HANIM
melihat jam di pergelangan tangan. Sudah pukul 4.30 rupanya. Masa untuk pulang
ke rumah! Jeritnya dalam hati. Harap-haraplah nanti dia tidak bertembung dengan
Dinn Dzakir semasa hendak keluar dari pantri. Malu sungguh dia pada Dinn Dzakir
angkara daripada insiden tengahari tadi.
Namun, belum pun sempat dia mahu mengambil beg tangannya
yang tersangkut, Dinn Dzakir terlebih dahulu menyapanya. Dia berpaling dan
mendapati lelaki itu sedang berdiri di muka pintu sambil tersenyum.
"Encik Zakir tak balik lagi?" Soal Hanim.
"Kalau saya masih ada di sini, tandanya apa?"
Jawab Dinn Dzakir pula dalam nada berteka-teki.
Dahi Hanim berkerut-kerut apabila telinganya menjamah
pertanyaan itu. Aku tanya dia, dia tanya aku balik. Sewel Encik Zakir ni.
Omelnya sekadar di dalam hati. "Encik Zakir nak minum ke?"
Dinn Dzakir berjalan masuk ke pantri. "Nak minum
apanya lagi? Dah pukul 4.30 ni. Jom saya hantarkan Hanim pulang ke rumah."
Beg tangan diambil lalu digalas. Pelawaan Dinn Dzakir
tidak enak untuk diterima. Sudahlah tengahari tadi dia menipu lelaki itu,
sekarang ini pula takkanlah dia langsung tidak berasa bersalah apabila berbuat
begitu? Come on, Hanim. Kau bukan Lia!
"Maaflah, Encik Zakir. Hari ni saya nak balik dengan
teksi je."
"Tak perlulah naik teksi. Nanti Hanim lambat sampai
ke rumah."
"Saya dah biasalah. Lagipun, saya rasa macam tak
elok pulak kalau Encik Zakir selalu sangat hantar saya pulang. Saya tak mahu
ada orang yang mengata kita nanti," Hanim memberi alasan yang tersangatlah
tidak wajar.
Perkara itu pula yang dia cuba bangkitkan? Antara dia dan
Dinn Dzakir, bukannya menjadi milik sesiapa. Masing-masing masih bujang dan
bukannya isteri atau suami orang.
"Merepeklah. Siapa yang nak mengata? Saya tolong
hantar Hanim pulang saja. Bukannya kita buat apa-apa," bidas Dinn Dzakir
sambil menarik beg tangan yang digalas Hanim lalu dibawanya bersama.
Hanim tercengang dengan tindakan drastik Dinn Dzakir itu.
Ooo.. main kotor ye. Nak suruh aku ikut dialah tu. Bebel Hanim sendiri.
Terkumat-kamit mulutnya membebel perlahan ketika berjalan di belakang Dinn
Dzakir.
Sampai di hadapan lif, mereka bertembung dengan Cik
Sarah. Salah seorang pegawai tinggi di tempat kerja mereka. Hanim melemparkan
senyum kepada wanita 40an itu tetapi senyumannya langsung tidak berbalas.
Sombong nak mati! Kutuk Hanim.
Kemudian, Hanim teringat kata-kata Fizad. Sebenarnya
secara diam-diam, Cik Sarah rupanya selalu memberi perhatian pada Dinn Dzakir.
Maklum sahajalah, lelaki kacak seperti Dinn Dzakir, perempuan gila pun akan
bagi perhatian juga. Usahkan Cik Sarah, Lia dan dia sendiri pun boleh terjatuh
cinta dekat mamat sorang tu.
"Awal awak balik hari ni?" Soal Cik Sarah
kepada Dinn Dzakir sebaik sahaja mereka bertiga masuk ke perut lif.
Dinn Dzakir melihat jam. Bibirnya lebar dengan senyuman.
Kepada Cik Sarah dia menoleh. "Biasalah ni Cik Sarah. Tak adalah awal
sangat."
"Awak sebagai orang baru, macam mana dengan kerja di
sini? Seronok?" Cik Sarah masih menyoal. Sengaja pula dia mendekatkan
dirinya pada Dinn Dzakir sementara Hanim pula terpaksa bergerak ke belakang
untuk memberi laluan kepada Cik Sarah yang hendak berbual dengan Dinn Dzakir.
"Seronoklah juga," ringkas Dinn Dzakir
menjawab.
"Sebelum ni awak bekerja di Kuala Lumpur, kan?"
Dinn Dzakir angguk.
Cik Sarah tersenyum. "Awak selalu keluar malam tak?
Err.. maksud saya, keluar waktu malam untuk jalan-jalan ke.. ambil angin
ke.."
"Maksud Cik Sarah, semasa saya tinggal di Kuala
Lumpur?" Soal Dinn Dzakir pula. Hanim dibiarkan berdiri keseorangan di
belakang.
Cik Sarah angguk.
"Sesekali tu adalah. Tapi saya lebih suka duduk di
rumah. Kenapa Cik Sarah tanya?"
"Sebab.. saya fikir nak ajak awak keluar malam ni.
Kita pergi makan-makan ke..," Cik Sarah menjeling dengan hujung mata. Mahu
melihat reaksi Dinn Dzakir apabila dia mempelawa begitu.
Hanim yang masih setia mendengar di belakang hanya
mencebik. Entah kenapa pula, tangkai hatinya dijentik-jentik dengan rasa
cemburu. Tak malu betul. Ada ke patut perempuan yang ajak lelaki keluar? Dunia
dah nak kiamat ke apa? Hanim ketap bibir dan secara spontan pula jari telunjuknya
mencucuk belakang pinggang Dinn Dzakir sehingga membuatkan lelaki itu tersentak
lalu berpaling.
Dinn Dzakir berkerut dahi apabila melihat pada wajah
Hanim yang tiba-tiba sahaja berubah mencuka. Bahu dijungkit tanda tidak
mengerti sementara Hanim pula menggerak-gerakkan mulut seperti mahu
memarahinya.
Dinn Dzakir tersenyum senang hati. Dia dapat merasakan
sesuatu daripada riak wajah Hanim itu. Kemudian, dia memberi perhatian kepada
Cik Sarah semula. "Maaflah Cin Sarah. Malam ni tak bolehlah sebab saya nak
pergi ke masjid. Ada ceramah daripada Ustaz Azhar Idrus."
Cik Sarah mengeluh kerana pelawaannya ditolak
mentah-mentah oleh si jejaka yang telah pun berjaya menarik perhatiannya.
"Erm, tak apalah. Nak buat macam mana kalau orang dah tak sudi."
"Bukannya saya tak sudi, tapi..," belum pun
sempat Dinn Dzakir mahu menghabiskan kata-katanya, sekali lagi belakang
pinggangnya dicucuk Hanim. Kali ini lebih kuat. "Aduh..!"
Cik Sarah pantas menoleh. "Kenapa dengan awak
ni?"
"Err.. pinggang saya sakit."
"Sakit pinggang? Muda-muda lagi dah sakit pinggang?
Erm, saya rasa.. lebih baik awak pergi buat medical check-up. Jangan dibiarkan,
nanti melarat pula sakit pinggang awak tu. Lagipun kerja macam awak yang asyik
duduk saja, kan? Memanglah sakit pinggang," ujar Cik Sarah panjang
berjela.
Hanim hanya mencebik apabila mendengarkan nasihat tidak
berbayar itu. Alah, kalau setakat nasihat macam tu, dia pun boleh bagi.
Rungutnya sendiri lalu mencerlungkan matanya ke arah Cik Sarah yang sedang
berdiri membelakanginya.
Pintu lif terbuka luas. Cik Sarah meminta diri untuk
beredar sementara Hanim pula masih berada di dalam perut lif itu sambil
memerhatikan Cik Sarah dan Dinn Dzakir melambaikan tangan antara satu sama
lain.
"Hanim tunggu apa lagi? Tak nak keluar ke?"
Soal Dinn Dzakir apabila melihat Hanim yang masih berada di dalam lif.
Hanim melangkah berat tetapi belum pun sempat dia hendak
keluar, tiba-tiba pula pintu lif tertutup dengan sendiri.
Dinn Dzakir yang melihat keadaan itu terus bertindak
menekan butang. Pintu lif terbuka. Melihat Hanim yang masih berada di dalamnya,
Dinn Dzakir urut dada. Bimbang sungguh dia.
"Tak sempat nak keluar tadi," Hanim bersuara
sambil melangkah keluar.
"Kenapa Hanim tak tekan butang?"
"Tak sempat nak tekan pun, Encik Zakir dah tekan
dari luar dulu agaknya," jawab Hanim. Alunan suaranya seakan-akan merajuk.
Dinn Dzakir garu kepala. Tidak faham sebenarnya dia
dengan karenah Hanim yang agak luar biasa pada petang ini.
Sampai di tempat parkir kereta, Hanim membiarkan Dinn
Dzakir membukakan pintu kereta untuknya. Dengan gaya orang malas, dia mula
memasuki perut kereta.
Semasa dalam perjalanan, Dinn Dzakir tidak sudah-sudah
melirikkan senyumnya buat Hanim yang duduk di sebelah.
Pelik Hanim dengan aksi gembira Dinn Dzakir itu, dia pun
bertanya, "kenapa dengan Encik Zakir ni? Asyik senyum je daripada
tadi?"
Dinn Dzakir melirikkan pula matanya ke arah Hanim lalu
dia membalas, "Dalam lif tadi, kenapa Hanim cucuk pinggang saya? Muka
Hanim pulak, masam je?"
Hanim tunduk. Dia cemburu sebenarnya apabila Cik Sarah
berbual mesra dengan Dinn Dzakir sebentar tadi. Itupun gara-gara dia teringat
akan kata-kata Fizad semalam. "Tak ada apa-apalah. Ada semut besar kat
belakang pinggang Encik Zakir tu tadi. Saya cucuklah bagi semut tu mati,"
autanya.
Gelak kecil terhambur keluar daripada mulut Dinn Dzakir.
"Alah, setakat semut saja pun, takkanlah sampai begitu kuat sekali Hanim
cucuk pinggang saya? Nasib baik saya tak melatah tau. Kalau tak, malulah saya
depan Cik sarah tu."
Hanim mencemikkan muka sebaik sahaja gegendang telinganya
tembus dengan sebaris nama itu. 'Cik Sarah'!
"Hanim cemburu ke?" Soal Dinn Dzakir berbaur
usikan. Perubahan ketara pada diri Hanim petang itu memberikan jawapan
kepadanya. Dia tahu gadis itu cemburu apabila dia melayan Cik Sarah berbual di
dalam lif tadi.
Lekas-lekas Hanim menoleh. "Cemburu?"
"Hanim cemburu, kan?"
"Mana ada? Taklah..," Hanim menipu dan cuba
menyembunyikan rasa hatinya yang sebenar.
"Ya, saya tahu Hanim cemburu," tidak puas Dinn
Dzakir mahu mengusik untuk menggali jawapan daripada isi hati si gadis yang
masih lagi beriak mencuka.
"Merepeklah Encik Zakir ni," secara spontan,
satu tumbukan kecil dilepaskan Hanim ke bahu Dinn Dzakir.
Dinn Dzakir tersengih lalu tertawa kecil. "Uish,
bahaya betul.. silap haribulan, boleh accident ni."
Hanim diam. Ada rona kemerah-merahan di pipinya ketika
itu. Bibir diketap sedikit lalu mengutuk diri sendiri.
Suasana sunyi tiba-tiba sebelum Dinn Dzakir bertindak
memasukkan sekeping cd ke dalam pemacunya.
Kejora - Search
sinaran matamu bak kejora
di tengah malam menyuluh kedamaian hati
halusnya lenganmu sehalus sutera cina
melembutkan setiap kata
harum kasturi harum rambutmu
ingin kubelai bertambah harum kita
indah keperibadianmu indah bicara
menyegarkan semangat daku
bila kau berada di sampingku
semuanya menjadi keindahan hidupku
Sebaik sahaja lagu itu selesai berkumandang, Dinn Dzakir
memperlahankan volume. Kemudian, dia menyambung bicara yang terhenti sebentar
tadi. "Janganlah panggil Encik Zakir lagi. Panggillah Abang Zakir."
"Ish, tak kuasalah..," Hanim menjeling.
"Malu ye?"
"Encik Zakir cepatlah drive. Dah lambat ni,"
Hanim mahu mengubah topik nampaknya. Kedua-dua pipinya masih lagi
kemerah-merahan. Bukan sahaja pipinya, malah boleh dikatakan keseluruhan
wajahnya sudah berubah warna! Berbagai warna ada. Ibarat pelangi pula. Hanim
sudah angau!
HANIM
menghempaskan badannya ke atas katil. Nak kata penat, tidaklah juga. Mungkin
dia mahu berbaring seketika sebelum menyucikan diri untuk bersolat asar.
Dia bingkas kemudiannya lalu berjalan ke arah penyidai
untuk mengambil tuala.
Usai membersihkan diri dan menunaikan tanggungjawabnya
sebagai seorang muslim, dia terus mencapai telefon bimbitnya untuk menghubungi
Lia.
Puas menunggu panggilannya dijawab, akhirnya dia
meletakkan telefon bimbit itu di atas pehanya. Kenapa Lia tak jawab? Rindunya
dia pada Lia yang kini sedang berada di kampung. Entah apalah khabarnya dengan
ayah teman baiknya itu. Harapannya agar keadaan akan baik-baik sahaja.
Bila kau nak balik ni? - Hanim
Satu kiriman SMS dihantar kepada Lia. Selepas beberapa
minit menunggu, barulah SMS itu berbalas.
Sorry Nim. Aku tak jawab call. Aku kat dalam tandas tadi.
- Lia
Kau kat sana apa cerita? Senyap je? - Hanim
Aku okey. Kau jangan risaulah. - Lia
Macam mana aku tak risau. Ayah kau kan sakit? Apa khabar
dia sekarang? - Hanim
Dia dah ok sikit. - Lia
Alhamdulillah. - Hanim
Encik Zakir apa khabar? Aku rindu sangatlah kat dia - Lia
Hanim terkaku tiba-tiba. SMS terakhir itu rasanya tidak
mampu hendak dibalas. Masih teringat-ingatkah Lia kepada Dinn Dzakir? Perkataan
'rindu' yang ditaip Lia itu membuatkan hatinya tidak betah lagi mahu membalas.
I miss him a lot. - Lia
Hanim seakan-akan mati kutu apabila membaca SMS yang
seterusnya daripada Lia mengenai rasa hati teman baiknya itu terhadap Dinn
Dzakir. miss him a lot.. ish, macamlah betul-betul pula si Lia ni bercinta
dengan Encik Zakir. Kasihannya Lia. Berharap benar nampaknya dia. Sekali lagi
kiriman SMS itu tidak dibalas.
Kau ada nombor handphone dia tak? - Lia
Siapa? - Hanim
Encik Zakirlah. Siapa lagi? - Lia
Hanim mendengus kecil. Pertanyaan daripada Lia itu
membuatkan dia serba salah untuk menjawab.
Ada - Hanim
Wah, bagusnya! Aku nak nombor handphone dia. Cepat sikit
tau. - Lia
Dengan rasa berat hati, Hanim lambat-lambat menaip setiap
angka yang tertera nombor telefon bimbit Dinn Dzakir kepada Lia. Lambat-lambat
juga dia menekan keypad 'send'.
Terima kasih, Nim! Kaulah sahabat aku dunia akhirat. -
Lia
Hanim mengeluh panjang. Tersayat benar rasa hatinya
ketika itu. Memang benarlah dia cemburu apabila ada perempuan lain yang cuba
mahu mendekati Dinn Dzakir dan berusaha ingin menambat hati lelaki itu.
Kalau siang hari tadi dia cemburukan Cik Sarah, sekarang
ini dia mengaku yang dia sedang cemburukan Lia. Cemburu hanya kerana satu
sebab. Dia juga menyintai Dinn Dzakir sepertimana jejaka itu menyintai dirinya.
Tetapi, kenapalah sukar benar dia mahu mengakui semua itu
di hadapan Dinn Dzakir. Berat sungguh mulutnya untuk menyatakan kebenaran.
Adakah kerana dia ego atau mengenangkan Lia yang juga mempunyai perasaan yang sama terhadap lelaki itu? Dia
gagal menemui jawapan di sebalik persoalan yang bermain-main dalam kepalanya.
Hanim cuba memejamkan mata tetapi rasa kantup masih tidak
dirasainya. Terkebil-kebil dia seorang diri di dalam rumah itu dengan ketiadaan
Lia. Kemudian, jam loceng di atas meja kecil mula mencuri tumpuan. Ah, masih
terlalu awal untuk dia tidur.
Selepas itu, dia terdengar bunyi ketukan di pintu rumah.
Bersegera dia bingkas dari katil lalu berjalan menuju ke arah pintu utama rumah
berkenaan. Siapa pula yang datang malam-malam begini? Mak Cik Senah ke? Takkan
malam-malam pun nak minta duit sewa rumah kut?
"Assalamualaikum," satu suara lelaki memberi
salam dari luar.
Hanim garu kepala. Sejak bila pulak Mak Cik Senah ni
bertukar suara jadi jantan? Dia tergelak kecil. Terasa lucu dengan mainan
kata-katanya.
"Waalaikumussalam," jawabnya sambil menguak
sebelah daun pintu.
Terjojol wajah Dinn Dzakir sambil tersenyum mesra.
"Eh, Encik Zakir? Buat apa malam-malam datang ke
rumah saya ni?"
"Makan malam, jom..," pelawa Dinn Dzakir masih
lagi tersenyum seperti tadi.
Oh my! Hanim menutup mulut. Kepala diraba-raba. Free
hair! Lekas-lekas dia menutup semula pintu rumahnya lalu berlari ke bilik untuk
mengambil tudung.
Dinn Dzakir terkulat-kulat di luar dengan tindakan Hanim
yang kelihatannya sungguh kelam kabut. Kemudian, dia tersengih kelucuan. Dari
hari ke hari, semakin tercuit hatinya dengan telatah spontan yang
dipertontonkan Hanim kepadanya.
Pintu rumah terbuka semula. Kelat senyuman yang
dipamerkan Hanim tika itu. Manakan tidak, dengan tidak sengaja Dinn Dzakir
sudah terpandangkan rambutnya. Itu auratnya.
"Bilalah agaknya hati Hanim akan terbuka untuk
terima saya? Terimalah saya sebagai suami. Penat saya tunggu," Dinn Dzakir
menuturkan kata itu secara tidak langsung.
Hanim tunduk. "Kalau penat, carilah perempuan
lain."
Dinn Dzakir menggeleng. Tidak bersetuju dengan kata-kata
Hanim. "Takkan ada perempuan lain dalam hati saya kecuali mak saya, adik
perempuan saya dan Hanim."
Hanim angkat muka. Sungguh jujur kedengarannya pengakuan
Dinn Dzakir itu. "Maafkan saya. Tak sepatutnya saya cakap macam tu pada
Encik Zakir. Sepatutnya, saya hormati perasaan Encik Zakir terhadap saya."
"Hanim sukakan saya tak?"
Hanim angguk.
"Hanim ada rasa cinta pada saya tak?"
Angguk lagi.
"Tak ada mulut nak cakap?" Sempat Dinn Dzakir
mengusik.
Hanim angkat muka. Sebal sedikit perasaannya dengan
soalan itu. "Saya dah angguk dua kali. Tak cukup lagi?" Bibirnya
digigit sedikit. Geram agaknya dia dengan Dinn Dzakir.
"Okey. Cukup dah tu.. janganlah marah..," Dinn
Dzakir tersenyum-senyum. Gembira nampaknya dia dengan pengakuan Hanim walaupun
hanya dengan anggukan sahaja. Tidak mengapalah. Dia faham benar. Tentu Hanim
malu mahu mengakuiya secara lisan.
"Alhamdulillah.. so, bila kita nak kahwin?"
"Kahwin?!" Hampir-hampir Hanim terjerit dengan
pertanyaan itu.
"Syyy..," jari telunjuk diletak pada bibir.
Dinn Dzakir mengisyaratkan supaya Hanim tidak terlalu kuat berbicara.
Hanim tersipu-sipu sebaik menyedari perlakuannya yang
diluar kebiasaan. Mahunya dia tidak terperanjat? Baru sahaja dia mengakui yang
dia juga menyintai lelaki yang sedang berdiri di hadapannya itu, tiba-tiba pula
si jejaka mengajaknya berkahwin. Memanglah dia terperanjat besar.
"Maaf. Saya sebenarnya terkejut Encik Zakir cakap
macam tu. Baru saja kenal dengan saya, Encik Zakir terus cakap soal
kahwin."
"Perancangan harus dibuat awal-awal. Nanti tak
adalah kalut sangat."
"Encik Zakir, saya rasa.. terlalu awal sangat la..
tak boleh ke kalau kita berkawan saja dulu?" Hanim membuat cadangan.
"Nak tunggu apa lagi?"
"Tunggu bila kita betul-betul dah bersedia."
"Tapi saya dah bersedia lama sangat dah.."
"Itu Encik Zakir. Saya.. belum bersedia apa-apa
lagi. Lagipun, Encik Zakir umur dah 31 tahun, memanglah boleh cakap macam tu.
Saya ni muda lagi."
"Kalau perempuan sebaya umur macam Hanim ni, tak
adalah muda sangat untuk berkahwin. Dah 23 tahun pun, kan? Dah tua la,"
Dinn Dzakir tersengih-sengih.
Hanim mencebik. Dah tua ke dia? Mengarut sajalah Encik
Zakir ni. Ketuk kepala tu kang baru tahu. Omelnya dalam hati.
"Kita bincang soal ni masa makan nanti boleh tak?
Pergilah bersiap. Saya tunggu," Dinn Dzakir mengubah topik.
Kemudian, Hanim membulatkan sedikit matanya seperti
teringatkan sesuatu. "Aik? Bukan ke malam ni Encik Zakir nak pergi dengar
ceramah Ustaz Azhar?"
Dinn Dzakir tersenyum lebar. Mahu tersembur nampaknya dia
dengan pertanyaan itu. Manakan tidak, sebenarnya alasan itu sengaja dicipta
untuk mengelak daripada bersetuju keluar dengan Cik Sarah pada malam ini.
"Hanim curi-curi dengar perbualan saya dengan Cik Sarah ye?"
"Ish, jangan nak perasanlah. Saya terrrdengar okey?
Terrrdengar..," Hanim menyangkal.
"Sebenarnya ceramah tu malam esok."
"Ooo.. kat mana tempatnya?"
"Hanim, kita borak nantilah ye? Saya lapar sangat
dah ni."
"Yalah!" Tak menyempat betul Encik Zakir ni.
Desis hatinya dan kemudian berlalu ke dalam rumah bagi menukar pakaian yang
lebih sesuai untuk keluar makan malam
dengan Dinn Dzakir. Kalau Lia tahu ni, habislah!
"RUMAH
siapa ni?" Soal Hanim sebaik sahaja sepasang kakinya memijak halaman rumah
Dinn Dzakir. Sebuah rumah kayu yang sederhana besar menarik perhatiannya untuk
bertanya.
"Rumah saya," ringkas Dinn Dzakir menjawab lalu
berjalan mendahului Hanim.
"Kenapa Encik Zakir bawa saya ke sini? Kata nak
pergi makan?" Hanim masih menyoal. Ragu-ragu nampaknya dia.
Dinn Dzakir berpaling. Kemudian, merenung setiap inci wajah
gadis itu. Nampak sangat Hanim seperti tidak mempercayainya. "Nak pergi
makanlah ni."
"Habis tu, kenapa Encik Zakir bawa saya ke rumah
Encik Zakir pulak?" Dalam keadaan gugup, Hanim terus menyoal. Bimbang
kalau Dinn Dzakir berniat tidak baik. Manalah tahu, zaman sekarang ni apa pun
boleh berlaku. Tas tangan yang berada di tangan, begitu kemas dipegang
seolah-olah hendak mempertahankan diri kalau Dinn Dzakir cuba
mengapa-apakannya.
Dinn Dzakir menggeleng. Riak wajah bimbang yang menghiasi
wajah comel itu membuatkan dia mengerti akan satu perkara. Lalu dia pun
menyoal, "Hanim ni macam takut2 saja kenapa?"
Belum pun sempat Hanim mahu menjawab pertanyaan itu,
kelibat seorang wanita separuh abad muncul di hadapan pintu rumah. "Eh?!
Dah sampai?!"
Dinn Dzakir memandang ke hadapan dan melemparkan senyuman
buat ibunya sementara Hanim pula tercengang-cengang sendirian. Langsung dia
tidak mengerti apa-apa.
"Laaa.. kenapa tercegat saja kat bawah tu? Marilah
naik," pelawa Mak Tijah apabila melihat Hanim yang masih berdiri dan tidak
berganjak dari tempat yang sama.
"Jemputlah naik, Hanim. Takkan tak sudi nak makan
malam di rumah saya? Erm, saya tahulah rumah saya ni tak seberapa. Hanya rumah
kampung je," giliran Dinn Dzakir pula mempelawa Hanim untuk naik ke rumahnya.
Eleh, mengada-ada betul Encik Zakir ni. Rumah yang Hanim
menyewa bersama Lia itu pun, rumah kayu juga, rumah kampung juga. Apa yang
hendak dihairankan? Itu baru sahaja Dinn Dzakir melihat rumah yang disewanya
bersama Lia. Belum lagi Dinn Dzakir melihat rumah keluarganya di Kampung Sekayu
yang terletak di Kuala Berang itu.
Kalaulah Dinn Dzakir pergi ke rumah kedua ibu bapanya,
sudah pasti masa itu juga Dinn Dzakir akan menghulurkan derma. Hanim tergelak
dalam hati apabila secara tidak langsung membuat rumusan seperti itu.
"Encik Zakir ni.. tak baik tau merendah diri,"
jawabnya sambil melangkah menaiki satu per satu anak tangga untuk naik ke
rumah.
Tangan dihulur untuk bersalam dengan Mak Tijah. Senyuman
paling manis diberikannya kepada ibu tua itu. "Makcik sihat?"
"Sihat, alhamdulillah.. marilah masuk. Makcik ada
masak banyak lauk istimewa malam ni tau," Mak Tijah segera menarik tangan
Hanim.
Dinn Dzakir yang berada di belakang sudah tersenyum
gembira apabila melihat ibunya menyambut baik kedatangan Hanim.
Semasa berada di meja makan. Hanim tidak puas disoal oleh
Mak Tijah. Kadang-kadang naik penat pula dia hendak menjawab setiap soalan yang
diajukan. Mahu mengelak daripada menjawab segala macam soalan itu, risau pula
nanti disalah anggap.
Dinn Dzakir pula diperhatikan Hanim begitu selera sekali
menjamah nasi. Sungguh tidak adil. Dia yang penat-penat nak kena jawab bermacam
soalan, Dinn Dzakir pula dilihatnya sedang rakus menikmati makan malam.
Selesai menikmati hidangan makan malam itu, Hanim
bergerak ke singki untuk mencuci pinggan namun dihalang keras oleh Mak Tijah.
Tetapi Hanim bertindak bijak dengan menggunakan teknik diplomasi dan akhirnya
Mak Tijah akur dengan permintaan Hanim.
Hampir dua jam Hanim berada di rumah Dinn Dzakir, dia
meminta diri untuk pulang.
Dalam kereta, Hanim lebih banyak diam berbanding Dinn
Dzakir yang lebih gemar berkata-kata. Tidak berpuas hati dengan tindakan Dinn
Dzakir yang membawanya berjumpa dengan Mak Tijah dalam keadaan dia belum
bersedia, Hanim mula membuka mulut. "Encik Zakir tak patut buat saya macam
ni tau."
Dinn Dzakir menoleh sekilas. "Maksud Hanim?"
"Kenapa bawa saya pergi ke rumah Encik Zakir?"
"Aii.. takkan salah kut? Mana ada undang-undang yang
mengatakan saya tak boleh bawa Hanim datang ke rumah saya?" Sindirnya
dengan soalan sambil tersengih kecil.
Hanim mencebik. "Loyar buruk pulak."
"Kenapa? Hanim tak suka ya datang ke teratak buruk
saya tu?"
"Teratak buruk? Melampaulah tu..," Hanim
mencebik.
"Habis tu, apa yang menjadi salahnya kalau saya bawa
Hanim datang ke rumah?"
"Salah tu tidaklah tapi.. kenapa bawa saya berjumpa
dengan mak Encik Zakir pulak?"
"Tak salah kan, kalau saya bawa Hanim pergi berjumpa
dengan mak saya? Daripada saya bawa
Hanim pergi ke tempat yang entah apa-apa. Bawa Hanim pergi merambu tak tentu
hala, tak tahu arah tujuan, lebih baik saya bawa Hanim datang ke rumah dan
perkenalkan pada mak saya. Atau, Hanim lebih suka kalau saya bawa Hanim pergi
ke tempat yang tak sepatutnya? Hanim lebih suka macam tu?" Ujar Dinn
Dzakir bernada serius.
Erk! Bibir digigit-gigit. Terkena Hanim pada kali ini.
Sungguhlah, Dinn Dzakir bukan calang-calang lelaki yang boleh disanggah setiap
bicaranya. Nampak luarannya sahaja seperti ala-ala lelaki mereng kerana suka
mengusik dan menyakatnya selama ini. Tetapi dalaman lelaki itu? Ah, dia masih
belum cukup mengenali lelaki ini sebenarnya.
No comments:
Post a Comment