Asrul
Effendi
Ina berdiri di muka pintu sambil memandangku dengan
matanya yang bulat. Comel je dia berpakaian baju kurung serba merah jambu serta
reben diikat kemas di kepala dengan warna yang sama. Mukanya tidak sepucat
kelmarin dan aku bersyukur demamnya sudah kebah sepenuhnya. Dia seperti
teragak-agak untuk masuk ke dalam bilikku.
“Ina, kenapa sayang?” tegurku.
Ina melangkah masuk ke dalam bilikku lambat-lambat
sebelum melompat naik ke atas katilku. Dia memintal-mintal rambutnya yang
sedikit kerinting sambil memandangku. “Erm…Tok Mak kata hari ni Ina akan dapat
mama baru. Betul ke, papa?”
Aku bangun dan merapati Ina. Aku menariknya duduk di atas
pangkuanku dan mengusap rambutnya. Ada riak ragu-ragu di wajah anak tunggalku.
“Betul, Ina. Kenapa? Ina tak suka ke dapat mama baru?” soalku lembut.
“Ina suka…suka sangat! Tapi…” kata-kata Ina dibiarkan
tergantung. Matanya terkebil-kebil memandangku.
“Tapi apa, sayang?” tanyaku dengan nada memujuk.
Ina tunduk seketika sebelum kembali memandangku. “Tapi,
mama baru Ina tu nanti akan suka tak dengan Ina?” Kedengaran Ina begitu risau
sekali. Matanya membulat. Keningnya dijongketkan. Terasa sayu di hati
mendengarkan pertanyaan Ina. Tentunya kepedihan hati mengenangkan ibu
kandungnya sendiri tidak mempedulikannya tidak dapat dibuang begitu sahaja.
Kini kedatangan ibu tiri pasti mengundang rasa ragu-ragu di hatinya.
Aku mengukir senyuman manis kepadanya dan cuba
meyakinkannya. “Siapa yang takkan suka kat Ina, hmm? Mestilah mama baru Ina
nanti akan suka pada Ina. Ina kan comel, baik, tapi Ina mesti sentiasa baik,
tak mau nakal-nakal tau…” Aku menguis hidungnya. Ina mengangguk-angguk
mendengar kata-kataku. Aku menyambung lagi. “Cumanya, mungkin Ina tak patut
panggil dia mama sebab mama Ina ada lagi, kan? Mungkin Ina boleh panggil dia ibu ke
atau ummi?” Aku memberikan cadangan. Sememangnya status mama Ina masih dipegang
Mona, jadi aku rasakan tidak begitu sesuai untuk Ina memanggil Lia dengan
panggilan mama jua.
Ina terdiam seakan memikirkan tentang cadanganku. Ina
seorang anak yang amat bijak. Kadang-kadang aku sukar mempercayai bahawa Ina
masih berumur lima
tahun, sedangkan cara pemikirannya sudah menjangkau kanak-kanak yang berusia
tujuh atau lapan tahun. Ina tahu tentang ibunya yang lari meninggalkannya
ketika dia hanya berusia dua tahun. Aku tidak merahsiakan pemergian Mona dari
hidup kami. Cuma aku masih belum menceritakan mengapa Mona meninggalkan kami.
“Ina, nama mama baru Ina, Intan Marliana. Papa rasa dia
mesti suka kalau Ina panggil dia ummi…”
Ina senyum kepadaku dan aku membalas senyumannya. Kini
riak lega mewarnai wajah comelnya. “Dah! Ina pergi turun bawah. Papa nak
sambung bersiap ni. Tok Mak semua dah siap ke?” soalku.
“Dah, papa. Semua orang tengah tunggu papa…”
“Okey. Kejap lagi papa turun.”
Ina lari meninggalkan bilikku. Dia kelihatan lebih ceria
daripada tadi. Aku lega. Aku benar-benar berharap agar Ina dapat menerima Lia
dalam kehidupan kami dan sebaliknya.
Aku berdiri menghadap cermin dan melihat diriku sendiri.
Sepasang mata perang merenung diriku kembali. Suatu ketika dahulu, aku pernah
teruja bersiap-siap begini untuk ke majlis perkahwinanku…tujuh tahun yang lalu.
Aku begitu gugup ketika itu, begitu muda dengan hati penuh berbunga-bunga. Kini
aku menghadapi hari pernikahanku dengan rasa tenang dan aman. Semestinya aku
lebih matang dan lebih dewasa sekarang. Tiada lagi perasaan seperti suatu ketika
dulu – bangga di hati dapat menakluki hati Mona yang menjadi rebutan anak-anak
Dato’ dan Tan Sri yang turut bersama-sama menuntut bersamaku. Sudah begitu lama
rasanya peristiwa itu semua berlalu. Kini aku akan memulakan episod baharu
dalam hidupku.
Intan Marliana...gadis yang telah menawan hati kedua
orang tuaku. Gadis pemalu yang mempunyai paras rupa yang mempesonakan. Perasaan
lelakiku tidak dapat menafikan yang aku tertarik dengan parasnya itu. Aku juga
tertarik dengan perwatakannya yang ayu, sedikit pendiam serta peribadinya yang
begitu taat kepada ibu dan bapanya.
Memang Lia masih muda, jauh lebih muda daripadaku dan
berkemungkinan besar tidak tahu bagaimana untuk menjadi isteri kepada seorang
usahawan yang berjaya dan dikenali ramai sepertiku. Isteri yang akan menjadi
ibu segera kepada anakku, Ina. Kenangan pertemuan kami yang pertama kali
kembali ke ingatan. Aku tersenyum sendirian. Aku harap Lia masih ingat akan
janjinya kepadaku dulu. Adakah dia akan tetap mengotakannya? Aahhh…aku hanya
akan tahu bila berhadapan dengannya nanti.
Aku mengambil nafas dalam-dalam dan pantas meninggalkan
kamar tidurku. Tidak berpaling lagi.
Seperti yang diperkatakan Ina, semua ahli keluargaku
telah siap sedia menungguku. Ku lihat perbualan antara mama, papa dan adik
perempuanku, Asma Elliati terhenti dengan kehadiranku. Asma pulang bercuti
sempena meraikan perkahwinanku. Sudah hampir setahun Asma tidak pulang. Terlalu
sibuk dengan kerjaya fesyennya dan mengendalikan butiknya di Los Angeles untuk meluangkan masa pulang
bercuti menjenguk kami. Namun, aku gembira dengan kepulangannya kali ini.
Rakan perniagaanku yang juga teman rapatku, Saiful, juga
telah siap menungguku untuk menjalankan tugasnya sebagai seorang pengapit.
Segak bergaya Saiful dengan persalinan baju Melayu serta songkoknya.
“Dah siap, Fendi?” tanya ibuku. “Handsomenya anak mama ni!” Mama tiba-tiba menyeka air mata yang
terbit dari kelopak matanya. Mama merapatiku. “Fendi, mama doakan Fendi bahagia
di sisi Lia. Mama bahagia dengan keputusan Fendi ni. Bahagia sangat! Restu mama
dan papa sentiasa ada dengan Fendi, ya?”
Aku senyum. Aku memeluk sebentar ibuku. Terharu.
Adikku Asma kini merapatiku. Dia mengucapkan tahniah
kepadaku. “Mama dah cerita pada adik pasal Lia. Adik
akan sentiasa doakan kebahagiaan abang.” Asma menggenggam tanganku tanda
sokongannya.
“Thanks, dik…”
ucapku. “Cantik adik abang hari ni…Mana cilok baju kurung ni?” usikku. Susah
untuk melihat adik tunggalku ini berbaju kurung. Rimas katanya. Dia lebih gemar
berpakaian santai sahaja, seperti slek yang dikenakan dengan blaus atau kemeja.
Asma mencebik. Leher baju kurung ditarik. Tidak selesa.
“Mama yang belikan…rimaslah…” gerutunya.
Ibuku menggelengkan kepalanya. Tahu sangat dengan selera
pakaian adikku. “Habis tu? Takkan nak masuk masjid dengan skirt atau jean? Cuba
hormat majlis sikit…” bebel ibuku.
Wajah Asma bertambah kelat. Aku menyimpul senyum melihat
gelagat Asma yang tidak pernah berubah.
“Jom? Kita dah lambat ni,” ajakku, cuba meleraikan
‘perbalahan’ antara Asma dengan ibuku.
Ibu mengangguk tanda bersetuju untuk memulakan perjalanan
ke masjid berdekatan dengan rumah Lia. Perjalanan akan mengambil masa lebih
kurang tiga puluh minit dan tidak seharusnya kami lambat sampai ke sana. Aku memimpin tangan
Ina naik ke keretaku sementara yang lain menuju ke kenderaan masing-masing.
Saiful sempat mengusikku sebelum sempat aku masuk ke
dalam kereta. “Hei Fendi! Apa hal last
minute sangat kau ajak aku jadi pengapit ni, hah? Tiba-tiba je kau nak
kahwin? Hujan tak de ribut tak de, tau-tau kau nak kahwin! Tak bagi tau aku pun
sebelum ni? Padahal banyak kali kita meeting
sama-sama…”
Aku hampir ketawa mendengar omelan Saiful. Sempat juga
dia mencilok skrip cerita Pendekar
Bujang Lapok.
“Sorrylah, bro. Aku sibuk sangat sampai tak sempat
nak cerita. Nantilah bila-bila, ya? We’ll
have coffee or something.” Sememangnya aku tidak tahu bagaimana untuk
menceritakan perihal perkahwinan ‘tergemparku’ kepada rakan-rakan perniagaanku
ataupun teman rapatku. Walaupun Saiful tergolong dalam kategori teman rapatku
dan juga merupakan rakan perniagaanku, aku tidak tahu sama ada aku
mempercayainya 100%. Aku tidak mahu mereka berprasangka buruk terhadap Lia,
tetapi aku tidak mahu juga sengaja mereka cerita tentang ‘kisah percintaan’
kami yang sememangnya tidak wujud.
“Okey, bro! Aku
serius nak tau macam mana one of the most
eligible bachelors in KL ni boleh tersangkut and terburu-buru nak kahwin. Aku pun curious nak tengok calon isteri kau ni! Mesti someone special!! Kalau tak, takkan kau tak sabar-sabar nak kahwin,
kan?” Saiful menepuk-nepuk belakangku sambil ketawa.
Aku hanya tersenyum hambar. Memang aku tak sabar nak
kahwin dengan Lia tapi bukan atas sebab yang difikirkan Saiful itu. Biarlah dia
memikirkan yang aku tergila-gilakan Lia, sehinggakan tidak sabar-sabar untuk
menikahinya. Biarkan…Agenda sebenarku tiada siapa yang perlu tahu…
************
Kedatangan kami disambut meriah oleh ahli keluarga Lia.
Aku difahamkan jurunikah sudah pun bersedia menunggu di dalam masjid. Aku
mengambil tempatku di hadapan jurunikah yang bertugas. Aku mengambil masa
memandang ke sekelilingku serta mengerling ke arah Lia yang duduk sopan
bersimpuh tidak jauh di hadapanku. Persalinan indah kain renda berwarna putih,
sepadan dengan persalinan baju Melayuku, menghiasi Lia dengan begitu cantik
sekali. Lia tunduk ke bawah, langsung enggan memandangku dengan kedua belah
tangannya tergenggam erat di atas ribanya. Aku tidak dapat meneka perasaannya
ketika ini. Temannya, Nisha, merangkap pengapitnya, setia duduk di sebelah
kirinya.
Ketika jurunikah memulakan upacara praakad nikah dengan
memberi salam serta membaca bacaan doa, Lia mendongakkan mukanya dan
memandangku. Untuk seketika pandangan kami bertaut. Dadaku mula berdebar.
Naluri mula bergelora.
Kulihat wajahnya disolek indah, meyerlahkan lagi keayuan
serta kejelitaannya. Aku terpegun melihat kejelitaannya, sehingga mendetikkan
sesuatu di dadaku. Namun Lia kelihatan begitu gugup dan ada bait-bait ketakutan
pada pandangan matanya itu. Aku merenungnya dalam-dalam seolah-olah memberikan
sedikit kekuatanku kepadanya. Lia harus tabah. Tiada siapa melainkan ahli
keluarga terdekat yang harus tahu bahawa pernikahan ini tidak direstui diri Lia
sendiri. Lia mesti kelihatan ceria dan gembira, seolah-olah dia akan dinikahi
dengan lelaki yang paling dicintainya. Sekiranya Mona mendapat tahu yang Lia
sebenarnya tidak mahu mengahwiniku, rancanganku pasti tidak akan berjaya.
Entah bagaimana, Lia seakan dapat meneka kegusaran yang
melanda jiwaku, lantas memberikanku sekuntum senyuman. Aku terpanar. Manis
sekali. Menggetarkan jantungku. Walaupun senyumannya hanya seketika sebelum Lia
kembali menundukkan mukanya, namun cukup memberikan gambaran pada semua yang
hadir di dalam masjid tentang keihklasannya menjadi isteriku. Aku menghela
nafas lega.
Aku mengembalikan perhatianku kepada jurunikah di
hadapanku dan menjawab semua pertanyaannya dengan jelas dan yakin. Setelah
beberapa ketika, Lia sah menjadi isteriku dengan sekali lafaz. Selepas semua
dokumen siap ditandatangani, ku lihat Lia bangun menuju ke ruang solat wanita.
Sepertinya, aku turut mengerjakan solat sunat dua rakaat tanda syukur ke hadrat
Ilahi.
Sekembalinya Lia daripada mengerjakan solat sunatnya, aku
diminta meneruskan dengan upacara membatal air sembahyang. Aku bangun dan
merapati tempat duduknya. Ketika sudah berada di hadapannya, kedengaran suara
ibu Lia memintanya bersalam dan mengucup tanganku. Lia menurut. Kedua tangannya
memaut tanganku, lantas dia tunduk untuk mengucup tanganku. Suatu perasaan
halus menyelubungiku tatkala bibir Lia menyentuh tanganku. Damai. Ya Allah,
begitu sejuk tangannya. Seperti beku. Bertali arus lensa kamera merakamkan
detik bersejarah itu.
Kini upacara menyarungkan cincin ke jari manis Lia pula.
Aku memegang tangan kanannya yang lembut lalu menyarungkan cincin emas yang
bertatahkan butir-butiran berlian di sekelilingnya, pada jari manis Lia.
Giliran Lia pula menyarungkan cincin di jariku. Semuanya berlaku tanpa Lia
sedikit pun memandang ke wajahku. Lia diminta menyalamiku sekali lagi atas
permintaan jurufoto yang tidak puas-puas merakam gambar kami. Lia menurut.
Lia kembali bangun daripada posisi tunduknya dan
membiarkan matanya separas butang baju Melayu di leherku – masih tidak mampu
bertentangan mata denganku. Aku menongkat dagunya ke atas untuk memaksanya
memandangku. Lia tiada pilihan lagi. Mata bertentang mata. Ya Allah! Betapa
indahnya kurniaan-Mu kepadaku ini! Aku merapatkan diriku padanya dan mengucup
dahinya. Lama. Ternyata Lia sedikit terkejut dengan perbuatanku, namun dia
pantas menutupnya apabila tersenyum malu. Aku terpaku!
Aku memanggil Ina yang duduk berhampiran ibuku dan
membawanya dekat dengan Lia. Ina menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan
Lia, tetapi Lia mengejutkanku apabila menarik tangan Ina dan mendakapnya. Lia
mencium kedua-dua pipi Ina yang ternyata amat teruja dan gembira dengan
perlakuan Lia itu. Aku hanya mampu tersenyum. Lia membalas senyumanku. Aku
memandang Lia dengan pandangan penuh rasa terima kasih kerana dia telah
mengotakan janjinya kepadaku. Di mata orang luar yang tidak mengetahui
bagaimana Lia dan aku disatukan, pasti tidak akan merasakan apa-apa yang tidak
sempurna dengan penyatuan ini.
Majlis akad nikah disusuli dengan kenduri di rumah orang
tua Lia. Majlis resepsi daripada pihak lelaki akan disusuli pada keesokan
malamnya di Hotel Istana. Mataku mengekori tubuh kecil Lia ketika dia
meninggalkan masjid untuk kembali ke rumahnya. Aku kekal menunggu di dalam
masjid untuk menyalin baju Melayuku kepada persalinan songket berwarna cream.
Saiful membantuku dan amat teliti dalam memastikan
semuanya terletak dengan sempurna di tubuhku. Keris di pinggang, tengkolok di
kepala, semuanya diamati dan dibetulkan. “Susah nak tengok orang pakai songket
untuk kenduri kahwin sekarang ni. Semua ikut perubahan trend dan fesyen. Tapi
kau masih ikut tradisi, bro. Aku respect betul…” ujar Saiful.
“Mak aku yang pilih…Aku ikutkan je…” jelasku.
Saiful masih melurutkan tangannya di atas bahuku,
membetulkan letak duduk bajuku. Hanya setelah dia benar-benar berpuas hati
dengan penampilanku, barulah dia membenarkan aku keluar dari masjid.
“Fendi, aku cemburu dengan kau…”
Pengakuan Saiful mengejutkanku. Pantas aku menoleh
memandangnya. Cemburu? Apasal pulak?
“Engkau dapat isteri idaman jejaka satu Malaya!”
Aku tergelak kecil.
“Kali pertama aku pandang isteri kau tadi, aku yang rasa
sejuk, tenang, aman. Ini pulak kau
yang akan berpeluang melihat kesejukan dan ketenangan tu semua depan mata kau
setiap hari. Aku betul-betul cemburu dengan kau, but I’m happy for you, bro!”
Aku menepuk-nepuk belakang bahu Saiful. “Insya-Allah, kau
akan jumpa jugak dengan ‘Lia’ kau
sendiri suatu hari nanti…” balasku.
“Padanlah cepat sangat kau nak kahwin, bro. Aku dah faham sekarang. Kalau aku
jumpa pompuan macam ni pun aku takkan
tunggu lama-lama. Aku akan terus sambar sebelum orang lain yang sambar dulu!”
Tawa aku dan Saiful sama-sama terlepas mendengar kata-kata akhir daripada
Saiful itu sambil melangkah ke luar kawasan masjid. Ahli rombonganku sedia
menunggu untuk mengiringiku berjalan ke rumah orang tua Lia.
Paluan kompang mengiringi kehadiran rombonganku tepat jam
1.00 tengah hari. Lia sedia menunggu di perkarangan rumah dengan persalinan
songket berpotongan kebaya labuh. Kami mengatur langkah mendekati diri
masing-masing. Kelihatan Nisha membisikkan sesuatu ke telinga Lia membuatkan
Lia tersenyum dan tersipu malu. Lia menyambut kedatanganku dan memaut lenganku.
Aku menggenggam tangannya di lenganku. Sejuk. Kami mula berjalan masuk ke dalam
rumah.
Kami bersanding sebentar di atas pelamin, sekadar untuk
bergambar dengan sanak keluarga. Tiada upacara merenjis tepung tawar di adakan.
Aku difahamkan ini adalah atas permintaan Lia sendiri yang mahukan upacara
persandingan yang serba ringkas sahaja.
Terdengar suara ibuku bergurau senda dengan besannya sambil
mengusik kami di atas pelamin. Sebuah kerusi kayu antik panjang bertilamkan
kusyen baldu, dikongsi duduk bersama Lia. Aku merasai bahunya menyentuh bahuku.
Lia diusik agar memandang ke arah kamera manakala aku diminta memegang tangan
Lia agar gambar kelihatan lebih cantik dan romantik.
Tangan Lia masih amat sejuk kurasakan, menandakan
kegelisahan serta kegugupannya bersanding di atas pelamin berdua bersamaku.
Sempat aku mengerling sekilas ke arahnya. Ketika itu juga dia memalingkan
mukanya menghadapku. Pandangan matanya penuh dengan rasa gemuruh. Aku
menggenggam tangannya. Simpati aku terhadapnya. Tidak putus-putus dia diusik
sanak-saudaranya. Gamat suasana ruang tamu rumah mentuaku.
“Ya Allah, macam pinang dibelah dua, pengantin baru ni!
Mengalahkan perkahwinan sesama artis. Pandainya Seri, kau cari menantu! Macam
hero filem, bukan main lagi hensemnya…”
usik seorang makcik, yang ku yakini kenalan ibu mentuaku.
Kemudian ada pula kawannya yang lain pula berkata, “Seri,
kalau aku tau anak dara kau cantik macam ni, dah lama aku pinang untuk anak aku
si Zaimi tu. Kalau tak si Zaimi pun, si Helmi. Kalau tak si Helmi pun, si Rudy.
Mana-mana jelah. Tak kisahlah asal dapat Lia jadi menantu aku…Sekarang kan dah
melepas…” diikuti dengan helaian ketawa semua yang mendengar usikan mereka.
Lia kelihatan tidak selesa dengan usikan mereka. Terbit
sejenak rasa bangga di hati mendapat isteri yang begitu lengkap pakejnya
seperti Lia, yang menjadi idaman bukan sahaja ibuku sendiri, tapi ibu-ibu lain
yang hadir ke majlis kami. Ternyata Lia merupakan calon menantu mithali pilihan
para ibu yang tentukan mahukan yang terbaik untuk anak-anak lelaki mereka.
Ketika duduk bergandingan di meja santapan, aku sempat
berbisik kepadanya. “You okey? Hang in
there, ya?”
Lia hanya mampu menganggukkan kepalanya. Aku juga
mengambil peluang menggenggam tangannya yang masih sejuk dari bawah meja. Lia
menoleh ke arahku lalu tersenyum. Aku terpanar sekali lagi. Sudah berkali-kali
dadaku dihentam hebat oleh perasaan halus itu. Parah macam ni…
“Amboi, romantiknya pengantin ni. Asyik pandang-pandang
je…” kedengaran suatu suara mengusik kami. Lia pantas mengalihkan pandangannya
lalu tunduk. Sempat pipinya yang memerah menangkap pandanganku.
“Hai lah, kalau aku dapat isteri cantik macam ni pun, aku
pun tak nak terlepas pandang…” suara garau seorang lelaki tua kedengaran. Para tetamu yang mendengar komen-komen usikan tadi
bergegar ketawa. Aku mendengar Lia melepaskan nafasnya perlahan-lahan.
Selesai kenduri di rumah Lia, aku kembali ke rumahku di
Damansara Heights manakala Lia kekal bermalam di rumah mentuaku. Ketika Lia
menghantarku ke kereta, dia menyalami dan mengucup tanganku. Suatu suara di
hatiku menyatakan hasratku untuk mendakapnya, tetapi tidak mampu aku lakukan.
Namun aku tidak berdaya menolak keinginanku untuk mengucup dahinya sekali lagi.
Suatu ketenangan aku rasakan pabila dapat mengucupnya begitu. Terasa aku
benar-benar suaminya dan dia isteriku yang sentiasa memohon restu dan
keredaanku. “Sleep well, my dear. I’ll
see you tomorrow…”
Senyuman manis Lia mengiringi pemergianku. Mengapa hati
terasa berat meninggalkannya? Adakah aku sudah merasa rindu?
***************
Keesokan paginya, seperti yang telah dirancangkan, aku
menjemput Lia dari rumah orang tuanya. Lia sudah pun bersiap dengan beg dan
beberapa buah kotak untuk diangkut berpindah ke rumahku. Lia nampak begitu
sedih meninggalkan kedua orang tuanya dan berjanji akan menziarahi mereka
selalu.
“Jumpa mak dan abah malam karang, ya?” Lia berkata lembut.
“Mak, abah…Fendi gerak dulu. Assalamualaikum…” Aku
menyalami tangan ibu dan ayah mentuaku sebelum mengiringi Lia masuk ke dalam
kereta.
Di dalam kereta, Lia diam membisu dan hanya memandang ke
luar tingkap. Aku tahu dia tidak selesa berdua-duaan denganku apabila dengan
jelas tangan kanan di atas ribanya tidak henti-henti menggenggam dan meramas
tangan kirinya. Tidak sukar hendak meneka mengapa dia tidak selesa denganku,
namun aku berharap Lia boleh berpura-pura bermesra denganku sekiranya ada orang
lain bersama-sama kami nanti.
“Abang nak ucapkan terima kasih pada Lia sebab Lia ingat
janji Lia pada abang,” kataku dengan lembut, memecah keheningan suasana. Sambil
memandu, aku mengerling ke arah Lia.
Lia menoleh memandangku, seakan terkejut – mungkin kerana
aku membahasakan diriku dengan panggilan ‘abang’. Namun dia tidak memberikan
sebarang tindak balas. Lia cuma mengangguk.
“Jangan lupa. Bila-bila masa je lepas ni, kalau Lia
perlukan favour daripada abang, abang
janji akan tunaikannya…”
Diam. Tiada balasan.
“Oh ya! Resepsi malam ni mula pukul 8.00 tapi kejap lagi
ada rehearsal jadi kita masih kena
pergi sana tengah hari ni. Hotel Istana ada sediakan bilik untuk kita bersiap,
jadi lepas rehearsal, kita tak payah
balik rumah.”
“Okey,” balas Lia dengan nada perlahan.
“Apa yang Lia sedang fikirkan sekarang?” tanyaku selepas
lebih lima
belas minit masa berlalu tanpa sebarang bicara. Hanya lagu nyanyian Lionel
Richie, Hello di radio menjadi
peneman.
Lia seakan teragak-agak untuk berkata-kata namun dia
memberanikan diri mencuba. “Ingat tak Fendi ada cakap dengan Lia yang lepas
kita kahwin, Fendi akan ceritakan pada Lia kenapa Fendi kahwin dengan Lia?”
Aku mengangguk. “Ya. Abang ingat. Tapi…biarlah kenduri ni
semua selesai dulu, ya? Nanti abang akan jelaskan.”
Lia bersetuju tanpa banyak soal.
“Errr…Ina mana?” soal Lia, yang kukira sekadar untuk
memecah suasana di dalam kereta yang kembali dipenuhi dengan suara mendayu-dayu
Lionel Richie tadi.
“Ina ada dengan mama. Nanti mama bawak dia ke hotel malam
karang.
“Oh…”
“Err Lia,” sambungku lagi. “Abang rasa lepas ni elok
kalau Lia tak panggil abang dengan nama abang. Tapi panggil ‘abang’. Lagi proper. Tak manis kalau orang luar
dengar Lia panggil suami sendiri dengan nama je. Lagipun, abang jauh lebih tua
daripada Lia…I’m nine years older than
you!”
Lia mengeluh kecil. “Lia tak biasa…”
“Lia kenalah biasakan lepas ni…” saranku.
“Lia cuba…tapi mula-mula ni mungkin rasa janggal sikit
sebab Lia tak biasa…”
Aku cuma diam namun berpuas hati dengan balasannya.
Sekurang-kurangnya dia tidak terus membantah dan mahu mencuba.
Keretaku mula memasuki perkarangan rumah. Sementara
makcik Leha dan pakcik Osman sibuk memunggah beg dan kotak-kotak dari perut
bonet kereta, aku mempersilakan Lia masuk ke dalam rumahku. Aku membawanya ke
sekeliling rumahku agar dia lebih selesa kelak dan ketika membawanya naik ke
atas, Lia mengatakan sesuatu yang agak melucukan.
“Besarnya rumah Fendi…eh…abang ni! Kenapa duduk rumah
besar-besar kalau hanya ada ab..abang dengan Ina je?” Aku menyimpul senyum
tatkala Lia cuba membetulkan panggilannya kepadaku. Tergagap-gagap dia hendak
menyebut perkataan ‘abang’ itu. Susah sangat agaknya.
Tidakkah dia tahu tahap kekayaanku? Tidakkah dia sedar
siapa suaminya ini?
“Kenapa? Lia lagi suka rumah kecik ke?” tanyaku sambil tertawa kecil.
Lia mengetap bibir. “Bukan macam tulah tapi…tak ke lagi
selesa kalau rumah tu serba sederhana? Bukan sebab Lia tak suka, tau? Cuma
sekadar bertanya.”
Balasan daripada Lia mengesahkan lagi pendapatku bahawa
Lia berkahwin denganku bukan disebabkan harta kekayaanku dan kemewahan yang
bakal dikecapnya dengan menjadi isteriku. Entah mengapa hakikat ini benar-benar
membahagiakanku.
Aku membuka pintu bilik utama dan mengajaknya masuk. “Ni
bilik kita. Nanti makcik Leha akan pindahkan barang-barang Lia ke dalam bilik
ni...”
Lia kelihatan teragak-agak untuk melangkahkan kakinya
masuk ke dalam bilik yang sudah terbuka. Dia menelan air liur. “Err…kita berdua
akan sama-sama kongsi bilik ni?”
“Yalah! Habis tu Lia ingat apa?” tanyaku perlahan. Kening
kujongketkan.
“Tak de…tak de apa-apa…” katanya gugup dan sedikit
gelisah.
Aku tertanya-tanya sendiri mengapa Lia beranggapan bahawa
dia tidak akan berkongsi bilik denganku, lebih-lebih lagi aku sudah pun menjadi
suaminya. Tetapi aku biarkan sahaja soalan itu berlalu.
Lia memerhatikan bilik tidur kami dan berjalan menuju ke tingkap
yang berpemandangan kolam renang di belakang rumahku. Aku menghampirinya dan
berdiri di sebelahnya. Ku amati wajahnya dari tepi. Ternyata Lia sedang
berperang dengan perasaannya ketika itu dan aku tidak tahu bagaimana untuk
menenangkannya. Sudahnya, aku mengajaknya turun ke bawah untuk bersedia
bertolak ke Hotel Istana.
Aku perkenalkan Lia kepada pembantu rumahku, makcik Leha
dan pemanduku, pakcik Osman. Pakcik Osman merupakan suami kepada makcik Leha.
Mereka berdua sudah terlalu lama bekerja dengan keluargaku. Pada mulanya mereka
berdua bekerja di rumah orang tuaku. Namun setelah berkahwin, ibu meminta
mereka berdua bekerja di rumahku. Setelah aku bercerai dengan Mona pun mereka
masih lagi kekal bersamaku.
“Encik,” kata pakcik Osman kepadaku. “Encik nak saya drive ke Hotel Istana?”
“Tak pe, pakcik. Tak payah. Saya drive sendiri. Jangan lupa datang dengan makcik Leha malam ni, ya?”
kataku sambil memaut lengan Lia berjalan menuju ke kereta. Lia memandangku
kehairanan tetapi menurut sahaja masuk ke dalam perut kereta.
“Encik,” makcik Leha menegurku dari belakang. Aku
berpaling.
“Ya?”
“Baju untuk malam ni dah ada dalam kereta, bersama beg
Puan yang ada kat kerusi belakang…Saya tak keluarkan dari kereta…”
Aku mengangguk dan masuk ke dalam kereta. Selepas lima minit berlalu, aku cuba mengingatkan Lia kembali pada
janjinya. “Lia, malam ni, semua ahli keluarga abang, kawan-kawan abang dan
rakan-rakan perniagaan abang akan hadir ke majlis kita. Jadi abang harap, Lia
sekali lagi dapat ‘berlakon’ yang Lia bahagia dan gembira dengan perkahwinan
kita ni. Kalau kita kat khalayak ramai, orang akan nampak kita as the
happy couple. So you have to get use to me touching you in public.”
Berkerut dahi Lia memandangku. “Kenapa penting sangat apa
yang orang fikir pasal kita?” soal Lia, sedikit tidak puas hati.
“Lia kena fikir. Jodoh kita ni diaturkan oleh both our parents. Abang pulak ada Ina. Abang tak nak nama dan
maruah famili kita tercalar dengan kata dan fitnah orang. Lia suka kalau orang
kata Lia kahwin dengan abang sebab tamakkan harta abang sedangkan Lia tak
cintakan abang? Padahal kita kenal dalam tempoh kurang tiga bulan. Ramai yang
kenal abang kat luar tu. Cukuplah sekali maruah abang dan keluarga abang
tercalar dulu…” Aku menjeling ke arahnya sebelum kembali memandang ke hadapan.
Aku tahu Lia sedang memikirkan kata-kataku. “Abang tau
Lia sayangkan mak dan abah Lia dan tak mahu diaorang
menanggung malu kalau-kalau ada cerita yang kita tak bahagia, sampai ke telinga
diaorang, betul tak?”
Pertanyaanku yang terakhir itu sampai betul-betul ke
hatinya. Aku tahu betapa Lia menyayangi ayah serta ibunya dan sudah pasti dia
tidak mahu berita buruk mengenai hal rumah tangga kami sampai ke telinga
mereka.
“Sampai bila macam ni?” soal Lia perlahan.
“Sampai bila-bila!” kataku dengan nada tegas. Aku
mengeluh. “Lia akan lebih faham lagi nanti. Tunggulah ya? Nanti abang jelaskan
semuanya.”
Kami akhirnya sampai di Hotel Istana. Hotel yang telah
menjadi saksi pertemuan aku dan Lia yang pertama kali lebih kurang tiga bulan
dulu. Barangan yang dibawa dibawa naik ke Honeymoon
Suite.
Kami bersedia untuk rehearsal
untuk majlis malam nanti dan tiada lagi perbincangan serius antara aku dengan
Lia. Ternyata Lia begitu kekok dalam percubaannya untuk ‘bermesra’ denganku
ketika berada di khalayak ramai tetapi aku tidak memaksanya. Aku tahu ini bukan
mudah baginya dan aku bersyukur dia mahu menurut kata-kataku. Jelas dia sedang
mencuba. Itu sahaja cukup untukku buat masa ini.
Saiful dan Nisha, selaku pengapit pengantin lelaki dan
perempuan, turut serta menjalani rehearsal
tidak lama selepas kami sampai di Hotel Istana. Nisha agak mesra denganku. Aku
senang melihat betapa teguhnya ikatan persahabatan antara Lia dengan Nisha.
Mereka berdua amat rapat sekali. Sesekali mereka berbual tanpa menghiraukan
orang lain di sekeliling mereka. Sungguh asyik berbicara sehinggakan aku bebas
mengamati segala tingkah laku Lia, tanpa sedarnya. Lia seorang yang amat lembut
– daripada pergerakan tangannya dan juga lentokan kepalanya. Sesekali tangannya
akan menyentuh atau menguis lengan Nisha ketika bercerita.
“Hai! Relakslah, bro.
Tengok bini sendiri macam tak sabar-sabar nak terkam je aku tengok? Tak
berkelip mata kau!” usik Saiful.
Aku tergelak mendengar kata-kata Saiful. Cuba menutup
malu kerana ditangkap merenung isteri sendiri.
“Lawa giler bini
kau, bro. Pandai kau cari! Dia ada
adik perempuan tak yang boleh kau kenen
dengan aku? Kakak pun tak pe, bro!
Aku tak kisah…” Mata Saiful berlabuh di wajah Lia.
“Sorry, bro. Lia anak bongsulah dan anak
perempuan tunggal dalam keluarga dia,” jelasku.
“Alaaah…Frustnya
aku! Aku tengok bini kau ni lembut je, kan? Lembut yang asli, bukan yang
dibuat-buat. Sejuk mata memandang.” Saiful memuji Lia sambil matanya masih
berterusan menjalar ke wajah isteriku.
Ada suatu perasaan tidak senang bertandang di hati. “Hello, bro. Jangan pandang lama-lama, ya? Tu isteri aku, tu!” Pada mulanya
aku hanya berniat untuk bergurau sahaja dengan Saiful tetapi hakikatnya aku
tidak suka melihat Saiful asyik memandang Lia. Tidak suka juga dia memuji-muji
Lia. Kenapa agaknya? Adakah aku cemburu? Nonsense!
Mona dulu merupakan seorang model. Kerjanya asyik memperagakan diri di khalayak
ramai, termasuk lelaki-lelaki yang jelas memandangnya dengan niat yang satu.
Bajunya tidak ada yang tidak seksi – terbelah sana,
terbelah sini, terdedah sana,
terdedah sini. Kadangkala aku merasa dayus membiarkan dia berpakaian begitu.
Namun hakikatnya aku tidak pernah rasa cemburu sekiranya lelaki lain menjamah
tubuh Mona dengan mata mereka. ‘Ah! Tak mungkin aku cemburu...’
“Hai, bertuahlah kau, Fendi. Kau dah selamat kahwin. Aku
ni asyik kena main dengan pompuan
je…”
Aku tersenyum mendengar keluhan Saiful. Memang Saiful
seorang yang mudah jatuh cinta. Tidak pernah berasa serik. Asalkan ada wanita
yang meluahkan perasaannya kepada Saiful, Saiful pasti menyambutnya. Saiful
masih bersangka baik terhadap setiap wanita yang mengungkapkan kata sayang dan
cinta kepadanya. Padahal mereka hanya mahukan kemewahan yang ditaburkan Saiful
kepada setiap yang dicintainya.
“Kau senang sangat termakan dengan kata-kata manja, bro. Kau kena lebih berhati-hati. Kau
kena cari orang yang ikhlas nakkan kau…bukan duit kau.” Nasihatku kepada
Saiful. Di dalam hati, aku menyambung ‘seperti Lia.’ “Tu, kawan Lia tu tak
berkenan ke?”
Saiful beralih pandang kepada Nisha pula. Diamatinya
Nisha dari atas ke bawah. “Hmmm…boleh tahan jugak…Ada boyfriend
ke?”
“Entahlah…kalau minat, aku boleh tanya Lia.” Aku cuba menjadi
matchmaker. Apa saja asalkan Saiful
berhenti daripada menaruh hati pada Lia. Pelik aku ni! Sampai macam tu sekali!
“Nanti-nantilah dulu, bro.
Hati aku ni baru je ranap. Aku nampak sendiri Emylia curang dengan lelaki
lain…Aku nak chill dululah…”
Aku sangsi mendengar kata-kata Saiful. Dia memang tidak
boleh hidup tanpa seorang wanita di sisinya. Mungkin dia tidak mengenali
perasaannya sendiri. Mana mungkin begitu mudah dia jatuh cinta? Aku pun sudah
tidak boleh kira berapa ramai wanita yang pernah ‘dicintai’ Saiful sebelum
Emylia.
Mataku kembali tertala ke arah Lia, yang asyik mendengar
cerita Nisha. Walaupun Lia terlalu muda buatku, dia jelas menampakkan
kematangannya dalam melayari kehidupannya kini. Dia seorang yang sungguh
rasional dan langsung tidak mengikut emosi. Gadis lain di tempatnya mungkin
akan memberontak dan membantah dengan apa yang berlaku kepadanya, tetapi bukan
Lia. Lia telah berfikir secara matang akan kata-kataku ketika di dalam kereta
sebentar tadi dan menerima segala kemungkinan dengan hati terbuka. Dia sanggup
mengetepikan perasaannya sendiri demi menjaga maruah dan hati keluarganya.
Kemurnian hatinya tidak dapat kusangkal lagi. Ternyata
ibuku telah membuat pilihan yang tepat bagiku.
“Jom, bro. Kita
break dulu. Aku laparlah…” ajak
Saiful.
Aku mengangguk. Aku bangun dari dudukku dan menghampiri
Lia dan Nisha. Aku menghulurkan tanganku kepada Lia. Dia kelihatan terkejut
namun cuma seketika sebelum tanganku disambut lembut bersama sekuntum senyuman.
Aku terpanar. Cantiknya dia!!
“Jom makan, si Saiful ni dah lapar sangat,” aku mengajak
sambil jari-jemariku menyimpul kemas jari-jemarinya. Terasa kehangatan
tangannya menyelinap masuk hingga ke pangkal lenganku. Aku tidak faham reaksi
tubuhku apabila berdekatan ataupun bersentuhan dengannya. ‘Macam budak belasan
tahun, aku dibuatnya!’ Aku marah kepada diriku sendiri. ‘Come on, Fendi. Control
yourself!’
No comments:
Post a Comment