DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 9 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 2

Keluar makan dengan Menaci,
Terserempak pula dengan si Mutu,
Jangan sesekali berkata benci,
Jika hati sudah diusik rindu.


AJAKAN keluar oleh Estaban mati begitu sahaja
buat beberapa hari ini. Aku benar-benar kelegaan melihat
Estaban semacam berputus asa mahu mendekatiku apabila
aku terus dingin kepadanya. Beberapa hari ini kami memang
ada bertembung tetapi selalunya aku melihat Estaban seronok
berkepit dengan gadis kampus yang sebangsa dan sekufu
dengannya. Cinta kat aku konon!
Buatku... jarak yang terhasil buat beberapa hari ini
bagaikan rahmat yang cukup besar. Kalau Estaban sibuk dengan
gadis lain, bermakna dapatlah aku bernafas dengan aman tanpa
dikacau lagi olehnya. Aku memang bersyukur sangat-sangat
dia menumpukan perhatiannya kepada orang lain. Takut lamalama
nanti, aku pulak yang sakit tekak menjerit kepadanya. Tak
pun, sakit jiwa!
“Insyirah... tunggu!” Suara garau seorang lelaki
mematikan langkahku ke Memorial Court.
Aku memandang sekeliling cuba mencari siapa yang
memanggil. Berkerut dahiku sedikit apabila terpandangkan
Ryan teman sekufu Estaban datang mendekatiku. Namun
sebagai tanda menghormatinya, aku tetap tersenyum. Setahu
aku, kesemua kawan-kawan Estaban memang terdiri daripada
anak-anak orang kenamaan dan ada juga anak bangsawan. Aku
tahu Ryan juga tidak ketinggalan sebagai ‘anak seseorang’ di
London ini kerana bapanya ada membawa gelaran ‘Duke’ pada
pangkal namanya.
Tetapi tidak pedulilah anak siapa mereka. Jika
mereka baik, tidak bersebab untuk aku menyombong dengan
mereka. Melainkan si ‘jantan mancholah’ yang sering sahaja
mengganggu ketenteraman hidup orang lain, terutama sekali
aku!
“Ada apa, Ryan?” Soalku dalam nada bersahaja.
“Estaban berikan ini kepada awak.” Ryan menghulurkan
sebuah beg kertas yang sederhana besar kepadaku.
Pandanganku jatuh seketika pada bungkusan itu tanpa
segera mengambilnya. Apa pulaklah kali ini? Mungkin ada
senget sedikit otak Estaban jika dia menyangka yang dia sudah
mampu membeli jiwaku dengan pemberian ini. Sama sekali
tidak!
“Untuk saya ke bungkusan ini? Untuk apa?” Soalku
sengaja buat bodoh, siap dengan kerutan di wajah. Sengaja
buat-buat tak faham erti pemberian itu.
Ryan mengangguk sambil tersenyum.
“Dia memang sukakan awak sungguh-sungguh,
Insyirah. Jangan hampakan dia,” kata Ryan Edmund lembut.
Aku termangu seketika. Tak tahu pulak aku yang
Ryan ni rupanya consultant cari jodoh untuk kawan rapat
dia tu... Aku terdiam sambil berfikir seketika. Wajarkah aku
mengambilnya? Kalau kali ini aku menolak, apa pula olah
Estaban yang seterusnya? Tetapi seketika kemudian terdetik
satu idea dalam fikiranku.
“Terima kasih,” ucapku setelah menyambut huluran
Ryan itu. Tanpa kata-kata, aku terus meninggalkan Ryan.
Tetapi hala tujuku bukan lagi ke Memorial Court, sebaliknya ke
tempat yang boleh aku temui Estaban. Aku tahu mamat romeo
itu pasti masih ada di sekitar kawasan fakultinya. Aku sudah
benar-benar faham, inilah masa yang paling berkualiti untuk
playboy itu mempraktikkan bakat semula jadinya dalam soal
memperdayakan perempuan.
Sepanjang pencarian, aku sempat bertanya beberapa
orang yang rapat dengan Estaban. Akhirnya aku menemui
salah seorang bekas teman wanita Estaban. Anne mengatakan
dia ada melihat Estaban bersama seorang gadis di The Colony
Sport Ground iaitu taman yang menjadi kawasan riadah untuk
pelajar-pelajar seperti kami. Di sana penuntut-penuntut boleh
memilih untuk mencuba sebarang jenis sukan yang disukai
mereka. Mendengar jawapan wanita berambut perang itu, aku
lantas menghayunkan kaki ke sana.
Tidak lama selepas pencarianku, kelibat lelaki yang aku
cari mula dapat kutemui. Estaban kelihatan sedang bersantai
seperti sedang berkelah bersama seorang gadis lain di tepi
padang ragbi. Senang hati sungguh Estaban melakukan aksi
bercumbu rayu di situ. Sikapnya benar-benar menjelakkan aku
yang melihatnya. Lelaki itu berbaring di atas rumput yang tebal
dan bercumbu mesra dengan gadis itu tanpa mempedulikan
pandangan mata orang ramai kepada mereka berdua. Lama aku
berdiri memerhatikan gelagat lelaki itu.
“Ehemm...” Aku mencelah sedikit keasyikan mereka
dengan deheman tanpa berniat mahu mengganggu. Estaban
sepantas kilat menoleh mencari suaraku. Apabila ternampak
wajahku, dia segera bangun dan tersenyum. Teman cumbuannya
terus diabaikan. Dia tersengih kepadaku tanpa sebarang rasa
malu atau bersalah akan perlakuannya tadi.
“Hai...” Estaban menyapaku.
“Ini untuk saya?” Soalku sambil menayangkan beg
kertas yang dititipkan melalui Ryan sebentar tadi. Sapaannya
tidak aku layan.
“Awak sudah terima?” Soal Estaban mula senang
hati apabila melihat apa yang diberikannya selamat berada di
tanganku. Mungkin dia menyangka aku datang untuk berterima
kasih kepadanya.
“Awak rasa bila benda ni berada di tangan saya... itu
tandanya saya dah terima ke?” Aku sengaja mengembalikan
soalan itu kepadanya antara nada sinis dan mengejek.
“Awak harus lihat hadiah tu. Saya membelinya di
Lamborga dan ianya bukan murah,” ucap Estaban dengan
senyum lebarnya. Ada terselit sedikit nada bangga dalam katakatanya.
Aku mula mengukir senyuman sambil menjenguk
seketika ke dalam beg kertas itu seperti yang disarankan
Estaban. Tetapi biarpun sekadar melihatnya sekali imbas, aku
tetap tidak berniat untuk berasa teruja pada gaun itu. Baju
itu tidak menarik sedikit pun perhatianku walaupun aku tahu
nama yang disebut Estaban adalah salah satu jenama gaun
wanita yang berharga ribuan pound. Bagiku ini bukanlah satu
pemberian, sebaliknya penghinaan!
Estaban menghela nafas perlahan sambil mendekatiku.
Beg kertas itu diambilnya dari tanganku. Isi kandungannya
dikeluarkannya.
“Tengok ni... cantik, kan?” Ucap Estaban lalu
menayangkan gaun singkat itu kepadaku. Aku sekadar
memandang kosong tanpa berkutik.
“Awak akan kelihatan lebih cantik setelah memakainya.
Fabriknya sangat lembut. Tengoklah... ” Estaban mengunjukkan
lagi gaun itu kepadaku. Meminta aku segera menyentuhnya.
Aku terus membiarkan gaun itu berada di tangan
Estaban. Tanpa menyentuhnya pun aku dapat melihat gaun itu
sekadar menutup bahagian-bahagian tertentu pada tubuhku.
Mungkin perekanya sengaja tidak menyediakan kain lebih agar
bahagian yang sulit terdedah. Dan kain itu juga agak nipis!
“Maaf, saya tak datang ke sini untuk berterima kasih.
Sebaliknya saya mahu pulangkan semula gaun itu kepada awak.
Saya tak pernah pakai baju seperti tu,” jelasku lembut namun
serius.
“Awak belum memakainya macam mana awak
tahu awak akan menyukainya atau tidak? Cubalah dulu.
Sekurang-kurangnya, saya takkan terasa hati kalau awak tidak
mengambilnya atau awak takkan memakainya untuk saya,”
pujuk Estaban separuh merayu.
Aku tetap menggeleng. Bagaimana untuk aku
memakainya jika tudung di kepalaku ini pun tidak pernah aku
lepaskan di tempat terbuka. Inikan pula anggota tubuhku yang
lain. Aku masih waras. Aku tidak akan memakai baju seperti ini
di hadapannya walaupun harga baju ini sama nilainya dengan
yuran pangajianku di universiti ini.
Menerima pemberian lelaki ini begitu sahaja tanpa
perlukan balasan? Tidak mungkin! Aku tidak mahu menjerat
diri dengan budi yang berharga semahal ribuan pound seperti
itu. Pasti ada sesuatu yang harus aku berikan kepada lelaki itu
sebagai balasannya. Jika tidak hari ini... pasti suatu hari nanti
aku akan tersepit juga!
“Saya benar-benar mahu melihat awak memakainya,
Insyirah. Ambillah...” Pujuk Estaban terus merayu. Gaun itu
terus dihulurkan kepadaku.
“Pakaian ini akan mendedahkan sebahagian tubuh
perempuan, Estaban.” Aku menjawab tegas agar lelaki ini
mengerti akan pendirianku.
“Kecantikan tubuh wanita memang untuk lelaki.
Betul, kan?” Sambut Estaban lebih pantas. Dia mengucapkan
kata-kata itu seolah-olah tiada rasa bersalah mempermainkan
perempuan seperti yang sering dia lakukan selama ini.
Aku menggetap bibir menahan rasa mendengar
kenyataan lelaki itu. Terlalu rendah nilai wanita di mata lelaki
ini. Mengapa dia begini? Adakah kerana dia kacak dan kaya, dia
sudah cukup hebat sehingga semua perempuan harus tunduk
kepada nafsunya?
“Kecantikan tubuh wanita lain memang untuk
santapan mata awak, Estaban. Tapi bukan tubuh saya! Sebagai
wanita yang beragama Islam, mendedahkan tubuh pada mata
lelaki yang bukan suaminya adalah salah di sisi agama. Saya
tidak akan melakukannya biar sebanyak mana wang yang
dah awak habiskan untuk mendapatkan gaun ini. Mungkin
ada baiknya awak berikan kepada perempuan itu supaya duit
awak tu tak membazir. Dia tentu lebih pandai menghargainya
berbanding saya,” balasku sambil mengerling gadis yang masih
duduk di atas rumput sambil terkebil-kebil memandang kami
berdua.
Estaban memandang gadis yang aku maksudkan
tadi. Tetapi kemudian dia mengalihkan pandangan kepadaku
semula. Wajahnya berubah saat memandang bola mataku.
Riaknya lebih kepada marah dan terkilan kerana aku sudah
menolak pemberiannya. Tetapi biarlah apa pun riak yang mahu
ditunjukkan Estaban saat ini. Aku tetap tidak peduli!
“Jangan marah, sebab saya tak suruh pun awak beli
gaun ni. Atau sekurang-kurangnya awak kenalah tanya saya
dulu sebelum awak menghabiskan duit untuk saya,” ujarku
terus memaparkan muka tidak beremosi. Sekadar mahu
menyakitkan hati Estaban yang bongkak itu.
“Kenapa dengan awak, semuanya begitu susah?” Keluh
Estaban sambil menggeleng.
“Kenapa mesti saya? Kan ramai lagi perempuan
lain?” Soalannya tidak aku jawab sebaliknya bertanya semula
kepadanya.
“Saya tanya, awak kena jawab! Kenapa dengan awak,
semuanya susah?” Nada lelaki itu mulai tidak mesra kepadaku.
Aku menghela nafas perlahan sambil memandang
tepat pada wajah Estaban.
“Awak nak tahu, okey! Saya akan beritahu...” Ucapku
nekad.
“Dengan saya memang susah, sebab saya bukan dia...
bukan juga perempuan-perempuan yang awak peluk setiap hari.
Saya bukan perempuan simpanan awak. Puas hati sekarang?”
Jawabku serius. Kedua-dua tangan kusilangkan ke dada dengan
muka selamba. Aku sudah bersedia untuk menentang apa
sahaja pendirian lelaki ini mengenai diriku.
“Awak juga perempuan. Apa naluri perempuan seperti
awak tidak sama dengan yang lain? Awak dari planet mana?”
Estaban membalas dalam nada ejekan, sengaja mempersendakan
pendirianku tadi.
“Ya... saya memang perempuan. Mata saya juga, mata
seorang perempuan yang suka memandang lelaki...” Aku mula
menghela nafas perlahan. Sabar ajalah aku dengan jantan tak
reti bahasa ni! Hatiku berbisik halus.
“Tapi sebagai perempuan yang beragama Islam, saya
harus berpegang kepada ajaran agama saya yang melarang
wanita bergaul bebas dengan lelaki. Saya perempuan yang
dilahirkan dengan maruah. Maruah itulah yang harus saya jaga
kerana itulah kehendak Allah ke atas hamba-Nya. Saya takkan
sewenang-wenangnya membiarkan tangan lelaki asing seperti
awak memegang tubuh badan saya. Saya perempuan yang tidak
akan sesekali membiarkan mata-mata lelaki asing melihat
bentuk tubuh saya terutama sekali buaya darat macam awak.
Sudah pakai, kemudian tinggalkan! Saya perempuan yang
tidak akan membiarkan diri saya ditiduri oleh lelaki yang tak
bertanggungjawab macam awak! Saya perempuan yang tidak
akan menanggalkan biarpun sekadar penutup kepala saya ni
di hadapan lelaki yang bukan suami saya iaitu awak! Sekarang
awak tahu saya dari planet mana?” Sambungku tanpa memberi
peluang kepada Estaban mencelah.
“Wow! Awak begitu mahal...” Estaban mengejekku
lagi sambil tergelak. Gaun itu dikembalikannya ke dalam beg
kertas itu lalu diletakkan di hujung kakinya. Dia memasukkan
tangannya ke dalam poket dengan mempamerkan wajah
jengkel. Sekadar mahu menduga sabarku.
“Terpulanglah kepada penilaian awak. Walau serendah
mana pun pandangan mata awak kepada saya, itu takkan
mencacatkan saya sedikit pun! Saya tetap macam ni. Awak
boleh teruskan hidup awak dengan tabiat awak. Adil, kan? Ini
negara demokrasi! Kita ada kebebasan memilih, wahai Estaban
Joseph Buhler!” Ucapku mula mengeraskan nada.
Estaban mula mengetap rahang dengan renungan
tajam. Nampaknya dia benar-benar tercabar dengan katakataku
tadi. Aku pula sekadar buat muka selamba kepada lelaki
itu. Marah ke? Ada aku kisah? Ejek hatiku sendiri.
“Saya dah takde apa nak dikatakan lagi. Ambillah semula
baju tu sebab saya tak perlukannya. Maaf, kalau kedatangan saya
mengganggu awak bermesra dengan dia. Kasihan perempuan
tu tertunggu-tunggu pelukan hangat awak. Pergilah semula
kepada dia.” Dengan selamba aku menyindir lagi. Sengaja aku
menjuihkan bibir kepada gadis tadi.
“Macam mana caranya baru saya dapat keluar dengan
awak, Insyirah? Saya cuma nak habiskan sedikit masa dengan
awak.” Estaban sempat memujuk lagi sebelum sempat aku
menghindar.
“Takde caranya. Saya perlukan sebab untuk keluar
dengan awak. Tapi malangnya saya takde sebarang sebab untuk
buat macam tu. Tolong berhenti buat macam ni. Saya takkan
ubah keputusan saya biarpun awak membelikan saya sebahagian
tanah di London ini! Faham, kan?” Putusku, kemudian aku
terus meninggalkan Estaban bersama baju itu.
Saat berlalu pergi, aku sempat tersenyum puas hati.
Aku harap selepas ini Estaban mengerti yang dia memang
tiada sebarang kepentingan dalam hidupku. Selama aku
mengenalinya, aku sama sekali tidak pernah menanam biar
pun secebis impian untuk didekati oleh lelaki seperti itu. Aku
harap Estaban mengerti itu semua sama sekali tidak pernah ada
dalam agenda hidupku selama aku berada di Cambridge ini!
AKU DAN Ameena keluar untuk membeli barangan keperluan
di Bismillah Halal Grocery yang terletak di Mill Road pagi itu.
Kami sama-sama tidak mempunyai kuliah dan inilah masa yang
sesuai untuk kami gunakan bagi membeli barang keperluan
harian. Di pasar raya itu muka kami semua memang sudah
dicop sebagai pelanggan tetap kerana hanya di situ saja mudah
untuk kami mendapatkan keperluan harian dan daging halal
dengan harga yang agak murah. Sesuailah dengan ekonomi
kami sebagai pelajar yang awal semesta penuh, tengah semesta
mula kempeslah poket kami ni.
Aku dan Ameena menghabiskan masa lebih empat jam
membelek barang-barang keperluan seperti barang dapur dan
barang-barang mandian di situ. Puas juga menjelajah pasar raya
itu sehingga aku sendiri tidak sedar yang sudah agak lama kami
berada di situ. Lenguh lutut dibuatnya kerana berdiri terlalu
lama. Namun lama-kelamaan kami berdua sudah terpisah arah.
Ameena entah di lorong mana.
“Hai, sayang!” Sapaan itu benar-benar mengejutkan
aku yang bersendirian membelek krim mandian. Aku lantas
menoleh. Tidak perlu diteka lagi kerana aku sudah cukup kenal
dengan suara lelaki itu.
“Awak?” Soalku masih terkejut. Hampir terbeliak
mataku memandang Estaban yang sedang mengukir senyuman
manis kepadaku.
“Ya...” Sepatah sahaja jawapan Estaban. Aku
memandang sekeliling. Bayang Ameena masih tidak kelihatan.
Entah kenapa aku kalut seketika di situ. Aku benar-benar tidak
menyangka akan bertemu dengan lelaki ini di sini.
“Dia ada kat sebelah sana,” ujar Estaban sambil
menunjukkan ke satu arah. Macam tahu aja siapa yang sedang
aku cari.
“Siapa?” Soalku buat-buat tidak mengerti siapa yang
dimaksudkan lelaki itu.
“Kawan awak. Saya nampak dia kat lorong sana,” jelas
Estaban lembut.
“Awak buat apa kat sini?” Soalku kepada lelaki itu.
Gelagat lelaki itu yang berdiri sambil menyeluk poket jeansnya
aku kerling dengan ekor mata.
“Saya cari awak...”
“Cari saya untuk apa? Macam mana awak tahu saya di
sini?” Soalku masih tidak berpuas hati. Takkanlah dia mengekor
aku pulak?
“Saya tahulah. Saya pun tahu di mana awak tinggal.
Ini, kan tempat saya?” Balas Estaban lembut. Matanya masih
merenung mesra kepadaku tanpa berkelip.
“Awak cantik sangat macam ni. Saya suka tengok awak
berpakaian macam ni. Nampak ringkas...” Pujinya perlahan.
Matanya sempat memandangku dari atas ke bawah.
“Apa yang cantiknya macam ni?” Balasku selamba
sambil buat-buat membelek krim mandian di tanganku itu.
Rasanya aku biasa aja. Dengan mengenakan blaus longgar yang
labuh sehingga ke bawah punggung dan dipadankan dengan
seluar jeans berwarna biru, apa yang cantik benar?
Estaban tidak membalas. Setelah beberapa ketika kami
berdiam, aku mula memerhatikan lelaki itu. Lelaki itu sedang
memandang wajahku. Renungan itu membuatkan aku mula
berasa canggung. Aku pun takde idea apa yang mahu dibualkan
dengan Estaban. Sedikit sebanyak ketenanganku sudah mula
diusik dengan kehadiran lelaki itu. Mahu marah... rasanya tidak
kena pula. Lagipun apa hak aku untuk menghalang kedatangan
lelaki ini ke sini? Pasar raya ini bukannya aku yang punya!
“Kenapa awak pandang saya macam tu?” Soalku mula
tidak senang dengan gelagatnya. Aku sendiri sudah berasa serba
tidak kena. Malu pun ada.
“Saya memang suka tengok awak. Awak buat apa lepas
ni?” Ucap Estaban sambil tersenyum mesra.
“Balik!” Jawabku sepatah.
“Saya hantar awak, boleh?” Tanya Estaban lembut.
“Saya datang naik bas, jadi balik pun mesti naik
bas...” Aku menjawab selamba. Serentak itu aku bergerak
meninggalkan kawasan itu untuk menjauhinya. Namun
Estaban segera mengekoriku.
“Kalau saya hantarkan pun takpe... kan? Takde salah.”
Dari belakang Estaban membalas.
“Tak salah. Tapi saya yang tak nak!” Aku menjawab
serius tanpa memandang lelaki itu. Bakul yang kubawa agak
berat. Aku mula memegangnya dengan kedua-dua belah
tangan. Namun tiba-tiba terasa bakul itu ditarik seseorang dari
belakang.
“Tak payahlah! Saya boleh bawak!” Getusku tidak
senang apabila melihat Estaban mula menarik bakul itu dari
peganganku.
“Takpe. Bakul ni berat. Biar saya yang pegang untuk
awak...” Ucap Estaban enggan mengalah. Bakul itu ditariknya
juga sehingga aku akhirnya membiarkan saja bakul itu
berpindah ke tangannya. Namun saat itu aku mula menghela
nafas perlahan. Aku benar-benar tidak senang dengan keadaan
ini.
“Awak nak apa daripada saya ni, Estaban?” Soal aku
sedikit tertekan. Kalau boleh, aku mahu terus berada di situ
tanpa kehadiran Estaban. Tetapi lelaki ini nampaknya mahu
juga terus menghimpitku.
“Saya cuma nak temankan awak...”
“Kan Ameena ada dengan saya? Tak payahlah awak
sibuk-sibuk mengekor saya ke sana, ke mari. Saya rimaslah!”
Aku membantah kehendak lelaki itu. Aku tidak mahu Ameena
ternampak Estaban berada di sini. Nanti tiba-tiba sahaja Ameena
bertukar minat mahu menjadi wartawan gosip!
“Kalau saya yang temankan, apa salahnya?” Jawab
Estaban terus berlembut denganku.
“Estaban, awak ni memang tak faham-faham, kan?
Saya tak mahu awak ada di sini. Tolonglah pergi. Jangan ganggu
saya!” Tekanku mula geram dengan lelaki itu.
“Insyirah, saya cuma nak berkawan dengan awak. Awak
belum kenal siapa saya sebenarnya. Saya tak seburuk yang
awak sangkakan. Saya cuma nak dekat dengan awak.” Lelaki
itu menjawab semula. Kali ini nadanya teralun amat lembut
bagaikan mengharap sesuatu daripadaku.
Dah agak dah! Mesti dia nak sesuatu daripada aku! Aku
mengeluh perlahan. Bakul di tangan Estaban cuba kuambil
semula namun lelaki itu enggan melepaskannya.
“Please... saya betul-betul sukakan awak,” ucap
Estaban lagi.
“Saya tak sukakan awak. Sikit pun tak!” Tegasku tidak
melayan luahannya itu.
“Kenapa?”
“Kenapa apa?”
“Awak langsung tak mahu berbaik dengan saya?” Suara
lelaki itu merendah. Ada nada kecewa teralun dalam suaranya.
Begitu juga dengan pandangan matanya kepadaku. Namun
sedikit pun aku tidak mahu memberi peluang kepadanya.
“Untuk apa saya berbaik dengan awak? Awak yang
buat saya tak suka dengan perangai awak selama ni. Lagipun
perkataan ‘suka’ macam yang awak sebutkan tadi tu... tak boleh
dipercayai langsung! Awak ni kaki perempuan. Jadi tolong bagi
balik bakul ni. Saya dah nak balik!” Tukasku keras tanpa mahu
melayan perasaan lelaki itu kepadaku.
Estaban terus kehilangan bicara saat itu. Akhirnya
bakul itu dilepaskannya juga kepadaku. Langkahku yang
semakin menjauhinya tidak lagi diekori. Sebaliknya dia
memandang sahaja aku dengan seribu kehampaan. Akhirnya
tanpa kata dia berlalu dari pasar raya itu.
Aku mula menarik nafas lega apabila dari jauh aku
melihat Estaban berlalu. Aku mula mencari Ameena yang kini
entah ke mana hanyutnya. Bimbang Estaban kembali semula,
aku nekad enggan terpisah lagi daripada Ameena.
SELEPAS BERAKHIR proses belek-membelek, kami akhirnya
membuat pembayaran dan pulang ke rumah dengan menaiki
keretapi bawah tanah. Aku sempat mengeluh dengan beban
yang kubawa. Masa mengumpul tadi, rasa macam tak kisah. Bila
dah bayar, macam tak cukup tangan pula aku mengangkut begbeg
kertas yang dipenuhi dengan barang-barang itu. Itulah...
tadi ada orang kaya nak hantar balik, aku yang menyombong.
Padan muka aku!
Setibanya kami di rumah, suasana sunyi. Hanya
Hamizah sahaja yang ada di ruang tamu sedang mengulang
kaji pelajaran. Itu semua memang tidak pelik kerana kami
mengenali Hamizah sebagai seorang yang memang agak gigih
dalam pengajiannya.
“Memborong, nampak? Hari gaji ke ni?” Usik Hamizah
sebaik sahaja ternampak kami masuk ke rumah itu. Dia
tersenyum sambil memandang hasil borongan kami.
Aku dan Ameena tergelak sahaja mendengar ucapan
Hamizah itu. Kami terus duduk di ruangan tengah yang
menempatkan sofa yang agak usang milik tuan rumah itu bagi
melepaskan keletihan. Barangan semuanya kami longgokkan
di atas lantai kerana sudah tidak berdaya untuk memegangnya.
Aku sendiri sudah cukup kepenatan hinggakan tidak larat lagi
untuk membawa barang-barang itu ke dapur.
“Barang-barang dapur dah habislah, Izah. Fira dengan
Nenny mana?” Ameena bersuara sambil memandang ke arah
bilik yang bertutup sahaja.
“Keluarlah. Kau pernah nampak budak berdua tu
kat rumah selama ni? Rumah ni kan hotel diaorang?” Balas
Hamizah tanpa mengalihkan perhatiannya dari buku tebal yang
menjadi bahan rujukannya itu.
“Kau tak keluar ke?” Ameena menyoal lagi.
“Kalau takde hal kat luar buat apa nak keluar? Baik aku
buat assigment lagi baik.” Sambil menulis Hamizah menjawab.
Khusyuk benar Hamizah saat itu. Sesekali kening wanita itu
berkerut dan kepalanya digaru-garu. Mungkin kepulangan
kami sudah mengganggu sebahagian daripada tumpuannya.
“Kau buat assigment ke tu?” Sekali lagi suara Ameena
yang kedengaran. Hamizah mengangkat pandangan sambil
ketawa sedikit.
“Taklah! Aku tengah buat sambal belacan. Kau tak
nampak aku tengah tumbuk cili api ni?” Dia mula mengeluarkan
idea nakalnya untuk mengenakan Ameena.
mengagak yang Hamizah pasti akan menjawab begitu.
Soalan Ameena kedengaran agak bodoh. Kami sendiri nampak
ada bermacam-macam buku dan kertas bersepah di atas meja
itu. Takkanlah nak buat bodoh pulak? Mestilah tengah buat
assignment!
“Menyampah aku kalau bercakap dengan kau ni, Izah.
Loyar buruk! Baik kau jadi lawyer aja daripada jadi akauntan,”
sahut Ameena bengang dengan jawapan Hamizah.
“Dah tu, siapa suruh tanya soalan yang kurang berilmu
ni,” desis Hamizah perlahan sahaja kepada Ameena.
“Dahlah tu. Aku nak masuk bilik. Penat sangat kaki
aku ni.” Aku lantas bangun dari sofa itu. Kepenatan yang
kurasai tidak membuatkan aku terasa mahu menyertai sesi
kutuk-mengutuk dua sahabatku itu. Ameena juga ikut bangun
untuk ke biliknya.
“Syira...” Hamizah memanggilku semula saat aku
sudah berada di ambang bilik. Spontan pandanganku terhala
semula kepada Hamizah.
“Ada sales tak dekat Bismillah tu?” Soal Hamizah
lembut. Aku terus tersenyum. Spontan terlintas idea dalam
benakku ini untuk mengenakan Hamizah pula. Tadi dia
menggelarkan soalan Ameena sebagai soalan yang kurang
berilmu. Kini dia juga menanyakan soalan yang lebih kurang
sama.
“Sales dia macam biasalah... sentiasa ada. Selagi tak
bankrap pasar raya tu, bermakna memang adalah sales dia.
Banyak lagi barang dalam pasar raya tu, kalau kau nak tolong
habiskan. Tapi kalau kau maksudkan sales jualan murah
penghabisan stok tu takdelah. Seumur hidup aku kat sini, aku
tak pernah tengok Bismillah tu ada buat jualan murah.” Aku
segera membalas dalam nada yang agak meleret.
“Kurang asam kau, Syira. Kalau sales yang biasa tu aku
tahulah. Tak payah kau cakap pun memang aku tahu. Maksud
aku jualan murah. Kau pun nak jadi loyar buruk jugak? Dah
ubah fikiran tak mahu jadi akauntan?” Dengusnya geram
denganku.
“Lain kali janganlah tanya soalan yang kurang berilmu
ni, Izah. Kau pun tahu Bismillah tu memang sentiasa jual
barang dengan harga rendah. Pernah ke nampak Bismillah tu
buat sales potongan harga? Tak pernah, kan? Jadi kalau kau nak
yang ada sales macam tu, kau pergi Harrods. Mungkin sana
ada. Tapi macam mana kau nak pergi sana? Kau, kan kedekut?”
Dalam kelembutan terlepas juga sindiran itu buat Hamizah.
“Cis! Memanglah kau ni, Syira. Kau kenakan aku!”
Ameena yang turut mendengar sudah terbahak-bahak
ketawa. Seronok dia apabila merasakan aku sudah membalas
dendam bagi pihaknya. Aku ikut terkekeh-kekeh ketawa saat
masuk ke bilik. Malas aku mahu melayan Hamizah lagi. Selepas
solat zuhur, tanpa dapat ditahan aku terlelap di atas katil.
Namun aku tersedar tidak lama selepas itu apabila suara Ameena
kedengaran lantang dari muka pintu bilikku mengatakan ada
panggilan telefon daripada abah. Bagaikan magnet, sepantas
kilat aku bangun lalu berlari mendekati meja telefon di ruang
tamu.
“Assalamualaikum, abah.” Aku memulakan sapaan
apabila ganggang telefon sudah kulekapkan ke telinga.
“Waalaikumussalam... Syira tidur ke?” Suara abah
sayup kedengaran di hujung sana. Saat itu hilang terus
mamaiku apabila terdengar suara abah.
“Ha’ah... Syira terlelap tadi. Abah apa khabar?” Aku
membalas ceria. Suara abah bagaikan sudah menyuntik
kesegaranku. Barulah otakku dapat berkerja dengan betul saat
ini.
“Baik aja. Syira macam mana sekarang? Ni Syira tidur,
mesti sebab sejuk kat sana tu, kan?”
“Syira sihat macam biasa. Kat sini sejuk tapi taklah
sejuk sangat. Biasa aja sebab sekarang musim luruh. Hari ni,
abah tak ke ladang ya?” Soalku lembut.
“Ha... inilah sebabnya abah telefon ni. Ada perkara
yang abah nak beritahu.”
“Apa dia?”
“Pak Usu Samad di Mersing tu meninggal. Abah
baru aja dapat berita sekejap tadi. Ni abah dengan mak nak ke
Mersing sekejap lagi. Syah dengan Apai pun ikut sama. Abah
bimbang Syira telefon ke rumah aja nanti. Takut takde orang
berjawab, Syira tertanya-tanya pulak ke mana kami pergi.”
“Innalillahiwainnailaihirrajiun... sebab apa Pak Usu
meninggal, abah?” Terkejut aku mendengar berita itu. Pak Usu
itu adalah adik abahku. Kalau tidak salah aku, baru 39 tahun
usianya. Masih muda...
“Kata Mak Usu, dia sesak nafas sebelum nak tidur tadi.
Abah pun tak berapa tahu apa sakitnya. Rasanya selama ini dia
sihat aja. Tapi yalah... ajal ni bukan untuk orang sakit je. Orang
sihat pun ada ajalnya juga,” jawab abah sedikit rendah nadanya.
Aku tahu abah pasti sedih. Pak Usu adalah adik abahku yang
bongsu.
“Kesian Mak Usu tu. Mesti dia sedih. Anak-anak pun
semua masih sekolah,” ucapku perlahan. Terbayang aku wajah
wanita yang bertugas sebagai guru di sebuah sekolah menengah
di Mersing itu. Kasihan dia... entah macam mana dia melalui
keadaan ini.
“Itulah... Tapi janji Allah untuk dia dah sampai. Apa
boleh buat. Hari ni hari dia, esok lusa kita tak tahu giliran siapa
pulak. Kita ni kena siap sedia aja. Bila sampai masanya... tak
boleh dah nak ditangguh sehari dua lagi,” jawab abah tenang.
Insaf aku mendengar kata-kata abah. Tak terbayang
olehku jika disapa sakaratul maut saat diri masih tidak bersedia.
Nauzubillah... harap-harap Allah ampunkan dosa-dosa bapa
saudaraku itu.
“Nanti kirim salam takziah Syira pada Mak Usu ya?
Berapa hari abah di Mersing?” Ucapku perlahan. Sayu benar
hatiku memikirkan wanita itu.
“Tak tahu lagi. Mungkin seminggu agaknya. Mak
Usu tu pun bukannya ada adik-beradik dia dekat-dekat sini.
Semuanya jauh di utara sana. Eloknya... biarlah abah dengan
mak temankan dia dulu di sana buat seminggu dua ni. Kesian
dia...” Jawab abah. Dalam hati aku bersetuju juga dengan hasrat
abah itu. Itulah yang sebaiknya.
“Syira di sana tu jaga diri. Jangan menyombong dengan
orang... jangan pula terlalu lemah sampai hilang pegangan.
Abah tahu keadaan di sana tu jauh lebih hebat berbanding di
sini. Hanya orang yang tetap berpegang pada iman sahaja yang
akan menang melawan arus dalam dunia sebegitu,” sempat juga
abah menitipkan nasihatnya. Nasihat yang sudah aku dengari
berkali-kali. Namun abah tetap mengulanginya buat ke sekian
kali. Kata-kata abah membuatkan aku segera teringat kepada
lelaki bernama Estaban itu. Dialah arus hebat yang harus
ditongkah saat ini. Setakat ini orang lain tidak ada sangat
memberi masalah kepadaku.
“Syira faham, bah.” Aku menjawab perlahan.
“Berkawan biar seribu. Tapi pegangan kita mesti hanya
satu. Jangan mudah terikut dengan gaya orang lain. Ke mana
pun kita pergi, kita tetap diri kita sendiri. Di mana benua pun
kita duduk, kita mesti patuh pada hukum Allah. Selagi Syira
berpegang kepada itu, Insya-Allah... apa pun yang Syira lalui,
Syira akan selamat dunia akhirat. Takde apa yang hendak
ditakutkan kerana Allah selalu ada dengan kita.”
“Syira faham. Syira tak pernah lupa pesanan abah tu,”
jawabku perlahan.
“Abah dah nak gerak ni. Syira jaga diri ya.”
“Yalah. Kirim salam rindu Syira pada mak ya.” Ucapku
lembut. Tidak sempat aku nak berbual dengan emak. Aku
tahu dalam keadaan ada kematian begini, perkara yang wajib
itu harus didahulukan. Ada masa, esok lusa aku masih boleh
berbual dengan emakku itu.
“Insya-Allah... Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam...”

No comments:

Post a Comment