“Iman…” Tegur
Datin Farah lalu duduk di sisi Iman Faliq.
Lama dia memerhati kelakuan anak sulungnya itu selepas makan malam
tadi. Duduk bersendirian di taman orkid mini miliknya. Farihin Iman bermalam di
rumah keluarga mentua hujung minggu itu membuatkan rumahnya sunyi dari gelak
tawa Zarif Aimin. Jika tidak, riuh rumah itu dengan gelak tawa dan tangis si
kecil apabila Iman Faliq suka benar mengusiknya.
Iman Faliq yang leka merenung ke dada langit menoleh sekilas ke
wajah mamanya dengan senyuman tawar tersungging di bibir.
“Jauh menung… Lepas balik hari tu, mama tengok Iman banyak sangat
termenung. Kenapa? Dah jumpa ke apa yang dicari?” Tanya Datin Farah yang begitu
perihatin hal anak-anak.
“Belum ma..” Balas Iman Faliq beserta keluhan panjang.
“Hm… Banyakkan bersabar lagi Iman. Inshaa Allah Iman akan jumpa.”
Pujuk Datin Farah yang faham pencarian Iman Faliq selama ini.
“Ma, macam mana kalau Iman tak sempat nak tebus balik dosa-dosa Iman
pada dia..” Keluh Iman Faliq. Dosa lalu begitu menyesakkan dada. Lena malamnya
sering sahaja dihantui dosa yang pernah dilakukan sebelum ini.
“Iman janganlah cakap macam tu. Semua tu kan kuasa Dia. Kalau dah
ditakdirkan memang Iman tak dapat jumpa dia lagi, apa yang kita boleh buat.
Iman dah usaha kan? Iman banyakkan berdoa. Inshaa Allah… Dia akan sentiasa
bantu hamba-Nya Iman…” Lembut Datin Farah menasihati.
“Tapi ma… Iman tak tenang selagi tak dapat jumpa dia.” Luah Iman
Faliq seraya meraup wajahnya beberapa kali. Entah kenapa saat itu fikirannya
terus jauh menerawang menyingkap kembali tirai dosa-dosa lalu. Bukan kecil dosa
yang dilakukan. Hingga kini masih segar lagi di ingatan apa yang pernah
dilakukan dahulu walaupun sejauh mungkin dia membuang memori hitam itu dari
diari hidupnya. Ia masih tetap kekal tertulis dalam salah satu helaian suratan
takdir yang telah ditetapkan oleh Allah buatnya.
“Erm.. Macam ni. Kalau Iman yakin yang dia ada lagi, Iman kena
banyakkan bersabar, banyakkan berdoa. Inshaa Allah Dia temukan Iman dengan dia.
Walau macam mana susah pun Iman cari dia, kalau Dia nak temukan Iman, mesti dia
temukan. Cuma Iman kena banyakkan bersabar lagi. Inshaa Allah.. Bantuan Dia
sentiasa dekat dengan kita kan?” Ujar Datin Farah menenangkan.
“Ma… Kalau Iman jumpa dengan dia, Iman sanggup kahwin dengan dia ma.
Iman akan tanggung apa yang Iman dah pernah buat pada dia dulu.” Tutur Iman
Faliq setulus hati.
“Buatlah apa yang Iman rasa baik untuk diri Iman. Mama tak pernah
nak halang. Arwah papa dulu pun memang suruh Iman bertanggungjawab atas apa
yang dah berlaku kan. Cuma masa tu…”
“Iman yang degil. Sebab Iman, papa tinggalkan kita kan ma… Sebab
Iman tak nak dengar kata papa dulu. Kalau tak, mesti papa tak..” Mati kata-kata
Iman Faliq di situ.
“Jodoh, pertemuan, ajal, maut semua dekat tangan Dia. Siapa kita nak
lawan Iman. Mama reda. Allah lebih sayangkan papa.” Ujar Datin Farah tenang.
Ada air jernih bertakung di tubir mata tuanya apabila teringat kembali
peristiwa pahit yang pernah berlaku dalam keluarga mereka.
“Maafkan Iman ma…” Ucap Iman Faliq seraya memeluk erat Datin Farah.
Dia tidak henti menyalahkan dirinya atas pemergian papa tersayang. Kerana
kejahilan diri, papa pergi meninggalkan mereka sekeluarga buat selama-lamanya.
Kerana dirinya juga mamanya terpaksa melalui hari-hari mendatang keseorangan
tanpa kasih sayang seorang lelaki bernama suami.
“Sudahlah tu Iman. Yang dah berlaku tu, sudahlah. Mama dah tak nak
ingat semua tu lagi. Cuma sekarang ni, mama nak anak-anak mama hidup bahagia.
Lebih-lebih lagi Iman.” Balas Datin Farah seraya meleraikan pelukan. Air jernih
yang bertakung di tubir mata anaknya itu diseka lembut. “Iman sekarang dah 32
tahun. Umur bukan makin muda lagi. Kalau boleh, mama nak sangat tengok Iman
hidup bahagia dengan orang yang Iman sayang. Yang boleh jaga makan pakai Iman.
Lahirkan anak-anak Iman.” Tambah Datin Farah lagi yang begitu mengharap dia
dapat melihat anak sulungnya itu menamatkan zaman bujang sebelum dia menutup
mata. Namun dia tahu, impiannya itu sukar digapai kerana Iman Faliq masih
mempunyai impian yang lebih penting. Dia sebagai ibu, hanya mampu mendoakan
yang terbaik agar apa yang dicari selama ini akan segera berakhir.
“Mama tahu kan selagi Iman tak jumpa dia, Iman tak dapat nak buat
semua tu…” Tutur Iman Faliq perlahan sedia maklum akan harapan mamanya yang
satu itu.
“Mama faham. Mama takkan paksa Iman. Mama cuma nak anak mama ni
hidup bahagia nanti kalau pun mama dah takda lagi.” Ujar Datin Farah sayu. Dia
menyapu perlahan air mata yang mula menuruni pipi.
“Ma, jangan cakap macam tu ma. Bagilah Iman sikit lagi masa ma.
Lepas ni Iman nak cari dia betul-betul. Mama doakanlah Iman ma.” Pujuk Iman
Faliq yang tidak sampai hati melihat mamanya menangis kerana dirinya lagi.
Cukup dia telah mengecewakan arwah papanya dahulu.
“Mama selalu doakan Iman.” Jawab Datin Farah seraya memeluk erat
tubuh anak sulungnya. Dan tanpa segan silu, air mata Iman Faliq menitis lagi di
hadapan mamanya. Mamanya begitu banyak berkorban demi kebahagiaan diri. Mamanya
jugalah yang menjadi nadi penguat kejayaan yang diraih selama ini.
“Iman…” Tutur Datin Farah selepas kedua-duanya tenang kembali.
Dua beranak itu menikmati panorama langit malam. Beribu-ribu bintang
yang berataburan tidak terkira nilainya. Ada yang begitu terang memancarkan
cahaya dan ada pula yang mula hilang sinarnya.
“Hm…” Matanya masih tetap terhala ke dada langit. Fikirannya jauh
menerawang dan sesekali wajah ayu Nur Imanina melintas di ruang mata bersilih
ganti dengan wajah yang dicari selama ini. Ada persamaan di kedua-dua wajah
tersebut. Namun sukar untuk dipastikan. Masih terlalu awal untuk dia membuat
telahan.
“Kalau ditakdirkan orang yang Iman cari tu dah takda atau pun dah
kahwin dengan orang lain, nak tak Iman terima pilihan mama?” Duga Datin Farah
menyebabkan Iman Faliq laju menoleh.
“Mama dah ada calon untuk Iman?” Soalnya beserta kerutan di wajah.
Datin Farah mengukir senyum penuh makna. “Ada. Dah lama mama suka
dekat dia. Tapi, iyalah… Mama tahu Iman takkan terima selagi apa yang Iman cari
tak jumpa kan?” Jawab Datin Farah dengan senyuman yang bertukar tawar.
“Erm.. Boleh Iman tahu siapa calon mama tu?” Tanya Iman Faliq
berserta keluhan. Matanya sudah kembali ke dada langit. Tidak sampai hati
menghampakan harapan mamanya yang satu itu.
“Nur Imanina.” Jawab Datin Farah sepatah.
“What?” Iman Faliq separa
terkejut mendengar sepotong nama yang meniti bibir mamanya. Mata terhala
kembali ke wajah mamanya dengan riak tidak percaya. Serta-merta bibirnya
menarik senyum kecil. ‘Mama ni macam tahu-tahu aje aku fikir fasal siapa.’
Bisik hatinya. Kurang pasti dengan apa yang dirasakan saat itu. Suka atau tidak
dengan nama yang meniti bibir mamanya, dia masih tidak punya jawapan. Apa yang
pasti, pertemuan kedua membuatkan perasaan aneh yang hadir semakin
menenteramkan hati. “Kenapa Nur Imanina ma?” Sengaja Iman Faliq menduga hati
tua mamanya pula. Dia tahu naluri
seorang ibu biasanya tidak salah dalam menilai.
“Erm… Macam-macam yang mama suka fasal Iman. Cantik yang dia ada tu,
bonus bagi mama. Tapi yang paling penting, mama suka cara dia bawa diri dia.
Nampak ayu, tapi tegas. Pandai hormatkan orang tua, sukakan budak-budak. Silap
hari bulan, hebat bersilat di dapur tu.” Jelas Datin Farah memuji Nur Imanina.
“Amboi! Mama ni macam nak melobi Iman aje? Baik sangat ke dia ma?”
Giat Iman Faliq lagi. Mula berminat akan perihal yang sedang disampaikan oleh
mamanya.
“Sebab baiklah mama cakap. Kalau tak, sorry la.. Kalau takda ciri-ciri tu, jangan haraplah nak jadi calon
menantu mama.” Seloroh Datin Farah masih dalam senyuman. Sebenarnya dia tidak
pernah menetapkan ciri-ciri tertentu untuk menjadi calon menantunya. Apa yang
lebih penting, wanita itu mampu memberi kebahagiaan kepada Iman Faliq. Itu
lebih penting dari segala-galanya.
“Demand betul mama ni.”
Getus Iman Faliq yang tidak lekang dengan senyuman. Apa sahaja kemahuan mamanya
akan cuba diturutkan demi melihat senyuman manis sentiasa bergayutan dibibir
wanita itu.
Dalam diam dia mula tertarik dengan gadis bernama Nur Imanina. Ada
‘sesuatu’ pada diri gadis itu. Sebelum ini dia cukup liat membenarkan hati
untuk memberi sekeping perasaan istimewa kepada mana-mana wanita yang sentiasa
meraih perhatiannya. Tetapi, dengan Nur Imanina, terasa lain benar tarikannya.
Wajah mulus Nur Imanina memang cukup mendamaikan hati walaupun gadis itu
seperti sukar didekati.
“Iyalah.. Kalau tak demand,
nanti anak mama ni tak teruruslah. Sampai bila Mak Som dengan mama nak jaga
makan pakai Iman. Kan lebih baik tangan isteri yang uruskan tu semua untuk
Iman.” Balas Datin Farah seraya memeluk bahu anak lelakinya itu. Dia tidak akan
membiarkan Iman Faliq hidup keseorangan selepas ketiadaannya nanti. Dia
teringin sekali melihat anak lelakinya itu hidup berumahtangga.
“Hm.. Inshaa Allah ma. Iman takkan tolak siapa pun calon mama. Tapi,
biarlah Iman selesaikan dulu masalah Iman okey?” Iman Faliq cuba
bertolak-ansur. “Ada jodoh tak ke mana kan ma?” Lanjutnya demi tidak mahu
menghampakan harapan mamanya.
Datin Farah tetap dengan senyuman. Jawapan Iman Faliq cukup
menyenangkan hatinya. Cukup yakin dengan percaturan Allah pada setiap
hamba-Nya. Dia juga tidak akan sesekali memaksa anaknya itu mengikut segala
kemahuan nya tanpa memikirkan kebahagiaan Iman Faliq sendiri. “Erm.. Iman dah
betul-betul cari ke dekat kampung dia?” Soal Datin Farah kembali ke topik asal.
“Iman dah cari ma. Tapi rumah tu dah kosong. Iman ada tanya rumah
yang dekat-dekat situ. Dia orang kata tuan rumah dah pindah.” Jawab Iman Faliq
lemah. “Hm… Salah Iman ma. Dengan nama dia pun Iman tak tahu. Gambar apatah
lagi. Dah lapan tahun ma. Agaknya rupa pun dah banyak berubah.” Keluhnya pula.
Wajah sendu seorang gadis terlayar lagi di ruang mata.
“Erm.. Bukan ke Iman pernah kata abang dia pernah satu kampus dengan
Iman dulu?” Tanya Datin Farah lagi.
“Ada ma. Aiman Iqbal. Dulu Iman kenal-kenal macam tu aje ma. Tapi
baru tadi kawan Iman cakap dia dah jumpa tempat kerja Iqbal tu. Iman ingat
minggu depan Iman nak jumpa dia sendiri.” Terang Iman Faliq tentang maklumat
yang baru sahaja diterima daripada sahabat-sahabatnya yang cuba membantu.
“Alhamdulillah… See? Dia
dah permudahkan urusan Iman kan? Syukur Alhamdulillah…” Ucap Datin Farah
apabila berasakan pencarian anaknya itu menampakkan sinar.
“Tapi kalau…” Iman Faliq tidak jadi menghabiskan ayatnya. Dalam
kepala sudah memikirkan perkara yang mengecewakan hatinya sendiri.
“Iman dah berusaha yang terbaik kan. Tawakal. Bersabar. Kalau pun
budak tu dah jadi milik orang atau dah takda sekalipun, Iman dah menyesal
dengan apa yang Iman buat sebelum ni kan. Dia Maha Pengampun Iman. Inshaa
Allah. Iman jangan risau okey? Mama doakan usaha Iman kali ni, biarlah yang
terakhir. Inshaa Allah…” Nasihat Datin Farah menenangkan membuatkan terlepas
lagi keluhan halus dari bibir Iman Faliq.
“Er… Ma, boleh tak Iman tanya sikit fasal Iman?” Tanya Iman Faliq
sambil mengukir senyum.
“Tanya ajelah apa yang Iman nak tahu fasal calon menantu mama tu.”
Jawab Datin Farah seraya tersengih apabila Iman Faliq berminat juga ingin
mengetahui tentang Nur Imanina.
“Amboi mama. Dah iktiraf jadi calon menantu terus.” Balas Iman Faliq
mengusik.
Datin Farah hanya tersengih.
“Dia dah lama kerja dengan mama kan? Tapi, kenapa baru hari tu Iman
jumpa dia? Sebelum ni tak pernah nampak pun. Ema aje yang Iman pernah jumpa.”
Soal Iman Faliq tanpa berselindung lagi.
“Memang dah lama dia kerja dekat taska tu. Iman aje yang tak pernah
nak ambik tahu pasal taska mama. Iman
busy sangat dengan hal Iman aje, mana
nak jumpa dengan dia. Dari Zarif masuk sana, selalu jugak Iman hantar Zarif balik. Tapi, tak pernah terserempak pun
dengan Iman. Hari masa Iman balik umrah tu, yang makan sekali dengan dia tu,
itulah kali pertama Iman masuk rumah kita. Sebelum ni mama ada jugak ajak. Tapi banyak kali dia tolak.
Cuma hari tu, mama tak sangka pulak
boleh terserempak dengan Iman. Agaknya dia memang jodoh Iman kut…” Jelas Datin
Farah panjang lebar berserta senyuman.
Tetapi lain pula yang terlukis di wajah Iman Faliq. Hampir bercantum
dua keningnya mendengar penjelasan Datin Farah.
“Ma, dekat sepuluh kali mama sebut nama Iman. Sampai Iman tak
faham.” Balas Iman Faliq sebelum dia mengoyak sengih. Dalam diam, sempat dia
mengira jumlah perkataan Iman yang digunakan.
Datin Farah menampar peha anak sulungnya itu. Tahu anak lelakinya
itu mahu mengusik.
“Erm.. Apa kata kita panggil dia Mama Iman lah ma. Macam best aje.” Sambung Iman Faliq lagi yang
tersengih-sengih.
“See? Macam mana mama tak
kata dia jodoh kamu. Sorang Papa
Iman, sorang Mama Iman. Dah kenalah
tu.” Usik Datin Farah pula.
“Ada-ada aje mama ni… Entah-entah dia dah ada boyfriend ma. Mama aje yang sibuk nak kenenkan Iman dengan dia.” Balas Iman Faliq dengan senyuman nipis.
Padanya, dia bukan mudah untuk sukakan seorang gadis selagi dosa yang dilakukan
dahulu masih tidak bertebus. Ramai staf wanita di syarikatnya yang cuba
merapati. Tetapi dia sedikit pun tidak tergoda. Namun tidak pada Nur Imanina
yang baru ditemui dua kali. Ada sesuatu yang begitu menarik perhatiannya untuk
mengenali wanita itu dengan lebih dekat.
“Sebab dia takda boyfriendlah
mama berani promote dia pada Iman.”
Jelas Datin Farah lagi.
“Iya ke takda? Macam tak percaya aje. Takkanlah muka cantik macam tu
takda boyfriend. Iman tak percayalah
ma. Perempuan sekarang ni bukan macam perempuan dulu-dulu. Sekarang ni, bukan
lelaki yang cari perempuan. Perempuan sekarang yang sibuk cari lelaki ma.”
Balas Iman Faliq yang agak meragui kata-kata mamanya.
“Betullah mama cakap. Dia sendiri yang cakap dengan mama dia takda
yang special. Mak Som pun dengar.
Kalau tak percaya, Iman tanya Mak Som. Bila mama kata nak kenalkan dia dengan someone, dia terus tolak.” Datin Farah
cuba meyakinkan.
“Ha, dia tolak tu maknanya dah ada la tu ma…” Tingkah Iman Faliq.
“Bukan sebab dia dah ada. Dia kata tak sedia nak kahwin lagi.”
Sangkal Datin Farah.
“Hm… Agaknya dia tak jumpa lagi macam yang dia nak kut..” Iman Faliq
membuat jangkaan.
“Erm.. Tadi mama kata, mama nak kenalkan dia dengan someone. Siapa someone yang mama nak kenalkan tu?” Tanya Iman Faliq tiba-tiba.
Dilihat mamanya sudah tersenyum-senyum. Sengaja membuat hati lelakinya
ternanti-nanti. “Senyum pulak mama
ni. Tahulah senyuman mama tu yang buat papa sayang dengan mama. Mama bagi tahu
ajelah siapa yang mama nak kenalkan tu?” Desaknya pula. Terasa ingin tahu
siapakah gerangan lelaki yang dimaksudkan oleh mamanya tadi. Rasa sedikit
tercabar pula hatinya tiba-tiba.
“Tak payahlah Iman tahu. Mama pun tak cakap lagi dengan dia.” Balas
Datin Farah masih ingin berteka-teki.
“Ala… Bagi tahu ajelah ma. Iman nak tahu jugak. Handsome ke tidak
orang tu. Lagi hensem dari anak mama
ni ke. Lagi baik dari anak mama ni ke…” Pujuk Iman Faliq sambil melentokkan
kepalanya ke bahu Datin Farah.
Dia cukup yakin dengan dirinya selama ini. Jika dia tidak mempunyai
ciri-ciri seorang lelaki idaman wanita, masakan staf wanita di pejabatnya itu
sanggup bersusah-payah mendekatinya.
“Lain kalilah mama bagi tahu. Jomlah kita masuk. Mama dah sejuk
duduk lama-lama dekat luar ni.” Ujar Datin Farah sebelum menolak lembut kepala
anak sulungnya itu. Sengaja dia mahu Iman Faliq tertanya-tanya sendiri.
“Ala ma…” Rungut Iman Faliq apabila mamanya terus berlalu.
*********
“Zarif, jangan
lupa tau bagi pada Mama Iman.” Pesan Iman Faliq mengingatkan anak saudaranya
itu entah untuk ke berapa kali pun dia sendiri tidak pasti.
“Okey papa.” Balas Zarif Aimin tidak lokek dengan senyuman yang
sentiasa terhias di bibir kecil itu.
“Jangan lupa pesan papa.” Kata Iman Faliq lagi dengan suara yang
tertahan kerana takut di dengari oleh ahli keluarga yang lain walaupun hanya
mereka berdua sahaja di dalam bilik itu. Awal pagi lagi dia sudah bangun untuk
menyiapkan Zarif Aimin pergi ke taska sehingga adiknya sendiri pelik. Tekad
hatinya mahu merapati Nur Imanina selepas apa yang diberitahu oleh mamanya
tempoh hari walaupun tidak pasti akan perasaannya sendiri dan status sebenar
Nur Imanina. Tidak salah rasanya untuk dia menghulur salam persahabatan. Lagi
pula, gadis itu merupakan pekerja mamanya sendiri.
“Okey!” Balas si kecil itu lagi.
“Kalau
Mama Iman tanya siapa yang bagi, Zarif jawab apa?” Duga Iman Faliq sambil
menyapu gel rambut di kepala anak saudaranya itu.
“Papa Iman bagi.” Jawab si kecil itu lurus seperti apa yang dipesan.
“Okey good! Hm… Dah siap
dah rambut anak papa ni. Handsome! Handsome macam siapa ya anak papa ni?”
Sengaja Iman Faliq menguji.
“Papa Iman!” Sorak Zarif Aimin berserta sengihan lebar.
Iman Faliq pula sudah terkekeh ketawa. Anak kecil itu sentiasa
disogokkan dengan kata-kata manis hingga Farihin Iman dan Mohd Firaz cemburu
dengan dirinya. Segala permintaan si kecil itu akan diturutkan. Mamanya sendiri
sering memarahinya kerana terlalu memanjakan anak saudaranya yang seorang itu.
“Anak papa ni memang handsome
macam papa.” Salas Iman Faliq yang lebih memuji dirinya sendiri. Bibir mengulum
senyum. “Okey, jom turun. Breakfast
dulu. Hari ni mama Zarif hantar Zarif tau. Papa Iman busy pagi ni.” Ujarnya lanjut sambil mendukung si kecil menuruni
tangga.
“Okey papa.” Si kecil itu akur.
“Amboi cucu Nek Wan pagi ni.. Lain macam aje.. Wanginya dia hari
ni.” Sapa Datin Farah selepas mengucup pipi gebu Zarif Aimin yang duduk di
sebelah Iman Faliq. “Ada apa-apa ke Iman?” Soalnya pula apabila melihat anak
sulungnya yang hanya tersengih. Kenal benar dengan bauan yang dipakai oleh si
kecil itu merupakan wangian yang sama digunakan oleh Iman Faliq.
“Hm.. Adalah tu yang diumpannya anak E’in ni ma.” Celah Farihin Iman
yang muncul dari ruang dapur membawa semangkuk nasi goreng. “Sayang, Papa Iman
suruh sayang buat apa hari ni?” Soalnya kepada anak bujangnya yang seorang itu.
“Rahsia kan Zarif. Mana boleh bagi tahu.” Iman Faliq bersuara.
Zarif Aimin pula hanya tersengih-sengih.
“Abang ni manjakan sangat
anak E’in ni.” Kata Farihin Iman lagi. Dia tidak dapat menafikan hubungan
kedua-duanya memang akrab. Ke mana sahaja akan dibawa si kecil itu hingga ada
yang menyangka Zarif Aimin adalah anak Iman Faliq kerana wajah mereka yang
mempunyai persamaan. Tambahan pula kedua-duanya mempunyai satu lekuk di pipi
masing-masing.
“Ala… Biarlah. Bukan abang buat apa pun. Kan Zarif?” Jawab Iman
Faliq selamba.
Si kecil itu hanya menganggukkan kepala. Sentiasa menyebelahi Iman
Faliq.
“Abang jangan nak ajar anak E’in yang bukan-bukan…” Farihin Iman
memberi amaran.
“Alah.
E’in ni… Macamlah tak percayakan abang.. Jangan risau okey? Abang takkanlah nak
ajar yang bukan-bukan pada anak buah kesayangan abang ni..” Balas Iman Faliq
sambil menyambut secawan air milo yang dihulurkan. Dua keningnya sempat
dijungkitkan kepada Zarif Aimin dan si kecil itu melakukan perkara yang sama.
Hati mereka bersatu
No comments:
Post a Comment