DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

KALAU SUNGGUH BAGAI DIKATA - BAB 10



LIA berpeluk tubuh. Berkali-kali dia mendengus kasar. Geram sungguh dia dengan apa yang terhidang di hadapan mata. Bunyi deruman enjin kereta di halaman rumah menarik perhatiannya untuk mengintai dari celah tingkap. Dan apa yang dilihat, begitu menyakitkan hati!
            Sebaik sahaja kereta itu bergerak, Lia terus keluar mendapatkan Hanim yang baru sahaja menanggalkan selipar.
            "Eh, Lia. Kau dah balik? Bila masa kau sampai? Tak cakap dengan aku pun kau nak balik?" Hanim menyoal bertalu-talu. Rindu benar dia dengan Lia dan terus sahaja menerpa ke arah Lia untuk dipeluk.
            "Jangan sentuh aku la!" Marah Lia tiba-tiba lalu bergerak masuk ke dalam rumah semula.
            Hanim terpinga-pinga. Langsung tidak faham dengan tindakbalas Lia. Lalu, dia juga turut sama masuk ke dalam rumah. "Kenapa dengan kau ni Lia?" Soalnya.
            Sejurus soalan itu yang menampar telinga, Lia langsung sahaja berpaling. "Kenapa dengan aku? Hei pompuan! Kau ni memang jenis kawan makan kawan, kan?!"
            Berkerut-kerut wajah Hanim apabila Lia berkata begitu. Terkejut benar dia. Selama ini, belum pernah lagi Lia memarahinya. Dia sendiri pun tidak tahu puncanya. "Kenapa kau cakap macam ni, Lia? Janganlah marah-marah aku macam ni sebab aku tak tahu apa salah yang aku dah buat."
            Lia mencerlungkan matanya lalu menghampiri Hanim yang masih tercegat berdiri di tempat yang sama. Bahu Hanim ditujahnya sekali dua dan kemudiannya dia berkata, "kenapa kau tikam aku dari belakang?! Aku tak sangka perangai kau macam ni. Kau kan, tahu aku sukakan Encik Zakir tapi kenapa kau keluar dengan dia? Kau memang ada niat nak pikat dia, kan?! Jadi, kau ambil kesempatan di atas ketiadaan aku kat rumah!"
            "Astaghfirullahalazim, Lia.. aku tak buat seperti apa yang kau tuduh ni. Aku tak ada niat langsung nak pikat dia tapi dia..." Hanim tidak dapat menghabiskan kata-kata kerana sebak sudah mula menguasai dirinya.
            Perlukah dia menerangkan semuanya kepada Lia? Adakah perlu dia berterus-terang yang selama ini dia juga turut sama menyukai Dinn Dzakir secara diam-diam tanpa pengetahuan Lia?
            Tidak.. tak mungkin dia akan berkata begitu kerana tidak mahu menyemarakkan lagi api kemarahan yang ada dalam diri Lia sekarang ini. Tetapi kalau keadaan sudah memaksa, dia tiada pilihan lain.
            "Tapi dia apa? Hah? kau jangan cuba nak putarbelitkan cerita. Kau nak cakap yang Encik Zakir tu pikat kau terlebih dulu? Hei, Hanim.. aku kenal la lelaki spesis macam Encik Zakir tu! Kalau bukan perempuan yang mulakan dulu, dia tak akan melayan!" Sekali lagi bahu Hanim ditujahnya. Kali ini lebih kasar.
            Hanim tunduk. Liur ditelan beberapa kali. Air matanya pula sudah mula bergenang di kelopak. Tunggu masa sahaja untuk dirembeskan keluar. "Aku tak pikat dia, Lia.. percayalah cakap aku. Aku tahu kau sukakan dia..."
            "Kalau kau dah tahu aku sukakan dia, kenapa kau keluar jugak dengan dia?!" Lia memotong percakapan Hanim tiba-tiba. Kali ini hilang sabarnya dan terus menolak Hanim sehingga teman baiknya itu terjelupuk jatuh ke lantai.
            Saat itu juga air mata sudah tidak dapat dikawal. Hanim menangis. Kenapa sampai begini sekali Lia memperlakukan dirinya. Hanya kerana seorang lelaki, Lia sanggup memarahinya. Dia mendongak memandang Lia yang sedang berwajah bengis. "Aku minta maaf, Lia. Aku.. aku akan berterus-terang dengan kau sekarang."
            "Kau nak berterus-terang apa? Ooo.. kau nak mengaku yang kau memang betul-betul la ada niat nak merampas Encik Zakir dari tangan aku? Kan?!"
            "Kau salah, Lia! Aku tak ada niat sikit pun nak buat macam tu. Ya.. memang betul.. memang betul aku juga sukakan dia tapi selama ni aku langsung tak cakap dengan kau sebab aku tahu kau pun sukakan dia. Jadi masa tu.. aku mengalah tapi dalam masa yang sama.. Encik Zakir.."
            "Encik Zakir apa?!" Tengking Lia sebelum Hanim sempat menghabiskan luahan hatinya.
            "Encik Zakir cakap dia.. dia cintakan aku. Tadi.. tadi dia dah lamar aku dan minggu depan, dia nak jumpa dengan keluarga aku. Tak lama lagi kami akan bertunang...," bergetar suara Hanim apabila meluahkan perkara itu.
            Lia terpanar dengan bicara Hanim. "Kau jangan nak reka ceritalah, Hanim. Mustahil!"
            Hanim mendongak. Sepasang matanya berkaca-kaca memandang ke arah Lia. "Tak mungkin aku akan berbohong dengan kau, Lia. Aku cakap perkara yang betul. Sebagai kawan yang paling rapat dengan aku, tak mungkin aku akan menipu kau..," Hanim menarik nafas seketika.
            Kemudian, dia menyambung, "memang selama ni aku mengaku yang aku juga sukakan Encik Zakir tapi aku tak pandai nak pikat dia seperti apa yang kau buat pada dia.. dan, dalam masa yang sama jugak.. rupanya dia juga sukakan aku cuma aku saja yang tak tahu..," bicaranya terhenti lagi seraya kepalanya tunduk menekur tikar.
            "Sepanjang kau tak ada, macam-macam yang dia buat untuk aku terima dia. Pada awalnya aku menolak sebab aku fikirkan kau. Aku juga dah beritahu dia awal-awal yang kau juga sukakan dia..," luahan hati Hanim berakhir di situ selepas panjang lebar dia berbicara.
            Lia membulatkan mata. "Kau ada beritahu yang aku sukakan dia?" Sudah mengendur sedikit suara Lia ketika menuturkan soalan itu.
            Hanim hanya mengangguk lemah.
            "Dah tu, dia cakap apa?" Soal Lia seperti tidak sabar untuk tahu segala isi cerita.
            "Maafkan aku. Tentang hal itu, kau kena tanya dengan Encik Zakir sendiri. Aku tak boleh nak cakap untuk wakilkan dia sebab takut nanti bercanggah pula. Aku sarankan lebih baik kau tanya dengan dia terus supaya kau akan lebih rasa puas hati..," lancar tutur kata Hanim ketika berbicara seperti itu. Kemudian, perlahan-lahan dia bangun lalu mendekati Lia yang kelihatannya sudah beriak tenang sedikit.
            "Lia, aku minta maaf dengan kau. Aku.. aku tak sangka perkara macam ni boleh berlaku pada kita," tutur Hanim sambil menyeka air mata dengan hujung lengan baju kebaya yang dipakainya.
            Lia hanya diam membatukan diri. Wajahnya berubah masam mencuka dengan segala apa yang baru sahaja didengarinya daripada mulut Hanim. Kemudian, dia melangkah masuk ke bilik tanpa menghiraukan Hanim yang sudah pun meminta maaf.
            "Lia!" Panggil Hanim lalu dia berjalan menuju ke arah pintu bilik Lia yang sudah pun berkunci dari dalam.
            Pintu diketuknya perlahan. "Maafkan aku Lia.."
            Tiada balasan lalu Hanim beredar dengan langkah yang lemah menuju ke biliknya pula.
            Di dalam bilik, Hanim segera berbaring. Sekali lagi dia menangis kerana mengenangkan kejadian sebentar tadi. Namun, ketika dia sedang menangis begitu, tiba-tiba sahaja telefon bimbitnya berbunyi.
            Dia bingkas sambil membuka tudung. Terhurai rambutnya yang panjang dan ikal itu selepas tudung ditariknya ke depan lalu tangannya pantas membuka zip beg tangan untuk mengambil telefon bimbit di dalamnya.
            Tertera nama 'Encik Dinn Dzakir' di atas skrin. Tiada rasa untuk menekan keypad hijau ketika itu, dia hanya meletakkan telefon bimbit itu di atas bantal.
            Sekali lagi telefon bimbitnya berbunyi. Dia menjeling lalu mengambil semula telefon bimbit kepunyaannya. Di atas skrin, masih tertera nama orang yang sama. Kasihan pula pada Dinn Dzakir kalau dia tidak menjawabnya.
            "Encik Zakir nak apa?"
            "Amboi.. tak sempat saya nak bagi salam."
            "Cakaplah, Encik Zakir nak apa?" Soalnya lagi dengan nada suara yang tidak mesra.
            "Kenapa ni? Bunyi macam marah je? Terus saja Hanim tanya saya nak apa. Hello pun tidak. Marah saya eh sebab lambat call Hanim?"
            "Tak ada sebablah saya nak marah kalau setakat Encik Zakir lambat call. Lagipun tadi Encik Zakir tak buat janji pun nak call saya. Jadi, buat apa pulak saya nak marah..," suaranya mendatar.
            "Kenapa saya dengar suara Hanim lain macam je ni? Hanim tak sihat ke?"
            "Saya sihatlah. Baru je tadi kita jumpa kan? Saya sihat apa."
            "Tapi, kenapa saya dengar suara Hanim macam orang demam je? Sengau bunyinya."
            Erk! Kuat betul rasa hati Encik Zakir ni. Memang betul lah suara dia sengau sedikit. Itupun gara-gara dia menangis.
            "Hanim menangis ke?"
            Belum sempat dia hendak menjawab pertanyaan itu, Dinn Dzakir sudah membuat telahan sendiri di hujung talian. Memang benarlah, kuat betul rasa hati Encik Zakir ni.
            "Mana ada saya menangis. Saya selsema je," dia menipu.
            "Selsema? Aik.. petang tadi elok je saya tengok? Tak selsema pun?"
            "Err.. mungkin sebab saya terlalu lama terdedah dengan angin pantai agaknya. Sebab itulah tiba-tiba je saya dapat selsema ni bila pulang ke rumah," dia menipu lagi untuk kali yang kedua.
            "Kalau macam tu, lepas maghrib saya pergi ke rumah Hanim. Nanti kita pergi klinik," tiba-tiba Dinn Dzakir membuat cadangan.
            "Eh, tak perlulah Encik Zakir!" Hanim kelihatan cemas tiba-tiba. Manakan tidak cemas. Kalaulah Dinn Dzakir datang ke rumahnya, sudah tentulah lelaki itu akan ternampak matanya yang sudah bengkak akibat daripada menangis tadi.
            "Kenapa pulak? Nanti kalau dibiarkan selsema tu, boleh dapat demam pulak tau."
            "Saya cakap tak perlu. Saya.. err.. saya dah makan ubat la. Kejap lagi okeylah ni. Encik Zakir tak perlu risaulah," tegas Hanim.
            "Macam mana saya tak risau kalau kekasih hati saya sakit."
            "Alah, selsema sikit je. Nanti sembuhlah. Bukannya saya sakit terlantar tak boleh nak bangun sampai berbulan-bulan," tegasnya lagi untuk kesekian kali.
            Harap-haraplah Dinn Dzakir tidak datang ke rumahnya pada malam ini. Bukannya boleh dia percaya sangat dengan Dinn Dzakir itu. Mahunya dibuat perangai seperti malam kelmarin, haru biru dia dibuatnya nanti. Tambahan lagi Lia sudah pulang dan ditambah pula dengan  kejadian yang berlaku tadi. Jadi, Hanim rasa tidak enaklah pula.
            "Betul ni, Hanim dah makan ubat?" Soal Dinn Dzakir lagi di hujung talian. Suaranya juga bernada ragu-ragu pada pendengaran telinga Hanim. Seolah-olah lelaki itu tidak mempercayainya.
            "Iyeee.. betulll..," jawab Hanim. Sengaja dia bersuara meleret begitu untuk menambah keyakinan di pihak Dinn Dzakir sendiri.
            "Esok kalau saya dapat tahu Hanim tipu saya, siap Hanim..," Dinn Dzakir mengugut tiba-tiba.
            Hanim mencebik lalu menyoal, "kalau saya menipu, Encik Zakir nak buat apa?"
            "Haa.. satu soalan yang bijak. Erm, kalau saya tahu Hanim menipu, saya akan denda!"
            "Denda?"
            "Ya, denda.."
            Terdengar tawa halus Dinn Dzakir menerobos gegendang telinganya, Hanim pantas menyoal kembali. "Denda apa?"
            "Hanim kena kiss pipi saya 100 kali."
            Mulut Hanim ternganga. "Bukan muhrim!"
            "Sekarang belum lagi. Tunggulah lepas kahwin, denda itu saya akan tuntut!"
            Hanim diam. Penat hendak melayan Dinn Dzakir, dia meminta diri untuk menghentikan perbualan. Untunglah sikap lelaki itu tidak mengada-ada  terlampau malam ini. Kalau tidak, mana hendak berbual dengan Dinn Dzakir, mana lagi hendak memikirkan soal dia dan Lia yang sudah bertikam lidah. Lama-lama, boleh jadi gila dia dibuatnya.



USAI memasak untuk makan pada malam itu, Hanim mengetuk pintu bilik Lia. "Lia, marilah kita makan. Aku dah siap masak ni. Aku tahu malam ni sebenarnya giliran kau yang masak tapi aku tahu kau penat sebab baru saja pulang dari kampung. Jadi, aku masaklah."
            Senyap sunyi tiada balasan kata daripada Lia di dalam sana. Hanim mengeluh berat. Dia tahu Lia masih memarahinya. Tidakkah ada satu perasaan mengalah di pihak teman baiknya itu?
            Dia pun sudah banyak mengalah dengan Lia selama ini. Dia benar-benar menghargai persahabatannya dengan Lia. "Lia.. sekali lagi aku minta maaf. Marilah keluar makan. Aku tahu kau lapar sebab sejak petang tadi kau tak keluar dari bilik. Sekarang ni dah malam. Keluarlah Lia," pujuknya lembut dan mengharapkan agar temannya itu termakan dengan pujukannya.
            "Aku takkan keluarlah, bodoh! Kau makanlah sorang-sorang!" Tiba-tiba Lia menengking dari dalam.
            Perkataan 'bodoh' menerjah telinganya tetapi dia sudah lali dengan herdikan yang seperti itu kerana selama ini kalau mereka berdua berselisih faham tentang satu-satu perkara, pasti Lia akan menggunakan perkataan yang tidak enak didengar kepadanya.
            "Janganlah macam tu, Lia. Kan, aku dah minta maaf? Kau maafkanlah aku, ya? Kalau kau tak nak maafkan aku sekalipun, tak apalah tapi sekurang-kurangnya kau keluarlah untuk makan. Nanti perut kau tu masuk angin pulak," pujuk Hanim lagi tidak mahu berputus asa.
            "Kau jangan nak buat baik dengan akulah, Hanim! Tak perlu nak bermuka-muka dengan aku! Kau memang kawan yang tak guna! Tak guna tahu tak?!" Tengking Lia lagi.
            Tersayat benar Hanim tika itu. Kata-kata Lia sangat pedas dan berapi. Ya Allah, apa yang perlu aku buat? Soalnya sendiri dan kemudiannya melepaskan satu keluhan panjang. "Lia, kau nak cakap apa sekalipun kau cakaplah. Kau nak maki aku ke, nak herdik aku ke, aku tak kisah tapi tolonglah keluar. Aku risau ni."
            Sebaik sahaja Hanim berkata begitu, pintu bilik Lia terkuak dari dalam. Kasar! "Kau nak risaukan aku pasal apa? Hah?! Kau sepatutnya gembira bila tengok keadaan aku macam ni!"
            Hanim meneguk liurnya berkali-kali apabila terpandangkan wajah Lia yang kusam dan sepasang mata rakannya itu membengkak. Bebola matanya juga merah seperti biji saga. Hanim tahu, Lia baru sahaja selesai menangis. Kini, fahamlah Hanim bahawa Lia betul-betul menyintai Dinn Dzakir. Tentu cinta Lia sangat telus terhadap lelaki itu.
            Tetapi bagaimana pula dengan cintanya terhadap Dinn Dzakir? Tidakkah telus juga? "Lia, kau menangis ye?" Soalnya.
            "Habis kau ingat apa?! Kau ingat aku melompat-lompat kat dalam bilik aku tu?! Hah?!" Jerkah Lia sehingga membuatkan Hanim tersentak beberapa kali.
            "Lia, sudah-sudahlah tu marahkan aku. Dah banyak kali aku minta maaf dengan kau. Takkanlah kau langsung tak boleh maafkan aku? Kita dah lama kawan, Lia."
            "Kau nak aku maafkan kau?!" Jerkah Lia lagi dengan soalan itu.
            Laju sahaja Hanim mengangguk. "Cakaplah, kau nak suruh aku buat apa supaya kau dapat maafkan aku?"
            Lia tersenyum sinis seolah-olah ada satu rencana dalam pemikirannya. "Okey. Kalau macam tu, aku nak kau putuskan hubungan dengan Encik Zakir!" Pinta Lia seakan-akan mendesak Hanim.
            Bulat mata Hanim memandang Lia. Tidak disangka-sangka, itu permintaan yang Lia buat. "Takkan sampai macam tu sekali?" Hanim menggeleng.
            Tidak sanggup rasanya dia untuk memenuhi permintaan itu. Sanggupkah dia mengorbankan perasaannya sendiri? Sanggupkah dia? Meminta putuskan hubungan dengan Dinn Dzakir semata-mata untuk dirinya dimaafkan Lia? Mungkin tidak.
            "Baiklah. Kalau kau tak sanggup, aku rasa setakat ini sajalah kita berkawan. Kau boleh angkut semua pakaian kau dan tinggalkan rumah ni. Aku menyesal tolong kau dapatkan kerja di syarikat itu. Aku menyesal kau faham tak?! Kau memang jernis kawan makan kawan, suka tikam dari belakang dan jenis kawan yang tak mengenang budi!" Tengking Lia dengan sekuat hati. Tanpa dia sedar, tidak sepatutnya dia berkata begitu kepada Hanim kerana rumah yang diduduki mereka itu turut sama Hanim membayarkan sewanya.
            "Lia! Janganlah sampai macam ni sekali kau buat keputusan. Aku dah anggap kau macam keluarga sendiri. Aku tak mahu sampai kita putus hubungan sebagai kawan. Janganlah buat keputusan terburu-buru, Lia."
            "Kalau macam tu, putuskan jugak hubungan cinta kau dengan Encik Zakir tu! Aku tak peduli!" Tempik Lia sehingga bergema satu rumah itu.
            "Baiklah, kalau itu yang kau nak..," Hanim tunduk. Beberapa titisan air matanya sudah pun merembes keluar. Pilu sungguh rasanya dia dengan permintaan Lia itu.
            Tetapi bagi Hanim, perhubungan dia sebagai kawan adalah lebih penting kalau hendak dibandingkan perhubungan dia sebagai kekasih. Lagipun, dia dan Dinn Dzakir baru sahaja hendak bermula.
            Baru sahaja beberapa hari menyemai kasih, jadi.. tidak terlalu terlukalah dia andaikata hubungan cinta itu diputuskan. Tetapi bagaimana pula dengan Dinn Dzakir? Mampukah lelaki itu menerima penjelasannya nanti?
            Lia tersenyum sambil melangkah riang menuju ke dapur sementara Hanim pula masuk ke bilik dan tidak keluar-keluar lagi selepas itu. Dibiarkan sahaja Lia makan malam seorang diri dan Lia pula tiadalah mahu memujuk Hanim untuk diajak makan bersama. Kawan baik apakah itu?


DINN DZAKIR melangkah masuk ke bilik pejabatnya tanpa menjengah ke pantri terlebih dahulu. Selalunya, dia akan ke pantri sebelum masuk ke bilik. Bukan apa, dia sebenarnya mahu melihat ada atau tidak secawan nescaffe yang dipesannya kepada Hanim semalam.
            Perlahan-lahan dia melangkah rapat ke meja. Usahkan secawan nescaffe, sebotol air mineral pun tidak ada. Takkan Hanim lupa? Soalnya sendiri sambil menoleh melihat pada cermin kaca yang memisahkan biliknya dengan ruangan pekerja-pekerja di luar. Terjenguk-jenguk dia mahu melihat kalau-kalau ternampak kelibat Hanim di situ.
            Tiada juga? Ini bermakna Hanim masih berada di dalam pantri. Ah, tentu Hanim terlalu sibuk pagi ini. Mana sempat hendak melayan dia seorang. Dalam pada dia berkira-kira seorang diri itu, akhirnya dia mengambil keputusan untuk membiarkannya sahaja dan tidak mahu mengganggu Hanim melakukan tugasnya.
            Dia pun sama. Agak sibuk juga pada hari ini. Perlu ke tapak projek tengahari nanti dan pagi ini pula dia perlu menghadap muka Encik Shukor dan Cik Sarah.
            Pagi ini mereka bertiga ada mesyuarat ringkas bersama pengarah. Lukisan pelan juga perlu dibawanya bersama ke dalam bilik mesyuarat itu nanti untuk ditunjukkan kepada mereka.
            Dinn Dzakir melabuhkan duduknya di atas kerusi. Tangannya lincah membuat kerja. Belum sempat punggungnya panas duduk di atas kerusi itu, pintu bilik pejabatnya pula diketuk lalu lekas-lekas dia mendongak. Pasti itu Hanim!
            Secepat kilat dia bingkas dari kerusi lalu melangkah laju ke arah pintu. Pantas tangannya memulas tombol pintu kerana kasihankan Hanim yang pasti memegang dulang dengan kedua-dua tangan membawakan sarapan.
            Sebaik daun pintu dikuak, perempuan lain pula yang muncul sambil membawa dulang di tangan dan perempuan itu adalah Lia. "Oh, awak..," hampa riak wajahnya ketika itu lalu bergerak ke mejanya semula.
            Sebelah tangannya dicekak ke pinggang. Mana Hanim ni? Resah sedikit  nampaknya dia. Lain yang ditunggu, lain pula yang muncul. Desis hatinya lalu segera dia menyoal Lia, "bila awak balik?"
            Lia sengaja melebarkan senyumnya sambil meletakkan secawan milo dengan lagak sopan. Sopan yang dibuat-buat sebenarnya. Maklumlah, hendak mengambil hati si jejaka tampan, kenalah pandai berlakon baik.
            "Semalam. Encik Zakir apa khabar? Lebih kacak nampaknya hari ni?" Soal Lia. Nada suaranya sengaja dilantunkan dengan nada menggoda.
            Dinn Dzakir berdehem kecil. "Khabar baik. Err.. Hanim mana?"
            Lia berwajah kusam tiba-tiba. Nama itu juga yang disebut Dinn Dzakir. Menyampah betul dia. "Hanim ada je kat pantri tu tapi biasalah dia.. buat kerja bukannya tahu bersungguh-sungguh. Asyik nak curi tulang je."
            "Betul ke tidak awak ni? Macam sengaja pulak awak tuduh dia macam tu. Sejak saya bekerja di sini, tak pernah pulak saya ternampak dia goyang kaki. Kalau awak tu, selalu juga saya ternampak. Asyik melepak saja kat tandas. Bersolek bukan main lama lagi," bidas Dinn Dzakir  lalu bergerak menuju ke kerusi untuk melabuhkan duduknya kembali.
            Lia ketap bibir. Bengang nampak wajahnya ketika Dinn Dzakir berkata begitu. "Tak baik tau Encik Zakir cakap pada saya macam tu."
            Dinn Dzakir yang menekur meja mula mendongak memandang Lia. "Awak pun sama jugak. Elok sangat ke awak memburuk-burukkan kawan baik awak sendiri? Bukan saja kawan baik, tinggal serumah pulak tu," ujar Dinn Dzakir lagi seakan-akan bertazkirah pula dia.
            Lia menggigit bibir. Langsung sahaja dia mati kutu hendak membalas kata.
            "Kenapa awak diam?" Soal Dinn Dzakir dengan wajahnya yang beriak tidak puas hati.
            "Memang betul pun si Hanim tu pemalas," akhirnya Lia menjawab.
            "Cukuplah, Lia. Saya tak suka awak mengata Hanim. Awak tahu tak Hanim tu siapa dengan saya sekarang ni? Kami bakal berkahwin tak lama lagi. Jadi, saya bagi amaran pada awak. Tolong jangan mengata benda yang tak baik tentang Hanim depan saya. Saya tak suka nak dengar," dia memberi amaran di penghujung kata. Sambil bercakap, jari telunjuknya digerak-gerakkan bersama.
            Lia meneguk liurnya berulang kali. Panas hatinya apabila mendengar kata-kata yang berbaur amaran itu. "Encik Zakir ni macam yakin sangat yang si Hanim tu setuju nak kahwin dengan encik."
            "Kenapa pula saya mesti tak yakin? Saya cintakan dia dan dia pun cintakan saya."
            "Saling mencintai, tak semestinya akan berakhir ke jinjang pelamin. Encik Zakir kena ingat tu. Kadang-kadang kita ni bercinta dengan orang lain tapi bertunang dengan orang lain. Last-last, kahwin pun dengan orang lain," bidas Lia tidak mahu kalah.
            Dinn Dzakir merenung lama ke wajah Lia. Mencari erti sebenar kata-kata gadis itu. Entah apa maksudnya, dia tidak faham. "Apa sebenarnya yang awak nak ni Lia? Saya hairan, sebagai kawan baik kepada Hanim.. awak sepatutnya gembira kalau dia dah nak kahwin. Tapi, kenapa awak cakap macam ni? Apa masalah awak sebenarnya ni?" Tekan Dinn Dzakir dengan soalan itu.
            "Saya tak ada apa-apa masalah tapi manalah tahu kan kalau tiba-tiba je Hanim berubah fikiran."
            "Maksud awak?"
            "Pergilah Encik Zakir tanya dia sendiri," putus Lia sambil beredar keluar.
            Berlapis-lapis dahi Dinn Dzakir ketika Lia tidak menyatakan maksud sebenar di sebalik kata-katanya sebentar tadi.
            Apa yang dah berlaku? Dia resah memikirkan perkara itu tetapi tidak pula dia terus pergi mendapatkan Hanim untuk menuntut penjelasan. Tunggulah bila ada peluang kalau dia bertembung dengan Hanim nanti. Pasti akan disoal selidik kepada kekasih hatinya itu.







1 comment: