DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

KALAU SUNGGUH BAGAI DIKATA - BAB 1




HANIM menyingkap langsir. Sinaran mentari tembus melalui tingkap sebaik sahaja langsir terselak luas.
            Dia menilik wajahnya sekali dua di cermin sebelum menapak ke arah dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Ketika melewati bilik teman serumahnya, Lia, dia segera mengetuk pintu bilik temannya itu beberapa kali. "Oi, cik kak. Matahari dah tinggi. Kau tak nak pergi kerja ke?!" Laungnya.
            "Aku dah bangun la. Dah siap pun. Kau aje yang ketinggalan!" Balas Lia pula dari dalam.
            Hanim tersenyum sambil menggeleng. Kemudian, bergegas menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan ringkas.
            Usai bersarapan, mereka terkocoh-kocoh menuju ke perhentian bas. Hari ini dengar-dengar khabarnya, syarikat di mana tempat mereka bekerja akan menerima ketua arkitek yang baru.
            Mereka tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat dari jauh siapakah gerangannya ketua arkitek itu. Maklum sahajalah, mereka itu hanya bekerja di bahagian pantri dan tidak layak kalau hendak diperkenalkan kepada staff yang berjawatan lebih tinggi daripada mereka.
            "Kau rasalah kan, agaknya ketua arkitek tu nanti hensem tak?" Lia memecah kesunyian dengan soalan.
            Hanim mencebik. "Alah, aku tahu apa niat kau. Jadi, tak perlulah kau nak tanya aku soalan yang macam tu."
            "Eh, apa pulak? Salah ke soalan yang aku tanya tu?" Sanggah Lia sambil menepuk perlahan bahu Hanim.
            "Tak adalah salah. Tapi, aku tahu la niat kau. Kalau hensem, tentu kau cuba nak memikat. Bukan aku tak tahu sikap kau tu. Pantang tengok lelaki hensem, terus je kau cair," bidas Hanim sambil tergelak kecil.
            Lia menjeling dengan hujung mata. Dia mencebik seketika sebelum membalas kata. "Eleh, macamlah sikap kau tu tak sama macam aku? Apa yang aku suka, tentu kau suka dan apa yang aku tak suka, tentu kau pun tak suka. Jadi, kau tak perlu nak tunjuk baik depan aku, ye?" Lia tersenyum. Nadanya bergurau.
            Hanim juga tersenyum mendengar kata-kata Lia. Memang benarlah dakwaan teman baiknya itu. Dia dan Lia, ibarat kembar. Apa yang Lia suka, tentu dia pun suka. Teringat dia akan satu peristiwa di mana hampir-hampir sahaja mereka terjatuh cinta dengan lelaki yang sama. Tetapi alangkah malangnya nasib mereka apabila mengetahui lelaki idaman mereka itu sudah pun berkahwin.
            Hanim menggeleng lalu tergelak kecil. "Yelah-yelah. Kali ni kau menang. Memang betul pun apa yang kau cakapkan tu. Sebenarnya aku pun tak sabar nak tengok macam manalah agaknya rupa ketua arkitek baru tu, ye? Jangan serupa macam Encik Ikbal sudahlah."
            "Gemuk, perut buncit dan kepala pun dah botak!" Celah Lia dengan bersungguh-sungguh. Hilai tawanya dihambur keluar.
            "Eee, kau janganlah cakap macam tu. Aku ni memang dah tak kuasa hari-hari duk menghantar minuman kat Encik Ikbal tu dulu. Tak padan dengan tua, miang pulak tu. Ish, aku harap-haraplah kali ni biarlah ketua arkitek tu yang muda-muda sikit. Pangkat abang-abang daripada kita yang baru je berusia 20an ni, kan? Bukannya pangkat pakcik-pakcik macam Encik Ikbal dulu tu. Eeee..," Hanim menggerak-gerakkan badannya umpama gelikan sesuatu.
            Lia tergelak lagi tetapi pada kali ini lebih kuat. Perutnya juga ditekan berkali-kali. Lucu sekali dia apabila mengingati itu semua. "Ish, kau jangan cakap kau saja tau. Aku ni ha, ada ke patut Encik Ikbal ajak aku kahwin? Dah nyanyuk agaknya orang tua tu. Tak padan dengan pepatah rumah kata pergi, kubur kata mari. Ada hati nak bernikah muda?" Lia menambah. Dia tergeleng-geleng. Tawanya sudah perlahan.
            "Eh, jahat betul la kita ni. Ada pulak pagi-pagi dah anyam ketupat. Tak pasal-pasal free je Encik Ikbal dapat pahala kita sebab duk mengumpat dia," Hanim mengingatkan Lia supaya mereka tidak terus lagi mengutuk atau mencerca ketua arkitek yang pernah berkhidmat di syarikat tempat mereka bekerja.
            Lia masih cuba menghabiskan sisa-sisa tawanya. Tidak lama kemudian, bas muncul. Lekas-lekas mereka berdiri untuk menaiki bas yang sudah berhenti.



DINN DZAKIR tersenyum sambil tangannya tidak bersalam-salaman dengan semua pekerja yang diperkenalkan kepadanya.
            "Nampak tak?" Soal Hanim kepada Lia yang sedang memanjangkan leher meninjau ke luar pantri.
            "Nampak," balas Lia tanpa menoleh ke arah Hanim yang sedang berdiri di sebelah.
            Hanim turut sama memanjangkan lehernya. "Mak ai, hensemnya...," Laju mulutnya menuturkan pujian.
            Lia menoleh sebaik Hanim memuji ketua arkitek yang baru sahaja tiba itu. "Kau berkenan ke?" Soalnya.
            "Jangankan kata aku yang berkenan, entah-entah Mak Cik Jijah cleaner tu pun berkenan kalau tengok muka dia," balas Hanim sambil mulutnya sedikit terlopong.
            Lia mencebik. Ada riak iri pada air wajahnya apabila mendengarkan Hanim berkata begitu. Hah sudah, takkan aku cemburu kut? Gerutunya dalam hati.
            "Alamak, Lia. Dia datang ke sini la," ujar Hanim sambil membulatkan mata.
            "Mana?" Lia kembali memberi tumpuan keluar.
            "Itu ha!" Balas Hanim pula.
            Hanim dan Lia masing-masing berpandangan sesama sendiri. Mulut kedua-duanya terlopong. Mata mereka pula tidak berkelip memandang susuk tubuh tinggi yang sedang berjalan menuju ke pantri.
            "Eh, apa yang dia nak kalau sampai datang ke pantri ni?" Soal Lia cemas.
            "Nak apa lagi? Nak minum la," jawab Hanim.
            "Kalau nak minum, kenapa sampai nak masuk ke sini? Kita boleh hantar ke dalam office dia apa," sanggah Lia. Hairan.
            "Manalah aku tahu. Entah-entah dia nak perkenalkan diri dia pada kita tak?" Jawab Hanim secara rambang. Gelak kecilnya mula terlepas keluar.
            "Tak ada maknanyalah!" Sanggah Lia perlahan.
            Mereka menjauhi pintu pantri lalu berpura-pura sibuk membuat kerja. Hanim mencapai kain pengelap lalu mengelap meja sementara Lia pula pura-pura membuka kabinet dan meninjau ke dalamnya.
            "Hai, assalamualaikum," Dinn Dzakir masuk ke pantri dengan langkah yang diatur kemas. Kedua-dua gadis yang begitu sibuk menarik perhatiannya seketika sebelum dia kembali bersuara. "Boleh buatkan saya minuman?"
            Wah, bagusnya mamat ni. Hai dulu baru bagi salam? Bagus betul! Kutuk Hanim dalam hati. "Encik nak minum apa?" Soal Hanim. Oleh kerana terlalu menggelabah, dia terlupa menjawab salam. Bibir diketap perlahan sambil matanya menjeling ke arah Lia yang masih berpura-pura sibuk meninjau ke dalam kabinet. Pandainya kau berlakon! Gerutunya dalam hati. Mulutnya terkumat-kamit seolah-olah membebel.
            "Err, maaf encik. Waalaikumussalam," jawab Hanim selepas menyedari dia terlupa untuk menjawab salam yang diberi.
            Liur diteguk perlahan. Aduhai, kacaknya dia. Rambutnya pendek dan kemas serta hitam berkilat. Jenama minyak rambut apakah yang dia pakai? Kemejanya diseterika dengan cukup sempurna. Tali leher biru gelap sangat secocok dengan kemeja putih yang dipakainya. Siapakah namanya?
            Hanim mula tidak keruan. Sekejap dia menggaru telinga dan sekejap pula tangannya ligat mengelap meja. Sesekali matanya menjeling ke arah tag nama pekerja yang dipakai lelaki itu. 'Dinn Dzakir Hj. Zainudin'.
            Dinn Dzakir tersengih kecil. Melihatkan tingkah gadis bertudung yang sedang sibuk mengelap meja itu, hatinya tercuit. Lucu. Yang seorang lagi, tidaklah pula menarik perhatiannya untuk bertanya. "Ada apa-apa yang boleh saya makan atau minum di sini? Di rumah tadi, tak sempat pula saya nak bersarapan," ulas Dinn Dzakir dengan bibirnya makin lebar dengan senyuman.
            "Ada, encik..," Hanim terhenti bicara. Segan pula dia mahu menyebut nama lelaki itu sedangkan dia tidak diperkenalkan secara rasmi.
            "Dinn Dzakir. Panggil saja Zakir," tangan dihulur tanda sesi perkenalan baru hendak bermula.
            Hanim teragak-agak untuk menyambut tangan yang sedang dihulurkan kepadanya itu. Dia hanya tunduk menekur lantai. Berasa segan pula untuk bersentuhan kulit dengan lelaki yang bukan muhrim.
            "Kenapa? Awak tak bersalam dengan lelaki ke?" Secara berterus-terang Dinn Dzakir menyoal. Namun, tidaklah pula dia berkecil hati tatkala tangannya tidak disambut.
            "Bu.. bukan. Bukan macam tu. Saya cuma segan aje," balas Hanim. Juga berterus-terang. Dia mendongak memandang Dinn Dzakir yang lebih tinggi.
            "Nanti, hantarkan minuman ke bilik pejabat saya, ye?" Pinta Dinn Dzakir lembut.
            "Encik Zakir nak minum apa?" Hanim cuba membuatkan dirinya selesa. Kain pengelap dibiarkan di atas meja. Tidak mahu lagi berpura-pura sibuk.
            "Tak kisah. Apa saja," Jawab Dinn Dzakir.
            "Apa saja? Erm, kalau macam tu, saya buatkan nescaffe," usul Hanim.
            "Kurangkan gula," potong Dinn Dzakir dengan senyumannya yang masih tidak lekang.
            "Ok," Hanim tunduk. Tidak berupaya mahu membalas senyuman itu barangkali. Cair hatinya!
            "Kurangkan manis dalam minuman, tambahkan manis pada senyuman. Cuba awak senyum sikit. Daripada tadi lagi saya tengok awak ni gelabah satu macam aje. Macam nampak hantu. Jangan risau, saya bukan hantu," usik Dinn Dzakir berbaur mesra.
            Hanim senyum. Boleh tahan juga dia ni kalau bercakap. "Encik Zakir nak makan apa? Di sini cuma ada kuih-muih saja. Kalau Encik Zakir nak makan yang berat-berat sikit, saya boleh tolong belikan nasi lemak di bawah."
            Dinn Dzakir menggaru kening. Matanya memberi tumpuan atas meja. Ada beberapa buah tudung saji kecil di situ.
            Melihat tumpuan Dinn Dzakir terarah pada tudung-tudung saji itu, Hanim bertindak membukanya satu per satu. Segala macam kuih tersedia di atas sebuah dulang menarik perhatian Dinn Dzakir.
            Lalu, lelaki itu tersenyum sambil jari telunjuknya diangkat lurus menunjuk ke arah dulang yang berisi kuih-muih itu. "Karipap. Saya suka makan karipap."
            "Ok, nanti saya hantarkan ke bilik pejabat encik," putus Hanim perlahan.
            Tidak lama kemudian, Dinn Dzakir beredar selepas mengucapkan terima kasihnya kepada Hanim.
            Lia menutup pintu kabinet. Lehernya dipanjangkan melihat kelibat Dinn Dzakir dari belakang. Kemudian, tumpuannya dialihkan kepada Hanim yang sedang membancuh minuman. "Amboi kau. Bukan main lagi ye duk melayan Encik Syakir tu."
            "Bukan Syakirlah. Nama dia Dinn Dzakir. Mentang-mentanglah kau suka sangat novel Coke And Sundae tu, kan? Pandai-pandai aje kau bagi nama Syakir kat dia," sanggah Hanim berseloroh. Teringat dia nama hero dalam novel Coke And Sundae yang bernama 'Syakir'.
            Kemudian, dia menyambung kata, "kau jangan nak salahkan aku pulak sebab duk melayan dia berborak. Yang kau tu ha, sibuk aje berlakon. Bukak kabinetlah kononnya. Kau cari apa kat dalam tu? Tikus?" Sindir Hanim.
            "Alah, kau pun sama jugak. Duk lap mejalah konon-konon. Padahal, meja tu dah beratus kali kau lap. Dah sampai berkilat aku tengok. Err, siapa nama dia? Din Zakir?" Soal Lia hairan. Agaknya, belum pernah lagi dia mendengar nama yang sebegitu.
            Hanim angguk. "D.I.N.N D.Z.A.K.I.R, Dinn Dzakir," Hanim mengeja satu per satu ejaan nama ketua arkitek yang baru itu sambil bibirnya mengukir senyuman manis. Masih terbayang-bayang di layar matanya tika itu saat Dinn Dzakir melemparkan senyum. Sungguh kacak dan tampan sekali. Hatinya memuji.
            Lia menghampiri Hanim lalu menyiku perlahan lengan temannya itu. "Dah siap kau bancuh air ni, biar aku je yang bawa masuk dalam bilik pejabat dia. Kau rehat aje tau," cadang Lia sambil tersengih.
            Hanim mencebik. Dia tahu apa sebenarnya niat Lia. Ish, tak boleh jadi ni. Nanti melepas pula aku nak tengok Encik Zakir senyum macam tadi. Hati nakalnya berbisik. "Suka hati kaulah," balasnya dengan mengambil sikap beralah. Sudu yang dipegang, diletakkannya ke dalam sinki berhampiran.
            Lia tersenyum. Dia tahu apa yang sedang bersarang dalam hati temannya, Hanim. Tentu sahaja Hanim tidak berpuas hati dengan permintaannya. Lalu, dia cuba mengubah topik perbualan. "Mancung betul lah hidung Encik Zakir tu. Kulitnya putih, keningnya lebat. Agaknya, berdarah campuran tak?"
            Hanim berkerut dahi. "Eh, kau curi-curi tengok muka dia ek. Aku ingatkan kau betu-betul fokus cari tikus kat dalam kabinet tu. Tak ada maknalah darah campuran. Nama pun seratus peratus Melayu," sindir Hanim lalu tergelak kecil. Dia menutup mulut supaya tawanya tidak terhambur keluar.
            Lia mencebik. "Salah ke kalau aku curi-curi tengok muka dia? Mana adil kalau kau sorang aje yang boleh jamu mata. Aku pun nak jugak," bidas Lia perlahan.
            "Tak ada maknanya aku nak jamu matalah. Memang betul lah Encik Zakir tu kacak tapi itu tak bermaksud yang aku ni gatal-gatal nak tengok muka dia lama-lama. Aku masih sedar diri lagi yang aku ni perempuan. Tak boleh lebih-lebih," Hanim bergerak ke tengah sambil menarik kerusi untuk melabuhkan duduknya di situ. Dibiarkannya Lia yang mengambil alih urusan mahu menghantar sarapan ke bilik pejabat Dinn Dzakir.
            "Alah, kau ni. Itupun nak marah. Aku gurau ajelah. Janganlah ambil serius pulak," pujuk Lia sambil merapati Hanim yang sedang membelek kuku.
            Hanim mendongak. "Aku tak marah. Eh, dahlah. Cepat pergi hantar sarapan tu ke bilik Encik Zakir. Nanti kebulur pulak dia. Dahlah tadi dia beritahu tak sempat nak bersarapan di rumah. Mesti dah lapar sangat dah tu."
            Lia tersenyum nipis. "Agak-agak kaulah kan. Encik Zakir tu dah kahwin ke belum ek?"
            Sekali lagi dahi Hanim berkerut. "Entahlah. Daripada gaya-gaya dia tu, aku rasa dia belum kahwin lagi. Cara dia bercakap tadi pun, macam nak mengurat pun ada," tebak Hanim sesuka hati.
            "Ish, zaman sekarang ni, lelaki tak boleh kita percaya sangat. Kau ingat tak dulu? Kita pernah hampir-hampir terjatuh cinta kat Encik Farid. Muka pun ala-ala Encik Zakir itulah. Cara bercakap, aduhai bukan main lagi macam nak mengayat. Last-last, laki orang!" Lia tergelak lalu menarik dulang sambil beredar.
            Sebaik kelibat Lia hilang, Hanim tersenyum sendiri apabila mengingatkan itu semua. Memang betul apa yang diperkatakan temannya itu. Dalam diam, dia menyetujuinya.


PINTU diketuk perlahan sebelum sebelah tangannya menolak daun pintu. Dia melangkah masuk. Meja kerja Dinn Dzakir didekati lalu meletakkan dulang di atasnya. "Jemput sarapan, Encik Zakir."
            Dinn Dzakir yang sedang tekun meneliti sebuah lukisan pelan, mula mendongak. "Terima kasih. Erm, mana kawan awak yang sorang lagi tu?"
            Lia yang sedang sibuk meletakkan minuman berserta sepiring karipap di atas meja mula menjawab, "eh, takkanlah sampai dua orang yang nak kena sediakan sarapan untuk Encik Zakir kut?"
            Dinn Dzakir tersenyum. Betul juga. Bisik hatinya sendiri. Dia menggeleng sekali dua sebelum memberikan semula tumpuannya pada kerja.
            Saat itu, Lia mencuri pandang ke arah Dinn Dzakir yang sedang tekun meneliti pelan. Langsung tidak memandang ke arahnya lagi. Amboi, tadi bukan main lagi berborak sakan dengan kawan aku. Dengan aku ni, pandang pun lebih kurang aje. Gerutu Lia.
            Alahai, kacak sungguh dia. Sudah ada teman istimewakah? Atau, suami orangkah? Lia mula mencongak-congak sendiri sebelum meminta diri untuk berlalu.
            "Kawan awak tu siapa nama?" Terpacul soalan daripada mulut Dinn Dzakir bertanyakan Lia tentang seorang lagi teman gadis itu yang bekerja di bahagian pantri.
            Lia yang sedang bergerak mula terhenti langkah kakinya. Kemudian, dia berpaling memandang ke arah Dinn Dzakir yang sedang tersenyum menantikan jawapan. "Nama dia, Hanim."
            "Hanim?" Soal Dinn Dzakir sambil mengangguk sekali dua.
            Lia angguk tanda mengiakan. Cis, tak patut betul. Hanim saja yang disoalnya. Aku ni? Dia tak nak tanya apa-apa ke? Sekali lagi Lia menggerutu dalam hati. "Kalau tak ada apa-apa lagi, boleh saya keluar?" Soalnya sedikit bengang.
            Dinn Dzakir angguk dalam keadaan tunduk. Langsung tidak menarik perhatiannya untuk memandang ke arah si gadis yang masih berdiri.
            Lia kacip bibir. Wajahnya berkerut-kerut. Kemudian, dia mencebik. Nasib baik kau  hensem, Encik Zakir. Kalau tidak, memang taklah aku nak curi-curi tengok muka kau. Sombong betul dengan aku ye? Tak apa! Lia mencemuh dalam hati dan terus beredar keluar dari bilik pejabat ketua arkitek yang baru itu.        




No comments:

Post a Comment