DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

JANJI PADA-NYA - PROLOG


SAMBIL menanti sahabatku, dua bola mataku
memerhatikan landskap bahagian hadapan bangunan kolej ini.
Kemas sekali sehingga tidak jemu mata memandang. Aku terus
terleka di situ sehinggalah suara seseorang mula mengganggu
tumpuanku terhadap keindahan panorama di kawasan itu.
“Hai, si cantik...”
Sapaan itu membuatkan aku menoleh serta-merta ke
sisi. Seorang lelaki asing sedang tersenyum kepadaku. Buat
beberapa ketika, mataku terpasak elok pada wajahnya tanpa
sengaja. Entah bila dia boleh berada di tepiku ini, aku sendiri
pun tidak tahu. Tahu-tahu muncul aja menyapaku dengan
suara garaunya.
“Hai... Nama saya Estaban. Awak?” Lelaki itu mula
menghulurkan tangannya.
“Nur Insyirah... maaf.” Aku mengerling tangannya
sebagai isyarat. Semoga dia tidak terasa hati aku tidak
menyambut salamnya itu. Lagipun tangan aku sedang sarat
dengan buku, jadi ada alasanlah untuk mengelak daripada
bersentuhan dengannya.
“Kenapa?” Lelaki bernama Estaban itu sedikit terpingapinga.
Riak pada wajahnya mula berubah. Dia memandang
telapak tangannya seketika sebelum kembali meratah seisi
wajahku dengan dua bola matanya.
“Tangan saya bersih,” ucap Estaban lantas ketawa kecil.
“Saya tak berjabat tangan dengan lelaki. Maaf ya?”
Ucapku perlahan.
“Oh!” Estaban melopong sedikit sambil memandang
aku agak lama.
“Awak pelajar baru, kan? Saya baru beberapa kali
nampak awak di sini.” Estaban terus memancing perbualan
denganku lagi. Aku sekadar mengangguk sambil buat-buat
menjenguk ke arah pintu masuk bangunan kolej. Harap-harap
Ameena lekaslah datang. Entah kenapa sebahagian hatiku tidak
senang dengan lelaki ini.
Kedudukan Estaban berdiri cukup dekat denganku.
Sambil menjadikan penghadang tangga di belakang kami sebagai
penyokong dirinya, lelaki itu sengaja meletakkan tangannya di
atas penghadang di bahagian belakangku. Sekarang aku dah
terasa macam patung di pasar raya pula. Keras tidak bergerak
kerana takut tubuhku bergesel dengannya. Kalau aku bergerak,
alamat akulah yang tergolek ke bawah.
“Awak pelajar jurusan apa?” Estaban cuba beramahtamah
lagi denganku.
“Akaun...” Serba ringkas sahaja jawapanku tanpa
memandang lelaki itu.
“Menarik! Saya memang suka wanita yang mengambil
jurusan akaun. Sebab... wanita memang diakui sangat suka
dengan duit, betul kan?” Ucap Estaban dan dia mula menyeringai
entah kenapa.
Spontan aku menoleh ke arah lelaki itu. Kata-kata
itu memanglah kedengaran seolah-olah sekadar satu gurauan
biasa. Tetapi aku yang mendengar ni entah kenapa terasa panas
hati pula. Dia menyindir aku ke apa ni?
“Ini pulak pendapat saya tentang duit. Semua orang
memang suka bermain dengan duit. Bukan setakat wanita,
lelaki pun sama. Ada yang sanggup menabur duit untuk
mendapatkan apa yang mereka mahukan. Nak-nak yang kaya
dan mata keranjang, betul kan? Tapi untuk diri saya... saya
memang tak berminat dengan duit awak!” Balasku agak tajam
dengan kerlingan ekor mata.
“Wow... kata-kata tu dah cukup menggambarkan siapa
diri awak yang sebenarnya. Tapi susah nak dipercayai dalam
dunia ni masih ada wanita yang tak bermata duitan,” ucap
Estaban dan dia ketawa perlahan. Sedikit pun dia tidak terusik
dengan reaksi dinginku.
“Terpulanglah nak percaya ke tidak! Takde kurang
apa pun pada saya kalau awak tak percaya kata-kata saya tadi,”
dengusku selamba. Ada aku kisah...Tak kuasa aku nak layan
mamat perasan bagus ni. Ejek hatiku.
“Okeylah... Saya bergurau aja tadi. Saya tak bermaksud
nak perli awak. Emm... Awak dari mana?” Tanya Estaban lembut.
Semakin aku menunjukkan rasa tidak senang, berminat pula
dia mahu berbual denganku.
“Malaysia.”
“Malaysia... Saya dah banyak kali ke sana. Negara yang
cantik. Ramai wanita cantik juga di sana. Sekarang saya dah
nampak salah seorangnya di hadapan mata saya,” sambut lelaki
itu sambil memandangku dari atas ke bawah.
Aku diam tidak menjawab. Tidak juga merasa terharu
mendengar dia sering ke Malaysia. Entah kenapa perasaanku
terus-terusan terasa aneh dengan lagak lelaki seorang ini.
Gayanya bercakap dan memandang memang lain macam.
Macam gatallah dia ni! Nak mengurat aku ke apa dia ni? Detik
hatiku tidak senang.
“Awak dah ada teman lelaki?” Suara lelaki itu
kedengaran lagi.
“Rasanya itu bukan urusan awak!” Balasku pantas
dengan sedikit jelingan ekor mata. Estaban terus ketawa santai
dengan jawapanku itu.
“Saya anggap jawapan tu sebagai takde. Awak takde
teman lelaki, kan?” Teka Estaban sedikit lunak.
“Kenapa awak sibuk nak tahu hal peribadi saya ni?
Saya takde kepentingan untuk jelaskan pada awak tentang itu!”
Dengusku tidak senang. Baru seminggu dua aku kat sini, nak
ada teman lelaki apanya. Menyibuk ajalah mat salih ni. Suka
hati akulah nak ada teman lelaki ke tak... hatiku menggerutu
sendiri.
“Sebab saya memang prihatin kalau perempuan cantik
macam awak ni masih takde teman lelaki. Saya susah hati,”
jawab Estaban sambil menayangkan sengih romeonya.
Spontan aku terus memandang jengkel lelaki di sisiku
itu. Macam hensem benarlah buat sengih senget macam tu...
kutukku di dalam hati.
“Kenapa pulak awak nak susah hati bila saya takde
teman lelaki? Saya bukannya kenal awak pun,” getusku dengan
sedikit jelingan kepadanya.
“Kan sekarang kita dah kenal? Okeylah... nama saya
Estaban Joseph Buhler. Saya pelajar jurusan perniagaan tahun
ke-2. Fakulti saya sebelah dengan awak ni. Dekat saja. Kita akan
selalu jumpa selepas ni. Saya akan selalu cari awak.” Estaban
membalas sambil tersengih-sengih kepadaku.
Hee... dia ni! Cari aku nak buat apa pulak? Manalah
Ameena dengan Hamizah ni? Getus hatiku semakin tidak
senang. Miang-miang mamat ni pun... hensemnya memang tak
alang-alang. Salah hemat aku pulak yang jadi lembik macam
bubur lambuk nanti. Pandangan tak putus-putus lelaki itu
dalam diam pun sudah membuatkan perasaanku jadi bergolak
sendiri dan tubuhku jadi seram sejuk pula.
“Jangan pandang saya macam tu, boleh tak?” Tukasku
tidak senang dengan gelagat lelaki itu yang asyik merenungku.
“Awak cantik sangat. Saya rasa... awaklah perempuan
paling cantik yang saya pernah tengok selama ini. Sungguh!”
Luah Estaban tanpa kusuruh.
Berderau darahku mendengar kata-kata lelaki itu. Dah
lain macam benar bunyinya. Hatiku semakin tidak aman dibuat
dek lelaki ini. Tak boleh jadi ni! Aku ke sini untuk menimba
ilmu. Bukannya nak cari teman lelaki. Aku pun belum lagi
memasang angan-angan nak bersuami dalam masa terdekat ini.
Tidak!
“Saya masuk dulu. Saya nak cari kawan saya.” Aku
segera memilih untuk meminta diri. Rasanya eloklah aku
menjauhi lelaki ini secepat mungkin. Bahaya!
“Saya boleh temankan awak. Saya ada banyak masa
lapang sekarang ni,” sambut Estaban pantas.
“Eh! Tak payah. Saya tahu kat mana nak cari kawan
saya tu. Saya lebih suka pergi sendiri. Awak boleh terus berdiri
kat sini selama mana yang awak nak. Saya nak masuk!” Tegasku.
Tanpa menunggu jawapannya aku terus berlalu dari situ.
“Okey... tapi saya akan pastikan nanti kita akan jumpa
lagi,” ucap lelaki itu agak kuat setelah beberapa langkah aku
berlalu.
Aku sekadar menoleh seketika tanpa sebarang jawapan.
Lelaki bernama Estaban itu dengan selamba melambai sambil
mengenyitkan mata kepadaku. Kemudian dia menyeringai.
Huh! Dasar miang! Getus hatiku sendiri.

No comments:

Post a Comment