DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Thursday, 3 March 2016

ISTERI AKU KALIS CINTA - BAB 1




Mata memandang langit bagaikan tembus terus ke angkasa. Sesungguhnya hati wanita itu tak pernah henti bertanya. Kenapa dia yang harus diuji begini? Apakah dosanya sehingga dipalit kehinaan sebegini rupa? Di manakah silapnya sehingga sebesar ini kifarat dosa yang harus dibayar? Adakah kerana diri ini terlalu hina pada pandangan Tuhan? Air mata mengalir lagi. Peneman setia yang tidak pernah meninggalkannya lama.
Hampir seluruh kehidupan dihabiskan dengan termangu sendirian di sisi jendela. Diya sudah kematian nafsu untuk menikmati kehidupan di luar sana. Saban hari, jasadnya termangu menanti jawapan kepada soalan yang tiada terungkai. Soalan yang terus-terusan mengasak ruang fikiran dan menjadi punca kepada kesengsaraan diri. Mengapa dan kenapa? Mengapa musibah seberat ini menghempap dirinya? Kenapa harus dia?
Nur dan Maira yang menjenguk dari balik daun pintu turut dihambat kepiluan. Begitulah keadaan Diya sejak pertemuan semula beberapa hari yang lalu. Mereka tidak pernah lelah memujuk dengan kata-kata nasihat. Namun bagaimana untuk menenangkan hati yang dirusuh lara sedang mereka tahu gelojaknya tiada bisa ditanggung oleh sesiapa saja yang bernama wanita. Hambatan perasaan yang dialami Diya terlalu menyiksa. Mereka juga barangkali dalam situasi begitu dan mungkin lebih parah andai mengalami nasib yang sama.
Perlahan-lahan dua sahabat itu merapati Diya. Mereka tidak mahu beralah untuk terus menghidupkan semula semangat Diya yang telah mati. Malah kedua-duanya merasa wajib untuk membantu atas dasar kasih sayang dan persaudaraan Islam yang telah mengikat hati mereka.
“Diya, Allah menguji sesuai dengan keupayaan hamba Nya. Aku yakin kau kuat,” pujuk Nur seraya meraih jemari kanan Diya dalam genggaman.
Pandangan Diya beralih menatap seraut wajah Nur yang limpah dengan simpati. Redup sekali renungan mata Diya yang tiada bercahaya. Gelap oleh hati yang berbalut luka.
“Kenapa mesti aku?” soalan yang telah acap kali diulang itu dilontar sekali lagi.
Nur tarik nafas dalam sebelum dihela lembut. Dia sudah menyediakan jawapan untuk persoalan itu setelah gagal sebelum ini. Nur dan Maira berusaha menemui seorang ustazah yang banyak melibatkan diri dalam bidang kaunseling wanita. Segala nasihat dan pandangan yang diperolehi daripada ustazah tersebut bakal diperdengarkan pada Diya memandangkan wanita itu degil untuk keluar dari kepompong dunia gelapnya.
“Sebab kau boleh tempuhinya. Kau kuat Diya,” ujar Nur.
Diya tersenyum sinis. Mudah saja manusia berkata-kata.
“Heh, letak diri kau di tempat aku dan beri tahu aku yang kau kuat untuk tempuhi kehinaan yang aku rasa,” bicara mendatar Diya itu kedengaran cukup sinis.
“Astaghfirullahalazim, Tuhan tak menzalimi hamba Nya dengan ujian yang diberikan. Allah akan mengangkat martabat keimanan seandainya kita bersabar,” balas Nur lagi.
“Kau rasa aku boleh sabar?” Ada getar dalam nada suara Diya yang mulai meninggi. Emosi Diya terusik apabila Nur berbicara perihal kesabaran. Pada Diya, sesiapa saja bisa menyebut tentang sabar sedangkan sakit dan perit itu hanya dia yang rasa.
Nur terkesima lantas Maira tampil untuk menenangkan emosi Diya. Tangan Maira menguak kain jendela lalu pandangan mata dilemparkan ke arah langit biru yang berawan putih. Diya sekadar diam menggumam emosi yang terusik.
“Allah tak menjanjikan langit yang sentiasa biru…” Maira mengukir senyuman seraya beralih pada raut wajah Diya yang sugul.
“Allah juga tak janjikan jalan tanpa batu, matahari tanpa hujan, kebahagiaan tanpa kesedihan juga kejayaan tanpa perjuangan,” sambung Maira lagi.
Raut wajah Diya masih sama. Tetap keruh bergaris duka.
“Betul tu. Tapi Diya, Allah telah menjanjikan kemudahan bersama kesulitan, rahmatNya dalam setiap ujian, ganjaran atas kesabaran dan keteguhan dalam perjuangan,” celah Nur pula.
Diya gigit bibir. Mutiara jernih bertakung lagi. Tuhan, ujian ini terlalu berat. Desis hati Diya.
“Ramai yang mengaku beriman kerana mendapat ujian kesenangan sebaliknya berpaling dari jalan Allah apabila diuji dengan musibah. Kau nak jadi manusia yang begitu? Kau nak salahkan Tuhan?” Kali ini bicara Nur membuatkan Diya rasa ditempelak.
Diya terkesima. Adakah dirinya sedang menyalahkan Tuhan? Argh! Secara lisannya dia tidak mengungkap begitu sebaliknya cara dia mendepani ujian Tuhan telah menzahirkan yang dirinya tidak pernah reda. Diya sebak.
“Diya, ada satu hadis riwayat Al-Hakim yang berbunyi, sesungguhnya orang mukmin akan menerima tekanan hidup kerana tidak ada satu bencana sama ada terkena duri atau yang lebih besar, tidak juga ketakutan melainkan Allah akan mengangkat darjatnya satu darjat dan menghapuskan suatu kesalahan dengan kesabarannya menghadapi kesusahan dan bencana tersebut. Itu janji Allah, Diya. Dan Allah tak memungkiri janji Nya,” kata-kata Maira disambut anggukan Nur.
Teresak-esak Diya melagukan tangis. Menyedari betapa kerdilnya diri ini untuk mempertikai aturan Tuhan. Menginsafi lemahnya diri untuk membaca hikmah di sebalik ujian Allah S.W.T.
“Apa yang harus aku buat Nur, Maira?” suara Diya kedengaran sayu. Dia sudah mulai berlembut hati untuk menelan nasihat Nur dan Maira.
“Bangkit semula! Kau harus kuat melawan bisikan syaitan yang cuba memesongkan orang mukmin dari landasan kesabaran dan reda pada ujian Tuhan,” ujar Nur penuh semangat.
Diya geleng lemah. “Aku tak kuat Nur, Maira…”
“Kita sama-sama memohon kekuatan dari Allah. Yakin la Diya, dunia belum kiamat lagi. Kau harus bangkit semula. Aku ada, Maira ada. Malah kau ada Allah bersama kau andai kau bersabar. Kita semua harus bersabar, ” bisik Nur seraya meraih Diya dalam pelukan. Diusap lembut belakang Diya bagaikan menyalurkan kekuatan semangat pada sahabatnya itu.
Air mata Diya kian laju membasah pipi. Andai Allah tidak mengutuskan Nur dan Maira dalam hidupnya, pasti dia sudah lama menamatkan sebuah kehidupan. Sejak dia mulai hilang arah, dua insan mulia itu hadir bagaikan cahaya menyuluh jalan yang gelap.
Hampir lima belas minit, Diya melepaskan segala beban dukanya dengan menangis di bahu Nur. Setelah hatinya mulai tenang, barulah esak tangis itu reda.
“Kau mulakan hidup baru. Aku yakin kau boleh,” suara Maira sambil mengesat air mata di pipi Diya.
Diya tatap wajah Maira dengan bibir bergerak perlahan-lahan mengukir senyuman.  
“Aku ada seorang kawan. Dia kata, di tempat kerjanya ada kekosongan jawatan setiausaha. Kebetulan pula setiausaha bos dia berhenti mengejut sebab masalah kesihatan. Kau boleh cuba mohon jawatan tu. Mana tahu kalau tu rezeki kau,” beritahu Maira dengan harapan agar Diya bersetuju.
Setelah agak lama terdiam, Diya akhirnya mengangguk perlahan. Nur dan Maira tersenyum kelegaan. Gembira kerana Diya akhirnya menerima nasihat mereka. Mereka tahu, Diya perlu diberi sokongan agar hati gadis itu kembali kuat. Mereka hadir untuk menghembuskan semangat bagi Diya meneruskan perjuangan untuk hidup. Menapak melihat dunia luar adalah langkah pertama. Kali ini, Diya tidak hanya akan melihat langit biru dari balik jendela saja.


Masa terasa begitu pantas berlalu. Seakan baru semalam Diya meninggalkan sejarah paling pahit dalam hidupnya. Kini Diya bangkit tanpa berpaling lagi. Diya mahu berlari jauh. Jauh tanpa berkalih memandang jejak hitam yang merobek luka yang maha dalam.  
Malam hujung minggu, Diya dan Nur keluar makan sambil membeli keperluan dapur. Penat pusing-pusing beli barang, kedua-duanya singgah mengisi perut di restoran kegemaran mereka. Sebaik saja hidangan nasi goreng paprik bersama jus mangga terhidang di atas meja, bibir Diya menguntum senyuman. Aroma nasi goreng paprik sudah merangsang selera membuatkan kumpulan keroncong dalam perut semakin rancak berirama.
“Baca bismillah dulu Cik Adelia Dayana oi!” pintas Nur sebelum sempat Diya menyentuh sudu dan garfu.
Diya tersengih dengan teguran Nur itu. Alahai, otak ni lupa saja kalau dah tengok nasi goreng paprik kegemaran depan mata. Tu belum karipap yang ibu selalu buat. Pantang angkat dari kuali, pasti laju saja masuk dalam mulut.
Ibu… hati Diya dijentik sayu. Rindu menyapa lagi. Andai saja dia punya kekuatan untuk pulang ke kampung demi bertemu si ibu yang amat dirindui.
Diya, kau tak ingat apa yang terjadi pada kali terakhir kau pijakkan kaki ke kampung dulu? Masih bermimpi untuk balik lagi? Diya gigit bibir. Argh! Suatu hari nanti, aku pasti balik juga. Hati Diya membisikkan tekad.
Kemudian bayangan wajah Along yang bengis menjelma. Diya telan air liur. Hampir saja dia tersedak. Hati yang menggunung tekad sebentar tadi menjadi kecut. Beranikah dia untuk berdepan lagi dengan Along? Cemuhan dan herdikan Along masih terngiang-ngiang di cuping telinga. Masih terasa pijar tapak tangan Along yang naik ke pipinya. Tiada dendam melainkan kekecewaan pada sikap si abang yang menimbunkan segala kesalahan pada dirinya. Mengapa dirinya langsung tak dibuka ruang untuk menegakkan kebenaran?
“Macam mana dengan kerja baru kau? Ok?” soal Nur seterusnya mencantas lamunan Diya.
Diya tersenyum kelat seterusnya mengangguk perlahan.
“Bagus la.” Nur turut tersenyum walau dapat dibaca redup pada raut wajah Diya. Nur menduga yang Diya terkenangkan keluarganya. Menjadi anak yang dibuang keluarga sendiri menjadikan Diya si perindu yang tiada upaya memiliki penawar pada sakit rindunya.
Tidak mahu rasa hatinya terus ditelaah Nur, Diya segera menyudahkan baki nasi goreng dalam pinggan dan mengajak Nur pulang.
“Dah lewat ni. Jom balik,” Diya bersuara sambil menolak kerusi sedikit kebelakang untuk berdiri.
Ketika hendak bangun berdiri, secara tidak sengaja Diya berlanggar dengan seorang pelayan yang melintasi belakangnya.
“Ya Allah!” kalimah suci itu terpacul keluar dari mulut Diya dan Nur secara serentak.
Oh my God!” sejurus kemudian ada suara lain yang turut bertempik.
Rupa-rupanya pelanggaran antara Diya dengan pelayan restoran itu telah menyebabkan minuman yang dibawa pelayan itu tertumpah dan mengenai baju seorang pelanggan wanita yang kebetulan baru hendak mengambil tempat di meja berdekatan.
Dengan perasaan serba salah bercampur ketakutan, pelayan wanita dalam lingkungan pertengahan 20an itu berulang kali memohon maaf pada pelanggan wanita tersebut. Diya turut merasa bersalah apabila dilihat baju blaus biru muda dipakai pelanggan itu sudah dikotori tumpahan air lemon ais.
“Saya minta maaf cik. Saya betul-betul tak sengaja” berkali-kali pelayan itu mengulang ayat yang sama.
Pelanggan wanita itu merengus dengan wajah merah tanda amarah sedang membakar hati. Jemarinya sibuk mengesat kotoran pada baju dengan tangan. Diya dan Nur terus menjadi pemerhati teletah pelayan dan pelanggan wanita itu dengan wajah serba salah. Pelayan yang diselubungi rasa bersalah itu kemudian cuba untuk membantu mengesat baju wanita itu menggunakan sapu tangan.
“Pang!” satu tamparan tangan kanan hinggap ke pipi pelayan muda itu. Masa seakan terhenti. Sesiapa sahaja yang berada dalam restoran dan menyaksikan adegan tersebut bagaikan terpana. Kerdipan mata juga membeku seketika.
“Cik, dia kan dah minta maaf. Tak sepatutnya cik tampar dia. Lagipun, dia betul-betul tak sengaja tumpahkan air pada baju cik tu,” Diya bersuara menegur tindakan wanita tersebut setelah tidak mampu menahan diri melihat perlakuan wanita tersebut yang pada Diya cukup melampau.
Pelanggan wanita itu berkalih memandang Diya dengan wajah membengis. Matanya membulat dengan api kemarahan.
“Aku tampar dia bukan sebab kotorkan baju aku. Tapi sebab dia kurang ajar! Berani nak sentuh baju aku dengan tangan kotor dia tu. Dasar pelayan!” lancang sekali mulut wanita itu mengherdik dan menghina. Dengan penuh kesombongan segaris senyuman sinis diukir bibir yang merah.
Diya cuba menyabarkan diri. Malah Diya tahu dari renungan Nur padanya, teman serumahnya itu berharap agar Diya lebih bersabar dan tidak mencurah minyak di atas bara api. Kelak wanita di depan Diya ini terbakar, habis diri mereka turut rentung bersama.
“Hariz… tengok ni, baju I dah kotor,” rengek wanita itu sebaik saja dia dihampiri seorang lelaki.
Automatik Diya dan Nur berkalih memandang lelaki yang mulai mengambil tempat di sisi wanita tersebut. Lelaki itu kelihatan segak bergaya walau hanya berbaju putih polo dengan seluar jeans. Terpana seketika Diya dan Nur melihat seraut wajah tampan di hadapan mereka itu. Subhanallah… betapa Allah S.W.T itu Maha Mencipta setiap keindahan di atas muka bumi ini.
I dah cakap dengan you, tak payah makan dekat restoran macam ni. You degil!” nada rengetan wanita itu yang kuat menyedarkan Diya dan Nur agar kembali berpijak di bumi yang nyata.
Ish! Tengok pakwe orang sampai tak sedar dunia. Silap hari bulan aku pula yang kena penampar dengan mak singa depan ni. Nur bermonolog dalam hati.
“Saya minta maaf. Saya harap hal kecil ni tak perlu diperbesarkan,” luah Diya apabila rasa meluat dalam hati tidak terbendung lagi melihat teletah mengada-ngada wanita tersebut.
Kenapa la yang tertumpah tu air lemon ais? Kalau la teh panas ke kopi panas kow-kow kan lagi bagus. Biar padan muka minah sombong ni. Hati Diya terus mengutuk.
Hal kecil kau kata! Baju aku dah kotor. Macam mana nak makan kalau baju kotor? Semua angkara diri kau yang bodoh ni!” wanita itu menunding jari ke arah muka Diya.
Lelaki yang berdiri di sisi wanita bermulut celupar itu hanya berdiam diri. Matanya tajam menikam wajah Diya yang sudah merona merah menahan kesabaran yang kian terhakis.
“Kalau dah bodoh tu, memang menyusahkan orang!” sisa kesabaran di hati Diya lenyap mendengar kelancangan mulut wanita itu yang melampaui batas.
Ni tak boleh jadi. Dah melampau kata aku bodoh! Sekali boleh la aku sabar. Silap besar la kau cakap aku bodoh untuk kali kedua. Kalau aku biarkan memang aku bodoh tiga kali! Getus Diya dalam hati.
Sejurus itu, ringan saja tangan Diya mencapai gelas minuman di atas meja lalu mencurahkan baki jus mangga dalam gelas tersebut pada baju wanita itu. Mata wanita sombong itu terbuntang dengan mulut melopong. Nur pula menekup mulutnya dek terkejut dengan tindakan spontan Diya.
“Yang tadi tu tak sengaja. Yang ini saya sengaja. Sekarang baru perbuatan yang ‘bodoh’!” sengaja Diya menekankan perkataan bodoh untuk menambah sakit di hati wanita itu. Tercengang wanita di hadapan Diya ini dengan mulut yang masih melopong luas. Tidak menduga tindakan cerdik Diya itu.
Tanpa berlengah, Diya kemudian menarik tangan Nur agar berlalu dari situ. Keluar dari restoran itu, mereka berdua ketawa tak henti-henti. Lelaki di sisi wanita itu pula ketawa geli hati apabila Diya dan Nur sudah berlalu pergi.
“Hariz! Kenapa you ketawa?” jerit wanita itu pada lelaki yang dipanggil Hariz itu.
“Dah lucu, mesti I ketawa. Kalau I menangis, maknanya I gila.” jawab Hariz dengan ketawa yang masih bersisa.
You ni kan….”
“Maaf puan. Saya minta maaf bagi pihak pekerja saya.” Pengurus restoran kini muncul entah dari mana. Kehadiran pengurus lelaki itu tidak dihiraukan. Wanita itu merengus dan melangkah keluar dari restoran dengan sumpah seranah dalam hati.
Hariz menepuk bahu pengurus restoran itu dan meminta maaf atas kekecohan yang berlaku. Kemudian dia beredar keluar dari restoran itu dengan senyuman mekar di bibir.


“Berani mati kau curah jus mangga pada minah bongkak tu.” Dengan ketawa masih bersisa, Nur memuji tindakan temannya itu.
“Aku pun tak sangka aku buat macam tu. Dengar je dia cakap aku bodoh untuk kali kedua, aku tak boleh sabar dah. Tercabar kesabaran aku yang terbatas ini,” jawab Diya sambil memboloskan diri dalam kereta.
“Padan muka dia. Tahu melopong mulut tu bila kena simbah air,” ujar Nur dengan ketawa meleret-leret.
“Dah… dah… tak baik mengata lebih-lebih. Salah aku juga accident tu berlaku. Jangan cakap lagi, urat ketawa aku dah senak dah,” kata-kata Diya disambut Nur dengan ketawa mengekek.

No comments:

Post a Comment