DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

KALAU SUNGGUH BAGAI DIKATA - BAB 7



DINN DZAKIR memarkir keretanya di bawah garaj kayu yang dibinanya sendiri beberapa tahun yang lalu. Petang itu dia pulang ke rumah sedikit lewat kerana menghantar Hanim pulang terlebih dahulu.
            Kaki diatur lemah menuju ke arah ibunya yang sedang berniaga kuih di bawah pokok mangga di hadapan rumah. Kepala digeleng sebentar apabila melihat si ibu masih bertungkus-lumus mencari rezeki yang tidak seberapa itu.
            "Sampai bila mak nak berniaga kuih macam ni?" Langsung sahaja dia menyoal sambil melabuhkan duduknya di atas sebuah kerusi plastik.
            "Eh, kamu ni. Bagi salam pun tidak, tiba-tiba je muncul," bidas Mak Tijah sambil menghulurkan plastik kepada seorang pembeli.
            Dinn Dzakir tersenyum. "Assalamualaikum."
            "Haa.. waalaikumussalam," Mak Tijah menggeleng perlahan. Penyepit kuih diletakkan ke dalam bekas seraya melabuhkan duduknya di sebelah si anak yang sedang berwajah kusam.
            "Kenapa dengan muka kamu ni? Semacam je mak tengok? Kamu penat, ya?" Bertubi-tubi Mak Tijah menyoal.
            Dinn Dzakir menggeleng. Malas hendak menjawab pertanyaan itu kerana jiran mereka, Mak Som turut sama berada di situ sambil mengunyah roti sardin.
            Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia meluahkan rasa hatinya kepada Mak Tijah mengenai Hanim. Kebisuan Hanim untuk menjawab pertanyaannya pagi tadi, membuatkan dia berada di dalam keadaan berteka-teki sendiri samada Hanim juga cintakan dia atau sebaliknya.
            Tetapi dengan adanya Mak Som di situ, niatnya terpaksa dibatalkan. Biarlah, tunggu saja malam nanti pasti dia akan bercerita kepada ibunya.
            "Mak tu lah.. sampai bila mak nak berniaga kuih ni? Mak tak penat ke?" Sengaja dia mengubah topik dengan soalan itu.
            Mak Tijah mengeluh sebentar sambil mencapai sehelai kain kecil lalu berpura-pura mengelap daun pisang yang berada di atas meja. Walhal, daun pisang itu sudah dilap oleh Mak Som sebentar tadi.
            "Mak ni bukannya apa. Mak bosan sehari-hari duduk kat rumah tu tak buat apa-apa," jawab Mak Tijah.
            Mak Som yang baru sahaja selesai mengunyah roti sardin, turut sama mahu melibatkan diri dalam perbualan kedua beranak itu. "Biarlah Din.. dah mak kamu ni nak berniaga. Apa salahnya. Mak Som ni ha, petang-petang terasa juga nak makan kuih yang mak kamu buat ni."
            Dinn Dzakir garu kepala dengan bicara Mak Som. Kepada si ibu dia memberi tumpuan. "Saya kasihan tengok mak.. bangun awal pagi semata-mata nak buat kuih. Mesti mak mengantuk, penat, sakit-sakit badan."
            "Tak apalah. Mak dah biasa," Mak Tijah cepat-cepat memotong.
            "Mak tak rasa penat?" Dahi Dinn Dzakir sudah mula berlapis.
            "Penat? Itulah yang mak suka," sebaris senyuman tua dilemparkan buat si anak yang sedang berwajah risau.
            "Mak ni pelik betul lah," balas Dinn Dzakir sambil bingkas berdiri. Dia melangkah menghampiri meja jualan kuih ibunya. Langsung sahaja tangannya membuka penutup salah sebuah bekas kuih untuk diambil kuihnya. Ondeh-ondeh kegemarannya mula diambil sebiji lalu segera dimasukkan ke dalam mulut. Kemudian, dia melabuhkan duduknya semula.
            "Nak pelik apanya? Orang kalau dah buat kerja, mana tak penat? Perkara biasalah penat tu," sanggah Mak Tijah dan kemudian terus berdiri. Dicapainya sebiji gelas lalu dituangkan air untuk diberikan kepada Dinn Dzakir yang sedang enak menikmati ondeh-ondeh buatan tangannya.
            Gelas dicapai daripada tangan si ibu lalu dia pun membalas kata, "tak cukup lagi ke tiap-tiap bulan saya berikan duit pada mak?"
            Mak Tijah mengeluh kecil apabila soalan itu yang diajukan kepadanya. "Soal duit yang kamu berikan tu, bukannya masalah cukup tak cukup. Tapi ini masalah mak yang tak boleh duduk diam. Kalau mak tak buat kuih, terasa lembik aje badan ni ha. Kamu apa tahu? Kamu orang muda. Nanti bila kamu dah tua, masa itulah kamu akan faham," bidasnya seolah-olah membebel.
            "Haai.. susah bercakap dengan mak ni. Ada saja yang mak jawab," keluhnya. Belakang lehernya diusap sekali dua.
            Kemudian, Mak Tijah berubah riak tiba-tiba. Air wajahnya kelihatan agak teruja. Laju sahaja jarinya mencuit lengan Dinn Dzakir. "Macam mana pagi tadi?"
            Dinn Dzakir menoleh, memandang lama ke arah ibunya. Berkerut-kerut wajahnya apabila mendengarkan soalan itu. Langsung dia tidak memahami maksud sebenar si ibu. Kemudian, dia memandang pula ke arah Mak Som yang sedang tersengih. Sengih ada makna tu.
            Sebenarnya, sejak tadi lagi Mak Tijah dan Mak Som membincangkan soal Dinn Dzakir yang sudah terpikat dengan seorang perempuan di tempat kerja. Bukan main rancak lagi Mak Tijah dan Mak Som berbual tentang perkara itu.
            "Apa maksud mak ni?"
            "Hish, kamu ni lambat betul lah. Macam mana dengan budak perempuan tu? Kamu dah cakap dengan dia?" Soal Mak Tijah sudah tidak sabar-sabar lagi mahu mengetahui jawapannya.
            "Oh, pasal hal itu.. err.. malam nanti saya cakap dengan mak, ya? Saya nak naik ke rumah dulu. Nak mandi. Solat asar pun belum lagi ni," Dinn Dzakir angkat punggung. Dia sebenarnya tidak mahu menjawab pertanyaan itu di hadapan orang luar walaupun Mak Som adalah jirannya yang sudah lama tinggal di situ.
            "Kalau susah-susah sangat, mak pinang je anak Mak Som ni ha.. si Aisyah tu pun, apa kurangnya. Cantik juga, baik budi pekertinya. Ha, kamu nak tak?" Soal Mak Tijah sambil menyembunyikan senyum. Dia sebenarnya hanya bergurau. Kepada Mak Som dia menoleh dan kelihatan Mak Som juga sedang tersengih-sengih.
            Sebaik mendengar cadangan itu, serta-merta langkahnya mati. Sepantas kilat Dia berpaling. Wajah serius Mak Tijah dan Mak Som dipertontonkan kepadanya. Dia teguk liur. Jangan-jangan, selama ini mereka berdua itu sudah berpakat mahu menjodohkan dia dengan Aisyah? Aisyah yang sudah dianggap seperti adik sendiri itu mahu dijodohkan dengannya? Oh, tidak sekali-kali.
            "Mak bergurau apa ni?" Soalnya bernada cuak.
            "Tak ada apa-apa. Dah, pergi naik ke rumah. Malam nanti kita bincang," usul Mak Tijah.
            Dinn Dzakir angguk lalu beredar. Malas dia hendak memikirkan hal itu lebih-lebih lagi disaat kepalanya sedang sarat memikirkan soal Hanim.
            Mak Tijah menggeleng sekali dua. Perubahan ketara pada seraut wajah si anak, tidak sampai hati pula dia hendak bergurau melebihi daripada yang sepatutnya. Nalurinya sebagai seorang ibu dapat merasakan bahawa Dinn Dzkir tidak senang dengan gurauan itu.
            Maklum sahajalah, Dinn Dzakir sudah berkenan dengan seorang perempuan di tempat kerja. Mana mungkin anak lelakinya senang-senang sahaja mahu melupakan perempuan itu dan beralih perhatian pula kepada Aisyah?
            Mak Tijah bukannya tidak faham tetapi dia sengaja berkata sedemikian  untuk melihat sejauh mana kesungguhan Dinn Dzakir untuk mendapatkan  gadis yang bernama Hanim itu.
            "Bertuah sungguh kamu dapat anak lelaki macam Din tu," Mak Som memecah kesunyian dengan tiba-tiba.
            Mak Tijah tersenyum mendengarkan pujian itu lalu menoleh ke arah Mak Som. "Apa yang kamu maksudkan ni? Bertuah apanya?"
            Mak Som tunduk menekur tanah. Keluhan panjang dilepaskan seraya berkata, "anak lelaki kamu tak macam anak lelaki aku. Erm, kalaulah si Mamat tu boleh aku harapkan seperti kamu yang boleh harapkan si Din tu, alangkah senangnya hidup aku."
            Mak Tijah terangguk-angguk. Mula faham maksud sebenar yang cuba disampaikan Mak Som kepadanya. "Sabarlah, Som. Aku faham maksud kamu tu tapi sebagai ibu, kamu jangan putus asa. Berdoalah siang malam, minta dengan Allah supaya si Mamat tu berubah."
            "Entahlah, Jah. Aku pun dah naik bosan dengan perangai si Mamat. Tiap-tiap hari minta duit dengan aku. Kalau duit tu dia gunakan untuk perkara yang berfaedah, tak apalah pulak. Ini tidak, entah sampai bilalah dia nak jadi hamba kepada dadah tu!" Mak Som bersuara kuat tiba-tiba.
            "Hish, kamu ni Som. Cakap tu perlahan-lahanlah sikit. Kalau anak aku dengar, mahu dibelasahnya lagi si Mamat tu. Apa, kamu dah lupa dengan kejadian bulan lepas?" Marah Mak Tijah sambil mengingatkan kejadian yang disebutnya itu.
            "Bila kau nak insaf ni, hah?! Sampai bila kau nak menyusahkan mak bapak kau?!" Wajah Dinn Dzakir benar-benar menyinga. Kedua-dua tangannya kemas mencekak leher baju Mamat yang sedang terbaring di atas tanah.
            Geram sungguh dia dengan perlakuan Mamat yang langsung tidak berasa bersalah apabila menolak Mak Som sehingga rebah ke tanah. Rantai emas yang satu-satunya menjadi milik Mak Som menjadi mangsa si Mamat apabila lelaki itu merentapnya daripada leher ibu sendiri.
            Kebetulan pula Dinn Dzakir sedang berada di halaman rumah kerana sedang mencuci kereta. Sebaik sahaja dia melihat kejadian itu, segera dia meluru dan menerpa ke arah Mamat. Satu tumbukan dilepaskannya ke wajah lelaki itu tanpa berfikir panjang.
            Dia sudah sedia maklum dengan perangai Mamat yang sering meminta wang daripada Mak Som untuk membeli dadah. Apabila hajat tidak tercapai, rantai emas si ibu pula yang menjadi mangsa.
            "Tolonglah aku, Din. Sekali ni saja. Aku janji, aku akan berubah!" Rayu Mamat kepada Dinn Dzakir yang masih kemas mencekak leher bajunya.
            "Dah berapa kali aku dengar kau cakap benda yang sama. Nak berubah, nak berubah! Tapi sampai ke hari ni, kau masih lagi tak berubah-ubah. Apa nak jadi dengan kau ni?! Kau tak kesian ke dengan mak bapak kau?! Bapak kau tengah sakit tahu tak?! Tolonglah jadi anak yang berguna sikit!" Pekik Dinn Dzakir betul-betul di tepi telinga Mamat.
            Marah benar nampaknya dia. Walaupun keluarga Mak Som itu tidak ada pertalian saudara dengannya, tetapi sebagai jiran yang sudah berpuluh tahun tinggal berhampiran, sedikit sebanyak menjadi tanggungjawabnya untuk mengambil berat.
            Tanpa banyak bersoal jawab dengan Mamat, Dinn Dzakir segera bertindak merampas kembali rantai emas kepunyaan Mak Som itu. Rantai leher yang sudah beralih tangan, dihulurkan kepada Mak Som sementara sebelah tangannya lagi masih kemas memegang leher baju lelaki yang sedang terbaring itu.
            "Kau nak duit sangat, kan?! Hah?! Berapa kau nak?! Seratus? Dua ratus?" Dinn Dzakir segera melepaskan Mamat. Kemudian, dia berdiri sambil menyeluk poket seluarnya untuk mengeluarkan dompet. Beberapa helai wang kertas diambilnya lalu dicampakkannya ke atas muka Mamat.
            Ibarat seperti orang mengantuk disorongkan bantal, Mamat segera bingkas lalu mengutip wang itu dan bersegera memasukkannya ke dalam poket baju. Selepas itu, dia berlari lintang pukang memboloskan diri ke dalam semak berhampiran.
            "Mak Som tak apa-apa?" Segera Dinn Dzakir mendapatkan Mak Som yang masih tertiarap di atas tanah.
            "Mak Som tak apa-apa, Din. Terima kasih sebab tolong Mak Som. Tapi, kenapa Din bagi duit pada Mamat?"
            "Kalau saya tak bagi duit, nanti dia apa-apakan Mak Som lagi."
            "Tapi sampai bila Din nak bagi duit pada dia? Mak Som tahu, selama ni Mamat selalu minta pinjam duit dengan Din, kan? Mak Som tahu semua tu."
            "Tak apalah, Mak Som. Saya tak kisah. Asalkan, Mamat tak cederakan Mak Som sudahlah."
            Mak Som mengesat mata apabila mula menyedari ada air mata yang sedang merembes keluar. Kenangan itu masih segar terpahat di ingatannya apabila Mak Tijah membuka mulut tentang perkara itu semula.
            "Biarlah Din tu dengar, Jah. Biar dibelasahnya lagi si Mamat tu. Aku dah tak tahan, Jah. Aku dah tak tahan. Kau tahu Jah, malam tadi Mamat curi duit aku. Duit tu Aisyah yang bagi sebab dia baru je dapat gaji."
            "Sabarlah, Som. Ingat Allah banyak-banyak.. insya-Allah, satu hari nanti Mamat betul-betul akan berubah dengan berkat kau berdoa siang dan malam. Kau kena percaya, doa seorang ibu macam kita ni, selalunya mujarab tau," pujuk Mak Tijah sambil menggosok bahu Mak Som.
            "Anak-anak kau semuanya berjaya, Jah. Tak macam anak-anak aku. Lima orang anak aku, Jah. Semuanya tak boleh diharap. Nasib baiklah ada Aisyah. Itulah satu-satunya anak harapan aku. Dapatlah jugak aku ni merasa ada anak yang bekerja sebagai cikgu."
            "Mamat bual hal lagi, ya?"
            Mak Tijah dan Mak Som segera berpaling apabila suara Dinn Dzakir mengejutkan mereka. Dengan berkopiah, berbaju Melayu dan berkain pelikat, mereka tahu Dinn Dzakir bersiap-siap hendak ke surau berhampiran.
            "Eh, tak adalah Din," sangkal Mak Tijah berpura-pura sementara Mak Som pula lekas-lekas mengesat hidung dan mata supaya Dinn Dzakir tidak tahu yang dia sebenarnya sedang menangis kerana mengenangkan sikap dan perangai si Mamat.
            "Err.. Din nak pergi surau ke?" Soal Mak Tijah. Nadanya sedikit cemas. Bimbang andaikata Dinn Dzakir terdengar perbualan di antara dia dan juga Mak Som sebentar tadi.
            Dinn Dzakir hanya mengangguk perlahan. Wajah berkerutnya dilemparkan ke arah Mak Som yang sudah bingkas dari tempat duduk.
            "Jah, aku balik dululah."
            "Nak balik dah, Mak Som? Selalunya Mak Som tolong mak saya dulu untuk kemaskan gerai dia ni, kan?" Soalan cepu emas diberikan Dinn Dzakir kepada Mak Som. Dia tahu Mak Som baru sahaja menangis. Tidak lain tidak bukan, pasti angkara si Mamat lagi. Dia membuat telahan sambil menghampiri ibunya yang sedang ligat mengemas apa yang patut.
            Mak Som pula sudah berlalu tanpa menjawab pertanyaan itu.
            "Mak, kenapa dengan Mak Som?" Dinn Dzakir memuncungkan bibir ke arah Mak Som yang sedang berjalan pulang menuju ke rumah.
            "Tak ada apa-apalah." Mak Tijah mengelak untuk menjawab soalan itu.
            Sebaik membetulkan kopiah di atas kepala, ringan tulangnya hendak membantu Mak Tijah yang sedang mengemas meja jualannya. "Erm, saya tolong mak ya?"
            "Eh, tak payah. Kamu dah bersiap-siap nak pergi ke surau macam ni, nanti kotor pulak pakaian kamu."
            Dinn Dzakir jungkit bahu. Tidak tahu lagi hendak berbuat apa sebaik sahaja tangannya ditepis oleh Mak Tijah.



HANIM bingkas berdiri. Kemudian, dia duduk semula. Serba-serbinya tidak kena dia pada hari ini. Duduk salah, berdiri pun salah. Pengakuan Dinn Dzakir pagi semalam benar-benar membuatkan dia terkejut. Tidak disangka-sangka, lelaki itu menaruh hati kepadanya dan berhajat pula mahu memperisterikannya.
            Begitu mudah sekalikah dalam soal nikah kahwin ini? Bercinta tidak apa pun tidak, terus sahaja dia hendak melamar? Pelik betul cara Encik Zakir ni. Hanim menggaru dahi apabila memikirkan hal itu sebelum dia disapa oleh Dinn Dzakir yang sudah pun tercegat di hadapan muka pintu pantri.
            "Masih sorang-sorang lagi hari ni?" Soal Dinn Dzakir sambil melangkah masuk ke pantri. Sebuah karusi ditarik lalu melabuhkan dirinya di situ.
            Dinn Dzakir yang duduk betul-betul bertentangan membuatkan dia semakin tidak tentu arah. Sudahlah tadi dia masih belum selesai memikirkan hal semalam, tiba-tiba pula tuan punya soalan sudah duduk di hadapan.
            Dalam keadaan menunduk, Hanim menjawab perlahan, "erm, masih sorang-sorang lagi. Lia belum balik dari kampung. Lagipun, dia ambil cuti seminggu. Ada beberapa hari lagi di kat kampung sebelum dia masuk kerja semula."
            Dinn Dzakir mengangguk berkali-kali. Badan ditegakkan sambil menompang dagu dengan kedua-dua tangan. Diperhatikan Hanim dari atas sampai ke bawah. Entah apa lagi yang hendak dibualkan dengan gadis itu agaknya.
            "Tengahari nanti kita keluar makan?" Terpacul soalan itu tanpa dirancang. Dinn Dzakir tersenyum sendiri.
            Hanim angkat muka. Memandang pada wajah Dinn Dzakir yang sedang tersenyum, dia juga turut sama tersenyum seperti jejaka itu. "Tak ada orang lain lagi ke yang Encik Zakir nak ajak makan tengahari? Asyik saja je," jawabnya dalam nada bergurau.
            Dinn Dzakir tunduk. Bermain pada kedua-dua tangan lalu menggeleng sekali dua. "Sekarang ni dalam hati saya cuma ada Hanim. Jadi, saya ajak Hanimlah."
            Hanim mencebik. Walaupun semalam dia nampak ada kesungguhan pada wajah Dinn Dzakir apabila menyampaikan hajat mahu melamarnya, tetapi hari ini berlainan pula penerimaan Hanim. Entah kenapa, bait-bait bicara manis yang didengarinya itu, membuatkan dia berasa sedikit was-was. Lelaki bukan? Suka menuturkan ayat-ayat manis apabila hendak memikat.
            Dia faham benar apa maksud Dinn Dzakir itu. Namun, dalam hati pula menjerit-jerit minta kepastian yang jelas apakah Dinn Dzakir benar-benar  bersungguh menyintainya? Apakah dia perlu menguji untuk melihat sejauh mana kesungguhan Dinn Dzakir itu?
            "Okey, baiklah. Saya setuju untuk keluar makan dengan Encik Zakir tengahari nanti," Hanim memberi persetujuan sambil otaknya ligat merencanakan sesuatu. Sesuatu bahan untuk menguji kesungguhan lelaki itu.
            Segera Dinn Dzakir angkat muka. Persetujuan daripada Hanim membuatkan air wajahnya tampak gembira. "Terima kasih. Nanti kita turun  sama-sama."
            Hanim angguk sebelum Dinn Dzakir meminta diri untuk beredar masuk ke bilik pejabatnya.
            Sebaik sahaja bayang Dinn Dzakir hilang dari pandangan, Hanim mula berkira-kira sendiri. Apa aku nak buat dengan Encik Zakir ni, ya? Hujung jari telunjuk digigit sebelum dia disergah Fizad yang masuk ke pantri tanpa disedarinya.
            "Oi cik kak. Jauh termenung!"
            Hanim urut dada. Terperanjat dengan sergahan itu. Kemudian, dia melibaskan kain pengelap ke arah Fizad yang sedang tersengih seperti kerang busuk. "Kau ni kan Fizad, sama je dengan Encik Zakir tu. Kalau tak mengusik aku dalam sehari memang tak sah kan hidup kau?" Marah Hanim sambil berdiri. ditolaknya kerusi ke belakang.
            Fizad hanya tersengih-sengih memandang Hanim yang sedang berwajah mencuka. Dia tidak hairan dengan kemarahan tidak bersungguh-sungguh Hanim itu. Dia sudah sedia maklum, Hanim kalau sudah marah tidak akan ke mana perginya. Hanya setakat itu sahajalah amarah gadis itu dan tidak pula melarat hingga ke petang.
            "Cara aku mengusik lain. Encik Zakir tu mengusik caranya lain. Takkan kau tak kenal aku ni? Kan, dah selalu sangat aku usik-usik kau? Dah bertahun kita kerja bersama. Encik Zakir tu lainlah. Dia mengusik, sebab dia nak mengurat kau," bidas Fizad sambil mencapai sebiji gelas. Dispenser ditekan. Penuh satu gelas itu dengan air suam lalu diteguknya perlahan.
            Hanim membuntangkan sedikit kedua-dua matanya. Aii.. Fizad pun tahu? Boleh pula dia baca isi hati Encik Zakir? Hanim garu kepala.
            "Dah, kau tak perlu nak buat muka terkejut macam tu depan aku. Sekilas ikan di air, aku tahu jantan betinanya. Inikan pulak Encik Zakir tu ha.. daripada cara dia pandang kau, aku tahu dia sukakan kau. Dia tengah nak memikat kau tu. Kau tak faham ke?" Fizad menyambung kata-katanya lagi.
            "Banyaklah kau punya cakap. Macamlah kau tu tahu sangat. Kau tinggal serumah dengan Encik Zakir ke apa? Dia story semua dekat kau eh?" Hanim pura-pura menyoal sedangkan dari awal-awal lagi dia sudah sedia maklum yang Dinn Dzakir ada meluahkan perasaan terhadapnya. Tetapi sengaja pula dia menyoal begitu kepada Fizad.
            Fizad tergeleng-geleng. Lurus sangat si Hanim ni. Takkanlah tak boleh baca daripada gerak gaya Encik Zakir itu?
            "Alah, tak perlu ada alasan tinggal serumah. Dia lelaki, aku pun lelaki. Aku faham sangatlah daripada cara dia tengok kau, cara dia bercakap dengan kau. Hei, okey what Encik Zakir tu. Rugi tau kalau kau lepaskan dia. Dalam office ni, berlambak staff perempuan duk bercakap pasal dia. Dan, tak terkecuali pegawai kita Cik Sarah si andalusia tu.. pun tertanya-tanya pasal Encik Zakir melalui aku tau. Dah ada kekasih ke belum, dah kahwin ke, bujang terlajak ke..," panjang lebar Fizad bercerita. Langsung dia tidak menarik nafas.
            Tergamam Hanim dibuatnya dengan bicara Fizad. Cik Sarah? Cik Sarah pun sukakan Encik Zakir? Hamboi orang tua tu, bukan main lagi dia nak ambil Encik Zakir aku ye? Tak padan dengan umur 40! Hanim tiba-tiba membentak sendiri. Untung sahaja tidak terluah ke mulut. Kalau tidak, malulah dia di hadapan Fizad.
            Amboi Cik Hanim sudah pandai cemburu nampaknya. Takkanlah dia rasa tergugat dengan Cik Sarah si anak dara lanjut usia itu kut?
            "Ish, dahlah. Pergi buat kerja kau tu. Asyik nak melepak aje dalam pantri ni buat apa? Nanti aku beritahu pada Encik Shukor baru padan dengan muka kau," Hanim mengugut di hujung bicara sambil tersengih. Mahu mengawal emosi cemburu sebenarnya dia.
            "Buat apa nak beritahu pada Encik Shukor? Lebih baik kau beritahu pada Encik Zakir. Sekurang-kurangnya, boleh juga kau tengok muka dia samada cemburu atau tidak kalau dia tahu aku selalu masuk ke pantri sebab nak berbual dengan kau," usik Fizad.
            Betul juga. Kalau dia beritahu pada Dinn Dzakir mengenai Fizad yang sering datang ke pantri untuk berbual dengannya atau mengusiknya, adakah lelaki itu akan beriak cemburu?
            Kalaulah sungguh bagai dikata Fizad itu, inilah masanya untuk dia tahu samada Dinn Dzakir benar-benar cintakan dia atau sebaliknya. Kalau Dinn Dzakir cemburu, bermaksudnya sayanglah, cintalah. Hanim tersenyum-senyum.
           


SEPANJANG pagi itu, tidak banyak tugas yang terpaksa dilakukan Hanim. Entah kenapa, pekerja lain seolah-olah faham yang dia hanya sendirian sejak sehari dua ini dengan ketiadaan Lia. Masing-masing masuk ke pantri untuk mengambil air sendiri. Tidak perlulah dia susah-susah mahu menghantarnya lagi.
            Begitu juga dengan Encik Shukor. Sejak kebelakangan ini, jarang sekali bos besar itu mahu bersarapan di pejabat. Mungkin sudah kenyang menjamah sarapan di rumah barangkali.
            Sedang sibuk dia mencuci gelas di dalam sinki, sebelah tangan yang sedang memegang gelas tiba-tiba sahaja mencuri tumpuan. Seakan-akan kenal dengan tuan empunya tangan kerana hujung lengan kemeja itu menjadi bukti, Hanim tersenyum nipis. Itu tangan Dinn Dzakir.
            "Hanim tak ambil gelas ni dalam bilik pejabat saya. Hanim lupa ke?"
            Hanim menoleh. Dinn Dzakir berdiri begitu hampir dengannya. Serta-merta dia menjarakkan diri. Paip pula lekas-lekas ditutup lalu mengelap tangannya dengan tisu. "Maaflah Encik Zakir, saya terlupa pulak."
            Dinn Dzakir tersenyum senang hati. Sekarang sudah tengahari. Waktu rehat yang menuntut sesuatu daripada Hanim. Makan tengahari bersama-sama dengan gadis itu adalah satu tuntutan waktu yang ingin dipenuhinya. "Jom turun makan."
            "Okey.. sekejap ye. Saya nak ambil handbag," balas Hanim. Kepala ditunduk apabila berjalan melewati Dinn Dzakir yang sering membuatkan nafasnya tidak stabil untuk menyedut oksigen.
            Berdebar-debar sungguh dia. Sejak Dinn Dzakir membuat sesi luahan perasaan, semakin tidak keruan jadinya setiap langkah yang diatur Hanim apabila seringkali berhadapan dengan jejaka itu.
            Sejurus sahaja Hanim menggalas beg tangan ke bahu, Dinn Dzakir bertindak memberi laluan kepada gadis itu terlebih dahulu untuk keluar dari pantri.
            "Kita nak makan kat mana?" soal Hanim apabila Dinn Dzakir sudah berjalan seiringan dengannya.
            Dinn Dzakir tersenyum lalu menjawab perlahan seakan-akan berbisik pula dia. "Adalah..,"
            Hanim menoleh sambil memandang pelik ke arah Dinn Dzakir yang sedang tersengih. Saat itu juga dia mengecilkan mata. Entah apa yang ada dalam kepala Dinn Dzakir agaknya. Rungut Hanim sambil meneruskan langkah.
            "Kita turun guna tangga," Dinn Dzakir cepat-cepat memintas Hanim lalu menolak pintu kecemasan untuk menggunakan tangga ke tingkat bawah.
            Hanim tercengang. Sangat pelik tingkah Dinn Dzakir hari ini. Malas mahu bertanya, dia segera mengekori lelaki itu yang sudah pun berjalan mendahuluinya.
            "Kenapa Encik Zakir tak nak turun guna lif?" Akhirnya dia menyoal tentang kemusykilan itu.
            "Kalau guna tangga, lambat sikit kita sampai ke bawah. Err.. bolehlah saya berbual lama sikit dengan Hanim," jawabnya dengan kedua-dua tangan menyeluk ke dalam poket seluar.
            Hanim mencebik sedikit. "Bijak, bijak.. ligat sungguh otak Encik Zakir ni ye?" Balas Hanim pula dalam nada menyindir. Tersenyum-senyum dia dengan sikap spontan yang ditunjukkan Dinn Dzakir kepadanya. Agak nakal Encik Zakir ni. Desis hatinya.
            Sambil menuruni satu per satu anak-anak tangga itu, Hanim mendapat satu idea. Idea untuk menguji sejauh mana benarnya Dinn Dzakir sungguh-sungguh menyintainya.
            "Aduh..!" Hanim buat-buat jatuh. Kaki kanannya digosok berkali-kali. Konon-kononlah terseliuh. Harap-haraplah Dinn Dzakir tidak menangkap yang dia sebenarnya sedang berlakon sama seperti kejadian minggu lepas di mana Lia berpura-pura pengsan!
            "Kenapa dengan kaki Hanim?!" Cemas nada suara Dinn Dzakir ketika itu. Dia duduk di hadapan Hanim yang sedang terduduk di atas tangga simen.
            "Tak tahulah. Tiba-tiba je sakit.. aduhhh..," rengeknya perlahan.
            "Boleh saya tengok?"
            "Tengok? Kan, Encik Zakir dah tengok ni?"
            "Tak.. maksud saya, boleh saya pegang?"
            "Hah? Pegang?!" Sepasang mata Hanim membulat. Seperti lipas kudung, Hanim segera bangun lalu berlari turun ke tangga yang menempatkan tingkat dua bangunan pejabat itu. Pintu kecemasan yang terdapat pada tingkat dua itu ditolak lalu dia bertindak menyembunyikan dirinya di situ.
            Dinn Dzakir tercengang-dengang. Kepala yang tidak gatal mula digaru berkali-kali. Kemudian, lekas-lekas dia turun ke tingkat dua lalu mengetuk pintu kecemasan yang ditolak Hanim sebentar tadi.
            Bibirnya lebar dengan senyuman lalu gelak kecilnya mula terhambur keluar. Kelakuan Hanim sebentar tadi betul-betul membuatkan hati lelakinya tercuit. Entah kenapa agaknya Hanim berkelakuan pelik begitu, dia perlu tahu.
            "Nak main sorok-sorok dengan saya ke?" Pintu kecemasan itu diketuk bertalu-talu.
            "Taklah!" Laung Hanim dari sebelah pintu.
            "Dah tu? Kenapa lari? Saya nak pegang aje. Bukannya nak buat apa-apa."
            "Tak apalah. Kaki saya dah okey!"
            "Aii.. takkan sekejap sangat dah okey?" Soal Dinn Dzakir dengan alunan suaranya yang menyakat. Hujung jari telunjuk menggaru kepala yang tidak gatal. Berkali-kali dia menggeleng dengan kelakuan Hanim yang secara tiba-tiba seperti takutkan sesuatu.
            Sekali lagi Dinn Dzakir mengetuk pintu. "Keluarlah. Saya tahu kaki Hanim sakit. Kalau berlari macam lipas kudung tadi tu, lagilah bertambah sakit."
            Kemudian, suasana menjadi sepi beberapa saat sebelum Hanim kembali melaungkan suaranya dari sebelah pintu itu. "Encik Zakir, saya minta maaf!"
            "Minta maaf kenapa pulak?" Soal Dinn Dzakir hairan.
            "Tapi Encik Zakir janji jangan marahkan saya!"
            "Nak marah kenapa?"
            "Sebenarnya saya.."
            "Hanim keluarlah dulu. Kita bercakap di luar. Kalau bercakap macam ni.. terpisah dengan pintu, susah la.."
            "Kalau saya keluar, Encik Zakir janji jangan marahkan saya!"
            "Okey, saya janji."
            Perlahan-lahan pintu kecemasan itu ditolak Hanim.
            Dinn Dzakir tersenyum panjang apabila Hanim terkulat-kulat memandang ke arahnya. Kemudian. Matanya beralih pula ke arah kaki Hanim yang dikatakan sakit itu. Elok saja nampaknya?
            "Sebenarnya.. err, sebenarnya kaki saya tak sakit."
            "Saya tahu."
            "Hah? Encik Zakir tahu?" Terpinga-pingan Hanim dibuatnya. Oh, malunya dia. Mana hendak disorokkan muka? Akhirnya, penipuannya tertangkap. Kononnya hendak menguji tetapi lain hal pula yang terjadi.
            Dinn Dzakir tersenyum. Kepala digeleng sebentar sebelum membuka mulut untuk meneruskan bicara. "Saya tahu kaki Hanim tak sakit. Apa sebab Hanim buat begini, saya tak mahu ambil tahu. Yang penting, saya sayangkan Hanim. Saya tak mahu apa-apa perkara buruk menimpa Hanim. Jom kita pergi makan. Dah lambat sangat ni."
            "Encik Zakir tak marah?" Soal Hanim. Benar-benar terdesak nampaknya dia untuk mengetahui samada Dinn Dzakir mahu memarahinya atau tidak.
            Dinn Dzakir menggeleng sambil mengukir senyum. "Dah saya katakan tadi, saya tak marah. Buat apa saya nak marah pada seorang gadis yang telah berjaya mencuri hati saya."
            Hanim teguk rakus liurnya. Kata-kata Dinn Dzakir benar-benar membuatkan dia berasa bersalah dan berdosa. Sudahlah dia mengambil sikap membisu seribu bahasa apabila Dinn Dzakir meluahkan perasaan kepadanya. Hari ini, dia menipu lelaki itu pula.
            "Saya dah tipu Encik Zakir pun, Encik Zakir tak marah?"
            "Kalau boleh saya tak nak ambil tahu kenapa Hanim tipu saya. Tapi kalau Hanim nak katakan sesuatu, saya tak kisah."
            "Sebenarnya saya.. saya hanya ingin menguji."
            "Menguji?"
            "Saya.. saya betul-betul mahukan keyakinan pada diri saya sendiri yang Encik Zakir.. err.. adakah Encik Zakir betul-betul cintakan saya."
            "Menguji saya dengan berpura-pura sakit kaki?"
            Hanim angguk lalu tunduk. Malunya dia.
            "Hanim tak patut buat begini. Saya.. sungguh-sungguh ikhlas sukakan Hanim. Tak perlulah Hanim sampai mengambil tindakan untuk menguji saya. Saya tak mahu Hanim jadi seperti Lia. Mahu menarik perhatian saya dengan hanya berpura-pura. Saya tak mahu Hanim buat macam ni lagi. Kalau Hanim benar-benar tak dapat terima cinta saya, janganlah sampai Hanim buat perkara yang tak sepatutnya Hanim buat. Ini bukannya menipu saya tapi.. ini namanya, Hanim menipu diri sendiri," ujar Dinn Dzakir panjang lebar.
            "Sekali lagi saya minta maaf," hanya ungkapan maaf sahaja yang mampu diluahkan Hanim kepada Dinn Dzakir.
            "Erm, dahlah. Jomlah kita pergi makan. Nanti terlambat masuk kerja pulak. Mana nak solat Zuhur lagi," balas Dinn Dzakir sebelum kakinya melangkah perlahan menuruni anak-anak tangga itu sambil diekori hanim dari belakang.



















No comments:

Post a Comment