HIDUP tidak selalunya indah... Begitulah juga
dengan hidup di atas dunia ini.
Semenjak pertengkaran itu, kami tidak berbaik seperti
yang diharapkan. Aku benar-benar benci melihat gelagat
Estaban. Kononnya mahu menjadi kawan... tetapi disebabkan
peristiwa itu aku tidak mampu lagi memberi muka kepadanya.
Aku serik dipermainkan!
Semenjak kebelakangan ini aku nampak sikapnya
sudah berbeza berbanding semalam. Di kampus, aku masih
nampak dia di mana-mana. Namun dia tidak lagi datang
menegurku. Walaupun pada hakikatnya inilah yang sangat aku
mahukan. Namun dalam diam ada rasa resah sering merantai
hatiku. Bukan setakat dia mempamerkan gelagat acuh tidak
acuhnya... sebaliknya dia memalingkan wajahnya apabila
bertembung denganku. Aku dapat merasakan ada benda yang
tidak kena dengan Estaban.
Malam itu aku dan Ameena bertukar angin dengan
keluar sembahyang berjemaah di Masjid Umar Faruqe
berhampiran dengan King Hedges Road. Masjid itu tidaklah
sebegitu jauh daripada rumah kami. Cukup sekadar berjalan
kaki sahaja. Kadangkala apabila ada masa terluang, kami
akan ke sana memeriahkan jemaah masjid itu. Tetapi entah
kenapa semenjak kebelakangan ini, kami sudah lama tidak
mempraktikkan tuntutan itu. Malam ini kami ke sana kerana
ada ceramah agama daripada pendakwah yang diundang dari
Arab Saudi.
Ketika kami sampai, masjid agak sesak dengan jemaah
lain. Itu kami tidak hairan. Memang persekitaran rumah kami
dihuni oleh ramai orang Islam yang terdiri daripada pelajarpelajar
universiti dan tenaga pengajar fakulti Pengajian Islam.
Juga ramai warga Sudan dan Arab Saudi yang menumpang di
sini. Tetapi sepulang dari masjid, aku tidak lagi bersama Ameena
kerana temanku itu bertemu dengan rakan sekuliahnya di
masjid itu. Dia masih seronok berborak di masjid. Akhirnya aku
terpaksa membawa diri pulang ke rumah sendirian. Aku sudah
cukup keletihan untuk menunggu Ameena yang sememangnya
kaki berborak itu. Waktu juga sebenarnya sudah lewat dan
kebanyakan jemaah sudah pulang. Aku tidak bimbang pulang
sendirian kerana setahu aku kejiranan ini selamat untuk kami.
Kaki aku hayun sepantas mungkin apabila menyedari
aku hanya seorang diri. Kawasan sekeliling sudah semakin
sunyi. Kebanyakan kedai sudah melabuhkan tirai urus niaga.
Sepanjang jalan boleh dikira berapa manusia yang aku temui.
Entah kenapa tiba-tiba aku rasa seram sendiri. Lebih seram lagi
apabila laluan taman rekreasi yang selalunya ramai orang kini
sunyi sepi tanpa sesiapa. Malam ini pula sejuknya memang lain
macam.
Tatkala melalui kawasan pejalan kaki di taman itu,
hanya ada pokok di kiri dan kanan menemaniku. Aku cuba
berjalan selaju mungkin. Namun di pertengahan jalan keluar
satu lembaga dari sebalik pokok besar di hadapanku. Langkahku
terus terpasak di bumi tidak dapat bergerak. Dadaku berdegup
kencang melihat dalam kesamaran lampu neon seorang lelaki
terhoyong-hayang mendekatiku. Aku terus terpaku di tempatku
berdiri.
Estaban... aku sempat menyebut nama itu dalam hati
setelah mampu mengecam lembaga itu. Ada rasa tidak enak
menerpa dalam diriku apabila menyedari Estaban mungkin
sedang mabuk daripada caranya berjalan. Aku pula sedang
berada di laluan yang sunyi tanpa kehadiran orang ramai.
Tambahan pula kawasan itu agak malap kerana hanya diterangi
oleh cahaya lampu neon.
“Lama kita tak berbual...” Ucap Estaban apabila berada
dekat denganku. Dia memandangku lama sebelum kembali
menogok air dari dalam botol di tangannya.
Aku menelan liur kepahitan dalam kepegunan melihat
botol di tangannya. Rasa tidak enak mula berganti dengan rasa
gentar. Sekejap sahaja rasa itu mula menyerang seluruh urat
sarafku. Dalam kebisuan mataku meliar memandang ke kiri dan
kanan mencari seseorang untuk meminta bantuan jika ada apaapa
berlaku.
“Awak nak apa daripada saya?” Soalku buat-buat berani.
“Saya cuma nak berbual dengan awak sekejap,” jawab
Estaban sambil tersenyum. Namun lain macam senyuman yang
diberikan kepadaku. Kemudian dia meneguk lagi alkohol dari
dalam botol itu. Aku yang memandang semakin seram. Aku
tahu dia sedang mabuk.
“Saya nak balik, Estaban.” Menyedari dia sedang tidak
waras aku nekad mahu melarikan diri sahaja.
“Sekejap saja. Tolonglah!” Sepantas kilat Estaban
mencapai tanganku.
“Saya nak balik! Lepaskan saya!” Bentakku kuat. Aku
cuba merentap semula tanganku namun pegangannya terlalu
kuat. Aku meronta-ronta cuba meleraikan tangannya sehingga
beg telekung yang aku bawa terjatuh ke tanah.
“Insyirah...” Panggil lelaki itu cuba menenangkan aku.
“Lepaskan saya!” Jeritku sambil menarik tanganku
daripadanya.
“Tidak terlalu awal, sayang. Saya tidak menerima
jawapan tidak, pada kali ini. Awak dah cukup menyakitkan hati
saya!” Estaban menjawab marah.
Dengan pantas dia merentap pergelangan tanganku
sehingga aku terdorong kepadanya. Tubuhku dipautnya dan dia
terus menekup mulutku. Dengan kudrat lelakinya aku ditarik
kasar ke suatu kawasan yang agak gelap. Malang sekali ketika
itu, tiada siapa yang ternampak perbuatannya kepadaku. Dan
aku tidak terdaya untuk meminta tolong. Aku semakin kuat
meronta setelah aku sedar yang aku sudah dibawa jauh dari
laluan tadi. Lelaki itu menolak aku sehingga aku terjatuh di
atas rumput yang basah dan licin.
“Estaban, awak ni dah gila!” Jeritku sambil cuba
melarikan diri daripadanya. Namun lelaki itu terus menindihku.
Apa sahaja tindakan yang ada, aku gunakan untuk melepaskan
diri daripadanya. Namun dek kerana tubuhnya yang begitu
berat, aku tidak mampu bergerak. Melainkan aku hanya terdaya
memukul wajahnya.
Estaban ketawa seronok melihatku.
“Saya memang dah lama gilakan awak!” Ucapnya tajam.
Kedua-dua tanganku dicapainya lalu ditekan ke atas rumput.
“Hari ni awak akan terima balasannya. Saya dah puas
dihina!” Ucap lelaki itu lagi sambil mengetap rahangnya.
“Lepaskan saya!” Jerkahku tidak mempedulikan kata
katanya yang berbaur dendam itu. Namun tanpa belas kasihan
Estaban menampar pipiku. Serentak itu aku mulai terasa
pening. Alam sekeliling terasa bagaikan sedang berputar.
“Saya akan tunaikan janji saya sebelum ini. Saya akan
dapatkan awak. Saya sudah katakan dulu!” Kata Estaban sambil
menarik kasar tudung di kepalaku.
“Jangan, Estaban! Tolong lepaskan saya!!!” Rayuku
dengan sisa tenaga yang tidak seberapa. Aku cuba menolak
tangan kasar itu yang rakus menjamah tubuhku tetapi tenaga
lelaki yang sedang dipengaruhi arak itu bukanlah tandingan
untuk aku menangi.
“Merayulah... saya memang nak dengar awak merayu
pada saya!” Ucap Estaban kasar. Bibirnya cuba dilekapkan ke
bibirku. Aku hanya terdaya berpaling daripada memandangnya
dengan air mata yang sudah mengalir di pipi.
Estaban ketawa melihat kedegilanku.
“Saya takkan lepaskan awak. Saya memang dah lama
mengimpikan untuk menikmati tubuh badan awak. Tiada
siapa boleh halang saya sekarang. Cubalah hentikan saya
kalau awak boleh. Atau awak boleh menjerit memanggil nama
Tuhan sekarang. Awak bukan biarawati, masih ingat? Jadi apa
salahnya jika kita berseronok sekejap?” Estaban ketawa-ketawa
lagi mempersendakan aku yang sudah kekalahan. Tangannya
semakin rakus cuba meragut apa yang sedang menutupi tubuh
perempuanku. Namun aku tetap menolak tangan lelaki itu.
“Jangan degil, Insyirah!” Bentak Estaban berang.
“Tolonglah jangan buat saya macam ni...” Rayuku
dengan tangisan yang sudah tidak dapat aku kawal. Aku hanya
melihat masa depanku kian gelap segelap langit yang sedang
berada di atas aku.
“Saya memang nak bawa awak ke parti tu supaya saya
dapat tidur dengan awak lepas tu. Tapi awak tetap menolak!
Jadi saya mesti dapatkan awak dengan cara macam ni,” ujarnya
keras.
“Saya takkan menyerah pada binatang macam awak!”
Aku menjerit kuat sambil cuba menolak tubuh lelaki itu yang
sedang memberat di atas tubuhku. Sedang aku berhempas
pulas melepaskan diri daripada lelaki ini, aku terdengar suara
manusia.
“Tolong...” Aku cuba menjerit untuk menarik perhatian
orang di laluan pejalan kaki. Tetapi dengan pantas Estaban
menekup mulutku dengan sebelah tangannya.
Peluang yang datang segera aku gunakan. Tangan
lelaki itu aku gigit sehingga lelaki itu menjerit keras. Spontan
Estaban segera menarik tangannya daripada mulutku. Aku
terus menendang perut lelaki itu sehingga Estaban tergolek
di atas rumput di sebelahku. Sepantas kilat aku bangun untuk
melarikan diri. Tetapi baru sahaja selangkah aku merangkak
untuk menjauhkan diri, sebelah kakiku berjaya dicapai oleh
Estaban. Tubuhku mula terseret semula ke belakang apabila
ditarik kuat oleh lelaki itu.Tubuhku dibalikkannya lalu ditampar
lagi.
“Kau memang sundal!” Jerkah Estaban amat marah.
Aku menangis tidak berdaya. Hanya tinggal kata-kata yang
mampu aku luahkan untuk menagih belas kasihan lelaki ini.
“Tolonglah jangan buat saya macam ni...” Rayuku
dengan derai air mata.
“Jangan melawan kalau awak tak mahu disakiti,
Insyirah!” Ugut Estaban tajam. Dia merobek bahagian hadapan
bajuku.
“Jangan, Estaban!” Aku menolak lagi.
“Tolong!!!” Aku sempat lagi menjerit untuk menarik
perhatian orang. Tetapi tiada orang lain! Kosong sama sekali
kawasan itu...
Ya Allah! Tolonglah aku... rayuku di dalam hati. Aku
tahu aku sudah tidak berupaya melakukan apa-apa.
“Ameena... Hamizah... tolong aku!” Aku sempat
merintih memanggil dua sahabatku itu. Namun aku sedar tidak
mungkin dua sahabatku itu mampu mendengarnya.
“Diam!” Estaban sekali lagi menampar pipiku dengan
kuat. Aku terus lembik akibat tamparan kali ke tiga itu.
Kepalaku teramat sakit.
“Ya Allah...” Hanya rintihan mendayu itu yang mampu
aku luahkan apabila aku merasakan Estaban hampir berjaya
mendapatkan apa yang paling dihajatkan pada tubuhku ini.
Dengan kudrat yang tidak seberapa, tubuh lelaki itu cuba
kutolak lagi untuk mempertahankan apa yang paling berharga
pada diriku. Namun dengan penolakan selemah itu masih tidak
mampu menghentikan kebinatangan Estaban.
“Ya Allah, bantulah aku...” Akhirnya aku hanya terdaya
mengongoi kekalahan akibat perbuatan durjana lelaki itu.
Rayuanku tiada yang mendengar. Hanya Tuhan yang tahu
betapa sakit yang aku rasakan saat ini.
Malam itu aku tewas juga kepada lelaki itu. Malam
itu telah tertulis di buku takdirku, Estaban berjaya juga
menandakan noda kepada diriku. Tangisanku merupakan satu
kemenangan yang maha besar buat lelaki itu. Setelah puas
membalas dendamnya dengan mengulangi perbuatan itu
berkali-kali, aku ditinggalkan di kawasan itu sendirian dalam
keadaan yang hina.
Terlalu hina sehina perbuatannya itu!
LAPORAN POLIS sudah kubuat. Sudah berjam-jam rasanya
aku berurusan dengan detektif di balai polis itu. Namun lelaki
gemuk itu seperti orang malas sahaja melayan aduanku. Dia
tidak banyak bertanya sebaliknya hanya duduk di hadapanku di
dalam bilik siasatan itu sambil menulis sesuatu.
Aku bersendirian di situ. Sementara Hamizah dan
Ameena diminta menanti di luar. Sejam selepas itu barulah
kelibat Estaban tiba di balai polis itu dengan seorang lagi
pegawai polis. Namun aku lihat dia tidak digari seperti seorang
penjenayah. Estaban diarahkan masuk ke bilik yang sama
denganku. Kami berdua sempat berpandangan. Namun aku lebih
pantas mengalihkan bola mataku ke arah lain. Menggelegak
darahku melihat senyuman sinis yang tersungging di bibir
lelaki itu.
“Dia menuduh awak memperkosa dia, betul ke?” Soal
detektif gemuk bernama Martin itu kepada Estaban. Nadanya
biasa sahaja seolah-olah tiada apa yang penting dengan
perbuatan lelaki itu.
Estaban memandangku tanpa segera menjawab soalan
itu. Bibirnya masih sempat mengukir senyuman kemenangan.
Langsung tidak terlakar rasa gentar sedangkan dia sudah
melakukan satu jenayah yang berat. Jijik aku melihat gayanya
itu. Mahu sahaja aku meludah muka lelaki itu.
“Awak perkosa dia atau awak berdua melakukannya
suka sama suka?” Soal detektif gemuk itu lagi setelah Estaban
tidak menjawab kepadanya. Dia sibuk nak memandangku.
Tersirap darahku mendengar telahan itu. Terlalu
kurang ajar rasanya mulut pegawai polis itu. Semenjak tadi aku
dapat merasakan berlakunya diskriminasi kepada warga asing
seperti aku. Aduanku itu tidak mendatangkan apa-apa reaksi
daripada pegawai polis itu. Detektif Martin sekadar memandang
enteng laporan yang aku buat kepadanya. Namun aku harus
akur, aku terpaksa bersabar memandangkan ini bukan tempat
lahirku. Mungkin cara mereka di sini melayan orang awam
tidak sama seperti mana pihak polis di Malaysia. Semuanya
sama rata.
Estaban tersengih lagi.
“Periksalah dia kalau betul saya sudah perkosa dia. Dia
memang suka ramai lelaki melihat tubuh badannya. Mungkin
awak patut membawa dia untuk diperiksa oleh semua doktor
lelaki di hospital itu. Bogelkan dia dan kamu periksalah setiap
inci tubuh badan dia,” ucap Estaban mengejek.
“Awak ni memang binatang, Estaban!” Jerkahku
sudah tidak tahan dengan kelakuan lelaki itu. Aku terasa mahu
memekik untuk meluahkan perasaanku.
Apakah langsung tidak ada belas kasihan di hati
Estaban atas segala yang terjadi? Estaban hanya tergelak sahaja
sementara pegawai polis itu memandangku dengan muka
serius. Pen yang dipegangnya dihalakan kepadaku.
“Kita harus memeriksa awak untuk memastikan sama
ada terdapat bukti yang awak diperkosa atau tidak. Kita akan
buat ujian klinikal di hospital,” ucap detektif itu kepadaku.
Ujian klinikal? Bagaimana ujian itu dilakukan? Aku
sudah menelan liur sendiri.
“Bagaimana?” Soal detektif itu kepadaku.
Aku akhirnya mengangguk akur juga dalam tidak rela.
Aku sedar yang aku sudah tiada pilihan lain sekiranya mahu
mendakwa perbuatan Estaban. Namun kata-kata Estaban
sebentar tadi kembali menghantui fikiranku. Rasanya tidak
mampu aku membayangkan berapa ramai lelaki yang akan
memeriksa tubuhku nanti. Sanggupkah aku menempuh
keadaan itu? Entah! Aku hanya mampu berserah kepada Yang
Esa untuk menentukannya.
SEBELUM BERGERAK ke hospital aku sempat melihat detektif
gemuk itu bercakap dengan Estaban berdua di dalam bilik
siasatan itu. Aku tidak tahu apa yang mereka bualkan namun
akhirnya aku dapat melihat dua manusia itu berjabat tangan
berdua seolah-olah ada janji yang telah termeterai. Detektif
Martin nampak gembira dengan apa yang Estaban ucapkan
kepadanya. Hatiku semakin tidak sedap melihat keadaan itu.
Aku dibawa ke Hospital King Hedgest dengan
kenderaan polis bersama Ameena dan Hamizah. Hampir
setengah jam aku terkurung sahaja di dalam bilik pemeriksaan
seorang diri. Sementara itu mataku dapat melihat Detektif
Martin sibuk berbual dengan seorang petugas perubatan lelaki.
Mereka bercakap dengan nada perlahan sambil memandang ke
arahku berkali-kali. Sekejap kemudian mereka ketawa pula.
Entah apa yang lucu benar.
Aku tidak tahu sama ada perasaan ini hanya khayalanku
ataupun mereka sememangnya sedang cuba melakukan sesuatu
kepada diriku. Alangkah sukar kurasakan kala ini kerana
setahuku kesemua pelajar jurusan yang melibatkan perubatan
dan farmasi membuat latihan di hospital ini. Sebenarnya ini
adalah hospital milik universiti. Alangkah malunya aku nanti
jika ada pelajar-pelajar lain yang tahu apa yang telah terjadi
kepada diriku.
Selepas puas dibiarkan sendirian, akhirnya petugas itu
mendekatiku bersama Detektif Martin.
“Dia akan memeriksa kamu...” Kata Detektif Martin
sekadar memberitahu.
Aku mahu mengangguk tetapi terasa amat payah.
Dalam diriku, aku benar-benar tidak rela membiarkan lelaki
itu menilik setiap inci tubuhku, biarpun untuk tujuan yang
penting begini. Tubuhku ini bukannya untuk pandangan mata
lelaki asing apatah lagi yang bukan beragama Islam. Mana
hendak aku letakkan mukaku ini di saat dia membelek segala
rahsia milikku? Nauzubillah... aku tidak sanggup!
“Tolong tanggalkan pakaian,” ujar lelaki itu serius.
Spontan aku terus ternganga mendengar arahan
pendek itu. Tanggalkan pakaian? Perlukah itu? Di hadapannya?
Oh! Tidak!
“Untuk apa?” Soalku pantas.
Petugas perubatan itu berpandangan dengan sedikit
senyuman kepada pegawai polis itu. Kemudian dia menggeleng
seolah-olah sedang mengutuk kebodohan soalan yang aku
lemparkan kepadanya. Detektif Martin juga tergelak sinis
bagaikan mengata kobodohanku kerana bertanyakan soalan
sebegitu.
“Kami harus memeriksa awak untuk memastikan
ada kesan DNA orang yang dituduh merogol awak. Kita akan
menghantar sampelnya ke bahagian patalogi. Selain itu saya
juga harus memastikan sama ada adakah benar awak dirogol
atau perhubungan seks itu atas kerelaan awak sendiri. Semuanya
harus dipastikan sebelum mereka membuat pertuduhan di
mahkamah nanti. Ini adalah prosedur wajib bagi semua mangsa
rogol,” jelas petugas itu kepadaku.
“Boleh saya dapatkan petugas wanita untuk memeriksa
saya?” Aku segera membuat pemintaan itu. Tidak kisahlah
prosedur ke apa... yang penting aku tidak mahu berbogel di
hadapan lelaki-lelaki itu.
“Tak terdapat petugas wanita sekarang. Hanya saya
yang bertugas di sini hari ini. Saya yang akan memeriksa awak
sama ada awak suka atau tidak. Awak takde pilihan lain.” Ucap
petugas itu tanpa mahu mempertimbangkan apa yang diminta
olehku.
Aku mula menelan liur kepahitan. Keadaan benarbenar
membuatkan aku berasa tersepit saat ini. Aku sudah
tidak tahu apa yang patut aku lakukan lagi jika orang yang
aku harapkan tidak mahu membantuku. Mereka juga mahu
menjahanamkan aku.
“Apa yang nak dimalukan? Bukan kami orang pertama
yang melihat tubuh kamu, sudah ada lelaki lain yang melihat
tubuh kamu. Malah dia sudah mendapat lebih daripada apa yang
kami dapat,” ujar Detektif Martin sinis sambil tergelak sendiri.
“Apa maksud awak ni, detektif?” Tidak tertahan
akhirnya terhambur kemarahanku. Kalau ikutkan hati, mahu
sahaja aku tampar mulut lelaki gemuk itu yang biadab.
“Masalah rogol adalah jenayah berat di sini. Bukan
awak sahaja yang pernah mengalaminya tetapi ramai lagi.
Tetapi dengan lelaki ternama seperti Estaban Joseph Buhler
tu, saya tak rasa awak akan berjaya mendapatkan pembelaan
yang awak mahukan. Keluarga dia kaya dan banyak pengaruh
di sini. Bapa dia pasti akan mendapatkan pembelaan yang
terbaik untuk anaknya. Awak hanya memalukan diri sendiri.
Semua ini bukannya semudah yang awak bayangkan. Tengok
sahaja sekarang, baru saya meminta lelaki ini memeriksa, awak
sudah tidak sanggup. Setiap apa yang kami periksa nanti akan
didedahkan di mahkamah untuk pemerhatian juri. Awak juga
terpaksa berdiri di hadapan orang ramai di dalam mahkamah
untuk menceritakan apa yang berlaku kepada awak,” ujar
Detektif Martin itu cukup selamba.
Aku terus terdiam mendengar kata-kata pegawai polis
itu. Sesungguhnya selama ini aku tidak tahu tentang semua itu.
Aku memang tersilap kerana tidak pernah mengambil tahu apa
yang akan dilakukan kepada wanita yang menjadi mangsa rogol
sepertiku. Kerana hari ini aku sama sekali tidak menyangka
aku akan digolongkan bersama beribu-ribu wanita lain yang
menjadi mangsa kepada jenayah itu. Aku benar-benar tidak
tahu segala prosedur yang diperlukan untuk wanita yang sudah
diperkosa. Alangkah naifnya aku...
“Kita boleh mulakan sekarang kalau awak mahu.
Saya akan melakukannya dengan cepat. Tetapi saya tetap
perlu meminta awak menanggalkan pakaian dan saya perlu
melakukan pemeriksaan kepada vagina awak, apakah terdapat
koyakan pada selaput dara atau tidak,” ujar petugas itu sambil
mendekatiku.
“Jangan!” Bentakku terus menggelabah. Tebal wajahku
menahan malu bagaikan tidak dapat diukur. Bagaimana untuk
aku membiarkan lelaki itu menyentuh dan memeriksa bahagian
yang terlalu sulit pada diriku ini?
Petugas itu tersentak mendengar jerkahanku. Dia
menatap Detektif Martin dan mula tersenyum penuh makna.
Mereka sedang meraikan suatu kejayaan melalui pandangan
mata dan senyuman mereka.
“Takkan saya tidak boleh mendapatkan petugas
wanita untuk memeriksa saya? Saya telah diperkosa, masakan
saya harus membiarkan lelaki juga menyentuh saya untuk
mendapatkan bukti perbuatan binatang itu? Panggillah sesiapa
sahaja asalkan dia perempuan. Tolonglah!” Aku cuba merayu
lagi.
“Dalam soal ini tidak wujud ketidaksamaan kaum.
Lelaki atau wanita yang memeriksa kamu tidak penting. Apa
yang penting, kami dapat membuktikan apa yang awak katakan
itu benar,” jawab petugas lelaki itu.
“Bagaimana saya tahu awak benar atau tidak? Dektektif,
saya nampak awak bercakap dengan Estaban sebentar tadi.
Saya tak tahu apa yang awak bincangkan dengan dia tapi saya
tahu dia sudah tentu ada menawarkan awak sesuatu kerana dia
kaya, seperti yang awak katakan tadi. Mungkin awak hanya nak
mempermainkan saya,” bentakku kepada detektif gemuk itu.
Mungkin aku sekadar menuduh tanpa bukti tetapi
demi Allah aku melihat semua itu dengan jelas. Tidak mungkin
Estaban akan mengaku salah begitu sahaja. Dan apa perlunya
lelaki yang seharusnya menjadi penegak keadilan ini berjabat
tangan dengan rianya bersama penjenayah seperti Estaban itu?
“Awak menuduh saya ke?” Soal Detektif Martin keras.
Aku sudah benar-benar tertekan sehingga air mataku
mula mengalir. Di sekelilingku ini bukan hanya ada Estaban
yang menanti untuk melihat hidupku musnah. Tetapi tidak
ketinggalan lelaki-lelaki ini juga. Aku sudah mula terasa
kekalahan sedang berada di pihakku. Duniaku terasa gelap. Aku
sedar kudratku tidak sekuat mana untuk menahan segalanya.
Dengan kasar aku menyeka air mata di pipiku.
“Saya bukannya buta. Lelaki macam awak tak kurang
sama saja macam binatang tu. Saya tak tahu apakah saya boleh
percayakan awak. Sebab itu saya mahukan petugas wanita
yang memeriksa saya. Kenapa awak tak faham?” Rayuku dalam
esakan halus.
“Tidak ada petugas wanita di sini! Sama ada awak
merelakan dia memeriksa awak atau saya akan sumbat awak
ke lokap kerana cuba membuat laporan palsu! Pilih yang mana
awak suka! Awak harus ingat, lelaki yang awak tuduh itu adalah
lelaki kenamaan di sini. Jangan nanti, awak yang kembali
mendapat susah kerana aduan awak sendiri!” Dengan jerkahan
itu Detektif Martin memarahi aku semula.
Akibat tidak sanggup lagi menentang ini semua, aku
terus bangun dari katil pemeriksaan itu. Aku sudah tidak tahu
sama ada aku harus terus berada di situ atau pergi sahaja. Tetapi
apa yang aku benar-benar tahu, aku memang tidak sanggup
membiarkan lelaki-lelaki ini melihat diriku tanpa pakaian. Aku
nekad berlari keluar dari bilik itu. Rempuhan kuat pada pintu
bilik itu memeranjatkan Hamizah dan Ameena yang sedang
duduk menanti di kerusi di hadapan bilik itu. Dalam terpingapinga
mereka mengejarku yang berlari keluar dari kawasan
hospital itu.
“Syira, kenapa ni?” Soal Ameena tidak mengerti
apabila dia terhenti di sisiku di kawasan luar hospital. Aku
sudah menangis tersedu-sedu.
“Dia tu binatang, Meen. Dia nak hancurkan hidup
aku...” Aku terus menghamburkan tekananku dalam esakan
yang tidak tertahan.
“Siapa? Estaban ke? Apa dah jadi ni? Kau dah diperiksa
ke belum?” Soal Ameena bertubi-tubi. Dia panik melihat
keadaan aku begitu.
Aku hanya mampu menggeleng dengan tangisan yang
semakin kuat. Hatiku sudah hancur lumat saat ini. Entah apa
dosaku sehingga perkara ini boleh terjadi kepadaku. Hakikatnya
aku tidak rela membiarkan dua lelaki itu menjadi orang yang
seterusnya mencemarkan maruahku, sesudah aku dicemari
oleh binatang bertopengkan manusia seperti Estaban. Mengapa
di bumi penjajah ini keadilan untuk diriku terlalu sukar? Hanya
kerana aku seorang perempuan? Atau kerana aku orang miskin?
“Kenapa kau tak diperiksa?” Hamizah pula yang
menyoal.
“Dia dah rasuah polis tu. Aku tahu polis tu bukan
sebenarnya nak membantu aku tetapi dia nak memalukan aku.
Aku tak sanggup, Izah. Diaorang tu lelaki. Diaorang nak aku
tanggalkan pakaian depan diaorang. Aku malu, Izah. Aku tak
sanggup!” Kataku dalam tangisan yang tidak dapat ditahan.
Hamizah dan Ameena terdiam sambil berpandangan.
“Aku dah minta pegawai wanita untuk memeriksa aku,
tapi mereka tak benarkan...” Aku terus menangis teresak-esak
tanpa rasa silu di situ. Beberapa orang yang lalu-lalang sempat
memandang kami dengan pandangan yang pelik.
“Ya Allah, Syira... Apa kita nak buat ni? Takkan kita nak
lepaskan jantan tu macam tu aja?” Hamizah ikut kebuntuan.
“Aku nak bunuh dia, Izah. Biar aku sama-sama mati
dengan dia. Aku nak cari dia...” Dalam keadaan hati yang
rapuh itu aku nekad memasang niat mahu membalas dendam.
Langkah terus aku atur untuk keluar dari situ. Hanya satu yang
aku mahu. Binatang bernama Estaban itu! Tetapi belum sempat
aku pergi jauh, Ameena sudah menarik aku.
“Syira, sabar dulu. Jangan ikutkan hasutan iblis. Kalau
kau buat begitu, macam mana dengan mak dan abah kau? Pasti
ada caranya, Syira. Jangan macam ni,” pujuk Ameena sambil
memegang erat lenganku, cuba menghalang tindakan nekadku
itu.
“Cara apa, Meen??? Dia banyak duit. Dia boleh buat
apa yang dia suka. Semua orang dia boleh bayar. Aku apa yang
ada? Semuanya dah musnah!” Aku meluahkan perasaan yang
tertekan dengan nada yang kuat. Aku sudah tidak tahan lagi.
Semenjak dari mula aku mengenali lelaki itu, hanya kesakitan
yang dia berikan kepadaku. Kenapa mesti aku yang menjadi
mangsanya?
“Jangan, Syira. Bawa mengucap, ingat Allah!” Hamizah
terus memelukku untuk menenangkan aku.
“Beristighfarlah, Syira. Allah ada dengan kita. Kalau
kita tak mampu balas perbuatan dia, biar Allah yang balas. Doa
orang yang dianiaya akan dimakbulkan Allah,” bisik Hamizah
saat dia memelukku.
Aku terus menangis di situ. Sesungguhnya aku buntu
dengan apa yang perlu dilakukan untuk membawa Estaban ke
muka pengadilan. Apakah kerana aku menumpang sahaja di
sini, maka aku tiada hak untuk mendapatkan pembelaan setelah
dianiaya oleh orang lain?
“Apa kita nak buat ni, Izah?” Keluh Ameena semakin
kebuntuan. Hamizah diam sahaja. Agaknya dia juga ketandusan
akal. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan untuk membantu
aku. Kemudian aku terdengar dia mengeluh panjang.
Bagiku selain membunuh lelaki bajingan itu, sudah
tiada jalan lagi untuk aku mendapatkan pembelaan buat diriku.
Hidupku sudah hancur semuanya. Rasanya lebih baik aku mati
sahaja daripada terus hidup dalam keadaan seperti ini. Tetapi
sayangnya, aku tidak mahu mati dalam keadaan berputus asa
kepada Allah.
Estaban... aku tidak akan memaafkan kau atas apa yang
kau dah lakukan kepada aku hari ini. Mungkin dengan wang
ringgit kau boleh menutup segala kekejian yang sudah kau
lakukan. Tetapi kebenaran tetap kebenaran. Suatu hari nanti
balasan Allah akan sampai juga. Tidak akan ada ruang kemaafan
dalam hidupku ini untuk lelaki sekeji kau! Hutang darah dibayar
dengan darah. Tetapi hutang sengsara, maka sengsara jugalah
bayarannya! Tidak akan ada kemaafan sama sekali biarpun kau
datang merangkak dan melutut di hujung kakiku ini! Tak akan!
No comments:
Post a Comment