LIA
memerhati siling. Sukar benar dia mahu tidur pada malam ini. Terlentang salah,
meniarap salah, mengiring pun salah. Entah kenapa, dalam fikirannya hanya
teringatkan Dinn Dzakir.
Dia bingkas lalu duduk bersila di atas katil. Sepasang kasut
yang dibelinya siang tadi menjadi
tumpuan. Sepasang kasut yang menjadi pilihan Dinn Dzakir untuk temannya, Hanim.
Bukan sahaja menjadi pilihan Dinn Dzakir, malah turut sama dibayar oleh lelaki
itu.
Di sepanjang hari tersebut, entah kenapa dia menyedari
sesuatu. Sesuatu yang aneh pada pandangan mata Dinn Dzakir terhadap Hanim. Cara
lelaki itu melihat Hanim dan cara lelaki itu bercakap dengan Hanim, amat
berbeza sekali. Lelaki itu berminat pada Hanimkah?
Namun, berlainan pula cara Dinn Dzakir melihat dan
bercakap dengannya. Pandangan mata lelaki itu hanya biasa-biasa sahaja ketika
berbual-bual dengannya. Satu pandangan yang kosong dan tidak membawa erti
apa-apa.
Lia mendengus kecil. Ada satu perasaan aneh yang sedang
menyelinap masuk ke ruangan hatinya. Datang pula bercampur-campur. Antara
sukakan Dinn Dzakir dan turut sama tidak berpuas hati terhadap Hanim. Ah, kalau
daripada segi kecantikan, Hanim mempunyai segala-galanya.
Sedangkan dia pula tidaklah secantik Hanim. Hanim
bertudung sedangkan dia tidak. Orang lelaki, sudah tentulah lebih berminat
kepada perempuan yang bertudung, menutup aurat dan menjaga batas susila. Tetapi
dia? Bukan sahaja tidak bertudung, malah sering bertepuk tampar dengan lelaki
ketika bergurau senda di pejabat. Sudah tentulah tidak berkenan di mata lelaki
lain yang melihatnya.
Sejak kedatangan Dinn Dzakir, Lia sudah pandai
membanding-bandingkan dirinya dengan Hanim. Sebelum ini, tidaklah pula begitu
sikapnya. Apa sudah jadi? Dia mahu berlumba-lumba dengan Hanimkah untuk mendapatkan
Dinn Dzakir?
Saat Lia berperang dengan perasaannya sendiri, telefon
bimbitnya tiba-tiba berdering. Terpampang jelas nama Nazirul di atas skrin. Lia
tersenyum sebaik menerima panggilan daripada Nazirul, si buah hati tercinta.
"Hello, sayang..."
"Hai Naz. Lamanya awak tak call saya. Rindu
tau," Lia merengek kecil.
"Maaflah, Lia. Sejak kebelakangan ni, saya sibuk
sikit," balas Nazirul dihujung talian.
"Okey, saya faham."
"Awak marah saya tak?"
"Taklah. Dah awak sibuk, kan? Saya kenalah
faham."
"Kalau saya ada masa nanti, saya datang jumpa awak,
ye?"
"Okey, saya tunggu bila-bila masa saja awak nak
datang."
"Lia, saya tak boleh lama-lama bercakap dengan awak
ni. Saya nak balik kampung. Ada hal sikit. Awak jaga diri baik-baik tau. Ingat,
saya sayang awak. Jangan main kayu tiga di belakang saya. Kalau saya dapat tahu
awak ada lelaki lain, siap awak," ugut Nazirul bernada seloroh.
Lia tertawa kecil dengan ugutan main-main itu. Dia tahu
Nazirul tidak serius.
Panggilan daripada Nazirul sebentar tadi menghilangkan
sedikit kegusaran di hati Lia mengenai Dinn Dzakir dan juga Hanim. Tetapi, dia
masih tidak berpuas hati akan satu perkara. Susahnya dia nanti kalau hendak
memikat Dinn Dzakir sedangkan dia sudah mempunyai teman lelaki. Andaikata
Nazirul tahu, pasti lelaki itu akan kecewa.
Lia mengeluh kasar sambil menggaru kepalanya
berkali-kali. Secara tidak langsung dia mengakui yang dia sudah mula jatuh
cinta kepada Dinn Dzakir dan berhajat mahu menarik perhatian lelaki itu walau
dengan apa cara sekalipun.
Ya, dia akan mendapatkan Dinn Dzakir. Dia akan membuatkan
Dinn Dzakir jatuh cinta kepadanya. Lelaki kacak dan mempunyai kerjaya yang
bagus seperti Dinn Dzakir, tidak patut dilepaskan. Jika hendak dibandingkan
dengan Nazirul, jauh panggang dari api. Setakat Nazirul yang bekerja sebagai
supervisor kilang itu, berapalah sangat gajinya kalau hendak dibandingkan
dengan Dinn Dzakir.
Apabila dia sudah mendapatkan cinta daripada Dinn Dzakir,
Nazirul sudah pasti akan ditinggalkan. Tahulah apa alasan yang hendak
diberikannya kepada Nazirul nanti.
Sementara itu di bilik Hanim, gadis itu juga tidak dapat
melelapkan mata. Masih lagi terbayang-bayang sikap bersahaja Dinn Dzakir di
ruangan matanya. Begitu juga dengan bicara mengusik lelaki itu yang masih
terngiang-ngiang di cuping telinganya. Lantas, dia tersenyum sendiri.
"Kenapa awak lambat? Kalau awak ambil kasut tu tadi,
awak boleh pakai masa hari kita kahwin tau."
Usikan Dinn Dzakir yang satu itu benar-benar membuatkan
degup jantungnya terhenti. Terasa panas membahang pipinya ketika itu. Kenapalah
agaknya mulut Dinn Dzakir seperti tidak ada insurans? Sesedap rasa dia sahaja
hendak memperkatakan tentang apa-apa.
Hanim bingkas lalu duduk bersila di atas katil. Bantal
peluk ditarik dan dipeluknya rapat ke
dada. Bibirnya menguntum sebuah senyuman yang sukar hendak dimengertikan.
Apabila terkenang-kenangkan Dinn Dzakir, perasaannya sudah terasa lain macam.
Baru sahaja dua hari mengenali lelaki itu, takkanlah sudah begini jadinya?
Angaukah dia?
Dia akui, Dinn Dzakir mempunyai pakej lengkap lelaki
idamannya selama ini. Selain daripada memiliki rupa paras yang begitu senang di
mata setiap wanita, lelaki itu juga kelihatannya begitu pandai bergurau dan
baik hati.
Adakah dia seorang lelaki budiman yang terlalu sukar
hendak dicari pada zaman serba moden ini? Dinn Dzakir yang sudah berusia 31
tahun, apakah lelaki itu masih tidak mempunyai sebarang teman wanita? Dengan
wajah yang kacak begitu, mustahil tidak ada mana-mana wanita yang terpaut hati
kepadanya?
Daripada pemerhatian dia juga, Dinn Dzakir tidaklah
terlalu bergaya seperti kebanyakan lelaki berkerjaya yang lain. Di matanya,
Dinn Dzakir hanya berpenampilan biasa-biasa sahaja dan tidak terlalu up to
date. Dia yakin, lelaki itu berasal daripada keturunan orang biasa-biasa yang
mempunyai corak kehidupan sederhana seperti dirinya juga.
Hanim menggaru pipi. Resah sekali nampaknya dia dengan
kehadiran Dinn Dzakir yang secara tiba-tiba menarik minatnya.
Ah, terlalu banyak persoalan yang bermain di benaknya
tika itu. Semuanya mempersoalkan tentang Dinn Dzakir, Dinn Dzakir, Dinn Dzakir!
Bunyi nada MMS yang tiba-tiba sahaja menerjah gegendang
telinga, mengalihkan tumpuan Hanim daripada terus memikirkan tentang lelaki
itu. Telefon bimbit yang berada di bawah bantal mula ditarik perlahan.
Terpampang sebaris nombor yang tidak dikenalinya sedang mengirimkan satu MMS.
Hanim berkerut dahi. Entah siapa pula yang mengirimkannya
MMS di waktu malam-malam begini? Lantas, keypad ditekan. MMS yang mengandungi
gambar wajahnya terhidang di hadapan mata. Gambar sewaktu dia dan Lia sibuk
berebutkan sepasang kasut di Giant siang hari tadi. Dalam MMS itu, wajahnya
kelihatan masam mencuka. Dia hairan. Siapa pula yang mengambil gambar ini?
Kelihatannya dari jauh sahaja.
Gambar ni untuk awak, Hanim. Maaf, saya curi-curi snap
gambar awak dan Lia. Masamnya wajah
awak masa tu tapi saya suka. ;-) - Dinn Dzakir
Hanim terpempan. Encik Zakir? Wah, siap buat smiley
kenyit mata lagi. Mana pulak dia dapat nombor telefon aku ni? Hanim ketap bibir
perlahan. Berkerut-kerut wajahnya memikirkan hal itu. Perlukah dia membalasnya?
Tapi, nak taip apa? Ah, hentam sahajalah. Dia mula bersoal jawab sendiri.
Dari mana Encik Zakir dapat nombor telefon saya? - Hanim
Saya minta dengan Fizad, budak pejabat tu :-) - Dinn
Dzakir
Hanim terangguk-angguk. Kalau tadi smiley kenyit mata,
sekarang ini smiley senyuman pula yang ditaip Dinn Dzakir kepadanya.
Apa lagi yang perlu dibalas Hanim? Dia mati kutu.
Sebenarnya, dia tidak begitu gemar berSMS. Dia lebih suka kalau berbual terus
di talian. Kalau dalam bab-bab mengarang, dia memang tidak pandai. Tetapi kalau
dalam bab-bab mengira, serahkan sahajalah kepadanya.
Hanim marah tak saya curi-curi snap gambar Hanim tu? :-)
- Dinn Dzakir
Tak marah - Hanim
Boleh ye saya simpan? :-) - Dinn Dzakir
Simpanlah - Hanim
Aduhai, Hanim. Ringkas sungguh yang ditaipnya itu. Dia
gigit jari. Entah kenapa, tiba-tiba sahaja dia terasa lucu benar dengan keadaan
itu. Tersenyum-senyum keseorangan dia dibuatnya.
Selalunya Hanim pergi kerja naik apa? - Dinn Dzakir
Bas atau teksi - Hanim
Tiap-tiap hari begitu? - Dinn Dzakir
Ye - Hanim
Hanim tinggal kat mana? - Dinn Dzakir
Aduhai Encik Zakir ni. Macam soalan budak-budak sekolah
rendah je. Rungut Hanim sambil tersenyum dengan soalan yang bertalu-talu
ditanyakan kepadanya menerusi SMS itu.
Bukit Payung - Hanim
Kalau Hanim pergi kerja, selalunya tunggu teksi atau bas
kat mana? - Dinn Dzakir
Perhentian bas depan masjid kat traffic light simpang 4
tu - Hanim
Ooo.. Kat situ ye? ;-) - Dinn Dzakir
Hanim menggaru kening. Entah apa yang ada dalam kepala
otak Dinn Dzakir agaknya. Buat smiley kenyit mata apabila dia memberitahu
lokasi yang sering menjadi persinggahannya untuk menunggu pengangkutan awam.
Okey. Jumpa esok di pejabat ;-) - Dinn Dzakir
Ya, baiklah - Hanim
Tapi sebelum tu saya nak pesan - Dinn Dzakir
Encik Zakir nak pesan apa? - Hanim
Pagi esok buatkan milo untuk saya - Dinn Dzakir
Gula atau susu? - Hanim
Hanim rasa? - Dinn Dzakir
Hanim mencebik. Kepala yang tidak gatal mula digaru
berkali-kali. Entah kenapa dia berasa pelik dengan ayat-ayat SMS yang
dikirimkan Dinn Dzakir kepadanya.
Encik Zakir boleh tak jangan main-main? - Hanim
Marah? ;-) - Dinn Dzakir
Bukan marah tapi saya perlukan kenyataan yang jelas
supaya kerja saya esok lebih cepat. Susu
atau gula? - Hanim
Kalau Hanim, suka susu atau gula? ;-) - Dinn Dzakir
Ya Allah! Sabar sajalah aku dengan Encik Zakir ni! Bentak
Hanim sambil memulas-mulas tali pengikat bantal peluk yang berada di atas
ribaannya. Geram dengan Dinn Dzakir, tali pengikat bantal peluk itu pula yang
menjadi mangsanya.
Saya tak suka milo - Hanim
Tak suka milo? Habis tu, Hanim suka minum air apa? ;-) -
Dinn Dzakir
Air suam :p - Hanim
Hanim tergelak ketika menekan butang 'send'. Entah
kenapa, di hujung SMS itu dia buat smiley jelir lidah kepada Dinn Dzakir.
Hanim main-mainkan saya ye? :-) - Dinn Dzakir
Cepatlah cakap Encik Zakir nak susu atau gula? - Hanim
Batalkan milo. Pagi esok Hanim sediakan air suam jelah
untuk saya - Dinn Dzakir
Hanim tercengang-cengang. Encik Zakir ni merajuk ke apa?
Takkan pagi-pagi nak minum air suam kut? Dia pun sama juga, suka main-main.
Desis Hanim sendiri sambil memikirkan apa lagi yang perlu dibalasnya.
Okey. Air suam. Makan? - Hanim
Air suam saja dah cukup - Dinn Dzakir
Sah! Encik Zakir merajuk. Hanim membuat telahan sambil
menggigit hujung jari.
Okey - Hanim
Alahai kejamnya aku! Marah Hanim pada diri sendiri
apabila sengaja bersikap hati kering ketika membalas SMS yang terakhir itu.
Aduh, esok macam mana nak berdepan dengan Encik Zakir ni?
Tak apa. Buat biasa-biasa saja! Pujuk hatinya sendiri.
Malas hendak berfikir apa-apa lagi, dia terus memadamkan lampu.
DINN
DZAKIR menarik selimut rapat ke dada. Selesai berSMS
dengan Hanim sebentar tadi, membawanya ke alam fantasi pula. Tersenyum-senyum
dia apabila terkenangkan seorang gadis pantri yang secara diam-diam sudah
mencuri hatinya.
Sepanjang usia remaja sehingga membawa ke alam dewasa,
belum pernah lagi hati lelakinya terpaut kepada sesiapa. Bukan tidak ada
perempuan yang ingin mendekatinya tetapi hanya dianggap sebagai kawan biasa
kerana sering memikirkan kehidupan yang terpaksa dilaluinya.
Dia bukanlah lahir daripada keluarga yang senang. Lebih
menyukarkan lagi keadaan apabila dia sudah kehilangan bapa ketika dia sedang
sibuk berperang dengan buku dan peperiksaan di universiti. Sejak kehilangan
itu, tugas sebagai ketua keluarga terletak di bahunya.
Sebagai anak sulung, dia tidak boleh lari daripada
tanggungjawab itu. Hampir-hampir sahaja dia mahu berhenti belajar kerana ingin
bekerja bagi menyara ibu dan tiga orang adiknya yang masih bersekolah tetapi
dihalang oleh bapa saudaranya.
Berkat daripada kesabarannya yang tinggi disamping
mendapat sokongan moral dan kewangan daripada bapa saudaranya yang banyak
membantu, hari ini dia sudah berjaya mengatasi kemelut itu.
Kini, dia adalah seorang lelaki yang berkerjaya dan
dihormati oleh orang-orang sekeliling. Namun, ada satu ruangan kosong dalam
hatinya yang membuatkan dia berasa sunyi. Sunyi dengan cinta dan kasih sayang
daripada seorang perempuan yang sepatutnya dia terima daripada dahulu lagi.
Sekarang, usianya sudah menjangkau 31 tahun. Sudah sampai
waktunya untuk berumahtangga. Ibunya sering membebel kerana sampai sekarang dia
masih belum berkahwin. Dalam usianya yang sebegitu, memang selayaknya dia
mempunyai sebuah keluarga.
Sebelum ini, sudah ramai wanita yang menawarkan diri
untuk menjadi kekasihnya. Ibarat kata pepatah Melayu, perigi mencari timba.
Namun, semuanya ditolak atas alasan, selagi adik-adiknya tidak tamat
persekolahan dan pengajian, selagi itulah dia tidak akan berkahwin.
Sekarang, dia sudah mampu menarik nafas lega kerana dua
orang daripada adik-adiknya sudah bekerja. Hanya tinggal seorang sahaja lagi
yang masih berada di bawah tanggungannya. Adiknya yang bongsu, Daniah yang
masih menuntut di IPTA.
Apabila mengenangkan itu semua, dia tersenyum lebar.
Sudah tiba masa dan ketikanya dia perlu memikirkan soal kehidupan sendiri.
Tinggal Daniah seorang sahaja lagi untuk ditanggung segala perbelanjaan dan itu
tidak menjadi masalah untuk dia mendirikan rumahtangga selepas ini.
Baru sahaja mata hendak dipejam, terganggu pula dia
dengan bunyi deringan telefon bimbit. Dia bingkas lalu mencapai telefon bimbit
yang diletakkan di bawah bantal. Sebaris nama adik bongsunya, Daniah terpampang
di atas skrin. Panjangnya umur!
"Assalamualaikum, along!" Begitu nyaring suara
Daniah di hujung talian sehingga memaksa dia menjarakkan sedikit telefon bimbit
daripada telinga.
"Waalaikumussalam. Erm, ada apa? Along baru je nak
tidur," rungutnya.
"Wah, sombongnya!" Suara Nia di hujung talian
semakin nyaring tetapi masih bernada ceria seperti biasa.
Dia duduk bersila sambil membuang selimut. Menggeleng
sekali dua sebelum menyambung bicaranya dengan Daniah. "Ada apa ni cik
intan payung buah hati along? Lewat-lewat malam tak tidur lagi ni? Sebelum Nia
call along ni, mesti Nia call boyfriend dulu, kan?"
"Nia sajalah nak call. Nak tanya khabar along tu
sihat ke tidak? Boyfriend? Nia mana ada boyfriend. Pandai-pandai jelah along
ni," bebel Nia di hujung talian.
"Alhamdulillah, along sihat. Baguslah kalau Nia tak
ada boyfriend. Fokus pada pelajaran tu dulu. Kalau along dapat tahu Nia ada
teman lelaki, siaplah Nia," ugutnya dalam nada seloroh. Bibir dilebarkan
dengan senyuman.
"Along ni tak sportinglah. Langsung tak boleh
bertolak ansur. Hellooo.. Nia dah dewasa tahu tak? Nia ada hak ke atas hati dan
perasaan Nia sendiri. Along tu hah, bila nak kahwin? Sibuk aje duk jaga hal-hal
Nia sampaikan diri along sendiri tak terjaga," Nia membebel lagi. Sudah
tidak ubah seperti ibu mereka.
"Panjangnya mak nenek berleter. Kalah Mak Som jiran
sebelah rumah kita tu," usiknya kepada si adik yang memang selalu akan
menjadi bahan gurauan.
"Along ni, seriuslah sikit. Selalu sangatlah
main-main."
"Along seriuslah ni. Okey, cuba cakap. Nia nak apa
call along malam-malam buta macam ni? Esok along kerja, nak kena tidur
awal."
"Nia.. err.. Nia nak duit sikit. Minggu depan Nia
ada rombongan ke Putrajaya. Nia kekurangan duit untuk dibuat belanja kat sana
nanti," pinta Daniah di hujung talian itu sambil melontarkan suara
manjanya seperti biasa. Kalau hendak meminta wang daripada alongnya, memang begitulah
selalu tindakan Daniah.
Dinn Dzakir menggaru sebentar keningnya. "Bukan ke
along dah masukkan duit minggu lepas? Takkan tak cukup lagi kut?"
"Duit yang along masukkan minggu lepas tu, Nia dah
bayar untuk pakej rombongan tu. Duit yang Nia nak belanja saja masih tak ada
lagi. Boleh tak along berikan duit pada Nia sikit?"
"Selama ni kalau Nia minta duit, pernah ke along tak
bagi? Tak pernah, kan?"
"Ya, tak pernah. Along memang baik..."
Dinn Dzakir memicit belakang leher seketika sebelum
menyambung bicara. "Okey, esok along masukkan lagi duit untuk Nia. 500
cukup?"
"Cukup! Nia sayanggg along.."
"Erm, along pun sayang Nia jugak. Belajar
rajin-rajin jangan malas-malas. Kalau along dapat tahu Nia malas belajar kat
sana tu, nanti along potong elaun tiap-tiap bulan," ugutnya bergurau.
"Eee.. along ni kan, selalu bergurau tak kena
tempat. Buat Nia susah hati je," rungut Daniah.
"Okeylah, along dah nak tidur ni. Lain kali kita
borak lagi ye?"
"Okey!" Balas Daniah sebelum mematikan talian.
HANIM
mencapai gelas lalu menuangkan air suam ke dalamnya. Kemudian, ditariknya
sebuah dulang untuk diletakkan gelas yang berisi air suam itu di atasnya. Dia
menggeleng sekali dua. Hanya segelas air suam sahaja untuk Dinn Dzakir pagi
ini? Sungguh tidak masuk akal!
"Kau buat apa tu?" Lia menyoal dari belakang.
Didekatinya si teman yang kelihatannya sedang berfikir-fikir.
"Nak hantarkan air suam untuk Encik Zakir,"
jawabnya sambil berpaling.
Wajah Lia berkerut. "Air suam? Air suam aje? Kau ni
biar betul!"
"Dah dia yang nak. Aku ikut jelah," bidas Hanim
perlahan.
"Ish, kau ni kan.. lurus bendul. Kalau Encik Zakir
minta air suam, baik kau buatkan air glukos untuk dia. Kalau dia minta air
glukos pulak, kau buatkanlah dia milo ke, tea ke, nescaffe ke. Janganlah lurus
sangat. Cuba kau upgrade sikit apa yang dia minta tu," Lia cuba mengajar
sambil tersenyum-senyum.
Hanim mencebik. Lia bukannya tahu apa-apa pasal hal malam
tadi. Jadi, dia tidak ada hak untuk berkata itu dan ini. Bidas Hanim dalam
hati. "Kalau kau pandai sangat, kau buatkanlah!" Hanim berganjak ke
tengah lalu menarik kerusi untuk melabuhkan duduk.
Lia tersengih panjang sambil menampakkan giginya yang
tidak tersusun elok. Ini peluang keemasan! Desis hatinya tika itu. Kemudian,
laju sahaja tangannya mengambil sebuah teko dari dalam kabinet. Air panas yang
sudah tersedia di dalam dispenser, ditekan-tekan sehingga memenuhi satu teko
itu.
Hanim hanya memerhati. Tidak berpeluang lagilah nampaknya
dia untuk melayan permintaan Dinn Dzakir pagi ini. Entah kenapa, tiba-tiba
sahaja dia berjauh hati dengan tindakan Lia yang seakan-akan mahu berebut tugas
melayan Dinn Dzakir sedangkan ramai lagi staff yang lain memerlukan khidmat Lia
pagi itu.
Mahu tidak mahu, Hanim terpaksa mengambil alih tugas Lia
menghantar minuman ke pejabat Encik Shukor. Maklumlah, Dinn Dzakir itu kan,
kacak orangnya kalau hendak dibandingkan dengan staff-staff lelaki yang lain.
Sudah pastilah Lia mahu melayan Dinn Dzakir habis-habisan.
Hanim membuat telahan sebelum beredar keluar untuk
menghantar minuman ke bilik pejabat Encik Shukor yang sepatutnya dihantar oleh
Lia.
Setibanya di pintu bilik pejabat Encik Shukor, Hanim
sedikit sukar untuk membuka pintu oleh kerana sarapan untuk Encik Shukor pagi
ini terlalu banyak dan dulangnya agak berat.
Manakan tidak, Encik Shukor itu kalau bersarapan memang
tidak ingat dunia. Tidak cukup dengan nasi lemak, roti canai juga dimahunya.
Bukan itu sahaja, ditambah lagi dengan telur masak separuh. Itu belum dicampur
lagi dengan minuman panas dan minuman sejuk. Padanlah dengan perut buncitnya
itu! Kutuk Hanim sendiri. Aduh, naik kebas tangan dia dibuatnya.
Namun dalam kesukaran Hanim itu, ada pula sepasang tangan
yang ringan membantu. Milik siapakah tangan berwarna kuning langsat ini?
Sedikit berurat pula nampaknya. Hujung lengan kemejanya berwarna biru lembut.
Milik siapakah? Wangian Black Suede menerjah masuk ke rongga hidung lalu Hanim
menoleh dan mendongak. Dinn Dzakir!
Lelaki itu tersenyum sambil memulas tombol pintu untuk
membukakan pintu bilik pejabat Encik Shukor supaya Hanim senang memasukinya.
"Sarapan untuk saya tak ada ke?"
"Malam tadi kan, Encik Zakir nak air suam. Jadi, Lia
dah hantarkan ke bilik Encik Zakir. Tapi saya rasa, Lia ada buatkan minuman
manis sekali."
"Lia?"
Hanim angguk.
"Tapi saya tak nak Lia. Saya nak Hanim. Saya nak..
setiap pagi Hanim yang hantarkan minuman ke bilik saya. Bukannya Lia,"
Dinn Dzakir bersuara sedikit tegas.
Wajah Hanim berkerut-kerut. Entah kenapa, bicara Dinn
Dzakir lain macam sahaja kedengarannya. "Tapi, sama saja kan? Antara saya
dan Lia, memang ditugaskan untuk menghantar minuman atau sarapan kepada
pegawai-pegawai yang bekerja di syarikat ni. Tidak terkecuali Encik Zakir
sendiri," balas Hanim perlahan.
"Ya, saya tahu tu. Tapi, saya tak nak orang lain.
Saya cuma nak Hanim saja yang hantarkan minuman ke bilik pejabat saya,"
Dinn Dzakir tidak mahu mengalah. Sengaja pula ditekankan suaranya.
"Setahu saya dalam syarikat ni, tak ada
undang-undang pun yang menyatakan Encik Zakir harus terima layanan daripada
saya sorang," Hanim juga mengambil sikap tidak mahu mengalah. Tiba-tiba
sahaja berlaku perang dingin di antara dia dan juga Dinn Dzakir pagi ini
seolah-olah mereka berdua itu sudah lama kenal.
Dinn Dzakir hairan. Hanim juga hairan. Kenapa agaknya
mereka berdua bersikap seperti kebudak-budakan pagi ini. di hadapan bilik
pejabat Encik Shukor pula tu.
"Ehem!" Encik Shukor yang sejak tadi menonton
drama minggu ini di mana pelakon-pelakonnya adalah Hanim dan Dinn Dzakir, sudah
tercegat berdiri di hadapan kedua-duanya itu. "Kamu berdua ni kenapa?
Tercegat kat depan bilik pejabat saya ni?"
Hanim tunduk dan bersegera melangkah masuk ke bilik
pejabat Encik Shukor lalu meletakkan dulang di atas meja kerja lelaki yang
sudah berusia separuh abad itu.
Dinn Dzakir pula masih tidak berganjak dan berbual-bual
sebentar dengan Encik Shukor sementara menantikan Hanim keluar. Perasaannya
yang tidak berpuas hati terhadap Hanim terpaksa disembunyikan sementara kerana
menghormati Encik Shukor yang lebih tua.
Sebaik Hanim melangkah keluar, Dinn Dzakir segera meminta
diri. Kelibat Hanim cuba dijejakinya sehingga ke pintu tandas.
Hanim sedikit terkejut dengan tindakan Dinn Dzakir itu
lalu segera menghentikan langkahnya. "Kenapa Encik Zakir ikut saya sampai
ke sini?"
Dinn Dzakir garu kepala. Dia juga sebenarnya tidak faham
kenapa dia berbuat demikian. Mengekori Hanim sehingga ke pintu tandas? Sudah
hilang kewarasankah dia?
"Err.. saya nak minta maaf atas kelakuan saya tadi.
Saya harap, Hanim dapat maafkan saya. Boleh tak kalau saya nak ajak Hanim
keluar lunch tengahari ni?"
Hanim tunduk. Hidung digosok sekali dua sebelum kembali
mengangkat muka. dipandangnya Dinn Dzakir cukup lama sehingga membuatkan si
jejaka pula yang berasa tidak selesa. "Boleh saya ajak Lia sekali?"
Dinn Dzakir mengeluh kecil. Apabila Hanim menyebut sahaja
nama Lia, moodnya sudah terbang. Hanim ni, takkanlah tak faham-faham apa
kemahuannya. Tak perlulah diajak si Lia tu sekali. Rungut Dinn Dzakir sekadar
di dalam hati.
"Boleh ke tak?" Ulang Hanim dengan soalan yang
serupa.
Kepala digaru sebentar sebelum dia mengangguk bersetuju.
Sengaja dia menayangkan riak wajah separuh rela kepada Hanim yang sudah
tersenyum.
No comments:
Post a Comment