DINN
DZAKIR memberhentikan keretanya di hadapan kedai emas. Dia
berhajat mahu membeli cincin pada hari ini. Cincin yang mahu diberikannya
kepada Hanim. Walaupun tanpa pengetahuan gadis itu, dia tidak peduli. Anggap
sahajalah dia ingin membuat kejutan kepada Hanim.
Sebaik sahaja dia melangkah masuk ke kedai emas. Dua
orang jurujual perempuan yang agak muda usianya mula berbisik-bisik sesama
mereka sambil tersenyum-senyum. Entah apa yang dibisikkan mereka agaknya, dia
sendiri pun tidak tahu.
"Saya datang nak beli cincin," selamba badak
sungguh Dinn Dzakir ini. Menonong sahaja berkata begitu tanpa memberi salam.
"Err.. Kat sini memang dijual cincin je. Kalau
rantai atau gelang, encik boleh pergi kat kedai sebelah," jawab salah
seorang daripada mereka berbaur gurauan. Kemudian, gadis itu tersengih.
Dinn Dzakir turut sama tersengih. Terkena pula dia.
"Duduklah encik," jemput seorang lagi gadis
yang lain.
Dia mengangguk sambil melabuhkan duduk di atas kerusi
yang tersedia di situ. Tumpuannya terus diberikan kepada susun atur
cincin-cincin yang berada di dalam cermin kaca. Kemudian, dia menggaru kepala.
Sukar untuk memilih barangkali kerana terdapat pelbagai cincin dengan rekaan
yang sungguh menarik.
"Encik nak yang mana?"
Dinn Dzakir menggosok dagu dan beralih pula menggosok
belakang lehernya. Sungguh tidak pandai dia hendak memilih. Kalaulah dibawa
Hanim bersama, bukankah lebih baik? "Saya tak tahulah nak pilih yang
mana."
"Kalau macam tu, boleh saya tanya encik nak berikan
pada siapa?"
Dia angkat muka. "Saya nak berikan pada buah hati
saya. Saya nak cakap dengan dia yang saya nak masuk meminang."
Sebaik mendengar jawapan daripada mulut Dinn Dzakir itu,
kedua-dua gadis berkenaan tergelak. Entah apa yang lucu agaknya.
Dinn Dzakir turut sama melepaskan tawa kecilnya. Dia tahu
kata-katanya tadi terlalu lurus kalau didengar. Memang patutlah kedua-dua gadis
itu tergelak.
"Maafkan kami ye. Encik ni kelakarlah."
"Kalau terlalu serius dalam sesi jual beli ni, nanti
kedua-dua pihak stress pulak, kan? Nak beli cincin ni bukannya macam nak beli
sayur," selorohnya bersahaja.
Kedua-dua gadis itu mengangguk laju. Kemudian, seorang
daripada mereka mengambil sebentuk cincin dengan rekaan terkini. "Saya
cadangkan encik beli cincin yang ini.. err.. tapi, macam mana dengan ukuran jari
teman wanita encik tu?"
Ya tak ya juga. Bisiknya sendiri. "Apa kata kalau
awak saja yang try. Saya rasa girlfriend saya tu jarinya lebih kurang je dengan
awak."
Seorang gadis yang dimaksudkan Dinn Dzakir itu mula
mengangguk bersetuju lalu menyarungkan cincin yang itu ke jari manisnya. Tak
besar sangat dan tak kecil sangat. Ngam-ngam saja!
Kemudian, cincin ditanggalkan lalu dihulurkan gadis itu
kepada Dinn Dzakir.
Dinn Dzakir mengambil cincin tersebut lalu dibeleknya
berkali-kali. Berkerut-kerut mukanya ketika membelek cincin berkenaan.
"Macam mana? Encik berkenan tak?"
"Berkenan?" Dia tersenyum dengan soalan itu.
"Masalahnya bukan saya yang nak pakai. Awak sepatutnya tanya soalan tu
pada buah hati saya dan bukannya pada saya. Saya masih lagi lelaki sejati,"
selorohnya.
Amboi Dinn Dzakir macam nak jual minyak saja dia.
Sekali lagi kedua-dua gadis itu tergelak kerana faham
dengan kata-kata itu. "Kami berdua rasa elok encik beli cincin yang kami
sarankan ni. Ini rekaan terbaru yang bos kami buat. Encik jangan risau. Bos
kami tu perempuan dan sebagai perempuan, dia tahu apa yang perempuan
suka."
Dia mengangguk beberapa kali tanda faham dengan
penjelasan yang diberikan kepadanya. "Okey. Saya ambil yang ini. Berapa
harganya?"
"RM2500,00.."
"Terima kad kredit tak? Saya tak bawa cash banyak
la.."
"Terima, encik.."
Tanpa membuang waktu, dia segera mengambil dompet lalu
dihulurkan sekeping kad kredit kepada salah seorang daripada mereka.
Selesai berurusan di kedai emas itu, dengan senang
hatinya dia terus beredar. Sudah tidak sabar lagi dia hendak berjumpa dengan
Hanim. Memandangkan hari ini merupakan
hari cuti umum, dia berhajat mahu membawa Hanim bersiar-siar.
Sebelum menghidupkan enjin kereta, telefon bimbit
dikeluarkan untuk menghubungi Hanim. Nak SMS atau nak call ni? Dia mula
mencongak-congak. Kalau dengan Hanim, dia lebih suka berSMS kerana dengan cara
itu, dia dapat rasa keadaannya lebih romantis.
Hari ni saya nak kidnap Hanim ;) - Dinn Dzakir
Dia tersenyum sambil menantikan balasan SMS daripada
Hanim.
Kidnap?? - Hanim
Jom kahwin ;) - Dinn Dzakir
Encik Zakir jangan nak mengarut okey? - Hanim
Kahwin perkara serius. Bukannya mengarut ;) - Dinn Dzakir
Hari ni Encik Zakir demam ek - Hanim
Demam nak kahwin ;) - Dinn Dzakir
Eee.. gatal :p - Hanim
Kahwinlah dengan saya. Please... ;) - Dinn Dzakir
Gatal, gatal, gatal :p - Hanim
Tolong garu ;) - Dinn Dzakir
Tak kuasalah. Garu sendiri :p - Hanim
I love you ;) - Dinn Dzakir
Senyap. Tiada balasan SMS yang seterusnya daripada Hanim.
Dia mula cuak. Tidak senang duduk nampaknya dia.
I love you - Dinn Dzakir
Sekali lagi ditaipnya ayat itu tetapi pada kali ini tidak
disertakan dengan smiley kenyit mata. Kononlah dia serius.
Saya juga - Hanim
Saya juga apa? - Dinn Dzakir
Saya juga cintakan Encik Zakir - Hanim
Kalau macam tu latihlah lidah Hanim tu untuk panggil saya
Abang Zakir ;) - Dinn Dzakir
Belum masanya lagi untuk saya panggil macam tu - Hanim
Nak tunggu sampai bila? - Dinn Dzakir
Sampai betul-betul kita ada jodoh - Hanim
Hanim menakutkan saya - Dinn Dzakir
Kenapa kata macam tu? - Hanim
Entahlah :( - Dinn Dzakir
Sedih pulak dia - Hanim
Dia meletakkan telefon bimbitnya di atas peha. SMS
terakhir daripada Hanim itu entah kenapa terasa berat hati untuk dibalas.
Kemudian, tangannya mula memulas kunci kereta tetapi belum sempat dia berbuat
demikian, sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi.
Encik Zakir marahkan saya ke? - Hanim
Tak marah la tapi saya rasa semacam - Dinn Dzakir
Maksud Encik Zakir? - Hanim
Bila Hanim kata macam tu, hati saya tak senang. kita
keluar nak? - Dinn Dzakir
Bila? - Hanim
Sekarang. Saya on the way ke rumah Hanim - Dinn Dzakir
Okey laaa... - Hanim
Horn kereta ditekan sekali dua sebelum dia bertindak
keluar dari kereta untuk memberi salam.
Tidak lama kemudian, muncul kelibat Hanim di muka pintu.
Hari ini gadis itu berpenampilan agak luar biasa sedikit. Berbaju kebaya labuh
dan berkasut tumit tinggi. Terpanar seketika Dinn Dzakir dibuatnya. Belum
pernah lagi dia melihat Hanim dengan pakaian seperti itu.
Sebaik Hanim berjalan menuju ke arahnya, lekas-lekas dia
membuka pintu kereta. Hanim melemparkan senyum tetapi dia hanya membatukan diri
pula. Bukan apa, agaknya masih terkejut dengan penampilan Hanim hari ini.
"Ni kalau pegang payung ni, dah sah-sah macam
nyonya. Untunglah tak ada payung kat tangan tu. Kalau tak, susah saya nak
bezakan antara Hanim dan nyonya kat negeri Melaka. Tersilap pandang, tak
pasal-pasal pulak yang terbawa nyonya pergi jalan-jalan. Eee.. tak sangguplah saya,"
sakatnya sambil tersengih.
Hanim tersenyum lebar mendengar usikan itu. Seakan sudah
lali, dia tidak membalas kata.
"Hanim nak masuk pertandingan ratu kebaya ke apa
ni?"
Hanim mencebik lalu membalas, "sindir sayalah
tu."
"Cantik Hanim hari ni. Betul ke buah hati saya ni?
Atau bidadari yang baru saja turun dari kayangan?" Tidak puas hendak
mengusik nampaknya dia. bibirnya pula makin lebar dengan senyuman.
Hanim menjeling dengan hujung mata. "Apa-apa
ajelah."
"Marahlah tu. Usik sikit pun tak boleh," bahu
dijungkit.
"Bukan tak bolehlah. Panas ni. Kalau nak mengusik
saya sekalipun, bukan kat bawah matahari yang terik ni tempatnya," ujar
Hanim dan kemudiannya terus memasuki perut kereta.
"Baiklah tuan puteri baju kebaya. Hamba menurut
perintah," balasnya lembut lalu tergelak kecil.
Dinn Dzakir memecut keretanya menuju ke Pantai Batu
Buruk. Kereta diparkir di bawah pokok rhu yang agak besar. Hari cuti begini,
begitu ramai sekali pengunjung yang datang ke pantai tersohor ini.
Masing-masing mengambil peluang untuk membawa keluarga bersantai-santai dan
bermandi-manda.
Kasut tumit tinggi yang dipakai Hanim tiba-tiba sahaja
terbenam ke dalam pasir. Hal itu membuatkan tubuhnya tidak seimbang. Untunglah
dia berjalan seiringan dengan Dinn Dzakir. Dengan tidak sengaja, pada bahu
lelaki itu menjadi tempat untuk dia berpaut.
"Siapa suruh pakai kasut tumit tinggi macam ni? Kan
dah jatuh?" Dinn Dzakir menggeleng lalu membongkok. "Saya tolong
tanggalkan, ye?"
"Tanggalkan apa?" Soal Hanim bernada sedikit
cuak.
Kepala didongak. "Kasut Hanim ni laa..,"
kemudian, dia tunduk semula sambil tangannya pantas menanggalkan kasut yang
dipakai Hanim itu.
"Terima kasih," ucap Hanim perlahan sebaik
sahaja Dinn Dzakir menanggalkan kasut yang dipakainya. Malu sungguh dia dengan
situasi itu. Malu bercampur bengang sebenarnya. Sekarang ini terpaksalah pula
dia berkaki ayam. Tidak mengapalah. Lagipun, pasir pantai bukannya kotor. Hanim
berbisik sendiri sekadar menyedapkan hati.
Kalaulah dia tahu Dinn Dzakir mahu membawanya ke pantai,
tidaklah dia memakai kasut bertumit tinggi begitu. sudahlah berkasut tumit
tinggi, berkebaya pulak tu. Aduhai!
"Jom kita duduk kat situ. Ada barang yang saya nak
bagi pada Hanim," usul Dinn Dzakir sambil berjalan ke arah sebuah bangku.
Sepasang kasut Hanim dibawanya bersama.
Hanim pula masih lagi berada di belakang. Susah betul dia
hendak berjalan kerana tangannya sering memegang kebaya yang dipakainya itu.
Angin kuat yang menyapa tubuhnya membuatkan dia berasa tidak selesa hendak
bergerak. Lengkuk-lengkuk tubuhnya pasti kelihatan apabila kebaya yang
dipakainya ditiup angin kuat sebegitu.
Dinn Dzakir menoleh memandang ke arah Hanim. Kemudian,
dia menghampiri gadis itu semula. Seolah-olah faham dengan situasi Hanim, dia
mula bersuara, "itulah.. lain kali pakailah seluar, kan senang. Tak adalah
Hanim susah-susah nak pegang baju kebaya tu selalu."
Hanim menoleh. "Manalah saya tahu Encik Zakir nak
bawa saya datang ke pantai? Saya ingatkan nak bawa saya jumpa dengan mak Encik
Zakir lagi," bidas Hanim. Geram juga dia dengan lelaki yang seorang ini.
Bukannya hendak memaklumkan kepadanya terlebih dahulu destinasi yang ingin
dituju. Main redah saja.
Sebaik sahaja mereka melabuhkan duduk. Hanim mula membuka
mulut. "Barang apa yang Encik Zakir nak bagi pada saya?"
Segaris senyuman terukir di bibir lalu tangan bertindak
mengeluarkan sebuah kotak kecil dari poket seluar. Hanya dengan sebelah tangan,
kotak kecil itu dibuka lalu disuakan di hadapan Hanim. "Bawa saya jumpa
dengan kedua orang tua Hanim. Saya nak hantar rombongan meminang secepat yang
mungkin."
Sepasang mata Hanim membulat. Sungguh drastik sekali
tindakan Encik Zakir ini. Liur diteguk sekali dua dan segera dia membalas kata,
"tapi.. tak.. tak cepat sangat ke, Encik Zakir?" Tergagap-gagap dia
menuturkan soalan itu.
"Perkara yang baik, tak perlu ditangguh-tangguh,
kan? Saya perlukan Hanim dalam hidup saya dan saya percaya Hanim juga perlukan
saya. Kita.. saling menyukai antara satu sama lain. Kita.. saling menyintai dan
Hanim tak boleh menipu saya. Kalau Hanim berkata tidak sekalipun, saya percaya
itu hanya di mulut Hanim saja dan bukannya terdetik di hati. kita.. kahwin, ya?
Jadilah suri dalam hidup saya dan saya benar-benar ikhlas bila saya maksudkan
begini. Sudi tak?"
Tanpa disedari, menitik air mata Hanim ketika itu.
Bait-bait kata yang meniti di bibir Dinn Dzakir dan menerjah pula ke gegendang
telinganya, begitu telus didengar. "Saya tak tahulah nak kata apa. Saya
terkejut sebenarnya dengan tindakan Encik Zakir ni. Entahlah.. bagi saya, terlalu
cepat sangat. Rasanya saya belum bersedia. Lagipun, segala keputusan bukan
terletak pada saya sorang. Samada bersetuju atau tidak, separuhnya bergantung
pada kedua-dua ibu bapa saya."
"Sebab tulah saya nak Hanim bawa saya jumpa dengan
mereka. Please, Hanim. Bawalah saya berjumpa dengan ibu bapa Hanim. Saya.. nak
sunting anak dara mereka dengan cara yang betul. Boleh ye?" Dinn Dzakir
sudah duduk melutut. Di atas pasir pula tu. Kotak cincin masih lagi kemas
dipegang.
Hanim diam tidak berkutik. Terpegun sebentar dengan
kelakuan Dinn Dzakir yang mempamerkan riak wajah seperti benar-benar berharap.
Dia masih lagi diam dan tidak tahu
hendak memberikan jawapan apa. Lantas, teringat dia akan satu perkara. Lia! Ya
Allah, apa yang aku dah buat ni? Kasihannya dia pada Lia. Kalaulah dia terima
lamaran Dinn Dzakir itu, pasti Lia akan kecewa.
"Encik Zakir, janganlah duduk melutut macam ni.
Malulah orang tengok," Hanim memandang sekeliling. Liar matanya melihat
pada kelibat-kelibat manusia yang lalu-lalang di hadapan.
"Selagi Hanim tak berikan jawapan apa-apa, saya
takkan bangun," pandai pula Dinn Dzakir mengugut.
Hanim mengetap bibir. Macam budak-budak! Desis hatinya.
"Yelah-yelah. Minggu depan saya bawa Encik Zakir jumpa mak ayah
saya," akhirnya dia memberi persetujuan.
Dinn Dzakir bingkas berdiri lalu mengambil tempat di
sebelah Hanim semula. Lebar sungguh senyumannya sejurus Hanim memberikan
persetujuan itu.
Kemudian, kotak cincin itu diberikannya kepada Hanim.
"Cincin ni anggap saja sebagai hadiah. Bila kedua-dua ibu bapa Hanim dah
setuju, nanti saya hantarkan cincin lain kepada wakil sebagai tanda ikatan
pertunangan. Macam mana? Hanim setuju?"
Bibir yang tercalit sedikit dengan lip gloss itu mula
tersenyum nipis. Tidak disangka-sangka Dinn Dzakir berkeras mahu melamarnya
juga walaupun dia sebenarnya kurang bersedia.
Kalaulah Lia tahu, apa pula anggapan teman baiknya itu.
Risaunya hati, hanya Allah saja yang tahu.
PULANG
dari Pantai Batu Buruk, Dinn Dzakir mahu membawa Hanim ke sebuah kedai makan
berhampiran.
Namun, sejurus sahaja kereta memasuki tempat parkir,
Hanim memegang perut dengan kedua-dua tangan. Tiba-tiba sahaja perutnya terasa
memulas-mulas. Berkerut wajahnya menahan sakit. Alamak! Periodkah? Dia pasti,
itu tanda-tanda period sedang menyerang. Tiba-tiba sahaja dia berasa tidak
selesa.
Macam mana dia nak keluar daripada kereta ni? Hanim
beriak cemas! Dalam beg tangannya pula, dia tidak pasti samada tuala wanita ada
dibawanya bersama atau tidak. Habislah dia kali ini.
"Kenapa ni? Sakit perut ke?" Dinn Dzakir
menyoal.
Hanim mengangguk laju tetapi kemudiannya menggeleng pula.
Dinn Dzakir memandang pelik dengan kelakuan Hanim.
"Hanim tak apa-apa ke ni? Semacam je saya tengok? Sekejap angguk kepala,
sekejap geleng kepala."
Alahai, macam mana dia nak beritahu pada Encik Zakir ni?
Hish, period. Masa ni jugak dia nak datang! Bebel Hanim sendiri.
Zip beg tangan dibuka lalu mengintai-intai isi di
dalamnya. Allah! Tak ada.. Apa nak buat ni? Hanim menggaru kasar kepalanya
sementara Dinn Dzakir pula masih memberi tumpuan kepada gadis yang kelihatannya
kelam kabut itu.
"Hanim ni kenapa? Susah hati betul saya tengok. Apa
yang tak kena ni? Macam ada masalah je."
Nampaknya Hanim tiada pilihan. Dia terpaksa
berterus-terang. Sekarang ini boleh dikatakan dia berada di dalam keadaan
darurat. Kalau malu sekalipun, takkanlah hendak dibiarkan. Nanti tinggalkan
kesan pula pada seat kereta Encik Zakir ini.
Dia mencongak-congak dan kemudian menoleh ke arah Dinn
Dzakir sambil berwajah kasihan. "Saya.. saya.. err.. sebenarnya saya..
pe.. pe.. period," lekas-lekas dia tunduk cuba menyembunyikan wajahnya
yang sudah memerah barangkali.
"Period?" Dinn Dzakir tidak memahami.
"Datang bulanlah..," Hanim tekankan suara.
Bibir diketap dan digigit. Geram betul
dia dengan Dinn Dzakir. Betul-betul tak faham atau memang sengaja tak faham?
Terkumat-kamit mulutnya seakan-akan berleter.
"Oohh.. faham-faham," Dinn Dzakir mengangguk
lalu membuang pandang keluar tingkap. Sebenarnya dia tersenyum ketika itu
tetapi terpaksa pula disembunyikan sahaja senyumannya itu. Bimbang kalau-kalau
Hanim ternampak. Nanti akan berkecil pula hati si gadis. Kalau boleh, dia tidak
mahu perasaan Hanim terguris.
"Saya risau nak keluar dari kereta. takut pula
nanti.."
"Tak apa.. saya faham..," lekas-lekas Dinn
Dzakir memotong kata-kata Hanim lalu bersegera memikirkan sesuatu.
"Hanim tak bawa.. err.. apa ya orang panggil?"
Dinn Dzakir garu kepala seketika. Bukannya dia tidak pandai hendak menyebut
keperluan peribadi wanita yang satu itu tetapi sebenarnya dia segan.
"Pad..," sepatah Hanim menjawab. Kedua-dua
tangan diramas. Malu sungguh dia hendak menyebutnya di hadapan lelaki itu.
Dinn Dzakir pantas menoleh. "Pad?"
"Tuala wanita laa..," segera Hanim memotong.
"Hanim tak bawa ke?"
Hanim menggeleng.
"Macam mana, ya..," Dinn Dzakir menggosok
berkali-kali dahinya. Memikirkan sesuatu agaknya dia.
Kemudian, pandangannya tertala ke arah sebuah kedai
runcit bersebelahan kedai makan itu. Satu idea muncul di kepala tiba-tiba.
"Hanim nampak tak ada kedai runcit kat sebelah kedai makan tu? Saya rasa..
Hanim boleh beli kat situ," Dinn Dzakir membuat cadangan.
Hanim mengangkat muka lalu memandang ke arah kedai runcit
yang dimaksudkan Dinn Dzakir. Aduhai Encik Zakir. Idea awak memang bernas tapi
malangnya kepala awak tak boleh fikir ke kat mana agaknya saya nak 'uruskan'
masalah saya ni? Takkan kat dalam kedai tu pulak? Hanim resah sendiri.
"Encik Zakir hantar saya balik jelah," akhirnya
Hanim memutuskan begitu.
"Eh, takkan nak balik? Kita belum makan lagi. Pergilah
Hanim beli dulu. lepas tu nanti saya carikan tandas, ya?" Dinn Dzakir pula
membuat cadangan yang lain.
"Tak mahulah. Saya susah dah ni nak keluar dari
kereta. Saya risau kalau-kalau..," Hanim tidak mampu berkata-kata lagi.
Takkanlah dia mahu straight to the point saja? Dia pun tidak tahu bahasa apa
yang perlu dia gunakan untuk bercakap soal itu dengan seorang lelaki yang masih
belum ada apa-apa ikatan dengannya. Kalau Dinn Dzakir itu abang kandungnya atau
suaminya, itu lain cerita.
"Macam ni lah.. apakata kalau saya yang pergi
belikan..," Seakan-akan faham dengan maksud Hanim, Dinn Dzakir menawarkan
diri.
Hanim tersentap. Laju sahaja kepalanya tertoleh ke arah
Dinn Dzakir. "Tapi.. Encik Zakir tak kisah ke?"
"Kisah atau tidak, keadaan tengah darurat sekarang
ni. Biar saya jelah yang tolong belikan. Hanim tunggu dalam kereta, okey?"
"Okey..," mendatar sahaja bunyinya suara Hanim.
Tidak mampu lagi hendak menyangkal apa-apa.
"Lagi satu.. nanti saya belikan selipar lain untuk
Hanim. Kalau pakai kasut tumit tinggi tu rasanya tak sesuai pulak. Erm, Hanim
pakai size berapa?"
"Size 5."
"Kecilnya kaki dia."
"Beli yang cantik-cantik tau," sempat Hanim
berpesan.
"Iyelah," sepatah Dinn Dzakir menjawab sambil
membuka pintu kereta.
Sebaik Dinn Dzakir melangkah keluar dari kereta, dia
segera memeriksa belakang baju kebaya yang dipakainya. Risau benar dia
andaikata ada kesan yang melekat pada
bajunya itu. Selepas berpuas hati, dia menarik nafas lega. Kesan periodnya
tidak ada.
Sepasang mata dipejam sambil menyandarkan kepalanya
dengan selesa. Sakit perutnya juga hilang serta-merta. Haai.. perut pun pandai
nak bermanja dengan Dinn Dzakir ya. Dia tersenyum sendiri lalu membuang pandang
keluar tingkap. Diperhatikan Dinn Dzakir dari jauh yang sedang berurusan dengan
pemilik kedai.
Baik sungguh dia. Tanpa sedar, Hanim memuji.
"AGAKNYA,
bila lagi kita dapat keluar macam ni?" Dinn Dzakir mengajukan soalan itu
sambil beriak gembira.
"Entahlah. Saya rasa, kita tak perlu keluar sangat
dah kut?" Balas Hanim.
"Kenapa pulak? Hanim dah tak mahu keluar dengan saya
lagi ke?"
"Bukan tak mahu.. tapi, saya rasa macam tak elok
kalau kita selalu sangat keluar berdua. Kalau ada orang lain, tak apalah
jugak."
"Kalau macam tu, lain kali saya ajak mak saya.
Nak?"
Hanim tersenyum lalu menoleh memandang Dinn Dzakir yang
sedang beriak lurus. Ada juga ya lelaki macam ni. Sanggup ajak emaknya sekali
untuk keluar dating dengan kekasih hati. Bagus betullah Encik Zakir ni.
"Kenapa Hanim pandang saya macam tu?"
"Encik Zakir ni lucu."
"Lucu?"
Hanim mengangguk perlahan.
"Kenapa? Apa yang lucu?"
"Tak ada laa.. maksud lucu yang saya cakapkan tu,
perangai Encik Zakir ni lain sangat kalau nak disamakan dengan lelaki lain.
Macam.. err.. lelaki edisi terhad gitu. Susah nak cari kat dalam Malaysia
ni."
"Haaa.. sebab itulah Hanim beruntung kalau dapat
kahwin dengan saya," potongnya dengan bicara Hanim dalam nada memuji diri
sendiri.
"Eleh, perasanlah tu..," Hanim mencemikkan
muka.
"Dah buah hati sendiri yang memuji, lelaki manalah
yang tak perasan Cik Hanim ooii..," Dinn Dzakir tersenyum-senyum di hujung
bicara itu. gembira benar nampaknya dia. Mengalahkan seorang kanak-kanak yang
gembira apabila mendapat aiskrim pula.
"Okeylah.. saya, turun dulu eh?"
"Hati-hati. Kalau jatuh, bangun sendiri..,"
Dinn Dzakir tersengih.
Hanim membulatkan mata sambil mengisyaratkan kedua-dua
tangan mahu mencekik leher Dinn Dzakir. Tak sudah-sudah mahu mengusik.
Pintu kereta ditutup Hanim tetapi Dinn Dzakir yang masih
berada di dalam kereta lekas-lekas pula keluar lalu dibawanya bersama sepasang
kasut yang tertinggal.
"Hanim!"
Hanim berpaling. Saat itu juga pandangannya tertala pada
sepasang kasut tumit tingginya yang berada di tangan Dinn Dzakir. Lelaki itu
melemparkan senyum seraya berjalan menghampirinya.
"Cinderella saya tertinggal kasut dalam
kereta," usiknya.
Hanim tersipu-sipu. "Maaflah, terlupa pulak."
"Cepat sangat Hanim hilang ingatan ek. Tu belum lagi
jadi isteri saya. Nanti bila dah jadi isteri saya, entah-entah dengan saya-saya
sekali Hanim boleh lupa."
Hanim tersenyum. Hari ini, tidak kering gusi dia dengan
bicara-bicara gurauan daripada lelaki itu. "Ada-ada jelah. Bak sini kasut
tu."
Belum sempat Hanim mahu mengambil kasut itu daripada
tangan Dinn Dzakir, lelaki itu bertindak menyorokkan kasut itu di belakang
badan.
"Encik Zakir jangan main-mainlah."
"Dah dapat selipar baru, kasut pula yang
ditinggalkan ye? Hailaa kasut.. kasihan betul dengan kau ni..," Dinn
Dzakir tersengih panjang.
"Hanim nak kasut, kan?"
"Ya."
"Kena bagi upah kat saya dulu."
"Apa dia?"
"Panggil saya dengan panggilan abang."
"Tak mahulah."
"Tak mahu?"
Hanim lekas-lekas menggeleng.
Dinn Dzakir mengeluh panjang. Wajahnya beriak hampa
tiba-tiba.
Tidak sampai hati melihat wajah Dinn Dzakir, Hanim terus
membuka mulut untuk memenuhi permintaan itu. "Okey laa.. err.. aaaa..
abang."
Dinn Dzakir tertawa. Gembira nampaknya dia. Hampir-hampir
sahaja dia mahu melompat apabila Hanim memanggilnya dengan panggilan mesra itu.
"Nakal la Encik Zakir ni. Dah, bawak mari sini kasut
saya tu."
"Tak mahu."
"Apa lagi ni? Kan, saya dah tunaikan apa yang Encik
Zakir nak. Apa lagi yang Encik Zakir mahu ni?" Hanim mula mencekak sebelah
pinggang. Lelah betul dengan karenah kekasih hatinya ini.
"Ada satu perkara lagi. Saya nak upah yang
lain." Dinn Zakir tersengih panjang.
Hanim mengeluh. "Apa lagi?"
"Esok pagi-pagi sebelum saya masuk ke pejabat, saya
nak ada secawan nescaffe atas meja saya."
"Itu je?" Soal Hanim untuk benar-benar pasti.
Dinn Dzakir angguk.
"Okey. Tak ada masalah," jawab Hanim sambil
mengangkat tangan sebagai isyarat supaya Dinn Dzakir mengembalikan kasut
kepunyaannya.
No comments:
Post a Comment