“Bang, kenapa abang nangis?” Syam mengesat air mata
dengan lengan baju dan mendongak melihat wajah isterinya, Suhaila. Entah bila
isterinya itu berdiri di hadapannya. Dia langsung tidak perasan. Berkerut dahi
Suhaila memandang Syam dengan riak wajah yang begitu risau sekali. Syam menarik
tangan isterinya untuk sama duduk bersamanya di birai katil.
Syam menggelengkan kepalanya. “Budak-budak dah tidur?”
soalnya terlebih dahulu. Pertanyaan si isteri, dibiarkan sepi.
“Dah, bang. Penat sangat agaknya,” balas Suhaila. “Abang?
Kenapa ni?” Suhaila masih tidak berpuas hati pabila Syam tidak menjawab
pertanyaannya.
Syam mengukirkan sekuntum senyuman manis kepada Suhaila.
Cuba menghilangkan rasa risau yang melanda hati isterinya itu. “Tak de apa, Su.
Abang nangis bukan sebab abang sedih. Tapi sebenarnya abang rasa gembira sangat
malam ni...” Syam mengusap pipi Suhaila lembut.
Suhaila membalas senyuman suaminya. Ada riak lega di
wajahnya. “Su tau kenapa. Su pun rasa macam tu, bang…tak sangka ya, bang? Abang
tau, masa nak balik dari rumah mak tadi, mak peluk Su! Mak cium Su!” Suhaila
tersengih memikirkan kembali perlakuan ibu mentuanya sebentar tadi. Teruja
benar lagak Suhaila. Dia masih tidak percaya apa yang telah terjadi malam ini.
Syam tumpang gembira melihat Suhaila begitu gembira. Jelas kelihatan di wajah
isterinya itu.
Selama ini, walaupun Puan Seri melayani Suhaila dengan
baik dan jelas menyayangi anak-anak Syam bersama Suhaila, tetapi ada sesuatu
‘kekurangan’ antara hubungan Puan Seri dengan Suhaila. Bukannya Puan Seri tidak
mesra dengan Suhaila…Mereka sering berbual-bual bersama, tetapi mungkin
keikhlasan daripada seorang ibu yang dicari-cari Suhaila selama ini, tidak
pernah dirasakannya. Sudah lapan tahun Syam mengahwini Suhaila, dan selama itu
jugalah Suhaila menanti keikhlasan ibu mentuanya dengan penuh kesabaran. Syam
sedar selama ini, Suhaila mendambakan kasih sayang yang tulus ikhlas daripada
Puan Seri, memandangkan ibu kandungnya sendiri telah lama meninggalkannya.
“Mak pun peluk dan cium abang tadi. Abah pun!” Syam
mencelah.
Suhaila menggenggam tangan suaminya. “Su bersyukur sangat
Allah dah bukakkan hati mak dan abah
untuk terima kita. Abang tak tau macam mana selama ni Su hidup dengan penuh
rasa kekesalan. Kesal, disebabkan Su, abang tersisih daripada keluarga abang
sendiri.” Lirih suara Suhaila.
Syam menggelengkan kepalanya lantas mengesat air mata
jernih yang tiba-tiba mengalir dari tubir mata isterinya. “Jangan cakap macam
tu, sayang. Abang tak pernah salahkan Su. Abang yang tergila-gilakan Su dulu.
Abang yang kemaruk nak kahwin sangat dengan Su, walaupun Su sanggup tunggu
abang…Abang tak nak Su rasa bersalah walau sedikit pun. Memang abang tak
berpelajaran tapi abang bahagia. Bahagia sangat! Su dan anak-anak kita, harta
abang yang tak de galang gantinya…”
Suhaila mengangguk tanda menerima penjelasan Syam.
“Abang pun gembira sangat tengok Along tadi. Along dah
lama menderita. Kesian Along selama ni. Cuma kita je yang tak tau…tak nampak.
Walaupun Along tu lelaki, tapi abang tau Along rasa jauh hati sangat dengan mak
dan abah. Selama ni abang tak tau macam mana nak tolong Along. Abang pun
tumpang rasa bersalah sebab tak dapat nak rapatkan hubungan Along dengan mak dan
abah…”
“Yalah, bang. Kalau Su boleh terasa hati dengan mak
selama ni, apa lagi Along, kan? Kesian Along…” Suhaila menyokong kata-kata
Syam.
Syam sedih mengenangkan nasib abangnya, Mail, selama ni.
“Su, kalaulah anak kita yang buat perangai macam Along atau abang dulu, Su buat
apa, ya?” tanya Syam serius. Ingin menyelami hati seorang ibu.
Suhaila mengeluh kecil. “Entahlah, bang. Su tak tau nak
jawab…Kadang-kadang kita ni terlalu mengharap pada anak-anak kita. Su rasa
semua mak bapak nak yang terbaik untuk anak-anak mereka… Mahu anak-anak diaorang berjaya dalam hidup…tapi kalau
anak kita tak ikut cakap kita, tak semestinya diaorang ni semua akan gagal dalam hidup, kan? Mungkin ada yang
akan gagal, tapi mungkin ada yang berjaya…Kita cuma kena sentiasa sayang dan
sokong mereka. Su sedar restu mak bapak tu penting buat seorang anak. Entahlah
bang…” Jeda. “Errr…katalah Rima atau Irfan nak kahwin masa umur diaorang lapan belas atau sembilan belas
tahun, abang bagi tak?” Giliran Suhaila menyoal Syam.
“Eeeee…abang siat diaorang
hidup-hidup!” Pantas Syam menjawab tanpa berfikir sejenak pun.
Suhaila kelihatan terkejut dengan jawapan suaminya.
“Kenapa pulak? Dia kahwin muda boleh,
anak-anak tak boleh pulak!” rungut
Suhaila. Jelas tidak puas hati dengan balasan Syam sehinggakan bibirnya sedikit
memuncung.
Syam tergelak kecil melihat riak wajah isterinya. Tangan
Syam yang digenggamnya selama ini dilepas dan ditolak dengan kasar.
“Alaah…janganlah marah!” Syam meraih kembali tangan isterinya dan memaksa
Suhaila memandangnya. “Su cuba fikir…Su nak anak kita jadi macam Along atau
abang, atau Su nak anak kita jadi macam Lia?” Syam menjongket-jongketkan
keningnya.
Suhaila terdiam. Dahinya dikerutkan semula seolah-olah
cuba memikirkan sedalam-dalamnya soalan Syam tadi. “Hmmmm…mestilah nak anak
macam Lia,” jawabnya meleret.
Syam tersenyum puas mendengar kata-kata isterinya.
“Abang dah pernah rasa apa yang Along rasa. Walaupun tak
seteruk Along, tapi abang tetap merasakannya. Abang tau macam mana rasanya
kalau kita ni dianggap gagal dalam hidup hanya sebab kita tak berpelajaran
tinggi…abang tau abah malu ada anak seperti abang dan Along sebab anak-anak
saudara abah yang lain kebanyakannya berjaya dan berpelajaran tinggi. Abah
dengan mak bangga dengan Lia. Lia taat pada semua permintaan abah dan mak.
Tengok Lia sekarang!” kata Syam penuh bangga. Tiada sedikit pun perasaan
cemburu terhadap adik tunggalnya, walaupun Lia disayangi dan dikasihi kedua
orang tua mereka, melebihi dirinya dan Mail.
Suhaila mengangguk tanda setuju. “Su rasa Lia tu tak
bahagia, tapi dia reda. Abang bertuah dapat adik macam Lia. Su rasalah kan,
Lialah yang telah menyatukan semula keluarga abang…”
“Abang setuju. Tengok saja mak dan abah malam ni. Dah
lama abang tak rasa pelukan daripada mak atau abah. Dah lama benar!”
Suhaila meraup rambut Syam ke belakang dengan lembut.
Sehingga kini, belaian kasih daripada Suhaila masih terasa…Keyakinan dan
kesabarannya selama ini menjadi tulang belakang Syam untuk sentiasa bekerja
keras. Syam pasti suatu hari nanti, dia akan berjaya merealisasikan impiannya
untuk membuka bengkelnya sendiri.
“Tidurlah, Su. Esok pagi-pagi lagi kita dah nak kena
pergi rumah mak, tolong apa-apa yang patut…”
Suhaila mencebik. “Tu lah…Kenapa kita tak tidur je rumah
mak tadi? Kan
senang? Tak payah nak berpindah-randah!!” ngomel Suhaila.
Geli hati Syam mendengar omelan isterinya. Comel sungguh.
Syam mencuit hidung Suhaila. “Nak tidur kat mana, wahai sayangku? Rumah tu
penuh dengan makcik-pakcik dari kampung. Sesak! Bising pulak tu. Langsung tak de privacy.
Sah-sah nak usik isteri abang nanti pun tak boleh…”
Suhaila menampar lengan suaminya manja. “Hesy, abang ni!
Ke situ pulak dia…” Suhaila tersipu.
Usikan Syam menjadi. Suhaila cuba bangun dan menjauhkan
dirinya daripada Syam tetapi lelaki itu pantas meraih pergelangan tangannya.
Syam menarik tangan Suhaila dan Suhaila jatuh ke atas ribanya. “Abang ni!!!”
katanya tertawa.
Syam memeluk Suhaila erat sambil membenamkan kepalanya ke
rambut isterinya yang harum mewangi. Dia memejamkan matanya lalu melepaskan
rasa hibanya melalui aliran nafasnya yang tiba-tiba tersekat-sekat. Sudah
terlalu lama dia merindui ayah dan ibunya. Sudah terlalu lama…Walaupun mereka
dekat dengannya, tetapi sebenarnya mereka amat jauh sekali. “Mak sayang kau,
Syam!” Kata-kata hikmat itu diucap Puan Seri tatkala memeluk Syam sebentar
tadi. Lenyap sudah segala kekesalannya selama ini. Syam bertekad untuk tidak
lagi mengecewakan kedua orang tuanya ketika hayat tua mereka ini. Cukuplah dia
merasakan keperihan akibat perbuatannya dulu. Tidak mahu dia
mengulanginya!
Suhaila membalas pelukan suaminya…terasa kehidupan mereka
sempurna kini. Syukur pada-Mu, Ya Allah…
No comments:
Post a Comment