DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

JANJI PADA-NYA - BAB 1

Anak kuda mati tersungkur,
Anak badak mati tercekik,
Kepada Allah harus bersyukur,
Jika tidak mahu mati celik.
Beberapa bulan kemudian...
MATAKU meliar ke kiri dan ke kanan
memerhatikan orang yang lalu-lalang. Persekitaran kampus
itu agak sesak dengan pelajar-pelajar yang baru menghabiskan
kuliah. Sama seperti aku. Manusia terus bersimpang siur di
hadapanku dengan hala tujuan mereka sendiri. Tetapi aku di
situ masih resah apabila seseorang yang aku nantikan masih
tidak terlihat dek sepasang pancainderaku ini. Aku sebenarnya
sedang mencari teman akrabku Ameena, yang juga merangkap
rakan serumahku. Kami sering pulang bersama setiap kali
habis kuliah.
Lima minit kemudian, barulah aku ternampak kelibat
Ameena sedang terkocoh-kocoh datang kepadaku. Aku sempat
menghela nafas lega tatkala melihat temanku yang berbaju
kurung dan berjaket tebal itu berjalan laju ke arahku. Sempat
Ameena menunjukkan sengihannya dari jauh. Rundu-randa
Ameena dengan beg dan segala macam buku-buku pengajiannya.
“Sorry, aku lambat...” Ucap Ameena dalam sedikit
kecungapan. Kelam-kabut sedikit Ameena aku lihat.
“Takpe. Aku pun baru aja ada kat sini,” balasku terus
memandang Ameena. Kasihan melihat Ameena, sebilangan
buku di tangannya itu aku ambil sebagai bantuan untuknya.
Minah kaki buku macam Ameena kalau tidak membawa
sebeban buku memang tak sah! Agaknya kalau perpustakaan
boleh dibawa balik, memang dia dah tarik bawa balik ke rumah.
“Thank’s a lot. Nasiblah ada sukarelawan macam kau
ni, Syira. Penat aku! Huh!” Keluh Ameena sambil menghela
nafas kelegaan setelah sebahagian bebannya diambil alih
olehku.
“Makin kuruslah kawan aku seorang ni. Dahlah
makan pun bercatu...” Aku sengaja balas meleret sambil
mengerlingnya. Ameena tersenyum entah kenapa. Ada katakataku
yang membuatkan hatinya tercuit ke?
“Jomlah balik. Nanti tak sempat nak solat asar pulak,”
kata Ameena apabila menyedari kami sudah lewat daripada
kebiasaannya. Sempat dia memandang jam di pergelangan
tangannya.
Tanpa menunggu lagi, kami bergegas meninggalkan
dewan kuliah Austin, St Edmund College. Namun saat mahu
melepasi pintu utama bangunan kolej, kami bertembung
dengan empat gerangan lelaki yang mahu melangkah masuk
ke bangunan ini. Akibat mahu melalui pintu itu serentak,
kami hampir berlaga. Namun aku lebih pantas mengawal
langkah Ameena agar tidak melanggar salah seorang yang
sedang menghadang pintu itu dengan tubuh sasanya. Spontan
aku memandang lelaki yang lebih senior daripadaku itu. Mata
kebiruan itu menatapku dalam-dalam sambil tersenyum
meleret
Dia ni lagi! Hatiku mendongkol tidak senang terhadap
lelaki itu.
“Hai...” Sapanya dengan lagak ‘romeo must die’.
“Hai... maaf! Saya nak pergi sekarang. Minta laluan.”
Aku menjawab dengan selamba dalam Bahasa Inggeris sambil
bergerak ke kiri untuk melepasinya.
Renungan lelaki itu sedaya upaya tidak aku layan. Tetapi
lelaki itu dengan pantas ikut ke kiri menghadang jalanku. Aku
mula memandang lelaki mat salih itu dengan rasa meluat yang
teramat sangat. Malas mahu melayan olahnya, aku cuba untuk
ke kanan pula. Namun begitu juga dengan lelaki mat salih itu.
Perlakuan itu bagai disengajakan.
Aku mula menghela nafas keras.
“Estaban, tolonglah! Saya nak lalu. Tolong ke tepi!
Semak betul!” Suaraku mula meninggi kepadanya. Menyampah
betul melihat gelagat lelaki itu. Semenjak pertama kali kami
berkenalan dulu, aku sudah cukup meluat dengan gaya Estaban
yang cukup nakal dan suka mengganggu orang. Dahlah nakal,
miang pulak tu!
Lelaki mat salih itu sekadar tergelak nakal dengan
teman-temannya.
“Lalulah...” Ucapnya tanpa mengalihkan tubuhnya
daripada menghadang pintu itu.
Aku menggetap bibir menahan geram dengan tingkah
laku Estaban. Semua rakannya itu tergelak macam suka
benar melihat aku menjadi bahan usikan temannya. Untuk
menghindar lelaki itu, aku segera ke laluan yang kosong. Tetapi
dengan selamba Estaban turut ke tempat yang sama, sengaja
menghalang jalanku.
“Apa masalah dengan awak ni, Estaban? Dah gila
agaknya!” Bentakku mula hilang sabar.
Takde masalah...” Jawab Estaban selamba sambil
menjongketkan bahunya.
“Estaban, saya tak mahu cari masalah dengan awak.
Tolong ke tepi. Saya nak lalulah! Sakit jiwa betullah dengan
perangai awak ni!” Aku yang sudah naik angin mula menjerit
kuat kepada lelaki itu. Setiap hari, ada sahaja olahnya mahu
menaikkan darahku.
Estaban ketawa-ketawa lagi dengan teman-temannya.
“Bergurau saja, Insyirah. Janganlah marah,” katanya
sambil tergelak seronok melihat muka merahku.
“Awak ni dah takde kerja lain ke selain daripada
mengganggu hidup saya? Saya bencilah dengan awak ni!
Perangai entah apa-apa,” herdikku sambil menjeling tajam
Estaban yang tersengih selamba. Jahat betul! Memang
menyampah sangat dengan kelakuan mamat romeo itu tetapi
aku tidak mampu menghindar diri daripada lelaki itu. Setiap
hari aku terpaksa melihat wajah romeo perasan ini di kampus.
Ameena yang berjaya melepasi mereka mulai bengang
melihat aku dikepung Estaban. Dengan sekuat-kuat hatinya
dia menolak tubuh Estaban dari belakang dan terus menarik
tanganku untuk menjauhi kumpulan pelajar senior itu. Kami
berdua berjalan sepantas yang mungkin meninggalkan Estaban
dan teman-temannya. Terus melayani lelaki tidak berguna itu
hanya akan membuatkan kami terlepas solat asar yang cuma
tinggal di hujung waktu sahaja lagi.
“Hei! Tunggulah... nanti kita akan bertemu lagi. Saya
akan terus cari awak, Insyirah.” Estaban melaung dengan
gaya yang cukup menjengkelkan. Aku sempat menoleh dan
menjeling kepadanya. Kalau berjumpa nanti pun kenapa?
“Menyampahnya tengok mamat tu. Perasan hensem!
Suka betul ganggu hidup orang,” kutuk Ameena yang bengang
dengan kelakuan Estaban.
“Dah memang perangai dia macam tu, nak buat
macam mana. Kalau adik aku, dah lama aku piat sampai biru.
Tak pun aku pijak-pijak aja biar mati cepat! Tapi itu, kalaulah...
Masalahnya... dia bukan adik aku,” balas aku membuatkan
Ameena tergelak sedikit kelucuan.
“Tak jemu-jemu dia mengacau kau. Dia tak tahu ke
orang menyampah tengok muka dia? Macamlah dia seorang aja
yang hensem kat sini! Muka hensem pun kalau perangai macam
jin, takde mananya orang nak suka.” Ameena menambah lagi
umpatannya.
Kali ini aku pula yang tergelak mendengar apa yang
diucapkan oleh Ameena itu. Soal jemu Estaban itu, memang
sudah tidak boleh diubah. Tetapi soal menyampah itu, aku yakin
Estaban tahu benar yang aku memang sangat-sangat tidak
suka dengan perangainya. Tetapi Estaban bagaikan tidak kisah
dengan semua itu. Muka tembok punya orang!
“Lantaklah dia, Meen. Jangan kusutkan kepala fikir
pasal dia. Kita ni tak sembahyang lagi dah mengumpat orang.
Asar dah lama masuk ni,” tukasku sambil mempercepatkan
langkah.
“Ni semua... si sengal tu punya pasal!” Sempat lagi
Ameena menambah lagi dosa keringnya, mengutuk lelaki mat
salih itu.
Aku diam sahaja. Kami pantas keluar dari kawasan fakulti
dan segera menuju ke perhentian bas untuk pulang. Mujurlah
nasib kami baik kala itu. Saat sampai sahaja di perhentian bas,
kelihatan ada bas double decker yang menghala ke Cambridge
Station sedang berhenti untuk mengambil penumpang. Melihat
itu, kami berdua mula berlarian mengelakkan ketinggalan bas.
Mujur sahaja Uncle Jack pemandu bas itu baik hati. Sengaja
menunggu sehingga kami tiba di pintu bas itu.
“Terima kasih, uncle.” Dengan nada penuh kelegaan
bercampur keletihan, kami mengucapkan terima kasih serentak
kepada lelaki tua yang berhati mulia itu kerana menunggu kami
tiba di basnya
“Jangan lambat lagi, anak manis...” Balas lelaki itu
sambil tersenyum kepadaku dan Ameena. Baik sungguh hati
lelaki itu.
Aku melepaskan nafas kelegaan sebaik sahaja selamat
berada di dalam perut bas itu. Walaupun kami terpaksa
meredah kesesakan dalam perut bas, namun itu semua alah bisa
tegal biasa. Dalam waktu-waktu begini, pengangkutan awam
sememangnya akan disesaki oleh pelajar-pelajar seperti kami.
Kami tiba di rumah pangsa yang menjadi rumah
sewaan kami di Tenison Evenue Norwich Street setelah suasana
menjelang sedikit gelap. Cepat-cepat kami berkejar masuk ke
bilik masing-masing untuk mengejar waktu solat yang tinggal
sedikit sahaja lagi.
AKU DAN AMEENA baru di tahun pertama pengajian di
Universiti of Cambridge di United Kingdom. Sebelum ini aku
merupakan pelajar lepasan A Level di Balles College di London.
Setelah tamat kursus A Level dengan keputusan cemerlang, kami
ditawarkan melanjutkan pengajian ke Universiti Of Cambridge.
Aku menuntut dalam pengajian perakaunan manakala Ameena
pula dalam bidang Sumber Manusia.
Tinggal di negara seperti ini, kami semua harus belajar
berdikit-dikit di dalam kehidupan seharian dek kerana kos sara
hidup di England agak tinggi di samping yuran pengajiannya
juga agak mahal. Mujurlah pembelajaran aku ditaja oleh
Yayasan Negeri kerana aku mendapat keputusan cemerlang
di dalam Sijil Pelajaran Malaysia yang lalu dan juga mendapat
Anugerah Pelajar Cemerlang.
Cambridge yang kami diami ini terletak 100 kilometer
dari kota London. Pekan ini merupakan pekan yang agak
kecil. Sebahagian daripada tanah di kawasan ini adalah milik
universiti tempat kami menuntut ilmu, juga merupakan
institusi pengajian yang tertua di England. Di sini kami semua
yang bergelar pelajar harus sentiasa berlumba-lumba untuk
menjadi yang terbaik kerana kami berada dalam kalangan
pelajar yang terbaik. Namun bagi aku mahupun Ameena, kami
sama-sama amat bersyukur dan menghargai peluang sebaik ini.
Selesai solat maghrib barulah aku dan Ameena mula
ke dapur pula. Sedang kami berdua rancak memasak sambil
dihiasi keriuhan gelak ketawa, Hamizah pulang dari kampus
sendirian. Wajah lesunya cukup menyatakan yang dia begitu
keletihan dengan aktiviti seharian yang amat padat.
“Dari mana, Izah?” Soalku setelah Hamizah duduk
di meja makan sambil memandang aktiviti yang sedang
berlangsung di dapur rumah kami.
“Dari kelaslah, Syira. Kau ni bertanya macam baru
semalam kenal aku,” kata Hamizah sedikit meleret sambil
melepaskan keluhan keletihan.
Aku tergelak sendiri menyedari soalan itu kedengaran
agak bodoh untuk teman sebijak Hamizah.
“Saja je tanya. Mana tahu kau ubah angin hari ni balik
dari kelab malam pulak...” Ujarku lantas mengekek serentak
dengan Ameena.
Kami memandang Hamizah dan kami berdua saling
berpandangan seketika kemudian tergelak lagi. Kami memang
suka benar menjadikan Hamizah sebagai bahan sakatan. Dia pun
sebenarnya sporting orangnya. Tak cepat melatah. Terbuntang
mata Hamizah mendengar kata-kataku itu. Tetapi tawanya
terburai juga akhirnya. Ada kelucuan yang dirasakan kerana
sepanjang kami mengenali Hamizah, dia memang seorang yang
amat kuat belajar. Keluar untuk ke pasar raya juga amat jarang
bagi teman serumahku ini. Apatah lagi mahu ke kelab malam!
Hamizah seorang ulat buku.
“Pandailah kau, Syira... kau ingat masuk kelab malam
tu free? Daripada aku menghabiskan masa dan duit dengan
perkara yang boleh membawa aku ke neraka, lebih baik aku
tidur. Lagi baik!” Balas Hamizah yang tua setahun daripadaku
dengan selamba.
Selain Hamizah kami juga mempunyai dua lagi rakan
serumah iaitu Safira dan Nenny Akmar. Kedua-dua mereka juga
menuntut di tahun yang sama dengan Hamizah.
“Tolong ambilkan aku air, Syira. Kaki aku ni dah tak
larat nak jalan la...” Pinta Hamizah dengan muka seposennya
kepadaku. Sekali pandang mimik mukanya macam baru lepas
kena pelempang dengan mak mertua.
“Amboi... mengada-adanya. Nak bermanja pulak
ke? Nak bermanja ke, nak kumpul selulit kat punggung tu?”
Tegur Ameena dengan suara lantang. Aku sudah menyeringai
mendengar kata-kata yang cukup pedas daripada Ameena.
“Tolonglah. Kau sayang aku, kan?” Rayu Hamizah mula
merengek manja kepadaku. Aku sempat mencebik. Namun
kerana kasihan kepadanya yang sedang kepenatan, aku akur
juga. Segelas air masak segera aku ambil lalu diserahkan kepada
Hamizah. Melihat Ameena yang begitu asyik dengan gulai di
atas dapur, aku ikut duduk bersama Hamizah di meja itu.
“Kau masak apa malam ni, Syira? Sedapnya bau ni?”
Tanya Hamizah sebaik sahaja aku duduk.
“Kari ayam. Eh! bukan aku yang masak, tapi Meen.
Hari ni turn resepi dia pulak. Aku tolong tengok aja, di samping
tolong merasa apa yang patut,” balasku sambil memuncungkan
bibir kepada si tukang masak yang sedang mengambil giliran
malam ini.
“Kau masak untuk korang berdua aja atau masak
untuk semua, Meen?” Hamizah menyoal sambil tersengih
kepada Ameena.
“Untuk kita tiga oranglah. Kau ingat aku ni buruk
perangai nak melantak seorang? Beli barang share, makan
sendiri-sendiri pulak. Ha! Jangan buat-buat lupa pulak. Esok
turn kau pulak memanaskan dapur ni,” balas Ameena laju
dengan suara yang tegas. Hamizah tersengih sahaja kepadaku.
Kami semua sudah ada perjanjian yang mensyaratkan kami
harus bergilir-gilir memasak di rumah ini.
“Izah kalau memasak, mesti menjilat sampai jari kaki
kita nanti.” Aku sempat tergelak saat melemparkan usikan itu
kepada Hamizah. Ameena yang mengerti maksud kata-kata itu
juga mula melambakkan tawanya dari arah dapur. Mungkin
dia terbayangkan roti bakar rentung yang pernah dihidangkan
oleh Hamizah kepada kami dahulu. Aku pun sebenarnya sedang
membayangkan benda yang sama.
“Menyindir nampak?” Tukas Hamizah pantas sambil
mengerling tidak puas hati kepadaku dengan ekor mata.
“Aku menyindir ke? Takdelah. Aku baru aja bagi kau
semangat.” Aku membalas dalam senyuman terkulum. Namun
tidak tertahan rasa geli hati, tawaku terhambur juga tidak lama
selepas itu.
“Tahulah... aku ni tak tahu memasak. Bukan macam
kau. Masak apa pun sedap. Malaslah aku nak masak macam ni.
Nanti korang mengata aku pulak.” Hamizah merungut sambil
mencebik.
“Ah! Kau jangan nak mengada-ada ya, Izah. Ooo...
kalau pasal makan kau yang paling laju menambah, kan? Tapi
bab memasak, pemalas! Baru kena sindir sikit dah nak merajuk
kononnya. Takde mananya kau boleh mengelak. Kalau kau tak
masak esok... siap kau! Aku sumbat ayam mentah dalam peti
ais tu dalam mulut kau, sampai kau kenyang!” Ameena terlebih
dahulu menunjukkan reaksinya setelah mendengar kata-kata
Hamizah. Dia terus datang bercekak pinggang di hadapan kami
dengan lagak cikgu disiplin.
Aku dan Hamizah tertawa kuat di meja itu melihat
gelagat Ameena. Mulutnya memang bak bertih goreng bila
bab memarahi orang. Boleh terkatup mulut sesiapa yang cuba
berlawan kata dengannya. Dia juga dikenali sebagai orang yang
suka bercakap dengan ‘volume’ yang tinggi. Memang sesuai
sangat kalau jadi cikgu!
“Aku main-main ajalah. Kau janganlah garang sangat,
Meen. Kau ni macam mak tiri dalam cerita Ratapan Anak Tiri
aja. Seram anak tiri kalau ada mak tiri macam kau.”
“Tiri-miri... Kau tak masak esok... siaplah kau! Aku
siang kau hidup-hidup buat stik!” Ameena sudah meluahkan
ugutannya.
Aku semakin galak ketawa. Perkataan ‘tiri-miri’ yang
dikatakan oleh Ameena itu semakin melucukan.
“Eh! Izah, kau ingat tak mangkuk Swiss yang perangai
macam lanun Somalia kat kampus tu?” Soal Ameena tiba-tiba
sahaja mengalihkan topik saat itu. Reaksinya juga mendadak
berubah seolah-olah ada sesuatu yang amat serius yang mahu
diberitahu kepada Hamizah saat itu.
“Mangkuk Swiss???” Hamizah memandang aku dengan
reaksi yang tidak mengerti. Aku tercengang sedikit kerana aku
juga tidak mengerti apa sebenarnya yang mahu disoal oleh
Ameena sebenarnya. Keningku mula berkerut memandang
sahabatku itu.
“Semenjak bila pulak kau tahu kat Swiss ada jual
mangkuk, Meen?” Tanyaku agak bodoh.
“Alah... kau ni buat-buat blur pulak. Mangkuk ayun
yang kacau kau kat kampus tadi itulah, Syira!” Tegas Ameena
riuh sambil mencuit bahuku. Tadi lagak macam mak tiri. Kini
macam Mak Joyah pula.
“La... mangkuk Swiss macam lanun Somalia tu, si
Estaban ke? Manalah aku tahu apa yang kau maksudkan tu...
dia,” sambutku lantas ketawa. Bertambah lagi gelaran untuk
lelaki itu.
Sebelum ini, kami bertiga menggelar Estaban
dengan nama’buaya paya’. Sesuai sekali dengan perangai kaki
perempuannya. Kemudian gelaran ‘jantan macholah’ yang
dikutip daripada lirik lagu kumpulan KRU dan Adam yang
bertajuk Terhangat Di Pasaran dan macam-macam lagi yang
kami gelarkan Si Estaban tu. Kini Ameena menambah lagi
dengan gelaran lanun Somalia.
“Estaban budak bussiness tu ke?” Kali ini Hamizah
pula yang menyoal bagi mengesahkan gerangan makhluk yang
ada dalam fikirannya saat ini.
“Yalah... siapa lagi yang ada nama Estaban kat kolej
tu?”
“Kalau aku... takdenya aku nak panggil dia mangkuk
Swiss. Aku panggil dia mangkuk jamban. Barulah kena!” Ucap
Hamizah selamba. Spontan meledak tawaku dan Ameena
tanpa sengaja. Nampaknya dia juga tidak suka anak hartawan
dari Swiss itu. Seluruh kampus mengenali lelaki yang kononkononnya
rebutan ramai wanita kerana ketampanan dan
kekayaannya itu.
“Siapa lagi yang glamour dengan perangai macam
syaiton tu, kalau bukan Estaban? Tadi dia kacau Syira lagi, kau
tahu!” Ameena dengan rela hati mengadu bagi pihak aku tanpa
perlu diarahkan.
“Dia kacau kau lagi, Syira?” Hamizah terus memandang
aku pula seakan-akan meminta kepastian. Aku sekadar
mengangkat bahu sedikit. Memang menyampah tetapi apa yang
boleh aku lakukan untuk mengekang perangai lelaki itu? Selagi
terdaya aku akan mengelak. Jika tidak, kami akan bertengkar
sahaja seperti kebiasaan rutin kami.
“Habis tu... apa kau buat kat dia?” Tanya Hamizah
kepadaku.
“Heh! Syira ni... takkan kau tak kenal lagi, Izah? Tak
habis-habis nak bersabar dengan si gatal tu.” Ameena terlebih
dahulu menjawab bagi pihak diriku.
“Habis tu, kau nak aku buat apa kat dia? Kalau ikut
hati aku ni, nak aja aku siat-siat kulit dia bila nampak muka dia
tu. Dah dia tu yang tak reti bahasa. Nak buat macam mana?”
Spontan aku meninggikan suara sambil membulatkan mata
kepada dua temanku itu.
“Kalau aku jadi kau, aku sepak aja ehem-ehem dia tu.
Baru padan muka dia,” jawab Hamizah selamba seolah-olah
sedang memberi idea kepadaku itu untuk membalas segala
perbuatan Estaban di lain masa.
Terbuntang mataku memandang Hamizah yang
sudah tergelak besar dengan Ameena. Sampai begitu sekali
idea Hamizah. Tetapi apabila difikirkan semula, mungkin
aku patut pertimbangkan untuk menggunakan cara sadis itu
bagi menghentikan perbuatan lelaki itu kepadaku. Mana tahu
Estaban insaf nanti.
“Dia memang suka kat kau tu, Syira. Nampak kau
aja mesti dia gatal nak kacau. Yalah... orang cantik, mestilah
kumbang suka nak dekat... ya tak, Meen?” Hamizah mula
disampuk miang mahu menyakat aku pula.
Terbeliak lagi mataku memandang Hamizah.
“Tolong sikit, Izah! Geli telinga aku ni dengar kau
cakap. Aku ni menyampah tahap nak muntah tengok muka si
Estaban tu, kau boleh cakap dia suka kat aku. Mintak Tuhan
jauhkanlah aku daripada dia. Eee... tak sanggup aku!” Balasku
dengan reaksi geli-geleman. Tubuhku bergegar-gegar bagaikan
sedang kegelian yang teramat sangat apabila terbayangkan
lelaki itu.
Hamizah dan Ameena masih sakan tertawa melihat
gelagatku. Namun tawa mereka kedengaran aneh kala itu.
Aku sudah mula terasa lain macam. Seolah-olah aku sedang
dipermainkan oleh mereka berdua.
“Apa ni? Korang ejek aku ya?” Aku mula membentak
tidak berpuas hati
asyik kacau kau aja, Syira. Nampak aja kau... mesti dia nak
datang dekat.” Kali ini Ameena pula yang menyokong telahan
Hamizah. Terus dia menyeringai nakal kepadaku.
“Meen, kau memang dah tahu dia tu memang miang
keladi. Bukan soal dia suka aku atau tak, tapi dah memang tu
habit dia. Dia tu, kalau kau pakaikan pokok kelapa dengan baju
seksi pun dia nak kacau. Dia tu jantan yang kemaruk betina!”
Cemuhku lancang. Itulah penilaianku yang setepat-tepatnya
tentang lelaki bernama Estaban itu.
Hamizah terus tergelak-gelak memandang Ameena.
Mereka saling mengangkat kening berdua semacam ada sesuatu
di antara mereka.
“Betul ke kau tak suka dia? Entah-entah dalam diam
kau suka kena kacau dengan dia tak? Kau pun suka main mata
dengan dia. Aku tahu, Syira. Kalau suka... mengaku ajalah...”
Usik Hamizah sambil tergelak sakan dengan Ameena.
Berdegup kencang jantungku mendengar ejekan itu.
Tebal rasa kulit wajahku di hadapan mereka.
“Tolonglah! Tolonglah! Bila masa aku main mata
dengan dia? Kalau dia jantan yang terakhir ada kat bumi ni
pun aku tak ingin. Biar aku tak kahwin lagi baik! Tak kuasa
aku!” Tukasku. Nekad mempertahankan pendirian sendiri tanpa
memikirkan betapa takburnya aku dengan kata-kata itu.
Dua temanku itu semakin seronok ketawa. Geli
hati sangat kononnya. Aku pula mencebik meluat apabila
terbayangkan lelaki itu. Apalah nasib diri jika tersangkut
dengan lelaki gatal seperti itu? Mintak simpanglah!
“Jangan terlebih cakap, Syira. Allah tak suka kita
mengata orang. Masin mulut kau, jantan yang kau kata tak nak
tu la nanti yang jadi suami kau. Baru kau tahu nasib kau bila
kena pandang muka dia tiap-tiap hari,” kata Hamizah entahkan
masih mengusik ataupun sedang mengingatkan aku.
tersedar yang aku baru sahaja terlepas cakap tanpa mengira
mungkin kata-kata itu akan memakan diriku semula. Sertamerta
aku menekup mulutku. Ya Allah! Jika masin mulutku
seperti yang dikatakan Hamizah, meranalah hidupku nanti. Oh,
tidak!
“Ya Allah! Ampun! Ampun! Aku tak sengaja tercakap
macam tu. Eee... mintak jauhlah dia jadi suami aku. Tak nak
aku! Seksa hidup aku nanti.” Aku terus menepuk-nepuk
mulutku kesal kerana bercakap tanpa berfikir terlebih dahulu.
Hamizah dan Ameena hanya memandang sahaja
kelakuanku. Tiada kata lagi untuk mereka perkatakan. Mungkin
mereka juga sedar bukan hanya aku seorang sahaja yang boleh
ditakdirkan mengahwini lelaki seteruk itu jika terlalu asyik
mengumpat tanpa mengira ‘ada’ yang sentiasa mendengar.
Mereka juga turut sama boleh termakan hasil umpatan sendiri.
SELEPAS KULIAH tamat pada jam 2 petang, kami berdua lebih
senang melepak di perpustakaan di bangunan St. Edmund
College untuk menelaah pelajaran. Aku sendiri masih sibuk di
rak sambil mencari buku yang diperlukan, sementara Ameena
sudah duduk selesa di meja.
Sedang asyik membelek sebuah buku, aku tiba-tiba
terbau sesuatu yang harum berhampiran denganku. Bau harum
itu lebih kepada bau minyak wangi lelaki. Dengan pantas aku
menoleh ke sisi. Tersentap aku seketika menahan debar.
Estaban ada di sebelahku! Dia mula mempamerkan senyuman
meleretnya apabila pandangan kami bersabung. Aku pula
sekadar berlagak selamba.
Namun tidak mampu disangkal ketenangan hatiku
mulai berkocak dengan kehadiran lelaki itu. Untuk apa Estaban
ada di sini? Perpustakaan ini untuk pelajar-pelajar akaun.
Sedangkan falkulti Estaban berada di bangunan Gonville and
Calius College bersebelahan dengan bangunan ini. Sudah
tentulah perpustakaan untuk pengajiannya berada di sana.
“Perempuan Melayu yang cantik,” bisik Estaban
tiba-tiba menunjukkan kebolehannya berbahasa Melayu. Aku
sengaja mengerutkan kening tanda kabur dengan sikap lelaki
itu. Sebahagian diriku terasa mahu benar tergelak bergulingguling
mendengar pelat Estaban itu.
“Awak nak apa?” Soalku tetap berbahasa Inggeris
kepadanya. Percuma sahaja pun aku bercakap melayu
dengan mangkuk ayun ni... sebab aku tahu dia hanya tahu
beberapa patah perkataan itu sahaja. Itu pun mungkin dia
mempelajarinya beberapa minit yang lalu. Entah siapalah yang
baik hati mengajar Estaban dua tiga patah kata itu.
“Perempuan cantik.” Sekali lagi Estaban berkata
dalam bahasa Melayu. Aku terus memandangnya hairan. Aku
benar-benar tidak faham apa yang dimahukan lelaki ini. Mahu
perempuan cantik? Dia ingat aku ni ejen cari jodoh ke? Tak pun
mak ayam?
“Saya bukan perempuan cantik. Awak dah salah
orang,” balasku biasa lantas mengalihkan perhatian pada buku
di tanganku semula. Semoga Estaban faham yang aku tidak
berselera mahu melayaninya.
“Saya nak ajak awak keluar dengan saya.” Estaban
mula menukar dialeknya semula saat mengajukan ajakan itu.
“Saya tak mahu!” Jawabku spontan sambil meletakkan
kembali buku itu ke rak.
Aku tahu aku harus segera menjauhkan diri daripada
lelaki ini demi kebaikanku sendiri. Estaban tidak pantas untuk
aku dekati apatah lagi dalam keadaan kami sama-sama masih di
tangga pengajian. Aku tidak mahu merisikokan masa depanku
dengan membiarkan hatiku terusik kepada lelaki persis ini
sementelah aku sudah tahu tentang kegemaran Estaban
mempermainkan perempuan.
Aku sedar aku harus gigih untuk mengejar ilmu di sini
kerana bukan mudah untuk kami mencapai tempat terbaik di
Cambridge ini. Persaingan amat sengit di sini. Kesemua pelajar
yang ada memang cemerlang.
“Kenapa?” Estaban bertanya lembut.
“Saya takde sebab untuk keluar dengan awak. Tolong
ke tepi. Saya nak lalu,” balasku agak dingin.
Aku cuba untuk keluar dari situ. Tetapi Estaban
dengan pantas menghalang dengan meletakkan tangannya di
kiri dan kanan rak. Lorong di antara rak itu yang agak sempit
dan rak itu yang disusun rapat ke dinding telah membuatkan
aku terkandang di situ tanpa dapat mencari jalan keluar yang
lain. Satu-satu jalan yang ada sudah dihadang oleh lelaki itu.
Gelagat Estaban itu benar-benar membuatkan aku
terasa mahu menjerit untuk meluahkan rasa marah yang
sudah meruap-ruap. Tetapi masalahnya, kami sedang berada di
dalam perpustakaan. Terpaksalah aku tahan hati yang sedang
membengkak.
“Jangan ganggu sayalah, Estaban. Saya tak suka.
Tolong ke tepi!” Aku sekadar mampu membentak dalam nada
yang tertahan.
“Keluar dengan saya. Kita pergi makan dan berjalanjalan.
Saya nak dating dengan awak.” Estaban sekali lagi
mengulangi kemahuannya tanpa mahu berkompromi.
“Saya tak nak! Awak tak faham Bahasa Inggeris? Saya
tak pandai berbahasa lain selain daripada itu. Saya belum lagi
belajar bahasa awak. Jadi tolong jangan buang masa saya. Saya
malas nak layan awak!” Masih dengan bentakan yang tertahan
aku menolak ajakan itu.
Estaban tenang sahaja dengan senyum menggoda.
Dia terus memandangku lembut. Tetapi aku membalasnya
tajam. Sedikit pun aku tidak tergoda dengan renungan lelaki
itu. Satu perkara lagi yang aku tidak suka dengan lelaki ini
ialah rambutnya. Dia yang berambut keperangan menyimpan
rambut panjang sehingga ke tengkok persis seorang romeo.
Aku lebih suka lelaki yang berpenampilan matang dan kemas.
Bukannya romeo biarpun hatiku sering mengakui lelaki ini
memang cukup tampan.
“Awak cuma membazir masa saya. Tepilah!” Aku
cuba menolak tubuh Estaban apabila lelaki itu tetap enggan
mengalah. Estaban tergelak suka apabila tolakan itu tidak
mendatangkan apa-apa hasil. Sebaliknya kami berdua mula
berdiri rapat. Peluang yang datang segera digunakan oleh
Estaban sebaiknya.
“Saya dah lama sukakan awak. Boleh jadi teman wanita
saya?” Bisik Estaban lembut.
“Saya tak suka awak langsung!” Balasku selamba sambil
menolaknya lagi tetapi Estaban masih juga tidak berganjak dari
situ. Geram sungguh aku dengan kelakuan lelaki seorang ini.
Seperti mahu mendidih darahku melihat sengih nakalnya.
“Tepilah! Saya jerit nanti... awak juga yang susah!” Aku
mula melemparkan ugutan itu dengan tegas agar lelaki miang
ini mengerti yang aku tidak main-main.
“Kalau awak menjerit, saya cium awak nanti. Saya
tak kisah dihalau keluar dari sini asalkan saya dapat apa yang
saya angankan. Jeritlah!” Dia membalas semula dengan muka
selamba. Ugutanku itu kedengaran amat tidak laku untuknya.
Aku pula yang seriau mendengar ugutannya semula. Cium?
Yeak! Menjijikkan sungguh.
Melihat lelaki itu yang sememangnya tidak reti bahasa,
akhirnya aku bertindak nekad memulakan tindakan. Tubuh
lelaki itu aku rempuh sekuat-kuat hatiku. Hasilnya... Estaban
terdorong sedikit ke belakang. Dia sempat ketawa kecil dengan
gelagatku. Malas mahu melihatnya lagi, aku terus berlalu ke
meja belajar. Semua orang kelihatan sedang sibuk mengulang
kaji pelajaran tetapi Estaban sibuk menggatal pula.
Aku sangka semuanya akan berakhir di situ. Namun
tidak! Tidak berjaya kali itu Estaban berusaha lagi kali ini.
Tumpuan belajar aku pula yang sengaja diganggunya. Lelaki itu
sengaja duduk berhadapan dengan aku selang beberapa meja
dari tempat aku dan Ameena belajar. Dia duduk menghadapku
agar dirinya kelihatan di pandangan mataku.
Aku mula lemas melihatnya. Aku cuba juga untuk
tidak mengendahkannya. Tetapi gagal. Aku benar-benar tidak
selesa apabila Estaban duduk merenungku dari situ. Apabila
kami bertembung pandang, dia mengangkat kening kepadaku.
Menyampah dengan kelakuannya, akhirnya aku bangun dan
berpindah duduk berhadapan dengan Ameena dan sekaligus
membelakangi Estaban. Ameena memandang hairan dengan
kelakuanku yang tidak tentu arah itu.
“Ada syaiton kacau!” Bisikku teramat perlahan. Jikalau
pengawai perpustakaan itu mendengar suara kami, mungkin
kami terpaksa belajar di kaki lima perpustakaan sebagai
hukumannya.
Ameena menahan tawa apabila ternampak orang yang
aku maksudkan. Tanpa mempedulikan lelaki itu kami tetap
meneruskan ulang kaji. Tetapi keamanan itu hanya seketika
menjadi milikku. Aku spontan menoleh apabila terdengar kerusi
kosong bersebelahan denganku ditarik seseorang. Macam nak
mahu pengsan aku apabila terpandangkan Estaban dengan
selambanya mula berpindah duduk bersebelahan denganku.
Aku ingat aku dah cukup bijak. Dia lagi pandai rupanya!
Ameena turut memandang kelakuan Estaban dengan
mata buntang. Dia juga terkejut dengan keberanian lelaki
itu. Kemudian dia mula menunjukkan muka tidak senangnya
kepadaku bagaikan meminta aku segera menguruskan lelaki
tidak tahu malu itu. Dia sendiri sudah mula merasa terganggu.
Aku menghela keluhan keras. Apa lagi yang dia nak ni? Bentak
hatiku sebal. Bilakah masanya aku dapat merasa hidup aman
tanpa gangguannya?
Lelaki itu pula dengan lagak machonya tersenyum
mahu menggoda. Aku cuba bertahan dengan membiarkan
Estaban begitu sahaja. Bukannya apa... bimbang juga aku
jika akhirnya aku kalah dengan kepakaran Estaban yang
sememangnya amat pakar memikat perempuan. Oh, tidak!
Estaban memulakan agendanya. Hujung lengan
bajuku dikuis-kuisnya sambil memerhatikan aku. Aku menoleh
dengan renungan tajam. Tetapi dia tersenyum sambil membuat
gerak bibir yang dapatku fahami.
Katanya, I love you...
Aku menggeleng seketika sambil mencapai kertas pad
memo di hadapanku, lalu aku coretkan sesuatu dengan pantas
di atas pad memo itu. Selesai saja, kertas itu kuserahkan kepada
Estaban dengan harapan selepas membaca mesej itu dia akan
segera mengerti dan pergi jauh daripadaku.
Estaban membacanya. Dia tersenyum seperti biasa.
Seketika kemudian dia mencapai pen di tanganku lalu
mencoretkan sesuatu di belakang memo pad yang sama lalu
dikembalikan semula kepadaku. Dia tersenyum meleret saat
aku memandangnya. Aku menjeling lagi. Tidak enak benar rasa
di dadaku saat melihat senyuman lelaki itu.
Aku menggeleng sebal setelah membacanya. Pad
memo itu aku ramas dan dengan selamba aku lemparkan
kepada Estaban. Malas melayan, aku kembali menumpukan
perhatian kepada buku yang sedang terbentang luas. Namun
dalam kebisuan itu hatiku terus menjerit. Muka tembok! Tak
reti bahasa! Tak tahu malu!
Namun semakin bayangan lelaki itu cuba aku nyahkan
dari ruang mataku, semakin itu perasaanku haru-biru dalam
diam. Ternyata kehadiran lelaki itu di sebelahku ini membuatkan
segalanya jadi tidak kena. Apa yang aku baca di atas halaman
buku itu tidak mampu aku tafsirkan walau satu pun. Aku tidak
tahu mengapa aku langsung tidak mampu berlagak seolah-olah
dia tidak wujud di sebelahku. Sebaliknya saat ini mahu bernafas
pun aku terasa amat sukar.
Aku tak suka dia! Jerit hatiku sendiri.
Estaban mencuit lagi lenganku.
“Estaban, tolonglah...” Desisku amat perlahan.
“Saya suka awak,” ucap Estaban lunak.
Spontan aku mengisyarat kepada Ameena agar kami
pulang sahaja. Ameena yang mengerti mula akur. Kami mula
mengemas barang kepunyaan kami di atas meja itu. Mungkin
lain kali sahaja aku meminjam buku dari perpustakaan ini.
Selesai mengemas, kami berdua terus meninggalkan Estaban
yang sedikit terpinga-pinga memandangku. Seolah-olah tidak
bersedia untuk ditinggalkan di situ sendirian. Sebelum berlalu,
sebuah senyuman sinis sempat aku hadiahkan kepada Estaban.
Aku tak hairanlah dengan kau, jantan!

No comments:

Post a Comment