DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 3 March 2016

ISTERI AKU KALIS CINTA - BAB 2



Kepada wanita-wanita di seluruh dunia! Bayangkan suatu hari datang seorang putera raja tampan lagi bergaya. Bukan datang bergaya dengan menunggang kuda putih tetapi memandu kereta mewah siap ada kereta apit depan belakang seperti adatnya konvoi diraja.
Sang putera dibukakan pintu kereta dan melangkah keluar dengan penuh bergaya. Saat kakinya mencecah ke tanah, angin sepoi-sepoi bahasa menghembus lembut pada wajahnya membuatkan rambut sang putera berombak jatuh menutup dahi. Kemudian rambut itu dikuak dengan jemari kanan penuh berkarisma hingga membuatkan mata kaum hawa tidak kelip memandang.
Bayangkan sang putera memiliki paras rupa lelaki idaman. Dengan tubuh tegap menampakkan sifat kegagahan yang terpendam di sebalik senyuman yang menawan. Tatkala sang putera mengatur langkah menghampiri anda, bayangkan diri anda ibarat Puteri Cinderella yang sedang menanti sang putera menyarungkan sepatu pada kaki sebagai bukti penyatuan dua cinta sejati.
Setiap langkah kaki sang putera cukup teratur membuatkan anda seperti melihat seorang putera kayangan yang turun daripada langit. Sekali memandang mata anda terikat pada kesempurnaan ciptaan Tuhan itu.
Bayangkan sang putera kini sedang duduk melutut dan menyarungkan sepatu pada kaki anda. Kemudian anda dan sang putera saling berbalas tikaman mata. Sang putera lalu bersuara dengan nada penuh mempersona.
“Sudikah dikau menjadi permaisuri dalam hidupku?” Oh! Tuhan…bunga-bunga bahagia turun dari langit bagaikan salji putih di bumi sakura. Lamaran sang putera umpama mimpi di dalam mimpi.
Dan kini bayangkan… sebaldi air sejuk yang baru diceduk daripada perigi belakang rumah disimbah atas kepala! Ya Allah… memang mimpi pun!
“Bertuahnya anak dara liat bangun! Matahari dah suluh sampai ke punggung tak reti-reti bangun lagi! Ibu kena tolong mandikan dengan air perigi juga!” bebel Puan Zahra dengan suara halilintarnya mengejutkan Diya daripada mimpi yang indah lagi bahagia. Malangnya apabila bahagia itu sementara cuma.
“Ibu ni, orang nak bangun la ni. Kenapa ibu main curah-curah air segala. Habis basah,” rungut Diya sambil mengelap muka yang basah. Mata yang berat untuk dibuka kini sudah celik.
“Jangankan air, segala-galanya ibu nak simbah! Ikut hati ibu yang panas ni, ibu simbah adik dengan air panas! Matahari dah meninggi tak reti-reti nak bangun lagi. Hari-hari ibu nak kena pekik telolong panggil adik bangun. Jam loceng letak punya cantik dekat kepala katil. Haram nak bangun!” bebel Puan Zahra tidak henti-henti. Anak dara aku seorang ni memang liat betul nak bangun. Telinga tu dah kebal dengan tazkirah pagi-pagi kot.
“Waktu subuh suara ibu la jadi beduk panggil adik bangun. Dah lepas subuh, terbungkang balik sampai matahari segalah tak reti-reti nak bangun lagi. Adik ingat ibu ni bapa ayam? Kerja berkokok kejut orang bangun tiap hari.”
“Relak la ibu. Alah bisa tegal biasa,” selamba Diya menjawab. Ibu... ibu… setakat kejut bangun, bukan kena bayar pun.
Puan Zahra tergeleng-geleng melihat teletah anak bongsunya ini. “Elok sangat la kebiasaan kamu tu. Malaikat rezeki tak limpah rahmat tahu, kalau tidur lepas subuh,” sahut Puan Zahra. Kata-kata itu sudah berulang kali diperingatkan kepada Diya. Tetapi kalau sudah mengantuk, tiada ubat lain melain disorongkan bantal. 
Diya menguap pula. Hati Puan Zahra kian panas melihat mulut anak gadisnya yang ternganga luas tidak ditutup. Lantas dicapai sebiji bantal lalu dilembar ke muka Diya.
Diya terkapai-kapai menahan daripada tubuh terlentang ke belakang. “Aduh! Ibu ni main lempar-lempar bantal pula,” Diya merungut dengan muka berkerut-kerut. Ibu ni, agak-agak la nak baling bantal pun, jatuh terlentang karang.
“Syukur la ibu lempar bantal dari ibu lempar adik dekat jalan. Menguap mulut tak reti-reti nak tutup, biarkan syaitan berbondong-bondong masuk!” marah Puan Zahra sambil bercekak pinggang. Budak seorang ni, faham ke tidak apa aku cakap ni? Ke mamai lagi.
Diya menggaru-garu telinga yang tidak gatal. Tabiat selalu apabila Puan Zahra membuka tazkirah paginya.
“Itu! Duduk termenung apa lagi dekat situ? Tunggu putera raja datang angkat adik pergi mandi? Ke adik tunggu ibu mandikan adik atas katil tu?” tempelak Puan Zahra apabila Diya masih duduk mengeliat atas katil.
Diya lantas bergegas mencapai tuala dan melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Dari dalam bilik mandi, telinga Diya masih menangkap suara bebelan ibunya. Untuk itu, Diya buka pili paip dan membiarkan bunyi air yang keluar daripada paip itu menenggelamkan suara bebelan itu.


“Makan tu baca bismillah ke tidak?” tegur Encik Azhar sebaik saja muncul di dapur.
“Huk!” Diya tersedak. Tersentak dek teguran ayahnya yang entah bila muncul di dapur. Kunyahan kuih karipap yang ditelan lekat di kerongkong. Ya Allah! Mati tercekek aku karang! Pantas dicapai cawan berisi air milo lalu segera diteguk. Wajah Diya sudah merona merah dengan mata berair.
“Itu la, makan tak reti-reti baca bismillah. Gelojoh!” Si ibu menempelak anaknya.
Puan Zahra yang siap membancuh secawan kopi pekat untuk suaminya lalu mengambil tempat di sisi Diya.
“Terlupa la ibu,” Diya menjawab dengan perasaan malu. Tangannya menepuk dada yang perit akibat tersedak tadi. Encik Azhar ketawa kecil melihat teletah anak gadisnya.
“Terlupa, terlupa. Dah tu, apa yang adik ingat? Baca bismillah pun boleh adik lupa. Dari kecil ibu ajar adik baca bismillah. Masa adik kecil boleh la ibu nak ingat bacakan. Ini dah besar panjang pun ibu juga nak kena ingatkan. Bertuah betul!” Puan Zahra membebel lagi.
Diya tersengih-sengih sambil menggaru-garu belakang cuping telinga mendengar bebelan ibunya. Benar juga kata ibunya itu. Bismillah adalah bacaan yang paling mudah tetapi ayat itu juga sering lupa untuk diucapkan sebelum melakukan sebarang perkara. Sejak kecil ibu mengajar Diya mengucap kalimah ‘bismillahirahmanirahim’ sebelum melakukan sebarang perkara. Tetapi dia sering terlupa akan ajaran tersebut terutama apabila dalam keadaan tergesa-gesa.
“Bismillah itu banyak fadhilatnya adik. Sesuatu perbuatan yang baik itu kalau tak dimulakan dengan bismillah, amalan tersebut tak dapat rahmat daripada Allah. Tambah pula masa nak makan ni. Kalau makan tak baca bismillah, makan la adik dengan syaitan. Makan banyak pun tak kenyang-kenyang.” Lunak suara Puan Zahra memberi nasihat ke telinga anaknya. Nasihat yang telah diulang berkali-kali agar lekat dalam hati Diya.
Diya tunduk mendengar nasihat ibunya itu. Terasa bersalah kerana sering mengabaikan ajaran tersebut.
“Yang adik tertunduk macam pesalah mahkamah kenapa? Cepat makan tu.” Baru tadi suara Puan Zahra selunak suara Ustazah Siti Nor Bahyah, kini nada Puan Zahra bertukar lantang setanding kelantangan suara Nyonya Mansor. Kenal Nyonya Mansor? Ala, ibunya Sabariah isteri si Kasim Selamat yang buta cucuk mata dengan garfu itu. Sememangnya Puan Zahra miliki vokal yang power. Muda-muda dulu ada la juga buat sumbangan suara dalam kenduri kahwin keliling kampung.
“Berangan pula budak ni. Makan cepat sayang,” tegur Puan Zahra bernada lembut. Anak bongsu yang seorang ini kuat berangan betul.
Diya cepat mengangguk kepala. Sejak tadi, karipap kedua belum masuk ke mulut setelah kenyang dengan tazkirah ibunya. Sesudah reda bebelan ibunya, sebiji karipap disambar lalu hendak disumbat ke dalam mulut.
“Bismillah dah baca belum?” pintas Puan Zahra sebelum sempat karipap tersebut digigit Diya. Pergerakan tangan terhenti. Diya tersengih menampakkan barisan gigi yang tersusun.
“Bismillah…” Ngap! Kuih karipap dikunyah Diya dengan rasa nikmat. Puan Zahra menggeleng-geleng kepala manakala Encik Azhar ketawa kecil melihat teletah anak dara bongsu mereka itu.
“Sedap betul karipap ibu ni. Kalau Along dengan Kak Ngah tahu ibu buat karipap hari ni, mesti mereka cemburu pada adik,” seloroh Diya dengan mulut penuh disumbat karipap inti kari hasil air tangan ibunya.
“Ish! Mulut penuh jangan bercakap,” tegur Puan Zahra tetapi kali ini dengan senyuman. Tahu benar akan kesukaan anak-anaknya pada karipap buatannya. Hati Puan Zahra berbunga-bunga setiap kali anak-anaknya makan karipap buatannya dengan riang dan berselera.
“Hemmm… nanti adik tak merasa la makan karipap ibu hari-hari bila dah masuk universiti nanti. Tak best la,” Diya seakan merengek.
Puan Zahra mengusap rambut anak manjanya. Encik Azhar pula melebar senyumnya.
“Adik yang beria-ia sangat nak duduk asrama. Ayah suruh belajar dekat-dekat, adik tak nak,” suara Encik Azhar.
“Adik kan nak hidup berdikari, berdiri atas kaki sendiri. Kalau tak dapat berjauhan dengan karipap ibu, macam mana nak berdikari.” Puan Zahra seakan memujuk.
 Diya mengangguk lemah. Karipap kegemarannya bakal dirindui kelak.
“Huh! Adik ni lebih sayang karipap ni daripada ibu dan ayah. Nak berjauhan dengan ibu dan ayah tahan, nak tinggalkan karipap ibu tak tahan pula. Untung la karipap ni,” seloroh Encik Azhar sambil membelek-belek sebiji karipap di tangan. Karipap itu kemudian masuk dalam mulut. Ngap! Sedap, memang yang terbaik.
Diya ketawa kecil. Begitu juga Puan Zahra. Diya paut lengan ibunya dengan manja lalu dilentokkan kepala pada bahu wanita itu. Nak bermanja la ni.
 “Adik suka karipap ni sebab ibu buat sedap. Kalau karipap ni tak sedap pun, adik tetap sayang ibu,” ujar Diya manja.
“Adik duduk jauh nanti jaga diri elok-elok. Ingat yang adik tu pergi mana-mana pun, adik bawa nama keluarga. Bawa maruah keluarga selain maruah sendiri. Adik juga memikul maruah agama,” pesan Encik Azhar mengingatkan anak bongsunya.
Diya mengangguk akur. Dalam hatinya penuh azam dan tekad untuk berpegang pada pesanan ikhlas ayahnya itu.
“Adik juga kena selalu beringat dalam berkawan. Kawan ketawa senang dicari tapi kawan menangis tu satu dalam seribu pun belum tentu ada. Hubungan dalam berkawan ada batasannya. Terutama kawan yang bukan mahram. Jaga pergaulan dengan kawan-kawan lelaki. Jangan sampai tergadai maruah diri,” Puan Zahra pula memberi nasihat berharganya. Bimbang juga untuk melepaskan anaknya yang masih hijau ini menempuh dunia baru.
Yes bos!” Diya memberi tabit dengan senyum manis.
“Lagi satu, adik kena ingat pesan ayah ni. Belajar tu niat kena ikhlas untuk menuntut ilmu kerana Allah. Tak kisah ilmu apa-apa pun asal bermanfaat biarlah ikhlas kerana Allah.” Encik Azhar masih belum lokek dengan nasihat.
“Betul tu adik. Adik kena niat tuntut ilmu kerana Allah. Bukan semata-mata hendak berjaya di dunia saja. Niatkan ilmu itu adik belajar untuk berbakti kepada agama. Jadikan belajar itu sebagai satu ibadah.” Panjang lebar Puan Zahra mengisi dada anaknya dengan bekalan nasihat.
Diya mengangguk faham. Hati terasa lapang mendengar nasihat-nasihat daripada ayah dan ibunya. Nasihat ayah dan ibu akan Diya jadikan bekalan berharga dalam diri. Diya tahu, nasihat itu juga yang selalu ayah dan ibu pesan pada Along dan Kak Ngah. Pesanan yang cukup berharga daripada ibu dan ayah buat Diya, Along dan Kak Ngah.
Betapa Diya rindukan celoteh si ibu, rindu untuk bermanja dengan si ayah juga bergurau senda dengan Along dan Kak Ngah. Dapatkah masa lalu itu berulang kembali. Layakkah dia untuk menikmati kebahagian yang telah diragut itu? Kini Diya kesal kerana merasakan diri gagal untuk menjadi anak yang baik. Ya, mungkin dia belum cukup baik sehingga gagal menanam kepercayaan ahli keluarga terhadap dirinya. Lantaran itu, dia menjadi buangan keluarga.
Ya Allah, dapatkah aku pulang ke pangkuan keluarga? Sudah surutkah kemarahan Along? Masihkah ada tempat untuk diri ini dalam keluargaku? Diya katup rapat kelopak mata. Otak membayangkan peristiwa pada hari terakhir dirinya bersama-sama ahli keluarga yang amat dirindu. Satu-persatu wajah insan tercinta menjelma dalam minda. Secara spontan Diya gigit bibir tatkala kenangan suara halilintar Along berdesing di telinga.
Belum sempat Diya jauh dibawa ingatan masa lalu, Encik Khalid menghampiri dengan senyuman mesra lantas mengusir kenangan pahit itu pergi. Derap tapak kasut lelaki itu yang menyedarkan Diya.
Nampaknya pagi ini bos Diya tidak datang seorang diri. Ada seorang lelaki bersamanya. Encik Khalid terus masuk dalam pejabatnya diekori lelaki itu setelah Diya menyambut kedatangan bosnya dengan ucap selamat. Sebelum lelaki itu membontoti Encik Khalid menghilang dalam pejabatnya, sempat dia menghadiahkan Diya satu senyuman menggoda.
Glup! Diya telan air liur.  Gila mamat ni!
“Diya, masuk bilik saya sekarang,” arah Encik Khalid setelah agak lama duduk berdua dengan lelaki itu dalam biliknya.
Diya segera muncul bersama nota ditangan. Bersedia mencatat sebarang tugas dan arahan.
“Diya, ini kawan saya Razif. Razif, ini setiausaha saya Adelia Dayana.”
 Mereka saling berbalas senyuman perkenalan. Diya sedar renungan mata Razif begitu meliar melihat dirinya atas bawah. Naik geram Diya dengan renungan liar begitu.
“Razif akan ganti posisi saya buat sementara kerana saya mengambil cuti selama setengah tahun. Razif sebenarnya bakal pengurus cawangan syarikat baru di Johor. Jadi saya harap awak dapat bantu dia sebagaimana awak bantu saya,” maklum Encik Khalid.
Diya mengangguk akur. Sekilas Diya menjeling Razif yang sejak tadi merenungnya dengan pandangan tajam.
 ‘Lelaki buaya darat!’ itulah tanggapan awal Diya terhadap lelaki itu.
“Berbangga dapat bekerja dengan gadis secantik awak Adelia Dayana.” Dengan senyuman manis seakan ingin menggoda, Razif mengucapkan kata-kata pujian. Bertuah la dapat setiausaha peribadi secantik ini. Tak sia-sia aku terima tawaran ganti si Khalid ni.
Diya membalas dengan senyuman nipis. Sekadar berbasa-basi melayan lelaki yang dalam diam tidak disenangi kehadirannya.
“Kalau tak ada apa-apa, saya keluar dulu Encik Khalid.” Diya ingin segera beredar. Tidak betah lagi berdepan dengan Razif yang liar memandang Diya atas bawah.
“Kau tak cakap yang kau ada pembantu secantik bidadari. Pandai kau sorok dari aku,” seloroh Razif sebaik saja Diya menghilang dari bilik pejabat itu.
Kata-kata Razif disambut Encik Khalid dengan ketawa besar. Faham benar dengan sikap mata keranjang dan buaya darat kawannya ini. Sejak dulu hingga kini tidak pernah berubah malah semakin ligat lagi. Berbakul nasihat pun sudah tidak luak.
“Dengan Diya, kau jangan nak menggatal. Dia tu perempuan baik,” kata-kata Encik Khalid bersahaja tetapi ada ketegasan dalam nadanya.
Razif mencebik bibir. Kata-kata Encik Khalid tidak terkesan dalam hatinya. Perempuan baik! Mahu saja Razif ketawa berguling-guling. Belum pernah dia bertemu dengan ‘perempuan baik’ dalam hidupnya. Selama ini, setiap perempuan yang dipancingnya pasti tersangkut. Paras rupa yang boleh dianggap kacak dengan poket yang berkepuk dengan wang melengkapkan dirinya sebagai lelaki pemain cinta.
“Yang baik tu luaran saja. Manusia sekarang ni semua plastik. Kebaikan tu sekadar topeng. Kau tengok la lepas lima bulan nanti. Perempuan baik kau tu akan tunduk pada aku,” penuh bongkak Razif berbicara. Hatinya sudah dibisikkan nafsu jahat.
Encik Khalid menggeleng kepala dengan kerenah kawannya ini. Razif sudah dikenalinya sejak zaman sekolah menengah lagi. Jika bukan kerana persahabatan yang begitu lama, pasti Razif tidak dia tawarkan dengan jawatan sebagai pengurus di cawangan Johor. Razif sangat berbakat dan berkaliber dalam tugasnya tetapi sikap kaki perempuan lelaki itu amat tidak disenanginya.
“Sudah la Razif. Hal peribadi kau aku tak nak masuk campur. Tapi kau kena ingat, aku pilih kau ganti tempat aku untuk bekerja. Bukan rosakan pekerja-pekerja aku. Kau jangan buat hal yang akan susahkan aku,” kali ini Encik Khalid lebih tegas dengan amarannya.
Razif senyum sinis. Dia tidak peduli pada amaran Encik Khalid itu. Adelia Dayana! Nama itu tersemat dalam fikiran Razif. Senyuman jahat semakin lebar di bibir Razif.
“Razif tak pernah kalah!” bisik hati Razif penuh bangga.


No comments:

Post a Comment