KETUKAN pada pintu bilik membuatkan aku
segera menoleh dari meja belajarku. Hamizah terjengul di
ambang pintu yang terbuka luas.
“Ada orang nak jumpa kau. Dia tunggu kau kat depan,”
ucap Hamizah sambil memandang seketika ke arah pintu
rumah kami. Aku terus mengerut kening.
“Siapa?” Soalku hairan.
“Pergilah tengok sendiri. Aku pun tak tahu kenapa
dia sampai datang ke sini,” ucap Hamizah sambil menjongket
bahunya sedikit.
Kata-kata yang sebegitu membuatkan aku semakin
kehairanan. Rasa tertanya-tanya membuatkan aku terus
bangun lalu terus pergi melihat siapa yang datang. Namun
sebaik sahaja terpandangkan tetamu itu, mataku terbuntang
memandangnya. Sepantas yang mungkin aku berlari masuk
semula ke dalam bilik. Mangkuk ayun punya Hamizah! Kenapa
dia tak cakap yang datang tu lelaki? Getus hatiku sebal dalam
pada aku kalut mencari tudung untuk menutupi rambutku.
Selesai mengemaskan rambut ke dalam tudung, aku
keluar semula untuk mendapatkan tetamu yang paling tidak
diundang itu. Sempat juga aku mencapai jaket untuk melitupi
tubuhku daripada kedinginan luar musim luruh. Juga pada
mata si Estaban itu!
“Awak nak apa datang sini?” Soalku setelah berada di
hadapan lelaki itu. Pintu rumah kurapatkan bagi mengelakkan
dia melihat lebih jauh apa yang ada di dalam rumahku itu.
Estaban tidak menjawab sebaliknya dia sekadar
merenungku lama. Aku mula naik segan melihat gelagatnya.
Ada apa-apa yang tak kena ke dengan tudung aku ni? Senget ke?
Ke aku pakai tudung terbalik? Rasanya dah okey... aku sempat
meraba-raba kepalaku untuk memastikan apa yang bermain
dalam fikiranku itu tidak terjadi.
“Rambut awak cantik sangat...” Ucapnya lembut dalam
pada bola matanya masih tidak terkalih daripada wajahku.
“Awak datang sini semata-mata nak tengok rambut
saya ke?” Ucapku dengan kerlingan ekor mata. Estaban tunduk
seketika sambil menghela nafas.
“Saya nak minta maaf dengan awak pasal kejadian hari
tu. Saya tak sengaja berkasar dengan awak. Saya tahu, saya dah
biadab dengan awak,” ujar lelaki itu perlahan sahaja.
Aku terdiam memandangnya. Dia minta maaf? Betul
ke ni? Macam tak percaya pulak aku.
“Saya susah hati sangat bila tak dapat bercakap dengan
awak. Saya rindukan awak, Syira...”
Spontan aku mula mengeluh dalam diam. Bab yang
minta maaf tadi memang aku suka. Tapi bab-bab rindu ni,
semua memang aku tak gemar!
“Kalau awak nak saya maafkan awak, saya boleh
maafkan. Saya pun nak minta maaf sebab saya pun dah terlepas
cakap hari tu. Tapi pasal rindu tu...”
“Takpe... saya faham, Insyirah. Awak tak sukakan saya.”
Estaban memintas dengan nada lembut sebelum sempat aku
menghabiskan kata.
Baguslah kalau kau faham! Aku pun dah bosan ulang
benda yang sama setiap masa... detik hatiku sendiri.
“Insyirah, saya akan berubah kalau awak sudi beri saya
peluang. Sekurang-kurangnya sebagai kawan awak. Tolonglah
jangan hampakan saya lagi,” rayu Estaban bersungguhsungguh.
Tidak cukup itu kelopak matanya sengaja diredupkan
cuba menagih simpati daripadaku.
“Estaban...”
“Saya tahu apa yang awak nak cakapkan. Tapi saya
minta kali ni awak jangan pandang saya macam dulu lagi.
Bagilah saya peluang untuk perbetulkan diri saya. Saya betulbetul
sayangkan awak,” pintas Estaban sebelum aku dapat
meluahkan penolakanku kepadanya.
Aku mengeluh resah dengan rayuan lelaki itu.
Bukannya aku mahu menyombong atau memandang rendah
kepadanya. Tetapi ada perkara yang tidak mampu aku berikan
kepadanya walaupun dia melutut di hujung kakiku. Aku tidak
ada perasaan cinta kepadanya! Aku sendiri pun tak faham
kenapa dalam seramai-ramai perempuan yang mungil... yang
seksi... yang sanggup tergedik-gedik kepadanya, aku pula yang
dirayunya.
“Insyirah, tolonglah jangan menolak saya lagi. Saya
cuma nak sedikit ruang untuk dekat dengan awak tanpa perlu
kita bermusuh macam sebelum ini. Tolonglah...”
“Saya tak mahu beri awak harapan palsu, Estaban.
Ramai lagi di luar sana yang sanggup buat apa saja untuk awak.
Kenapa saya pulak yang awak cari?” Keluhku perlahan.
“Saya jatuh hati pada awak semenjak mula saya
nampak awak dulu. Saya tahu perasaan ni bukan main-main.
Saya hampir gila memikirkan awak setiap hari. Saya tak mampu
lupakan awak walaupun saya pernah mencubanya sebelum ini,”
ujar Estaban lemah.
Aku terdiam menahan rasa terkejut mendengar
ucapannya itu. Aku tidak sangka dia seserius ini. Aku sangka
dia sekadar mahu ‘menggatal’ denganku sepertimana dia sering
menggatal dengan perempuan-perempuan lain.
“Saya tak tahu nak cakap apa, Estaban...” Luahku
perlahan. Estaban menelan liur dengan wajah sedikit keruh.
“Saya tahu saya kaki perempuan. Tapi selama saya
berada dengan mereka semua, saya tak pernah rasa macam ni.
Saya asyik memikirkan awak bila saya ada dengan perempuan
lain. Awak tahu kan apa maknanya tu semua?” Dia membalas
cukup lembut.
Aku terdiam lagi memandang muka seposen Estaban.
Bab merayu... memang serahlah kat dia ni! Agaknya kalau
masuk pertandingan mesti dapat tempat pertama. Aku pulak
yang mula rasa serba salah sekarang.
“Saya cuma nakkan sedikit perhatian daripada awak.
Jangan layan saya macam musuh awak. Saya terseksa bila
tengok awak membenci saya,” ujar Estaban lagi.
Aku terus diam sambil berfikir sendiri. Sekadar
kawan... apalah salahnya. Kalau dengan orang lain aku boleh
berbaik, takkanlah dengan dia ni aku nak menyombong
sepanjang masa? Tengok muka dia tu pun aku dah tak tahan.
Kesian betul! Macam muka budak kecik hilang mak kat pasar
raya aja. Lagipun aku sebenarnya dah letih bertengkar selalu
dengan Estaban. Jadi apa salahnya kalau kami berkawan sahaja.
Maksudnya kawan biasa ya... jangan terlebih-lebih feeling pulak!
“Okeylah...” Jawabku akhirnya.
“Apa yang okeylah?” Soal Estaban mula bersemangat
semula.
“Saya terima awak sebagai kawan saya. Tapi kawan
aja tau! Awak jangan nak perasan yang saya dah terima cinta
awak. Jangan paksa saya buat benda yang saya tak suka,” kataku
serius.
Estaban terus menyeringai mendengar kata-kataku
itu. “Saya faham...” Ujarnya mula ceria.
“Kalau macam tu... boleh saya ajak awak makan malam
dengan saya malam ni?” Ucapnya terus tanpa menunggu lagi.
“Makan makan, keluar bersama... itu hanya termaktub
dalam syarat sebagai kekasih awak. Jadi jawapannya sudah
tentulah tak boleh!” Balasku selamba.
“Kalau takde apa-apa lagi, lebih baik awak balik. Saya
tak mahu nanti kawan serumah saya cakap apa pulak bila
nampak awak kat sini,” tambahku pantas.
Tiba-tiba wajah itu mendung semula.
“Takkanlah awak nak suruh saya balik?”
“Habis tu, takkan pulak saya nak ajak awak tidur kat
rumah saya ni?” Balasku dengan pandangan sedikit mencerun
kepadanya. Apa lagi dia nak? Aku dah setuju jadi kawan dia,
takkanlah dia nak bertamu tangga kat sini pulak!
Estaban termangu seketika memikir sesuatu. “Saya
nak ajak awak keluar dengan saya. Kita pergi jalan-jalan di
London. Mahu?” Ajaknya lembut.
Aku menghela keluhan perlahan. Rasanya tadi aku
cakap bahasa Inggeris. Bukannya bahasa Jawa... bukannya
bahasa Zimbabwe... bukannya bahasa Sudan ke... Kenapa dia ni
tak faham jugak?
“Saya dah pernah ke sana. Takde apa yang menarik
pun...” Balasku dengan riak wajah kosong tanda tidak berminat
dengan ajakan itu.
“Apa gunanya awak jadi kawan saya kalau keluar
dengan saya pun awak tak sudi?” Cebirnya mula buat muka
merajuk.
“Saya cuma kawan awak. Sebagai kawan tak semestinya
saya kena keluar dengan awak. Lagipun keluar berdua dengan
lelaki, itu bukan amalan saya.” Aku membalas selamba. Sedikit
pun tidak terusik dengan olahnya.
“Awak ni jual mahal betullah!” Getusnya sudah mula
berputus asa kepadaku.
“Suka hati awaklah nak cakap apa. Baliklah lekas. Saya
nak study ni...” Estaban mencebik sendiri dengan ketegasanku.
Aku sekadar menjeling tanda malas mahu melayannya lagi.
Apabila melihat dia mula berpaling mahu pergi, aku segera
mengucap syukur di dalam hati.
Setelah dia mengatur langkah berlalu, aku mula
membuka pintu rumah. Namun seketika kemudian aku terkejut
apabila terasa sesuatu yang lembut dan hangat melekap sesaat
di pipiku. Apabila aku menoleh, aku lihat wajahnya berada
cukup dekat dengan pipiku. Spontan aku menjauhinya.
“Apa awak buat?” Bentakku geram. Kurang ajar betul!
Estaban terus tersengih. Menang!
“Akhirnya saya dapat cium awak...” Ujarnya selamba
tanpa rasa bersalah.
“Awak ni memang kurang ajarlah!” Geram betul aku
melihat sengihnya.
“Opps! Awak dah terlambat. Saya dah pun cium awak
tadi. Bye...” Dengan muka selamba dia terus berlalu.
Aku terpaku memandang lagak Estaban. Apa yang
baru berlaku sebentar tadi macam mimpi pula kurasa. Kenapa
aku bodoh sangat? Dah tahu dia tu memang kaki kelentong
perempuan... yang aku pergi bagi muka kat dia buat apa? Padan
dengan muka aku!
DI KAMPUS kami berperang lagi...
Aku benar-benar tidak boleh bertahan dengan lagak
Estaban. Sudahlah sebelum ini dia dengan berani mencium
pipiku. Sekarang lain pula ceritanya. Janji yang kami ukir
bersama dahulu sudah tidak lekat lagi dalam benaknya.
“Saya sebenarnya dah cukup letih nak buat awak faham
pendirian saya. Estaban, saya tak mahu! Awak nak saya cakap
bahasa apa supaya awak tak ajukan benda yang sama banyak
kali? Awak ingat saya tak tahu ke apa yang awak cuba buat ni?”
Bentakku sudah tidak boleh bersabar lagi dengan gelagatnya.
“Saya cuma nak ajak awak temankan saya ke sana.
Sekejap pun jadilah!”
“Saya cakap saya tak nak. Susah ke nak faham???” Balas
aku meninggi. Estaban terdiam merenung wajahku. Aku tahu,
dia sudah mula muak dengan penolakanku. Siapa suruh ajak
aku? Ajaklah yang kaki parti macam dia!
“Saya dah malas nak layan awak lagi. Awak bukannya
nak faham! Benda yang saya tak suka, itulah yang awak nak
buat. Ini ke yang awak kata nak berubah sangat?” Soalku tajam.
Malas mahu memandangnya, aku pandang ke arah lain.
“Takkanlah saya nak ajak bersosial sikit pun awak tak
mahu? Saya janji takkan suruh awak ambil alkohol. Saya tahu
Islam melarang umatnya minum alkohol. Saya cuma nak awak
bergaul dengan kawan-kawan saya yang lain. Salah ke?” Ujar
Estaban pula.
Aku ketawa sinis mendengar alasannya itu. Apa dia
fikir dengan berkata begitu aku mudah meletakkan kepercayaan
kepada dia? Minta maaflah!
“Kalau saya nak bersosial pun... tak perlu dengan
parti-parti tu semua. Selama ni saya bersosial jugak. Tapi
dengan cara saya! Saya tak paksa awak ikut cara saya. Dan awak
pun janganlah nak paksa saya ikut kehendak awak pulak! Apa
perlunya awak nak bawak saya ke sana. Saya bukannya teman
wanita awak! Hidup awak takde kena-mengena pun dengan
saya!” Aku menjawab tajam.
“Awak ni degil betullah!” Estaban pula membentak
kepadaku.
“Syukur seribu syukurlah kalau awak cakap saya ni
degil. Jadi lepas ni tak payahlah awak pasang impian nak bawak
saya ke tempat-tempat macam tu lagi ya? Itu bukan dunia
saya!” Jawabku tegas. Estaban mendengus tidak senang dengan
bicaraku.
“Saya nak balik ni. Sebab awak, Ameena dah tinggalkan
saya!”
“Saya hantar awak?” Pelawanya pantas.
“Saya tak nak!” Jawabku keras. Kalau berdua sahaja,
macam-macam dia boleh buat pada aku. Kalau sebelum ni cium
kat pipi... kalau dah dalam kereta? Mintak jauhlah!
“Awak memang tak ikhlas nak kawan dengan saya,
Insyirah!” Keluhnya kecewa dengan penolakanku. Aku tergelak
entah kenapa. Geli hati pula mendengar kata-katanya.
“Oh! Awak tahu apa itu ikhlas ya? Tapi bila awak
melampaui batas yang saya benarkan, ada awak fikir yang awak
ikhlas ke tidak dengan saya? Macam tu caranya awak nak saya
ikut awak ke sana, ke mari? Saya memang tak pernah percayakan
lelaki pembohong macam awak ni, Estaban. Jangan fikir awak
boleh kelentong saya lagi. Saya tahu awak sebenarnya anggap
saya ni sama macam perempuan-perempuan lain. Saya tahu
sebenarnya awak nak pengaruhi saya supaya ikut cara awak.”
“Saya tak tipu bila saya cakap yang saya sukakan
awak...”
“Saya pun tak tipu bila saya cakap saya langsung takde
hati pada awak. Jadi awak berhentilah ganggu saya lagi. Saya tak
inginkan ni semua,” ucapku nekad.
“Apa maksud awak?” Estaban sedikit terkejut
mendengar bicaraku.
“Saya rasa kita memang tak sesuai jadi kawan. Apatah
lagi lebih daripada itu. Jadi awak teruskanlah dengan kehidupan
awak yang macam ni dan saya terus dengan kehidupan saya.
Sekurang-kurangnya kita tak saling menyakitkan hati masingmasing,”
ujarku tanpa perasaan.
“Tapi awak dah kata nak beri saya peluang,” bantah
lelaki itu sedikit keras.
“Peluang?” Aku sempat ketawa kecil.
“Peluang untuk apa? Untuk awak sentuh saya sesuka
hati awak? Peluang untuk awak pujuk saya ke parti liar dengan
awak? Lepas tu apa akan jadi? Awak nak pujuk saya ikut awak
balik ke rumah awak? Awak fikir saya tak tahu ke, apa yang
bermain dalam otak awak tu?” Tekanku agak keras.
“Awak ni memang kolotlah, Insyirah. Salah ke kalau
saya nak berseronok dengan perempuan yang saya suka?”
Bentaknya agak keras.
“Untuk awak tak salah. Tapi untuk saya, itu memang
salah! Dahlah! Saya dah bosan tengok muka awak. Saya nak
balik!” Tegasku malas sudah mendengar kata-katanya. Semakin
banyak dia bercakap, aku semakin muak. Tanpa menunggu lagi,
aku terus meninggalkannya.
“Insyirah, nanti dulu...” Estaban mula mengekoriku.
Lenganku terus ditariknya sehingga aku terdorong semula
kepadanya.
“Awak jangan nak melampau, Estaban! Awak ni
memang jenis muka tak tahu malu! Awak tak faham ke yang
saya tak suka awak?” Jeritku sudah hilang sabar.
Beberapa orang pelajar yang lalu-lalang sempat
memandang kami. Ada yang memandang lama kepada Estaban.
Estaban terpaku melihat gelagatku. Wajahnya mula bertukar
warna.
“Awak nak saya cakap macam mana lagi? Saya dah
bosan dengan semua ni!” Jeritku masih tidak puas meluahkan
kemarahan kepadanya.
Melihat dia sekadar terpaku, aku akhirnya berlalu
segera meninggalkan kawasan itu. Bimbang dia mengekori
lagi, langkah aku hayun selaju mungkin meninggalkan
kawasan rekreasi itu untuk ke pintu pagar utama. Kali terakhir
aku menoleh, Estaban masih terpaku di tempat yang sama
memerhatikan aku.
SETIBA AKU di rumah, aku terus diterpa oleh Ameena.
“Kau okey ke? Kau gaduh lagi dengan si syaiton tu?”
Soal Ameena masih dibaluti kerisauan melihat wajah ketatku.
“Hmm... apa lagi?” Balasku hambar. Muak mendengar
tentang lelaki itu.
“Apa pulak dia buat kat kau kali ni?”
“Ada ke dia ajak aku pergi parti dengan kawan-kawan
dia? Heee... memang saja nak cari gaduhlah tu!” Getusku
semakin tidak senang bercakap tentang lelaki itu. Ameena
sedikit terpaku mendengar ceritaku. Namun dia cepat-cepat
mengekori aku ke bilik untuk mengetahui kisah selanjutnya.
“Habis tu... apa kau cakap pada dia?”
“Aku cakap aku tak nak. Bila dia tak faham, aku
hadiahkan dia maki hamun sebakul. Baru padan dengan muka
dia. Geram betul! Menyemak aja depan mata orang,” bebelku
kerana rasa bengang dengan gelagat lelaki itu. Bila diberi muka,
inilah jadinya.
“Teruk betullah dia tu, kan?” Omel Ameena ikut geram
dengan gelagat Estaban.
“Dia tu bukan setakat teruklah... memang betul-betul
teruk! Aku dah tak tahu nak gambarkan apa, lelaki macam dia
tu. Muka tembok pun tak macam tu sekali teruknya. Dalam
banyak-banyak perempuan kat kampus tu, aku jugak yang dia
nak kacau. Aku pun tak faham apa yang dia nak daripada aku
sebenarnya.” Aku mendengus lagi tentang lelaki itu.
Ameena menghela keluhan sendiri mendengar katakataku
itu. Dia pun sudah buntu tidak tahu bagaimana mahu
membantuku. Sedang aku menyalin pakaian di dalam bilik,
tiba-tiba aku terdengar pintu hadapan dibuka seseorang.
Sangka kami Hamizah yang pulang. Namun kelibat Nenny yang
melintas di hadapan bilikku. Bagus!
“Nenny...” Panggilku segera sebelum sempat gadis itu
masuk ke biliknya.
“Apa?” Jawabnya selamba. Langkahnya terhenti di
hadapan pintu bilikku yang terbuka luas.
“Aku nak cakap sikit ni. Maaflah kalau apa yang aku
cakap ni kedengaran kasar.” Aku terus bangun mendekati
Nenny.
“Apa dia?” Soal Nenny sambil memandang aku dan
Ameena bergilir.
“Aku nak ingatkan kau, aku tak suka kau jaja-jaja hal
aku pada si Estaban tu lagi. Minta tolong sikit eh! Hal aku jangan
cerita lagi pada dia,” ucapku serius. Wajah Nenny berubah.
“Apa kau cakap ni? Aku tak tahu apa-apa pun!”
Getusnya dalam sedikit kegelabahan
“Aku dah tahu siapa budak dalam rumah ni yang suka
sangat nak jadi spy untuk si Estaban tu. Sebab tu dia tahu
semua tentang aku. Sampai rumah ni pun dia tahu! Itu semua
kerja kau, kan?” Ucapku serius.
“Eh! Mana ada. Siapa cakap dengan kau ni?”
“Siapa yang cakap itu tak penting. Aku cuma nak kau
hentikan tabiat buruk kau tu. Aku tak suka ada kena-mengena
dengan si Estaban tu. Kalau kau suka sangat nak layan dia,
kau layanlah. Tapi jangan ajak aku sekali! Aku tak mahu dia
mengekor aku ke mana aku pergi.” Dengan selamba aku
‘membasuh’ si Nenny itu.
“Mana ada aku buat semua tu. Kau jangan sedap tuduh
aja, Syira. Si Estaban tu ada petik nama aku ke?” Bidas Nenny
sedikit meninggi.
“Tak payahlah kau nak berlakon lagi. Kalau aku nak
tahu siapa barua dia dalam rumah ni, aku boleh tanya dia
sendiri. Tapi kau kena ingat... kalau aku dah mula tanya pada
dia, mungkin lepas ni kau kena pakai purdah depan kami
semua. Kau faham? Aku benci orang yang hipokrit ni. Dah buat
salah tak mahu mengaku pulak! Aku ada ganggu hidup kau ke?”
Jawabku lancang. Betapa geramnya aku melihat muka tidak
bersalahnya itu.
Nenny terpaku menelan liur memandangku. Mungkin
dia terkejut melihat aku segarang ini.
“Apasal kau diam?” Usik Ameena sambil tersengih
kepada Nenny.
Pintu utama yang dibuka seseorang membuatkan kami
bertiga menoleh serentak ke arah yang sama. Hamizah masuk
ke rumah itu dengan muka selamba. Bagus! Detik hatiku
sendiri. Hamizah terus mendekati kami. Saat memandang aku
dan Nenny saling berhadapan, wajahnya mula memaparkan
tanda tanya sendiri.
“Ada apa ni?” Tanya Hamizah sambil memandang kami
silih berganti.
“Baguslah kau dah balik, Izah. Saat yang paling tepat,”
ucapku sambil memandang Nenny semula.
“Aku ingat bila kau tak suka bergaul dengan kami,
kau tak ganggu hidup kami. Kami pun tak pernah kacau gaya
hidup kau, Nenny. Tapi bila kau jaja-jaja pasal aku pada mamat
tak guna tu, aku memang dah tak boleh sabar lagi. Akibat
perbuatan kau, hari-hari dia datang ganggu aku. Sampai dia
datang cari aku kat rumah ni. Aku keluar pergi Bismillah pun
dia ada menyemak kat situ. Nenny, aku ke sini nak study. Bukan
nak layan semua benda mengarut ni. Kau boleh guna cara lain
nak dapatkan duit dia. Asalkan jangan guna nama aku, yang lain
aku tak mahu ambil tahu!” Tekanku terus mengeraskan nadaku
kepada Nenny.
“Kau jangan nak menuduh aku tanpa buktilah, Syira.”
Nenny tetap bertegas menafikan tuduhanku. Aku segera
memandang Hamizah.
“Kau beritahu aku siapa yang cakap dengan kau pasal
dia ni jadi barua Estaban?” Ucapku kepada Hamizah.
“Ryan dengan Darien...” Jawab Hamizah perlahan
sahaja. Serentak itu aku memandang Nenny. Wajah gadis itu
sudah pucat di hadapanku.
“Kalau kau nak aku tanya Estaban sendiri, aku tak
kisah...” Sambutku sengaja mahu menakutkan Nenny.
“Habis tu kalau kau dah tahu aku yang kecoh pasal
kau dekat dia, apa kau nak buat? Kau nak pergi komplen dekat
embassy ke?” Ejek Nenny selamba.
Aku ketawa perlahan mendengar kata-katanya itu.
“Nak buat apa aku pergi komplen pada embassy pasal
kau? Pegawai kat embassy tu pun tak ingin nak dengar cerita
pasal perangai buruk kau ni. Banyak lagi kerja dia orang boleh
buat selain tu! Cukuplah kalau aku pindah dari rumah ni aja.
Kita tengoklah berapa sebulan duit sewa kau nak kena bayar
pada tuan rumah ni,” balasku selamba.
“Kalau Syira pindah, aku nak ikut...” Sampuk Ameena
selamba.
“Aku pun sama...” Sambut Hamizah pula.
Semakin tidak terkata Nenny dibuat oleh kami saat itu.
Dengan muka berkerut dia terus berpaling masuk ke biliknya.
Walaupun tidak kedengaran ucapan maaf dari mulut Nenny,
namun aku tetap puas. Aku harap selepas ini dia tidak akan
ulangi lagi perangai buruknya itu.
“Padan muka...” Cemuh Ameena ikut berpuas hati
dengan keadaan itu.
“Akhirnya kau bagi jugak pengajaran pada dia, Syira.
Well done!” Ucap Hamizah sambil menepuk bahuku perlahan.
Dia terus masuk ke biliknya untuk meletakkan barangbarangnya.
Aku yang masih terpaku di situ memandang permukaan
pintu bilik Nenny yang bertutup rapat. Masih ada rasa sakit hati
yang bergaung di dalam. Ikutkan hati, mahu sekarang juga aku
berpindah ke rumah lain. Baru padan dengan muka dia. Padan
dengan muka aku jugak... duduklah tepi jalan!
No comments:
Post a Comment