“Hai, Kamelia ada?” soal Zahil pada Diya.
Diya mengurut dada. Sejak bila pula mamat ni muncul.
Tak dengar apa-apa bunyi pun.
Berkerut-kerut muka Diya. Ketenangan hati sedikit tercantas. Kehadiran
Zahil di kedai butik Kamelia kurang Diya senangi.
“Sorry
kalau awak terkejut. Awak tu khusyuk sangat buat kerja. Kalau ada orang datang
merompak kedai pun sure tak sedar.” Diya hanya menjuih bibir dengan kata-kata Zahil.
Mana tidak, aku dah duduk perhati dia dekat lima
belas minit. Langsung dia tak sedar. Kuat mengelamun juga perempuan ni.
“Kamelia tak ada. Katanya dia tak datang kedai hari
ni.” acuh tak acuh Diya berbicara. Hati berharap benar lelaki ini segera
berlalu.
“Tak pe la kalau macam tu. Saya datang bawa cup cake kegemaran Kamelia. Malang pula
Kamelia tak ada. Jadi, saya beri pada awak saja. Awak makan la.” Zahil
menghulurkan Diya kotak berisi kek cawan.
Diya tergamam seketika tatkala kotak kek cawan
dihulurkan padanya. Nak ambil ke tidak, hati Diya berbelah bahagi. Keikhlasan
lelaki itu diragui. Kenapa lelaki ni baik sangat dengan aku sedangkan aku
dingin je layan dia. Betul ke tak ada udang di sebalik kek cawan ni?
“Terima kasih saja Encik Zahil. Saya tak makan kek.
Nanti gemuk.” Diya menolak pemberian Zahil. Bukan tak makan tapi saja beralasan.
Tidak mahu mudah menerima kebaikan mana-mana lelaki. Ingat Diya, kau harus jadi
wanita yang kalis terhadap sebarang kebaikan lelaki. Jangan biar kebaikan
mereka memperdayakan kau!
“Oo... tak tahu pula saya. Tapi kalau makan
sekali-sekala tak apa kan. Takkan sekali je dah gemuk. Cup cake ni sedap tau. Cantik pun cantik.” Zahil membuka kotak kek
dan menunjukkan Diya rupa kek kecil yang comel itu. Ala-ala promote gitu.
Diya hanya menjeling. Saja buat-buat tak berminat.
Padahal perut berkeroncong tatkala aroma cup
cake menusuk hidung. Oh hati, jangan tergoda oleh rupa dan bau cup cake tu. Sabar Diya… sabar!
Keikhlasan Zahil terus diragui.
Melihatkan reaksi Diya yang hambar, Zahil tidak mahu
memaksa. Buat apa paksa kalau orang sudah tak sudi.
“Tak mengapa la. Saya letak kat sini. Kalau awak
rasa nak makan nanti awak ambil. Kalau tak, awak bawa balik bagi housemate awak.” Zahil meninggalkan
kotak kek itu di atas kaunter. Sebaik saja lelaki itu berpaling pergi, Diya
menjeling kotak kek itu. Air liur ditelan beberapakali.
Ketika lelaki itu mahu keluar dari kedai, dia
bertembung dengan Kamelia yang mahu masuk ke dalam kedai.
“Diya kata kau tak datang hari ni,” beritahu Zahil.
“Tadi ada hal. Tapi dah batal. Tu yang aku datang
ni,” jawab Kamelia.
Zahil angguk faham. “Kau dah makan?”
“Belum. Lapar tapi malas nak keluar makan.” ujar
Kamelia.
“Bagus sangat kalau macam tu. Aku datang bawa cup cake kegemaran kau. Tunggu sekejap.”
Zahil berpatah semula menghampiri Diya lalu mengambil kotak kek yang telah
diberikan pada gadis itu.
“Awak tak makankan. Saya ambil balik ye,” bisik
Zahil sambil tersenyum.
Kelopak mata Diya berkelip-kelip melihat kotak kek
menjauhinya. Glup! Diya menelan air liur. Terliur Diya melihat kotak kek di
tangan Zahil itu. Buruk siku betul mamat ni!
“Aku dah bagi pada Diya sebab kau tak ada. Tapi Diya kata dia tak makan cup cake sebab takut gemuk. Memang
rezeki kau.” Kotak kek berpindah ke tangan Kamelia.
Diya tersengih-sengih apabila Kamelia memandangnya
dengan kerut di dahi. Setahu Kamelia, Diya suka juga makan kek. Ni mesti kes
ngelat ni.
“Jom kita makan cup
cake ni sambil minum teh panas di kedai depan tu,” ajak Zahil.
Kamelia dan Zahil meninggalkan Diya yang menelan air
liur melihat cup cake dibawa pergi
bersama. Itulah rezeki jangan ditolak. Sekarang perut sendiri yang merana.
Sebahagian hati Diya mengutuk diri sendiri.
Zahil senyum mengejek sebaik saja berpaling pergi.
Huh! Tak makan konon. Aku dah tarik balik cup
cake ni, tau pula terkebil-kebil. Telan je la air liur tu….
Hari ini Diya buka butik seperti selalu. Seminggu
ini Kamelia jarang datang ke butik kerana menumpukan perhatian terhadap
pembukaan cawangan baru Butik Delias Collection. Segala urusan di butik
diserahkan kepada Diya.
“Assalamualaikum.” Diya tidak angkat muka memandang
gerangan yang memberi salam. Salam itu pun dijawab dalam hati saja. Dah kenal
sangat siapa yang datang. Mana tidak, dah kerap sangat mamat ni datang sini.
Datang pula entah apa tujuan pun tak tahu. Nak kata datang jumpa Kamelia,
kadang-kadang tu sekadar duduk bertenggek dekat tepi kaunter tu. Banyak betul
masa dia untuk dibazirkan melepak dekat sini.
“Awak nak apa? Kak Kamelia tak ada hari ni,”
beritahu Diya tanpa dipinta. Semalam lelaki itu datang dan Diya sudah maklumkan
hal yang sama. Terus saja lelaki itu berlalu setelah Diya agak sibuk melayan
beberapa orang pelanggan. Pelik betul Diya dengan si Zahil ini. Kenapa tak
telefon saja Kamelia sebelum datang?
“Oooo…” Zahil senyum sinis melihat kedinginan
layanan Diya padanya. Perempuan ni memang tak pernah layan aku baik-baik. Entah
apa masalah minah ni. Asal nampak aku masuk sini je, terus tarik muka. Pelik
betul! Sebab kemalangan dulu ke? Entah la…
Zahil duduk di atas kerusi bertentangan dengan Diya
yang duduk di meja kaunter. Lelaki itu memerhati teletah Diya yang sengaja
menyibuk diri menguruskan pesanan pelanggan secara online. Sesekali lelaki itu tersenyum sendiri. Diya jadi tidak
senang duduk. Apa hal pula mamat ni!
Diya panggung kepala memandang Zahil dengan wajah
serius. “Ada apa boleh saya bantu Encik Zahil?” nada suara Diya sedikit
menyindir.
Zahil buat muka selamba saja. Jemari kanannya
menyelak rambut ke belakang kemudian bibirnya
bersiul-siul. Diya geram melihat teletah Zahil. Terasa sakit hati pula.
“Awak nak apa ni? Saya banyak kerja nak buat,” marah
Diya.
Zahil berhenti bersiul. Diya yang marah direnung
tajam sehingga gadis itu mula tidak keruan. Zahil rasa lucu melihat teletah
Diya yang tadinya berani mencerlun tajam ke arahnya kini sudah melarikan
pandangan ke arah lain. Tadi berani sangat!
“Kenapa awak marah sangat dekat saya? Awak marah
sebab kemalangan dulu tu ke? Tapi tu bukan salah saya. Salah awak!” ujar Zahil
selamba.
Diya yang awalnya buat-buat tak endah dengan
kata-kata Zahil kemudian terbeliak mendengar hujung ayat lelaki itu. Tak
berlapik kata langsung manusia ni letak semua kesalahan pada aku. Hati Diya
sedikit terbakar.
“Ye la, salah saya” ujar Diya bernada meluat. Malas
hendak berbalah dengan Zahil. Tetapi Zahil masih rajin melayan kedinginan Diya.
“Hari tu… errr… maksud saya hari awak langgar kereta
saya tu. Apa masalah awak hari tu ye? Awak macam marahkan seseorang je.” Hati
Diya dijentik oleh soalan Zahil tetapi gadis itu terus berpura-pura sibuk
dengan kerjanya.
Zahil menjuih bibir apabila kata-katanya tidak
menarik minat Diya untuk bersuara. Tetapi dia belum berputus asa untuk menarik
perhatian Diya. “Biar saya teka. Emmm… awak putus cinta ek? Ke… pakwe awak
curang! Emm… awak tangkap dia main kayu tiga?” serkap Zahil.
Pergerakan jari Diya yang laju mematuk papan kekunci
laptop terhenti. Hati terasa hangat dan emosinya berapi-api. Mamat ni menyibuk
betul!
Zahil tidak sedar keadaan Diya yang sedang terbakar
dek tingkahnya terus bersuara. “First
time putus cinta ek?”
Diya hilang sabar. “Gang!” bergegar kaunter itu dek
hentakan tangan kanan Diya. Zahil yang terkejut tertelan air liur. Badan lelaki
itu yang sedikit membongkok tersandar pada kaunter sudah menegak. Diya angkat
muka menikam wajah Zahil. Membulat matanya dengan sinar api kemarahan. Hilang
rasa terkejut, Zahil tersengih kemudian mengukir senyum manisnya.
Glup! Diya telan air liur. Baru saja Diya hendak
sembur amarah kepada lelaki itu. Sekali Zahil senyum manis ala-ala Lee Jun Ki, terus
api di hati Diya bagai disimbah air perigi. Alahai, senyuman manis Zahil
membuatkan Diya nak marah pun tak jadi.
Mamat ni kalau senyum comel je. Tapi kalau buka
mulut, macam nak minta kerat lidah! Getus hati Diya.
“Kenapa? Tekaan saya tepatkan… kan? kan?…” Zahil
masih dengan lagak bersahaja.
Diya ketap bibir. Geram! Kenapa lelaki ni menyibuk
sangat? Eee… geram betul! Dah tu memandai-mandai buat teori sendiri.
“Saya dah agak dah awak ni mesti frust bercinta. Sebab tu awak macam
perempuan meroyan je time tu,” sekali
lagi Zahil bercakap sesedap lidah.
Diya genggam jari bawah meja kaunter. Mahu saja
lelaki itu dihadiahkan buku lima sulungnya. Berlagak bijak je dia ni.
“Saya simpati dengan awak. Tapi itu la masalah orang
perempuan kalau dah putus cinta. Mengamuk macam dunia dah nak kiamat.”
Eeee… mamat ni! “Eh! Awak ni tak menyibuk hal saya
tak boleh ke?” tengking Diya geram. Kening Diya sudah berkerut-kerut. Pipi pula
dah berbahang dibakar amarah.
“Awak marah ke?” macam orang bodoh saja Zahil
bertanya. Tengok muka pun dah boleh tahu. Tapi saja je aku nak tanya soalan
yang boleh tambah hangat di hati dia ni. Saja je nak uji tahap nyalaan api
kemarahan awak.
“Tak la, saya tak marah tapi dah naik hantu! Awak
jaga tepi kain sendiri, jangan sibuk hal orang lain!” bentak Diya. Mamat ni,
aku hayun jugak nanti! Gumam Diya dalam hati.
Zahil boleh buat muka selamba lagi. “Awak tahu tak,
masalah awak ni sangat serius. Awak alami tekanan emosi yang teruk.”
Mata Diya membulat. Zahil tak peduli, lidah terus
petah berkata-kata.“Buktinya, kerana pakwe awak tu, awak simpan dendam terhadap
saya. Tak patut betul saya yang tak bersalah menjadi mangsa keadaan. Ish… ish…”
ujar Zahil tanpa mempedulikan kemarahan Diya.
Diya gigit bibir. Jika lelaki ini bukan kenalan
rapat Kamelia, mahu saja dihambat keluar. Tahan je la Diya dengan mulut Zahil
ini. Diya kembali pada tugasnya. Gadis itu memilih memekakkan telinga dan
membutakan mata. Anggap seperti Zahil tidak wujud di situ.
“Saya tak salahkan awak jadi macam ni kerana frust bercinta. Awak bukan orang pertama
dalam dunia ni yang meroyan sebab cinta tak kesampaian. Saya simpati dengan
nasib kurang baik awak tu…” ujar Zahil lagi. Nak buat-buat pekak? Saya tak
peduli pun. Saya nak cakap juga! Saya tahu awak dengar walau buat-buat tak
dengar.
“Orang kata, siapa yang pernah merasakan saja tahu
betapa peritnya putus cinta. Yang berpengalaman saja tahu maksud kata-kata
pujangga bahawa sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang tetapi
perasaan itu tidak berbalas. Saya pun tak pernah rasa lagi perasaan sakit tu.
Tapi anehkan? Orang kata, perasaan tu macam benci... tapi rindu. Dendam… tapi
sayang.” Bicara Zahil yang panjang lebar didengar Diya tanpa sebarang reaksi.
Walau hakikatnya hati Diya terjentik oleh bicara itu.
Dia teringatkan seseorang. Itukah yang dirasakan
setelah cintanya aku tolak mentah-mentah? Ah! Walau macam mana perit pun
perasaan putus cinta itu, dia tidak berhak memusnahkan hidup aku. Biar perasaan
itu seperti dunia terasa sempit dan dada dicengkam dan terhimpit sekali pun,
dia tetap bersalah atas tindakan zalimnya. Bukankah cinta itu bukan paksaan?
“Cintailah
sesuatu itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan menjadi kebencianmu pada suatu
ketika. Bencilah yang engkau benci itu sekadar saja, berkemungkinan ia akan
menjadi kecintaanmu pada satu ketika. Awak pernah dengar kata-kata tu? Tahu
kenapa ada kata-kata macam tu?” Zahil renung Diya dengan kening terangkat.
Sekilas Diya menjeling Zahil apabila ayat lelaki itu berupa soalan dituju
padanya. Kan dah cakap dia dengar!
“Sebab orang
yang boleh menyakitkan hati kita ialah dia yang kita cintai. Kadangkala sebab
terlupa akan kata pujangga begini buatkan kita hancurkan diri sendiri kerana
cinta. Alangkah baiknya kalau kita dapat fikir, mungkin Allah memutuskan ikatan
itu untuk menyambungkan ikatan yang lain. Putus cinta dengan manusia,
tersambung cinta dengan Allah.” Zahil mengakhiri falsafah cintanya dengan
senyum meleret.
“Bagus
sekali falsafah cinta awak Encik Zahil Hariz. Malangnya semua tu tak ada
kena-mengena dengan saya sebab saya tak pernah bercinta dan tak pernah putus
cinta!” tukas Diya serius.
Zahil
melepaskan nafas berat. Tersilap bagi nasihat ke ni? Boleh percaya ke dia tak
pernah bercinta? Alah, aku yang handsome
ni pun tak pernah bercinta. Boleh percaya la kalau dia ni pun tak pernah
bercinta. Kan… kan? Ish! Macam dah padan je aku dengan dia ni. Sama-sama hijau
dalam alam percintaan.
“Betul
ke saya salah? Maaf la kalau macam tu. Tapi kalau awak tak pernah bercinta,
bagus juga. Saya boleh ajarkan awak subjek cinta!”
“What?” Luas juga mulut minah ni
ternganga.
Zahil
angguk penuh semangat. Manis senyum diukir bibir menyerlahkan ketampanan wajah
lelaki bermata sepet itu.
“Mata
pelajaran pertama kita untuk hari ini! Pada awak, cinta itu… apa sebenarnya?
Laju saja Zahil mengubah topik hingga tidak sempat hilang terkejut Diya.
Kini
gadis itu terkedu seketika. Cinta itu… apa sebenarnya? Hati Diya berbisik
mengulang ayat terakhir Zahil itu.
“Cinta?”
soal Diya dengan kening terangkat. Zahil angguk dengan senyum manis.
“Ye,
cinta. Macam… cinta adalah perkongsian dua hati. Emmm… atau pendapat lain...”
ujar Zahil.
Diya
ketawa kecil. Nak ajak aku berfalsafah cinta pula mamat ni. Baik…“Cinta adalah
salah satu kebodohan manusia!”
“What?” Kali ni Zahil pula yang ternganga
luas.
“Emmm…
emmm…” gumam Diya dengan anggukkan kepala. “Hanya manusia bodoh saja yang akan
serahkan seluruh hati dan jiwa raga pada manusia lain. Perkongsian dua hati!
Ayat yang naif sangat.” Diya tersenyum sinis.
“Polos
gila! Tahu kenapa? Sebab manusia akan korbankan orang yang dicintai demi
kepentingan diri sendiri! Cinta bukan perkongsian dua hati tapi mengorbankan
diri orang lain untuk diri sendiri. Cinta akan memusnahkan kepercayaan!
Musnahkan kebahagiaan!” Diya lepaskan nafas. Seperti mana ‘dia’ memusnahkan
hidup aku!
Zahil
tergamam. Tak berkelip mata memandang Diya yang lancar mengutarakan
pandangannya penuh yakin. Pandangan yang dipegang sebagai prinsip hidup.
“Errr…
Diya…” Zahil hilang kata-kata.
“Saya
dah jawab soalan awak. Sukatan pelajaran untuk subjek hari ni sampai sini saja
ye. Awak baik balik sekarang.”
Zahil
tunduk lemah. Bibir dimuncungkan apabila hati memprotes hujah gadis itu. Tak
mengapa la, hari ini beralah dulu. Esok masih ada lagi. Lelaki itu kembali
mengenakan kaca mata hitam dan berdiri tegak. Ucapan salam diberikan sebelum
kaki dihayun melangkah meninggalkan Diya yang kembali berpura-pura sibuk.
Pemergian
Zahil dipandang sepi oleh Diya tatkala kelibat lelaki itu sudah menjauh. Kenapa
la lelaki ni menyibuk sangat? Takkan la bosan sangat tak ada kerja nak buat
sampai menyibuk tepi kain orang lain kot.
“Cinta
itu… apa sebenarnya? Heh! Aku tak perlu tahu pun semua tu. Cinta... Polos
gila!” monolog Diya seraya mengukir senyum sinis.
Diya memanjangkan langkah kakinya agar
dapat menjarakkan diri daripada Zahil yang mengekori di belakang. Tidak
disangka dia boleh terserempak dengan Zahil ketika membeli-belah seorang diri.
Sebaik saja mereka bertemu pandang, Zahil terus tersenyum lebar dan melangkah
menuju ke arah Diya. Diya yang terkejut segera angkat kaki. Diya tak tahu
kenapa dia harus melarikan diri. Segalanya berlaku tanpa dirancang. Secara
automatik tubuh Diya berpaling dan kakinya laju bergerak untuk menjauh.
Zahil masih mengejar
langkah Diya. Dia yakin gadis itu perasan akan kehadirannya di situ dan sengaja
melarikan diri. Tapi kenapa lari pula? Zahil tak tahu dan dia merasa ingin
tahu. Sebab itu la dia mengejar langkah Diya. Keadaan pusat membeli-belah yang
agak sesak dengan pengunjung menyebabkan sukar untuk Zahil berlari mendapatkan
gadis itu. Terpaksa juga berjalan laju dan mencelah antara pengunjung yang
sibuk membeli-belah.
“Diya!” laung Zahil
memanggil Diya tetapi gadis itu berpura-pura tidak dengar. Semakin laju pula
langkah kaki Diya itu.
Tiba di escalator, Diya tidak tercegat saja
menanti anak tangga yang dipijak kakinya sampai ke bawah. Sebaliknya kaki Diya
menapak menuruni anak tangga yang bergerak perlahan itu. Diya terus
meninggalkan Zahil jauh di belakangnya. Zahil yang mengejar tersangkut di escalator yang sesak dengan pengguna.
Akhirnya Zahil kehilangan jejak Diya.
“Terlepas pula!” keluh
Zahil sebaik menuruni escalator.
Matanya masih melilau mencari-cari kelibat Diya.
“Tak pe la. Nak jumpa
dia senang saja, esok pergi je butik.” bisik hati kecil Zahil.
Diya bersembunyi di
sebuah kedai pakaian. Di sebalik tempat persembunyian itu, Diya mengintai
kelibat Zahil yang kelihatan tercari-cari akan dirinya. Jantung Diya berdegup
kencang dengan nafas yang tercungap-cungap. Nafas lega dilepaskan apabila
lelaki itu melangkah meninggalkan tempat itu dan kembali menaiki escalator.
Kus semangat! Nasib
baik berjaya dalam misi melarikan diri. Tanpa sedar bibirnya mengukir senyuman.
Hebat juga aku larikan diri. Heheee… Diya keluar dari persembunyiannya dan
ingin meninggalkan pusat beli-belah itu. Takut juga andai bertembung lagi
dengan Zahil.
“Diya!” langkah kaki
Diya terhenti. Perlahan-lahan tubuh Diya berpaling.
Membulat mata Diya
dengan mulut sedikit melopong. Degupan jantung yang mulai tenang kini kembali
kencang. Dada berombak dan darah
menyirap. Bibir terasa menggigil dengan tulang pipi yang bergerak-gerak.
“Diya… tak sangka kita
boleh jumpa di sini. Awak apa khabar?” soalan yang ditujukan pada Diya tidak di
jawap. Wajah lelaki di depannya ditikam dengan pandangan mata yang tajam. Emosi
Diya berkocak hebat.
Lelaki itu menapak
menghampiri Diya. Kaki Diya terundur ke belakang menjarakkan diri. Tidak lari
anak matanya menikam wajah yang tenang dan tersenyum mesra padanya seolah-olah
tiada sebarang masalah antara mereka sebelum ini. Lelaki itu mendekati setapak
lagi dan setapak juga kaki Diya berundur. Kali ini lelaki itu tersenyum sinis
dengan reaksi Diya itu.
“Cukup la tu Diya.
Perkara lepas tak perlu diingat lagi. Saya minta maaf. Saya mengaku saya salah.
Kita lupakan dan jadi kawan ye,” ucap lelaki itu seakan mahukan perdamaian
tetapi tidak terbukti sejauh mana kata-kata itu ikhlas di hati.
Diya tidak mahu
mendengar sebarang bicara daripada mulut lelaki itu lagi. Hilang rasa
terkejutnya, Diya terus berpaling dan melarikan diri. Langkah Diya dikejar
lelaki itu. Sekali lagi adegan kejar-mengejar berlaku. Cuma kali ini bukan di
antara Diya dengan Zahil sebaliknya kali ini Diya melarikan diri daripada
lelaki psiko, Razif!
Langkah kaki Diya semakin
laju dan tidak teratur ketika berada di kawasan letak kereta. Beberapa kali
kakinya tersadung dan hampir tersungkur. Diya tidak berpaling lagi biarpun
namanya dilaung Razif berkali-kali. Diya tidak mahu bertemu Razif lagi. Dia
bencikan lelaki seperti Razif!
Menghampiri kereta,
Diya terkocoh-kocoh menggagau anak kunci kereta di dalam tas tangan yang sudah
melorot jatuh dari bahu dan tersangkut di lengan. Jemari Diya menggeletar dan
bibir gadis itu menggigil-gigil. Diya seakan trauma! Trauma dengan peristiwa
hitam dalam hidupnya. Trauma dengan lelaki psiko seperti Razif!
Jemari Diya masih
tercari-cari anak kunci yang diyakini diletakkan dalam tas tangan itu. Degupan
jantung semakin kencang tatkala telinga Diya menangkap bunyi derapan tapak
kasut yang semakin menghampirinya. Diya pasti Razif semakin hampir dengannya
dan dia perlu segera mendapatkan anak kunci kereta yang masih gagal dijumpai.
Diya semakin gementar. Tubuhnya sudah menggigil dengan air mata merembes
membasah pipi. Diya benar-benar ketakutan.
“Diya!” bahu Diya
disentuh dari belakang.
Automatik Diya
menghayun kuat tas tangan ke arah lelaki yang menegurnya dari arah belakang.
Tindakan secara drastik yang berlaku itu adalah hasil refleksi akibat cemas dan
takut tatkala merasakan dirinya terancam.
“Adoi!” suara mengaduh
kesakitan bergema tatkala tas tangan Diya menghentam bahagian muka.
Diya berpaling dan
menyandar pada kereta dengan tubuh menggigil. Gadis itu tergamam apabila
mendapati lelaki yang terduduk di lantai dan sedang mengadu kesakitan sambil
menekup bahagian kiri wajahnya bukan Razif sebaliknya adalah Zahil. Ye… Zahil
Hariz! Lelaki yang menegur Diya dari arah belakang sebentar tadi adalah Zahil.
Lelaki itu yang juga
ingin mendapatkan keretanya yang diletakkan selang beberapa buah daripada
kereta Myvi Diya datang menghampiri setelah diperhatikan kelakuan Diya agak
pelik. Diya seperti dalam ketakutan. Sebab itu Zahil datang menyapa. Malangnya
Diya menyangka Zahil adalah Razif lantas menghayun tas tangannya ke muka lelaki
itu secara tidak sengaja.
Zahil angkat muka
memandang Diya yang kelihatan masih menggigil. Wajah Diya kelihatan sedikit
pucat dengan kesan air mata di pipi. Rasa pedih pada bahagian sebelah mata kiri
Zahil yang terluka akibat digores bucu tas tangan ditahan. Punca keadaan Diya
sekarang lebih membimbangkan Zahil. Gadis itu segera dihampiri.
“Awak ok ke?” soal
Zahil sambil menekup luka di bawah mata yang sedikit berdarah.
Diya tarik nafas dalam
dan dihembuskan. Perasaannya sudah beransur tenang. Diya beristighfar beberapa
kali dan perlakuannya hanya diperhatikan Zahil yang seketika kemudian meliarkan
pandangan ke arah sekeliling. Tiada apa-apa yang mencurigakan pada pandangan
matanya. Kawasan tempat letak kereta itu agak sepi walaupun penuh dengan
kereta.
“Saya ok,” jawab Diya
setelah berjaya menenangkan diri sepenuhnya. Semangat yang hilang sudah kembali
diraih dan keadaan gadis itu semakin baik.
Zahil mengangguk senang
hati walau minda diasak tanda tanya punca keadaan gadis itu yang ketakutan
sebentar tadi. Dia tidak berniat untuk bertanya panjang kerana tidak mahu
menggugat ketenangan Diya. Syukur la jika Diya sudah berkeadaan baik.
“Awak masuk la dalam
kereta” suara Zahil.
Diya angguk perlahan.
Sekali lagi kunci kereta digagau dalam tas tangan dan kali ini kunci tersebut terus
berjaya dicapai. Diya masuk dalam kereta dan Zahil masih terpacak memerhatikan
gadis itu sehingga kereta Myvi Diya meluncur pergi. Zahil senyum nipis tatkala
kereta Diya hilang dari pandangan. Saat itu, luka di bawah mata kirinya terasa
semakin pedih. Zahil sentuh luka itu dan jarinya tercalit sedikit cecair merah
yang mulai mengering.
“Nasib baik tak kena
mata. Diya.. Diya…” bisik Zahil sambil tersenyum seorang diri. Lelaki itu
kemudian melangkah ke arah kereta Sonata Hyundai yang di tempatkan selang tiga
buah kereta daripada situ.
No comments:
Post a Comment