Asrul
Effendi
Aku membuka dan menutup kembali daun pintu bilik
perlahan-lahan. Kulihat Lia duduk bersandar di tepi katil. Aku menghampirinya.
Ternyata dia tidak menyedari kehadiranku apabila kulihat matanya terpejam. Aku
mengambil kesempatan itu untuk memerhatikannya. Pertama kali aku dapat
melihatnya tanpa ikatan tudung di kepalanya. Rambutnya yang panjang, lurus dan
ikal jatuh indah melepasi bawah dadanya. Jari-jemariku terasa gatal ingin
membelai rambutnya itu. Kelihatan halus dan licin.
Nafasku tersekat melihat keindahan yang terpamer di
hadapanku yang ternyata asli dan semula jadi. Tiada secalit solekan pun di
wajahnya. Kulitnya licin, halus dan bersih. Matanya yang terpejam menyerlahkan
lagi kelentikan bulu matanya yang lebat tanpa perlukan pertolongan maskara.
Bibirnya bak delima merkah. Merah dan basah, walaupun tanpa secalit gincu.
Sungguh comel dia mengenakan baju pijama daripada kain kapas berwarna biru di tubuhnya.
Walaupun bajunya berlengan panjang dan seluarnya panjang hingga ke buku lali,
dia tetap kelihatan menawan di mataku.
Aku tidak faham reaksi diriku terhadap dirinya. Begitu
aneh sekali. Aku bukannya berusia belasan tahun lagi, mahupun berusia 20-an
untuk berkelakuan sebegini. Aku sudah lali dengan kecantikan seorang wanita.
Tetapi mengapa lain benar kali ini? Apakah disebabkan aku sudah sekian lama
tidak mendampingi atau mempunyai hubungan intim dengan seorang wanita
sehinggakan aku tidak dapat mengawal perasaanku kini? Atau ini semua disebabkan
Lia, dan bukan kerana dia hanya seorang wanita? Aku tidak tahu…
Dengan perlahan, aku melabuhkan punggungku di sebelahnya.
Lia terjaga dan pantas membetulkan duduknya. Berus rambut di tangannya jatuh ke
atas lantai. Dibiarkan sahaja. Matanya berkelip-kelip cuba untuk menghilangkan
rasa kantuk, agaknya. Wajahnya diraup sekali. Rambutnya dikuak ke belakang.
Begitu gemalai gerak-gerinya.
“Lia dah mengantuk sangat ke? Ke kita nak bincang esok
pagi je?” Kesian pula melihatnya begitu.
“Tak, tak. Lia okey. Lia cuma rehatkan mata Lia je tadi…”
bidas Lia.
Sememangnya, aku tidak mahu berlengah ataupun bertangguh
lagi. Semuanya perlu aku jelaskan kepadanya. Aku tidak mahu dia tersalah faham
akan segalanya. “Abang nak jelaskan semuanya pada Lia. Abang nak Lia faham
situasi abang sepenuhnya, supaya tak de salah sangka antara kita.” Aku
memulakan bicara.
Lia mengangguk dan membiarkan aku terus berbicara.
Aku menghela nafas panjang. Sesungguhnya ini bukan
sesuatu yang mudah bagiku. “Sebenarnya, masa mama mula-mula bagi tau abang
pasal Lia dan nak kenenkan Lia dengan abang, memang abang tak nak kahwin dengan
Lia. Sama macam Lia yang tak nak kahwin dengan abang.” Aku berterus-terang.
Lia nampak terkejut dengan pengakuanku. Apa taknya.
Selama ini aku yang beria-ia menampakkan keinginanku untuk mengahwininya.
Matanya membulat memandangku. Hilang sudah kantuknya.
“Abang masih tak terbukak
hati nak kahwin lagi selepas gagal dalam perkahwinan pertama dulu tapi
baru-baru ni, something happened yang
buat abang tukar fikiran…” Jeda. Lia masih memandangku dengan riak tidak
percaya. Aku bersuara lagi. “Abang dapat surat daripada peguam Mona, bekas
isteri abang, untuk dapatkan hak penjagaan Ina. Abang betul-betul terkejut
dapat surat tu
sebab sebelum ni, Mona yang tinggalkan Ina dan abang. Dia langsung tak nak pada
Ina. Masa tengah mengandung lagi dia tak nak pada anak tu. Sejak dia tinggalkan
Ina, sekali pun dia tak pernah datang jenguk Ina. Dia memang tak pernah
kisahkan Ina. Jadi abang tak tau kenapa tiba-tiba Mona nakkan hak penjagaan
Ina.”
Aku diam sejenak mengenang kembali isi kandungan surat
daripada peguam Mona yang telah kuterima.
“Abang berbincang dengan peguam abang. Dia kata sebab
Mona sudah bersuami sekarang dan umur Ina masih lima tahun, peluang Mona untuk dapatkan Ina
sangat cerah. Abang sanggup buat apa saja untuk tidak melepaskan Ina pada Mona.
Jadi, abang ubah fikiran pasal perkahwinan kita. Abang buat keputusan untuk
mengahwini Lia untuk menguatkan lagi kes abang dan mengekalkan hak penjagaan
Ina sepenuh masa. Memang abang ada banyak bukti yang boleh tunjukkan yang Mona
tak layak menjaga Ina di mahkamah nanti, tapi abang juga nak tunjukkan pada
mahkamah yang hidup Ina sempurna sekarang dengan kehadiran Lia sebagai ibunya…”
Kebenaran akhirnya diluahkan.
Lia tunduk ke bawah tetapi sempat aku melihat garis-garis
luka di mata serta wajahnya. Aku faham sekiranya dia merasakan dirinya
dipergunakan semata-mata untuk kepentinganku sendiri. Memang itulah
kenyataannya…tetapi mengapa hati ini rasa begitu bersalah kerana melukai
perasaannya? Sebelum ini, semasa membuat keputusanku, aku langsung tidak
memikirkan akan perasaannya. Agendaku perlu dilaksanakan atas apa cara pun!
Terdetik juga di hatiku untuk tidak berterus-terang dengan
Lia mengenai keputusanku untuk menjadikannya isteriku. Biar dia menyangkakan
yang aku juga patuh kepada permintaan kedua orang tuaku…tetapi aku tidak
sanggup untuk membohonginya. Bagaimana sekiranya Lia mulai jatuh cinta denganku
nanti? Atau mula memasang impian untuk membina rumah tangga bersamaku hingga ke
akhir hayatnya? Pasti dirinya akan lebih terluka sekiranya dia mendapat tahu
sebab sebenar aku mengahwininya. Dirinya begitu muda dan rapuh ketika ini.
Seperti wanita lain, tidak mustahil jikalau Lia bakal jatuh cinta denganku. Aku
tidak sanggup mempermainkan perasaannya. Sekurang-kurangnya, jika aku berterus
terang dengannya dari sekarang, Lia mungkin dapat mengawal perasaannya dengan
lebih baik lagi dan tidak akan membiarkan dirinya jatuh cinta denganku. Kerana
aku tidak mungkin dapat menjanjikan ‘selama-lamanya’ dalam hubungan ini.
“Lia ni calon yang amat sesuai untuk abang. Lia tiba
tepat pada masanya. Maafkan abang sebab abang tau Lia tak nak kahwin dengan
abang dan abang tau yang Lia memang harapkan abang untuk putuskan hubungan kita
sebelum ni. Tapi apakan daya. Abang tak sanggup kehilangan Ina…”
Lia kembali memandangku. Hatiku pedih melihat kesuraman
di wajahnya. Matanya berkaca. Air matanya mula bergenang. “Jadi, apa yang abang
harapkan daripada Lia? Lia ni sebagai isteri patung abang? Isteri pura-pura
untuk membutakan mata Hakim nanti?” bergetar suara Lia. Mungkin menahan marah.
Mungkin juga menahan sebak.
Mengapa hati ini terasa ingin menarik tubuhnya ke dalam
pelukan agar hilang rasa sedihnya akibat perbuatanku? Aku yang melukainya, jadi
mengapa pula aku ingin memujuknya? Aku mengepal erat tanganku agar tidak
mencapai tubuhnya.
“Kalau abang menang kat mahkamah nanti dan abang dapat
hak penjagaan Ina sepenuhnya, apa abang akan buat dengan Lia? Abang akan
ceraikan Lia?” tanya Lia penuh kecewa.
Aku menelan air liur yang terasa begitu pahit. “Abang tak
nak tipu Lia. Memang pada mulanya abang memang merancang untuk ceraikan Lia.
Tapi bukan tanpa sebarang pampasan. Sebagai balasan Lia menjadi isteri abang,
abang akan pastikan hidup Lia akan terjaga lepas ni. Kalau Lia tak nak kerja
pun abang jamin Lia akan hidup senang…Tapi sekarang…” Aku terdiam. Mendengar
perkataan ‘cerai’ yang lahir dari bibir Lia tadi membuatku tidak senang duduk.
Padahal, aku memang sudah merancang segalanya…
“Tapi sekarang apa?” suara Lia mula serak. Matanya
membulat memandangku.
“Sekarang abang beri Lia hak untuk membuat keputusan
sepenuhnya.”
Lia menggelengkan kepalanya dan memandangku dengan penuh
tanda tanya. “Keputusan apa? Lia tak faham.”
“Kalau mahkamah dah buat keputusan nanti, walau apa pun
keputusannya, abang serahkan pada Lia untuk buat keputusan tentang masa depan
Lia sendiri. Kalau Lia nak tetap jadi isteri abang, abang terima dan abang
takkan lepaskan Lia, tapi kalau Lia nak abang lepaskan Lia pada masa tu, abang
janji abang akan lepaskan…”
Lia seakan tidak percaya dengan apa yang aku baru
sampaikan kepadanya. Dia bangun dan berjalan lemah menuju ke jendela. Mungkin
untuk menenangkan fikirannya.
“Lia?” Aku menyeru namanya. Dia langsung tidak
mengendahkan panggilanku.
Aku bangun lalu mengekorinya dan menunggu dia
berkata-kata seterusnya. Daripada arcanya yang terpancar melalui tingkap, aku
melihat Lia memejamkan matanya rapat-rapat. Nafasnya dilepaskan berat
membuatkan dadaku turut terasa berat dihempap pilu.
“Lia hanya alat untuk kepentingan abang, kan? Abang sikit
pun tak fikirkan hati dan perasaan Lia. Langsung tak penting, kan?” Sinis Lia
menuduhku dengan mata yang masih terpejam. Namun aku tidak menafikan tuduhannya
kepadaku. Memang itulah hakikatnya.
Lia mencelikkan matanya. Dia membuang pandangan kosong ke
luar tingkap sebelum memalingkan tubuhnya untuk berhadapan denganku. “Maknanya
sekarang abang nak Lia ni jadi isteri abang di atas kertas je lah, kan? Depan
orang, kita akan berlakon kita ni suami isteri tapi hakikatnya tak begitu, kan?
Betul macam tu? Jadi kenapa kita kena kongsi satu bilik?” soal Lia
bertubi-tubi.
Terketar-ketar suara Lia menyuarakan ketidakpuasan
hatinya kepadaku. Dia nampak hampa dengan penjelasanku. Hampa dan terluka. Tapi
kenapa? Bukankah Lia juga yang tidak mahu berkahwin denganku terlebih dahulu?
Apakah dia sudah merubah fikirannya? Aku benar-benar keliru!
“Lia kena fikir, mahkamah mungkin akan panggil makcik
Leha atau pakcik Osman sebagai saksi sekiranya ada yang sangsi tentang hubungan
kita. Mungkin Ina juga akan dipanggil. Jadi kita mesti kongsi bilik tidur yang
sama. Lia, abang tau abang kejam buat Lia macam ni and I realize that I’m being really unfair to you. Tapi, sebagai
ganti, abang dengan rela lepaskan Lia daripada sebarang tanggungjawab sebagai
seorang isteri. Abang akan bagi apa saja yang Lia nak. Money is not an object.” Bersungguh-sungguh aku cuba memujuknya
untuk bersetuju dengan rancanganku ini. Tidak boleh tidak, Lia mesti setuju!
Kulihat Lia mengepal dua-dua belah tangan di sebelahnya.
Cuba menahan marah. “Abang ingat Lia kahwin dengan abang sebab Lia nakkan duit
abang ke? Nakkan harta abang?” Nada suara Lia naik satu oktaf.
“Tak. Bukan itu maksud abang. Abang tau Lia kahwin dengan
abang sebab tak nak derhaka pada mak dan abah Lia, itu abang tau. Tapi,
pengorbanan Lia bukannya kecik. Abang
hanya nak offer something in return to
you, tu je. Please, Lia. I need your help. Abang takkan sentuh
Lia sekiranya itu pilihan Lia. Abang akan turut semua permintaan Lia tapi abang
mintak sangat Lia dapat bantu abang,
demi Ina…Please…” Aku merayu.
“Untuk berapa lama?”
“What?” soalku
tidak mengerti.
“Abang nak Lia jadi isteri abang untuk berapa lama?”
Dingin.
“Abang tak tau. Proses mahkamah tak boleh nak agak. Abang
tak boleh nak janji…” Aku berterus-terang. Tidak mahu salah meneka.
“Kalau kita bercerai lepas tu, apa Lia nak cakap dengan
mak dan abah? Apa alasan yang Lia patut beri pada diaorang nanti?” Pandangan Lia kepadaku kosong dan hampa.
Dada terasa semakin terhimpit. Ya Allah! Berdosanya aku
melukakan hatinya. Hati seorang isteri yang baru sehari aku nikahi. “Itu semua
serahkan pada abang. Lia tak perlu risau. Abang takkan palitkan apa pun
kesalahan pada Lia. Abang akan tanggung semuanya nanti. Di mata abah dan mak
Lia, Lia tak bersalah…”
Kulihat Lia mencuba sedaya upayanya untuk tidak
menitiskan air matanya. Terkebil-kebil matanya menahan tangis. Aku tahu dia
terluka. Mana ada wanita yang mahu berkahwin seandainya dirinya hanya untuk
diperalatkan sebegitu rupa? Berkahwin semata untuk diceraikan di kemudian hari…
“Sekali lagi abang mintak
maaf pada Lia. Kalau Lia di tempat abang, apa yang Lia akan buat? Sanggupkah
Lia buat apa saja demi kebaikan anak tunggal Lia? Sanggupkah Lia biarkan anak
Lia jatuh pada tangan orang lain?”
Lia hanya mampu memandangku tanpa mengungkapkan sebarang
jawapan. Aku menggenggam kedua belah tangannya. Dia terkejut. “Mama sayangkan
Lia dan abang tau yang lambat laun Ina jugak
akan sayangkan Lia. Abang dah perhatikan Lia. Lia baik dan hati Lia sangat
lembut. Ina amat perlukan kelembutan itu. Ina tak pernah rasa kasih sayang
seorang ibu.” Mataku merayu simpatinya.
“Habis tu, kalau kita bercerai nanti, Ina macam mana? Tak
ke kejam kita nanti kalau kita biarkan Ina sayangkan Lia, lepas tu Lia
tinggalkan dia? Apa bezanya Lia dengan Mona?”
Kebijaksanaannya menjeratku. Aku tiada jawapan kepada
persoalannya. Benar apa yang diperkatakan Lia sebentar tadi. Ina mungkin akan
kecewa sekali lagi. Cuma dulu dia masih kecil dan tidak mengingati ibunya. Tapi
sekarang Ina sudah boleh memahami kepedihan ditinggalkan orang yang
disayanginya.
“Abang tak fikir tu semua?” cabar Lia.
“Yang abang tau, abang nak Ina sentiasa dengan abang.
Kalau Lia buat keputusan untuk bercerai, sekurang-kurangnya abang masih ada
Ina. Taulah macam mana abang nak pujuk dia nanti, kalau Lia tinggalkan
abang...” Tenang aku membalas pertanyaannya.
Lia menarik tangannya dari genggamanku. “Memang dari mula
lagi Lia dah syak. Tak logik abang nak kahwin dengan perempuan macam Lia
padahal abang tak kenal pun Lia ni siapa. Rupa-rupanya, ini memang rancangan
abang untuk menjerat Lia!” Dengan nada yang perlahan, Lia bersuara.
Kata-katanya menusuk ke kalbu. Pedih! Lia mengangkatkan wajahnya
dan memandang tepat ke mataku. “Orang macam abang ni boleh dapat mana-mana je
perempuan kat luar sana. Lia yakin ramai perempuan lain yang nakkan abang tapi
kenapa abang pilih Lia? Why me?”
“Sebab Lia sangat istimewa di mata abang!” Aku memberanikan
diri mengusap pipinya. Lia terkejut dan mengambil satu langkah berundur ke
belakang untuk mengelak sentuhanku. Aku melabuhkan tanganku ke sisi. Terasa
diri ditolak. “Dalam usia abang ni, abang dah jumpa bermacam jenis perempuan
kat luar sana. Tiada satu pun yang berkenan di mata abang. Jiwa diaorang ni kosong, Lia. Macam tak de values! Tak macam Lia.”
Aku mengambil satu langkah menghampirinya. Aku tahu Lia
tidak boleh menjauhkan dirinya daripadaku ketika ini. Tubuhnya sudah terpaku
pada jendela. “Lia seorang perempuan yang menjaga maruah Lia dan keluarga Lia.
Lia ikhlas terima takdir Lia walaupun tau abang duda beranak satu, demi kasih
dan sayang Lia pada mak dan abah. Lia sikit pun tak peduli status kekayaan
abang dan menolak abang masa pertama kali kita jumpa dulu. Abang tak pernah
jumpa perempuan macam Lia. Abang anggap Lia ni anugerah daripada Allah dalam
menyelesaikan masalah abang sekarang ni…”
Diam.
“Lia…”
Lia mengangkat tangan tanda dia tidak mahu aku meneruskan
kata-kata. Aku akur.
“I need to think
about this. Bagi Lia sedikit masa. Lia tak boleh nak buat keputusan
sekarang,” pintanya.
“Abang faham. Abang harap Lia pun faham kenapa abang
pilih untuk berterus-terang dengan Lia dari awal perkahwinan kita. Abang tak
nak Lia sangka yang abang…” kata-kataku terputus. Tak sanggup aku
meneruskannya.
Lia merenungku tajam. “Abang tak nak Lia sangka yang
abang kahwin dengan Lia sebab abang cintakan Lia?” Lia menghabiskan
kata-kataku. “Macam tu?”
Aku hanya mampu mengangguk.
Lia mendengus perlahan. “Abang tak perlu risau. Lia tau
abang tak cintakan Lia dan mungkin tak akan pernah cintakan Lia…”
“Lia…” aku cuba membantah kata-katanya itu.
Aku tidak suka mendengarnya. Tapi…ada kebenarankah dengan apa yang diperkatakan
Lia itu? Sudah tentu aku tidak mencintainya walaupun aku mengakui ada suatu
daya tarikan antara aku dan dirinya…suatu tarikan yang begitu kuat
bagiku…tetapi ‘tak akan pernah’ mencintainya? Benarkah begitu?
“Abang tak payah cakap apa-apa lagi. Lia dah faham
semuanya. Lia berterima kasih sebab abang berterus-terang dengan Lia. Jadi Lia
tak akan harapkan apa-apa daripada abang lepas ni,” celah Lia.
No comments:
Post a Comment