DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

TIRAI DOSA KELMARIN - BAB 1




“Jumpa lagi esok!” Ucap Nur Imanina ceria sambil melambaikan tangan kepada anak-anak kecil yang berlari mendapatkan ibu bapa masing-masing di luar pagar.
“Terima kasih cikgu.” Ucap beberapa orang ibu bapa yang melambai mesra kepadanya. Senyuman manis dilemparkan sebagai balasan.
“Iman, ni anak kesayangan Iman yang sorang ni tak mahu keluar.” Panggil Ema yang berdiri di muka pintu taska. Dia kembali semula ke dalam kelas selepas menutup pintu pagar.
“Eh, Zarif tak nak balik ke? Semua kawan-kawan Zarif dah balik.” Pujuk Nur Imanina kepada si kecil yang memang manja dengannya. Muka anak kecil itu masam mencuka. “Zarif marah Pak Hashim tak ambik Zarif hari ni ya?” Soalnya lembut.
Zarif Aimin masih mendiamkan diri malah wajahnya semakin kelat. Dia tahu melayan anak kecil bukanlah dengan kekerasan. Selepas tamat SPM dia sudah bekerja di situ sehinggalah kini dia berumur 25 tahun. Pelbagai ragam anak kecil yang telah ditemui. Bermula dengan pembantu dan akhirnya pemilik taska itu memberi peluang kepadanya untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar di situ. Pemiliknya Datin Farah merupakan nenek kepada si kecil yang sedang merajuk itu.
“Jom Mama Iman hantar nak?” Pujuk Nur Imanina lagi tanpa jemu.
Panggilan itu sudah sebati di bibir si kecil. Hanya Zarif Aimin yang memanggilnya begitu sejak hari pertama didaftarkan. Si kecil itu menangis tidak henti dan memencilkan diri dari kanak-kanak lain. Datin Farah sendiri gagal memujuk cucunya selepas anaknya, Farihin Iman meninggalkannya sebelum terus ke tempat kerja. Sudahnya dia yang terpaksa memujuk si kecil itu selepas diumpan dengan pelbagai cara. Dalam tangis itu Zarif Aimin memanggilnya sebegitu dan kekal hingga ke hari ini.
Zarif Aimin masih dalam keadaan yang sama. Dia memalingkan wajah dari memandang Nur Imanina. Sejak pagi tadi si kecil itu lebih banyak mendiamkan diri. Hanya bercakap bila perlu. Jika tidak, mulut si kecil itulah yang paling ramah antara rakan-rakan yang lain. Gelak tawanya sentiasa menghiburkan hati.
“Zarif kenapa ni? Jomlah Mama Iman hantar.” Nur Imanina cuba menarik tangan Zarif Aimin agar bangun tapi si kecil itu tetap membatukan diri. Kebiasaannya Zarif Aimin akan dijemput oleh pemandu Datin Farah.
“Akak, hari ni dia ada bergaduh dengan siapa-siapa ke?” Tanya Nur Imanina kepada Ema yang sudah beranak dua itu. Wanita itulah memperkenalkannya kepada Datin Farah dahulu.
“Rasanya takda. Hari ni dia banyak diam. Jadi budak baik dia hari ni. Akak pun tak tahu kenapa. Erm.. Pagi tadi masa mama dia hantar, takda cakap apa-apa dengan Iman ke?” Tanya Ema kembali.
“Takda pulak. Cuma dia kata hari ni Pak Hashim tak dapat ambik sebab jemput Faliq balik umrah. Dia pesan kalau daddy dia tak ambik, saya yang hantar.” Balas Nur Imanina yang sudah duduk melutut di sisi Zarif Aimin. “Jomlah Mama Iman hantar naik kereta cute mama tu.” Lanjutnya kemudian cuba menarik hati si kecil.
“Tak nak! Mama Iman tak love Zarif.” Bentak si kecil itu tiba-tiba.
“Siapa kata Mama Iman tak love Zarif? Cuba Zarif tanya teacher Ema. Mama Iman love Zarif banyak-banyak tau.” Pujuk Nur Imanina lagi dengan sabar.
“Tak! Mama Iman tak love Zarif.” Balas mulut si kecil yang petah berkata-kata itu.
“Betul.. Mama Iman love Zarif la..” Jawab Nur Imanina lembut.
“Mama Iman tak kiss Zarif hari ni? Mama love baby baru.” Balas si kecil itu dengan mulut yang memuncung.
Tergelak Nur Imanina dan Ema mendengar omelan Zarif Aimin. Baru dia teringat ketika si kecil itu tiba, dia tidak sempat menghadiahkan ciuman di kedua-dua belah pipi seperti biasa memandangkan ada seorang lagi anak kecil yang baru masuk ke situ. Sepanjang hari dia sibuk melayan anak kecil baru itu agar dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran hingga terlupa kepada Zarif Aimin.
Sorry sayang. Mama Iman lupa hari ni. Mari sini mama Iman kiss. Tapi Zarif kena janji dengan mama something.” Ujar Nur Imanina dalam sisa tawanya.
“Janji.” Zarif Aimin menghulurkan jari kelengkengnya kepada Nur Imanina sebagai ikat janji apabila anak jarinya itu bersatu dengan anak jari Nur Imanina.
“Jangan merajuk-merajuk macam ni lagi. Tak handsome kalau anak mama ni buat muka macam ni tau.” Kata Nur Imanina lalu menyangkutkan anak jarinya dengan jari si kecil.
Alright mama!” Balas Zarif Aimin yang mula tersenyum. Serentak itu Nur Imanina menghadiahkan ciuman di kedua-dua belah pipi munggil Zarif Aimin.
“Okey dah. Jom Mama Iman hantar balik.” Ajak Nur Imanina seraya mencapai beg tangannya yang diletakkan di tempat khas.
Zarif Aimin tanpa menunggu lama, terus sahaja memikul beg sandangnya dan keluar dari taska mendahului Nur Imanina.
“Pakai seatbelt.” Arah Nur Imanina saat mereka masuk ke dalam kereta.
“Zarif, Pak Hashim ambik siapa dekat KLIA hari ni?” Soal Nur Imanina seraya menghidupkan enjin kereta.
Ambik Papa Iman.” Jawab si kecil itu pendek.
Nur Imanina senyum. Setiap kali sebaris nama itu disebut, memang mencuit hatinya. Kerap kali menyapa deria pendengarannya. Namun belum pernah sekalipun dia bertemu dengan lelaki itu sejak bekerja dengan Datin Farah. Hanya mendengar cerita dari si kecil itu sahaja.
“Mama, nanti mama makan dengan Zarif ya?” Lembut kata-kata Zarif Aimin mempelawanya saat kereta yang dipandu sudah masuk ke kawasan perumahan elit itu. Tidak pun sampai lima belas minit. Sungguh dia sudah jatuh sayang dengan Zarif Aimin Mohd Firaz yang comel dan bijak itu. Ibunya seorang usahawan yang berjaya manakala ayahnya pula seorang doktor. Tidak hairanlah memiliki anak secomel dan sebijak Zarif Aimin.
“Eh, malulah Mama Iman. Kan Nek Wan ada temankan Zarif. Kejap lagi Papa Iman pun sampai, boleh temankan Zarif.” Balas Nur Imanina yang tidak selesa apabila bersama-sama dengan keluarga berada itu.
Keluarga Datin Farah terlalu baik kepadanya. Malah, sudah beberapa kali juga dia dijemput oleh wanita itu untuk makan bersama. Tetapi dia terpaksa menolak kerana risau dikatakan ingin mengambil kesempatan.
“Alah...” Zarif Aimin mengeluh panjang.
“Tak bolehlah Zarif. Lepas ni Mama Iman kena balik sekolah. Kesian dekat teacher Ema, teacher Hanim, teacher Zura.” Dalih Nur Imanina mencipta alasan. Padahal selepas menghantar Zarif Aimin dia boleh terus pulang ke rumah sewanya.
“Ala… Zarif tak naklah friend Mama Iman.” Si kecil itu sudah memasamkan kembali wajahnya dengan dua tangannya disilangkan ke dada.
Nur Imanina menoleh sekilas. Mula serba salah. Kereta Kelisanya diberhentikan betul-betul di hadapan pintu pagar rumah besar itu. Belum pun sempat dia berkata apa, Zarif Aimin terus keluar untuk menekan loceng rumah. Seketika kemudian pintu automatik itu terbuka. Dilihat Datin Farah sedia menunggu di hadapan pintu utama. Melihat rumah banglo besar dua tingkat itu, dia merasakan dirinya terlalu kerdil untuk berdampingan dengan keluarga Datin Farah. Dalam berat hati, terpaksa juga dia melangkah masuk untuk bertemu dengan majikannya itu.
“Nek Wan, jangan friend Mama Iman.” Adu si kecil yang sedang membuka kasutnya.
“Kenapa jangan friend dengan Mama Iman?” Tanya Datin Farah seraya memandang ke arah Nur Imanina yang kian menghampiri.
“Mama Iman tak nak makan dengan Zarif.” Jawab si kecil dengan wajah memuncung.
Nur Imanina tersengih kelat seraya menyalami dan mencium tangan wanita yang sudah dianggap seperti ibunya sendiri itu. Terkenangkan ibu yang sudah lama pergi meninggalkannya, dia sedih sendiri. Sungguh dia rindu pelukan hangat ibunya yang sering memberi semangat dan dorongan kepadanya sebelum ini. Tapi apakan daya, takdir Ilahi telah memisahkan kasih sayang mereka.
“Jom masuk dulu Iman.” Pelawa Datin Farah mesra. Wanita itu tidak pernah lokek dengan senyuman.
“Er… Takpalah Datin. Saya ada banyak kerja lagi.” Tolak Nur Imanina serba salah.
“Alah sekejap aje Iman. Teman Zarif ni makan. Takda siapa yang ada pun. Kita bertiga aje.” Pujuk Datin Farah lagi serentak menarik tangan Nur Imanina agar masuk ke dalam rumah.
Zarif Aimin sudah bersorak riang apabila melihat Nur Imanina masuk mengekorinya. “Zarif nak friend dengan Mama Imanlah!” Ucap si kecil itu senang. Hilang terus wajah cemberutnya tadi.
Nur Imanina tetap terasa tidak selesa. Dalam tidak mahu, terpaksa juga diturutkan kemahuan Zarif Aimin yang sudah menarik tangannya ke ruang makan. Tidak jauh dari ruang tamu utama. Meja besar yang mempunyai lapan kerusi itu begitu cantik pada penglihatannya. Sempat juga matanya menjeling sekilas ke segenap ruang rumah. Segalanya dihiasi perabot mewah. Susun aturnya yang kemas membuatkan sejuk mata memandang.
“Duduk dulu Iman.” Muncul Mak Som dari ruang dapur sambil membawa semangkuk besar nasi.
“Duduk Iman. Jangan malu-malu.” Pelawa Datin Farah pula sebelum mengekori langkah Mak Som ke dapur semula.
“Er.. Biar saya tolong Datin.” Sahut Nur Imanina cepat seraya mengekori langkah dua wanita itu. Teringat pesan arwah ibunya supaya pandai membawa diri jika bertandang ke rumah orang. Tambahan pula dia hanyalah seorang pekerja.
“La... Iman, kenapa masuk dekat sini. Mak Som boleh buat semua ni.” Larang Mak Som apabila melihat Nur Imanina mengangkat sebuah mangkuk yang sudah berisi kuah asam pedas.
“Biarlah Som. Macam tu lah kalau nak jadi calon menantu saya.” Seloroh Datin Farah yang mengundang tawa kecil Mak Som.
Sesungguhnya dia memang sudah lama berkenan dengan gadis itu. Tidak banyak yang diketahui tentang latar belakang Nur Imanina sejak bekerja di taskanya. Apa yang dia tahu, gadis itu berasal dari kampung yang sudah kematian ibu bapa. Kali pertama dia diperkenalkan oleh Ema, hati tuanya terus terpaut dengan wajah yang putih bersih itu.
“Ada-ada aje Datin ni. Dulu masa dekat kampung, saya dah biasa buat semua ni Datin.” Balas Nur Imanina merendah diri. Sedikit pun tidak tercuit dengan usikan Datin Farah.
“Beruntunglah siapa yang dapat kahwin dengan Iman ni Som. Pandai serba-serbi. Jaga budak pun pandai. Kira memang cukup pakejlah.” Puji Datin Farah ikhlas.
“Takdalah Datin. Saya ni orang kampung aje. Siapalah nak saya ni.” Nur Imanina tersengih kelat.
Agenda untuk berumah tangga tidak pernah langsung tercatat dalam kamus hidupnya sejak peristiwa hitam lalu. Pintu hatinya telah ditutup serapat-rapatnya buat insan bernama lelaki. Kepercayaan tidak pernah wujud untuk insan itu. Harapan dan kepercayaan yang pernah disandarkan pada seorang lelaki yang sewajarnya menjadi pelindung sudah pun musnah. Rasa kasih yang ada, hanyalah buat ayahnya yang sudah tiada.
“Kita ni dijadikan berpasang-pasangan Iman. Kalau ada yang nak Iman, Iman tak nak ke?” Duga Datin Farah. Dalam kepalanya sudah terbayang seraut wajah yang dirasakan amat sesuai dengan gadis itu.
“Ada ke yang nak saya ni Datin?” Sengaja Nur Imanina bertanya sekadar gurauan sebaik dia kembali ke ruang makan dan mengambil tempat di sisi Zarif Aimin.
“Ada. Siapa kata takda.. Kalau Iman setuju, saya boleh kenalkan.” Balas Datin Farah bersemangat. Dia berharap benar Nur Imanina dapat menerima cadangannya.
“Eh… Er.. Saya gurau aje Datin. Saya tak sedia lagi nak kahwin.” Jawab Nur Imanina sedikit kalut apabila merasakan Datin Farah serius dengan kata-katanya tadi.
“Apa pulak tak sedianya Iman. Umur 25 tahun. Sedang eloklah tu. Umur dah banyak nanti susah dapat anak Iman.” Celah Mak Som yang sedang menuang jus oren ke dalam gelas.
“Assalamualaikum…” Ucap satu suara garau di muka pintu membuatkan semua pasang mata membuang pandang ke arah yang sama. Nur Imanina lebih-lebih lagi. Sedikit terkejut melihat seraut wajah yang sedang tersenyum itu mempunyai iras Zarif Aimin. Paling istimewa lekuk di pipi masing-masing membuatkan jantungnya laju berdegup.
“Papa Iman!” Terjerit Zarif Aimin sambil turun dari kerusi. Dipeluk dan dicium wajah lelaki yang mengenakan jubah putih dan berkaca mata hitam itu.
Nur Imanina masih tidak lepas memandang. Melihat kemesraan yang ada, yakin kedua-duanya mempunyai hubungan yang cukup akrab.
“Dah sampai pun dia Datin.” Ujar Mak Som pula yang terus masuk ke ruang dapur untuk mengambil satu lagi pinggan kosong dan diletakkan setentang dengan tempat duduk Nur Imanina.
“Mama sihat?” Tanya Iman Faliq mengucup mesra kedua-dua belah pipi Datin Farah.
“Alhamdulillah. Mama sihat. Iman macam mana dekat sana? Baik semuanya?” Tanya Datin Farah pula seraya meleraikan pelukan.
“Alhamdulillah ma. Semua okey.” Jawab Iman Faliq seraya memandang sekilas ke arah gadis yang duduk di sisi anak saudaranya.
“Iman nak makan ke nak rehat dulu?” Tanya Datin Farah lagi.
“Makan dululah ma. Rindu sangat dah dengan masakan mama ni.” Jawab Iman Faliq seraya melipat lengan baju jubahnya hingga ke siku. Cermin mata hitam yang dipakai tadi sudah pun diletakkan ke tepi. Sesekali matanya pula akan singgah ke wajah ayu bertudung di hadapannya itu.
Nur Imanina pula hanya mampu menundukkan wajah. Malu untuk menentang wajah anak sulung majikannya itu. Namun suara lelaki itu mengingatkannya kepada seseorang. Cuma, otaknya gagal memproses dan merungkaikan persoalan yang mula berlegar-legar di benaknya.
“Papa Iman, sedap Nek Wan masak.” Celah si kecil yang sedang tersengih.
“Nek Wan kan belajar masak dengan Chef Wan. Sebab tu sedap. Tu yang papa tak sabar nak makan ni.” Balas Iman Faliq sengaja mengusik mamanya. Setiap hari dia sanggup pulang makan tengah hari hanya kerana masakan mamanya.
“Pandailah kamu tu nak bodek mama.” Sahut Datin Farah sambil mengerling sekilas ke wajah Nur Imanina yang diam dari tadi. “Eh, mama lupa nak kenalkan. Ni Nur Imanina. Dialah cikgu kesayangan Zarif dekat taska tu.” Tambah Datin Farah memperkenalkan wanita ayu itu kepada anak sulungnya.
“Bukan cikgu Nek Wan. Mama Iman.” Sampuk si kecil yang sedang mengunyah seketul ayam tempura kegemarannya.
“Oh.. Ni la Mama Iman tu..” Balas Iman Faliq seraya tersenyum dengan hati dijentik rasa sesuatu. Jika sebelum ini dia hanya mendengar sahaja cerita dari anak saudaranya. Namun tidak menyangka gadis itu lebih muda dari yang pernah dibayangkan. Cuma, wajah itu seperti pernah dilihat sebelum ini. Tetapi dia sendiri kurang pasti.
Zarif Aimin hanya tersengih-sengih manakala Nur Imanina menarik senyum paksa.
“Iman.” Panggil Datin Farah menyebabkan Nur Imanina dan Iman Faliq serentak memandangnya.
Si kecil yang melihat pula sudah terkekeh-kekeh ketawa. Datin Farah dan Mak Som yang duduk sama di situ turut melepaskan tawa. “Eh, lupa. Ada dua orang Iman dekat sini.” Lanjut Datin Farah dalam sisa tawa.
Pada waktu itu juga mata Iman Faliq dan Nur Imanina bertemu. Kedua-duanya menguntum senyum nipis sebelum Nur Imanina melarikan matanya semula ke arah Datin Farah.
“Saya nak kenalkan Iman dengan anak sulung saya ni. Iman Faliq.” Ujar Datin Farah dengan senyuman.
Nur Imanina hanya tersenyum kecil. Jantungnya yang berdegup kencang sejak lelaki itu melangkah masuk tadi sedikit pun tidak reda.
“Makan dululah Datin. Dekat sejuk dah lauk ni.” Celah Mak Som kemudian.
“Iyalah Som. Lupa pulak.” Balas Datin Farah.
“Zarif dah baca doa makan ke? Tu Zarif dah makan dulu.” Tegur Iman Faliq apabila melihat anak kecil itu leka mengunyah seketul ayam tempura yang sedang dipegang.
Anak saudaranya itu terlalu gemarkan lauk ayam. Apa sahaja yang berkaitan dengan ayam, memang sudah menjadi kegemaran.
“Dah.” Jawab si kecil itu pendek.
“Eh, mama tak dengar pun?” Tambah Nur Imanina yang duduk di sebelahnya. Sengaja dia berkata begitu untuk membuang rasa debar di hati. Dia perasan mata lelaki di hadapannya tajam menikam ke wajahnya membuatkan dia kurang selesa di situ.
“Zarif letak ayam tu dulu. Papa baca doa makan.” Ujar Iman Faliq tegas sambil menadah tangan.
Zarif Aimin hanya akur. Mengikut arahan bapa saudaranya.
Nur Imanina turut melakukan perkara yang sama. Begitu juga dengan Datin Farah dan Mak Som.
“Makan Iman, jangan segan-segan.” Pelawa Datin Farah kepada Nur Imanina sebaik anak sulungnya habis membacakan doa makan.
“Apa pulak nak segan ma. Macamlah Iman baru sehari duduk sini.” Sahut Iman Faliq selamba.
“Eh, bila masa mama cakap dengan kamu. Mama cakap dengan Iman ni.” Balas Datin Farah sambil memandang ke arah Nur Imanina.
Iman Faliq tersenyum kelat sebelum dia terus menyuap nasi.
“Ish! Asyik salah faham aje. Nama dah dekat sama. Macam ada jodoh pulak.”  Seloroh Datin Farah lanjut membuatkan kedua-duanya tersedak dengan tiba-tiba.
Sekali lagi juga Zarif Aimin mengekek gelak apabila melihat pasangan di hadapannya itu tersedak serentak.
“Amboi cucu Nek Wan ni. Bukan main suka lagi.” Tegur Datin Farah yang sembunyi senyum. Hati tuanya sendiri tercuit dengan apa yang berlaku.
“Apalah mama ni. Malu Mama Iman kita ni ma.” Ujar Iman Faliq selepas menyisip jus oren bagi melegakan tekaknya yang terasa perit. “Sorrylah Mama Iman. Mama saya ni memang macam ni. Ada aje yang dia nak usik saya.” Lanjutnya serba salah apabila melihat wajah ayu di hadapannya itu memerah.
Nur Imanina hanya menarik senyum nipis. Usikan Datin Farah tadi benar-benar membuatkannya seperti duduk beralaskan bara. Dalam hati dia berdoa agar masa cepat berlalu kerana tidak betah lagi berlamaan di situ. Sepasang mata di hadapannya saat itu cukup meresahkan hati.

No comments:

Post a Comment