HANIM
masih terbayang-bayang kejadian beberapa hari yang lepas. Tergamaknya Lia
menipu Dinn Dzakir hanya semata-mata untuk menarik perhatian lelaki itu. Tidak
segan silu pula Lia mengakui yang dia gembira apabila Dinn Dzakir menyentuhnya.
Astaghfirullahalazim.. Hanim beristighfar sambil mengurut dada.
Namun tidak disangka-sangka Hanim, Dinn Dzakir awal-awal
lagi dapat menghidu taktik Lia. Ketika itu, Hanim begitu malu apabila berdepan
dengan Dinn Dzakir. Kesilapan si teman sedikit sebanyak mengundang rasa aib
padanya juga. Sayangnya dia kepada Lia sehingga sanggup menjadi wakil untuk meluahkan rasa cinta Lia terhadap
lelaki itu tanpa diketahui oleh Lia sendiri.
Hanim yakin, kalau Lia tahu pasti temannya itu tidak akan
memarahinya bahkan akan mengucapkan terima kasih kepadanya. Walaupun jauh di
sudut hati Hanim sendiri mengakui yang dia juga turut menyukai Dinn Dzakir,
tetapi dia tidak sanggup meluahkannya kepada Lia. Nanti apa pula anggapan Lia.
Pasti temannya itu makin tidak berpuas hati dengannya.
"Oi, jauhnya termenung!" Suara Lia mengejutkan
Hanim daripada lamunan.
Tangannya yang sedang mengelap meja terus berhenti
bekerja. Kerusi ditarik untuk melabuhkan duduk di sebelah Lia yang sedang
mengunyah karipap.
Mentang-mentanglah Dinn Dzakir suka makan karipap,
tiap-tiap hari temannya itu makan karipap. Sedangkan, kuih karipap itulah yang
paling tidak disukai Lia.
Hanim mencebik sedikit sambil menggeleng apabila melihat
telatah Lia yang satu itu. "Kau ni kan, tak habis-habis nak
berlakon."
Lia menoleh. Kunyahan karipap di dalam mulutnya itu
semakin perlahan apabila mendengar kata-kata Hanim. "Berlakon?"
"Dalam mulut kau itulah. Makan karipap ye? Setahu
aku, kau kan tak suka makan karipap. Ini sejak bila pulak kau pandai makan
karipap? Bukan ke berlakon namanya ni?" Sindir Hanim sambil tersenyum
nipis.
Lia menyapu mulut. Karipap yang tinggal separuh
diletakkan di atas piring. "Kau pun tahu kan, Encik Zakir suka makan
karipap. Jadi, mulai sekarang aku kenalah ikut citarasa dia. Nanti bila dia
tahu yang aku ni banyak persamaan dengan dia, tak mustahil dia akan meluahkan
rasa cintanya pada aku."
Hanim mencemikkan muka. Hampir-hampir mahu termuntah dia
dengan pengakuan Lia. "Lia, boleh tak kau jangan meletakkan harapan yang
tinggi pada seseorang? Aku takut kau kecewa nanti."
Lia berkerut dahi sebelum membalas bicara Hanim.
"Eh, salah ke kalau aku buat macam tu?"
"Memang salahlah. Aku risau tengok keadaan kau ni. Bersungguh-sungguh
nakkan Encik Zakir tu sedangkan kau tak tahu berkemungkinan besar Encik Zakir
tu dah ada kekasih," tebak Hanim.
Lia membulatkan mata. "Encik Zakir dah ada kekasih
ke?"
"Tak adalah macam tu. Tapi, manalah tahu kan kalau
dia dah ada teman istimewa dan cuma kita saja yang tak tahu. Daripada kau terus
nak berlakon macam ni, aku rasa lebih baik kalau kau sendiri yang pergi tanya
dia," Hanim membuat usul.
"Seganlah aku nak tanya dia."
"Erm, tahu pun kau segan ye? Habis, yang kau duk
berlakon pengsan tu, kau tak rasa segan? Tak rasa malu? Kalau kau tak rasa malu
pada Encik Zakir sekalipun, sekurang-kurangnya kau malulah pada diri kau
sendiri," bidas Hanim lembut. Mengawal suara sehabis mungkin supaya Lia
tidak berkecil hati.
Lia tunduk mendengarkan kata-kata Hanim. Tidak dinafikan,
bicara Hanim itu memang ada benarnya. "Eee, susahnya!" Lia bingkas
berdiri lalu menuju ke sinki. Paip dibuka untuk mencuci tangannya yang sedikit
berminyak.
Hanim memandang tingkah Lia dengan menggeleng beberapa kali.
Dia tahu, Lia nampaknya sedang terdesak untuk mendapatkan Dinn Dzakir. kasihan
sungguh!
Bunyi deringan telefon bimbit meredakan suasana yang
kelihatannya sedikit tegang itu. Bersegera Lia mendapatkan telefon bimbitnya
yang berada di dalam tas tangan. Tertera sebaris nama ibunya yang sedang
membuat panggilan.
"Hello, mak."
"Lia, balik cepat. Ayah kamu masuk hospital!"
"Masuk hospital?!" Buntang mata Lia.
Hanim yang mendengar suara cemas Lia, lekas-lekas berdiri
lalu menghampiri Lia yang sedang berwajah terkejut.
"Kenapa dengan ayah? Ayah sakit apa?" Soal Lia
sambil diperhatikan Hanim. Temannya itu juga turut sama berwajah cemas sambil
membuat memek muka seolah-olah ingin tahu benar apa yang sedang berlaku.
"Mak rasa ayah kamu kena stroke. Balik cepat, ya
Lia!"
"Ba.. baiklah mak."
Talian diputuskan. Lia mengurut dada seketika sebelum dia
ditenangkan Hanim.
"Kenapa dengan ayah kau Lia?" Soal Hanim. Riak
wajahnya benar-benar menunjukkan yang dia ingin tahu.
"Ayah aku kena stroke..," jawabnya lemah. Tidak
semena-mena, air matanya merembes keluar.
"Dah tu kau tunggu apa lagi? Pergilah balik kampung
sekarang," gesa Hanim.
"Masalahnya aku tak ada duit nak balik kampung
sekarang ni. Kau tahulah kan, kita belum dapat gaji lagi," jawab Lia.
Tangannya sedikit menggigil.
Hanim memicit dahi. Kasihannya Lia. Tentu dia sedang
terdesak sekarang. Apa yang boleh aku buat? Hanim berkira-kira.
"Hanim, macam mana ni? Aku.. aku nak balik tengok
ayah aku kat hospital tu tapi aku tak ada duit," Lia semakin cemas.
"Takkan kau tak ada duit langsung kut? Dalam
simpanan bank pun tak ada jugak ke?"
Lia menggeleng laju.
Hanim mengeluh panjang. Kasihannya Lia. "Macam ni
lah, apakata kalau kau guna duit aku dulu," usul Hanim.
"Kau ada duit ke?" Soal Lia seperti tidak yakin.
"Ada la seratus dua dalam BSN aku tu," jawab
Hanim.
"Boleh kau pinjamkan aku dua ratus?" Pinta Lia
sambil berwajah simpati.
"Tentulah boleh. Aku ni kan, kawab baik kau. Apa
gunanya aku ada kalau tak boleh tolong kau," Hanim menggenggam tangan Lia
sambil menggosok belakang Lia untuk cuba menenangkan Lia.
"Terima kasih. Terima kasih banyak-banyak,"
ucap Lia sambil memeluk tubuh Hanim.
"Dahlah, sekarang kau pergilah balik dulu dan
kemaskan pakaian. Nanti aku turun bawah untuk keluarkan duit. Lepas tu kau
tunggu aku kat rumah, ya?" Hanim memujuk Lia yang sedang bersedih.
TERKOCOH-KOCOH
Hanim keluar dari perut lif. Laju sahaja kakinya menapak menuju ke arah Bank
Simpanan Nasional yang terletak di seberang jalan.
Setibanya di mesin ATM, begitu ramai yang beratur untuk
mengambil duit. Di hadapannya sudah ada dua belas orang! Mak ai.. gile kentang
punya ramai manusia! Hanim menyumpah dalam hati. Sementara di belakangnya pula
tidak ada sesiapa. Dia adalah orang yang terakhir.
"Nak ambil duit ke?"
Suara seorang lelaki yang cukup dikenalinya tiba-tiba
menjamah gegendang telinga. Orang ni tanya aku ke, atau tanya siapa? Hanim
bersoal jawab sendiri sambil berpaling perlahan-lahan untuk melihat milik
siapakah gerangannya suara itu.
Erk! Dinn Dzakir.. Hanim teguk liur. Kemudian, dia
tersenyum manis.
"Alahai, manis sungguh senyumnya. Bila Hanim nak
jadi isteri saya ni?" Dinn Dzakir mengusik sambil tersengih.
Hanim tunduk dan kemudiannya meramas kedua-dua tangan.
Usikan Dinn Dzakir secara spontan itu mengundang aksi wajahnya yang tidak
menentu. "Encik Zakir ni, kalau tak mengusik saya dalam satu hari tak sah
ke?"
Dinn Dzakir menggeleng. Tersenyum-senyum dia dengan
bicara Hanim. "Entahlah, Hanim. Saya ni kan, berani mengaku depan awak..
kalau tak mengusik awak, rasanya macam hidup saya ni tak lengkap pulak."
"Pandai aje nak menipu," bidas Hanim secara
membuta tuli.
"Saya cakap betul ni."
"Iyalah tu," bibir Hanim memuncung.
Dinn Dzakir kelu lidah. Tidak tahu lagi bagaimana hendak
membalas kata.
Hanim pula tiba-tiba berpusing ke hadapan semula dan
tidak lagi berpaling ke belakang untuk memandangnya. Entah kenapa saat itu,
pandangan mata lelakinya agak nakal apabila dengan sengaja memerhati susuk
tubuh Hanim daripada belakang.
Tinggi lampai, berbaju kurung, berhijab separa bahu dan
berkasut tidak bertumit. SubhanAllah, cantiknya dia. Kemudian, wajahnya diraup
sekali dua untuk menghilangkan aura negatif yang sedang mengalir dalam dirinya.
Astaghfirullahalazim.. ucapnya dalam hati. Kemudian, dia
menoleh ke sebelah sisi. Mata oh mata, tolong kawal sikit! Marahnya pada diri
sendiri. Terasa pula dirinya berdosa apabila dengan sengaja bermata nakal
sebentar tadi.
"Saya tanya tadi, Hanim tak jawab lagi. Hanim nak
ambil duit ke?"
Hanim yang merasakan suara Dinn Dzakir begitu hampir pada
telinganya, mula bergerak sedikit ke hadapan. Namun begitu, langkahnya terpaksa
dipendekkan oleh kerana di hadapannya itu ada seorang lelaki yang sedang
beratur. Alahai, Encik Zakir. Tolonglah jangan rapat-rapat sangat. Rayunya sekadar
di dalam hati.
"Nak ambil duit la. Takkan saya nak jual jamu pulak
kat sini?" Hanim senyum. Terasa lucu benar dengan jawapan yang diberi.
Dinn Dzakir semakin merapatkan jarak. Sengaja pula dia
mendekatkan kepalanya ke sisi wajah Hanim daripada belakang. "Ooo.. Hanim
pandai buat loyar buruk ye?"
Saat itu juga Hanim terperanjat. "Mak!" Sepatah
dia melatah.
Dinn Dzakir tergelak kecil. Lekas-lekas dia melarikan
kepalanya agar tidak terlalu hampir dengan wajah gadis itu lagi. Nakal sungguh
dia hendak menyakat. Maklum sahajalah, kalau hati sudah berhari-hari terpikat.
Sikap mengusiknya itu boleh dikatakan secara spontan terjadi.
"Ada penyakit latah rupanya Cik Hanim kita ni,
ya?" Sakatnya lagi seolah-olah tidak mahu berhenti.
Mendengarkan usikan itu, Hanim ketap bibir. Marahkah dia?
Tidak. Bukan marah sebenarnya tetapi ada satu lagi perasaan aneh yang sedang
menjentik-jentik tangkai hatinya. Jantungnya pula berdegup lain macam sahaja.
Kenapakah begini? Apakah perasaan ini? Hanim tidak
mengerti. Sukakah dia? Tidak, dia tidak boleh suka. Mahu sahaja diusirnya
jauh-jauh perasaan aneh itu agar tidak lagi menguasai dirinya selepas ini.
"Encik Zakir buat apa pulak kat sini?" Soalnya
kembali sekadar mahu menghilangkan rasa berdebarnya tadi.
Tetapi, tiada pula jawapan yang keluar daripada suara di
belakang. Sunyi sahaja. Hanim pelik. Segera dia berpaling dan mendapati Dinn
Dzakir sudah tiada di situ. Aik? Mana pulak dia pergi? Ghaib macam itu saja?
Hanim garu kepala.
Encik Zakir ni hantu ke apa? Ish, kuat sungguh berkhayal.
Desis hatinya. Kemudian, dia memusingkan pula tubuhnya ke hadapan dan mendapati
masih ada lapan orang lagi yang sedang beratur.
Selama beberapa minit berlalu, secara senyap-senyap Dinn
Dzakir kembali beratur di belakang Hanim. Di tangannya pula ada sejambak bunga
yang sempat dibelinya di kedai bunga berhampiran.
Inilah masanya untuk dia betul-betul serius mahu memikat
Hanim. Tidak mahu lagi dia bertangguh lama-lama kerana bimbang andaikata Hanim
terlepas ke tangan orang lain.
Tambahan pula dengan pengakuan Hanim mengenai isi hati
Lia yang menyukainya beberapa hari lepas, menimbulkan rasa tidak senang di hati
lelakinya. Apatah lagi Hanim dan Lia itu berkawan baik. Adalah lebih baik kalau
Lia faham-faham sendiri yang dia lebih berminat kepada Hanim.
Depan-depan orang ramai mahu memikat Hanim? Dan, mesin
ATM menjadi saksi? Aduh.. ditepuknya dahi perlahan. Sudah tidak betul agaknya
dia. "Hanim," panggilnya secara berbisik.
Sekali lagi Hanim terperanjat. Diurutnya dada beberapa
kali. Encik Zakir ni memanglah! Segera dia berpaling dan mendapati Dinn Dzakir
sedang beratur di belakangnya sambil menghadiahkan sebaris senyuman yang sukar
hendak dimengertikan.
Di tangan jejaka itu pula terdapat sejambak bunga ros
berwarna merah. Untuk Liakah? Hanim membuat telahan. Pasti bunga itu untuk Lia.
Mungkin aku diutuskan untuk menyampaikannya kepada Lia. Hanim terus
berteka-teki.
"Bunga ni saya belikan untuk Hanim. Sudi tak Hanim
terima?" Tangan dihulur agar si gadis yang sedang berdiri di hadapan mula
mengambil bunga itu daripada tangannya.
Erk, untuk aku? Bukan untuk Lia ke? Berkerut-kerut wajah
Hanim tika itu. Riak wajahnya seperti tidak percaya yang bunga itu adalah
untuknya dan bukan untuk Lia. "Betul ke untuk saya?"
Dinn Dzakir angguk. "Ambiklah."
"Tapi.. ke.. kenapa Encik Zakir beri pada saya?
Sepatutnya untuk Lia, kan?"
Dinn Dzakir merengus kecil sebaik Hanim menyebut nama
Lia. "Kenapa pula untuk Lia? Dah saya katakan, bunga ni untuk Hanim."
"Bukan ke hari tu, saya dah beritahu yang Lia
sukakan Encik Zakir. Sepatutnya, bunga ni untuk dialah. Bukan untuk saya,"
jawab Hanim secara berterus-terang. Namun, jauh di sudut hati yang dia begitu
teruja mahu mengambil bunga itu daripada tangan Dinn Dzakir.
Tetapi oleh kerana mengingatkan bahawa teman baiknya Lia
ada menaruh hati kepada lelaki itu, serta-merta perasaan terujanya itu
dihambatnya jauh-jauh.
"Saya tahu tu tapi itu tak bermakna yang saya juga
harus membalas perasaan suka itu kepada Lia?"
"Tapi kenapa pulak? Lia tu cantik apa."
"Cantik saja tidak menjaminkan apa-apa kalau
seseorang itu tidak mempunyai sikap yang baik. Lagipun, hati saya pada orang
lain. Dah lama pada orang lain. Rasanya, dah hampir seminggu kut," jawab
Dinn Dzakir dengan begitu yakin. Ditatapnya wajah Hanim lama-lama sehingga
gadis itu terpaksa melarikan pandangannya ke arah lain beberapa kali.
"Jadi, bunga ni untuk saya? Hati Encik Zakir pulak
pada siapa?" Hanim menyoal sekadar menduga. Naluri perempuannya tiba-tiba
sahaja kuat menyatakan bahawa dialah orang yang dimaksudkan Dinn Dzakir itu.
Perasankah dia? Tidak. Dia tidak perasan. Memang sejak
dari awal-awal perkenalannya dengan Dinn Dzakir lagi, lelaki itu sudah
memandangnya dengan satu pandangan yang cukup istimewa. Dia sedar semua itu.
Daripada lenggok percakapan Dinn Dzakir terhadapnya juga, dia sudah boleh
merasai sesuatu.
Namun, belum pun sempat Dinn Dzakir mahu menjawab
pertanyaan itu, sudah tiba giliran Hanim untuk mengeluarkan duit daripada mesin
ATM berkenaan.
Hanim mengigit jari. Alahai Encik Zakir ni. Tak boleh ke
berdiri jauh-jauh sikit? Dahlah dia tu tinggi. Nanti kalau dia ternampak baki
duit dalam akaun BSN aku ni, aduhai malunya. Hanim bermonolog sambil tangannya
teragak-agak mahu memasukkan kad ATM ke dalam pemacu mesin tersebut.
Selesai mengeluarkan duit, terpampang jelas baki yang
masih tinggal di dalam akaun BSN kepunyaan Hanim itu. Aduhai, RM20 saja?
Kemudian, sengaja dia merapatkan dirinya ke arah mesin berkenaan agar skrin
mesin itu terlindung dek tubuhnya. Harapannya agar Dinn Dzakir yang masih
berdiri di belakang tidak nampaklah baki duitnya itu.
Selesai mengambil resit, Hanim lekas-lekas berganjak ke
tepi. Tiba pula giliran Dinn Dzakir yang hendak mengeluarkan duit. Ooo.. dia
nak ambil duit jugak rupanya. Ingatkan memang sengaja beratur kat belakang aku
ni sebab nak berbual-bual. Hanim berbicara sendiri.
"Tolong pegang bunga ni sekejap. Susah saya nak
keluarkan duit nanti. Tangan saya cuma ada dua je. Lagipun, bunga ni
besar." Dinn Dzakir sekali lagi menghulurkan sejambak ros merah itu kepada
Hanim.
Mahu tidak mahu, Hanim terpaksa mengambilnya juga sambil
sepasang matanya liar meninjau keadaan sekeliling. Bimbang benar dia andaikata
kelibat Lia tiba-tiba sahaja muncul di situ sedangkan temannya itu sudah lama pulang
ke rumah.
"Alang-alang Hanim dah pegang bunga tu, Hanim terima
sajalah, ya?" Dinn Dzakir sempat mengenyitkan mata kiri di hujung
bicaranya.
Hanim terlopong. Membulat matanya tika itu. Segera dia
tunduk sambil berpura-pura sibuk membelek bunga yang sedang berada di tangan.
Kemudian, Hanim bertindak nakal apabila dengan sengaja
memanjangkan leher untuk melihat ke arah skrin mesin ATM yang sedang digunakan
Dinn Dzakir.
Sedang lelaki itu kusyuk memberi sepenuh perhatian pada
mesin ATM tersebut, Hanim mengambil kesempatan untuk melihat duit baki simpanan
Dinn Dzakir itu. Aduhai, dalam baik-baik dia pun masih sempat juga bertindak
nakal.
Aik? Bakinya cuma RM100 saja? Tak padan dengan berjawatan
tinggi, baki duit dalam BSN cuma RM100? Hanim tergelak kecil. Mulutnya ditutup
agar tawanya tidak terhambur keluar.
Dinn Dzakir yang baru sahaja menyedari perlakuan Hanim
itu, mula berlapis-lapis dahinya. Pelik benar dia dengan gadis yang seorang
ini. "Ketawa sorang-sorang pulak dah? Apa yang lucunya?"
"Tak.. tak ada apa-apa," jawab Hanim sambil
diiringi gelak kecilnya lagi. Susah benar nampaknya dia mahu menghentikan tawa
kecilnya itu.
"Jom,"
"Err.. nak ke mana?"
Dinn Dzakir memerhati jam di pergelangan tangan.
"Dah pukul 5 ni. jomlah saya tolong hantar awak balik."
Hanim menggaru pipi. Berasa ragu-ragu hendak menerima
pelawaan itu. Mahukah dia? Percayakah dia kepada Dinn Dzakir? Sejambak bunga
yang masih berada di tangan, dikucupnya berkali-kali. Harumnya bau. Lebih
kurang baunya sama seperti Encik Zakir pula. Desis hatinya.
"Hanim," panggil Dinn Dzakir.
Hanim angkat muka. Entah kenapa, boleh pula dia berkhayal
sekejap.
"Marilah saya tolong hantarkan awak."
"Tak apalah, Encik Zakir. Saya masih ada kerja sikit
lagi kat atas tu," tolak Hanim secara berhemah.
"Kerja apanya lagi? Dah pukul 5 ni. Semua orang dah
balik. Tak ada siapa lagi yang nak suruh awak buatkan air. Dah, jom
balik," Dinn Dzakir bertegas.
Hanim mencebik. Sengal betul mamat ni. Sesuka hati dia
saja nak mengarahkan orang. Kutuknya perlahan.
GULUNGAN
lukisan pelan itu diletak ke tepi. Perutnya tiba-tiba sahaja berkeroncong minta
diisi. Jam di dinding menjadi tumpuan. Sudah pukul 8.30 malam. Lantas, dia
bergerak menuju ke dapur untuk mencari makanan.
Bibir melebar dengan senyuman saat matanya tertala ke
arah si ibu yang sedang sibuk menyusun lauk di atas meja. Kemudian, bersegera
dia mendekati ibunya yang sedang leka. Disergahnya perlahan sebelum senduk naik
atas kepala.
"Kalau tak usik mak tak boleh ke Din?!" Marah
Mak Tijah.
"Mak ni. Orang nak bergurau sikit pun takkan tak
boleh. Laju aje tangan mak tu dah naik. Nasib baiklah senduk tu tak kena muka
saya," rungut Dinn Dzakir sambil menarik kerusi. Dilabuhkan duduknya di
situ lalu tangannya pantas membuka
tudung saji.
Mata dipejam seketika sambil hidungnya mengambil bau
aroma masakan-masakan ibunya yang terhidang di atas meja. "Mana dapat ikan
patin ni, mak?"
Mak Tijah yang masih sibuk menumis sambal ikan bilis mula
mengalihkan tumpuan kepada anak sulungnya itu. "Pak Akob yang bagi petang
tadi."
"Rajin betul ye Pak Akob tu hantar ikan-ikan yang
dia pancing kat sungai tu pada mak. Pak Akob ni ada apa-apa ke dengan
mak?" Dinn Dzakir tersengih.
Mak Tijah yang mendengarkan soalan itu mula mendekati
Dinn Dzakir. "Apa kamu ni? Suka fikir yang bukan-bukan?"
"Manalah tahu kalau Pak Akob tu ada hati pada mak.
Lagipun, mak saya ni masih lagi
cantik," pujinya.
Mak Tijah mencebik. Anak sulungnya itu kalau sehari tidak
memuji memang tidak lengkap jadual harian.
Begitulah Dinn Dzakir, seorang anak yang suka mengusik
dan sering memuji dirinya. "Kamu jangan nak mengarut. Daripada kamu asyik
memikirkan pasal mak ni, adalah lebih baik kalau kamu fikirkan tentang masa
depan kamu tu. Sampai sekarang tak kahwin-kahwin. Apa nak jadi ni?"
"Jadi apa pulak?"
"Jadi macam kamu ni lah. Umur dah 31 tahun tapi
sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi. Sampai bilalah agaknya mak yang dah tua
ni boleh timang cucu," Mak Tijah menarik nafas seketika.
"Sudah-sudahlah tu kamu asyik fikirkan
tentang adik-adik kamu saja. Lagipun mereka tu semuanya dah besar panjang. Dah
bekerja pun. Cuma tinggal si Nia sorang sajalah yang perlu kamu tanggung. Jadi
mak rasa, dah sampai masanya untuk kamu fikirkan tentang diri sendiri,"
rungut Mak Tijah sambil berlalu mendekati dapur gas semula untuk menutup
apinya.
Sebiji mangkuk diambil dari atas rak lalu menyeduk sambal
tumis ikan bilis itu dari dalam kuali.
"Nantilah dulu mak. Bila dah sampai seru, saya
kahwinlah," jawabnya bersahaja.
"Kalau nak tunggu sampai seru, mungkin mak ni mati
dulu agaknya," Mak Tijah menghampiri meja semula lalu diletakkan mangkuk
yang berisi sambal tumis ikan bilis itu di atas dulang bersama lauk pauk yang
lain.
Dinn Dzakir mendongak sambil kepalanya juga turut sama
digaru. "Insya-Allah mak. Dalam masa terdekat ni saya akan bawa balik
bakal menantu mak dan perkenalkan dia pada mak."
Mak Tijah membuntang mata. Bersegera dia mengambil tempat
di sebelah Dinn Dzakir. Teruja benar riak wajahnya saat itu. "Siapa?"
Dinn Dzakir menoleh. Memerhati ibunya yang sedang
bersungguh-sungguh. "Nama dia.. Hanim."
"Kerja ke tidak?"
"Kerja," sepatah Dinn Dzakir menjawab.
"Kerja apa?"
"Kerja biasa-biasa je."
"Kerja biasa-biasa tu, kerja apa?"
"Bancuh minuman."
"Kat restoran mana kamu jumpa dia?" Soal Mak
Tijah tanpa henti.
Dinn Dzakir tersenyum melihat aksi gembira ibunya itu
tetapi soalan yang terakhir itu membuatkan dia berasa geli hati pula.
"Bukan pembancuh minuman kat restoran, mak."
"Dah tu?" Mak Tijah makin teruja riak wajahnya.
Berkali-kali dia mencuit lengan Dinn Dzakir.
"Dia kerja di syarikat yang sama tempat saya
bekerja."
"Ooo.. cantik ke orangnya?" Mak Tijah tersenyum
lebar. Berminat benar dia mahu mengetahui keseluruhan cerita Dinn Dzakir
mengenai bakal menantunya itu.
Dinn Dzakir angguk. "Cantik."
"Macam mana perangainya? Elok ke tidak? Kalau cantik
aje tapi perangai tak senonoh, awal-awal lagi mak tak berkenan tau," Mak
Tijah mengingatkan.
"Dia baik. Baik sangat. Suka bertolak ansur dan suka
menolong. Pemalu, sopan.. boleh di katakan, memang sesuailah kalau saya nak
jadikan dia sebagai isteri," jawabnya dengan riak wajah tenang dan
membayang-bayangkan bagaimana rupa dan sikap Hanim yang selalu dia lihat di
pejabat.
"Dia pakai tudung tak?" Mak Tijah tidak puas
menyoal.
"Pakai. Mak jangan risau tentang perkara tu. Kalau
tak pakai tudung, awal-awal lagi saya dah reject," Dinn Dzakir memberi
jaminan.
"Baguslah tu. Tapi, kalau dia tak pakai tudung
sekalipun dan perangainya elok, tak salah kalau kamu jadikan dia sebagai
isteri. Nanti bila dah kahwin, perlahan-lahanlah kamu didik dia. Mak rasa zaman
sekarang ni pun, kalau perempuan pakai tudung, belum tentu perangainya elok.
Belum tentu cukup solatnya 5 waktu," Mak Tijah seakan-akan bertazkirah.
"Yalah, mak. Betul lah tu. Saya pun setuju dengan
pendapat mak tu."
Mak Tijah tersenyum kemudian diakhiri dengan menadah
kedua-dua tangan. Bersyukur nampaknya dia. "Alhamdulillah. Akhirnya anak
mak ni terbuka juga hati dia nak berkeluarga."
Dinn Dzakir tersenyum. "Tapi mak. Saya.. saya belum
beritahu dia lagi."
"Beritahu apa pulak?"
"Beritahu yang saya sukakan dia."
"Ya Allah.. kenapalah kamu ni lambat sangat? Nanti
kalau si budak Hanim tu terlepas ke tangan orang lain, macam mana?"
"Saya percaya dengan ketentuan Allah, mak. Kalau dah
ditakdirkan saya ada jodoh dengan dia, takkan lari ke mana dia tu," jawab
Dinn Dzakir seolah-olah yakin benar dengan kata-katanya.
No comments:
Post a Comment