LIA
dan Hanim masing-masing kusyuk menonton drama bersiri Melayu di televisyen.
Namun, Lia tiba-tiba mengalihkan tumpuannya kepada Hanim. Nampak seperti mahu
diajak berbual kerana drama yang ditonton sudah tidak menarik minatnya lagi.
"Sejak Encik Zakir bekerja di tempat kita, aku rasa
semakin bersemangat pula nak pergi kerja," Lia memulakan perbualan.
Hanim yang sejak tadi hanya menonton tv, mula memberi
perhatian kepada Lia. Sebaik sahaja temannya itu menyebut nama Dinn Dzakir,
tiba-tiba sahaja dia menjadi minat untuk mendengar. "Baguslah kalau dah
macam tu. Selama ni, kau kan liat sikit nak pergi kerja. Kalau matahari tu tak
tinggi, tak ada maknanya kau nak bangun."
Lia mencebik mendengarkan bicara Hanim tetapi bibirnya
masih mampu tersenyum. "Hensem kan Encik Zakir tu? Aku rasa.. aku.. aku
dah mula sukakan dia la."
Hanim menjungkit kedua-dua kening. Lia sukakan Encik
Zakir? Maksudnya apa? Hanim menyoal diri sendiri sebelum kembali memberi
tumpuannya kepada Lia yang sedang tersenyum. Wajah Lia ketika itu seperti
terkenangkan sesuatu. "Apa maksud kau?"
Lia membetulkan kedudukannya di atas kerusi itu.
Kemudian, dia mendekati Hanim. Wajahnya tampak gembira apabila Hanim bertanya
begitu. "Maksud aku, aku dah mula sukakan dia. Aku rasa, aku dah jatuh
cinta pada dia."
Hanim menoleh pantas. Dilihatnya Lia benar-benar teruja
apabila memperkatakan tentang hal itu. "Cinta?"
Lia mengangguk laju.
Hanim mengeluh kecil. Dia tunduk seketika sebelum
mengangkat muka. Dipandangnya Lia dengan bersungguh-sungguh. "Apa, betul
ke kau ada perasaan macam tu pada Encik Zakir?"
Lia mengangguk lagi. Kali ini lebih laju. Bibirnya pula
semakin melebar dengan senyuman.
Hanim terpanar. Membulat seketika sepasang matanya tika
itu. "Kenapa kau boleh jatuh cinta pada dia pulak?"
"Apalah kau ni. Kalau dah terjatuh cinta, kita
sendiri pun tak tahu di mana puncanya," jawab Lia bersungguh-sungguh.
"Atau.. sebab dia hensem ke?" Soal Hanim
inginkan jawapan yang jelas daripada Lia.
"Sebab dia hensem dan berjawatan tinggi..,"
ulas Lia menjelaskan kenapa dia boleh jatuh hati kepada Dinn Dzakir.
Hanim diam. Dalam hati sedang bermonolog sendiri. Aku pun
suka pada dia. Tapi bukan kerana dia hensem atau berjawatan tinggi tapi kerana
dia seorang lelaki yang baik hati. Dengan bermonolog begitu, apakah dia juga
menyintai Dinn Dzakir? Hanim menggigit hujung jari. Berfikir-fikir nampaknya
dia.
"Kau ikhlas ke cintakan dia? Aku dengar bunyi macam
tak ikhlas je," Hanim menduga. Dipandangnya Lia sekali imbas.
Lia mencebik. "Apa pulak tak ikhlas? Tentulah aku
ikhlas."
"Kalau kau betul-betul ikhlas, kau takkan jatuh
cinta pada dia hanya disebabkan dia hensem atau berjawatan tinggi saja,
tau," bidas Hanim sambil menjeling Lia dengan ekor mata.
"Aku ikhlaslah wei!" Bentak Lia tiba-tiba.
Tidak berpuas hati nampaknya dia dengan bidasan Hanim. Nampak sangat yang dia
tidak ikhlas apabila membentak begitu.
Hanim mengeluh perlahan. Kalau Lia sudah meninggikan
suara, dia memang malas hendak bercakap lebih-lebih. Bukan dia tidak tahu sikap
Lia yang kadangkala panas baran tidak tentu pasal. Selama ini memang dia banyak
bersabar dengan karenah Lia yang satu itu.
"Kalau kau betul-betul ikhlas, baguslah. Jangan
pulak nanti bila kau dah cakap pada Encik Zakir yang kau cintakan dia hanya
disebabkan dia hensem atau mempunyai kerjaya yang bagus, nanti Encik Zakir akan
fikir yang kau ni suka ambil kesempatan pulak," Hanim memandang Lia. Mahu
melihat reaksi si teman yang sedang berwajah teruja.
"Eh, kau ni. Takkanlah aku nak cakap macam tu depan
dia? Mestilah aku akan cakap, aku suka kat dia sebab dia tu baik hati,
bertanggungjawab, beriman.. haa.. aku akan jawab macam tulah,"
bersungguh-sungguh benar nampaknya Lia apabila berbicara seperti itu.
Hanim menggeleng. Sungguh dia tidak berpuas hati dengan
kata-kata Lia. Nanti kasihan pula pada Dinn Dzakir andaikata lelaki itu
menerima cinta yang tidak ikhlas daripada Lia. Teruk benar sikap Lia.
"Apa yang kau nak buat lepas ni?" Soal Hanim
sekadar mahu mengetahui rancangan Lia. Dia tahu temannya itu sedang
berkira-kira sesuatu. Dia tahu Lia sedang merancang hendak memikat Dinn Dzakir.
Daripada air muka yang ditunjukkan Lia, dia sudah boleh membacanya.
Lia menegakkan badan. Kedua-dua tangan dirapatkan ke
dada. Kedua-dua kaki pula dibetulkan dalam keadaan bersila. Lagaknya tidak ubah
seperti orang yang sedang melakukan senaman Yoga. "Lepas ni, aku nak cuba
rapatkan diri aku dengan Encik Zakir. Setiap pagi, aku akan pastikan sarapannya
tersedia atas meja tanpa dia suruh-suruh. Aku harap kau boleh berikan kerjasama
dalam hal ni," Lia menoleh memandang Hanim.
"Kerjasama? Kenapa nak babitkan aku pulak? Kalau kau
nak pikat dia, kau pikatlah dia sorang-sorang. Aku tak nak tolong," Hanim
berpeluk tubuh.
"Dengarlah dulu. Aku belum habis cakap lagi kau dah
sibuk-sibuk nak potong," herdik Lia.
Hanim garu kepala sebelum memberikan tumpuannya semula
kepada Lia yang sedang bersila itu. "Cakaplah. Kerjasama apa yang kau nak
daripada aku?"
"Aku mahu kau tak perlu susah-susah lagi sediakan
sarapan atau minuman yang Encik Zakir nak. Atau, apa-apa sajalah yang dia suruh
buat. Kau tak perlu buat itu semua, ye? Kau serahkan saja pada aku. Biar aku
yang penuhi segala permintaan dia lepas ni. Boleh?" Ujar Lia panjang
lebar.
Berkerut-kerut wajah Hanim ketika mendengarkan kata-kata
Lia. Riaknya menunjukkan sedikit kehampaan. Manakan tidak, sejak kehadiran Dinn
Dzakir, dia sangat senang hati dapat menunaikan segala arahan dan permintaan
lelaki itu. Dia ikhlas melakukan tugas menghantar minuman ke bilik pejabat Dinn
Dzakir sekiranya lelaki itu menyuruhnya berbuat begitu.
Dia gembira melakukan semuanya untuk Dinn Dzakir tetapi
tidak diketahui apa sebab dan puncanya. Adakah dia juga seperti Lia yang sudah
jatuh hati pada Dinn Dzakir?
Andaikata benar, apa yang membezakan antara dia dan Lia
adalah, dia lebih ikhlas menyukai Dinn Dzakir. Bagi dirinya, lelaki itu seorang
yang baik hati dan budiman. Nampak daripada air mukanya juga seorang lelaki
yang bertanggungjawab. Bukannya disebabkan lelaki itu kacak atau mempunyai
kerjaya yang bagus seperti apa yang ada di dalam kepala Lia.
""Hanim, kenapa kau senyap aje? Boleh ke
tidak?" Lia memecah kesunyian dengan soalan yang sama kepada Hanim.
Dalam keadaan terpaksa dan tidak rela, Hanim mengangguk
lemah. Kedua-dua tangan diramas perlahan menandakan dia sebenarnya tidak mahu
melepaskan tugasan itu kepada Lia. Kalau esok Dinn Dzakir mempertikaikan kenapa
dia sudah tidak menghantar minuman lagi ke bilik pejabat lelaki itu, entah
jawapan apa yang hendak diberikan.
"Kau tahu tak, esok aku ada satu rancangan yang
paling bagus!" Lia terangguk-angguk dan tersenyum. Sebuah senyuman yang
mempunyai maksud tertentu.
"Apa dia?" Soal Hanim pula seperti orang bodoh
sahaja kelihatannya. Manakan tidak, dia sebenarnya sudah tidak bersemangat
untuk bertanya apa-apa lagi kepada Lia. Riak wajahnya juga muram tiba-tiba.
"Surprise!" Jerit Lia sehingga membuatkan Hanim
urut dada. Terkejut.
"Apa sebenarnya yang kau nak buat esok ni?"
Soal Hanim lagi benar-benar ingin tahu. Risau juga dia kalau Lia membuat
perkara diluar dugaan. Temannya itu bukannya boleh dipercayai. Manalah tahu
kalau tiba-tiba sahaja Lia membawa tok kadi dan beberapa orang saksi untuk
segera dinikahkan dengan Dinn Dzakir.
Astaghfirullahalazim! Kenapa sampai ke situ pula yang aku
fikir? Marah Hanim pada diri sendiri. Oleh kerana dia sedang resah ketika ini,
macam-macam perkara negatif pula yang terbayang-bayang di matanya.
Lia tidak menjawab pertanyaan itu tetapi sekadar
tersenyum-senyum sambil menjungkitkan keningnya berkali-kali.
LIA
bersedia menantikan kemunculan Dinn Dzakir di bahagian tangga. Dia sudah sedia
maklum, lelaki itu tidak pernah menggunakan lif pada waktu pagi kerana mungkin
tidak suka bersesak dengan pekerja-pekerja lain.
Kalau setakat hendak naik ke tingkat tiga, tidak menjadi
hal kepada kudrat seorang lelaki. Tetapi kalau untuk perempuan, sudah tentulah
tidak sanggup menggunakan tangga untuk naik ke tingkat tiga itu. Penat dan
berpeluh dibuatnya nanti.
Hanim yang tidak mengerti akan perlakuan Lia itu mula
berkerut-kerut wajahnya. "Apa yang kau nak buat ni?" Soalnya kepada
Lia yang masih terhendap-hendap tidak ubah seperti pencuri.
"Aku tunggu Encik Zakirlah," jawab Lia tanpa
berpaling.
Hanim yang berdiri di belakang Lia semakin tidak mengerti
dengan tindak-tanduk Lia sekarang ini. Apa yang hendak dibuat agaknya dengan
menunggu Dinn Dzakir di sini? Pelik!
"Lia, nanti kita terlambat tahu tak? Tengok jam ni
dah pukul berapa?" Hanim menyuakan tangannya ke hadapan supaya Lia
memerhati pada jam tangan yang dipakainya. Namun, temannya itu langsung tidak
peduli malah makin kusyuk pula memerhati kelibat Dinn Dzakir yang akan muncul
pada bila-bila masa sahaja.
"Kalau susah-susah sangat, kau pergilah naik dulu.
Tak perlu tunggu aku kat sini. Lagipun kalau kau ada, tak syoklah aku
nanti," jawab Lia secara berterus-terang tetapi sangat kabur pada
pendengaran Hanim yang tidak mengerti apa-apa itu.
"Ish, aku tak sedap hatilah dengan kau ni Lia. Apa
sebenarnya yang kau nak buat ni?"
Lia berpaling lalu berdiri tegak dan tidak lagi
terbongkok-bongkok seperti tadi. "Kau ni kan, susah betul. Pergilah naik
dulu. Nanti merosakkan rancangan aku pulak!" Bentak Lia kemudian mendengus
keras di hujung bicaranya yang agak kasar itu.
Hanim berwajah cemberut tiba-tiba. Sebal hatinya saat itu
apabila diherdik oleh teman baik sendiri. Tanpa menunggu lebih lama lagi, Hanim
segera beredar dan meninggalkan Lia keseorangan di situ yang masih setia
menunggu kemunculan Dinn Dzakir.
Entah-entah Encik Zakir naik lif hari ini. Hanim membuat
telahan sambil laju kakinya mendaki anak-anak tangga. Kalau diikutkan mahu
sahaja dia menggunakan lif tetapi sekarang ini tangga lebih hampir dengannya
dan lif pula berada di hujung sana. Agak jauh daripada tempat dia dan Lia
berada sekarang ini.
"Jumpa kau kat atas nanti!" Pekik Hanim kepada
Lia yang masih berada di bawah.
Lia mendongak sebentar sambil melambaikan tangannya
kepada Hanim yang sudah pun berlari anak ketika menaiki tangga itu.
Kemudian, dia mengalihkan tumpuannya ke hadapan. Sudah
tidak sabar nampaknya dia hendak menunggu kemunculan Dinn Dzakir.
Hampir sepuluh minit menunggu, akhirnya orang yang
dinanti-nantikan sudah menampakkan bayang. Lia tersenyum sebaik sahaja Dinn
Dzakir melewatinya. "Selamat pagi, Encik Zakir," sapanya berbaur
mesra.
Langkah Dinn Dzakir terhenti. Dia hairan. Dagu digosok
seketika sebelum membuka mulut. "Hanim mana?"
Sebaik nama Hanim yang disebut Dinn Dzakir, wajah Lia
berubah riak tiba-tiba. Bibir diketap perlahan dan sehabis daya dia cuba
bermanis muka. "Hanim? Err.. entahlah. Hanim tu kalau datang kerja, selalu
je lambat. Macam tak ada rasa tanggungjawab langsung," bidas Lia secara
rambang. Diperburukkan pula Hanim di hadapan Dinn Dzakir sedangkan temannya itu
sudah lama berada di atas.
Dinn Dzakir terangguk-angguk perlahan. Betulkah Hanim
seperti itu? Kemudian, kepalanya digeleng sekali dua. Kelihatannya seperti dia
tidak percaya. Namun, malas pula dia hendak bertanya lebih-lebih kepada Lia.
Biarlah dia sendiri yang bertanya kepada Hanim nanti. "Saya naik dulu,"
balasnya perlahan sambil jari telunjuk diangkat lurus menunjuk ke arah tangga.
Lia mengecilkan mata. Tidak berpuas hati dengan cara
layanan Dinn Dzakir terhadapnya. Namun, dia tidak mahu berputus asa lalu
langkahnya dipercepatkan agar berjalan seiringan dengan Dinn Dzakir di
sepanjang pendakian anak-anak tangga itu. "Encik Zakir dah sarapan ke
belum?
Tanpa menoleh, Dinn Dzakir menjawab perlahan, "saya
dah sarapan kat rumah tadi. Mak saya buat bihun goreng hari ni."
"Jadi, Encik Zakir tak nak makan apa-apalah pagi ni?"
"Saya dah kenyang."
"Minum pun tak nak ke?" Lia tidak berputus asa.
Dinn Dzakir garu kepala. Kelakuan Lia pagi ini agak pelik
sekali. Kemudian, dia menjawab, "boleh juga. Nanti awak suruh Hanim
buatkan milo untuk saya dan suruh dia sekali yang hantarkan minuman tu ke bilik
pejabat saya, ya?"
"Tapi hari ni Hanim datang lambatlah. Nanti kasihan
pulak kalau Encik Zakir tunggu lama," bohong Lia lagi semata-mata mahu
mempamerkan sikap negatif Hanim kepada lelaki itu.
"Tak apa. Saya tak kisah kalau terpaksa menunggu
lama sekalipun. Setahun, dua tahun," sindirnya kepada Lia. Entah Lia
mengerti atau tidak akan maksudnya, dia tidak mahu ambil pusing.
Apa yang dia rasa sekarang, Lia sedang memburuk-burukkan
Hanim di hadapannya secara sengaja. Daripada cakap-cakap Lia dan segala gerak
tubuh perempuan itu, dia sudah boleh menduga akan sesuatu.
Naluri lelakinya mengatakan bahawa Lia cuba menarik
perhatiannya atau lebih tepat lagi sedang berusaha mahu memikatnya. Bukannya dia
tidak pernah hadapi situasi yang sama sebelum ini. Dinn Dzakir membuat telahan
sambil tersenyum menyindir.
Belum pun sempat Dinn Dzakir hendak meneruskan langkah,
tiba-tiba pula Lia jatuh terbaring. "Lia!"
Bersegera dia menerpa ke arah Lia lalu duduk melutut di
situ. Kemudian, perlahan-lahan kepala Lia diangkat lalu dilapikkan dengan beg
hitam kepunyaannya.
Ditepuk wajah Lia berkali-kali supaya gadis itu membuka
mata tetapi tiada respon. "Kenapa dengan awak ni Lia?!" Cemas dia
menyoal sambil mengeluarkan telefon bimbit dari poket seluar.
Tiada nama lain yang terlintas di fikirannya saat itu
kecuali nama Hanim! "Hello, awak ada kat mana sekarang?"
"Saya kat dalam pantri la.. kenapa Encik
Zakir?"
"Dalam pantri? Eh, bukan ke Lia kata awak..,"
Dinn Dzakir tidak dapat menghabiskan kata-katanya. Sekarang, dia mengerti
segala-galanya. Lia hanya berbohong mengenai Hanim sebentar tadi.
Jadi, memang tepatlah sangkaannya bahawa Lia memburukkan
Hanim di hadapannya. Dia menggeleng laju sambil mendengus kasar. Bengang
apabila mendapat tahu bahawa dirinya diperolok-olokkan Lia. Kasihan Hanim ada
kawan serumah dan rakan setugas yang mempunyai perangai dan sikap sebegini.
Dinn Dzakir bermonolog sendiri.
"Hello, Encik Zakir."
Suara Hanim di hujung talian menghentikan lamunan Dinn
Dzakir sebentar tadi. "Hanim, awak turun ke tingkat bawah sekarang. Dekat
tangga tingkat dua."
"Nak buat apa?"
"Kawan awak ni, pengsan."
"Hah? Lia pengsan?!" Cemas suara Hanim
kedengaran di cuping telinga Dinn Dzakir. Nampak sangat Hanim benar-benar
risaukan Lia. Dia membuat telahan lagi sambil menggeleng perlahan.
Talian dimatikan lalu memasukkan kembali telefon
bimbitnya ke dalam poket seluar. Sementara menantikan Hanim sampai, sekali lagi
dia mendekati Lia lalu membetulkan kepala Lia supaya gadis yang sedang pengsan
itu berasa selesa.
Hanim terlopong sebaik matanya tertancap pada susuk tubuh
Lia yang sedang terbaring. Segera dia menuruni anak-anak tangga itu dengan
laju.
Ketika itu Dinn Dzakir mendongak memandang ke arah Hanim
yang sedang berlari menuruni tangga. Bimbang sungguh dia apabila melihat
kegopohan Hanim yang berlari seperti itu. "Hanim, nanti awak jatuh!"
Sampai di tingkat dua itu, Hanim tercungap-cungap
kepenatan. Tanpa menghiraukan Dinn Dzakir yang hampir-hampir sahaja mahu
dilanggarnya, dia segera menerpa ke arah Lia. "Lia, kenapa dengan kau
ni?!"
Hanim duduk mencangkung di sebelah Lia sementara Dinn
Dzakir pula masih berdiri. Entah kenapa, dia langsung tidak berasa bimbang
dengan keadaan Lia. Dia berkira-kira mengatakan bahawa Lia sebenarnya berbohong
dan berpura-pura pengsan.
Dalam pada itu, Hanim menepuk pipi Lia beberapa kali dan
cuba berusaha membuatkan temannya itu kembali sedar dan membuka mata. Ketika
itu jugalah tanpa disangka-sangka, Lia mengenyitkan mata ke arahnya.
Hanim ketap bibir. Penipu punya kawan! Marahnya sekadar
dalam hati. Tidak mahu pula dia menghamburkan amarahnya itu di hadapan Dinn
Dzakir. Nanti aiblah pula temannya yang sedang berpura-pura pengsan itu. Tetapi
Hanim tidak tahu, sebenarnya Dinn Dzakir sendiri yang sedang mengesyaki bahawa
Lia sedang berlakon.
Oleh kerana tidak mahu temannya mendapat malu di hadapan
Dinn Dzakir, Hanim bertindak menarik tubuh Lia supaya temannya itu kembali
berdiri. Kemudian, dipapahnya Lia sehingga ke anak tangga pertama sebelum dia
berpaling ke arah Dinn Dzakir yang kelihatannya tidak cuba membantu.
"Encik Zakir tak nak tolong saya ke? Lia ni
beratlah," Hanim cuba mengumpan supaya lelaki itu membantunya untuk
memapah Lia sehingga ke tingkat atas.
Dinn Dzakir menggeleng lalu mengeluh panjang. Kedua-dua
pinggang dicekak sebelum dia mencapai beg kepunyaannya yang masih berada di
atas lantai simen itu.
Beg disandang ke bahu sebelum kakinya melangkah mendekati
kedua-duanya. Kemudian, dia menarik sebelah tangan Lia untuk dipapah bersama.
Dia membantu Lia bukan di atas kerelaannya tetapi oleh kerana ingin menjaga
hati Hanim sahaja.
Sampai di pantri, Lia didudukkan Hanim dan Dinn Dzakir di
atas kerusi.
"Aduh, sakitnya..," Lia tiba-tiba mengaduh
sambil tangannya memicit dahi. Sengaja mahu memancing Dinn Dzakir supaya lelaki
itu memberi perhatian kepadanya.
"Hanim, saya masuk ke office dulu, ye? Kalau ada
apa-apa, jumpa terus dengan saya," Dinn Dzakir beredar sebelum sempat
Hanim berkata apa-apa.
Sebaik sahaja bayang Dinn Dzakir hilang, Hanim memberi
tumpuan kepada Lia. "Ooo.. jadi inilah dia rancangan kau? Pura-pura
pengsan konon."
Lia membetulkan duduk. "Seronoknya aku tadi. Kau
tahu tak, Encik Zakir pegang-pegang aku tau," Lia tersengih.
Hanim mencebik. Bibirnya dimuncungkan kemudian. Hampir
panjang sedepa ukurannya. Cemburu atau menyampahkah dia dengan Lia?
"Perangai kau ni memang tak semengah langsung. Eh, aku ni kan.. jangankan
kata seronok kalau lelaki bukan muhrim nak pegang-pegang, tapi aku rasa macam nak
muntah hijau kau tahu tak?"
"Eleh, muntah hijau konon. Muntah hijau ke atau kau
rasa macam makan cheese cake kalau ada lelaki yang pegang-pegang kau?" Lia
membidas keras. Tidak suka dengan bicara ala-ala ustazah daripada Hanim itu.
Hanim mendengus kecil. Geramnya dia pada Lia tidak usah
hendak diceritakan bagaimana. "Kau ni tak ada rasa bersalah langsung, kan?
Hidup-hidup kau tipu Encik Zakir. Eh, apa niat kau sebenarnya ni? Kalau betul
kau ikhlas sukakan dia dan cintakan dia sekalipun, bukan begini caranya yang
patut kau buat. Pura-pura pengsan konon. Nanti kalau Encik Zakir tahu yang kau
menipu, mana kau nak letak muka?"
"Alah, Encik Zakir takkan tahu kalau kau tak buka
mulut. Aku harap, ini rahsia antara kita berdua saja tau? Kau jangan
pandai-pandai pulak nak jaja cerita pada staff-staff lain. Kalau aku tahu
rahsia ni terbongkar, memang kaulah orang pertama yang aku akan cari. Dan pada
masa tu, kita putus sahabat!" Tegas Lia sambil bingkas berdiri.
HANIM
memasuki bilik pejabat Dinn Dzakir sambil membawa segelas air suam seperti apa
yang dipesan melalui Fizad. Kalau diikutkan, Lia yang akan menghantar minuman
itu berikutan permintaannya semalam. Tetapi oleh kerana Lia mahu memastikan
lakonannya pagi tadi benar-benar nampak real, dia memutuskan supaya Hanim yang
menghantarkan minuman itu kepada Dinn Dzakir.
Sebaik Hanim melangkah masuk, kelihatannya Dinn Dzakir
sedang sibuk meneliti lukisan pelan. Perlahan-lahan Hanim meletakkan
dulang ke atas meja kerja lelaki itu.
"Airnya, Encik Zakir."
Dinn Dzakir mendongak. Bibir dilebarkan dengan senyuman.
Melihat sahaja pada seraut wajah gadis yang sudah mencuri hati, hilang rasa
penatnya sejak dari pagi. "Macam mana dengan kawan awak? Dah ok ke dia?
Atau, nak saya hubungi hospital sakit jiwa ke?" Tersengih-sengih dia di
hujung bicara itu.
Wajah Hanim berkerut seribu. Apa maksud Encik Zakir
agaknya, ya. Kepalanya yang tidak gatal mula digaru dengan hujung jari.
"Kenapa sampai nak hubungi pihak hospital pulak?" Lurus dia menyoal.
Dinn Dzakir menggeleng perlahan sebelum bingkas dari
kerusi empuk yang didudukinya. Langkah kakinya maju ke hadapan menuju ke
tingkap di mana pemandangannya boleh
dilihat hampir separuh Bandaraya Warisan Pesisir Air itu.
Kemudian, kedua-dua tangan diseluk ke dalam poket seluar
sebelum langkahnya diatur kemas menuju ke arah Hanim yang masih berdiri di
tempat yang sama. "Bukan sekali dua saya hadapi perkara begini, Hanim. Dah
banyak kali. Saya tahu mana yang betul dan mana yang olok-olok."
"Maksud Encik Zakir?" Hanim menoleh menantikan
maksud sebenar yang cuba disampaikan lelaki itu kepadanya.
"Kawan awak si Lia tu. Saya tahu dia pura-pura
pengsan."
Hanim tercengang. Ya Allah, macam mana Encik zakir boleh
tahu? Ish, tak boleh jadi ni. Kalaulah Lia tahu tembelangnya sudah pecah, tentu
aku yang akan dipersalahkan. Hanim membuat telahan sendiri. "Eh, takkan
kut Lia nak buat macam tu? Tak ada sebablah dia nak berbohong," Hanim
nampaknya mahu membela Lia.
Dinn Dzakir mengeluh berat lalu tunduk menekur lantai.
"Entahlah, Hanim. Saya rasa memang betul dia pura-pura pengsan. Tapi
kalaulah sangkaan saya ni meleset, saya sendiri yang akan pergi minta maaf
dengan dia."
"Eh, jangan!" Lekas-lekas Hanim memotong.
Dinn Dzakir berkerut dahi. Pelik dengan sikap Hanim.
"Kenapa jangan? Bukan ke kalau saya dah tersalah anggap, saya yang perlu
meminta maaf?" soal Dinn Dzakir kepada Hanim yang dilihatnya sedang berada
dalam keadaan gelisah.
"Sebab.. err.. sebab..," Hanim tidak dapat
meneruskan ayat. Terasa seperti ada sesuatu yang sedang melekat di kerongkong.
Perlukah dia berterus-terang sahaja?
Dia juga sebenarnya tidak sanggup bersubahat dengan Lia
dan tidak sanggup juga mahu melihat Dinn Dzakir berterusan menjadi mangsa
penipuan Lia. Hanim percaya, selepas insiden yang berlaku pagi tadi, tidak mustahil
Lia akan merencanakan penipuan yang lain pula untuk terus menarik perhatian
lelaki itu.
"Awak tahu apa sebabnya?" Dinn Dzakir cuba
menduga. Kegelisahan Hanim menarik minatnya untuk terus menyoal. Bebola matanya
memberikan perhatian penuh kepada Hanim yang sedang berdiri di hadapan.
Hanim benar-benar gelisah. Sepasang mata Dinn Dzakir yang
tidak lepas daripada terus memandangnya, membuatkan jiwanya semakin tidak
tenang. Kacau bilau dibuatnya dengan renungan lembut sebegitu. Aduhai Encik
Zakir. Tolonglah jangan tengok saya macam tu. Sempat hatinya berbisik.
"Sebab, apa yang Encik Zakir sangkakan tu, memang..
err.. memang betul. Lia.. dia.. dia cuma membuat helah dengan berpura-pura
pengsan supaya..,"
"Supaya saya berikan perhatian pada dia. Macam tu ke?"
Dinn Dzakir lekas-lekas memotong dengan membuat telahan.
Hanim benar-benar berasa bersalah terhadap Lia. Lalu,
hanya anggukan kecil sahaja yang diberikannya kepada lelaki itu. Lia,
maafkanlah aku. Aku terpaksa buat begini sebab aku sayangkan kau. Sebagai
kawan, aku tak mahu kau terus buat perangai tak elok. Mulut Hanim
bergerak-gerak menuturkan luahan itu secara senyap-senyap.
"Tapi Encik Zakir jangan salah sangka. Lia buat
macam tu sebab dia.. err.. dia sukakan Encik Zakir," Hanim tunduk. Apakah betul
tindakannya ini? Meluahkan perasaan bagi mewakili temannya, Lia?
No comments:
Post a Comment