Seperti dijangka lelaki
itu akan muncul hari ini. Siapa lagi kalau bukan si Zahil Hariz. Macam dah tak
ada kerja je, asyik sangat datang bertenggek dekat Butik Delias Collection ni.
Sememangnya kehadiran
Zahil sentiasa membuatkan Diya rasa tidak senang. Mahu nak senang, kalau asal
mereka bertemu pandang, pasti meleret saja bibir Zahil mengukir senyum semanis
ukiran senyuman Lee Jun Ki. Itu yang Diya tak boleh tahan tu. Kalau orang lain
tengok rasa tenang je, sebaliknya Diya pandang rasa macam hatinya direndam
dalam air perigi. Sejuk ya ampun! Kerana itu dingin saja layanan Diya terhadap
Zahil.
Awal-awal dulu, Diya
sangka Zahil tu teman lelaki, tak pun tunang Kamelia. Rupa-rupanya sangkaannya
itu jauh meleset. Zahil Hariz itu sungguh tidak disangka merupakan adik tiri
Kamelia. Malah ikutkan cerita yang digosipkan Kamelia padanya, Zahil masih
mempunyai empat kuota kosong! Kononya
belum ada gadis Melayu terakhir yang berjaya mencuri hati mamat penyibuk itu.
Kamelia ni lagi satu! Suka sangat buka cerita tentang Zahil dah macam ejen cari
jodoh pula.
“Kenapa
lari bila nampak saya dekat shopping
complex semalam?” soal Zahil sebaik mendekati Diya.
Diya yang sedang
memasangkan pakaian pada patung model berpaling
sekilas memandang Zahil. Sempat matanya menangkap keadaan bawah mata kiri
lelaki itu yang bertampal plaster. Diya rasa bersalah kerana menyebabkan
plaster itu tertampal di situ. Dah la dia belum memohon maaf atas kejadian itu
malah kejadian kemalangan dulu pun belum minta maaf lagi. Teruknya kau Diya…
“Tak... tak ada apa-apa.... Errr... maaf,” Diya rasa
serba tak kena. Macam mana hendak menjawab soalan tu? Diya tiada jawapan dan
dia merasa tidak senang apabila hal itu dibangkitkan Zahil.
Zahil senyum nipis. Dia tidak mahu mendesak apabila
Diya enggan menjawab.
“Diya… nak tanya boleh?” soal Zahil.
“Sejak bila awak pandai minta izin bila nak
bercakap? Kalau saya kata tak boleh, awak tak akan tanya ke?”
“Errrk… tak ada la. Kalau awak cakap tak boleh pun
saya nak tanya juga!”
“Dah agak dah,” Diya mencebik.
“Diya, kenapa awak bencikan cinta?” Dah tak
belok-belok dah. Lurus saja soalan Zahil tu.
Diya tersentak. Wajah Zahil dipandang dengan riak
tidak senang hati. Mamat penyibuk betul la! Dah tu buat muka suci pula tu.
“Kenapa awak suka sibuk hal orang?” herdik Diya.
“Saya nak tahu. Saya nak tahu apa yang terpendam
dalam hati awak tu,” terus terang Zahil.
“Awak tak perlu menyibuk apa yang saya fikir! Tak
perlu tahu apa dalam hati saya!” bentak Diya. Rasa bersalah terhadap Zahil tadi
sudah terbang melayang. Panas terus hati yang dingin itu.
“Tengok tu. Cepat sangat naik angin. Cepat saja
tersentap. Cuba bawa bertenang, tarik nafas panjang…. panjang…” Zahil turut
tarik nafas panjang. “Lepas! Tenangkan?” ucap Zahil dengan senyum manis.
Langsung panas hati Diya tidak memberi tempias bahang kepanasan padanya.
Errrkkk… mamat ni teruk betul! Diya pula jadi geram.
“Cakap dengan awak ni, buat kepala pening je. Lebih
baik awak jarakkan diri dari saya. Jangan kacau saya lagi!” tegas Diya seakan
satu amaran.
Gadis itu melangkah menjauhi Zahil. Zahil juga mahu
bergerak setapak menghampiri Diya tetapi belum sempat kaki kanan lelaki itu
mengorak langkah, Diya sudah angkat tangan macam polis trafik.
“Ops! Baik awak berdiri jauh dari saya. Saya rimas
tahu?” tegas Diya dengan muka diseriuskan. Sebelum ni serius juga tapi kali ni
diseriuskan lagi. Selalu begini, cepat tua la muka kau Diya.
Zahil tarik semula kaki kanannya dengan kedua-dua
tangan diangkat paras dada seperti orang kalah perang serah diri. Serius yang
luar biasa je minah ni. Bendera Jepun ke apa hari ni?
Zahil mengeluh lemah. “Saya lagi pening dengan sikap
awak. Berangin je tak bertempat. Tak faham betul!” komen Zahil.
“Hei! Awak tak perlu faham. Awak cuma perlu jauhkan
diri dari saya. Faham!” bidas Diya kasar.
Perempuan ni memang suka naik angin betul. Sejak
jumpa masa kemalangan dulu, tak pernah nak cakap baik-baik. Tak faham betul la!
Lagi tak faham bila dia sekejap kata tak perlu faham lepas tu suruh faham pula.
Alah Zahil, kau saja je buat-buat tak faham. Kan? Kan? Sempat lagi Zahil
bermonolog dalam hati.
“Awak ni Adelia Dayana, jangan garang sangat nanti
jadi anak dara tua. Tengok macam saya ni, senyum sokmo. Baru awek muda.”
Diya merengus kasar. Mamat ni! Eee….
“Kalau awak suka senyum sangat, pergi jauh dari saya
dan senyum sampai ke telinga pun tak apa. Asalkan jangan ganggu saya. Pergi la
sana!”
“Awak senyum dulu, baru saya pergi. Janji awak
senyum sekali, saya pergi. Janji!”
“Tak ada maknanya!” bentak Diya.
“Senyum dulu!” tegas Zahil.
“Gila ke? Saya tak nak!” Diya terus berdegil.
“Tak senyum, saya tak pergi. Saya terus melekat
dekat dengan awak. Awak pergi mana pun saya ikut,” Zahil kononya menggertak.
Eee... dia ni memang nak kena ketuk kot! Layan je la
mamat sewel ni. Senyum je Diya, bukan luak pun… Sebahagian hati Diya memujuk
diri.
Akhirnya Diya akur juga. Teragak-agak Diya paksa
bibir mengukir senyuman. Bibir yang tadinya diketap kini terherot-herot
membentuk segaris senyuman paksa.
Zahil telan air liur menjamah wajah Diya yang sedang
mengukir senyuman. Macam nak terbeliak biji mata pun ada. Zahil kemudian
melepaskan ketawa yang tertahan-tahan. Berderai ketawa lelaki itu sambil tangan
menekan perut yang terasa senak digeletek kelucuan.
Kini dahi Diya berkerut-kerut berdepan reaksi Zahil
yang terus mematikan senyuman di bibir. Apasal pula ni? Sawan ke apa!
“Diya, kenapa dengan Zahil ni? Ketawa tak ingat
dunia. Apa yang lucu sangat?” Kamelia yang menghampiri mereka berdua mula
menegur. Berminat sekali ingin tahu punca Zahil beria-ia ketawanya. Diya
jungkit bahu. Dia juga dilanda persoalan yang sama. Apa yang kelakar sangat?
“Pa... patut la… patut la Diya tak pernah senyum,”
Dengan ketawa yang belum reda, Zahil cuba berkata-kata. Terputus-putus ayatnya
kerana ketawa yang tidak dapat dihentikan. Mata Zahil juga sudah berair. Ketawa
besar betul mamat seorang ni.
Zahil berkalih memandang Kamelia. Semangat sekali
mahu bercerita pada Kamelia punca ketawanya. “Buruk betul! Bila Diya senyum…
muka dia... buruk! Patut la Diya tak nak senyum!”
Errrkkk… Ceh! Diya rasa macam mahu sumbat kasut
dalam mulut tak ada insurans Zahil itu.
“Ish! Tak baik kau cakap macam tu,” tegur Kamelia.
Wajah Diya pula sudah berubah kelat.
“Be… betul! Tak percaya, suruh Diya senyum. Senyum
la Diya. Senyum macam tadi. Mesti Kamelia pun gelak berguling-guling. Buruk
benor rupanya!”
Tadi suruh orang senyum. Orang dah senyum, boleh
pula ketawa nak terabur gigi! Gerrr… Diya hilang sabar dengan kritikan Zahil
padanya. Laju saja gadis itu angkat kaki meninggalkan Zahil dan Kamelia di
situ. Diya terus menghilangkan diri ke bilik belakang. Sakit sekali hatinya
mendengar ketawa mengejek Zahil.
“Zahil! Kau ni, tak baik tau. Nak bergurau pun,
agak-agak la,” marah Kamelia. Bersimpati pada Diya yang pastinya terasa hati
dengan kata-kata Zahil itu.
“Mana ada bergurau. Betul la aku cakap. Dia senyum
memang buruk betul tadi. Lucu kot!”
“Dah la kau. Baik kau balik je. Suka sangat kacau si
Diya tu.” Kamelia pun naik geram pada Zahil.
“Ye la, aku balik. Eh! Bagi nasihat dekat Diya
supaya jangan senyum macam tadi pada pelanggan butik ni. Nanti semua pelanggan
lari!” Sejurus itu Zahil berlalu dengan ketawa yang masih bersisa.
Kamelia sekadar geleng kecil melihat kelibat Zahil
yang makin menjauh. Hati wanitanya dapat membaca isi hati Zahil terhadap Diya.
Tapi mungkinkah perasaan itu akan bersambut?
Zahil mundar-mandir dalam kamar tidur. Segala yang
dilakukannya seakan tidak kena. Duduk tak senang, berdiri juga tak tenang. Hati
terasa resah gelisah. Ada sesuatu yang mengganggu ketenteraman jiwa. Sesuatu
yang cuba dibuang dari terus bercambah dalam hati. Tetapi semakin diusahakan,
perasaan itu kian kuat mencengkam.
Zahil membuka pintu gelongsor yang memisahkan bilik
tidurnya dengan beranda. Bayu malam bertiup menyapa tubuhnya tatkala pintu kaca
hitam itu ditolak. Nafas dalam ditarik buat menenangkan jiwa yang bergelora.
Matanya memerhatikan langit malam yang mewah dengan taburan bintang. Ketenangan
sedikit bercambah dalam hebatnya kekacauan hati.
“Adelia Dayana… Kenapa mesti dia? Kenapa Diya?”
bisik Zahil seolah-olah berbicara pada bintang-bintang dilangit.
Angin malam terus bertiup lembut. Zahil pejam mata
membiarkan bayu lembut terus menyapa batang tubuhnya. Terasa seperti diri
berada di awangan. Zahil buka kelopak mata dan memandang sisi kanannya.
Bayangan Diya menjelma di situ sedang terpacak mendongak ke langit. Umpama
menemani lelaki itu menikmati keindahan kerdipan bintang di dada langit.
Bibir Zahil mengukir senyum sinis. Diya… Diya… Saya
ni dah gila agaknya, asyik terbayangkan awak. Tengok cermin nampak awak, nak
makan pun nampak awak. Sekarang awak datang nak tengok bintang dengan saya
pula. Hish! Aku dah betul-betul parah ni. Pejam mata nak tidur nampak Diya,
buka mata pun nampak Diya. Diya! Diya! Kau ada di mana-mana saja.
“Adakah sekarang awak juga sedang melihat bintang di
langit? Kalau awak pun tengah tengok bintang, maknanya kita sekarang sedang
melihat bintang yang sama. Cantikkan…” Zahil berbicara umpama Diya benar-benar
wujud di sisinya.
“Kenapa saya sukakan awak Diya?” Zahil mengeluh
lemah. Lelaki itu diam memejam mata seolah-olah mencari ketenangan.
“Saya juga tak punyai jawapannya. Penat saya fikir
tapi tetap tak ada jawapan,” bisik Zahil kemudian kembali membuka mata.
“Hei, Diya! Kalau saya cakap saya sukakan awak, apa
jawapan awak?” soal Zahil sambil memandang bayangan Diya yang kaku di sisinya.
“Mesti awak akan kata saya gila. Yep! Saya memang
rasa macam dah nak gila sekarang ni,” keluh Zahil.
Kenyang menikmati angin malam, lelaki itu kembali
melangkah masuk dalam kamar tidur lalu menutup pintu. Tubuh sasa itu kemudian
rebah atas katil.
“Diya, awak akan datang dalam mimpi juga. Tidur yang
indah. Tapi selagi perasaan ini tak diluahkan, keindahan itu cukup meresahkan,”
Zahil bermonolog sebelum menutup rapat matanya.
“Tak berkelip mata tengok bintang tu,” suara Diya
dengan kepala masih mendongak memandang bintang di langit.
“Banyaknya bintang malam ni. Tapi bulan tak nampak
pula,” ujar Nur yang turut menatap bintang di langit seperti Diya.
Mereka berdua selalu juga duduk atas buaian di
halaman rumah sambil melihat bintang di langit. Sambil-sambil itu mereka akan
berbual-bual tentang banyak perkara. Dahulu Maira turut ikut serta tetapi kini
hanya tinggal mereka berdua.
“Subhanallah…” bisik Diya dengan riak teruja. Bintang
di langit kelihatan sangat mengujakan. Ciptaan Allah yang cukup indah.
Tatkala bayu malam menyapa wajah Diya, seakan ada
suara parau yang berbisik lembut di telinga kirinya. “Cantikkan…” Diya
tersentak. Keterujaannya seakan tercantas. Segera Diya kalih memandang Nur di
sisi yang begitu asyik mendongak ke langit.
Diya tampar lembut kedua-dua belah telinganya. Hish!
Aku salah dengar ke? Kenapa suara Nur macam suara lelaki je tadi? Biar betul!
Mata Diya melilau memandang sekeliling. Tiada manusia lain selain dia dan Nur
saja di situ. Rasa macam tak salah dengar tadi. Memang aku dengar macam suara
lelaki.
“Kenapa pula ni?” soal Nur apabila dilihat perlakuan
Diya sedikit pelik. Seolah-olah tercari-cari sesuatu.
“Errr... tak... tak ada apa-apa,” jawab Diya sambil
menggaru-garu belakang telinganya. Tapi macam betul-betul je dengar tadi. Diya
akhirnya membiarkan perkara itu berlalu.
“Jom masuk dalam. Dah lewat malam ni. Rasa meremang
bulu roma pula duduk sini lama-lama.” Diya sudah bangkit dari buaian.
Nur ketawa kecil. “Benda apa pula yang menyapa kau
sampai bulu roma kau meremang?”
Membulat mata Diya mendengar gurauan Nur. Ish! Nak
bergurau pun agak-agak la. Diya geleng saja melihat Nur terlebih dahulu berlari
masuk ke dalam rumah sebelum sempat dia menghadiahkan cubitan ke lengan
temannya itu.
Hampir dua minggu kelibat Zahil tidak kelihatan
bertandang ke butik Kamelia. Pelik juga sebab biasanya hampir setiap hari
lelaki itu akan berkunjung ke situ. Tetapi Diya menerima keadaan ini dengan
gembira. Sekurang-kurangnya tak ada la manusia yang akan ganggu keamanan
hidupnya. Tetapi entah angin apa yang bertiup, hari ini muka Zahil muncul di
depan Diya.
“Assalamualaikum,” sapa Zahil yang tiba-tiba muncul
setelah hampir dua minggu tidak nampak batang hidung.
Diya menjawab salam diberi tanpa memandang pemilik
suara itu. Sengaja buat-buat sibuk membetulkan baju yang tersarung pada patung
model.
“Kamelia ada di belakang. Sekejap saya panggil,” ujar
Diya. Belum sempat Diya pergi, Zahil telah menghalangnya.
“Saya datang bukan nak jumpa Kamelia,” beritahu
Zahil.
“Habis tu nak buat apa? Oh! Awak nak beli pakaian?
Tapi ni butik baju perempuan je.” Diya agar hairan.
“Saya datang nak cakap dengan awak,” ujar Zahil.
“Cakap dengan saya?” Diya sedikit terpinga-pinga.
“Ye. Saya nak cakap dengan awak tentang apa yang
saya rasa. Maksud saya, perasaan saya yang saya sedang alami sekarang.” Zahil
cuba bertenang. Kecut juga tau nak luah perasaan dekat minah singa ni. Takut
kena cakar singa!
“What?
Hei, jangan main-main boleh tak?” Diya sudah mulai membengis.
“Saya dah tahu awak seorang yang begini! Awak tahu
tak, saya rasa saya ni dah gila! Saya fikir saya dah tak waras bila sedar
tentang perasaan saya ni,” luah Zahil.
Zahil tarik nafas dalam. Dia mahu meluahkan segala
yang dipendamnya selama ini. Zahil mahu Diya tahu segala isi hatinya. Saya tak
peduli apa awak fikir tapi saya betul-betul dah tak boleh pendam semua ini.
Saya boleh jadi gila!
“Awak bukan jenis gadis yang saya idamkan. Awak tak
ceria, tak ramah langsung dan kedekut senyum! Apa yang saya nampak pada diri
awak adalah ciri-ciri wanita yang sepatutnya saya reject. Awak ni perempuan ketul ais! Hati awak beku dan sikap awak
dingin. Sepatutnya saya tak berperasaan begini…” kata-kata Zahil yang
kelang-kabut tergantung di situ. Lelaki itu meraup wajahnya kemudian melepaskan
nafas panjang.
Diya tak berkelip mendengar biacara Zahil itu. Jujur
betul! Perempuan ketul ais… hati beku! Tu ke tanggapan awak pada saya? Bagus
sekali! Sangat senang hati mendengarnya. Kiranya aku ni berjaya la menjadi
manusia tak berperasaan.
“Saya cuba tenangkan fikiran dan buat pertimbangan
akal yang sewajarnya. Saya fikir pro dan kontra andainya saya ikutkan kata hati.
Saya tahu saya terpaksa berdepan dengan kedinginan dan kebekuan hati awak. Dua
minggu ini saya fikir… fikir... dan terus fikir. Saya lawan kehendak hati dan
akhirnya kaki saya bawa saya ke sini.” Akhirnya Zahil letak titik noktah untuk
luahan perasaannya yang panjang berjela.
“Dari tadi membebel-bebel. Apa awak nak cakap
sebenarnya?”
“Saya nak cakap yang saya sukakan awak. Saya rasa…
saya nak kahwin dengan awak!”
Diya melopong. Dia ni waras ke tak ni? Tiba-tiba
kata nak kahwin dengan aku. Kenapa dalam hidup ni aku selalu bertemu dengan
lelaki-lelaki yang menyakitkan hati? Tadi bukan ke kata yang aku ni memenuhi
kriteria perempuan yang dia reject?
“Awak ni, bergurau pula.” Diya buat-buat ketawa.
Hatinya mengatakan lelaki itu sengaja bergurau dengannya. Gila ke apa,
datang-datang tetiba bercakap soal perasaan pula. Nak berguraupun agak-agak la.
“Saya serius. Jadi awak tak perlu buat-buat ketawa,”
kata-kata Zahil mematikan ketawa Diya.
Diya berjalan menjauhi Zahil. Tidak mahu melayan
lelaki itu. Zahil terus mengekori Diya.
“Saya ikhlas Diya,” sayu suara Zahil.
“Ikhlas sekati pun, saya tetap tak ada perasaan pada
awak. Faham?” tolak Diya tegas. Dulu ‘lelaki itu’ juga mengatakan tentang
keikhlasan. Sekarang lelaki ini mengatakan keikhlasan yang serupa. Ikhlas? Jika
cinta itu ikhlas, aku tak akan seperti ini.
Zahil hembus nafas yang terasa berat. Dada terasa
sesak tatkala perasaannya untuk gadis itu ditolak mentah-mentah. Inikah yang
dikatakan pujangga bahawa sakit yang paling dahsyat ialah mencintai seseorang
tetapi perasaan itu tidak berbalas. Oh! Benarlah hanya yang berpengalaman saja
tahu bagaimana peritnya rasa ini. Walau diungkap kata juga tidak bisa
membayangkan rasa sakit itu.
“Saya dah agak awak akan reject perasaan saya.” Zahil mengeluh lemah. “Kenapa saya boleh
jatuh hati pada manusia berhati batu macam awak ni? Memang gila betul!”
“Awak dah tahu ia gilakan, jadi padamkan perasaan tu
dengan segera. Habis cerita!” tutur Diya bersahaja.
Zahil ketawa. Senangnya dia cakap. Awak tahu tak,
saya dah separuh gila sebelum datang jumpa awak. Hari-hari asyik terfikirkan
awak saja. Hati ni terbeban dengan rindu yang menyiksa perasaan. Kalau tak, tak
ada la saya tercangak dekat sini selalu.
“Tapi saya
dah jatuh hati pada awak. Dah tak boleh nak padam-padam perasaan sesuka hati.
Awak ingat hati saya ni macam whiteboard?
Saya akan usaha! Saya akan gunakan panah cinta paling kukuh… paling power untuk pecahkan tembok hati awak
yang kalis cinta tu. Awak bersedia la untuk hadapi panahan cinta saya tu
nanti.” Zahil kembali berbicara positif.
Diya mencebik. Ye ia je mamat ni. Diya berpaling
untuk menuju ke arah meja kaunter. Zahil kaku memerhati dengan kehampaan.
Tetapi langkah kaki Diya terhenti apabila lelaki itu kembali bersuara. Tanpa
berpaling, Diya memasang telinga mendengar kata-kata akhir lelaki itu.
“Awak tak percaya saya boleh tembusi benteng hati
awak tu kan? Tapi saya yakin saya akan tembusi hati awak tu. Cinta saya… ibarat
anak panah yang akan menembusi tembok kebal di hati awak. Sekali ia berjaya
tembus ke hati, ia akan terus tertancap di situ. Cinta itu akan terus di situ
dan panah cinta itu tak akan berkarat atau rapuh oleh waktu,” ucap Zahil seakan
satu mantera sumpahan yang dikenakan pada Diya.
Diya ketap bibir. “Kenapa mesti saya Zahil? Kenapa
awak mesti jatuh cinta pada saya?”
Soalan Diya membuatkan Zahil senyum nipis.
“Mungkin sebab sudah tertulis, awak adalah tulang
rusuk kiri yang saya cari selama ini.”
Untuk beberapa saat, Zahil sabar menanti bicara dari
Diya. Namun Diya terus membisu. Akhirnya Zahil terus berlalu pergi. Diya
ditinggalkan terkedu.
Diya tidak tahu untuk berbuat bagaimana. Cintakah
dia pada Zahil Hariz? Mustahil! Wanita seperti aku tidak layak menjadi pemilik
tulang rusuk lelaki seperti Zahil Hariz. Tidak Zahil! Bidadari cintamu, bukan
aku… Desis hati kecil Diya. Tubuh Diya terasa lemah. Perlahan-lahan gadis itu
melabuh punggung atas kerusi berhampiran meja kaunter.
Sebaik saja melangkah keluar dari Butik Delias
Collection, telefon bimbit Zahil berdering. Segera panggilan telefon itu
dijawab. Lelaki itu diam mendengar bicara dari hujung talian.
“Baik la Mak Jah. Tunggu saya sampai.” Zahil matikan
panggilan setelah hampir dua minit hanya mendengar butir bicara daripada si
pemanggil.
Lelaki itu tarik nafas dalam kemudian dilepaskan
dengan lemah. Sebelum Zahil teruskan langkah, dia memandang sekilas ke arah
Diya dari balik cermin kaca yang menjadi benteng pemisah antara mereka. Gadis
itu baru saja menolak perasaannya. Zahil tidak salahkan Diya. Andai cinta gadis
itu bukan miliknya, siapa la dia sebagai manusia untuk memaksa. Dia hanya
berdaya memohon semoga Allah pertemukan jodoh antara mereka dan mencambahkan
cinta di hati gadis itu.
Zahil mendapatkan Mak Jah yang menunggu di gerbang
pintu masuk banglo mewah keluarga Datuk Laila. Wanita separuh abad itu
kelihatan diulit gelisah menantikan kedatangan Zahil. Raut kebimbangan
tergambar jelas pada wajah yang sudah berkedut dimamah usia.
“Mana dia Mak Jah?” soal Zahil sebaik menghampiri
wanita itu.
“Dekat mana lagi kalau bukan di dalam bilik. Penat
Mak Jah ketuk pintu,” jawab Mak Jah sambil menunding jari ke arah tingkat atas.
Zahil dan Mak Jah bersaing menuju bilik di tingkat
atas. Sebaik tiba di depan pintu kamar yang tertutu rapat, Zahil ketuk muka
pintu sebanyak tiga kali. Ketukannya tidak bersahut seperti yang dicakapkan Mak
Jah sejak awal tadi.
“Pergi ambil kunci pendua Mak Jah,” arah Zahil. Mak
Jah terkocoh-kocoh mengikut arahan.
Zahil masih tidak putus
asas mengetuk pintu. Namun begitu, ketukan pintu bertalu-talu seakan tidak
langsung menusuk telinga manusia yang berada di balik pintu itu. Barangkali
andai pintu roboh menyembah lantai sekalipun, manusia dalam bilik itu masih
juga tetap memekakkan telinga.
Akhirnya Mak Jah tiba
bersama segugus kunci. Satu kerja juga nak cuba satu demi satu anak kunci
sebelum kunci sebenar berjaya membuka pintu kamar itu.
Sebaik saja daun pintu
dikuak, dua pasang mata milik Zahil dan Mak Jah menjamah satu pemandangan yang
mencacatkan dekorasi bilik yang dihias indah. Kain langsir dilabuhkan menutup
pencahayaan masuk ke dalam bilik menjadikan bilik kelihatan kelam. Malah
tingkap yang tertutup juga menyebabkan pengudaraan dalam bilik itu menyesakkan
hidung. Pakaian kotor bersepah dari katil hinggal ke depan pintu. Botol-botol
minuman keras bertaburan atas lantai.
“Ya Allah, macam mana
la adik kamu boleh hidup dalam bilik yang macam ini. Naik loya tekak Mak Jah ni
Zahil oi!” tergeleng-geleng kepala wanita tua itu.
“Tempat manusia
berkubang memang macam ni Mak Jah…” selamba saja Zahil menjawab sambil tangan
turut menekup hidung. Mahu pengsan kalau bernafas lama-lama dekat sini.
Tanpa membuang masa,
Zahil terus menuju ke arah tingkap lalu kain langsir diselak dan diikat kemas.
Tingkap yang tertutup turut dibuka untuk membolehkan udara luar yang segar
masuk menggantikan udara hapak dalam kamar tertutup itu.
Ternyata tindakan Zahil
menyebabkan manusia yang berkubang atas katil seakan raksaksa yang diganggu
tidurnya. Kedengaran rengusan kasar kerana tidurnya diganggu oleh pencahayaan
sinar matahari yang menerobos masuk dalam bilik itu. Silau cahaya merentap enak
tidurnya.
Zahil berpaling
mengadap katil dan membelakangkan tingkap. Sekujur tubuh tidak berbaju dan berseluar
pendek yang terbungkang atas katil direnung dengan wajah tenang. Istighfar
bergema dalam hati. Jiwa lelaki itu menangis tak bernada melihat suasana di
depan matanya kini. Zahil tarik nafas dalam sebelum melangkah mendekati katil.
Mak Jah sekadar tercegat di hujung katil melihat saja tindakan Zahil yang
selanjutnya.
“Bangun la manusia!
Berapa hari lagi kau nak tidur hah?” tegur Zahil tegas namun nada suaranya
masih mendatar.
Bicara Zahil langsung
tidak diendahkan sebaliknya kain selimut digagau lalu ditarik menutup seluruh
kepala. Zahil tidak putus asa. Kain selimut direntap kasar lalu dilempar jatuh
ke lantai.
“Bangun la! Dah tiga
hari kau tidur, tak cukup lagi ke? Kalau kau nak tidur tak nak bangun-bangun
dah, baik kau mati je. Kau hidup pun dah tak macam manusia. Tidur… minum...
tidur... minum! Kau nak bunuh diri ke ape?” bebel Zahil lagi.
Si manusia yang
berkubang langsung tidak berkutik. Kaku umpama sekujur mayat terbungkang atas
katil yang hapak dek tumpahan minuman keras. Naik geram Zahil dan Mak Jah.
“Hei! Bangun la aku
cakap!” Zahil bongkokkan tubuh lalu bahu manusia yang masih membatukan diri itu
digoyang-goyang dengan kasar. Tidak juga mendapat sebarang respon.
“Zakuan Helmi! Kau
dengar tak apa aku cakap ni? Bangun sekarang atau aku mandikan kau atas katil
ni!” gertak Zahil bernada tinggi.
Zakuan yang tertiarap
terus angkat kepala memandang Zahil. Dengan wajah membengis, lelaki itu
membentak. “Kau ni sibuk betul! Kau blah la, jangan kacau aku!”
“Aku blah kalau kau
bangun sekarang dan pergi mandi!” tegas Zahil. Zakuan buat tak endah sebaliknya
kembali meletakkan kepala atas bantal.
“Zakuan!” pekik Zahil.
“Aku nak hidup ke… nak
mati ke… kau peduli ape!” jerkah Zakuan.
“Kau nak mati pun,
jangan nak susahkan aku boleh tak?” Zahil kendurkan sedikit nada suaranya.
Berkasar dan tinggikan suara bukan caranya. Hanya berdepan situasi begini,
terpaksa la dia keluarkan sifat ‘kasar’ yang disimpan.
“Arrrghhh…! Mak Jah!
Apasal panggil dia ni datang sini? Memekak je la!” bentak Zakuan.
“Kau nak bangun ke
tak?”
“Aku bangun la ni
bodoh! Kau blah la sekarang! Keluar!” Zakuan bangun dari pembaringan. Lelaki
itu kelihatan tidak terurus dengan rambut berserabai dan jambang yang tumbuh
tidak berjaga. Mata juga sembam dek tidur yang berlebihan.
Zahil senyum sumbing
melihat Zakuan terhuyung-hayang melangkah mendapatkan tuala mandi di ampaian.
Ketika berjalan menuju kamar mandi, kaki lelaki itu menyepak botol-botol arak
yang bersepah di atas lantai.
“GANG!” Bunyi pintu
ditutup kasar bagai menyentap lubang telinga sebaik saja Zakuan membolos masuk
ke dalam kamar mandi. Tindakan sebagai menzahirkan pemberontakan dalam diri.
Mak Jah sekadar geleng
kepala. Apa nak jadi dengan anak majikannya yang seorang ini. Jauh sekali
hidupnya dari agama. Mak Jah kemudian mula mengemas bilik yang bersepah itu.
Kain cadar dan sarung bantal ditanggalkan. Cadar dan sarung bantal baru di
ambil dari dalam almari dan dipasang menggantikan yang lama.
Zahil bertindak mebantu
Mak Jah. Tidak sampai hati membiarkan wanita itu sibuk mengemas seorang diri.
Sudah la bilik bersepah dengan botol-botol minuman keras. Mak Jah tu nak pegang
botol-botol tu pun tak gamak. Tingkahnya umpama memegang botol arak perlu
disamak seperti memegang khinzir dan anjing. Zahil geli hati melihat teletah
Mak Jah tetapi kelucuan itu ditahan dalam hati. Akhirnya dia menawarkan diri
untuk mengutip botol-botol air syaitan itu.
Mak Jah senang hati.
Berpeluh keting juga untuk dia menyentuh botol minuman keras itu. Jika ke pasar
raya, nampak saja botol-botol arak pelbagai jenama yang tersusun cantik di rak,
Mak Jah sudah lari jauh-jauh. Inikan pula mahu disentuh walau kini yang perlu
dikutip hanya botol kosong.
Ketika mengutip
botol-botol kaca yang bersepah di lantai, Zahil terpandang sekeping gambar yang
sedikit tersorok di balik timbunan baju-baju kotor. Perlahan-lahan dia bergerak
mendapatkan kepingan gambar itu. Tergamam Zahil tatkala matanya menatap gambar
tersebut. Matanya tidak menipu. Walau berkali-kali matanya ditenyeh, apa yang
dilihatnya tidak akan berubah.
“Gambar apa tu Zahil?”
soal Mak Jah dari jauh. Diperhatikan Zahil begitu asyik sekali merenung gambar
di tangannya.
Zahil tersentak. Mak
Jah yang merenung kehairanan dipandang Zahil dengan senyum kelat.
Bergerak-gerak tulang pipi lelaki itu menahan kelojak perasaan.
“Tak… tak ada. Errr…
Mak Jah keluar la dulu. Mesti banyak lagi kerja nak buat. Bilik ni biar Zahil
yang kemaskan,” ujar Zahil dengan intonasi suara yang dikawal getarnya.
Mak Jah angguk tanpa
bantahan. Wanita itu berlalu pergi dengan membawa kain cadar dan bakul berisi
pakaian kotor untuk dicuci.
Sebaik saja Mak Jah
berlalu pergi, Zahil terduduk di lantai beralaskan karpet biru langit. Tidak
berkelip matanya menikam wajah wanita dalam kepingan gambar di tangannya.
Jantungnya terasa berdebar hebat. Terkejutnya bukan kepalang. Hati meronta
inginkan jawapan untuk seribu tanda tanya yang menujah fikiran.
Zahil cuba menenangkan
diri. Dia perlukan bukti. Seribu satu andaian boleh dibuat berdasarkan sekeping
gambar. Setiap gambar ada seribu cerita bisa direka. Zahil mahukan fakta. Tepat
dan benar! Lalu meja kerja di sudut bilik dihampirinya. Laci meja dibuka dan
tangannya menyelongkar laci itu mencari sesuatu yang dia sendiri kurang pasti.
Jemari Zahil menyentuh
bungkusan sampul surat sederhana besar. Perlahan-lahan sampul itu diambil dan
dilihat isi dalamnya. Jemarinya menggigil. Sampul coklat itu penuh dengan
kepingan gambar dengan imej wajah yang sama. Gambar-gambar yang jelas sekali
diambil secara curi-curi.
Zahil ambil beberapa
keping daripada gambar itu lalu dimasukkan ke dalam kocek seluarnya. Sampul
surat itu diletak kembali di tempat asal sebelum laci ditutup. Setelah itu
Zahil berlalu pergi. Tugas mengemas yang telah dijanji pada Mak Jah terus
diabaikan.
Mak Jah naik menjenguk
bilik Zakuan beberapa minit kemudian. Terbeliak mata orang tua itu melihat
bilik itu langsung tidak berubah. Bertuah punya Zahil!
No comments:
Post a Comment