DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Friday, 4 March 2016

TIRAI DOSA KELMARIN - BAB 2



“Assalamualaikum Mama Iman!” Jerit si kecil Zarif Aimin sambil berlari mendapatkan Nur Imanina yang sedia menanti di pintu pagar.
“Waalaikumussalam Zarif. Happynya anak mama hari ni.” Jawab Nur Imanina seraya menyambut huluran salam si kecil dan menghadiahkan kucupan manja di kedua-dua belah pipi mungil itu. Teringat peristiwa Zarif Aimin merajuk minggu lalu, dia tidak akan lupa rutin wajib yang satu itu.
Thank you mama.” Ucap si kecil selepas dia pula menghadiahkan ciuman kepada Nur Imanina.
Most welcome dear.” Balas Nur Imanina lembut. Dalam pada masa yang sama dia perasan akan kereta yang menghantar Zarif Aimin pagi itu berbeza dari kebiasaannya. Mini Cooper S warna biru metalik berhenti di luar pagar. “Erm.. Siapa hantar Zarif hari ni?” Sengaja dia bertanya walaupun sudah tahu siapa gerangannya.
“Papa Iman.” Balas si kecil pendek sambil memandang ke arah yang sama.
“Hai Mama Iman!” Sapa Iman Faliq dengan senyuman bergayutan di bibirnya sebaik cermin tingkap diturunkan.
Entah kenapa pagi itu dia menawarkan diri untuk menghantar anak saudaranya ke taska. Satu rutin yang belum pernah dilakukan sebelum ini. Kebiasaannya, selepas sahaja solat subuh dia akan berselimut semula di atas katil. Hampir pukul sepuluh baru dia akan bangun semula dan bersiap ke pejabat. Dan terngiang-ngiang usikan ahli keluarganya awal pagi tadi.
“Aik! Sejak bila Cik Abang kita ni masuk pejabat pukul 8 ma?” Tegur Farihin Iman yang melabuhkan duduk di hadapannya.
Si kecil Zarif Aimin pula mengambil tempat di sisi.
“Entah. Mama pun tak tahu. Tiba-tiba aje dah ada.” Balas Datin Farah sambil meratakan jem strawberi pada sekeping roti bakar.
“Zarif, hari ni papa hantar Zarif ya?” Ujar Iman Faliq yang tidak mengendahkan usikan satu-satunya adik perempuan yang dia miliki. Dua wanita di hadapannya itu berpandangan antara satu sama lain.Namun dia tetap beriak selamba.
“Okey papa!” Jawab Zarif Aimin riang sambil menyambut huluran roti bakar daripada Datin Farah.
“Ai! Sejak bila pulak jadi rajin nak hantar anak E’in ni?” Tanya Farihin Iman sinis.
“Nak hantar Zarif ke, nak tengok Cikgu Zarif ni?” Usik Datin Farah pula.
“Kenapa dengan Cikgu Zarif ma?” Celah Mohd Firaz yang baru sahaja tiba di ruang makan itu.
“Takda apa-apa. Ni Cik Abang kita hari ni nak hantar anak bujang abang pergi sekolah.” Jawab Farihin Iman seraya menuangkan air milo ke dalam cawan kosong untuk suaminya.
“Eh, are you okey Abang Iman?” Usik Mohd Firaz dengan senyuman. Walaupun jarak umur mereka hanya setahun, tetapi Mohd Firaz tetap menghormati Iman Faliq sebagai abang sulung di dalam rumah itu.
“Okey.” Balas lelaki itu selamba. Senyuman manis terukir dibibir berkumis nipis dan janggut yang dipotong kemas di bawah dagunya itu. Surat khabar sudah diletakkan ke sisi.
“Hm.. Tak lama lagi mama dapat menantu barulah.” Giat Farihin Iman lagi.
“Ada-ada aje kamu E’in nak mengusik abang kamu ni. Tapi, apa salahnyakan. Mama pun teringin jugak nak dapat menantu perempuan.” Sahut Datin Farah yang sama menyokong kata-kata anak bongsunya.
“Apa-apa ajelah ma.” Jawab Iman Faliq malas. “Dah, jom Zarif. Nanti lambat pulak.” Ujarnya yang sengaja ingin mengelak dari terus menjadi bahan usikan.
“Relaxlah bang. Takkan lari gunung yang dikejar.” Farihin Iman berterusan mengusik membuatkan suami dan mamanya sudah tergelak.
“Er.. Encik Iman Faliq.” Nur Imanina sedikit tergagap-gagap. Terasa canggung apabila berhadapan dengan lelaki itu. Padahal mereka baru dua kali mereka bertemu. Tetapi entah kenapa pandangan mata  lelaki itu mampu mengacau-bilaukan perasaannya kini.
“Amboi.. Nama penuh saya awak sebut. Panggil aje saya Iman. Tak nak panggil Iman, Papa Iman pun boleh. Kan Zarif?” Balas Iman Faliq membuatkan si kecilnya tersengih manakala wanita itu menarik senyum kelat.
Sebenarnya dia ingin ketawa melihat wajah Nur Imanina yang serba tidak kena itu. Tetapi cuba ditahan. Sejak kali pertama mereka bertemu, wajah lembut itu begitu mengusik hatinya. Seperti seraut wajah yang sering datang dalam mimpinya. Cuma, wanita yang berdiri di hadapannya kini mempunyai seraut wajah yang lebih matang dan bersemangat serta penuh kelembutan. Namun masih ada ketegasan yang berjaya disembunyikan. Jauh berbeza dengan wajah yang sentiasa bermain di dalam fikirannya.
“Zarif, nanti balik papa ambik ya?” Lanjutnya kemudian kepada si kecil.
“Okey papa! Bye!” Jawab Zarif Aimin senang sebelum berlari masuk ke dalam kelas apabila salah seorang rakannya memanggil.
Nur Imanina hanya memerhati kelibat Zarif Aimin yang menghilang di sebalik pintu lungsur taska.
“Erm.. Saya pergi kerja dulu. Assalamualaikum.” Ucap Iman Faliq apabila melihat Nur Imanina hanya mendiamkan diri.
“Er.. Waalaikumussalam.” Balas Nur Imanina seadanya sebelum terus menapak masuk. Tidak selesa menjadi tatapan mata lelaki yang terselindung di sebalik kaca hitam itu. ‘Nak pergi kerja, pergi ajelah. Itu pun sibuk nak bagi tahu!’ Getusnya sendiri. Dia benar-benar tidak selesa.
“Assalamualaikum Cikgu Iman!” Sapa satu suara di belakangnya membuatkan Nur Imanina pantas menoleh.
Dilihat kelibat kereta Iman Faliq sudah hilang. Kini berdiri seorang wanita hampir sebaya dengan Ema berdiri di pintu pagar. “Waalaikumussalam Kak Zu.” Jawabnya mesra. Dia kembali semula ke pintu pagar mendapatkan Zulaikha.
“Maaf, akak lambat sikit hari ni. Suami akak outstation. Tu yang kelam-kabut hantar abang Fifi ke sekolah dulu tadi.” Ujar Zulaikha sambil menyerahkan si comel Afifi kepadanya. Gadis cilik itu sebaya dengan Zarif Aimin. Kerana Nur Afifi, Zarif Aimin merajuk dengannya minggu lepas.
“Takpa kak.” Balas Nur Imanina senang.
“Sayang, ibu pergi kerja dulu. Jangan nakal-nakal. Ingat pesan ayah. Fifi kena baik dengan Cikgu Iman.” Ujar Zulaikha kepada anak bongsunya itu. Wajah Nur Imanina yang berdiri di hadapannya itu dipandang sekilas. ‘Cantiknya dia..’ Sempat hatinya memuji. Baru seminggu dia memindahkan anak bongsunya ke situ seperti yang diarahkan suaminya. Namun, dia belum berpeluang lagi untuk berbual panjang dengan gadis itu.
“Okey ibu!” Jawab si kecil sebelum masuk ke kelas.
“Iman, kalau anak akak tu buat salah, tegurlah.” Ujar Zulaikha yang sudah kembali semula ke keretanya.
“Budak-budak kak. Biasalah tu.” Balas Nur Imanina berserta senyuman. Anak-anak kecil di situ semua sudah dianggap seperti anak kandungnya sendiri.
“Terima kasih Iman. Akak pergi dulu ya. Assalamualaikum..” Ucap Zulaikha sebelum meloloskan diri ke dalam kereta.
“Waalaikumussalam..” Balas Nur Imanina perlahan sambil memandang kelibat kereta Zulaikha hilang dari pandangan.
“Mama Iman…” Panggil Zarif Aimin yang sudah berdiri di muka pintu membuatkan dia terkocoh-kocoh melangkah kerana sewajarnya kelas membaca dan mengeja telah bermula.
………..
Di dalam kereta, Zarif Aimin lebih banyak mendiamkan diri. Wajah si kecil itu masih masam mencuka. Tidak seperti awal pagi tadi yang begitu ceria. Semua gara-gara Iman Faliq yang tidak pun datang untuk menjemput si kecil itu seperti yang telah dijanjikan.
“Zarif penat ya tunggu papa?” Nur Imanina cuba berbual dengan kanak-kanak bijak itu.
Zarif Aimin hanya menggelengkan kepala.
“Zarif dah takda mulut?” Lanjutnya yang cukup tidak suka seandainya pertanyaannya tidak berjawab dan beranggapan ianya sedikit kurang sopan.
“Lupa ya yang Mama Iman pesan kalau orang tanya, kita kena buat apa?” Lanjut Nur Imanina lagi. Dia sering mengingatkan anak-anak asuhannya agar menjawab setiap pertanyaan orang sungguhpun tidak tahu menjawab setiap persoalan yang diberi.
Zarif Aimin menganggukkan kepala perlahan.
“Anak mama ni tak handsome tau buat muka macam tu.” Nur Imanina cuba menarik perhatian si kecil yang dari tadi hanya menunduk.
Si kecil itu masih diam.
“Zarif marah Papa Iman ke?” Cuba Nur Imanina lagi.
“Tak.” Sepatah mulut kecil itu menjawab.
So, kenapa Zarif diam aje ni?” Nur Imanina terus bertanya. Dia memandang sekilas ke wajah Zarif Aimin yang sedikit berpeluh walaupun penghawa dingin keretanya sedia terpasang. Nur Imanina meraba dahi yang mula merenek peluh itu. “Zarif tak sihat ya?” Tanya Nur Imanina lagi sambil memanjangkan leher untuk mencari tempat memberhentikan keretanya sebentar. “Zarif kenapa ni?” Dia mula risau apabila perasan yang si kecil itu sejak tadi memegang perut.
“Sakit perut mama.” Jawab Zarif Aimin dengan wajah yang berkerut.
“Astanghfirullahal aazim.. Kenapa Zarif tak cakap awal-awal. Kita terus pergi klinik ya?” Ujar Nur Imanina memujuk. Namun si kecil itu laju menggelengkan kepala.
“Kenapa tak nak? Nanti Nek Wan marah Mama Iman tau sebab tak jaga Zarif.” Tambahnya lagi. Sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memastikan anak kecil di bawah jagaannya sentiasa dalam keadaan baik. Terutamanya Zarif Aimin. “Kita terus pergi klinik daddy Zarif ya?”
“Jangan mama…” Rengek si kecil itu hampir menangis.
“Tak boleh macam tu. Kita pergi jumpa daddy Zarif dulu. Nanti daddy Zarif boleh bagi ubat.” Pujuk Nur Imanina lembut.
“Tak nak ma.. Nanti daddy cucuk Zarif…” Rengek si kecil itu lagi.
“Daddy tak cucuk Zarif. Daddy Zarif check aje perut Zarif. Kalau tak pergi nanti lagi daddy marah Zarif. Daddy marah mama. Nek Wan marah mama. Mama Zarif marah Mama Iman. Zarif tak sayang mama ke?” Nur Imanina pura-pura melirihkan suaranya.
I love you...” Ucap si kecil itu dengan genangan air mata.
If you love me, Zarif kena ikut cakap mama okey. Kita jumpa daddy Zarif.” Putus Nur Imanina sedikit tegas sebelum kembali memandu.
…………
“Eh, tu kan kereta Papa Iman?” Kata Nur Imanina sebaik tiba di hadapan rumah banglo dua tingkat itu. Dia memandang sekilas ke arah si kecil itu sebelum menolak pintu kereta untuk keluar. “Zarif tak nak turun? Kita dah sampai rumah Nek Wan.” Ujarnya lagi apabila melihat Zarif Aimin masih tidak bergerak walaupun pintu tempat duduknya sudah dibuka. “Zarif tak larat nak jalan ya? Takpa, mama dukung Zarif.” Tanpa menunggu lama dia terus mengangkat tubuh si kecil itu. ‘Ada pulak dia ni dekat rumah?’ Desis hatinya apabila melihat susuk tubuh Iman Faliq mendekati sebaik pintu pagar automatik terbuka.
“Eh, kenapa pulak Mama Iman kena dukung Zarif ni?” Ujar Iman Faliq yang masih berpakaian kerja itu.
“Dia tak sihat.” Sahut Nur Imanina ringkas.
“Anak papa tak sihat?” Soal Iman Faliq tiba-tiba cemas. Dia terus melekapkan tapak tangannya ke dahi Zarif Aimin. Namun si kecil itu pantas menepis.
“Zarif tak nak friend Papa Iman.” Bentak si kecil itu dengan wajah yang memuncung. Kepalanya dilentokkan ke bahu Nur Imanina.
Ketika di klinik tadi, si kecil itu menangis kerana tidak mahu berjumpa dengan Mohd Firaz. Alasannya sebab tidak mahu disuntik. Mujur juga Mohd Firaz bijak memujuk. Perut si kecil itu meragam kerana terlalu banyak makan sate semalam.
Sorry la Zarif. Tadi papa busy sangat. Lupa ambik Zarif.” Pujuk Iman Faliq sambil cuba mengambil tubuh Zarif Aimin dari dukungan Nur Imanina. Serba salah melihat Nur Imanina terpaksa mendukung tubuh montel anak saudaranya itu.
“Tak naklah papa…” Zarif Aimin tetap menolak tangan Iman Faliq.
“Er.. Takpa Encik Iman. Biar saya dukung dia.” Sahut Nur Imanina apabila Zarif Aimin semakin kejap memeluk batang lehernya.
“Iyalah… Zarif dah tak sayang papa. Zarif sayang Mama Iman aje.” Iman Faliq pura-pura merajuk untuk meraih simpati si kecil.
“Salah kamu. Mama dah ingatkan banyak kali tadi. Menyusahkan Iman aje hari ni.” Celah Datin Farah pula yang sedia menanti di muka pintu.
“Alah mama. Meeting Iman tadi habis lambatlah ma. Sampai terlupa nak ambik budak kecik ni tadi.” Jawab Iman Faliq yang sudah tersengih –sengih.
“Itulah kamu. Lain kali jangan nak gatal-gatal berjanji.” Ujar Datin Farah sedikit geram. “Jom Zarif. Kita makan dulu, lepas tu makan ubat.” Pujuknya lembut sambil mengambil tubuh cucunya dari dukungan Nur Imanina dan si kecil itu tidak pula menolak.
“Datin, saya balik dulu ya. Semua ubat Zarif ada dalam beg tu.” Kata Nur Imanina sebaik Zarif Aimin berpindah tangan.
“Eh, kamu masuklah dulu Iman. Makan sekali.” Balas Datin Farah mesra sebelum berlalu masuk.
“Ha’ah. Saya pun belum makan ni. Jomlah sekali.” Tambah Iman Faliq pula dengan senyuman lebar. Dia perasan mamanya menjeling tajam kepadanya tadi. ‘Thanks mama!’ Ucapnya dalam hati.
“Err… Takpalah.. Lain kali ajelah. Terima kasih.” Tolak Nur Imanina sopan. Dia sebenarnya tidak selesa Iman Faliq ada sama di situ. Pandangan lelaki itu cukup meresahkan hatinya sejak seminggu lalu.
“Janganlah macam tu. Penat mama saya masak tau. Rezeki jangan ditolak. Musuh jangan dicari.” Iman Faliq cuba bermanis mulut.
“Err… Takpalah Encik Iman. Saya ada hal lagi ni. Lain kali aje ya.” Nur Imanina tetap menolak seraya membuang pandang ke luar pagar dari menatap pandangan redup di hadapannya itu.
“Janganlah macam tu.” Iman Faliq spontan meraih tangan Nur Imanina yang ingin berlalu tanpa sedar. “Maaf!” Ucapnya serba salah apabila Nur Imanina terus menepis tangannya. Tidak sengaja dengan apa yang baru sahaja dilakukan.
“Saya balik dulu.” Ucap Nur Imanina laju sebelum terus berlalu. Sentuhan umpama besi panas itu membuatkan dia tidak mampu lagi berlamaan di situ. Dia tidak akan mengizinkan mana-mana lelaki menyentuh tubuhnya dengan sesuka hati. Cukup sekali sentuhan yang pernah diterima sebelum ini telah memusnahkan seluruh hidupnya. Kesengsaraan dan kesedihan yang ditanggung, hanya dia sendiri yang merasainya.

No comments:

Post a Comment