DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 9



SAMPAI  di muka  pintu, sudah  kedengaran  bising  suara  Puan  Salmiah  menangis. Laju  Marina  melangkah  masuk  ke dalam, walaupun  hatinya  begitu  berat  untuk  kembali  ke rumahnya  itu. Diruang  tamu  kelihatan  Puan  Salmiah  teresak-esak  menangis.
            Ramai  yang  ada  pada  waktu  itu. Bukan  setakat  Puan  Salmiah  dan  Zaidah, tetapi  juga  beberapa  orang  lelaki  yang  kemas  dengan  berserban  dan  bersongkok. Mereka  semua, bagaikan  sedang  berbincang  sesuatu.
            “Assalamualaikum...”lembut  salam  itu  di beri.
            Salam  yang  di berikannya  itu, disambut  serentak. Semua  mata  beralih  ke arahnya. Zaidah  yang  duduk  di sebelah  Puan  Salmiah  bangun  mendapatkan  Marina.
            “Kau  ke mana  Rina? Lambat  sangat  balik.”soal  Zaidah  kepada  adik  iparnya.
            “Rina  dari  rumah  mak. Kenapa  akak  call  Rina? Kenapa  ada  ramai  di sini?”Marina  belum  dapat  menghidu  apa-apa. Hanya  sekali  sahaja, matanya  ke arah  Ikram  dan  juga  Insyirah.
            “Kenapa  kau  tinggalkan  Ikram  dan  Syirah  dalam  satu  rumah, Rina? Kenapa  kau  biarkan  mereka  berdua?”
            Marina  diam. Bibirnya  terus  digigit. Hairan  juga, bila  dua  beranak  itu, bertandang  ke rumah  ini. Ramai  pula  yang  bertandang.
            “Kau  tahu  tak, suami  kau  dengan  Syirah, dah  kena  tangkap  basah. Mereka  berdua  dituduh  bersedudukan. Berdua-duaan  dalam  rumah.”
            Laju  air  liurnya  ditelan. Baru  sekejap  dia  melangkah  keluar  dari  rumah  itu, macam-macam  sudah  berlaku. Matanya  melirik  ke arah  Insyirah  yang  menangis. Marina  yakin, ini  pasti  rancangan  Insyirah, untuk  memerangkap  Ikram.
            “Maaf, kami  semua  dah  lama  di sini. Puan  bincanglah  elok-elok. Esok  kami  nak, Encik  Ikram  dan  pasangan  hadir  ke pejabat  agama.”pesan  seorang  lelaki  yang  kemas  berbaju  kemeja  dan  berkopiah.
            Marina  hanya  menghantar  mereka  semua  keluar  dari  rumah  itu  dengan  lirikan  matanya. Marina  terus  mengambil  langkah  berdiam  diri  sahaja. Rasanya  tiada  apa  yang  perlu  dibangkitkannya  lagi. Hatinya  dari  tadi, sudah  cukup  hancur. Bertandang  ke rumah  ini, hanya  menambahkan  rasa  sakit  di hatinya  sahaja.
            “Apa  kamu  berdua  ni  dah  buat?”Puan  Salmiah  sudah  menyinga. Kedua-dua  pasangan  itu  dipandang.
            “Kami  tak  buat  apa-apalah  mak. Takkanlah  Ikram  nak  buat  sesuatu  dengan  Syirah. Lagipun  Syirah, kan  isteri  Idlan.”Ikram  menjawab. Mempertahankan  dirinya  yang  tidak  bersalah.
            “Rina! Kamu ke mana? Kenapa  kamu  tinggalkan  suami  kamu, berdua-duaan  dengan  Syirah? Kan  salah  faham  dah  berlaku? Apa  kita  nak  buat  ni?”ditujukan  pula  soalan  kepada  Marina. Terkelu  lidah  Marina, untuk  menjawab  semua  itu.
            “Iyalah, Rina. Kenapa  tak  cakap  pada  kami, yang  Syirah  menumpang  di sini?”
            “Maafkan  Rina  kak...mak...”
            “Apa  yang dah  jadi?”kuat  suara  Puan  Salmiah. Sudah  tidak  mampu  bertenang. “Aku  ajak  kau  tinggal  dengan  aku, kau  tak  mahu! Aku  boleh  jaga  kau  dan  anak  kau  tu. Marah-marah  aku  pada  kau  Syirah, kau  tetap  menantu  aku. Isteri  anak  aku  Idlan.”suara  Puan  Salmiah  sudah  mendatar. Makin  perlahan  suaranya  kedengaran.
            Insyirah  tunduk. Terus  diam  membisu. Di dalam  hatinya, pelbagai  sumpah  seranah  dan  maki  hamun  dilemparkan  kepada  perempuan  tua  di hadapannya  itu. Mujur  ada  Ikram. Kalau  tidak, pasti  kata-kata  Puan  Salmiah  akan  di balasnya.
            “Kau  tak  perlulah  nak  menyusahkan  abang  dan  kakak  kau. Aku  ni  boleh  jaga  kau. Rina  pun  satu. Kenapa  tak  cakap  kat  mak...Syirah  tinggal  di sini. Boleh  mak  datang  tengokkan.”pandangannya  beralih  kepada  Marina. Insyirah  pula  sudah  menarik  muka. Sayang  sangat  dengan  menantunya.
            “Mak  tak  perlu  nak  susah-susah  minta  Rina  itu  ini. Ikram  dengan  Rina  dah  takda  apa-apa.”Ikram  menyampuk.
            Ternganga  luas  mulut  Puan  Salmiah  dan  Zaidah  dengan  apa  yang  baru  di dengari  tadi. Ikram  dan  Marina  tiada  apa-apa  hubungan? Apakah  makud  kata-kata  itu? Adakah  mereka  berdua  sudah  tidak  bersama  lagi?
            “Apa  kau  cakapkan  ni  Ikram? Apa  maksud  kau?”hati  Zaidah  sudah  mula  berdebar-debar. Apakah  yang  difahaminya  itu, benar-benar  terjadi.
            “Ikram  dah  ceraikan  Rina. Kami  dah  berpisah.”jelas  kali  ini.
            Astargfirullah-Al-Azim!
            Puan  Salmiah  mengurup  dadanya. Dia  terduduk. Tersandar  badannya  di sofa. Kenapa  semua  itu  boleh  berlaku  pula? Sedangkan  anaknya  dan  menantunya  itu  cukup  bahagia  sebelum  ini. Mereka  berdua  tiada  sebarang  masalah, dan  kenapa  sampai  boleh  bercerai?
            “Kau  jangan  nak  main  dengan  benda-benda  macam  ni  Ikram. Kau  ingat  cerai  berai  ni, perkara  main-main?”terjah  Zaidah  soalan  kepada  Ikram. Tidak  puas  hati. Apa  yang  sudah  terjadi  kepada  rumah  tangga  mereka  berdua.
            “Ikram  tak  main-mainlah  kak. Ikram  dah  jatuhkan  talak  pada  Rina, siang  tadi.”terang  Ikram, tanpa  sedikit  pun  rasa  menyesal.
            Zaidah  menghampiri  Marina  yang  dari  tadi  berdiri  tegak  di belakang  sofa. Dipandang  tepat  ke mata  Marina. Inginkan  jawapan  pasti  daripada  Marina  sendiri. “Betul  ke  Marina?”
            Marina  hanya  menjawab  dengan  anggukan  kepalanya. Suaranya  sudah  terlekat  dikerongkong. Tidak  sanggup  mengiyakannya. Biar  dikunci  sahaja  bicaranya.
            “Kau  gila  ke  Ikram? Kau  ingat  cerai-cerai  ni, boleh  lepas  cakap  macam  tu  aje.”
            Ikram  diam. Digigit  bibirnya. Memang  dia  sudah  terlepas  cakap  dan  memang  ia  lahir  dari  hatinya  pada  masa  itu.
            “Apa  masalah  kamu  berdua  suami  isteri? Apa  masalah  kamu  berdua, sampai  ambil  keputusan  untuk  bercerai?”kini  Puan  Salmiah  pula  melepaskan  ledak  geramnya  pada  anak  dan  menantunya.
            “Mak  dan  akak  jangan  salahkan  abang  Ikram. Abang  Ikram  tak  salah. Semua  ni  salah  Kak  Rina. Kak  Rina  yang  buat  abang  Ikram  hilang  sabar  dan  buat  abang  Ikram  marah.”Insyirah  yang  tadi  diam, mula  merencanakan  bicaranya. “Kak  Rina  curang  dengan  abang  Ikram...bukan  itu  aje, akak  buat  macam-macam  pada  Syirah. Itu  yang  buatkan  abang  Ikram  marah  sangat.”tipu  Insyirah. Airmata  dibiarkan  jatuh  dipipinya. Lakonannya  itu  terus  diteruskan  dengan  airmata  palsunya.
            “Tipu! Kau  memang  keji  Syirah. Kenapa  kau  tuduh  aku. Padahal  semua  ni, angkara  kau. Kalau  dari  awal  lagi, aku tahu, kau  ada  niat  jahat. Aku  takkan  benarkan  kau  tumpang  di sini.”sakit  sekali  hati  Marina  dengan  tuduhan  Insyirah. Sengaja  Insyirah  ingin  menyalahkan  dirinya.
            “Mak..., apa  yang  Syirah  cakapkan  ni  betul. Syirah  tak  tipu. Entah-entah  aduan  tadi, kak  Rina  yang  buat. Sebab  nak  balas  dendam  pada  abang  Ikram.”Insyirah  berlutut  dihujung  kaki  Puan  Salmiah. Terus  meraih  simpati  Puan  Salmiah.
            “Kau  jangan  nak  tuduh  aku. Kau  ingat, hati  aku  ni busuk  macam  kau? Kau  ingat  aku  ni, tak  ada  maruah  diri, nak  cari  cinta  kat  luar  sana. Aku  tahu  tugas  aku. Aku  tahu  tanggungjawab  aku. Sejak  kau  tinggal  di sini, kau  ambil  kesempatan. Kau  jangan  nak  tabur  fitnah  pada  aku  Syirah.”
            “Diam!”Ikram  tidak  mahu  dengar  perbalahan  itu  lagi. Talak  sudah  pun  dilafazkan. Dia  dan  Insyirah  pula  sudah  dituduh  berkhalwat. Kepalanya  memang  serabut  dengan  setiap  kejadian  yang  berlaku  sepanjang  hari  ini.
            “Biar  Syirah  terang  semuanya  pada  kak  Zaidah  dan  mak. Biar  semua  jelas.”nafasnya  ditarik  sedalam-dalamnya. “Apa  yang  Syirah  ceritakan  tadi, semuanya  betul. Syirah  juga  nampak, lelaki  tu, hantar  akak  balik  sampai  ke rumah.”
            Laju  Marina   menggelengkan  kepalanya. Menepis  dakwaan  dan  fitnah  yang  direka  Insyirah. Dia  memang  benar-benar  tidak  bersalah. Perpisahan  yang  terjadi  antaranya  dan  Ikram, memang  salahnya. Salahnya  kerana  membiarkan  Insyirah  di sini  dan  mempercayai  Insyirah, sehingga  Insyirah  rancak  mengaturkan  rancangannya.
            “Aku  tak  percaya, Rina  buat  semua  tu. Kau  jangan  nak  fitnah  menantu  aku.”Puan  Salmiah  begitu  sukar  untuk  mempercayai  tuduhan  Insyirah.
            “Tapi  semua  tu  kebenarannya  mak. Ikram  tidak  akan  bertindak  sampai  begini, kalau  benar  Rina  tak  bersalah.”
            Puan  Salmiah  memandang  Marina. Laju  kepalanya  digelengkan. Kecewa  sekali  hati  seorang  ibu, pada  saat  ini. Hatinya  hancur  dan  kecewa. Sukar  untuknya  mempercayai  semua  itu.
            “Pandai  kau  buat  cerita, kan  Syirah. Aku  tak  percaya  cakap  kau. Aku  tahu  siapa  kau. Aku  kenal  siapa  Marina. Dia  takkan  buat  semua  tu  pada  Ikram. Ini  pasti  kerja  kau  kan?”Zaidah  memang  langsung  tidak  akan  percaya. Dari  awal  sebelum  Insyirah  berkahwin  dengan  Idlan, dia  sudah  ketahui, Insyirah  banyak  menipunya  dan  keluarganya. Banyak  perkara  yang  Insyirah  berbohong  dengannya. Ikram  tidak  tinggal  sekali, mana  dia  tahu, sikap  buruk  Insyirah  itu.
            “Tapi  Syirah  tak  tipu  kak.”
            “Argh! Aku  dah  tahu  hal  ni. Rina  ada  beritahu  aku. Dia  call  aku, ceritakan  masalah  ni. Tapi  aku  tak  tahu  pulak, yang  kau  tinggal  di sini.”Zaidah  lebih  awal  tahu, masalah  semua  itu. Kebetulan  dia  ada  menelefon  Marina, dan  kedengaran  suara  sedih  Marina  tika  itu. Diminta  Marina  ceritakan  semua  itu  kepadanya. Sangkanya  itu  hanya  masalah  kecil  dan  sudah  diselesaikan. Marina  tidak  pula  telefon  beritahunya, yang  masalah  itu  berlarutan  hingga  ke saat  ini. Tak  disangkanya  pula, masalah  itu  menjadi  masalah  besar  seperti  hari  ini.
            Insyirah  menggelengkan  kepalanya. Tetap  mahu  tidak mengalah. Tetap  mahu  meneruskan  lakonannya  itu.
            “Kau  Ikram. Dari  dulu  sampai  sekarang, sikap  cemburu  kau  tu, memang  keterlaluan. Sikap  cemburu buta  kau  tu, membuatkan  mata  kau  buta. Cubalah  kau  percaya  dengan  isteri  kau  sendiri. Dah  tiga  tahun  kahwin, takkan  tak  kenal  isteri  kau  sendiri!”geram  Zaidah  dengan  adiknya  itu. Perkara  begitu  pun  tidak  boleh  difikirnya  dengan  baik.
            “Masalahnya, apa  yang  Syirah  cakapkan  tu, betul  kak.”Ikram  tetap  mahu  tidak  mengalah.
            “Kau...”
            “Biarlah  jika  itu  yang  abang  fikirkan  tentang  Rina  kak. Kalau  abang  sayangkan  Rina, dia  akan  percaya  pada  Rina. Dia  takkan  ragu-ragu  pada  kejujuran  Rina.”Marina  terus  melangkah  kakinya  ke atas.
            Hatinya  begitu  sakit  sekali. Ikram  masih  tetap  dengan  keras  kepalanya. Langsung  tidak  terasa  ingin  memujuknya. Malah  hatinya  yang  sedia  sakit  ditambah  lagi  rasa  sakitnya. Tidak  menyangka, Ikram  membiarkan  sahaja  hatinya  itu, tanpa  dipujuk. Ditambah  lagi  tuduhan  kepadanya, seolah  dia  begitu  jahat  dan  kejam.
            Semua  pakaiannya  dimasukkan  ke dalam  beg. Barangan  miliknya  juga  diambil, agar  tiada  satu  pun  tertinggal. Dua  beg  besar  ditariknya  keluar  dari  bilik  itu.
            “Rina, kau  nak  ke mana?”
            “Biarkan  dia  pergi  mak. Lagipun  itu  kemahuannya. Jangan  kita  nak  halang. Lepas  ni, bolehlah  dia  bersuka  ria  di luar  sana. Takda  sesiapa  yang  nak  menghalangnya  lagi.”ego  sekali  bicara  Ikram.
            Jauh  melencong  tuduhan  Ikram  kepada  Marina. Hanya  buruk  sahaja  yang  nampak  di matanya. Kebaikan  Marina  selama  tiga  tahun  ini, langsung  tidak  nampak. Ianya  sudah  kabur  di matanya. Pengorbanan  dan  kesetiaan  Marina  selama  ini, sudah  tidak  bermakna  apa-apa  kepadanya.
            Astagfirullah-Al-Azim! Apa  yang  dah  menghasut  kau  ni  Ikram?  Sepatutnya  jernihkan  kembali. Duduk  berbincang  elok-elok. Bukan  terus  buat  keputusan  begini.”Puan  Salmiah  mahu  Ikram  dan  Marina  duduk  berbincang. Mencari  kata  sepakat.
            “Takda  apa  yang  perlu  dibincangkan  lagi  mak.”
            Marina  memejamkan  matanya  beberapa  saat. Menahan  rasa  pilu  yang  singgah  di hatinya. Cukup  terasa  dengan  tindakan  Ikram  kepadanya. Seolah-olah  dirinya  melakukan  salah  besar  hingga  tidak  mahu  memaafkannya. Ego  Ikram  begitu  tinggi  melangit.
            “Betul  cakap  abang  tu  mak. Tak  ada  apa-apa  yang  perlu  dibincangkan  lagi... Maafkan  Rina.”tangan  Puan  Salmiah  terus  disalam  dan  dikucupnya. Begitu  juga  tangan  Zaidah  disambut  dan  dikucupnya. “Rina  pergi  dulu  kak...mak...”langkah  perlu  diteruskan. Tidak  guna  merayu...
            “Ikram! Selepas  ni, kau  jangan  menyesal  dengan  tindakan  kau  ni.”
            Marina  dengar  suara  Zaidah  memarahi  Ikram. Tidak  ditolehkan  ke belakang  lagi. Langkahnya  diteruskan. Biarlah  dia  pergi  membawa  diri...dan  tidak  akan  berpaling  lagi. Hatinya  kini  cukup  terluka.

No comments:

Post a Comment