Intan
Marliana
Aku duduk berhadapan cermin dan melihat diriku sendiri.
Kak Suhaila masih membetulkan dan mengemaskan ikatan tudungku. Solekan di muka
bersesuaian dengan tema moden persalinan bajuku. Tidak begitu tebal dan sangat
bersahaja. “Terima kasih kak Ngah, solekkan Lia. Pandai kak Ngah. Tak payah
sibuk-sibuk Lia nak cari mak andam, kan?”
Kak Suhaila tersenyum mekar. Jelas dia bangga dengan
pujianku. “Sama-sama, Lia. Kak Ngah kan tengah belajar macam mana nak make-upkan orang kahwin ni. Dah dua-tiga
orang pengantin yang kak Ngah solekkan. Lagipun kak Ngah memang minat dalam
bidang ni…”
Aku menggenggam tangannya. “Baguslah kalau macam tu. Kak
Ngah tak nak buat full time ke?”
Kak Suhaila memandangku di dada cermin sambil tersenyum.
Tangannya meramas kedua-dua bahuku. “Kak Ngah ada fikir jugak nak buat sepenuh masa tapi tunggulah bila Rima dengan Irfan
dah besar sikit. Kalau diaorang dah
mula sekolah nanti, manalah tau Angah bagi kak Ngah buat kerja ni full time, kan?”
“Alah, kak Ngah ni…buat apa nak tunggu diaorang masuk sekolah? Orang selalu
kahwin masa hujung minggu atau cuti sekolah pun. Bukannya hari-hari biasa…Kalau
kak Ngah kena pergi buat kerja mengandam, pandai-pandailah Angah tu jaga
anak-anak…Okey apa macam tu?” Aku memandang Kak Suhaila dari pantulan cermin.
“Hmm…betul jugak
cakap Lia tu…Nanti-nantilah kak Ngah fikirkan…Kena bincang dengan Angah Lia tu jugak…”
Aku mengangguk.
Kak Suhaila memberikan touch-up yang terakhirnya ke wajahku. “Lia, kak Ngah doakan Lia
bahagia dengan Fendi, hingga ke akhir hayat,” lalu memberikan kucupan mesra di
atas kepalaku. “Sebahagia kak Ngah dan Angah,” bisik kak Suhaila hampir ke
telingaku.
Aku menghadiahkan senyuman manis kepada kak Suhaila.
“Terima kasih, kak Ngah…” Terharu.
Kak Suhaila berlalu meninggalkan aku berseorangan di
dalam Honeymoon Suite, Hotel Istana.
Sememangnya abang Syam bahagia melayari kehidupan berumah tangga dengan kak
Suhaila. Itu sudah pasti. Kak Suhaila melayan abang Syam dengan baik lagi mesra
manakala abang Syam pula, tidak segan-silu mempamerkan sifat kasih sayangnya
kepada kak Suhaila. Aku tumpang bahagia melihat kemesraan dan kebahagiaan
mereka. Pernah terdetik di hatiku mahu mempunyai hubungan sebegitu dengan teman
hidupku sendiri. Apakah bakal menjadi realiti?
Aku mengeluh. Nasib baik Honeymoon Suite ini ada bilik utama dan ruang tamu. Jadi aku boleh
bersiap secara bersendirian di dalam bilik manakala Effendi bersiap di ruang
tamu.
Sudahkah dia bersedia? Apa mungkin dia akan kelihatan
lebih tampan daripada semalam? Ah, semalam Effendi betul-betul telah membuat
gadis-gadis lain menggigit jari! Sepupu-sepupuku secara terang-terangan memuji gaya penampilan Effendi
semalam. Nisha pula sering mengusikku dengan memuji kehebatan dan ketampanan
Effendi yang ternyata sungguh segak dan macho ketika mengenakan persalinan
lengkap baju Melayu, dan kemudiannya persalinan seperti seorang pahlawan
Melayu. Aku mengakui kebenaran di sebalik kata-kata Nisha. Aku hanya memuji di
dalam hati betapa sempurnanya seorang lelaki bernama Asrul Effendi ini.
Dia sering memandangku dengan pandangannya yang cukup
redup. Sungguh menggoda. Mampu membuat aku merasakan yang diri ini amat
istimewa di matanya. Kucupannya di dahiku menghangatkan. Genggaman tangannya
mendebarkan.
“Untung kau dapat suami yang matang macam Fendi, Lia,”
kata pujian daripada Mak Ngah masih kuingat. Kata-kata Mak Ngah itu adalah
antara beratus-ratus pujian yang aku terima daripada kaum keluarga dan sahabat
handai yang mengunjungi kenduri di rumah orang tuaku semalam.
Malam ini pula, semua kenalan Effendi akan hadir ke
majlis resepsi kami dan apakah reaksi mereka nanti agaknya bila melihat aku
sebagai isterinya? Layakkah aku menjadi isterinya? Aku tidak biasa hidup dalam
dunianya yang penuh kemewahan. Dapatkah aku membawakan watak seorang wanita
yang amat mencintai suaminya di hadapan semua kenalan Effendi nanti?
Memang aku telah bertekad untuk menerima takdirku ini dan
aku telah menerima Effendi sebagai jodohku walaupun aku tidak mencintainya dan
aku tahu dia juga tidak mencintaiku. Mungkin takdir aku untuk bercinta hanya
selepas berumah tangga. Cuma, aku masih belum memikirkan sepenuhnya bagaimana
harus aku melalui kehidupan sebagai isterinya. Aku tidak tahu apa yang dia mahu
daripadaku…apa yang dia harapkan daripadaku…sebagai isterinya…
Siang tadi, ketika Nisha dan Saiful turut hadir untuk
menjalani sesi rehearsal bersama-sama
kami, Effendi memberi sepenuh perhatiannya kepadaku. Dia memanggil namaku
dengan lembut serta beberapa kali memegang tanganku. Setiap kali aku mencuri
memandangnya, ternyata ketika itu dia juga sedang merenungku. ‘Ahhh…pandai
sungguh dia berlakon depan orang lain,’ fikirku sendiri. Aku tidak seharusnya
‘termakan’ dengan sifat romantik dan keperihatinannya kerana itu semua
merupakan lakonannya semata-mata untuk mengaburi mata semua yang memandang.
Tetapi…mengapa aku terasa debaran di hati setiap kali dia
merenung ke mataku? Bagai suatu panahan
yang menusuk menembus jantungku. Setiap kali tangannya menggenggam tanganku,
akan aku rasakan kehangatannya mengalir ke seluruh tubuhku. Terdetik seketika
jantungku dan perasaanku terasa berdebar-debar. Aku tidak mengerti reaksiku
terhadap sentuhan dan renungannya itu. Apakah dia menyedari semuanya itu?
Alangkah malunya aku sekiranya dia tahu apa yang melanda di jiwaku tatkala dia
menyentuhku.
Aku teringat pabila jari-jemarinya menyulam jari-jemariku
siang tadi ketika dia mengajakku ke coffee
house. Walaupun hanya memaut tanganku, tetapi kehangatannya terasa seperti
dia memeluk segenap tubuhku!
Bunyi telefon bimbitku menandakan ada pesanan diterima,
menyedarkanku. Pesanan daripada Nisha mengatakan dia menungguku di luar ruangan
Ballroom di bawah. Aku melihat jam di
telefon bimbitku. Sudah hampir pukul 8.00 malam. Aku menyimpan telefon bimbitku
ke dalam tas tangan lalu bangun berdiri. Ku lihat diriku sekali lagi di cermin.
Aku harus mengumpul segenap kekuatanku untuk menempuh malam ini. Semua mata
akan memerhatikan segala tingkah lakuku.
Tekanan yang kurasakan ketika kenduri di rumahku semalam
tidak seperti yang kurasakan kini. Semalam, hanya sanak saudara, jiran tetangga
dan teman yang rapat sahaja yang hadir. Majlis kenduri cukup ringkas. Tiada
majlis merenjis walaupun aku dan Effendi bersanding sebentar demi memenuhi
permintaan sanak-saudara. Selepas bersanding, kami makan beradab. Jadi
‘lakonan’ kami semalam tidak memerlukan aksi yang begitu meyakinkan. Para jemputan datang, makan dan pergi.
Tidak seperti malam ini! Para jemputan akan duduk
serentak di dalam Ballroom dan akan
menyaksikan setiap atur cara majlis, sama seperti mereka menyaksikan lakonan
teater di atas pentas. Dan akulah pelakon utamanya. ‘Ya Allah! Berilah kekuatan
kepadaku…’ Aku memejamkan mataku. Mencari ketenangan, mencari kekuatan.
Tiba-tiba Effendi muncul di belakangku. Aku langsung
tidak menyedari kehadirannya di dalam bilik persiapanku sehinggalah kurasakan
tangannya di bahuku. Aku mencelikkan mata. Kami saling berpandangan melalui
pantulan arca di hadapanku. Sungguh segak dia menggayakan persalinan 3-piece suit hitamnya. Hanya vest
di dalam jaketnya berwarna emas, seperti warna baju persalinanku. Semalam aku
cair melihatnya berbaju Melayu lengkap, berserta samping dan songkok.
Menyerlahkan keMelayuannya serta susuk badannya yang tegap lagi sasa. Ternyata
rupa Effendi ketika itu mampu mengalahkan mana-mana pelakon kegemaranku yang
pernah aku lihat bergaya di majalah-majalah hiburan sebelum ini. Dan seperti
semalam juga, Effendi kini nampak begitu tampan dan menawan. Auranya amat
memukau!
Effendi memaut bahuku dan memusingkan tubuhku untuk
berhadapan dengannya. Dia mengamatiku dari atas hingga ke kasutku. “You look beautiful!” bisiknya perlahan.
Aku malu menerima pujian daripadanya. Dia mengangkat
daguku. “It’s time. Kita kena turun
sekarang. Are you ready?”
Aku mengangguk. “Ready…”
balasku, walaupun tubuh terasa masih menggigil.
Effendi mengepakkan lengan kirinya untukku. Aku mengambil
nafas yang dalam sebelum memaut lengannya dengan tangan kananku lalu sama-sama
berjalan keluar dari bilik menuju ke Ballroom.
Alhamdulillah, majlis berjalan dengan lancar. Apa yang
dirancang tengah hari tadi berlalu dengan teratur tanpa sebarang masalah.
Ketika majlis hampir bersurai, Effendi memperkenalkanku kepada semua para
jemputan yang hadir. Rata-rata mereka begitu mesra berkenalan denganku dan ada
juga kaum keluarga Effendi yang memeluk dan menciumku. Ketika jemputan terakhir
berlalu pergi, aku menghela nafas lega.
Sesi bergambar juga telah tamat. Penat menggayakan posing itu dan ini bersama Effendi dan
sanak keluarga. Berdebar juga ketika jurugambar meminta kami menggayakan aksi
romantik untuk diabadikan di layar kanvas. Kami diminta berdiri saling
berhadapan sambil Effendi merangkul pinggangku. Aku pula diminta melekapkan
kedua-dua tapak tanganku ke dadanya. Pabila aku mendongakkan kepalaku untuk
bertentang mata dengannya, terasa jantung Effendi berdegup laju di telapak
tanganku. Jantungku juga tidak dapat dikawal lagi. Berdegup kencang mengalahkan
dentuman gendang. Bilalah sesi fotografi ini akan berakhir? Aku semakin lemas
disentuh dan didakap Effendi. Semakin sukar untuk mengawal gelora yang melanda.
“Lia, Lia naik atas dulu kemas barang kat dalam bilik,
ya? Kita tak tidur kat sini malam ni. Abang nak balik rumah. Biar abang uruskan
semuanya dengan pihak hotel. Abang tunggu Lia kat lobi bila Lia dah sudah
nanti. Nah kunci bilik,” ujar Effendi sebaik sahaja jurugambar melangkahkan
kaki meninggalkan Hotel Istana.
Nisha dan ibuku menemaniku naik ke atas bilik dan
membantu mengemaskan barang-barang untuk dibawa pulang ke rumah Effendi.
Selepas semuanya selesai, aku kembali turun ke lobi mencari Effendi. Kulihat
Effendi sedang berdiri di sebelah abang Mail, dan dengan tekun mendengar segala
yang diucapkan abang Mail kepadanya. Nampak serius perbualan mereka. Sesekali,
kulihat Effendi menganggukkan kepalanya.
“Lia,” panggil Nisha. Aku berpaling.
“Esok Nisha akan balik ke Penang. Tak tau bila pulak
kita akan jumpa lagi. Nisha doakan Lia bahagia selalu,” kata Nisha sambil
memelukku. Aku diselubungi kesedihan yang amat sangat kerana terpaksa berpisah
dengannya untuk sekian kalinya.
“Thanks, Nisha.
For everything!” bisikku tulus
ikhlas.
Effendi mendekatiku dan mengucapkan selamat tinggal
kepada Nisha. Effendi lantas memimpin tanganku menuju ke kereta BMW X5 berwarna hitam yang sudah tersedia di
hadapan pintu masuk hotel. Aku bersalaman dengan ahli keluargaku dan masuk ke
dalam kereta. Penat sungguh kurasakan. Apa tidaknya… Sudah hampir pukul 12.00
tengah malam.
“Ina mana?”
“Ina tidur rumah mama malam ni. Esok abang ambik dia balik rumah.”
Penatnya kurasakan hanya Tuhan yang tahu. Tidak sabar
rasanya ingin melabuhkan tubuhku ini di atas katil. Aku memejamkan mataku
sebentar dengan niat hanya untuk berehat. Aku tidak pasti bila aku terlelap di
dalam kereta. Bila aku sedar, Effendi sedang memanggil namaku sambil
menggoncang lembut bahuku. “Lia, kita dah sampai rumah.”
Aku bingkas bangun dan keluar dari perut kereta. Aku
menunggu Effendi mengeluarkan beg dari bonet kereta dan mengekorinya masuk ke
dalam rumah. “Lia penat ke? Kalau Lia tak keberatan, abang nak bincang sikit
dengan Lia.”
“Lia okey. Abang nak bincang sekarang?” Sudah semakin
sebati panggilan ‘abang’ itu meniti di bibirku.
“Lia naik atas dulu. Dalam 10-20 minit nanti abang naik.”
Aku mengangguk dan mengatur langkah meniti anak-anak
tangga untuk naik ke atas. Di dalam bilik, aku memerhatikan keadaan
sekelilingku. Barang-barang solek serta minyak wangiku sudah tersusun di atas
meja solek, bersebelahan barang-barang kepunyaan Effendi. ‘Mana baju-baju aku
semua?’ fikirku. Aku membuka almari baju satu persatu dan melihat baju-baju ku
sama ada digantung atau dilipat bersebelahan dengan baju-baju Effendi.
‘Cepatnya makcik Leha buat kerja,’ fikirku lagi.
Aneh kurasakan melihatkan barang-barangku tersusun
bersebelahan dengan barang-barang kepunyaan Effendi. Bajunya, seluarnya. Inilah
kali pertama aku berkongsi bilik dengan seorang lelaki dan kejanggalan yang
kurasakan membuatku bergegas mencari baju tidur yang paling sopan untuk
kukenakan malam ni. Sesungguhnya hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa gemuruhnya
aku rasakan kini. Aku tidak tahu apa yang bakal terjadi malam ini. Effendi
langsung tidak memberikan sebarang bayangan kepadaku dan seandainya aku boleh
menguncikan diriku di dalam bilik ini, aku pasti melakukannya.
Sementara menantikan kemunculan Effendi, aku masuk ke
dalam bilik air yang luas serta dilengkapi dengan peralatan dan kelengkapan
serba moden. Aku menanggalkan persalinan kahwinku dan lantas membasahi tubuhku
dengan pancuran air panas untuk menghilangkan kesan peluh dan lelahku.
Bunyi pergerakan Effendi di luar bilik mandi tiba-tiba
membuatku rasa panik dan takut. Kemudian bunyi itu hilang dan terdengar pintu bilik
tidur ditutup rapat. Aku mengintai ke luar bilik mandi dan langsung tidak
kelihatan kelibat Effendi di dalam bilik. Terus aku berasa lega. Oh! Rupanya
dia membentangkan sejadah untukku menunaikan solat Isyak. Tak sangka dia
memikirkan itu semua tanpa aku perlu bertanya tentang arah kiblat dan
sebagainya.
Selepas solat aku bersedia untuk memulakan perbincangan
dengan Effendi. Aku duduk di atas birai katil-empat-tiangnya yang bersaiz king, sambil menyisir rambutku yang
lurus dan panjang berkali-kali. ‘Inilah kali pertama Effendi akan melihatku
tanpa tudung di kepalaku. Apa agaknya reaksinya nanti,’ fikirku. Adakah dia
sukakan perempuan yang berambut panjang atau pendek? Yang lurus atau kerinting?
Aku mengeluh dan melepaskan rasa gementarku melalui hembusan
nafasku. Aku sandarkan bahu kanan serta kepalaku pada tiang katil dan
memejamkan mataku. Apakah setiap wanita yang bakal melalui malam pertama
merasakan seperti apa yang kurasakan kini? Mungkin lain rasanya jikalau
berkahwin dengan lelaki pilihan sendiri yang amat dicintainya, berbanding
dengan lelaki yang langsung tidak dikenali, sepertiku.
Aku mengesyaki Effendi ingin berbincang denganku mengenai
sebab-sebab dia berkahwin denganku, seperti yang dijanjikan kepadaku dulu. Aku
menantinya dengan penuh debaran. Sambil itu, aku hanya ingin merehatkan mataku
yang kian terasa berat.
No comments:
Post a Comment