DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

KALAU SUNGGUH BAGAI DIKATA - BAB 2



HANIM dan Lia berlegar-legar di dalam pasaraya Giant itu. Cuti hujung minggu memberi peluang kepada mereka untuk keluar membeli-belah. Duit gaji yang baru sahaja dikeluarkan semalam memberi ruang untuk mereka membeli barang-barang keperluan.
            Namun, di antara kedua-dua mereka itu, Lia lebih banyak berbelanja sehingga membuatkan Hanim menggeleng beberapa kali apabila melihatkan sikap tidak bagus temannya itu. "Ish, kau ni Lia. Tak habis-habis lagi ke? Aku ni dah penat tahu tak?"
            Lia menoleh sekilas lalu menjawab, "alah, kau ni leceh betul la. Ada benda lagi yang aku nak beli ni. Lagipun, kau jugak semalam yang kata nak beli kasut baru, kan?"
            "Memanglah aku ada cakap macam tu. Tapi dah hampir satu Giant kita jelajah, tak ada pun kita berhenti nak beli kasut. Sibuk aje kau tu duk tilik barang-barang yang lain pulak," bebel Hanim sambil membuat muka muncung tanda kepenatan.
            "Kau ni tak sporting betul lah. Eh, masa inilah kita nak berjalan-jalan, nak cuci-cuci mata. Bila dah tiba hari kerja, dah tak ada masa kita nak buat semua ni. Faham tak?" Bidas Lia perlahan sambil membetulkan beg-beg plastik di tangan.
            Hanim sekadar mengangguk. Sudah malas dia mahu membalas kata. Sudahnya, dia sahaja yang mengambil sikap beralah dengan kata-kata Lia.
            Melihatkan wajah tidak puas hati Hanim, Lia terus mengajak Hanim untuk membeli kasut baru. Kasihan juga dia apabila melihat Hanim. Dia tahu temannya itu kurang suka membuang masa.
            Tiba di tempat menjual kasut-kasut dan selipar, Lia dan Hanim terpandang sepasang kasut yang sama. Merah jambu warnanya. Ini kalau pakai di tempat kerja, tentu cantik ni. Itulah agaknya apa yang sedang berada di dalam kotak fikiran mereka berdua.
            Tanpa membuang masa, Lia terus mencapai sepasang kasut berkenaan. Kemudian, laju sahaja tangan Hanim mengambil sebelah kasut itu daripada tangan Lia.
            Berkerut-kerut wajah Lia dengan tindakan drastik Hanim. "Aku yang nampak dulu kasut ni. Kau jangan pandai-pandai nak ambil, ye?" Bidas Lia sambil merampas kembali kasut itu daripada tangan Hanim yang sedang berwajah teruja.
            "Kasut ni cantiklah Lia. Aku berkenan sangat. Kau berikanlah pada aku. Please, Lia..," rengek Hanim.
            Lia mencebik. "Ah, tak ada! Kasut ni aku yang nampak dulu. Jadi, akulah yang punya."
            "Tolonglah Lia. Kau mengalah la sikit dengan aku. Selama ni, asyik aku je yang mengalah dengan kau," balas Hanim sambil membuat wajah simpatinya kepada Lia.
            Lia garu kepala. "Mungkin ada yang lain tak? Cuba kau tanya jurujual tu," Lia membuat cadangan sambil mulutnya memuncung ke arah seorang jurujual yang sedang sibuk menyusun kasut-kasut di atas rak.
            Hanim angkat kening lalu berjalan mendekati jurujual yang dimaksudkan. "Cik, err.. kasut yang kawan saya pegang tu masih ada yang lain ke?"
            Jurujual itu menoleh ke arah kasut yang dipegang Lia lalu dia pun menggeleng perlahan. "Maaf ye.. sebenarnya kasut tu dah habis stok. Cuma sepasang itu saja yang ada."
            "Oh, yeke?" Soal Hanim seperti tidak berpuas hati. Nadanya berbaur kekecewaan. Pasti kasut itu akan menjadi milik Lia disebabkan temannya itu bersungguh-sungguh mahu menang dengan 'perebutan' yang berlaku sebentar tadi.
            Jurujual itu sekadar mengangguk perlahan sebelum menyambung kerjanya.
            "Dah tak adalah Lia," Hanim tunduk menunjukkan rasanya yang beralah.
            Lia tersenyum sedikit. Kali ini, dia menang lagi! "Hailaaa kasut.. kau akan jadi milik akulah nampaknya."
            "Size berapa tu?" Soal Hanim seolah-olah mengharapkan size kasut itu tidak sepadan dengan ukuran kaki Lia. Andaikata size kasut itu sesuai dengan ukuran kakinya, bolehlah kasut itu menjadi miliknya.
            Lia menilik kasut itu di bahagian tepi dan juga di bahagian dalam untuk mencari angka. Size 6! Wah, kebetulan sungguh! Jeritnya dalam hati. Kemudian, dia tersenyum. "Size 6 lah, Hanim! Sama ukurannya dengan kaki aku," jawabnya teruja.
            Hanim mengeluh kecil. Memang sahlah. Bukan rezekinya untuk mendapatkan kasut itu. Nampaknya kasut itu lebih besar daripada ukuran kakinya yang sentiasa memakai size 5. Tak apalah, bagi sajalah pada Lia. Mungkin sudah rezeki Lia agaknya. Pujuknya sendiri.
            "Dalam banyak-banyak kasut yang ada kat sini, kasut itu jugak yang awak berdua rebutkan?"
            Satu suara milik seorang lelaki tiba-tiba kedengaran di belakang. Hanim dan Lia berpandangan sesama sendiri sebelum berpaling. Alangkah terkejutnya mereka apabila mendapati suara itu adalah milik Dinn Dzakir!
            Kasut yang berada dalam pegangan Lia mula terlepas lalu terjatuh ke atas lantai konkrit itu. Dia hampir-hampir ternganga apabila melihat si jejaka yang menjadi tajuk perbualan hangat di pejabat semalam sedang berdiri di belakang. Kemudian, dia membongkok lalu mengambil semula kasut itu.
            Hanim tidak terkecuali. Terperanjatnya dia bukan kepalang. Wajah kacak yang mengganggu tidurnya malam tadi tiba-tiba sahaja muncul di hadapan mata. Dia sedang bermimpikah?
            Dinn Dzakir mengerutkan dahi. Hairan dia dengan wajah-wajah terkejut yang sedang berhadapan dengannya itu. Lalu, dia bertindak memetik jari di hadapan kedua-duanya. "Hei, nampak hantu ke?" Usiknya sambil tersengih.
            "Err.. eh.. erm, Encik Zakir buat apa kat sini?" Soal Hanim tergagap-gagap sementara Lia pula sudah tersipu-sipu malu.
            Dinn Dzakir berpeluk tubuh sambil tersenyum-senyum. Kepala digeleng sekali dua apabila melihat aksi pelik-pelik dua orang gadis di hadapannya. "Selalunya, orang buat apa ya kalau datang ke tempat macam ni? Takkan datang nak buat konsert pulak, kan? Tentulah nak beli barang."
            Hanim tunduk sambil bibirnya mengukir senyum apabila telinganya menangkap jawapan berbaur gurauan daripada Dinn Dzakir itu.
            Lia pula sudah tergelak kecil. Alahai kawan aku ni. Kenapalah kau tanya dia soalan yang macam tu. Dah sah-sahlah orang datang sini sebab nak beli barang. Hati kecil Lia berbisik.
            "Encik Zakir beli barang apa? Saya tak nampak apa-apa pun kat tangan Encik tu," Lia memulakan pertanyaan.
            Dinn Dzakir mengubah posisi kedua-dua tangan. Daripada berpeluk tubuh, dimasukkan pula kedua-dua tangannya ke dalam poket seluar. "Saya baru aje sampai. Tak sempat nak beli apa-apa lagi. Awak berdua ni dah lama ke kat sini?"
            "A'ah.. dah lama. Kami dah nak balik ni," jawab Hanim.
            "Eh, tak adalah! Kami pun baru je sampai. Sajalah si Hanim ni kan, suka sangat dia bergurau," pantas Lia mencelah sambil menyiku kuat lengan Hanim.
            Hanim membuntangkan mata. Ya Allah, penipu betul perempuan ni! Nak ambil kesempatanlah tu agaknya. Terkumat-kamit mulut Hanim seperti bebelkan sesuatu.
            Dinn Dzakir menggeleng. Masih tersenyum seperti tadi. "Awak berdua ni kenapa? Saya tengok daripada semalam lagi menggelabah tak tentu pasal. Awak berdua ni takut pada saya ke?"
            "Bukannya takutlah, tapi kami ni segan sikit. Maklumlah, Encik Zakir, kan berpangkat besar. Berbual-bual pulak dengan kami yang tak seberapa ni. Jadi, kami tak biasa," jawab Lia bersungguh-sungguh.
            Dinn Dzakir menjungkit kening. Dia menggeleng. Tidak bersetuju dengan pandangan peribadi Lia barangkali. "Mengarutlah awak ni. Saya tak kisah berbual dengan sesiapa pun. Asalkan orang tu tahu bercakap dan tak bisu, saya ok je," jawab Dinn Dzakir berseloroh.
            Hanim tutup mulut menahan gelak yang hampir-hampir sahaja mahu terhambur keluar. Tercuit hatinya dengan kata-kata Dinn Dzakir. Aduhai cik abang sorang ni. Tak semengah sungguh jawapan yang diberi.
            Kelakuan Hanim itu, tiba-tiba menarik perhatian Dinn Dzakir. Dalam diam-diam, dia mencuri pandang pada seraut wajah manis si gadis yang sedang berdiri di sebelah Lia. "Tak dapat kasut yang sama macam kawan awak ni, apakata kalau awak cari je kasut yang lain. Cuba tengok yang lain-lain tu, semuanya cantik-cantik," Dinn Dzakir membuat cadangan apabila mendapati Hanim cuma berdiam diri.
            Sebenarnya, daripada tadi lagi dia memerhatikan Hanim dan Lia sedang berebutkan sepasang kasut merah jambu yang tidak bertumit itu. Daripada riak wajah yang ditunjukkan Hanim, dia tahu Hanim sedikit terkilan kerana tidak berjaya untuk memiliki kasut yang sedang berada di tangan Lia.
            Hanim yang tertunduk daripada tadi, mula mengangkat sedikit mukanya. "Tak apalah. Yang lain-lain tu saya tak berkenan," jawabnya bernada sedikit hampa.
            Lia yang memerhati kedua-duanya mula menyampuk perbualan. "Betul kata Encik Zakir tu. Kau pilih jelah kasut yang lain. Bukan ke banyak tu ha," bibir Lia memuncung mengunjuk ke arah kasut-kasut yang berada di atas rak.
            Hanim mencebik sedikit. Mulutnya sengaja diherotkan ke kiri dan ke kanan. Si Lia ni nak pujuk dia agaknya. Tapi sorrylah ye cik kak. Kalau aku dah berkenan pada kasut yang ada kat tangan kau tu, kasut-kasut yang lain aku nak cakap bye-bye jelah. Hati kecilnya berbisik.
            Dinn Dzakir melangkah mendekati rak kasut sambil Hanim dan Lia berganjak sedikit ke tepi untuk memberi ruang kepada lelaki itu. Kedua-duanya hanya memerhati tindakan Dinn Dzakir yang sedang mencapai sebelah kasut berwarna cream dan bertumit tinggi.
            "Kasut ni tak cantik?" Soalnya kepada Hanim. Kasut berwarna cream itu dihulurkan kepada Hanim.
            Hanim menggeleng. "Dah rupa macam kasut pengantin kalau warna cream macam ni. Lagipun, tumitnya terlalu tinggi. Tak sesuailah dengan saya untuk dipakai masa pergi kerja."
            Dinn Dzakir tersengih kecil. "Kalau sama macam kasut pengantin, apa salahnya awak pakai. Saya akan bayarkan untuk awak. Itupun, kalau awak mahulah."
            Ye, memang tak salah cik abang oi. Tapi tunggulah bila saya dah kahwin dengan awak nanti. Bait-bait bicara nakal mula bermain dalam hati. Hanim tersengih sendiri. Kalaulah dia berkata begitu di hadapan Dinn Dzakir dan juga Lia, mahu kedua-duanya pengsan!
            "Ba.. bayar?" Hanim sudah mula datang angin gemuruhnya.
            Dinn Dzakir angguk.
            Hanim menggeleng perlahan. Laju sahaja mulutnya tidak bersetuju.
            Dinn Dzakir menggaru kening lalu diletakkannya semula kasut itu ke atas rak.
            Lia menjeling kedua-duanya dengan hujung mata. Kenapalah si Hanim ni bodoh sangat? Kalau dia ambil kasut tu, dah sah-sahlah Encik Zakir yang akan bayar. Selamatlah duit kau! Marah Lia dalam hati. Kemudian, satu idea muncul dalam kepalanya tika itu. "Apakata kalau kau ambil kasut merah jambu ni dan aku ambil kasut yang berwarna cream tu. Macam mana?"
            Hanim memandang Lia tidak berkelip. Dia salah dengarkah? "Eh, tak apalah. Lagipun untuk apa pulak aku nak ambil kasut merah jambu ni? Bukannya sama size dengan kaki aku pun."
            "Alah, beza cuma satu ukuran je pun. Kau selalu pakai size 5, kan? Kasut ni pulak size 6. Tak jauh beza la. Kau boleh pakai apa," usul Lia lagi. Bersungguh-sungguh benar nampaknya dia.
            Dinn Dzakir yang mendengarkan cadangan itu mula terangguk-angguk bersetuju. "Betul apa yang kawan awak cakapkan tu. Lebih baik awak pakai size kasut yang besar sikit daripada pakai kasut yang sama ukurannya dengan kaki awak. Biar ada ruang sikit kat hujung kaki awak tu. Barulah selesa."
            Hanim mengecilkan matanya. Dia tahu apa niat Lia. Pandai sungguh kawan aku ni ye? Ini mesti nak Encik Zakir yang bayarkan kasut berwarna cream tu untuk dia dan kasut merah jambu ni pulak, memang dah sah-sahlah aku yang kena bayar sendiri. Licik sungguh! Omel Hanim dalam hati. "Tapi kau tak kisah ke, Lia?"
            "Nak kisah apanya pulak?"
            "Yelah, kasut merah jambu ni kau memang niat nak pakai masa pergi kerja, kan? Tapi, kalau kau pilih kasut cream bertumit tinggi tu, sanggup ke kau pakai nak pergi kerja nanti? Eee, tak sesuailah. Silap haribulan kena sindir dengan Fizad. Bukan kau tak tahu perangai Fizad si budak pejabat tu macam mana," ujar Hanim. Sengaja dia melibatkan Fizad yang sering bermulut kecoh menyakat orang di pejabat untuk mengukuhkan lagi hujahnya di hadapan Lia.
            Lia mencebik sambil menggeleng. "Kalau macam tu, aku boleh pakai masa nak pergi kenduri rumah orang kahwin. Ok tak?"
            Hanim garu kepala. Ish, pandai betul kau ek. Tunggulah bila kita balik rumah nanti. Masa tu, aku 'basuh' kau cukup-cukup. Desis hatinya sendiri.
            "Belum habis lagi ke awak berdua ni berbincang? Nak beli kasut saja  tapi dah rupanya macam nak beli sebuah helikopter pulak," Dinn Dzakir tersenyum. Kepalanya digelengkan sekali dua. "Cepatlah, masa berjalan ni. Nak ke tidak kasut tu? Siapa-siapa saja yang ambil kasut tu nanti, saya bayarkan," sambungnya lagi sambil memerhati jam di tangan. Mengira detik  kononnya dia.
            "Ok, saya nak!" Tergesa-gesa Lia menjawab tanpa sedikit pun ada rasa malu. Cepat-cepat dia menghulurkan sepasang kasut berwarna merah jambu itu kepada Hanim. Sebaik Hanim menyambutnya, cepat-cepat pula Lia mengambil sepasang kasut bertumit tinggi yang berwarna cream itu dari atas rak.
            Hanim menggeleng. Tidak berkenan sungguh dia dengan sikap terburu-buru Lia. Malunya dia apabila tindakan Lia yang mendadak itu ditunjukkan di hadapan Dinn Dzakir.
            Dalam kekalutan Lia itu, Dinn Dzakir mengambil peluang merapatkan dirinya kepada Hanim. Didekatkan bibirnya ke arah telinga Hanim yang terlindung di sebalik tudung. "Kenapa awak lambat? Kalau awak ambil kasut tu tadi, awak boleh pakai masa hari kita kahwin tau."
            Hanim tercengang. Dia menoleh dan memerhatikan Dinn Dzakir yang sedang tersengih-sengih. Gatalnya!
            Melihatkan Hanim yang tidak suka dengan bicaranya, Dinn Dzakir lekas-lekas menjarakkan diri. Dia berdehem kecil. Entah kenapa, ringan sahaja mulutnya berkata begitu. Sekadar mahu mengusikkah atau memang benar-benar dia bermaksud demikian?
            Kemudian, wajahnya diraup seketika. Dia juga tidak faham dengan tindakannya sebentar tadi. Menghampiri Hanim dan terus berbisik begitu. Kepala yang tidak gatal mula digaru berkali-kali. Dia resah sendiri.
            Lia yang sudah tidak ambil peduli dengan keadaan sekeliling, laju sahaja kakinya melangkah ke kaunter berhampiran. Hanim dan Dinn Dzakir mengekori dari belakang.
            Sampai di kaunter, Dinn Dzakir menghulurkan wang kertas bernilai RM100. Harga kasut yang diambil Lia sebentar tadi cuma berharga RM85.90. Kalaulah Hanim yang memilih kasut itu, pasti dia lebih berasa teruja mahu membayarnya. Tetapi, Lia pula yang bertuah. Mahu tidak mahu, dia terpaksa menunaikan janji yang sudah dibuat.
            Tiba giliran Hanim pula mahu membayar kasut merah jambu itu. Wang kertas bernilai RM50.00 dihulurkan kepada cashier tetapi Dinn Dzakir cepat-cepat menahan. "Saya bayarkan sekali untuk awak, ye?"
            "Tak perlulah Encik Zakir. Seganlah saya," Hanim menolak.
            Adui, Hanim! Kenapalah dengan kawan aku ni? Lurus betul! Tak pandai ambil kesempatan! Lia membidas dalam hati. Sempat dia menyiku lengan Hanim.
            Hanim memahami maksud Lia apabila lengannya disiku begitu. Kali ini, dia sudah tidak boleh bersabar lagi dengan karenah Lia. Lantas, dicubitnya lengan si Lia dengan begitu kuat sehingga Lia terjerit kesakitan.
            "Sakitlah!" Lia menggosok lengannya berulang kali. Berkerut-kerut mukanya menahan sakit.
            Hanim tersengih sambil menampakkan riak wajah tidak bersalah kepada Lia. Berdecit-decit mulut temannya itu mengaduh sakit. Padan muka!
            Tanpa menghiraukan kedua-duanya yang sedang berperang dalam senyap, Dinn Dzakir terus menghulurkan wang kertas lain kepada cashier yang sedang menantikan pembayaran.
            Hanim sudah tidak mampu berbuat apa-apa apabila Dinn Dzakir sudah membuat pembayaran. Beg plastik dihulurkan Din Dzakir kepadanya. Tanpa bersoal jawab dengan lebih panjang lebar, dia terus mengambil beg plastik itu  sambil mengucapkan terima kasih kepada Dinn Dzakir di atas kebaikan lelaki itu yang sudah membelanjanya.
            Berlainan pula dengan Lia yang langsung sahaja berjalan ke depan tanpa menoleh lagi ke belakang. Seronok sangat agaknya dia apabila terselamat daripada menggunakan duit sendiri.
            "Lepas ni nak ke mana?" Soal Dinn Dzakir kepada Hanim yang sedang berjalan beriringan dengannya.
            "Balik rumahlah. Encik Zakir pulak?" Soal Hanim pula cuba berbahasa-basi.
            "Urusan saya belum selesai lagi. Apakata kalau awak tunggu saya beli barang sekejap? Lepas tu, saya berhajat nak belanja awak makan," Dinn Dzakir membuat usul.
            Lia yang sedang berjalan di hadapan mula terhenti langkahnya. Hampir-hampir sahaja Hanim mahu terlanggarnya yang tiba-tiba sahaja 'menekan brek'. Lia berpaling lalu menapak mendekati Dinn Dzakir. "Eh, bagus juga cadangan Encik Zakir tu."
            "Tapi aku dah penatlah," celah Hanim sambil memberi isyarat mata kepada Lia yang sedang tersenyum-senyum. Harap-haraplah Lia mengerti akan maksudnya.
            "Alah, nanti bila dah makan, dah minum, hilanglah penat kau tu. Betul tak Encik Zakir?" Lia menyoal Dinn Dzakir seakan-akan mahu membuatkan lelaki itu turut sama bersetuju dengan kata-katanya.
            Dinn Dzakir angguk sekali dua. Lalu, dia pun berkata, "ya, betul. Tapi kalau Hanim tak mahu, saya tak paksa."
            Lia mencebik. Dia mengecilkan mata. Tidak suka agaknya dengan balasan kata Dinn Dzakir yang seperti itu. Sukalah Hanim nanti kalau Dinn Dzakir menurut tolakan Hanim.
            Sedangkan, dia berharap benar mahu Dinn Dzakir bersama mereka sepanjang hari itu. Sudah alang-alang terjumpa, apa salahnya kalau hendak berlama-lama sedikit.
            Di pejabat, bukannya ada peluang yang sebaik ini. Lia bermonolog sendiri sebelum membuka mulut. "Alah kau ni Hanim. Tak baik tau tolak rezeki. Kesian Encik Zakir ni. Dahlah baru saja dia bertukar kerja ke sini,  tentu dia masih tak ada kawan satu pejabat lagi untuk diajak minum-minum, makan-makan. Kan, Encik Zakir?" Giatnya lagi seperti tidak mahu berputus asa.
            "Tak apalah kalau Hanim dah tak mahu. Saya ni jenis yang tak suka memaksa," balas Dinn Dzakir sambil mencuri pandang ke arah Hanim yang sedang beriak serba salah.
            "Okeylah. Lepas makan, kita terus balik ye?" Soal Hanim pula kepada Lia yang sudah tersengih panjang.
            Laju sahaja Lia mengangguk sementara Dinn Dzakir pula tersenyum lebar apabila Hanim akhirnya akur dengan cadangan itu.



LIA rakus menyedut minuman sejuk yang dipesannya tadi sementara Hanim pula sedang menghabiskan nasi ayam yang masih banyak di dalam pinggan. Dia hanya tunduk sambil makan apabila menyedari sepasang mata milik Dinn Dzakir asyik menyinggah pada wajahnya. Keadaan itu benar-benar membuatkan dia  berasa tidak selesa.
            "Berapa umur Encik Zakir sekarang?" Soal Lia ingin tahu.
            "31," sepatah Dinn Dzakir menjawab. Mulut menuturkan kata tetapi matanya tidak lepas daripada terus memandang Hanim.
            "Bertuah jadi Encik Zakir. Muda-muda lagi dah dilantik jadi ketua arkitek," Lia menyambung perbualan sambil tangannya bermain-main pada straw.
            Dinn Dzakir tersenyum nipis mendengarkan pujian itu. Lalu, dia membalas, "tak ada yang untungnya. Dah memang rezeki saya."
            "Encik Zakir dah kahwin ke?"
            "Belum."
            "Belum? Eh, betul ke ni?" Lia cuba menduga.
            Dinn Dzakir senyum lagi. Soalan itu kedengarannya seakan-akan mahu memerangkap pun ada. Dia menggeleng perlahan. "Betul. Saya belum kahwin. Tak ada gunanya saya berbohong."
            Hanim hanya menjadi pendengar setia perbualan di antara kedua-duanya. Dia sebenarnya tidak ada modal hendak menyampuk perbualan. Dibiarkan sahaja si Lia yang menjadi wartawan tidak bertauliah.
            "Tapi, ramai je lelaki dalam dunia ni suka berbohong kalau melibatkan soal status," Lia menyambung kata. Lagaknya hanya biasa-biasa sahaja dan tidak nampak ada riak bersalah apabila cuba mempersoalkan tentang status Dinn Dzakir.
            "Kalau awak berdua rasa yang saya ni dah kahwin, kenapa awak berdua begitu berani duduk semeja dengan saya? Tak takut ke kalau isteri saya ternampak? Manalah tahu kalau tiba-tiba saja dia muncul kat sini," giliran Dinn Dzakir pula hendak menduga. Dalam pada itu, dia menyembunyikan senyum.
            Hanim terus mendongak. Terlepas sudu dan garfu dari tangan. Kemudian, segera pula dia bingkas berdiri dalam keadaan tergesa-gesa.
            Lia memandang pelik dengan tindakan spontan daripada Hanim. Berkerut-kerut wajahnya melihat Hanim yang tiba-tiba sahaja menjadi tidak keruan. "Kau ni kenapa pulak?"
            "Eh, Lia. Jomlah kita balik!" Gesa Hanim sambil menarik tangan Lia. Bimbang sungguh dia andaikata bicara Dinn Dzakir sebentar tadi ada benarnya. Tidak sanggup untuk dia menanggung malu di khalayak ramai kalau benarlah isteri Dinn Dzakir tiba-tiba sahaja muncul dan menyerang mereka berdua.
            Dinn Dzakir mendongak memandang Hanim. "Nasi ayam tu belum habis lagi. Takkan Hanim dah nak balik? Tak baik tau membazir makanan. Kat Somalia tu, berapa punya ramai yang dah mati akibat kebuluran. Kita kat Malaysia ni, bersyukurlah sikit sebab terlalu mewah dengan makanan sampai ada yang mati akibat terlebih makan."
            "Saya dah kenyang," balas Hanim.
            "Kalau kau dah kenyang sekalipun, duduklah dulu. Kau ni tak sopan betullah. Sudahlah Encik Zakir belanja kita makan, dibayarkan pulak kasut-kasut untuk kita, takkan kita nak blah macam tu aje? Tak baik tau," Lia menambah.
            Hanim diam tidak berkutik. Lia kalau bercakap, memang selalunya dia akan kalah.
            "Kalau Hanim tak nak habiskan nasi ayam ni, saya tolong habiskan, ye?" Dinn Dzakir mencapai sudu dan garfu yang telah pun digunakan Hanim sebentar tadi.
            Lia terlopong. Hanim juga begitu. Masing-masing memberikan reaksi terkejut dengan tindakan Dinn Dzakir yang langsung tidak berasa kekok hendak berkongsi sudu dan garfu yang sama.
            Hanim kembali melabuhkan duduknya. Kepala yang tidak gatal mula digaru berkali-kali. Dia ni betul ke tak betul ni? Sanggup pula dia gunakan sudu dan garfu bekas aku tu? Terkumat-kamit mulut Hanim apabila melihat aksi bersahaja Dinn Dzakir.
            Selesai menghabiskan sisa-sisa nasi ayam yang ditinggalkan Hanim, Dinn Dzakir menyedut sampai habis minumannya. Tidak cukup dengan itu, minuman Hanim juga menjadi mangsanya. Disedutnya sampai habis sehingga tidak tinggal sedikit pun untuk Hanim.
            Lia dan Hanim masing-masing memandang tidak berkelip.
            "Alhamdulillah. Kenyangnya saya. Tak sangka pulak, nasi ayam yang Hanim punya ni lebih sedap daripada nasi ayam yang ada dalam pinggan saya. Tuan kedai ni tak adil betul," seloroh Dinn Dzakir sambil tergelak kecil.
            Lia dan Hanim senyum tersipu-sipu. Aduhai, lucu juga Encik Zakir ni. Sudahlah kacak, pandai bergurau, baik hati pula tu. Perfect man!










No comments:

Post a Comment