DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Sunday, 13 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 6

Enam hari berlalu begitu sahaja...
PALING menyedihkan apabila mendengar tangisan
emak setelah mendapat tahu apa yang berlaku kepadaku. Emak
dan abah terlalu terkilan dengan apa yang menimpa. Abah
sampai tidak terkata jadinya semenjak mula dikhabarkan berita
pedih itu. Aku tahu abah sedih. Lebih sedih apabila mendapat
tahu hak diriku diketepikan hanya kerana aku seorang
pendatang di tanah ini. Amat berat dugaan ini namun abah
sudah menyatakan yang dia reda dengan ujian Allah ini.
Beberapa hari ini aku hanya berendam air mata sahaja.
Abah awal-awal lagi sudah menyatakan pendiriannya. Dia
meminta aku pulang sahaja ke Malaysia untuk menenangkan
fikiran. Aku akur sahaja dengan kehendak abah. Rasanya aku
tidak mampu lagi untuk berada di tanah yang mencoretkan
sejarah hitam dalam diari hidupku ini. Segala yang kupandang
amat menyakitkan.
“Aku tak mahu kembali lagi ke sini, Meen. Aku nak
balik terus,” luahku pada petang terakhir sebelum aku pulang
ke Malaysia. Biarlah... bagiku semua itu tidak penting lagi
untuk aku pertahankan. Biarlah aku dibuang sahaja daripada
pengajian. Aku sudah tidak peduli lagi.
Aku terlalu sedih... kerana cerita mengenai itu
bukan lagi rahsia kami. Sudah ada manusia yang baik budi
menghebohkannya. Sehingga kini kami tidak bertegur sapa
dengan Nenny. Aku menganggap dia juga pendorong sehingga
terjadi semua ini.
Memang aku akui... ada yang bersimpati dengan nasib
yang menimpaku. Tidak ketinggalan juga yang menganggap
semua itu hanya kisah yang biasa-biasa aja. Tiada apa yang perlu
disedihkan. Ada juga yang sudah tidak hairan... kerana mereka
cukup kenal siapa manusia syaiton bernama Estaban itu. Sikap
kaki perempuan dan nafsunya tidak mengira siapa.
Kata-kataku itu mebuatkan Ameena memandangku
dengan wajah sedih. Cuti semesta kali ini Ameena tidak pulang
ke Malaysia. Dia akan bekerja untuk mengisi masa terluang
itu untuk mencari duit perbelanjaan sampingan bagi sesi
pembelajaran semesta yang akan datang. Itu sudah menjadi
resam kami di sini. Tetapi kini, semua keseronokan bergelar
pelajar di sini terpaksa aku lepaskan.
“Habis tu macam mana dengan pelajaran kau? Sayang
kalau kau berhenti setakat ini. Kita pun dah nak masuk tahun
kedua. Sedihnya aku kalau kau dah tak kat sini, Syira. Tinggal
aku dan Izah aja. Nanti kita orang mesti sunyi bila kau takde,”
luah Ameena terkilan dengan keputusanku.
“Kau akan dapat sesiapa yang boleh menggantikan
aku, Meen. Tapi aku tak boleh menggantikan apa yang dah
hilang daripada diri aku ni. Aku tak boleh nak mengadap jantan
tu seolah-olah macam apa yang berlaku sebelum ini takde
salahnya. Aku tak boleh berlagak seolah-olah semua tu tak
pernah berlaku,” balasku semula. Aku mahu dia faham... bukan
mudah untuk aku ambil keputusan sebegini. Tetapi aku juga
harus akur dengan hakikat. Tidak semua yang aku rancangkan
akan terjadi.
Ameena terdiam seketika. Wajahnya layu masih
tidak terpujuk. Aku sedar selama ini Ameena hanya bersama
denganku. Ke mana sahaja kami pergi, kami pasti akan berdua
jika Hamizah enggan menuruti kami. Jika tiada lagi aku
di dalam hidupnya, sudah tentulah dia berasa kekurangan.
Aku juga pasti akan begitu. Tetapi kali ini aku benar-benar
tidak dapat menunaikan apa yang dimahukan oleh Ameena.
Semuanya terlalu sukar untuk diriku. Peristiwa hitam itu terus
mengasak hebat ke dalam diriku sehingga aku jadi sengsara
menahan luka.
“Aku reda dengan apa yang berlaku, Meen. Hanya Allah
saja yang akan membalas segala perbuatan Estaban pada aku.
Aku harap dia akan gembira lepas apa yang dia dah lakukan
pada aku,” kataku sambil merenung ke luar jendela. Sebutir
manik jernih mengalir lesu di pipiku buat ke sekian kalinya.
Ah! Aku cukup sedar, dayaku tidak hebat! Aku cuma seorang
perempuan yang lemah.
“Aku sedih tengok keadaan kau, Syira. Kalaulah kita
balik berdua malam tu...” Rintih Ameena kesal. Aku mula
menoleh kepada Ameena yang duduk di katilku.
“Aku tak pernah salahkan kau, Meen. Kalau aku tahu
akan terjadi perkara tu, aku pun takkan menempah susah balik
seorang diri. Lebih baik aku tunggu kau aja. Tapi kita cuma
orang yang lemah. Aku anggap ini ujian Allah pada aku. Tentu
ada hikmah di sebalik semua kejadian ini. Aku nak berpegang
kepada keyakinan tu. Aku dah tak mahu fikir yang lain.” Aku
melahirkan kata-kata itu sekadar untuk mencantas kekesalan
sahabatku itu. Sebenarnya semua itu sudah tidak penting lagi.
Apa yang terjadi sudah tidak boleh ditarik semula.
“Aku pun tak tahulah lelaki tu lelaki jenis apa. Lepas
perkara tu berlaku, dia masih boleh pergi kampus macam takde
apa-apa. Bukan setakat kau, aku sendiri rasa nak bunuh dia bila
tengok muka dia tu,” ucap Ameena benar-benar geram.
Aku memandang lagi ke luar jendela. Marah? Geram?
Geram atau marah kami tidak akan menjadi kudis kepada
Estaban. Lelaki seperti itu tidak pernah tahu apa itu dosa dan
apa itu pahala. Dia tidak pernah berpegang kepada akidah
sebagai manusia yang beragama. Apalah yang dia tahu tentang
semua itu. Lelaki seperti dia seumpama parasit dalam hidup
seorang wanita.
Saat itu Hamizah pula datang ke bilikku. Aku tahu dia
baru sahaja pulang dari kampus. Baju kurung yang dipakainya
sewaktu ke kampus pagi tadi masih terlekat di tubuhnya. Dia
berdiri di muka pintu bilik sambil memerhatikan kami berdua.
“Syira takkan balik sini lagi, Izah...” Ucap Ameena
kepada Hamizah.
“Aku dah agak.” Sambut Hamizah perlahan. Aku
menoleh seketika kepada temanku itu. Dia hanya tenang
memandangku.
“Aku nampak bapa Estaban tadi,” kata Hamizah
lembut. Pandangannya masih tidak terkalih kepadaku. Aku
hanya memandang temanku itu tanpa menjawab. Tiada apa
yang perlu dikomenkan tentang itu. Bapa Estaban ke... nenek
Estaban ke... mereka semua tidak ada kena-mengena dengan
diriku. Biarlah dia nak bawak moyang dia ke kampus sekalipun,
aku sudah tidak kisah!
“Bapa dia buat apa kat kampus kita?” Soal Ameena
kehairanan. Nampaknya dia lebih berminat mahu tahu
mengenai kedatangan lelaki yang dikatakan sebagai bapa
Estaban itu berbanding aku.
“Entah. Aku cuma ternampak bapa dia waktu aku nak
keluar dari kampus tadi. Tapi tadi kawan baik lelaki tak guna tu
ada datang jumpa aku. Dia tanyakan kau...” Kata Hamizah lagi
sekadar memberitahu apa yang berlaku di universiti sepanjang
ketiadaan aku di sana.
“Kawan baik dia yang mana, Izah?” Soal Ameena masih
mewakili aku yang langsung tidak berminat untuk bertanya
dengan lebih jelas lagi.
“Si Ryan dengan Darrien. Dia tanya kau dah berhenti
belajar kat kampus ke?” Kata Hamizah tenang sambil mendekati
kami di dalam bilik itu.
Aku diam lagi tanpa reaksi. Namun hatiku terus
berkata-kata sendiri. Nampaknya kawan-kawan Estaban juga
sudah maklum dengan apa yang menimpa diriku. Ah! Sudah
tentulah Estaban dengan bangganya mengakui yang dia telah
melakukan ‘itu’ kepadaku. Bukankah misinya hanya untuk
menang ke atas diriku? Lantaklah apa yang mahu ditanyakan
diaorang. Aku dah malas mahu mengambil pusing lagi. Kawankawan
si tak guna itu sebenarnya lebih kurang sama aja. Mereka
memang sekufu dan sekafat dengan Estaban.
“Habis tu kau cakap apa?” Masih juga suara Ameena
lagi yang kedengaran memberi reaksi kepada cerita Hamizah.
Aku sudah macam patung pula berdiri di jendela memandang
ke luar.
“Aku kata Syira nak balik KL malam esok.” Ujar
Hamizah perlahan. Ameena mula terdiam. Bilik itu hening buat
sesaat dua.
“Kau dah tetap keputusan nak balik KL ke, Syira?”
Hamizah bertanya sekali lagi pendirianku.
“Aku dah takde apa kat sini lagi, Izah...” Bagaimana
semalam, sepertimana tadi... begitulah juga keputusan aku
sekarang ini.
“Kau ada aku dengan Meen. Jangan fikirkan apa kata
orang lain, Syira. Mulut orang ni sekejap saja mereka bercakap.
Nanti senyaplah bila mereka dah puas berkata. Sayang pada
pelajaran kau, Syira. Kau antara best student kat sini. Takkan
kau nak lepaskan semua tu kerana lelaki tak guna tu?” Ujar
Hamizah mula berusaha memujukku pula setelah Ameena
berputus asa sekejap tadi.
Aku menoleh kepada Hamizah sambil berpeluk tubuh.
“Kalau ada rezeki, aku akan sambung lagi, Izah. Tapi
bukan kat sini. Aku bukan nak lepaskan pelajaran aku kerana
malu pada mulut orang atau kerana sedihkan apa yang dah dia
buat pada aku. Tapi kalau kau boleh lenyapkan syaiton tu dari
kampus tu... sekarang juga aku akan batalkan keputusan aku
untuk balik Malaysia. Aku tak boleh tengok muka dia, Izah. Aku
benci!” Balasku pula.
Sahabatku itu terdiam seketika. Kata-kataku akhirnya
dibalas dengan anggukan perlahan. Hamizah mengeluh
panjang.
“Yalah... Kalau aku jadi kau pun memang aku tak boleh
tengok muka dia tu. Kalau aku sendiri tak boleh tengok muka
dia, inikan pula kau yang mengalami perkara ni. Takpelah... aku
faham, Syira. Aku doakan yang terbaik untuk kau. Aku harap
kau berjaya capai cita-cita kau di tempat lain.”
“Mungkin rezeki aku kat tempat lain. Bukan di sini saja
aku boleh teruskan pengajian. Janganlah korang bimbangkan
aku. Aku tetap akan sambung belajar,” balasku pula bagi
menyedapkan hati teman-temanku itu.
“Baguslah kalau kau fikir macam tu. Tapi kalau kau
ubah fikiran untuk kembali ke sini, jangan lupa beritahu aku,
Syira. Aku akan tolong kau untuk buat rayuan pada pihak
universiti. Kami takkan biarkan perkara ni macam ni aja, Syira.
Suatu hari nanti, Estaban pasti akan mendapat apa yang berhak
dia dapat. Tengoklah!” Janji Hamizah bersungguh.
“Apa maksud kau, Izah?” Ameena segera menyampuk
perbualan aku dan Hamizah.
“Kau akan tahu juga suatu hari nanti. Tunggu dan lihat
aja! Dia takkan terlepas daripada apa yang dia dah buat,” ucap
Hamizah sambil memandang Ameena.
Aku terdiam cuba memahami apa yang sedang
disampaikan oleh Hamizah, namun aku enggan bertanya lagi.
Bagiku biarlah masa yang menentukan segalanya. Aku tidak
mahu bergantung apa-apa harapan dahulu buat masa ini. Aku
hanya mahu melupakan peristiwa hitam itu. Itu sahaja!
“Jangan lupa emel kami nanti. Kalau kau rasa kau nak
balik ke sini semula, beritahu kami. Kami akan cuba buat apa
yang boleh,” tambah Ameena pula. Aku sekadar mengangguk
sahaja. Balik semula ke UK? Dalam keadaan hatiku begini?
Mungkin tidak!
KEPULANGAN AKU ke Segamat disambut dengan deraian
air mata emak. Emak memang sedih setelah melihat fizikal
anaknya ini yang sudah susut, tidak seperti dahulu lagi. Melihat
air mata emak mengalir, aku memang tidak mampu menahan
rasa hiba. Aku sedar, bukan ini yang diharapkan oleh kedua
orang tuaku saat mereka merelakan pemergianku ke London
hampir 3 tahun yang lalu. Aku juga sebenarnya tidak pernah
bermimpi untuk pulang dalam keadaan begini.
Abah yang paling tenang antara kami semua. Dia tidak
banyak mengungkit hal itu. Aku tahu abah tidak mahu aku
tambah tertekan jika kami selalu sangat bercakap tentang itu.
Apa yang sudah berlaku memang tidak dapat ditarik semula
biarpun dengan berlori-lori sumpah seranah. Apa yang penting,
masa depan aku nanti.
Tiga minggu di rumah orang tuaku itu, aku mulai
memikirkan apa yang perlu dilakukan untuk meneruskan apa
yang aku cita-citakan selama ini. Perjuangan untuk mencapai
cita-cita masih belum tamat. Hidup harus diteruskan seperti
biasa. Tidak cukup sekadar bermuram durja.
Aku mula melayari internet di rumah. Selain daripada
melayari laman-laman web universiti tempatan, aku sempat
juga bertukar khabar dengan sahabat-sahabatku yang masih
berada di London. Hamizah dan Ameena kini sedang bekerja
untuk mencari wang poket buat diri mereka. Sementelah kos
sara hidup di London pada musim panas mula menjadi mahal.
Aku sedar mereka juga seperti aku. Tidak mewah untuk pulang
bersantai ke Malaysia apabila ada cuti panjang seperti ini. Aku
sendiri juga pernah bekerja untuk mencari wang sara diri ketika
masih di Balles College dahulu.
Malam itu sewaktu mahu mendirikan solat isyak,
emak tiba-tiba datang kepadaku. Emak memandang aku lama
sehingga pelik aku melihat gelagatnya. Ada sesuatu pada wajah
emak yang membuatkan aku tertanya-tanya.
“Kenapa mak pandang Syira macam tu? Mak tak
pernah nampak Syira pakai telekung ke?” Tegurku selamba
kepada emakku itu.
“Takdelah. Mak saja je tengok, Syira...” Jawab emak
perlahan.
“Ada apa ni, mak?” Soalku tetap ingin tahu. Kalau tiada
apa-apa hal, masakan emak memandang aku sebegitu rupa.
Pelik aku melihat kelainan tingkah emak saat itu.
“Syira dah datang bulan ke? Mak tengok hari-hari Syira
solat?” Tanya emak lembut.
“Belum lagi, mak. Kenapa pulak mak tanya Syira dah
datang bulan ke belum?” Aku kembali menyoal emak. Tidak
pernah pula emak bertanya bila masanya aku datang bulan.
Aku sebenarnya tidak hairan mengapa aku masih tidak datang
bulan. Kerana sebelum ini pun aku kadang-kadang lambat
datang bulan. Setakat ini, apa yang aku tahu kelewatan sehari
dua seperti itu masih normal. Bukannya memaksudkan terdapat
sebarang penyakit yang serius.
“Solatlah. Saja je mak bertanya,” ucap emak sebelum
meninggalkan aku sendiri di bilikku.
Aku sempat terpaku melihat sikap emak yang kelihatan
lain macam. Perasaanku jadi tidak enak. Datang bulan? Ya! Aku
masih belum datang bulan. Adakah ini bermaksud aku...? Aku
lekas-lekas menggeleng mahu menepis kesangsian yang mulai
menyerang diri. Ah! Tidak mungkin! Ini cuma andaian kosong!
Bisikku untuk menyedapkan hatiku sendiri.
Aku yang sudah siap berdiri di atas sejadah segera
mengangkat takbir meneruskan solat yang tertunda tadi.
Persoalan tentang datang bulan itu mati terus dalam fikiranku
tanpa mahu difikirkan lagi.
Namun tiga hari kemudian saat bangun daripada
tidur, kakiku kejang entah kenapa. Sakitnya bagaikan meresap
sehingga ke urat saraf sehingga aku jadi tidak berupaya untuk
menggerakkan kakiku. Akibat panik dengan serangan mengejut
itu, aku menjerit memanggil emak di bilik sebelah. Aku
memanggil emak lagi apabila terasa lama sungguh masa yang
diambil oleh emak untuk datang ke bilikku itu.
“Kenapa ni, Syira?” Soal emak yang kelam-kabut
apabila mendengar jeritanku tadi.
“Kaki Syira ni sakit, mak. Tak boleh bergerak...”
Keluhku sambil memegang betis yang sakit. Berair mataku
menahan sakit. Emak terus memegang betisku. Kemudian
dipicitnya betisku itu sehingga aku menjerit kesakitan.
“Tak boleh bergerak langsung ke?” Soal emak mulai
bimbang. Betisku diurut lembut.
“Tak boleh. Sakitnya, mak.” Aku sudah mengerang
tidak tahan.
“Tunggu sini...” Emak terus menghilangkan diri
seketika dari bilikku. Kemudian emak kembali semula ke bilik
dengan sebotol minyak sapu. Kali itu adik-adikku juga ikut
menjenguk aku di atas katil.
“Kenapa dengan kaki Kak Syira ni, mak?” Soal Syahril
dari sisi katil.
“Kejang agaknya ni. Sejuk pagi-pagi macam ni
memanglah senang kena kejang otot,” jawab emak tanpa
menghentikan urutannya.
“Selalu ke akak kejang otot pagi-pagi macam ni?”
Syahril terus menyoalku pula. Wajahnya mula memaparkan
rasa bimbang dengan keadaanku.
Aku pantas menggeleng. Inilah kali pertama aku
mengalami kejang otot pada waktu pagi. Tetapi aku segera
teringat kepada cerita Ameena yang emaknya kerap mengalami
kejang otot ketika tidur. Agaknya aku juga sedang mengalami
masalah yang sama dengan emak Ameena.
“Sebelum ni Syira tak pernah kena macam ni, mak. Kat
London tu sejuk juga, tapi Syira tak pernah kejang otot macam
ni.” Aku meluahkan kata agak payah dalam erangan kesakitan.
Emak hanya diam sambil terus mengurut kakiku. Berkerutkerut
dahiku apabila emak memicit kuat otot-otot betisku
yang sedang mengeras. Tidak lama kemudian kekejangan yang
kurasai mulai berkurangan. Namun kesakitannya masih dapat
aku rasakan.
“Syira salah tidur agaknya...” Itulah komen emak yang
mulai bimbang dengan keadaanku.
“Entah. Syira tak tahu...” Jawabku perlahan sahaja.
“Pergilah solat subuh dulu. Waktu dah nak habis ni,”
ucap emak lantas meninggalkan aku di situ.
Seminggu kemudian aku sekali lagi mengalami perkara
yang sama. Walaupun sudah diingatkan supaya tidur dengan
memakai stoking namun kesakitan itu kembali semula. Tetapi
kali ini sakitnya membuatkan air mata aku bertambah deras
mengalir. Sekali lagi aku terpaksa diurut oleh emak supaya aku
dapat menunaikan solat subuh. Apabila aku bertanya tentang
ini, emak hanya diam sahaja sambil terus mengurut kakiku.
Namun sebenarnya aku dapat lihat sejalur keresahan pada mata
emak setiap kali dia memandangku. Aku sendiri sudah tidak
tahu apa sebenarnya yang sedang melanda diriku. Namun aku
pasti... ini bukan soal enteng!
HARI YANG sama, selepas sarapan pagi emak dan abah
memutuskan untuk membawa aku ke klinik kesihatan di
Segamat. Emak ikut menemani aku masuk ke bilik rawatan
untuk bertemu dengan Dr. Ishak. Hasil pemeriksaan doktor
lelaki itu, aku bagaikan mahu meraung di situ. Langit seakanakan
telah runtuh di atas kepalaku. Pada saat aku mendengar
khabar itu, dadaku bagaikan tidak mampu berdenyut lagi. Amat
berat dugaan ini untuk aku galas.
Melihat keadaan aku yang cukup lemah untuk
menerima hakikat itu, abah lekas membawa aku kembali ke
rumah. Aku menonong keluar dari kereta abah sebaik sahaja
kereta itu berhenti di hadapan rumah. Apabila naik ke atas
rumah, air mataku sudah tidak mampu kuseka lagi. Plastik ubat
kucampak entah ke mana. Aku terus masuk ke bilik.
“Syira...” Emak cuba memanggilku. Namun panggilan
emak tidak aku layan. Aku terus berbaring di atas katil dan
menangis.
“Syira, sabar ya nak?” Pujuk emak sedikit sayu.
“Syira nak mati... biar Syira mati!” Jeritku tiba-tiba
bagaikan histeria di dalam bilik itu.
“Astaghfirullahal’adzim...” Rintih emak tidak sanggup
mendengar apa yang aku ucapkan.
“Ya Allah... mengucap, Syira. Jangan cakap macam ni.
Tak baik.” Emak terus memeluk tubuhku erat. Abah sekadar
memandang. Aku terus menangis di dalam pelukan emak.
Syahril dan Fairuz mula menerpa ke bilik itu apabila terdengar
suaraku. Mereka terpaku memandang aku.
“Syira tak nak anak ni, mak. Tolonglah Syira... Syira tak
mahu semua ni jadi pada Syira. Biar Syira mati aja! Syira tak nak
anak haram ni!” Rayuku dalam esakan yang kuat. Aku menangis
kuat bagaikan sedang dirasuk. Tanganku ikut memukul-mukul
perutku agar anak di dalam kandunganku itu dapat dilenyapkan.
Namun emak terus menghalang perbuatanku.
“Mengucap, Syira...” Pujuk emak terus menggosok
belakangku agar aku tenang.
“Jangan cakap macam ni. Mengucaplah... Ingat Allah
banyak-banyak!” Emak terus memelukku erat bagi memberikan
aku sedikit kekuatan untuk bersabar.
“Macam mana Syira nak sabar, mak? Syira
mengandungkan anak haram!!!” Jeritku semakin tidak kuat
menerima hakikat itu.
“Kenapa hidup Syira jadi macam ni? Apa salah Syira,
mak? Kenapa Syira yang kena tanggung semua ni?” Ucapku
semakin tidak mampu bertahan. Semakin dipujuk, aku semakin
tidak mampu mengawal perasaan sakit itu.
“Ini semua ujian Allah...” Ucap emak.
“Syira tak boleh terima anak ni. Estaban!!! Kau memang
binatang!” Aku terus memekik meluahkan kemarahanku.
“Mengucap, nak. Ya Allah... apalah nak jadi ni,” keluh
emak benar-benar cemas dan buntu dengan keadaan aku.
Tubuhku terus dipeluknya sambil kepalaku diusap agar tersalur
sedikit kekuatan untuk aku bertahan. Namun air mata emak
ikut mengalir menangisi apa yang menimpa diriku.
Akhirnya setelah kepenatan meneran suara, aku
hanya mampu menangis teresak-esak di dalam pelukan emak.
Percuma sahaja aku melakukan itu semua kerana apa yang
mahu aku lenyapkan tetap ada di dalam rahimku.
“Sabarlah, Syira. Ini semua ujian Allah. Jangan
berputus asa kepada Allah. Allah takkan uji kita melebihi
daripada kekuatan kita untuk menggalasnya. Emak dan abah
ada. Mak takkan membuang Syira dan anak ni,” pujuk emak lagi
apabila melihat aku sudah tidak sebrutal tadi.
“Tapi ini anak haram. Syira tak sanggup, mak. Syira
tak sanggup mengandungkan zuriat daripada lelaki durjana tu.
Syira tak mahu anak ni...” Rayuku tanpa dapat berfikir lagi. Apa
yang aku tahu, aku tidak sanggup menanggung malu dengan
kehadiran anak yang tidak mempunyai bapa seperti ini.
“Jangan panggil anak ni macam tu. Ini anak Syira.
Jangan lupa, Syiralah ibu yang mengandungkannya. Memang
malu, tapi kita tak berhak menolak apa yang Allah dah beri.
Emak tahu memang berat apa yang Syira tanggung saat ini
tapi ingatlah... Allah akan menggugurkan dosa-dosa kita untuk
setiap kesengsaraan kita. Semua ini akan ada ganjarannya
asalkan kita sabar dan reda.” Emak terus memujuk sambil
membelai tubuhku. Aku menggeleng enggan menerima nasihat
emak itu.
“Syira malu, mak. Syira nak gugurkan kandungan ni,”
putusku nekad.
“Jangan, Syira! Abah tak izinkan Syira buat macam
tu.” Suara abah terus menerpa lantang menyekat kemahuan
gila aku itu.
“Syira tak peduli, abah! Syira tak mahu anak ni. Syira
tak mahu!” Jeritku kembali tertekan.
“Dengar cakap abah, Syira. Berdosa kita buat macam
tu. Apa pun alasannya dosa tetap dosa. Jangan sesekali kita
ingkar apa yang dah Allah tetapkan. Ingatlah Allah sentiasa
melihat kita. Memang di dunia nampak mudah tapi tidak di
akhirat nanti! Tak tertanggung kita azabnya nanti. Anak ni
tak salah apa-apa. Dia juga tidak meminta untuk berada di
dalam rahim Syira. Dia juga tak meminta untuk hadir dalam
keadaan emaknya dianiaya orang. Allah telah memberikan dia
hak untuk berada di dunia ini. Syira tak berhak merampas hak
itu. Terimalah keadaan ini seadanya. Beristighfarlah...” Kali ini
dengan nada sedikit lembut abah cuba untuk memujuk aku.
“Tapi Syira malu, abah. Anak ni takde bapak. Apa Syira
nak cakap pada semua orang? Semua orang akan ketawakan
Syira. Semua orang akan hina Syira,” rayuku dalam linangan
air mata. Gugur sudah impianku satu per satu dengan semua
kenyataan ini. Aku masih tidak tahu bagaimana untuk
menghadapinya.
“Anak tu memang takde bapak tapi Syira jangan
lupa, Allah sudah tetapkan Syira adalah emaknya. Syira adalah
pemiliknya. Tanggungjawab Syira mendidik anak ni supaya
dia menjadi orang yang beriman. Ada hikmahnya segala yang
telah berlaku. Jangan pedulikan apa orang nak kata. Apa yang
penting, kita berada di pihak yang benar. Kuatkan hati Syira
untuk bersabar dengan dugaan ini. Allah akan membantu
mempermudahkan jalan untuk Syira sekiranya Syira reda.
Insya-Allah, Allah sentiasa bersama orang yang sabar...”
“Tapi Syira tak boleh, abah. Anak ni semakin
mengingatkan Syira pada lelaki tu. Syira tak sanggup, abah.
Kenapa Syira mesti jaga anak ni. Nanti anak ni jahat macam
bapak dia! Syira tak mahu...” Aku tetap berdegil enggan
mengikuti nasihat abah.
“Jangan cakap begitu. Jangan membayangkan sesuatu
yang di luar kemampuan kita. Lapangkan dada Syira terima
takdir Allah. Syira orang Islam... menentang takdir yang Allah
dah tetapkan, bermakna kita tidak beriman kepada qada dan
qadar. Siapa lelaki yang menjadi bapa kepada anak ini tak
penting. Apa yang penting, anak ni tetap anak Syira.... tetap
cucu mak dan abah. Dia berkongsi nyawa dengan Syira di dalam
sana. Kasihankan anak tu. Dia tak bersalah, nak. Seorang anak
tidak berkongsi dosa dengan bapanya. Anak ni ibarat kain putih
yang bersih dan suci daripada dosa. Jangan lupa, anak ni harta
kita sehingga ke dalam kubur. Kalau Syira buang dia hari ni,
siapa yang akan mendoakan Syira bila Syira mati nanti?” Kali
ini emak pula yang memujuk aku.
“Kak Syira, jangan pedulikan apa orang nak kata. Yang
penting, ini darah daging kita. Dia juga berhak untuk hidup.
Kami semua akan terus menyokong Kak Syira. Takde siapa
yang akan membuang Kak Syira dengan baby tu. Jangan buat
dia macam tu. Kasihan dia, Kak Syira. Baby tu tak salah apaapa.”
Syahril yang semenjak tadi hanya melihat sahaja turut
memujuk aku akhirnya.
“Betul apa kata Syah tu, Syira. Emak dan abah akan
selalu menyokong Syira. Emak tahu anak mak tak salah. Ini
ujian daripada Allah. Banyakkan istighfar. Jangan sampai
fikiran kita dipengaruhi iblis yang mahu menghancurkan iman
kita. Emak tahu Syira anak yang baik, dah tentu Syira juga akan
menjadi emak yang baik. Allah akan sentiasa membantu orang
yang sabar, Syira. Percayalah...” Ucap emak tenang. Emak dan
abah begitu reda menerima takdir ini. Namun aku?
Aku akhirnya terdiam kehilangan idea untuk menolak
kata-kata orang di sekelilingku. Reda? Tapi bagaimana?
Walaupun aku sudah puas mencubanya tetapi hakikat yang
satu ini bukan mudah untuk aku terima. Bagaimana untuk
aku menjaga anak ini jika hanya ada kebencian yang menghuni
segenap ruang nafasku kepada bapa anak ini. Aku takut
kebencian itu ikut beralih setiap kali aku memandang wajah
zuriatku nanti.
“Tolong abah ambilkan air suam di dapur,” ucap abah
kepada dua adik lelakiku itu. Fairuz terus berlalu dari bilikku.
Tidak lama kemudian, dia kembali dengan air suam yang
diminta oleh abah. Abah membacakan sesuatu pada air itu.
“Minum air ni, Syira. Baca selawat tiga kali,” pinta
abah lembut.
Emak segera melepaskan dakapannya kepadaku.
Dia sempat mengangguk meminta aku mengambil air yang
dihulurkan abah. Dengan lafaz bismillah dan selawat ke atas
nabi seperti yang disuruh oleh abah, aku meneguk air itu
perlahan sehingga habis separuhnya. Kemudian gelas itu aku
kembalikan kepada abah yang masih memerhatikan aku.
“Rehatlah, Syira. Tenangkan fikiran. Jangan banyak
fikir. Ingat pesanan doktor tadi. Syira tak boleh banyak
tertekan,” kata emak lembut.
Aku hanya mengikut sahaja apa yang disuruh emak
tanpa kata. Emak turut membantu aku membaringkan
tubuhku ke atas katil. Sempat juga emak mengusap kepalaku
dengan penuh kasih sayang. Tanpa dapat ditahan air mataku
mengalir lagi. Aku sedih mengenangkan nasib diri. Sebahagian
hati memang hancur tetapi sebahagian lagi selalu membisikkan
kalimah istighfar untuk meniup kembali semangat agar aku
meneruskan kehidupanku ini dengan sabar.
Entahlah... aku masih tidak tahu apa yang akan terjadi
pada masa depanku nanti. Segalanya kabur dan kelam. Anak
ini bagaikan sedang menenggelamkan diriku di dalam lautan
sengsara. Semuanya kerana Estaban!
Aku bertekad. Aku sama sekali tidak akan memaafkan
lelaki itu! Aku takkan maafkan dia sampai mati!

No comments:

Post a Comment