DAPATKAN TEASER PERCUMA!


Nama Penuh Anda

Alamat E-mel Anda

Tuesday, 8 March 2016

SETELAH CINTA ITU PERGI - BAB 8



INSYIRAH  berasa  puas. Dapat  juga  dia  merobohkan  benteng  kebahagiaan  yang  sudah  lama  termetrai  ini. Semua  musnah  dengan  kata  fitnah  yang  ditaburnya. Puas  sekali, bila  Ikram  tidak  mempercayai  Marina. Ikram  lebih  percayakan  dirinya  daripada  Marina, isteri  Ikram  sendiri. Dia  berjaya, membuatkan  dua  kekasih  itu  makin  berjauh  hati.
            “Padan  muka  kau, Rina. Kau  ingat  aku  nak  sangat  berbaik  dengan  kau. Aku  pun  nak  hidup  senang  jugak. Aku  pun  nak  rasa  bahagia  jugak. Sepatutnya  aku  yang  perlu  dapat  Ikram.”
            Laju  pintu  bilik  dikuak  kasar. Marina  terus  menerjah  masuk  ke dalam. Kali  ini  kesabarannya  tidak  dapat  ditahan-tahan  lagi. Apa  yang  baru  didengarinya  tadi, memang  membuatkan  hatinya  bertambah-tambah  sakit  hati. Rupanya  Insyirah  sudah  berniat  jahat  dari  awal  datang  ke rumahnya. Kenapa  dia  tidak  mahu  percaya  dengan  naluri  wanitanya. Jika  dia  percaya  dengan  apa  yang  dirasakannya  selama  ini, pasti  semua  ini  tidak  akan  terjadi.
            “Syirah!”
            Insyirah  menjuihkan  bibirnya, bila  melihat  Marina  sudah  menapak  ke arahnya. Dibalas  kembali  tolakan  Marina.
            “Apa  Syirah  buat  ni? Syirah  sengaja  buat  abang  dan  akak  macam  ni?”
            Insyirah  mencebik. Dia  tersenyum. Betullah  semua  itu. Memang  dari  awal  lagi, dia  sudah  berniat  untuk  merancang  hubungan  dua  suami  isteri  itu  musnah.
            “Kalau  betul  pun  kenapa? Kau  tak  puas  hati?”Insyirah  sudah  menunjukkan  taringnya  yang  sebenar.
            “Apa  salah  akak  pada  Syirah?”
            “Tak  payahlah  nak  soal. Kalau  aku  jawab  semua  tu  pun, tak  guna. Bukannya  boleh  pulihkan hubungan  kau  dan  Ikram.”bongkak  sekali  Insyirah  dengan  jawapannya  itu.
            “Sampai  hati  Syirah, buat  macam  ni. Kebaikan  yang  akak  bagi, ini  yang  Syirah  balas?”
            “Tak  payahlah  nak  buat  baik. Itulah  penyakit  bodoh  namanya. Kau  tu  terlalu  baik, jadi  senanglah  aku  nak  pijak-pijak  kepala  kau  tu.”muka  lantai  juga  dipijak-pijaknya. Kemudian  tawanya  dilepaskan.
            “Kau  memang  melampau  Syirah!”tergenggam  jemari  Marina. Jantungnya  sudah  berkocak  kencang. “Kau  nak  apa  dari  aku? Kau  nak  apa? Kau  nak  duit, kau  cakap  aje. Aku  boleh  beri  berapa  aje  yang  kau  nak? Aku  boleh  beri!”Marina  sudah  hilang  sabarnya. Kuat  suaranya  berbalah  dengan  Insyirah. Jika  Insyirah  memijak  kepalanya, takkan  mahu  dibiarkan  sahaja. Dia  perlu  mempertahankan  haknya.
            “Hmm, menarik.”Insyirah  seakan  berfikir.
            “Cakap! Kau  nak  berapa?”
            “Aku  nak...hmm..aku  nak  Ikramlah.”
            Pang!
            Satu  tamparan  diberikan. Laju  sahaja  nafas  Marina. Insyirah  memang  sudah  melebih. Permintaannya  itu  tinggi  melangit. Mana  boleh  diberikan  suaminya  itu  kepada  Insyirah. Lagipun  Insyirah  masih  isteri  kepada  Idlan. Walau sekali  pun, Insyirah  tiada  ikatan  dengan  Idlan  mahupun  sesiapa  pun, tak  mungkin  dia  mengizinkan  semua  itu  berlaku.
            “Kau  memang  melampau! Aku  beri  betis, kau  nak  peha  pula.”bentak  Marina  geram.
            “Kalau  betis  sahaja  mana  cukup. Kalau  boleh  bukan  setakat  betis  atau  peha. Semuanya  aku  nak. Baru  puas.”
            Sakit  hati  sekali  Marina  dengan  jawapan  Insyirah. Memang  benar  apa  yang  cikgu  NurAini  kata. Aku  perlu  berhati-hati  dan  berjaga-jaga  dengan  Insyirah. Tetapi  kerana  yakin  Insyirah  adalah  saudaranya, di tepiskan  segala  syak  wasangkanya. Tetapi  itu  semua  ini  memakan  dirinya  pula.
            “Aku  nak  kau  keluar  dari  rumah  aku, sekarang  jugak. Aku  nak  kau  berambus  dari  sini! Berambus!”

BERGEGAS  Marina  pulang  ke rumahnya, bila  mendapat  panggilan  daripada  Ikram. Terpaksalah  dia  menyusahkan  cikgu  NurAini  sekali  lagi.
            Langkah  segera  diaturkan  ke dalam  rumah. Melangkah ke dalam  sahaja, sudah  kelihatan  Ikram  dan  Insyirah  yang  meribakan  bayinya. Ikram  tidak  lepas, memandang  Marina  bagaikan  mahu  ditelan.
            Wajah  Insyirah  yang  terus  tertunduk  itu, direnungnya. Ini  mesti  Insyirah  sudah  mengadu  kepada  Ikram, dirinya  sudah  menghalau  Insyirah  keluar. Beg  pakaian  Insyirah  yang  ada  di situ, mengukuhkan  lagi  tekaannya.
            “Kenapa  abang  minta  Rina  balik. Rina  bukannya boleh  keluar  sesuka  hati. Kalau  guru  besar  tahu, teruk  Rina  kena  tindakan.”Marina  duduk  disofa  bersebelahan  Ikram.
            “Syirah  cakap, Rina  halau  Syirah  keluar.”
            Soal  Ikram  seraya  itu, Marina  memandang  Insyirah. Tersenyum  sinis  Marina. Ianya  seperti  yang  difikirkannya. “Memang  Rina  halau  Syirah  keluar. Rina  lakukan  semua  ni  bersebab.”dijeling  Insyirah  yang  terus  tertunduk. Membuat  muka  simpati. Makin  menyampah  bila  Insyirah  terus  berpura-pura  dengan  lakonannya.
            “Kenapa  Rina  buat  macam  tu?”
            “Sebab  Rina  tak  suka  Syirah  tinggal  dengan  kita  lagi. Keluarganya  kan  dah  balik  dari  Sabah. Biarlah  Syirah  balik. Mak  dia  ada.”jawab  Marina. Kali  ini, Marina  tidak  akan  berlembut  lagi. Hatinya  sudah  berani  bersuara. Dia  tidak  mahu  Insyirah  terus  memijak  kepalanya.
            “Tak  apalah, bang. Betul  cakap  kak  Rina  tu. Syirah  ni  cuma  menyusahkan  abang  dan  akak  aje.”
            “Apa  Syirah  cakapkan  ni? Abang  dah  janji  dengan  Idlan  nak  jaga  Syirah  dan  Nasuha. Takkan  abang  nak  lupa  pula?”
            “Syirah  tinggal  di mana-mana  pun, kita  boleh  tengokkan  dia  jugak  nanti. Tapi  kalau  mahu  terus  tinggal  di sini, Rina  tak  benarkan, bang. Abang  tak  tahu, siapa  sebenarnya  Syirah  ni.”
            “Syirah  tahu, akak  dan  yang  lain, memang  tak  sukakan  Syirah. Akak  dan  kak  Zaidah  memang  tak  sukakan  Syirah  dari  dulu  lagi. Syirah  tahu, dulu  Syirah  ni  teruk, jahat...tapi  Syirah dah  berubah. Hidup  ini, mesti  ada  perubahan  ke arah  kebaikan. Begitu  jugak  dengan  Syirah.”airmata  dusta  mudah  sahaja  gugur  dipipinya.
            Marina  menggelengkan  kepalanya. Bijak  sungguh  Insyirah  merencanakan  rancangannya. Lagaknya  seperti  apa  yang  dicakapkan. Pagi  tadi  lain  sikapnya  dan  dihadapan  Ikram  pula, lain  sikapnya.
            “Abang  jangan  percayakan  Syirah. Semua  yang  dia  cakapkan  tu  rekaan. Rina  tak  akan  halau  Syirah  kalau  tak  bersebab.”
            Ikram  memandang  Marina  redup. Kesal  dengan  sikap  isterinya  itu. Marina  terbawa-bawa  masalah  mereka  berdua  dan  dilepaskan  semua  itu  kepada  Insyirah.
            “Sebab  apa?”
            “Sebab  dia  ada  niat  jahat. Dia  nak  porak-perandakan  rumah  tangga  kita. Abang  jangan  percayakan  Syirah. Demi  kepentingan  kita  berdua, Syirah  perlu  keluar  dari  sini.”jelas  Marina.
            Tidak  berkelip  mata  Ikram  memandang  Marina. Kemudian  Ikram  bertepuk  tangan  sambil  tersenyum  sinis  kepadanya. “Tak  sangka, isteri  abang  sanggup  buat  begini. Demi  menutup  kesalahan  diri  sendiri  dan  kecurangan  diri, sanggup  salahkan  orang  yang  ada. Apa  yang  dah  menghasut  Rina  sekarang  ni?”
            Marina  tidak  menyangka  begitu  kuat  impak  hasutan  Insyirah  kepada  Ikram. Sehinggakan  apa  yang  dikatanya  langsung  tidak  dipercayai. Mengapa  Ikram  boleh  jadi  seperti  orang  bodoh? Tidak  tahu  menilai  mana  yang  betul  ataupun  salah. Ikram  seperti  sudah  buta  untuk  menilai  siapa  dirinya. Bukan  sehari  dua  mereka  berdua  hidup  bersama, tetapi  sudah  tiga  tahun. Tiga  tahun  bersama  belajar  mengenali  antara  satu  sama  lain. Dan  dalam  tiga  tahun  bersama  itu, rupanya  Ikram  tidak  mengenali  dirinya  selama  ini. Ikram  kabur.
            Hati  isteri  mana  yang  tidak  hancur  dan  kecewa, bila  suami  sendiri  lebih  mempercayai  orang  luar  berbanding  dengan  dirinya  sendiri. Rasa  kebahagiaan  itu  musnah, dan  terus  tenggelam  di bawa  ombak  badai. Luluh  hati  seorang  isteri, tidak  dikisahkan  si suami. Apa  erti  hubungan  ini, jika  beginilah  yang  harus  ditempuhinya. Dia  sudah  tidak  kuat  menghadapinya, walaupun  berkali  cuba  dipertahankannya.
            “Apa  yang  dah  menghasut  Rina? Atau  apa  yang  dah  menghasut  abang?! Abang  sedar  tak, Rina  isteri  abang. Abang patut  bela  Rina, bukannya  Syirah.”hatinya  sakit  tidak  terkata. Memang  rasa  sakit  itu  terasa  jauh  dilubuk  hatinya. Tidak  dapat  digambarkan  betapa  sakitnya  tika  ini.
            Pang!
            Sedikit  berginjak  Marina  dengan  tamparan  Ikram. Sekali  lagi  Ikram  menamparnya. Pada  saat  ini, Marina  sudah  rasa  betapa  gelapnya  dunia  ini. Kebahagiaannya  begitu  mudah  sekali  diragut.
            “Puas  hati  abang? Abang  buat  Rina  macam  Rina  ni  bukan  sesiapa  pada  abang. Abang  tak  pedulikan  langsung  hati  dan  perasaan  Rina. Abang  lebih  tergamak  biarkan  Rina  sakit  dengan  segala  perbuatan  abang  ni. Terima  kasih, bang. Kerana  abang  betul-betul  dah  buat  Rina  kecewa. Rina  kecewa  dengan  abang! Abang  kejam!”kuat  suara  Marina  menjerit. Beg  tangannya  yang  diletakkan  disisi  terus  digapainya. Sudah  tidak  sanggup  dan  tidak  tahan.
            “Rina, sebaik  aje  kau  melangkah  keluar  dari  rumah  ni, aku  ceraikan  kau!”
            Ungkapan  Ikram  itu, seiring  dengan  langkahnya. Marina  sudah  tidak  mengalih  kebelakang  lagi. Dia  terus  mengatur  langkahnya.
            Didalam  keretanya, Marina  melepaskan  segala  tangisannya  itu. Kuat  dia  meraung  kesedihan. Tidak  percaya  dengan apa  yang  baru  didengarinya. Ikram  sudah  melepaskan talak. Hingga  begitu  sekali  Ikram  perlakukan  dirinya.
            “Ya  Allah, dugaan  apakah  ini? Kau  kuatlah  aku. Aku  tidak  cukup  kuat  untuk  menghadapi  semua  ini.”keretanya  yang  tadi  meluncur  laju, dihentikannya  di bahu  jalan. Dia  terus  menangis  sepuas-puasnya.
            “Abang... kenapa  abang  buat  Rina  macam  ni. Apa  salah  dan  dosa  Rina  pada  abang? Mana  janji  abang  pada  Rina? Mana  diri  abang  yang  dulu? Mana  semua  tu?”
            Bergetar  badan  Marina  dengan  esakan  dan  tangisannya  yang  tidak  mampu  dilawannya. Ianya  terlalu  besar  untuk  dihadapinya.
            “Ya  Allah, aku  tak  cukup  kuat  untuk  hadapi  semua  ni. Aku  tak  cukup  kuat.”
            Stereng  keretanya  itu  dihentakkan berkali-kali. Melepaskan  geramnya. Marina  cuba  menenangkan  dirinya. Kereta  yang  sudah  lama  berlabuh  di bahu  jalan  mula  bergerak. Kawasan  sekolah  di masukinya. Laju  langkahnya  mengatur  ke kelas.
            Cikgu  NurAini  dicarinya. Terus  badan  cikgu  NurAini  dipeluknya  dan  melepaskan  segala  tangisnya  di bahu  cikgu  NurAini. Tidak  berhenti  tangisannya  itu, malah  ianya  makin  menjadi-jadi. Mujur  pada  waktu  ini, pelajar  sudah  pun  tamat  sesi  persekolahan. Jika  tidak, pasti  anak-anak  itu  melihat  kesedihannya  itu.
            “Rina...Rina...kenapa  ni  dik?”soal  cikgu  NurAini  lembut. Belakang  Marina  diurupnya  lembut.
            “Kak  Aini...”Marina  cuba  menerangkan, tetapi  dia  tidak  mampu. Tangisannya  itu, tetap  mahu  berlagu  kuat.
            “Kenapa  ni? Cakap  kat  akak.”
            “Ikram  ceraikan  Rina  kak. Ikram  ceraikan  Rina.”terang  Marina  lemah.
            “ Astagfirullah-Al-Azim!”cikgu  NurAini  mengurup  dadanya. Terkejut  dengan  apa  yang  baru  disampaikan  Marina. “Sabar  Rina. Sabar  ya  dik.”cuba  dipujuk  Marina, tetapi  makin  teresak  Marina  dibuatnya.
            “Ikram  dah  ceraikan  Rina. Apa  salah  Rina? Kenapa  semua  ni  terjadi  pada  Rina?”
            “Shhh...istigfar  banyak-banyak. Cuba  bertenang.”  
            Marina  menggelengkan  kepalanya. Mana  mungkin  dia  boleh  bertenang. Dia  kini  bermain  dengan  perasaan  sedih, kecewa, hampa, terluka...semuanya  sudah  menjadi  satu. Itu  yang
 membuatkan  hatinya  bertambah  parah.
            Marina  terus  menangis. Tidak  dipedulikan  pujukan  cikgu  NurAini. Hatinya  begitu  sakit. Sakit  tidak  terkata. Hubungan  yang  dibinanya  bersama  Ikram  atas  dasar  cinta, akhirnya  berkecai  dengan  mudah  begitu  sahaja.
            “Ingat  Tuhan. Mengucap!”
            Marina  terus  tunduk  ke lantai. Tangannya  diraup  ke muka. Cuba  beristigfar  dan  mengucap  berkali-kali. Kali  ini, Marina  sedikit  tenang.
            “Rina  sabar. Ceritakan  pada  akak  pelan-pelan.”
            Marina  menceritakan  semuanya  dengan  terperinci  kepada  cikgu  NurAini. Diceritakan  semua  itu dengan  ditemani  linangan  airmata. Hatinya  sedikit  lega, bila  semua  itu  dapat  diluahkan. Rasa  beban  itu, sedikit  berkurang.
            “Ya  Allah. Apa  yang  dah  menghasut  Ikram  ni? Inilah  yang  akak  takut  sangat.”cikgu  NurAini  pun  tidak  tahu  hendak  katakan  apa-apa  lagi. Semuanya  sudah  terjadi. Tetapi  masih  ada  waktu  dan  masih  berkesempatan  hubungan  suami  isteri  itu  diselamatkan.
            “Macam  mana  ni  kak. Apa  yang  perlu  Rina  buat  sekarang  ni?”
            “Nanti  akak  teman  Rina  pergi  pejabat  agama. Kita  buat  aduan  dan  rujukan  dahulu.”
            Marina  hanya  mengangguk. Apa  rancangan  yang  dicadangkan  cikgu  NurAini, akan  diikutnya. Jika  hendak  berfikir  sendiri  dia  memang  sudah  tidak  berfikir  dengan  waras  lagi.
           
TERKEJUT  Muiz Lukman, bila  bertembung  Marina  di muka  pintu. Kakinya  yang  tidak  jadi  melangkah  masuk  ke dalam  kelas  pra  Gemilang,  masih  terkaku  di situ. Jelas  dua  wajah  di hadapannya  itu  terkejut  dengan  kehadirannya. Muiz  Lukman  tidak  sengaja  mendengar  perbualan  Marina  dan  cikgu  NurAini.
            Pada  mulanya  dia  hanya  ingin  memberikan  kad ucapan ulangtahun perkahwinan  milik  Marina, yang  dijumpainya  di dalam  keretanya. Petang kelmarin, baru  dia  berkesempatan  mencuci  keretanya  dan  terjumpa  kad  kecil  itu  terselit  di bawah  kerusi  tempat  duduk  disebelah  memandu. Ketika  ke kelas  itu, dia  tidak  sengaja  mendengar  perbualan  dua  sahabat  itu.
            “Maaf  saya  mengganggu.”
            “Cikgu  Muiz? Ada  apa?”soal  cikgu  NurAini.
            “Sa..sa..saya...”kepalanya  digelengkan. Kad  kecil  yang  hendak  diberikan  tadi, disembunyikan  dibelakang  badannya. Rasanya  tidak  perlu, di berikan  kad  itu  kepada  Marina.
            “Cikgu  dengar  ke, perbualan  kami  tadi?”soal  cikgu  NurAini.
            Muiz  Lukman  memandang  wajah  keruh  Marina. Wajah  yang  penuh  dengan  kesedihan  itu. Dia  tumpang  simpati  dengan  apa  yang  terjadi  kepada  Marina. Dia  tidak  menyangka  semua  itu  berlaku. Dan  paling  tidak  dapat  di maafkan, semua  itu  bermula   kerana  dirinya.
            “Cikgu  dengar  ke, perbualan  kami  tadi?”soal  cikgu  NurAini  sekali  lagi.
            Dengan  wajah  serba-salah, Muiz  Lukman  menganggukkan  juga  kepalanya. Dia  bukan  sengaja  ingin  mencuri  dengar  perbualan  itu. Dia  betul-betul  tidak  bermaksud  apa-apa.
            “Maafkan  saya  Rina..cikgu... Saya  terdengar  perbualan  cikgu  dan  Rina  tadi. Dan  saya  tak  sangka, semua  ni  berlaku  semuanya  gara-gara  diri  saya.”
            Marina  menggelengkan  kepalanya. Muiz  Lukman  memang  tidak  bersalah  dalam  hal  ini. Semua  ini, kerana  salah  faham  yang  tidak  pernah  berakhir  dan  juga  fitnah  serta  hasutan  Insyirah. Muiz  Lukman  langsung  tiada  kaitan  dengan  perceraiannya  dengan  Ikram.
            “Tapi  semua  tu, berpunca  dari  saya.”
            “Cikgu, saya  sama  sekali  tak  salahkan  cikgu. Cikgu  tumpangkan  saya, hari  tu  pun  atas  dasar  membantu. Cikgu  tak  buat  apa-apa  pun.”Marina  tidak  mahu  melibatkan  Muiz  Lukman  dalam  masalahnya, walaupun  itu  yang  menjadi  ingatan  kepada  Ikram  hingga  membenci  dirinya.
            “Saya  tak  sangka  pulak, semua  itu  berlarutan  sampai  ke hari  ini.”
            “Saya  tahu, niat  cikgu  hanya  ingin  membantu. Saya  yang  sepatutnya  minta  maaf, sebabkan  Ikram  cederakan  cikgu  hari  tu.”
            “Saya  juga  salah. Sepatutnya  saya  tak  menipu  malam  tu. Sebabkan  saya, masalah  ni  semakin  parah. Kalau  Rina  nak, saya  boleh  jelaskan  semuanya  kepada  Ikram.”
            Marina  menggelengkan  kepalanya. Dia  tidak  perlukan  bantuan  Muiz  Lukman. Ianya  hanya  akan  menambahkan  masalah  sahaja. Nanti  Ikram  kata, dirinya  mengadu  kepada  Muiz  Lukman  pula. Dia  tidak  mahu, perkara  ini  terus  dikaitkan  dengan  Muiz  Lukman. Jika  benar  Ikram  mahukan  hubungan  mereka  kembali  terjalin, pasti  dia  akan  datang  memujuknya  kembali.
            Cikgu  NurAini  hanya  memerhati  sahaja, dua  susuk itu  berbual. Memang  patutlah  Ikram  cemburukan  Muiz  Lukman, kerana  banyak  kelebihan  pada  jejaka  itu. Wajahnya  yang  tampan  dan  tinggi  nilai  budinya. Tuturnya  juga  lembut. Cikgu  NurAini  mentafsir  diri  Muiz  Lukman  dengan  pandangan  matanya.
            “Cikgu  tak  perlu  jumpa  Ikram. Saya  tak  mahu, ianya  jadi  bertambah  rumit. Maafkan  saya. Saya  ada  hal. Saya  tak  boleh  berbual  lama.”Marina  meninggalkan  Muiz  Lukman  yang  masih  terpaku  di situ. Cikgu  NurAini  juga  turut  mengikut  langkah  Marina. Muiz  Lukman  pula  terus  berdiri  dan  tidak  mampu  berkata  apa-apa  lagi.







No comments:

Post a Comment