HARI ini suasana kampus memang agak lengang.
Aku mula merasa sedikit bebas untuk bergerak di dalam kawasan
bangunan kolej ini tanpa kesesakan pelajar-pelajar. Kini yang
masih tinggal di dalam kawasan kolej ini hanya mereka yang
tidak beragama Kristian.
Petang ini aku bersendirian sahaja. Ameena ada
urusan lain. Namun kami sudah berjanji akan pulang bersama
nanti. Sebelum ke perpustakaan aku memilih untuk mengisi
perut seketika di kawasan riadah pelajar-pelajar. Di sana ada
kemudahan meja dan kerusi untuk pelajar-pelajar duduk
melepak atau belajar secara berkumpulan. Sambil makan, boleh
juga menikmati pemandangan sekeliling.
Setelah memilih satu meja kosong, aku terus membuka
bekal makanan yang kubawa dari rumah. Namun baru masuk
suapan pertama ke mulut, aku dikejutkan dengan kehadiran
seseorang yang tiba-tiba duduk di hadapanku. Aku tersentak.
Hampir sahaja makanan yang kukunyah tersembur keluar
apabila melihat manusia yang muncul tiba-tiba tanpa salam di
hadapanku ini.
“Hai...” Sapa Estaban dengan sengihannya.
“Awak lagi! Heee! Kacau ajalah!” Getusku tidak senang
dengan kehadirannya.
“Awak baru nak makan tengah hari?” Soal Estaban
sambil memandang bekalan makananku. Aku tidak menjawab
soalannya. Tanpa mengajaknya aku terus makan seolah-olah dia
tidak wujud di hadapanku. Tapi melihat matanya memandangku
tanpa henti, aku jadi segan pula.
“Kenapa benda tu warna merah macam tu?” Estaban
memuncungkan mulutnya kepada lauk di dalam bekas
tupperwareku itu. Benda? Menyirap darahku mendengar dia
membahasakan laukku sebagai ‘benda’. Seolah-olah jijik benar
dia dengan lauk murahku ini.
Yalah... aku mana mampu nak makan luar selalu.
Lagipun makanan halal bukannya ada di merata-rata tempat.
Walaupun tidak aku nafikan restoran halal sudah semakin
banyak tumbuh di sini. Tapi nak senang dan menjimatkan
masa, kami bawa bekal sendiri atau makan roti sahaja untuk
mengalas perut.
“Ini ayamlah. Saya masak dengan cili, sebab tu dia
warna merah,” jawabku biasa.
“Ooo...” Estaban meneguk liur pula melihat aku makan
dengan selambanya. Aku pula yang merasa serba salah melihat
gelagat Estaban. Nak ajak ke? Alahai... dahlah bekal ni memang
cukup-cukup untuk aku seorang. Dia pulak menyemak kat sini.
“Awak nak ke? Ayam ni pedas tau!” Ucapku sekadar
ajak-ajak ayam. Aku yakin dia takkan nak punya.
“Boleh jugak. Saya pun tengah lapar ni.” Dan dengan
selambanya dia menarik bekas lauk itu dekat kepadanya.
Terbeliak mataku memandang dia mengambil seketul ayam
masak sambal itu lalu disuakan ke mulutnya begitu sahaja.
Bukannya aku nak kedekut. Tapi...
Estaban memejamkan matanya seketika.
“Sedaplah. Awak masak ke?”
“Ya.” Aku menjawab tanpa dapat mengalihkan
pandangan kepadanya. Keningku mula berkerut kerisauan.
Seperti yang aku jangka, seketika kemudian wajah lelaki itu
mula berubah sedikit kemerahan.
“Kenapa rasa macam ni? Mulut saya panas!” Tegurnya
sudah tidak tentu arah. Mata Estaban mula meliar mencari
sesuatu. Sebaik sahaja nampak apa yang dicari, terus dicapai
lalu disumbat masuk ke mulutnya.
Aku sekali lagi tergamam melihat airku digogoknya
dengan gelojoh. Pedas sangatlah tu... Alamak! Dia dah minum
air aku. Aku nak minum air apa? Takkan nak minum bekas
dia pulak! Hilang terus selera aku nak makan dengan gelagat
mangkuk ayun seorang ini.
“Pedaslah!” Ucap Estaban setelah air dalam botol itu
sudah tiga suku disumbat masuk ke perutnya.
Aku sekadar diam sambil menutup bekas makananku.
Siapa suruh makan macam tu aja? Itulah... gelojoh sangat!
Padan muka! Ejekku dalam hati.
“Kenapa awak tak makan? Awak pun tak tahan pedas?”
Soal Estaban agak polos memandangku.
“Saya dah hilang selera!” Jawabku hambar. Kau tak
tahu ke yang aku tak suka kau ada kat sini? Getus hatiku sendiri.
“Kenapa awak ada kat sini? Bukan semua pelajar
Kristian kena ke gereja ke?” Soalku tidak senang. Setahuku
semua pelajar beragama Kristian perlu hadir ke gereja Great St
Marry kerana ada khutbah di sana. Setahu aku, acara itu wajib!
Apasal dia ni memonteng pulak? Kemudian menyemak kat
tempat aku nak bersantai ni...
“Saya malas nak pergi...” Jawab Estaban selamba
sambil terus meneguk air mineral milikku itu. Dah macam dia
punya air pulak dibuatnya. Aku menggeleng perlahan dengan
jawapan itu. Macamlah universiti ni bapak dia yang punya.
Suka-suka aja jawab malas.
“Sedap aja awak ni bercakap. Kalau kena tindakan
disiplin nanti, kan susah?” Ucapku selamba.
Semua pelajar di sini terikat dengan peraturan
universiti yang digubal sepenuhnya oleh pihak gereja. Aku
sendiri tidak ketinggalan. Setakat ini, kami tidak bermasalah
untuk patuh kepada semua undang-undang universiti kerana
belum ada peraturan yang memaksa kami melakukan sesuatu
yang di luar lunas agama Islam. Adat berada di tempat orang,
kenalah hormat dengan peraturan orang. Takkan nak ikut
kepala sendiri aja!
“Saya tak suka masuk ke sana. Buang masa!” Ucap
Estaban sambil memandang ke arah lain. Matanya meliar
memerhatikan gadis-gadis berbangsa Cina yang melepak
sesama mereka sambil belajar. Aku memandang seketika wajah
lelaki itu. Lain macam bunyi bicara Estaban. Mahu bertanya
lebih-lebih, nanti dia ingat aku nak berkawan dengan dia pulak.
“Habis tu yang awak mengacau orang sana sini, tu tak
buang masa pulak?” Sindirku geram melihat lelaki ini.
Estaban kembali memandangku dengan sengihannya.
“Saya memang suka kacau awak. Sebab awak cantik,”
ucapnya kemiangan.
Aku sekadar tersenyum kelat memandang lelaki itu.
Malas mahu melayannya, aku segera mengemaskan baranganku.
Aku mahu ke perpustakaan segera. Buang masa aja mengadap
mula lelaki ini.
“Awak nak ke mana lepas ni?” Soalnya pantas.
“Saya nak ke perpustakaan,” jawabku tanpa
memandang Estaban yang memerhati segala perbuatanku.
“Saya hantar awak balik hari ni, boleh?”
“Tak payahlah. Saya dah janji nak balik dengan kawankawan
saya.” Selesai mengemas, aku terus bangun untuk
berlalu dari situ.
“Saya temankan awak ke perpustakaan?” Pelawa
Estaban lagi.
“Estaban, baik awak ke gereja sekarang. Kalau tak,
awak jugak yang kena mengadap ketua gereja nanti. Tak payah
sibuk nak temankan saya. Saya selamat kat sini!” Getusku tidak
senang dia mahu mengekoriku. Aku tahu... kalau dia ada, aku
memang tak boleh nak belajar.
“Saya tak suka masuk ke sana!”
“Suka hati awaklah. Yang kena nanti pun awak.
Bukannya saya!” Getusku malas mahu melayannya lagi. Tanpa
kata aku terus berlalu tanpa sebarang kata-kata pamitan kepada
lelaki itu.
HARI INI sekali lagi aku dihimpit oleh lelaki bernama Estaban
Jospeh Buhler itu. Sebaik sahaja aku keluar dari dewan kuliah,
aku sama sekali tidak menduga wajah Estaban tertonggok
menanti aku di situ. Gagal mengelakkan diri, terpaksalah aku
berdepan juga lelaki itu lagi.
“Awak ni takde kerja lain ke, asyik cari saya? Awak
takde kelas?” Desisku geram.
“Kelas saya dibatalkan. Jadi saya carilah awak untuk isi
masa terluang.” Estaban menjawab selamba sambil menyeringai
kepadaku.
“Ada apa awak datang sini?” Soalku agak hambar sambil
memeluk erat fail yang kubawa bagaikan sedang melindungi
diriku daripada mata lelaki yang miang itu. Geram melihat aksi
Estaban merenungku dari atas ke bawah.
“Awak dah makan ke?” Soal Estaban cuba berlagak
mesra denganku.
“Saya tak lapar.” Aku tetap menjawab hambar sambil
melarikan pandangan ke arah lain. Lelaki itu cuba mencari
kata-kata lain pula, cuba memancing minatku untuk berbual
dengannya. Nampaknya dia memang tidak mahu berputus asa.
“Kita pergi perpustakaan nak?” Estaban cuba membuat
pelawaan yang mungkin sesuai dengan minatku pula. Yalah...
kalau dia ajak aku pergi bercumbu kat tepi Padang Ragbi
memang makan pelempanglah dia kat sini jawabnya!
“Saya nak berjumpa dengan Puan Marry di pejabat
dekan. Lain kali aja ya?” Aku lantas mencipta alasan untuk
mengelak lagi daripadanya. Padahal entah apa pula urusan aku
dengan Puan Marry. Kenal aku pun tidak!
“Saya boleh tunggu hingga awak selesaikan urusan
awak dengan Puan Marry. Tak jadi masalah.” Estaban menjawab
begitu pula. Dia nampaknya sudah terbiasa dengan alasanalasan
yang aku berikan. Aku mula mengeluh letih dengan
kerenah lelaki ini.
“Tolonglah! Saya nak pergi sembahyang sekarang.
Awak janganlah ganggu saya. Saya dah lambatlah! Saya tak
suka awak tunggu saya,” ucapku separuh tertekan dan merayu.
Pening kepala aku dengan mangkuk ayun seorang ni. Tak faham
bahasa ke... pekak dia ni sebenarnya?
“Takpe. Saya akan tunggu sampai awak selesai
sembahyang. Takde masalah, sayang!” Sambut Estaban masih
dengan sengihannya.
“Awak tak dengar ke apa yang saya cakap tadi? Saya tak
mahu awak tunggu saya. Maaf ya... saya kena pergi sekarang,”
balasku tanpa kompromi lagi. Harap-harap kali ini Estaban
mengerti yang aku memang tidak ingin berada dekat dengan
dia.
Wajah Estaban mula berubah. Sewaktu aku mahu
meninggalkan dia di situ, dia sempat mencapai lenganku. Aku
terus terkejut dengan kelakuannya.
“Jangan sentuh saya!” Spontan itu aku terus merentap
semula tanganku daripadanya.
“Siapa benarkan awak sentuh saya?” Marahku geram
dengan gelagat lepas laku Estaban.
“Maaf! Saya lupa awak seorang yang taat pada agama.
Orang alim macam awak tak bersentuhan dengan lelaki.”
Estaban ketawa menyindir sambil meletakkan tangannya ke
dinding untuk menyokong dirinya. Matanya terus meratah
wajahku yang sudah ketat seketat-ketatnya.
“Memang saya taat pada agama. Jadi apa masalahnya
dengan awak? Saya tak ganggu orang lain, jadi saya tak suka
awak ganggu saya!” Bentakku lantaran hati yang mulai panas
dengan gelagat lelaki miang itu. Ikutkan hati nak aja aku sepak
ehem-ehem dia. Baru dia rasa!
“Janganlah marah. Saya bergurau aja. Awak ni cepat
terasa hatilah...”
“Saya tak suka awak mempersendakan agama saya.
Saya sendiri tak pernah mempersendakan agama awak, jadi
saya tak suka awak bercakap tentang agama saya. Belajarlah
hormatkan orang lain,” balasku sengit.
“Huh! Saya tak percaya pada agama. Saya tak perlukan
agama dan Tuhan. Apa ada dengan semua itu?” Sambut Estaban
tanpa sedikit pun rasa berdosa berkata begitu. Aku segera
beristighfar dalam hati mendengar kata-kata itu. Lelaki ini
sudah jauh tersesat. Patutlah hidup lintang-pukang begini
“Jangan terlalu takbur, Estaban. Nanti apa yang
awak katakan tu akan makan diri awak balik. Tuhan sentiasa
melihat dan mendengar apa yang kita katakan setiap hari,”
ucapku dengan pandangan tajam kepada lelaki yang berdiri
berhampiran denganku itu.
Estaban sekadar tersenyum meleret tanpa terkutik
sedikit pun dengan apa yang diucapkan olehku. Malahan cara
dia tersenyum bagaikan mempersendakan peringatanku tadi.
Aku menggeleng sedikit melihat sikap Estaban. Aku benar-benar
sebal dengan pendirian lelaki ini yang ternyata salah. Tetapi apa
hak aku untuk menegah dia? Kami bukannya pasangan kekasih.
Kawan? Entahlah... tetapi apa yang diucapkannya tadi amat
mengerikan telingaku yang mendengar. Berani sungguh dia
berkata begitu tanpa rasa bersalah!
“Setiap orang kena ada kepercayaan, Estaban. Kalau
tiada kepercayaan, kehidupan kita bagaikan tanpa arah,” kataku
cuba juga untuk menyedarkannya.
“Saya tak perlukan pedoman atau Tuhan. Selama
ini Tuhan sedikit pun tidak membuatkan saya hidup senang.
Selama ini kehidupan saya baik sahaja tanpa Dia. Semua yang
saya mahukan, saya akan dapatkan termasuk juga awak!” Balas
Estaban dengan angkuhnya menudingkan jarinya kepadaku.
“Saya?” Dengan kerutan di kening aku menyoal
kembali sambil menuding diriku sendiri. Betapa gelinya lubang
telingaku sehingga ke segala saraf yang ada, mendengar katakata
itu. Aku terus tergelak menyindir Estaban. Terlalu mudah
bunyi bicara lelaki itu sehingga aku rasa nak termuntah hitam
terus! Apakah dia rasa segala kuasa di hujung jarinya sudah
cukup hebat sehingga boleh merubah pendirian orang lain
kepadanya?
“Sila sebutkan masa dan ketikanya awak berjaya
dapatkan saya? Saya tak ingat apa-apa pun? Awak ni mungkin
perlukan pakar otak, Estaban!” Ucapku dalam nada mengejek.
Dari ekor mata, aku lihat Estaban memandang sahaja
segala reaksi diriku. Namun sekilas pandangan, aku tahu aku
sudah mencabar lelaki itu. Apa aku peduli? Apa perlunya aku
menjaga hati lelaki seperti ini?
“Minta maaflah... saya bukan Jessica, bukan Dorothie,
bukan perempuan yang boleh dicumbui di tepi padang dan
bukan perempuan-perempuan yang boleh awak bawa masuk
dan keluar ke bilik tidur awak sesuka hati, Estaban. Saya
belum segila itu untuk menyerahkan diri saya pada lelaki kaki
perempuan macam awak. Lebih baik saya terjun ke dalam laut
daripada terjun ke dalam perangkap awak!” Sebelum sempat
Estaban menambah kata, aku melengkapkan lagi ejekanku
kepadanya. Pandangan menyirap Estaban kepadaku tidak aku
pedulikan. Lantaklah! Ada aku kisah? Gerutu hatiku sendiri.
“Wah! Hebatnya awak? Mungkin bukan hari ini... tapi
saya tetap akan dapatkan awak. Saya tak pernah merasai tubuh
badan perempuan Melayu. Kali ini saya akan dapatkannya dan
saya memilih awak. Sebab awak memang cantik. Terlalu cantik,
Insyirah. Awak buat saya terkejar-kejar.” Estaban membalas
cabaranku sambil menuding lagi jari telunjuknya ke dadaku.
“Kalau saya perlukan seorang lelaki, saya akan mencari
seorang lelaki yang ada nilai sebagai seorang lelaki sejati pada
mata saya. Saya tak perlukan seorang lelaki yang menganggap
nilai wanita begitu rendah sehingga boleh dipakai dan dibuang
bila-bila masa. Saya juga bukan objek pemuas nafsu lelaki
macam awak. Secara terus terangnya saya memang tak suka
dengan awak semenjak dulu. Dan tak pernah termimpi nak
menjadi kawan awak biar pun untuk seminit! Naluri saya tidak
pernah terdesak untuk ditiduri lelaki macam awak!” Jelasku
tegas. Panas yang kami rasakan waktu ini membuatkan kami
saling ejek-mengejek pula.
“Oh, ya? Awak tak ubah seperti seorang biarawati yang
membuat perkara yang tidak mendatangkan sebarang faedah.
Biarawati memang tidak bernafsu kepada lelaki dan tak mahu
berkahwin kerana terlalu taksub kepada agama. Tetapi di
sebalik itu mereka membuat hubungan sulit dengan paderi di
dalam gereja untuk kepuasan batin mereka. Awak tak rasa itu
satu perlakuan yang hipokrit dan paling menjijikkan?” Tukas
Estaban kembali menyakitkan hatiku.
Aku tersentak mendengar bicara yang cukup lancang
menghinaku. Kata-kata itu kurasakan cukup tajam bak belati
yang sedang menyiat-nyiat hatiku. Mengucap panjang aku
dibuatnya. Kalau aku ikutkan hati yang panas, mulut lelaki ini
sudah aku tampar.
“Rasanya biarlah saya perbetulkan sedikit pendirian
sesat yang ada di otak awak tu. Janganlah disebabkan awak yang
malas beragama, semua orang yang sukakan agama, awak hina
sesedap mulut awak, Estaban. Saya bukan biarawati yang tak
mahu berkahwin kerana taksub pada agama, kerana saya ni
orang Islam. Semua orang ada cara mereka sendiri untuk taat
pada perintah Tuhan dalam agama masing-masing termasuklah
biarawati itu sendiri,” ucapku keras.
“Tapi untuk orang Islam, baik yang lelaki mahupun
perempuan dituntut agar berkahwin kerana berkahwin itu
adalah sunah Nabi Muhammad SAW. Tetapi berzina adalah salah
satu perbuatan yang amat dilarang dalam Islam. Betapa besar
bezanya antara berkahwin dan berzina walaupun perlakuannya
sama. Saya tetap berpegang kepada ajaran agama Islam. Jadi...
lelaki seperti awak yang tak mempunyai kepercayaan kepada
Tuhan dan agama, sama sekali tidak memiliki tempat dalam
hidup saya walaupun hanya untuk beberapa minit. Jadi... jari
yang awak tudingkan kepada saya tu, tolong bersihkannya
daripada segala kekotoran noda dan dosa, sebelum awak biarkan
jari tu menuding kepada saya. Buat masa ni, apa yang paling
menjijikkan, lagi tidak berguna bagi saya ialah awak! Bukannya
biarawati itu atau mana-mana orang lain! Orang yang saya harus
jauhi adalah awak! Dapat itu?” Ucapku dengan nada tajam.
“Awak berlagak dengan saya?” Estaban menyambut
dengan marah yang tertahan. Dia mula mendekatiku dengan
pandangan mata yang tajam. Rahangnya diketap keras.
“Kenapa? Awak nak marah saya? Marahlah! Tapi kalau
awak fikir dengan menyamakan saya dengan biarawati itu,men
awak boleh mengubah pendirian saya... awak memang silap
besar. Saya tak hairan sebab saya bukan biarawati! Gunakan
otak awak sebelum awak mengeluarkan kata-kata macam tu.”
Aku nekad mencabar dia lagi.
“Baiklah! Ingat kata-kata saya ni dengan jelas...”
Estaban mengangkat jari telunjuknya sambil mengetap rahang
memandangku.
“Saya tetap akan dapatkan awak dengan cara apa
sekalipun. Walaupun hanya untuk beberapa minit! Sebelum
sampai ke waktu itu, awak boleh pilih untuk melarikan diri
daripada saya. Tapi saya tetap akan dapatkan awak walaupun
saya terpaksa melakukan dengan cara yang paling keji. Itu janji
saya. Ingat! Saya tidak boleh selamanya menerima penolakan
awak. Ingat tu?” Lelaki itu berkata dengan tekad dan dendam
yang bersatu. Matanya yang kemerahan, cukup mengatakan
yang dia tidak berjenaka dengan kata-katanya itu.
Kali ini aku pula yang terdiam. Kata-kata itu bagaikan
sebuah ugutan bergaung kuat di telingaku. Serta-merta aku
jadi seram pula apabila mengenangnya. Apa yang dimaksudkan
oleh Estaban sebenarnya? Aku tidak tahu! Itulah... tadi berani
sangat.
“Apa maksud awak ni?” Soalku mula bimbang.
“Awak akan tetap menjadi milik saya nanti walaupun
hanya untuk sekejap. Saya akan lakukan apa sahaja untuk
dapatkan awak, Insyirah. Itu janji saya. Jangan nanti, apabila
awak bangun daripada tidur, awak merayu-rayu kepada saya
semula,” ucap Estaban dengan pandangan yang amat tajam.
“Janjilah apa-apa yang awak mahu! Bersumpahlah apa
yang awak suka! Saya tetap takkan berganjak daripada pendirian
saya. Walaupun saya terpaksa menghabiskan seumur hidup
saya dengan memandang muka awak, saya tetap tidak akan
meletakkan awak di tempat yang istimewa. Tempat itu takkan
menjadi milik awak. Dan saya takkan merayu kepada seorang
lelaki yang tiada pedoman. Janganlah awak nak perasan. Lelaki
macam awak hanya wujud untuk memusnahkan hidup orang
perempuan! Pengecut!” Walaupun agak gentar aku tetap tidak
mahu memperlihatkan ketakutanku. Apa yang aku tahu, aku
tidak mahu kalah kepadanya.
Kesabarannya hilang, Estaban akhirnya menumbuk
dinding di belakangku untuk meluahkan rasa marah yang sudah
tidak tertahan. Aku sempat terkejut mendengar dentuman di
belakangku itu. Menggigil juga kakiku ini. Namun aku sedaya
upaya berlagak tenang. Mungkin tidak kuasa berlawan cakap
lagi, Estaban akhirnya berlalu pergi begitu sahaja.
Aku sempat termenung mengenang semula apa yang
diucapkan Estaban. Harap-harap esok dia terlupa apa yang dia
ucapkan sebentar tadi.
SEMENJAK PERTENGKARAN itu aku terpaksa menjadi
pelarian pula. Apabila ternampak kelibat Estaban atau manamana
teman baiknya, aku segera melencong ke arah lain. Aku
benar-benar tidak mahu kelihatan di hadapan matanya. Tetapi
sebenarnya jauh di sudut hatiku ini, aku rasa bersalah pula. Aku
tahu aku sudah terlepas kata kepadanya. Aku tahu aku tidak
seharusnya sesenang itu merendah-rendahkannya.
“Kau gaduh dengan Estaban ke, Syira?” Hamizah mula
bertanya ketika kami sedang makan malam berdua. Ameena
semenjak tadi tertidur langsung tidak terjaga walaupun sudah
berkali dikejutkan untuk makan. Aku mula mengangkat
pandangan kepada teman serumahnya itu. Aku akhirnya
mengangguk perlahan mengakuinya.
“Pasal apa?” Soal Hamizah ingin tahu.
“Pasal apa lagi? Pasal perangai kaki perempuan dia
itulah. Tak habis-habis nak ajak orang keluar dengan dia. Boring
tengok perangai dia tu!” Ucapku bagaikan tiada mood untuk
berbicara mengenai lelaki itu. Hamizah diam seketika sambil
menyuap nasinya. Seketika kemudian wajah aku dipandang
lagi.
“Aku ada dengar cerita ni...” Luahnya sebagai
permulaan.
“Cerita apa?” Tanya aku pantas.
“Kau tahu siapa budak dalam rumah ni yang dah jadi
barua si Estaban tu?” Aku terdiam seketika sambil merenung
wajah Hamizah. Aku tidak faham apa yang dimaksudkan oleh
teman serumahku itu.
“Barua apanya?” Soalku perlahan.
“Nenny... dia beritahu banyak pasal kau pada Estaban.
Sebab tu... mangkuk tu tahu ke mana kau pergi dan mana
kau tinggal. Nenny yang jadi informer dia.” Hamizah terus
menjelaskan keadaan sebenarnya. Terbeliak mataku mendengar
kata-kata Hamizah itu. Itu sesuatu yang tidak mampu aku
bayangkan, malah sukar untuk aku percaya.
“Mana kau tahu semua ni, Izah? Siapa beritahu kau?”
Soalan itu menerpa pantas dari ulas bibirku.
“Siapa yang beritahu tu, aku tak boleh nak beritahu
sebab dia minta aku rahsiakan nama dia. Tapi dia dapat tahu
daripada kawan baik Estaban tu sendiri. Dia kata, selama ini
Nenny jadi barua Estaban sebab mamat tu sanggup belikan apa
aja yang dia mintak. Sebab tu dia nampak loaded selama ni.”
Hamizah terus bercerita lagi tentang apa yang diketahuinya.
“Kurang ajarnya?” Getusku dengan mata membulat
kepada Hamizah. Sesak dadaku mendengar itu.
Tidak aku sangka rupanya teman serumah kami yang
selama ini amat jarang menegurku sanggup menikam aku
dari belakang. Memang selama ini hubungan kami dengan
Nenny Akmar tidak akrab. Sekadar menyapa satu sama lain
apabila bertembung, itu sahaja. Sangkaku, Nenny orang yang
baik. Tetapi rupanya tidak! Di belakangku Nenny sanggup
bersekongkol dengan Estaban hanya kerana mahukan sedikit
ganjaran. Dia nak ganjaran, itu dia punya hal. Tetapi apasal hal
aku pulak yang dijajanya kepada Estaban? Ini melampau!
“Kau tak mahu tanya Nenny pasal ni?” Ucap Hamizah
lembut sahaja. Aku mula menghela keluhan sendiri. Bertanya?
Perlukah? Penghabisan nanti kami pasti akan bertengkar dan
bermasam muka untuk entah berapa lama.
“Tanya untuk apa, Izah? Kalau aku marah dia sekalipun,
Estaban tetap datang cari aku. Aku bukannya bermasalah
dengan Nenny tapi dengan si Estaban tu.” Aku menjawab
perlahan. Aku tidak mahu bermusuh dengan sesiapa. Apatah
lagi Nenny teman senegara dengan kami.
“Aku rasa perbuatan dia tu kurang ajar...” Komen
Hamizah.
“Aku tahu. Tapi aku tak suka bergaduh dengan orang.
Apatah lagi kita ni duduk satu rumah,” jawabku rendah.
“Hmm... dengan Estaban kau tak suka gaduh jugak?
Patutlah semenjak kebelakangan ni kau asyik termenung aja.
Susah hati bila dia marah kat kau... atau kau susah hati bila dia
tak kacau kau lagi macam dulu?” Hamizah sempat melontarkan
tekaan itu. Dia ketawa sedikit sebelum menyuap sisa nasi yang
masih ada di dalam pinggannya.
“Kau jangan mengarut, boleh tak?” Tukasku geram.
Hamizah tersengih lagi.
“Manalah tahu dalam diam, kau dah jatuh hati dengan
dia. Mamat tu biarpun kaki perempuan, dia memang pandai
mengayat. Takut kau aja yang tak tertahan diayat, akhirnya
jatuh cinta kat dia. Dia tu memang nakal tapi taklah jahat
sangat. Dengan aku dia okey je. Kita ni kadang-kadang, lidah
boleh berbohong. Tapi reaksi kita tak macam tu,” ucap Hamizah
entah kenapa.
“Apa maksud kau ni? Reaksi apa? Apa yang aku
bohong?” Soalku bertalu-talu akibat tidak keruan dengan
telahannya itu.
“Kau tu la... jangan benci tapi rindu... dahlah! Depan
kau benci dia berapi-api. Belakang kau asyik ingatkan dia,” perli
Hamizah sambil tergelak kecil.
“Izah, kalau kau ni dah sewel aku bawak kau pergi
hospital gila sekarang, nak? Aku bawak kau jumpa pakar terus
biar kepala kau tu kena karan. Lepas kena karan nanti, baru kau
waras balik kut?” Tukasku semakin tidak senang dengan gelagat
teman serumahku itu. Wajah Hamizah kupandang geram.
Lawak itu amat tidak kena pada masanya. Hamizah semakin
galak ketawa melihat riak-riak kemarahan di wajahku.
“Janganlah marah. Aku gurau aja. Yalah... aku tahulah
kau tu memang bencikan dia,” ucap Hamizah akur akhirnya.
“Baguslah kalau kau tahu. Jangan doakan yang tidaktidak,
Izah. Kau suka kalau aku terseksa kerana lelaki macam
tu? Aku selalu doakan kau bertemu dengan lelaki yang ikhlas
dan sayangkan kau. Kau pulak nak doakan aku dengan lelaki
macam tu?” Balasku masih dibaluti rasa tidak senang. Kut ya
pun nak padan-padankan aku, janganlah dengan si Estaban tu.
Macamlah takde calon yang lebih baik daripada itu.
“Sorry, Syira. Aku main-main je. Janganlah ambil
hati...” Ucap Hamizah lembut.
“Dahlah! Jangan cakap pasal dia lagi. Aku kalau dengar
aja nama dia, mulalah angin aku naik sampai ke ubun-ubun.
Karang tak pasal-pasal kau pulak yang kena sembur dengan
aku. Dengan Si Nenny tu aku okey. Kau pulak nanti yang jadi
tempat aku lepaskan geram!” Balasku sebal. Hamizah terus
diam sambil meneruskan makan. Suasana meja kecil itu hening
seketika.
“Tapi macam mana kau tahu aku dengan Estaban tu
bergaduh?” Soalku tiba-tiba. Hairan juga kerana rasanya aku
tidak ada beritahu sesiapa tentang itu. Ameena sendiri pun tak
pernah tahu tentang pergaduhan aku dan Estaban tempoh hari.
Aku tak pernah membuka cerita itu kepada Ameena.
“Aku dengar orang cerita kat kampus. Sebab tu
aku tanya kau. Ada orang nampak agaknya. Sebab tu orang
bercerita,” jawab Hamizah sambil memandangku semula.
Aku kembali terdiam. Namun jawapan Hamizah itu
berlegar dalam fikirkanku berkali-kali. Siapa pulak yang heboh
bercerita tentang itu? Memang benar ketika kami bergaduh,
ramai yang lalu-lalang di situ kerana kami bertengkar di hadapan
bilik kuliah. Tetapi rasanya semua orang ketika itu tidak begitu
mengambil tahu hal kami. Masing-masing hanya lalu-lalang
tanpa meleraikan pergaduhan itu. Itu seingat akulah. Tetapi
tidak tahu pula aku yang hal sekecil itu pun mahu dijadikan
topik bercerita di kampus.
“Kau tak rasa ke yang Estaban tu memang betulbetul
suka kat kau?” Soal Hamizah semula, agak berhati-hati.
Wajahku dipandangnya lama.
Aku menghela nafas perlahan mendengar kata-kata
Hamizah itu. Buat seketika aku menyuap baki nasi tanpa
memberikan apa-apa jawapan kepada temanku itu. Seketika
kemudian aku termenung pula mengenangkan apa yang masih
utuh berada dalam fikiranku semenjak kebelakangan ini.
Setiap kata-kata Estaban dahulu kerap kuimbas semula entah
kenapa. Mungkin kerana hal itulah perasaanku jadi tidak aman
semenjak kebelakangan ini.
“Kau nampak macam susah hati, Syira. Kau fikir pasal
dia ke?” Ucap Hamizah lagi sambil terus merenung wajahku.
“Entahlah...” Keluhku perlahan.
“Jangan cakap dengan aku yang kau ni dah jatuh hati
pada dia,” tekan Hamizah dengan renungan ekor matanya. Aku
pantas menggeleng.
“Kalau aku selalu terfikirkan dia, tak semestinya aku
dah jatuh hati pada dia, kan?” Balasku semula.
“Tadi... kau kata kau rasa dia betul-betul sukakan aku.
Apa maksud kau? Kau nak aku bagi dia peluang?” Tanyaku lagi.
Hamizah terdiam tidak mampu menjawab.
“Kau nak tahu apa dia cakap pada aku masa kami
bertengkar dulu?” Aku mencelah di saat Hamizah terus berdiam.
Hamizah pantas mengangguk. Wajahku direnung bersungguhsungguh
menanti inti pati kisah itu.
“Dia cakap dia tak perlukan agama. Dia tak perlukan
Tuhan. Dia hina agama dia sendiri. Dia hina aku yang
berpegangan macam ni. Pendek kata apa sahaja tentang agama,
baik agama apa pun, dia tak suka! Apa pendapat kau tentang itu?
Ada makna ke kalau dia betul-betul sukakan aku pun?”
Wajah Hamizah jelas berubah mendengar apa yang aku
bicarakan. “Dia hina agama?”
“Lillahita’ala... aku tak bohong kau. Telinga aku ni
sendiri yang dengar dia cakap yang bukan-bukan pasal agama.
Dia rendah-rendahkan aku, hanya disebabkan aku tak suka
bergaul dengan lelaki. Dia perli aku ni orang alim.”
“Astaghfirullah...” Hamizah beristighfar perlahan.
“Kau fikir aku ni takde perasaan kesian pada dia
ke? Aku fikir semua tu, Izah. Tapi dia... dia lelaki yang takde
pegangan langsung dalam hidup! Lelaki macam dia takkan
kenal apa erti keikhlasan. Kalau aku beri dia peluang, serupa
aku mempertaruhkan masa depan aku untuk dihancurkan oleh
lelaki macam dia. Aku bukannya anti dia sebab dia tak seagama
dengan kita. Tapi aku tak mahu dekat dengan dia sebab dia takde
agama. Besar bezanya tu, Izah. Kau tahu tak betapa bahayanya
orang yang takde pegangan macam dia?” Luahku bersungguhsungguh.
Hamizah mula mengangguk perlahan.
“Sorry, Syira. Aku sebenarnya tak tahu langsung pasal
tu. Kalau aku tahu Estaban tu macam tu, aku takkan cakap
macam tu kat kau,” balas Hamizah mula kesal dengan katakatanya
sebentar tadi.
“Lelaki macam tu, keikhlasan dia hanya wujud bila dia
mahukan sesuatu. Sebaliknya bila apa yang dia nak, dia dapat...
semua tu dah takde nilai lagi pada dia. Tak mustahil aku nanti
akan jadi macam sampah terbuang. Itulah yang mungkin akan
jadi pada aku kalau aku pertaruhkan kepercayaan aku ke atas
lelaki macam dia. Untuk apa aku biar dia hancurkan hidup aku,
sedangkan aku boleh menghindar diri daripada dia hari ni? Aku
pun bukan orang yang hebat untuk membimbing dia ke jalan
yang benar, Izah. Aku sendiri pun masih banyak kekurangan.”
Aku menambah lagi luahanku tentang itu.
Bohonglah kalau aku tidak tertarik langsung saat
memandang lelaki itu buat pertama kali dahulu. Tipulah
jika aku tidak terpana saat menatap bening pandangan dan
senyuman Estaban kepadaku. Lelaki itu memang aku akui
terlalu tampan pada mata perempuanku. Tetapi hidup harus
sentiasa berpijak di bumi yang nyata dan berhadapan dengan
hakikat. Bukan anganan kosong yang pastinya suatu hari
nanti akan memusnahkan masa depanku. Hari demi hari aku
berhadapan dengan lelaki itu, hasilnya bukan perasaan asyik
dilamun cinta yang lahir di dalam hatiku ini. Sebaliknya aku
semakin jelak dan benci!
“Bunyi kau bercakap tadi tu, macam kau pernah
sukakan dia aja. Betul ke sangkaan aku ni, Syira?” Ucap
Hamizah serius.
“Sukakan dia? Entahlah! Aku bercakap bukan kerana
aku kecewa sebab tak dapat dekat dengan lelaki sekacak dan
sekaya dia, Izah. Aku tak kecewa tentang itu. Sikit pun tidak!
Tapi dia... setiap kali dia datang dekat aku, dia kata dia betulbetul
sukakan aku. Aku rasa terkilan sendiri. Kasih sayang dan
cinta ni anugerah Allah untuk semua umat manusia, Izah. Tak
ketinggalan juga dia. Tapi aku, tak mampu menggenggam kasih
sayang daripada lelaki jenis itu. Semuanya jadi sia-sia!” Luahku
perlahan.
Hamizah mula mengangguk tanda mengerti pendirian
aku saat ini. “Maksud kau kalau dia tak berpendirian macam
tu, kau akan mempertimbangkan perasaan dia tu ke?” Teka
Hamizah lembut. Kali ini aku terdiam merenung pinggan yang
sudah kosong di hadapanku itu. Tidak tahu apa yang harus aku
jawab kali ini. Aku sendiri pun keliru sebenarnya.
“Kau jugak pernah sukakan dia, kan? Hanya sebab dia
macam tu, kau jadi benci.” Hamizah meluahkan lagi telahannya
itu untuk aku fikirkan.
“Entahlah... aku tak tahu apa akan jadi kalau dia bukan
seperti dia hari ni.”
“Mungkin dia boleh berubah nanti, Syira. Mungkin
kalau betul caranya, orang macam dia tu boleh diperbetulkan.
Dia sebenarnya lemah. Lemah kepada perempuan. Kalau kau
pandai menggunakan kelebihan yang kau ada, mungkin dia
boleh berubah.” Hamizah berkata lembut kepadaku.
“Mungkin...” Sambutku lantas tergelak sendiri.
“Tapi itu kalau dia memang ikhlas dengan akulah.
Kalau aku ni sekadar ingin dijadikan teman tidur dia aja macam
yang lain tu, macam mana? Lelaki macam dia tu bukannya boleh
dipercayai. Risikonya masih teramat besar, Izah. Sedangkan apa
yang kau katakan tadi tu masih samar-samar. Aku tak berani!
Lagipun aku tak berada di sini kerana dia,” sambungku lagi.
Hamizah akhirnya mengangguk setuju dengan pendirianku.
“Betul jugak apa yang kau cakap tu! Apa yang aku
cakap tadi tu sebenarnya peratusannya masih teramat rendah.
Sedangkan risiko jelas ada depan mata kita sekarang ni terlalu
besar. Aku pun tak berani nak cakap banyak pasal ni. Takut
nanti kalau tersalah percaturan, bukan sikit kehancuran yang
kau akan dapat nanti. Takpelah, Syira... apa nak jadi dengan dia,
itu semua bukan urusan kita. Kita kat sini sebab nak belajar.
Bukannya nak fikir pasal dia,” balas Hamizah biasa.
“Estaban tu sekadar salah satu daripada cabaran
selama aku berada di sini, Izah. Manusia datang dan pergi
setiap hari. Macam itulah dia dalam hidup aku. Lepas aku habis
belajar nanti, nama dia takkan ada lagi dalam hidup aku dan aku
percaya... cinta lelaki macam dia umpama gula-gula getah. Bila
manisnya hilang, dia akan mencari yang lain,” luahku perlahan.
Hamizah terus diam tidak memberi apa-apa komen
lagi. Bimbang tersalah cakap nanti, aku yang menanggung
akibatnya.
No comments:
Post a Comment