TOYOTA
VIOS
putih miliknya dibelok masuk ke tempat parkir. Dari rumah lagi Dinn Dzakir
begitu bersemangat untuk datang ke pejabat. Manakan tidak, si gadis yang
menjadi pujaan hati juga bekerja di tempat yang sama. Biarlah kalau di katakan
gadis itu tidak harus menjadi temannya berikutan cakap-cakap yang tidak enak
didengarnya di syarikat itu.
Ada desas-desus mengatakan bahawa gadis pembancuh air itu
tidak sesuai untuk dia jadikan teman hanya di sebabkan mereka berbeza dari segi
bidang pekerjaan. Dinn Dzakir tidak peduli itu semua.
Lagipun, dia bukanlah berasal dari keluarga berada. Dia
juga seperti Hanim, mempunyai latar belakang kehidupan dari keluarga yang
biasa-biasa sahaja. Yang mempunyai corak kehidupan sederhana.
Baginya, berbeza jawatan dan kedudukan di dalam syarikat
langsung tidak menjadi hal. Itu semua tidak penting. Apa yang penting bila hati
sudah suka, Hanim akan menjadi miliknya.
Niatnya ikhlas mahu memperisterikan gadis itu walaupun
sehingga ke hari ini, perasaannya itu masih belum diluahkannya secara formal.
Hanya usikan dan kata-kata kiasan sahaja yang sentiasa dituturkannya kepada
Hanim. Entah gadis itu mengerti atau tidak, dia sendiri pun tidak tahu.
Langkah dipercepatkan untuk memasuki bangunan lima
tingkat itu. Hari ini entah kenapa dia tidak mahu menggunakan tangga. Lif pula
yang menjadi pilihan untuk ke tingkat
tiga.
Mungkin hatinya sudah tidak sabar lagi mahu menemui
Hanim. Melihat sahaja wajah si bujur sirih itu, bisa menenangkan hatinya untuk
tempoh sehari. Jadi dengan penggunaan lif, dia lebih cepat sampai. Begitulah
perkiraannya.
Sebaik memasuki lif, tidak disangka-sangka pula dia bertembung
dengan Hanim. Secara berdua pula itu. Lia mana agaknya? Dia menyoal sendiri
sambil melemparkan senyumannya kepada Hanim. Gadis itu membalas.
Alahai Encik Zakir ni. Kenapa hari ni tiba-tiba saja dia
menggunakan lif? Selalunya naik tangga aje. Apa mimpilah pulak orang tua ni
agaknya. Bebel Hanim sekadar dalam hati.
Kemudian, dia tertawa kecil. Entah kenapa, gelaran 'orang
tua' yang diberikannya kepada Dinn Dzakir itu membuatkan dia berasa geli hati.
Tua ke? Soalnya sendiri. Tualah agaknya kalau umur pun dah 31 tahun. Aku ni
baru saja 23 tahun. Jauh juga beza umur aku dengan Encik Zakir ni. Begitu
banyak sekali Hanim bermonolog sendiri.
"Selamat pagi, Encik Zakir," ucapnya perlahan.
"Selamat pagi si manis," jawab Dinn Dzakir
dalam nada memuji. Sengaja memberikan renungan lembutnya kepada Hanim.
Eleh, manislah sangat aku ni kan. Hanim berkata-kata
sendiri. Kacaknya dia hari ini. Kemeja warna ungu gelap yang dipakainya itu,
sangat sesuai dengan kulitnya. Segak betul. Hanim memuji tetapi hanya mampu terluah
di dalam hati.
Kalaulah dia memuji begitu di hadapan Dinn Dzakir, mahu
sahaja lelaki itu mengajaknya bernikah dalam kadar yang segera! Hanim
tersenyum-senyum. Banyak betul dia berkhayal pagi ini. Semuanya gara-gara Dinn
Dzakir.
Suasana menjadi hening kemudiannya. Entah kenapa, Hanim
diam, Dinn Dzakir pun diam. Masing-masing hanya melemparkan pandangan ke
hadapan. Sesekali Hanim tunduk meramas tangan. Nampak ada sinar kegelisahan di
wajahnya itu. Berdebar mungkin apabila hanya berdua sahaja berada di dalam lif
dengan lelaki itu.
Dinn Dzakir pula hanya memberi tumpuan kepada
butang-butang yang tertera angka di hadapan. Sesekali juga di menoleh ke arah
Hanim yang sedang berdiri di sebelah. Di tangannya pula terdapat beg kertas
yang berisi mangkuk tingkat.
Malam tadi dia sudah berpesan kepada ibunya yang dia mahu
membawa bekal ke pejabat pagi ini. Disuruhnya si ibu membuatkan nasi lemak
untuk dimakan seramai tiga orang. Dia, Hanim dan Lia.
Hajatnya mahu bersarapan bersama Hanim sahaja di dalam pantri.
Tetapi, mahukah si Hanim itu untuk diajak makan bersama kalau teman baiknya Lia
tidak diajak sekali? Mahu tidak mahu, awal-awal lagi dia berpesan kepada ibunya
supaya membuat nasi lemak itu lebih sedikit.
Tetapi dia hairan kerana kelibat Lia tidak pula
kelihatan. Kemudian, bahu dijungkit sekali dua. Kalau Lia tidak ada, lagi
bertambah sukalah dia. Kemudian, dia terangguk-angguk. Hanim yang berdiri
begitu hampir dengannya, dijeling dengan hujung mata. Bibirnya pula makin lebar
dengan senyuman.
"Nanti kita sarapan sama-sama, ya?" Pelawa Dinn
Dzakir tanpa menoleh.
Hanim yang sejak tadi hanya tunduk menekur lantai lif,
mula mengangkat muka. "Seganlah saya nak makan berdua dengan Encik Zakir.
"Bukan berdua tapi bertiga."
Hanim mengerutkan muka. "Bertiga?" Soalnya
hairan.
"Bertigalah, sekali dengan Lia. Kalau tak ada Lia,
Hanim bukannya sudi nak makan dengan saya pun, kan?" Dinn Dzakir cuba
menduga dengan soalan itu. Tidak sabar mahu mendengar apa jawapan Hanim.
"Tapi Lia tak ada. Sebab itulah saya segan nak makan
berdua dengan Encik Zakir."
"Lia pergi mana? Dia tak datang kerja ke?"
"Semalam dia balik kampung. Ayah dia masuk hospital,
kena stroke."
"Ooo.. patutlah dari petang semalam lagi saya nampak
Hanim sorang-sorang je. Erm, kenapa tak beritahu saya? Kalau tak, bolehlah
saya temankan Hanim," Dinn Dzakir
sudah mula hendak berbicara mengusik.
Hanim mencebik lalu membalas, "kenapa nak temankan
saya pulak? Saya bukannya budak kecik yang perlu berteman-teman."
"Nak kena temanlah sebab Hanim kan, selalu saja
berdua dengan Lia tu. Tapi sekarang dah tinggal sorang-sorang. Mungkin Hanim
tak ada kawan. Err.. jomlah berkawan dengan saya," usiknya lagi tidak mahu
berhenti.
Hanim tergelak kecil. Terasa lucu dengan kata-kata itu.
"Encik Zakir ni ada-ada jelah. Macam budak-budak aje cakap macam tu."
"Bolehlah, ya.. makan dengan saya. Lagipun, saya ada
bawa bekal nasi lemak hari ni."
"Nasi lemak? Encik Zakir buat sendiri ke?"
Hampir-hampir Dinn Dzakir mahu tersembur dengan soalan
itu. Dia nak buat sendiri? Kalau dia yang buat sendiri, jadi buburlah nasi
lemak itu agaknya.
Teringat dia akan satu peristiwa. Ketika itu dia berusia
19 tahun. Ibunya berpesan supaya masakkan nasi untuk adik-adiknya kerana pada
waktu itu ibunya sibuk bekerja di sebuah kilang kecil membuat batik.
Dengan hanya menggunakan dapur kayu pada ketika itu
kerana ibunya tidak mampu membeli dapur gas, nasi yang ditanaknya menjadi bubur
kerana berlebihan air. Mengingatkan peristiwa itu, Dinn Dzakir tersenyum
sendiri.
"Bukan saya yang buat tapi mak saya yang buat."
"Mak Encik Zakir yang buat?" Soal Hanim dengan
riak wajahnya yang teruja tiba-tiba. Sweet betul lah Encik Zakir ni. Sanggup
menyuruh emaknya buat nasi lemak
semata-mata mahu dibawa ke pejabat? Manalah nak cari lelaki yang macam ni zaman
sekarang? Satu dalam seribu! Desis hati kecilnya.
"Sudi tak Hanim sarapan sama-sama dengan saya?"
Soalnya lagi.
Hanim angguk. "Okey. Saya.. saya sudi."
"Terima kasih. Sudi juga Hanim terima pelawaan saya
untuk makan berdua," ucapnya tenang.
"Kalau macam tu, Encik Zakir bolehlah berikan saya
nasi lemak tu dulu. Nanti saya bawa masuk ke dalam pantri. Err.. Encik zakir
nak minum air apa?"
"Saya nak minum air yang sama macam Hanim.
Boleh?" Dinn Dzakir menoleh sambil bebola matanya menyinggah lama pada
wajah Hanim.
Hanim segera melarikan anak matanya. Ke sebelah dinding
lif pula dia membuang pandang. Tidak sanggup rasanya dia mahu bertentang mata
dengan Dinn Dzakir. Seringkali dia tertewas dengan renungan si jejaka tampan
itu.
"Ikan tenggiri ikan gelama, hasil tangkapan di
tengahari, kalau sungguh bagai dikata, sudikah Hanim saya jadikan isteri?"
Secara spontan Dinn Dzakir berpantun.
Hanim tergelak. "Merepek ajelah Encik Zakir ni. Suka
sangat berguraulah."
"Saya tak bergurau, Hanim. Saya serius," balas
Dinn Dzakir bernada tegas.
Hanim teguk liur. Pipi digaru berkali-kali. "Encik
Zakir, ini perkara berat tau. Saya rasa,
tak eloklah Encik Zakir main-main."
Dinn Dzakir tunduk seketika. Mencari ayat-ayat yang
sesuai supaya Hanim benar-benar percaya dengan pantunnya sebentar tadi.
Kemudian, wajahnya diangkat semula memandang Hanim yang sedang beriak serius
tiba-tiba. "Saya.. saya sukakan Hanim sejak dari mula-mula lagi saya
tengok Hanim dalam pantri."
Sekali lagi Hanim teguk liur. Kali ini lebih keras.
"Suka tu tak bermaksudnya cinta. Takkan begitu mudah Encik Zakir cintakan
saya. Tak mungkinlah."
"Hanim, saya begitu percaya dengan ungkapan cinta
pandang pertama. Hanim tak percaya?"
"Entahlah. Saya tak pernah bercinta jadi saya tak
tahu apa maksudnya dengan cinta pandang pertama," jelas Hanim secara
berselindung. Rasanya dia berbohong.
Sejak kali pertama dia melihat Dinn Dzakir, pandangan
matanya sudah lain macam. Selama ini bukannya dia tidak pernah tengok lelaki
tetapi apabila terpandangkan Dinn Dzakir, pandangannya ternyata berbeza.
Belum sempat Dinn Dzakir mahu membuka mulut untuk
membalas kembali bicara itu, pintu lif sudah terbuka. Pantas sahaja Hanim
melangkah keluar.
"Hanim!"
Hanim berpaling sebaik mendengar namanya diseru.
Dilihatnya Dinn Dzakir sedang menghulurkan beg kertas ke arahnya. Dia tersenyum
dan kemudian menapak empat lima langkah untuk mendekati Dinn Dzakir semula.
Ketika tangannya menyambut beg kertas itu, Dinn Dzakir
tidak pula melepaskannya. Hanim tergamam. Sebelah tangan Dinn Dzakir dan
sebelah tangannya masih memegang beg kertas yang sama.
Sepasang mata di antara kedua-duanya bertentang agak
lama. Saat itu, Hanim kalah. Dia tunduk sebelum Dinn Dzakir melepaskan juga beg
kertas itu kepadanya.
Aduhai Encik Zakir. Kenapalah awak suka sangat mencipta
suasana romantik seperti ini? Hati nakalnya berbisik. Kemudian, dia memandang
Dinn Dzakir semula. Sekali lagi pandangan mereka bertaut.
Sebab saya nak luahkan rasa hati saya pada awak, Hanim.
Sebab itulah saya sengaja buat awak begini. Sengaja buat awak malu-malu dengan
saya. Sengaja buat awak terbuai-buai dengan renungan saya. Dinn Dzakir
tersenyum memandang Hanim sambil berbicara sendiri.
Ketika itu, isyarat mata yang menjadi perantara. Saya
cintakan awak dan awak cintakan saya. Mulut kedua-duanya terkunci rapat tetapi
hanya mata sahaja yang berkata-kata.
"Err.. nanti saya sediakan pinggan dalam pantri dan
buatkan minuman sekali," akhirnya Hanim membuka mulut. Sudah tidak betah
lagi dia mahu berlama-lama di situ. Makin parah jiwanya dengan renungan Dinn
Dzakir yang sebegitu.
Hanim segera beredar tanpa menoleh lagi ke belakang
sementara Dinn Dzakir pula perlahan-lahan mengekori Hanim. Mulutnya
bersiul-siul ketika melewati ruangan kerja staff-staff yang lain. Lagaknya
gembira dan riang sekali. Dinn Dzakir sudah angau!
HANIM
menyusun dua pinggan dan dua cawan berserta piring di atas meja. Teko yang
berisi milo juga diletakkan di situ. Perasaan gembira yang tiba-tiba sahaja
datang menjengah membuatkan hatinya sangat senang dengan mempersiapkan
segalanya di atas meja itu.
Ini kalau Lia tahu, mahu menjerit dia. Hanim berbicara
sendirian sebelum dia disapa Dinn Dzakir yang sedang tercegat berdiri di
hadapan pintu.
"Dah siap?" Soal Dinn Dzakir sambil melangkah
masuk.
Hanim melemparkan senyum manisnya seperti biasa.
"Dah, marilah makan."
Dinn Dzakir menggosok belakang leher sekali dua sebelum
menarik sebuah kerusi untuk melabuhkan duduk. Kemudian, dia mendekatkan
tubuhnya pada meja untuk melihat dengan lebih kusyuk hidangan yang disediakan
Hanim itu. Selepas itu, dia mendongak memandang Hanim yang masih berdiri.
Sebuah senyuman mesra diberikan kepada Hanim. Kemudian,
dia bangun semula. Kerusi ditarik lalu menjemput Hanim duduk. "Takkanlah
nak berdiri saja? Tadi bukan main lagi Hanim cakap sudi nak sarapan bersama
saya. Jomlah duduk."
Lidah Hanim kelu. Terpanar seketika dengan layanan Dinn
Dzakir terhadapnya. Sangat bersopan dan budiman sekali. Dalam keadaan
teragak-agak, dia mula duduk di kerusi yang ditarik Dinn Dzakir untuknya.
"Terima kasih," ucapnya malu-malu.
"Hai, makan berdua aje?" Celah seorang rakan
setugas yang kebetulan melangkah masuk ke pantri.
Dinn Dzakir ketap bibir. Ada sajalah yang datang
mengganggu! Terkumat-kamit mulutnya membebelkan sesuatu.
Hanim yang melihat kedatangan Fizad mula tersenyum ke
arah lelaki itu. "Duduklah Zad, kita makan bersama. Lagipun, nasi lemak
yang Encik Zakir bawa ni ada yang lebih. Kalau Lia ada bolehlah dia makan
sekali. Awak gantikan Lia sajalah ye?"
Apabila mendengarkan kata-kata Hanim itu, Dinn Dzakir
mengeluh. Hanim ni, takkanlah tak faham-faham. Rungutnya dalam hati. Berasa
geram sedikit dengan tingkah Hanim yang dirasakannya begitu lurus.
Tetapi, itulah sebenarnya yang dia suka tentang Hanim.
"Erm, duduklah makan sekali dengan saya dan Hanim," dia mempelawa
Fizad tetapi kedengarannya seperti ajak-ajak ayam sahaja.
"Eh, tak apalah Encik Zakir.. pagi-pagi macam ni
saya sibuk sikit. Nak buat fotostat, nak pergi ke pejabat pos. Lagipun, saya
dah sarapan kat rumah tadi," tolak Fizad dengan ajakan itu sambil berlalu
meninggalkan pantri. Tujuan dia masuk ke situ pun hanya untuk mengambil sebotol
air mineral.
Dinn Dzakir menarik nafas lega. Tersenyum-senyum dia
apabila mendengarkan jawapan itu sementara Hanim pula sudah mencapai sudu untuk
mengambil tumis.
Dinn Dzakir memerhati cara Hanim. Lengan baju kurung
dilipat sedikit. Perlahan-lahan gadis itu menyeduk tumis lalu meletakkannya ke
dalam pinggan kepunyaan Dinn Dzakir. Wah, bestnya. Dilayan seperti anak raja
pula. Bisiknya
"Makanlah, Encik Zakir," pelawa Hanim
bersungguh-sungguh tetapi masih bereaksi malu-malu.
"Hanim pun makanlah sekali. Kenapa letakkan tumis
dalam pinggan saya sorang je? Letakkanlah tumis tu ke dalam pinggan Hanim
sekali. Atau Hanim nak saya yang tolong?" Soalnya dan tanpa berlengah,
sudu yang masih berada di tangan Hanim mula diambilnya. Tanpa disuruh-suruh,
laju sahaja tangannya menceduk tumis lalu diletakkan ke dalam pinggan kepunyaan
Hanim
"Dah, jom kita makan," arah Dinn Dzakir sambil
menadah tangan. Bacaan doa makan mula kedengaran.
Hanim tunduk. Kedua-dua tapak tangan menjadi tumpuan.
Sedapnya alunan suara Dinn Dzakir apabila membacakan doa makan. Walaupun doa
yang dibacanya itu pendek sahaja, tetapi telinga Hanim cukup sejuk
mendengarnya.
Usai berdoa, kedua-duanya bersedia menyuapkan nasi lemak
ke mulut. Hanim pejam mata seketika. Menikmati kelazatan tumis nasi lemak
buatan tangan ibu Dinn Dzakir. "Sedapnya tumis yang mak Encik Zakir buat
ni. Dia berniaga nasi lemak ke?"
Dinn Dzakir angguk lalu tersenyum. "Mak saya tak
jual nasi lemak dah sekarang tapi dia jual kuih-muih saja kat depan rumah. Dulu
pernah la jugak dia buat nasi lemak untuk dijual tapi dah tua-tua ni saya
larang dia buat semua tu. Hanim tahulah kan, orang tua ni dia tak reti duduk
diam. Makin kita tegah, makin bersungguh-sungguh pulak dia buat," ulas
Dinn Dzakir panjang lebar.
Hanim senyum mendengarkan cerita lelaki itu. Kepala
diangguk sekali dua. Tidak disangka-sangka, Dinn Dzakir mempunyai latar
belakang yang serbanya sederhana. Sudah dia agak selama ini yang lelaki itu
mempunyai taraf kehidupan sepertinya juga. Nafas ditarik seketika sebelum
kembali menyuapkan nasi lemak ke mulut.
Dinn Dzakir memerhati jam di tangan. Jarum jam baru
sahaja menginjak ke pukul 8.45 pagi. Ada masa selama lima belas minit lagi
untuk dia berbual-bual dengan Hanim di dalam pantri itu. Sekarang, Lia tiada.
Inilah masanya untuk dia meluahkan rasa hatinya kepada Hanim. Peluang yang
sebaik ini, mana mungkin mahu dilepaskan?
"Hanim.. saya..," bicaranya terhenti. Mengumpul
persediaan sebanyak mungkin untuk menyambung kembali luahan hatinya yang
tergendala di sebabkan pintu lif terbuka tadi.
Hanim yang sejak tadi tunduk, mengangkat sedikit
kepalanya. Wajah Dinn Dzakir diperhati sambil menunggu buah butir yang
seterusnya daripada jejaka itu.
"Hanim, saya nak beritahu tentang hajat saya pada
Hanim. Hajat saya untuk.. untuk memperisterikan Hanim," kali ini bicaranya
agak lancar.
Hanim terkedu sebentar sebelum tangannya lekas-lekas
mengambil teko lalu dituangkan air ke dalam cawan. Kemudian, dihulurkannya
kepada Dinn Dzakir yang sedang membuang pandang ke arahnya. Pandangan mata
lelaki itu pula langsung tidak berkelip.
"Encik Zakir, janganlah bergurau."
"Saya tak bergurau. Saya bersungguh-sungguh
ni."
"Saya tak percayalah dengan niat Encik Zakir
tu."
"Kenapa Hanim tak percaya?"
"Sebab selama seminggu kita kenal, Encik Zakir ni
selalu sangat usik saya dengan cakap-cakap yang macam tu."
"Saya mengusik bukan saja-saja nak mengusik. Ada
maksud tertentu di sebalik apa yang saya katakan tu," ujar Dinn Dzakir
dengan begitu yakin.
Hanim mengerutkan kedua-dua kening. Hampir bercantum pula
di antara kedua-duanya. Kemudian, satu keluhan panjang dilepaskan sebelum
membuka mulut untuk menyambung kata. "Encik Zakir pun tahu kan, yang kawan
saya, Lia suka sangat pada Encik Zakir. Dia jatuh hati pada Encik Zakir. Jadi,
saya tak boleh khianati dia."
"Khianati apa pulak? Saya dengan dia bukannya ada
apa-apa hubungan istimewa," Dinn Dzakir menekan suara. Tegang sahaja kedengarannya.
Kemudian, dia menyambung bicara, "Saya cintakan
Hanim. Benar-benar saya maksudkannya. Saya tak main-main kalau menyentuh soal
cinta. Soal masa hadapan. Sebab selama ni, saya belum pernah jatuh cinta pada
sesiapa. Saya sibuk menjaga urusan keluarga saya. Urusan adik-adik saya
sampaikan saya sendiri tak ada masa untuk fikirkan tentang diri sendiri. Tetapi
sejak saya berjumpa Hanim, segala-galanya berubah. Hanim membuka pintu hati
saya untuk saya mula memikirkan soal hati dan perasaan. Soal masa depan,
kebahagiaan, rumahtangga dan cahayamata."
Hanim benar-benar terkelu lidahnya apabila mendengarkan
pengakuan Dinn Dzakir itu. Bunyinya sangat telus dan jujur. Bagaimana pula
dengan dirinya?
Perasaan aneh yang dirasakannya selama seminggu ini apabila
seringkali berhadapan dengan Dinn Dzakir, adakah itu cinta? Cintakah dia kepada
lelaki itu? Kalau benarlah dalam hatinya juga ada cinta sama seperti apa yang
Dinn Dzakir rasakan terhadap dirinya, bagaimana pula dengan Lia?
Hanim tunduk. Tiada jawapan kepada soalan yang sedang
menerpa ke relung hati. Apa yang pasti, jauh di sudut hatinya sudah ada satu
perasaan istimewa yang sedang bermukim untuk Dinn Dzakir.
No comments:
Post a Comment