DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Wednesday, 2 March 2016

ROMANCINTA- BAB 2



Tahun 2012
Banglo Mewah Tan Sri Yusuf
Bukit Antarabangsa  

            Suasana tegang melanda banglo mewah yang terletak di Bukit Antarabangsa itu. Tiada kata-kata yang keluar daripada para penghuninya. Kening Tan Sri Yusuf kelihatan berkerut. Sesekali dia
menarik nafas, berusaha menenangkan perasaaan. Hanya lafaz zikir diucapkan dalam hati agar
syaitan tidak terus menghasut amarahnya. Puan Sri Haryati masih teresak-esak menangis. Pilu hati
seorang ibu tidak dapat disembunyikan. Berita yang diterima bagai batu menghempap dirinya. 
            Fifi pula tidak menunjukkan sebarang riak perasaan pada wajah. Seolah-olah berita yang
baru sahaja keluar dari mulutnya itu berita biasa-biasa sahaja. Tiada rasa sedih, takut, marah mahupun
malu. Wajah mama dan papanya dipandang bergilir-gilir, menantikan kata-kata seterusnya.
            “Fifi sedar tak apa yang Fifi dah buat?” Akhirnya Tan Sri Yusuf membuka mulut setelah lama
berdiam diri. Dia masih membelakangkan isteri dan anak perempuannya. Tidak mahu berhadapan,
bimbang itu akan menaikkan lagi amarahnya.
            “Papa tak tahu apa yang merasuk fikiran Fifi sampai sanggup Fifi buat begini pada papa, pada
mama. Apa lagi yang tak cukup Fifi? Apa yang Fifi nak, semua kami tunaikan. Kami didik Fifi,
berikan yang terbaik untuk Fifi, tapi ini yang Fifi balas?” Satu demi satu ayat keluar dari mulut Tan
Sri Yusuf.
            “Papa, biasalah benda-benda ni semua.”
Fifi merengus sambil menjeling Tan Sri Yusuf.
            “Biasa? Fifi kata biasa? Penat-penat papa hantar Fifi belajar agama, ini jawapan Fifi?”
            “Normallah tu.” Fifi menjawab.
            “Apa yang normal?” Suara Tan Sri Yusuf agak tinggi kali ini.
            “Perempuan mengandung, normallah. Apa masalahnya?”
            “Masalahnya, Fifi mengandung tak ada suami. Anak tu anak luar nikah, Fifi faham tak? Atau
sengaja buat-buat tak faham?!”  
            Fifi diam tidak menjawab. Sudah pasti dia faham. Namun, wajahnya masih tidak menunjukkan sebarang riak.
            “Siapa dia?” Tan Sri Yusuf bertanya lagi.
            “Siapa..siapa?” Soal Fifi pula.
            “Anak dalam perut Fifi tu! Siapa ayah dia?”
            Fifi diam, hanya menarik nafas dalam-dalam.
            “Siapa?!” Kali ini Tan Sri Yusuf membentak. Kesabarannya semakin tipis.
            “Shah.” Fifi menjawab perlahan.
            “Siapa dia?!”
            “Shah.” Ulang Fifi dengan lebih kuat.
            “Shah mana?”
            “Shahrizal.” Akhirnya, Fifi menyebut nama penuh.
            “Siapa Shahrizal?”
            “Fifi kenal dia masa birthday party Nina.” Fifi menjawab dingin. Letih disoal jawab begitu,
apatah lagi emosinya sejak akhir-akhir ini tidak stabil. Tan Sri Yusuf menggelengkan kepala.
            “Lagi?”
             Fifi terdiam kembali. Yang sebenarnya, dia pun tidak berapa tahu banyak informasi
tentang Shah, lantaran sikap lelaki itu yang sentiasa berahsia walaupun mereka adalah pasangan kekasih.
Kekasih? Fikir Fifi lalu menelan air liur. Entah kenapa, dia sendiri tidak pasti akan status hubungannya dengan Shah ketika ini.
            “Takkan itu saja yang Fifi tahu pasal Shah?”
            Fifi hanya menggelengkan kepala.
            “Tak tahu? Fifi ke hulu ke hilir dengan dia, Fifi dah tidur dengan dia, mengandung anak dia…”
            “Abang!” Puan Sri Haryati menegur, suaranya meninggi. Dalam keadaan yang sudah sedia   
tegang, dia tidak mahu suaminya itu terlepas lebih banyak kata. Tan Sri Yusuf menoleh seketika ke
arah isterinya lalu menarik nafas.
            “Dah berapa bulan?” Tan Sri Yusuf bertanya lagi, suaranya mula kendur.
            “Lima minggu.” Fifi menjawab.
            Lima minggu. Itu yang Fifi dengar daripada Dr. Syarifah, doktor yang merawatnya di klinik.
Kalau tidak kerana dia pitam secara tiba-tiba di kolej siang tadi, sudah pasti dia pun tak tahu yang dia
sudah mengandung. Patutlah sejak akhir-akhir ini, Fifi terasa badannya lemah dan dia belum datang
bulan seperti yang sepatutnya. Namun begitu, dia tidak langsung merasa loya seperti lazimnya wanita
yang mengandung.
           
“Fifi rasa, nak ke si Shah tu bertanggungjawab?” Soalan Tan Sri Yusuf kedengaran sinis.
            “Shah cintakan Fifi. Dia pasti akan bertanggungjawab.”
            “Cinta?” Tan Sri Yusuf hanya mengeluh mendengar jawapan Fifi. Wajah anaknya bongsunya
yang baru menginjak 20 tahun itu dipandang lama. Betapa naifnya kata-kata yang keluar dari mulut
Fifi.
            “Shah sayangkan Fifi. Dia cintakan Fifi. Dia akan kahwin dengan Fifi!” Fifi berkata lagi
apabila melihat Tan Sri Yusuf hanya mendiamkan diri.
            Fifi yakin, Shah betul-betul cintakannya, betul-betul sayangkannya. Dengan Shah, dia dilayan
seperti puteri kayangan. Walaupun sudah diberi amaran oleh rakan-rakannya yang Shah tidak boleh
dipercayai namun Fifi tak peduli. Lelaki itu terlalu istimewa padanya.
            Fifi juga akui, dia amat menyayangi Shah. Terlalu sayang sehingga permata berharga
miliknya tergadai begitu sahaja. Walaupun pada awalnya, dia tidak merelakan tetapi akhirnya Fifi
tewas pada pujukan dan janji manis Shah. Fifi sangat yakin dengan perasaannya. Dia yakin Shah akan bertanggungjawab. Dalam diam, Fifi sebenarnya mengharapkan dia dan Shah akan di satukan secepat mungkin. Bila mereka di satukan, Shah akan menjadi miliknya seorang. Tiada lagi wanita-wanita miang yang mahu merampas Shah dari dia.
            “Papa, Fifi nak kahwin dengan Shah.” Tanpa rasa malu, Fifi menuturkan kata-kata itu.
            “Papa tak rasa lelaki tu nak kahwin dengan kamu.”
            “Shah baik papa, tak mungkin dia akan tinggalkan Fifi.”
            Tan Sri Yusuf menggelengkan kepala. “Papa lebih dulu hidup dari Fifi. Papa dah masak dengan segala jenis perangai manusia dalam dunia ni. Kalau Shah tu baik, tak mungkin dia akan sentuh kamu sebelum waktunya.”  Tan Sri Yusuf membalas.
            But papa, we love each other. We do it because of love…”
            “Sudah Fifi! Kamu masih nak pertahankan lelaki tu? Cinta konon! Sebab cintalah mata kamu buta sampai sanggup kamu menconteng arang ke muka kami!” Tan Sri Yusuf meninggikan suara. Hatinya terasa sebal mendengar kata-kata kurang matang dari Fifi.
            Fine! Fifi salah. So what you do you want me to do now?!” Fifi juga mula meninggikan suara.
            “Kalau ikutkan hati papa, papa nak Fifi gugurkan kandungan ni.”
            “Nak gugur, gugurkan ajelah.” Fifi menjawab lagi.
            “Astaghfirullahhaladzim… budak ni.”
            “Abang… sabar.” Puan Sri Haryati mencelah sekali lagi. Bimbang sekiranya suaminya itu menaikkan tangan. Tan Sri Yusuf menggelengkan kepala lagi seraya menarik nafas.
            “Selama ni, papa bagi Fifi kebebasan. Apa saja kehendak Fifi kami ikutkan tapi… ini yang Fifi balas. Fifi dah memalukan papa, mama. Fifi dah malukan keluarga kita.”
            Fifi memalingkan muka ketika Tan Sri Yusuf bersuara, tidak mahu memandang papanya.
            “Mulai daripada hari ni, Fifi tak boleh keluar rumah lagi tanpa keizinan papa dan mama.”
            What?!” Merasakan kebebasannya bakal dirampas, Fifi mula resah.
            But papa, macam mana dengan study Fifi?” Fifi mengajukan soalan, lebih kepada mencari  
alasan. Yang sebenarnya, dia bimbang tidak akan dapat berjumpa dengan Shah lagi.
            “Berhenti belajar. Fifi nak pergi kolej dengan perut memboyot? Nak bagi malu pada papa?
Pada mama?”
            Fifi mendiamkan diri. Nafasnya mula turun naik manakala otaknya cuba mencipta
pelbagai alasan.
            “Dan jangan sekali-kali kamu cuba jumpa Shah.”
Semakin tegas Tan Sri Yusuf bersuara.
            “Papa… apa ni? Tak boleh jumpa Shah? No way papa. Fifi nak jumpa Shah. Fifi sayang Shah.”
             Tan Sri Yusuf hanya mendiamkan diri.
            “Papa!”
            “Jangan melawan lagi…Fifi. Cukuplah apa yang Fifi dah buat pada papa, pada mama.” Kali
ini,  Puan Sri Haryati berkata. Tangisnya masih bersisa.
            “Papa…ini anak Shah papa. Fifi mesti kahwin dengan Shah!”
            Enough! Kamu ingat Fifi, kalau papa dapat tahu Fifi keluar tanpa pengetahuan papa, I will
send you to rehab.” Keras suara Tan Sri Yusuf kali ini. Dia sudah penat, tidak mampu lagi untuk bertelingkah.
            “Huh.” Fifi merengus, tajam matanya memandang kedua orang tuanya. Kemudian, dengan
pantas dia meninggalkan ruang tamu itu lalu menuju ke biliknya tanpa menoleh lagi. Tan Sri Yusuf hanya memerhatikan langkah Fifi hingga hilang dari pandangan. Perlahan-lahan dia terduduk di atas sofa. Tan Sri Yusuf menarik nafas beberapa kali, cuba untuk menenangkan dirinya.
            “Abang…” Puan Sri Haryati memanggil. Tan Sri Yusuf menoleh.
            “Apa kita nak buat sekarang?” 
            Tan Sri Yusuf menggelengkan kepala. Fikirannya juga kusut. Dia menghela nafas dan
melepaskanya perlahan.



Di dalam bilik, Fifi menangis. Tangisan yang ditahan sejak dari siang tadi. Dia tidak
menangis apabila Dr. Syarifah memberitahu berita itu. Malah dia juga tidak menangis ketika
mengakui perkara itu kepada mama dan papanya. Namun, itu semua hanyalah pada luaran. Di
dalam hatinya, hanya TUHAN yang mengetahui. Dan kini, dia menghamburkan semua tangisannya
sendirian.
            Pada awalnya, Fifi merancang untuk merahsiakan kehamilannya dari papa dan mama. Tetapi dia tidak menjangka, perbualannya di telefon dengan Nina didengari oleh mamanya.
             Aku… mengandung? Fikir Fifi lantas memandang wajahnya di cermin.
            Seboleh mungkin, Fifi cuba menidakkan fakta itu. Fakta yang dia sudah hamil. Dan yang
paling teruk, dia hamil tanpa suami yang sah. Fifi memejamkan mata. Secara perlahan-lahan, Fifi
mengusap perutnya seolah-olah mencari sesuatu. Perutnya masih rata, seperti tidak mengandung.
            “Bila dah masuk lima minggu ni, belum nampak lagi perubahan pada perut puan ya. Tetapi,
embrio atau janin sudah ada jantung kecil yang mula berdenyut dan mampu mengepam darah. Kalau
puan nak tahu, jantung embrio ni kecil saja. Pada waktu ini juga, organ penting bayi seperti ginjal dan
hati akan mula terbentuk.” Kata-kata Dr. Syarifah terngiang-ngiang di telingan. Dr. Syarifah
memanggilnya dengan panggilan Puan walhal dia belum berkahwin. Dan Fifi tidak tahu sama ada Dr. Syarifah memanggilnya puan dengan sengaja atau tidak.
            “Shah, where are you?” Fifi berbisik sendiri. Sudah berkali-kali nombor telefon Shah didail
tetapi masih tidak dapat di hubungi. Air matanya turun tanpa henti. Di atas katil, Fifi teresak-esak.
            Akhirnya, Fifi tertidur dalam tangisan.


No comments:

Post a Comment