukaan air tidak berkocak tetapi
apabila disuakan ayam, pantas sekali sang buaya menyambar penuh lahap. Diya
tidak mahu menjadi ayam yang disambar buaya seperti Razif. Tidak sesekali harga
dirinya akan digadai pada lelaki seperti Razif. Tembok hati Diya masih kukuh
untuk ditembusi cinta palsu Razif yang rapuh. Diya tidak mahu mencalit sejarah
hitam yang kedua dalam perjalanan hidupnya.
“Ya Allah, aku berlindung dengan kekuasaan
Mu daripada tipu daya syaitan dan hasutan hawa nafsu yang jahat. Berikan aku
kekuatan iman,” doa Diya sambil memejamkan mata. Nafas panjang ditarik dan
dilepaskan perlahan-lahan.
Diya melangkah masuk ke dalam bilik
pejabat Razif sebaik saja mendapat arahan daripada majikan sementaranya itu.
Kening Diya terangkat apabila Razif tidak kelihatan pada kerusi hitam di meja
kerjanya. Mana mamat tu pergi? Tak nampak dia keluar pun tadi.
“Diya…” suara Razif begitu menggoda
dibisikkan di tepi telinga Diya dari arah belakang. Malah telapak tangan Razif
menyentuh kedua-dua bahu Diya. Spontan Diya terloncat setapak ke hadapan.
Terkejut benar apabila Razif muncul dari arah belakangnya.
“Encik… Encik Razif…” ada getar
dalam nada suara Diya. Masih terkejut dengan tindakan lelaki itu. Jantung pula
sudah berdegup kencang. Tak guna betul lelaki ni! Karang ada juga yang makan
kasut tumit tinggi aku ni.
Razif mempamerkan senyuman penuh
menggoda. Dengan wajah tampan dan penampilan yang bergaya, pasti ramai wanita bisa
tergoda apabila dihadiahkan senyuman seperti itu. Pegang sikit dah tersentap
ke? Hati Razif bergema dengan ketawa besar. Tak lama la aku kena tunggu kalau
macam ni.
“Saya bergurau saja. Kadang-kadang
saya ni nakal juga. Jangan marah ye,” Razif berseloroh sambil mengambil tempat
di sebuah sofa di ruang rehat. Senyuman manis mekar di bibir.
Diya memerhati dengan senyuman
tawar. Ikut hati, mahu saja lelaki itu diberi penampar percuma atas perbuatan
tidak sopannya sebentar tadi. Diya menghampiri ruang rehat dan duduk di sofa
bertentangan dengan lelaki itu. Hati dibisikkan kesabaran untuk berdepan dengan
kerenah Razif.
“Awak buat saya geram Diya,” ujar
Razif bersahaja. Sekali lagi Diya terkejut dengan kata-kata Razif yang lain
benar bunyinya. Liar sekali renungan Razif menjamah raut wajah Diya meresahkan
gadis itu. Kenapa kau cantik sangat Diya? Nak luruh iman aku kalau tatap
lama-lama. Ego melangit aku ni pun macam nak melutut di depan kau saat ni.
“Macam merpati. Jinak makan di tapak
tangan tetapi pantas terbang bila hendak ditangkap,” sambung Razif lagi.
Matanya masih menikam wajah Diya dengan pandangan yang tidak menyenangkan.
Wajah mulus Diya menggoda imannya yang tipis dengan amalan kebaikan.
“Apa maksud Encik Razif?” soal Diya
berpura-pura tidak faham. Sungguh aku tak selesa sekarang ni. Ya Allah,
percepatkan la masa agar aku dapat keluar dari sini dengan segera.
“Awak tahu saya sukakan awak. Tapi
awak jual mahal dengan saya,” terus terang Razif. Sungguh Razif geram. Geram tatkala Diya
laksana bayang-bayang yang hanya bisa dilihat tanpa upaya untuk disentuhnya.
Laju saja gadis itu mengelak dan menjauh sedangkan nafsunya semakin
memberontak.
Diya pura-pura terkejut pula kali
ini. Sedang hati terasa jelik dengan pengakuan lelaki buaya darat di depannya ini.
“Saya ikhlas Diya,” suara Razif
mendatar dengan sinaran mata yang melindungi pendustaan kata-katanya.
“Encik Razif, sekarang waktu kerja.
Tak elok kalau kita bercakap tentang hal peribadi,” Diya tidak mahu terpedaya
oleh topeng lelaki di depannya. Dia harus berlalu sebelum hatinya dipancing
oleh sandiwara Razif.
“Saya mengaku saya liar sebelum ini.
Tapi awak telah mengubah diri saya, Diya. Sifat-sifat kewanitaan dalam diri
awak telah sedarkan saya. Saya hendak bertaubat. Saya perlukan awak dalam hidup
saya,” kali ini perwatakan Razif berubah.
Wajah kejahatan yang dilihat Diya
sebelum ini telah hilang. Lakonan Razif cukup matang seolah-olah lelaki itu
benar-benar sudah tersungkur di depan pintu keinsafan. Reaksi dan bicaranya
umpama dia benar-benar telah mengetuk pintu taubat dalam dirinya.
“Apa kena-mengena dengan saya Encik
Razif?” Boleh percaya ke buaya darat ni dah jinak? Lelaki! Kalau dah taubat,
nak ape pula dari aku? Nak aku bina masjid dengan dia ke? Sindir Diya dalam
hati. Sepatah ayat pun Diya tidak percaya.
“Saya perlukan awak untuk bimbing
saya. Saya yakin awak dapat bimbing saya. Bukan ke kalau lelaki tak begitu
sempurna, wanita yang baik dapat menyempurnakan kekurangan yang ada. Jadi, saya
yakin awak dapat sempurnakan hidup saya,” kali ini Razif bermain madah pula.
Diya terdiam. Tidak tahu bagaimana
untuk membalas bicara Razif yang pandai bermain kata. Saat ini Diya
terbayangkan Razif seperti Zakuan. Lelaki yang tak faham bahasa!
“Errr… kalau tak ada apa-apa hal
saya keluar dulu. Saya ada kerja lagi,” dalih Diya lantas meluru ke arah pintu.
Razif ditinggalkan gigit jari, makan hati!
No comments:
Post a Comment